Isnin, 9 Mei 2016

Cinta Tak Pernah Usai- Bab 54



Bunyi ketukan papan kekunci mengerutup di telinga penghuni pejabat tempat Dayana bertugas. Masing-masing sibuk dengan kerja yang telah diamanahkan kepada mereka. Begitu juga dengan Dayana. Dia pun sedang sibuk menguruskan dokumen kewangan untuk memperoses gaji pegawai di jabatannya.
Selesai menaip, Dayana mencetak dokumen-dokumen yang perlu dihantar ke unit akaun. Bibirnya tersenyum riang apabila dokumen yang dicetak, keluar sehelai demi sehelai dari mesin pencetak. Bagaimanapun keriangannya itu tiba-tiba terpadam.
“Alamak! Dakwat printer habis pulak! Hisy!”jerit Dayana sambil menepuk meja komputernya dengan tapak tangan. Dia mengeluh berkali-kali. Pantang Dayana jika kerja terbengkalai di pertengahan jalan. Teringat pula Dayana,toner printer yang telah dipesannya daripada pembekal masih belum diterima kerana tiada stok di kedai.
“Alah, cetak dokumen tu kat sini,” kata seorang rakan sepejabatnya menawarkan budi.
Kasihan pula Rafidah melihat airmuka Dayana yang sudah tidak ceria lagi. Rafidah faham dengan komitmen Dayana terhadap semua tugasan yang diamanahkan kepadanya. Tambahan pula Dayana akan bercuti lama mulai minggu berikutnya kerana suaminya akan menjalani pembedahan. Justeru itu, Dayana telah merancang, semua tugasan dibawah tanggungjawabnya akan diselesaikan sebelum dia bercuti.
“Yalah,terpaksalah aku guna printer kau dulu, Idah. Sementara toner aku sampai,”kata Dayana. Suaranya hambar sambil merenung ke monitor komputernya. Cepat-cepat dia memindahkan semua fail yang hendak dicetak ke ‘pendrive’.
“Akak!”
Terdengar suara seorang lelaki di bahagian kaunter pejabat mereka. Rafidah dan Dayana serentak menoleh. Seorang lelaki bertubuh kecil, berwajah bulat dan cerah kulitnya berdiri hampir dengan meja kaunter. Dagunya ditumbuhi sedikit jambang. Lelaki itu berwajah serius tanpa secalit senyuman.
“Ya, boleh saya bantu encik?”tanya Dayana sambil melontarkan senyuman. Lelaki itu menghulurkan sehelai kertas kepadanya.
“Saya nak hantar barang,”katanya selepas itu.
“Oh... encik nak pasang penghawa dingin kat pejabat ni ya?”soal Dayana lagi sambil membaca tulisan yang tercetak di kertas.
“Iya,saya nak hantar barang-barangnya dulu,”beritahu pemuda itu dengan suara yang amat perlahan. Matanya asyik merenung ke arah luar pintu yang berlonggok dengan kotak.
“Itukah barang-barangnya? Encik, tolong letakkan di situ boleh tak?”kata Dayana bersuara ramah.
Lelaki itu membisu seribu bahasa namun melakukan perkara yang diminta oleh Dayana tadi. Dayana memerhatikan lelaki itu dari arah belakang. Lelaki yang berada di hadapannya kini bagaikan pernah dilihat, tetapi dia terlupa di mana mereka pernah bertemu. Pemuda itu menghulurkan sekeping dokumen lagi kepada Dayana sebaik selesai mengangkat barang-barang dan meletakkannya di tempat yang diarahkan oleh Dayana tadi.
“Terima kasih, encik! Cek nanti saya hantar ke kedai,” ujar Dayana dengan suara ramah. Lelaki tadi tidak menjawab walau sepatah kata atau melemparkan senyuman mesra.


“Alhamdulillah, tak lama lagi dapatlah kita bekerja dengan selesa,” kata Dayana bersuara ceria. Rafidah mengangguk.
“Nasib baik dapat boss baru yang memikirkan kebajikan stafnya. Dapatlah merasa pejabat berhawa dingin. Bos yang dulu-dulu tu, asyik nak beri alasan tak ada peruntukkan aje! Menyampah! Tapi dalam bilik dia ada penghawa dingin pulak!”ujar Rafidah sambil ketawa. Dayana turut ketawa.
“Yana, menyampah aku tengok mamat tadi. Berlagak! Dia ingat dia handsome sangat?  Diam aje!Orang ucap terima kasih pun tak mahu jawab apa-apa. Baru kerja hantar penghawa dingin, belum lagi ada kilang penghawa dingin,” marah Rafidah, tiba-tiba meletus. Meluat benar hatinya melihat perangai manusia sombong begitu.
“Tak baiklah kau sangka buruk kepada mamat tu, Idah.Entah-entah dia sakit perut, tak larat nak bercakap atau melontarkan senyuman,” ujar Dayana kepada Rafidah yang tiba-tiba muncung.
“Alah,Yana takkan dia tak jawab ucapan terima kasih kau tadi, kau tak terasa hati! Aku yang tengok gelagat dia tadi pun dah meruap darah sampai ke kepala, tau!” tempelak Rafidah.
Dayana hanya ketawa melihat telatah Rafidah yang geram.
“Tak beradab betul.Dahlah masuk ke pejabat orang tak beri salam,”leter Rafidah lagi.
“Sudahlah, Idah! Tak payahlah nak bengang tak tentu pasal. Takkan kau tak faham, akhlak manusia ni ada bermacam-macam. Ada yang buat kita jatuh cinta tetapi yang ramainya buat kita naik radang dan tekanan darah jadi menjulang...hee...hee,” gurau Dayana sambil menoleh ke atas mejanya.
Tangannya pantas menyambar invois yang ditinggalkan oleh pemuda tadi di atas mejanya. Matanya terus meneliti pada tulisan yang tercetak sambil mengeluh kuat.
“Eh,tengok ni! Dia tinggalkan invois untuk pejabat daerah atas meja aku pulak,”kata Dayana dengan suara kuat. “Cuai betul,”rungutnya.
Lantas, sepantas kilat dia berlari anak menuju ke pintu dan keluar pejabat cuba mengejar lelaki tadi. Mata Dayana mengitari kawasan medan parkir kereta di sekeliling pejabatnya jika terlihat kelibat lelaki itu. Namun dia hampa. Bola mata Dayana terus terlontar ke arah lorong yang membawa ke jalan utama di luar sana.
Di pintu pagar keluar kawasan bangunan pejabat itu, dia ternampak sebuah kereta Wira putih sedang berhenti di tepi jalan menanti saat untuk menyeberangi jalan. Deruman eksosnya kuat bertali-tali kerana pemandunya menekan pedal minyak berkali-kali. Vroom! Vroom! Begitulah bunyinya. Suara hati Dayana terus membisikkan sesuatu. ‘Lelaki ini macam pernah aku jumpa,’bisik hati Dayana sewaktu kakinya melangkah kembali ke pejabat.
“Oh, baru aku ingat! Mamat ni yang langgar kereta aku dulu!Lepas tu, dia bagi nombor telefon yang tiada dalam perkhidmatan!”pekik Dayana sambil menghenyakkan pinggulnya di atas kerusi.
Invois yang berada ditangan direnungnya lama-lama. Kecewa pula hatinya kerana tidak dapat mengembalikan invois yang telah tertinggal di mejanya kepada lelaki tadi. Lelaki yang namanya sudah tidak diingati lagi.
“Kau buang aje invois tu dalam bakul sampah! Biar dia menggelupur mencarinya. Padan muka,” cadang Rafidah bersungguh-sungguh.
“Eh,kau ni, Idah! Tak baiklah buat kat orang macam tu. Pendendam pulak kau ni! Maafkanlah dia,” balas Dayana sambil senyum. Rafidah mencebik.
“Akak!”


Terdengar suara dari kaunter pejabat. Dayana dan Rafidah terkejut lalu menoleh. Mereka tersentak melihat susuk tubuh yang berada di situ. Pemuda yang sedang mereka umpat tercegat di situ dengan wajah bersahaja.
“Ada tak saya tinggalkan invois?
“Mana ada!”pintas Rafidah dengan suara kuat. Luas mulutnya sewaktu melontarkan kata-kata itu.
“Buat yang lain aje,”katanya bersahaja.
Lembaran invois ditangan Dayana terus disambar, direnyuk-renyuk dan dibuang ke dalam bakul sampah di bawah mejanya. Bulat mata Dayana melihat perbuatan Rafidah itu.
“Puas hati aku,”rungut Rafidah sambil menyapu tangannya. Sekali lagi mereka menoleh ke kaunter. Pemuda itu sudah lesap.
“Tengok tu? Pergi begitu aje,” omelan Rafidah masih belum sudah kerana kemarahannya belum bernoktah.
Idah, kau ni...”keluh  Dayana sambil menatap muka kering sahabatnya itu.

Suasana di ruang menunggu di luar bilik pembedahan itu hening dari suara manusia. Walaupun ada beberapa orang waris yang sedang duduk di bangku yang disediakan di situ, masing-masing melayani perasaan sendiri. Yang berada di dalam keresahan sesekali bangun dari bangku yang sedang diduduki lalu berjalan mundar-mandir di sekitar ruang yang agak sempit itu.
Dayana tanpa ditemani sesiapa dari kaum kerabatnya atau waris Azmir duduk menunggu di bangku dengan sabar. Selama ini pun dia mengharungi segala dugaan yang telah ditetapkan oleh ALLAH untuknya bersendirian. Tidak pernah dia mengadu kepada keluarga mertua atau ibu ayahnya. Segala kepahitan ditelannya sendiri. Hanya kepada ALLAH dipanjatkan doa pada setiap kali solatnya, agar terus diberi ketabahan dan kekuatan hati dan iman.
Azmir sudah berada di dalam bilik pembedahan yang tertutup rapat itu kira-kira 40 minit yang lalu. Waktu yang terluang diisinya dengan membaca surah Yasin. Mudah-mudahan pembedahan berjalan lancar dan Azmir selamat. Itulah diantara himpunan doa yang dititipkannya kepada Yang Maha Esa.
‘Yana, insya-ALLAH, syurgalah ganjarannya kerana Yana menjaga suami yang sakit dan sanggup mengorbankan kehendak peribadi!’
Itulah di antara kata-kata peransang yang sering diberikan oleh Syamsul, rakan sepejabatnya. Dayana tersenyum meleret apabila terkenangkan kata-kata temannya itu. Boleh dikatakan seluruh warga pejabatnya mengetahui yang dia sedang menjaga suami yang sedang sakit. Sering mengambil cuti kerana menguruskan suaminya itu.
Sungguhpun begitu, tugas-tugas dipejabat tetap berjalan lancar. Tiada yang terbengkalai. ‘Yana! Kalau kau sanggup berkorban begini untuk suami, kau ikut sahaja jalan ini. Hati kau itu jangan dipesong-pesongkan ke lain lagi! Kau dah pilih jalan menuju ke syurga dah! Asalkan kau tambahi dengan amal ibadah yang lain, insya-ALLAH, janji ALLAH itu benar!’ Sambungan kata-kata Syamsul itu membuatkan Dayana terkesima seketika.
Pintu yang memisahkan antara ruang menunggu dan bilik pembedahan terkuak sejenak. Lamunan dan khayalan Dayana turut terhenti. Dua orang jururawat dan pembantu hospital menolak seorang pesakit yang telah selesai dibedah keluar dari bilik itu. Dayana bangun seketika melihat pesakit yang sedang berada di atas katil


beroda itu. Bukan Azmir. Dayana kembali duduk dibangkunya yang tadi dan menyambung semula bacaan surah Yassin yang sedang dibacanya dengan perlahan.
Minit-minit berlalu. Dayana sudah lenguh menunggu. Ditambahi pula dengan perasaan risau yang datang bertamu di jiwanya sejak dari tadi. Sudah berulangkali dia melihat jam di lengan kirinya. Hampir dua jam Azmir berada di bilik pembedahan itu. Bukankah sebelum ini, doktor telah menjelaskan kepadanya yang pembedahan itu hanya akan mengambil masa 45 minit sahaja?
Telefon di dalam beg tangannya tiba-tiba bergetar. Dayana mengambil telefon bimbit itu dan melihat nombor yang terpapar di skrin. Rafidah. Dayana terus meletakkan telefon berhampiran dengan cuping telinganya.
“Yana,macam mana dengan suami kau?Dah selesai operation ke belum?”Bagaikan tidak sabar mengetahui berita tentang Azmir, Rafidah menyoal laju.
“Belum lagi! Dah hampir dua jam dalam bilik operation tu! Aku pun sedang risau ni,” beritahu Dayana dengan suara sebak.
“Sabarlah, Yana.Insya-ALLAH, Azmir selamat, kami di pejabat ni semua doakan kesejahteraannya. Kawan-kawan semua kirim salam kepada kau, Yana.”Rafidah cuba memujuk Dayana yang sedang kesedihan.
“Yana,Mamat yang pasang penghawa dingin kelmarin ada datang ke pejabat ni!”beritahu Rafidah, membuka cerita yang lain pula. Dayana mendengar dengan teliti.
“Syarikat tempat dia kerja tu dapat tender untuk pasang internet ke pejabat-pejabat kerajaan di daerah kita ni,”cerita Rafidah bersungguh-sungguh. Jiwa Dayana tiba-tiba dipalu rasa debar.
“Dia tanya lagi tentang invois tu. Sebab dia kata dia pasti sangat dia dah tertinggal invois pejabat daerah tu atas meja kau!”
“Habis tu kau jawab apa?”tanya Dayana.
“Aku kata dekat dia, buatlah yang lain. Bukannya susah sangat. Kalau tidak, tanyalah pada Puan Dayana,” jawab Rafidah sambil ketawa mengekek. Puas hatinya kerana dapat mempermainkan pemuda yang berlagak dan sombong itu.
“Entahlah, benci betul aku melihat gelagatnya,”sambung Rafidah lagi. Dayana hanya senyum mendengar leteran sahabatnya itu.
“Idah, nurse panggil aku tu.Agaknya Azmir dah selesai dibedah! Kita berbual lain kali ya! Assalamualaikum.”Dayana segera menamatkan perbualannya dengan Rafidah apabila mendengar namanya dilaungkan oleh jururawat yang berdiri di muka pintu bilik pembedahan.
“Puan, isteri encik Azmir ya?”soal jururawat itu sebaik sahaja Dayana menghampirinya.
Dayana mendengar dengan teliti segala kata-kata yang disampaikan oleh jururawat itu. Jururawat  menutup daun pintu semula apabila selesai memberi penjelasan kepada Dayana. Dayana kembali ke tempat duduknya dan terus menunggu. Azmir sudah selamat dibedah dan sedang direhatkan kerana dia masih belum sedar kerana kesan bius.
“Kak Yana!”
Tiba-tiba Dayana dikejutkan oleh satu suara. Dayana terus menoleh dan terkesima dengan pandangan matanya. Gadis yang memanggilnya tadi terus menerpa dan memeluknya. Mereka berpelukan dan bertangisan tanpa mempedulikan orang di kiri dan kanan.

Tiada ulasan: