Sinar matahari petang itu terang-benderang. Dayana
yang sedang memandu mengecilkan matanya menghalang silau mentari menerjah ke anak
mata. Dia memandu perlahan-lahan di tengah-tengah bandar itu untuk balik ke
rumah. Hari itu pula jalan raya sesak dengan kenderaan. Maklumlah waktu cuti
sekolah akan sampai ke penghujungnya tidak berapa hari lagi. Mungkin ramai
ibubapa yang datang ke bandar untuk membeli-belah peralatan sekolah anak-anak.
Azmir yang duduk disisinya tidak berkata sesuatupun sejak
tadi. Mereka baru pulang dari pusat dialiasis kerana Azmir yang mengalami
masalah pada buah pinggangnya memerlukan rawatan dialiasis. Sudah bertahun
kesihatan Azmir terjejas sejak mereka diijabkabulkan.
‘Pinn...’Spontan ibujari Dayana menekan hon apabila
kereta dihadapannya berhenti dengan tiba-tiba. Bibirnya pun mula mengomel
kerana hilang sabar.
“Hisy,apa ni? Kereta di depan ni tiba-tiba berhenti saja!”Begitulah
bunyi rungutannya.
Kakinya sudah lenguh menekan klac dalam perjalanan yang tersangkut-sangkut itu. Dayana membuang
pandangannya ke arah laluan sebelahnya. Sejenak matanya terpandang kepada
sebuah kereta Wira Sedan berwarna putih. Dada Dayana tiba-tiba berderau. Dari
arah sisi, lelaki itu macam pernah dilihatnya.
Dayana terus memerhatikan lelaki itu dengan ekormatanya. Secara
kebetulan, kereta Wira putih yang dipandu lelaki itu pun sedang bergerak perlahan
di laluannya. Hati Dayana bagaikan tersayat sembilu. Kalaulah lelaki yang
membawa kereta itu Akif. Kenangannya terhadap Akif seolah segar kembali. Bunga-bunga
rindunya yang selama ini tersembunyi seolah membukakan seluruh kelopaknya. Tanpa
disedari airmatanya bergenang.
“Hei,itu...tengok motor tu! Tiba-tiba menyelit!”jerit Azmir.Dia
pun sudah hilang sabar nampaknya.
Mendengar kata-kata suaminya itu ingatan Dayana terhadap
Akif lenyap serta merta. Kereta Wira putih di laluan sebelahnya pun sudah
semakin menjauh, namun masih dapat dilihat dari cermin pandang belakangnya.
Kereta yang dipandu Dayana terus bergerak
tersangkut-sangkut beberapa minit sehingga tiba ke depan pasar raya di bandar
itu, barulah kesesakan reda.
“Alhamdulillah...”kata Dayana bersuara riang sebaik
sahaja pemanduannya mulai lancar kerana kawasan yang sesak dengan kenderaan itu
seolah telah berhujung. Dia kini telah memasuki kawasan bulatan ke susur lorong
yang menghala ke laluan yang akan membawa ke taman perumahan mereka.
“Abang rehatlah dulu, Yana nak mandi dan solat asar.”
Kata-kata itu dilontarkan oleh Dayana kepada suaminya
yang terus duduk di atas sofa di ruang tamu sebaik sahaja mereka masuk ke dalam
rumah. Azmir tidak menjawab. Dia menarik nafasnya perlahan-lahan.
Sesekali terasa
bosan pula. Entah sampai bila harus berkeadaan begitu. Asyik berulang ke pusat dialiasis
dan hospital. Begitulah rutin yang harus dilaluinya semenjak bertahun yang lalu.
Mujur isterinya sanggup menjaga dirinya yang berpenyakit pula. Pengorbanan
Dayana memang amat bernilai. Kesabaran dan ketabahan yang dimiliki isterinya
itu mungkin tidak dipunyai oleh orang lain. Kalau adapun, mungkin boleh
dihitung dengan jari. Wanita zaman ini sukar untuk diperolehi kesetiaan mereka
dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup berumahtangga.
“Abang,pergilah solat! Dah lewat ni!”Suara Dayana
mengejutkan lamunan Azmir. Dayana yang menghampirinya masih bertelekung dan
memegang tasbih di tangan. Azmir perasan mata Dayana merah seolah baru lepas
menangis.
“Yana menangis kenapa? Ingatkan Akif apa? Atau Rindukan
Ikhwan?”soal Azmir. Dia bersuara kasar
sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah muka Dayana.
“Taklah, abang! Kan, Yana baru lepas solat ni.
Bercakap-cakap dan bercerita dengan ALLAH, mestilah perasaan hati tersentuh
jugak,” jawab Dayana dengan suara lembut meningkah kata-kata suaminya itu. Mengenangkan
Azmir yang tidak begitu sihat, dia
terpaksa bersabar menghadapi apa juga kerenah suaminya itu.
“Habis tu Yana tangiskan suamiYana yang dah mati tu? Ikhwan?”Tuduhan
demi tuduhan terlontar dari bibir Azmir.“Nak berdoa untuk dia?”Ungkapannya
semakin menyakitkan hati melontar rasa cemburu.
“Kenapa dengan abang ni? Orang yang dah mati pun abang nak
sebut-sebut.Cemburu tak tentu pasal! Hak Yanalah kalau nak mendoakan untuk
suami Yana yang dah meninggal dunia tu.Abang tak boleh halang,”balas Dayana
lembut sambil menyabarkan hatinya.
“Ini!”kata Azmir sambil menepuk-nepuk dadanya.“Ini! Suami
kamu yang masih terpacak atas muka bumi ini yang sepatutnya kamu berikan
tumpuan! Doakan!”marahnya pula.
“Jangan nak ingat sesiapa lagi! Jangan doakan sesiapa
lagi!”kata-kata Azmir berbau amaran. “Abang sendiri pun tak ingat mana-mana
perempuan lagi! Perempuan yang datang ke rumah ini dulu, memang bekas kekasih
abang. Tapi selepas kita kahwin abang tak ada apa-apa perhubungan dengan dia. Hari
itu, dia yang gatal nak mengikut abang balik ke rumah!
“Jadi, mulai hari ini abang pun tak suka Yana mengingati
sesiapa pun lagi! Tak boleh! Abang tak benarkan! Jangan doakan sesiapa tanpa
mintak izin daripada abang.”
“Astaghfirllahalazim! Kenapa dengan abang ni? Merepek
yang bukan-bukan. Abang dah tahu, kan sewaktu kita bernikah, Yana sudah
menjanda,”ujar Dayana perlahan.
“Ikhwan suami Yana dulu, teman karib abang, kan?”soal
Dayana pula. Manalah tahu kalau suaminya sudah hilang ingatan. Azmir tidak
menjawab.
“Yana doakan semua orang. Apatah lagi untuk abang! Yana tak
pernah lupakan,”beritahu Dayana lembut. Azmir akhirnya terdiam. Kelembutan
Dayana itu akhirnya mengunci bibirnya untuk terus berkata.
Dayana kembali ke bilik untuk menyambung kembali
tanggungjawabnya terhadap ALLAH. Ya ALLAH Ya TUHANku, tabahkanlah hatiku
menghadapi segala rencana yang telah ENGKAU tetapkan untukku. Matanya dipejam
perlahan. Bayangan Akif seolah menjelma.
Getaran suara Ikhwan yang membisik di telinganya
terngiang-ngiang. Pada saat itu hatinya terasa amat ngilu kerana dia berasa
rindu kepada Akif. Sangat rindu. Ingatannya tak pernah melepas kenangannya
terhadap Ikhwan. Rindu dan kenangannya tindih menindih dan sukar disisih. Entah
sampai bila..
Suasana di dalam kedai Akif, sesak. Penuh dengan
pelanggan. Maklumlah, lagi seminggu umat Islam akan meraikan hari kemenangan. Hari
Raya Aidilfitri. Kebanyakan kaum muslim di daerah itu sudah membuat persiapan
untuk meraikan hari yang mulia itu. Walaupun kedainya itu pernah mengalami
musibah kerana kebakaran, namun tidak pernah mematahkan semangatnya untuk
mencari rezeki di rantau orang. Dengan bantuan paklongnya dan modal yang
disuntik oleh bapa mertuanya, kedainya dibangunkan semula. Dia telah menyewa
premis yang lain.
Sebagai pembekal makanan halal yang tunggal di daerah itu,
kedai Akif menjadi tumpuan saudara seagama untuk membeli bahan basah dan
makanan kering. Produk makanan kering yang dijual seratus peratus diimport dari
Malaysia. Kedai Akif membekalkan beraneka jenis kerepek, rempah ratus, makanan
sejuk beku seperti karipap, roti canai, kuih pau, murtabak dan lain-lain lagi. Perniagaannya
semakin maju, tambahan pula setelah dia menyewa sebuah lagi kedai di sebelah
kedai yang sedia ada dan dijadikan restoran.
“Hai,Akif!Tak balik kampung ke tahun ni?”tanya Muaz. Kenalannya
yang secara kebetulan rakyat Malaysia. Muaz bekerja di Pusat Dakwah Islam di
Beijing. Berasal dari Kelantan.
“Insya-ALLAH, malam esok saya akan berangkat,”jawab Akif
sambil tersenyum memandang Muaz. Hatinya tidak sabar untuk kembali ke tanah air.
Mudah-mudahan, hati emaknya sudah terbuka untuk menerimanya kembali. Menerima
Nur Aiman sebagai menantu yang telah ditakdirkan oleh ILAHI.
“Yalah,hujan emas di negeri orang,betul tak? Saya pun dah
tempah tiket kapal terbang,” beritahu Muaz lagi.
Tangannya mencapai beg-beg plastik yang berisi barang-barang
yang dibelinya tadi. Akif melihat jam di lengan kirinya. Lagi 30 minit akan
masuk waktu berbuka puasa.Pelanggan-pelanggan di kedainya masih ramai dan
semakin bertambah.
“Assalamualaikum, Akif.Selamat Berbuka Puasa. Hmm... kita
jumpa waktu solat terawih di masjid nanti,” kata Muaz sambil mengangkat
tangannya dan melambai Akif sebelum meninggalkan kaunter.
Akif hanya sempat senyum. Pelanggan-pelanggan yang sedang
beratur di hadapannya perlu dilayani segera. Walaupun ada dua kaunter bayaran, pelanggan
yang beratur masih belum reda.
Lagi 25 minit waktu berbuka puasa, muncul seorang
pembantunya mengambil alih tempatnya di kaunter. Seorang pemuda berbangsa Cina.
Akif terus beredar setelah meninggalkan sedikit pesanan kepada pemuda itu. Tam
Ah Lek atau Alex itu menjadi orang kepercayaannya.
Lima belas minit perjalanan Akif sudah sampai di rumahnya.
Nur Aiman sudah sedia menunggunya di muka pintu.
“Cepatlah! Dah masuk waktu berbuka ni,” kata Nur Aiman
sambil menarik tangan Akif.
Akif berjalan cepat-cepat mengekori isterinya masuk ke
dalam rumah terus ke dapur. Nur Aiman menarikkan kerusi di meja makan untuk
Akif. Setelah itu dia segera menuangkan air barli suam ke dalam gelas dan
menghulurkannya kepada Akif.
“Aiman duduklah,”suruh Akif kepada Nur Aiman.
Nur Aiman segera duduk apabila melihat Akif sudah
mengangkat tangan untuk berdoa. Doa berbuka puasa. Akif mencapai sebiji kurma
lalu membahaginya kepada dua bahagian. Sebahagian dimasukkan ke dalam mulutnya
dan sebahagian lagi disuapkan ke mulut Nur Aiman.
Nur Aiman sempat memegang tangan Akif yang menyuapkan
buah kurma ke dalam mulutnya. Selepas buah kurma yang dikunyah ditelan, Nur
Aiman melemparkan senyuman yang meleret kepada Akif. Anugerah dari TUHAN. Syukur,
Akif seorang suami yang sangat sempurna di hatinya. Setiap hari, cintanya
kepada Akif bertambah dalam. Nur Aiman memegang tangan Akif yang sedang
mencapai gelas minuman.
“Tunggu dulu, abang! Minuman, biar Aiman yang suapkan,” kata
Nur Aiman sambil bangun dan merapati Akif.
“Aiman minumlah dulu,”balas Akif sambil menoleh dan
mendongak, merenung ke wajah isterinya.
Nur Aiman ketawa kecil. Dia faham dengan permintaan
suaminya itu. Sudah berulangkali Akif bercerita kepadanya tentang kisah Rasulullah
yang suka minum pada bekas bibir isteri yang sangat dicintainya, Siti Aishah. Benarkah
Akif mencintainya begitu?
Sehingga hari itu, Akif tidak pernah mengungkapkan
kata-kata cinta dipendengarannya. Namun, melayaninya dengan baik sekali. Tambahan
pula selepas mereka kehilangan Haiqal. Memang benarlah janji ALLAH. Di sebalik
kesukaran akan datang kemudahan. Setiap dugaan pahit ada hikmah yang amat
berharga di sebaliknya.
Selepas kematian Haiqal, layanan Akif terhadapnya
bertambah baik dari sebelumnya. Mulai malam itulah Akif mula tidur bersama
dengannya. Dia tidur berbantalkan lengan Akif. Akif yang sering memujuknya
kerana menangis tidak berhenti mengenangkan Muhamad Haiqal.
“Alhamdulillah,” kata Akif sebaik saja selesai menghirup
air barli suam setengah gelas.
“Jom kita pergi solat maghrib! Selepas solat terawih, baru
makan nasi. Nanti perut abang senak,” beritahu Akif sambil menggosok-gosok
perut dan mengerutkan keningnya. Nur Aiman mengekori Akif menuju ke bilik air
untuk berwuduk. Dia membiarkan Akif menyelesaikan wuduknya terlebih dahulu.
“Abang, tadi papa ada telefon. Dia tanya, jadi tak kita
balik untuk sambut Hari Raya Puasa bersama dengannya,” beritahu Nur Aiman
dengan suara perlahan sebaik sahaja keluar dari bilik air. Mereka berjalan
beriringan menuju ke ruang solat.
“Insya-ALLAH,Aiman tak beritahu papa yang abang dah
tempah tiket kapal terbang?”soal Akif pula.
“Dah, Aiman dah bagitahu,”jawab Nur Aiman sambil
menyarungkan telekung ke tubuhnya.
“Harap-harap hati mak abang dah sejuk dan terima Aiman
sebagai menantunya,” kata Nur Aiman. Tiba-tiba dia mengalih tajuk perbualan.
“Insya-ALLAH, kita doakan sama-sama,” kata Akif
pula sambil ketawa kecil, cuba menyembunyikan kesedihan dan rasa terkilan.
Entah apa yang merasuk fikiran emaknya, sehingga saat itu
enggan menerima Nur Aiman sebagai menantu. Dia tetap mengungkit tentang
kekecewaan yang terpaksa ditanggung oleh Dayana gara-gara tindakan drastiknya
itu. Sudah tiga tahun, sejak kepulangannya dulu hati emaknya masih belum dapat
dipujuk.
“Yalah, bang. Aiman tak pernah berhenti berdoa,” bisik
Nur Aiman dengan linangan airmata. Hati wanita mana yang tidak berasa kecewa
jika tidak diterima sebagai menantu oleh ibu mertua.
“Jangan bersedih,Aiman. Abang kenal sangat dengan mak tu.Sudah
masak dengan perasaan marahnya,” sambung Akif lagi.
“Tapi... Aiman tetap rasa bersalah. Disebabkan Aiman
abang terpaksa menghadapi bermacam masalah,” kata Nur Aiman lagi. Dia
membetulkan anak-anak rambut yang berjuntaian di dahi sambil diperhatikan oleh
Akif.
“Abang, nanti kalau ada kesempatan kita pergi rumah
makcik yang hadiahkan Aiman kitab tafsiral-Quran tu, ya,”cadang Nur Aiman.
Akif hanya mengangguk. Hatinya berasa sayu. Sehingga hari
itu, dia merahsiakan daripada Nur Aiman perhubungan yang tercipta antara dia
dengan pemilik kitab tafsrian itu. Dayana binti Mohd Yusof.
“Dulu, Aiman tak jadi belajar agama dengannya. Papa tak
izinkan. Kata papa, nanti mengganggu makcik tu.Papa kata lebih baik belajar di
PERKIM. Lepas tu Aiman sibuk melayan Haiqal yang tak berapa sihat,” cerita Nur
Aiman dengan suara terketar. Akif berasa lega mendengar cerita itu. Bermakna
Mak Bedah masih belum tahu tentang dirinya.
“Tak pasti sama ada makcik tu masih mengenali Aiman ataupun
tidak. Maklumlah, peristiwa tu dah lama berlalu, kan abang? Hmm... dalam dua
atau tiga tahun kalau tak silap Aiman.”
“Aiman, jomlah kita solat. Waktu Maghrib ni singkat
sangat,”kata Akif apabila melihat isterinya itu masih membetul-betulkan
telekung yang dipakainya.
“Dah, bang.Jomlah kita solat,” kata Nur Aiman sambil
tersenyum. Dia sudah bersedia di sejadahnya.
Akif merenung sekilas ke wajah isterinya itu yang nampak
tenang kembali. Setelah itu dia terus menghadap ke arah kiblat. Tumpuannya kini
hanya kepada ALLAH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan