Isnin, 9 Mei 2016

Cinta Tak Pernah Usai- Bab 52



PAK Shukri telah menjemput jemaah surau untuk menghadiri majlis kenduri doa selamat yang akan diadakan pada malam Jumaat nanti. Hatinya gembira bukan kepalang. Maklumlah, anak sulung yang sudah lama menghilang dan disangka telah mati akan pulang.
Baru semalam mereka dapat menghubungi Akif setelah Ali menjumpai kembali nombor telefon yang disangkanya termasuk ke dalam mesin basuh. Rupa-rupanya isteri Ali menyembunyikan nombor telefon itu. Sangkanya Ali mempunyai hubungan dengan gadis lain.
Hatinya melonjak gembira apabila menghubungi nombor telefon yang diberi Ali. Rupa-rupanya Akif memang sudah balik ke negara ini. Pak Syukri bersyukur apabila mendengar suara anak sulungnya itu. Cuma hatinya berasa terkilan. Akif pulang, tetapi tunangannya telah berkahwin dengan lelaki lain. Pasti Akif akan kecewa. Pasti Akif akan hampa. Pasti Akif akan terluka.
Namun begitu, Dayana tidak boleh dipersalahkan. Dia juga sebenarnya masih berkeras untuk menunggu kepulangan Akif dan menunaikan janji mereka. Tetapi emak dan ayahnya terlalu mendesak. Akhirnya, Dayana terpaksa menurut desakan emak dan ayahnya dan bernikah dengan lelaki pilihan mereka.
Rumah di kampung yang telah lama ditinggalkan, sudah diupah orang untuk membersihkannya. Semak-semak di keliling rumah telah diupah orang untuk menebasnya.
Mata Pak Shukri terlontar di hujung jalan masuk ke halaman rumahnya. Sebuah pacuan empat roda bergerak perlahan. Dalam remang cahaya senja wajah pemandu kenderaan itu dapat dicamnya juga.
‘Akif... ’bisik hati Pak Shukri. Dada Pak Shukri semakin berdebar apabila melihat seorang wanita muda berkulit cerah duduk di sebelah Akif yang sedang memandu.
Pak Shukri terus menerpa ke arah pacuan empat roda itu sebaik sahaja ia berhenti di bawah pokok rambutan. Akif keluar dari kereta dan terus menerkam dan memeluk ayahnya.
“Ayah! Ampunkan Akif, ayah!”Tangisan Akif tidak dapat ditahan lagi.
Bibir Pak Shukri tidak terungkap kata-kata lantaran menahan sebak di dada. Matanya sempat menjeling wanita muda yang sudah keluar dari kereta. Wanita muda itu berblaus kuning dan berseluar panjang putih serta bertudung putih. Wajahnya cantik. Namun Dayana jauh lebih cantik.
Mak Esah yang berada di dapur menjengukkan kepalanya keluar rumah dan bola matanya terus terlontar di bawah pokok rambutan.
“Ya ALLAH, anak aku dah balikk! Akif!”jerit Mak Esah sambil berlari menuju kepada Akif dan Pak Shukri yang masih berpelukan. Akif melepaskan pelukan dari ayahnya dan terus menerkam Mak Esah.
“Mak,ampunkan Akif, mak!”raung Akif terus melutut dan mencium lutut emaknya. Lama dua beranak itu bertangisan. Akhirnya Pak Shukri dan Mak Esah terus menarik Akif supaya berdiri kembali. Mak Esah terus memeluk Akif sambil menangis kuat. Pipi Akif diciumnya bertalu.
“Mengapa Akif buat mak begini? Kenapa tak telefon? Tak tulis surat? Kenapa?”soal Mak Esah di dalam raungan pilunya.


Akif tidak mampu untuk menjawab persoalan emaknya itu. Demi ALLAH, dia sudah cuba berkali-kali untuk menghubungi keluarganya dan Dayana, namun tidak pernah berjaya. Bagaikan ada yang menghalang hatinya. Lagipun dia tidak ada kekuatan untuk menghadapi mereka dan menjelaskan kebenaran.
“Semua orang kata Akif dah mati!”raung Mak Esah lagi lalu menangis meleret-leret sambil mengusap-ngusap kepala anak sulungnya itu.
“Mak, Akif ada lagi mak! Akif tak mati!”adu Akif pula dalam tangisan. Tubuh emak yang dirindui terus dipeluk seolah tidak mahu dilepaskan.
Nur Aiman yang masih berdiri berhampiran kereta seakan menyaksikan sebuah drama sedih. Pertemuan antara seorang anak dengan emak dan ayah setelah berpisah agak lama. Dia berasa sedih dan bersalah. Juga menyesal. Tanpa disedari,pipinya dibanjiri airmata. Nur Aiman tidak dapat menahan kesedihannya di saat itu. Beberapa minit Nur Aiman tidak dihiraukan oleh sesiapa di situ. Akif, emak dan ayahnya sibuk bercerita itu dan ini. Dirinya seolah-olah dilupakan. Dia rasa ingin menangis kuat-kuat.
“Aiman!”panggil Akif dengan suara serak.
Nur Aiman menghampiri Akif dan berdiri di sebelah kanan suaminya itu. Mata emak Akif  yang basah dengan airmata merenungnya tajam. Ayah Akif juga merenung kepadanya tetapi dengan bibir yang tersenyum.
“Salam dengan mak abang,” suruh Akif perlahan.
Nur Aiman menghulurkan tangannya kepada emak Akif, takut-takut. Mujurlah Mak Esah menyambut salam itu. Jika tidak, hati Nur Aiman bertambah resah. Nur Aiman mencium tangan emak mertuanya. Setelah itu dia bersalam dan mencium tangan ayah mertuanya pula. Debaran di dada Nur Aiman semakin memuncak.
“Siapa perempuan ni, Akif?”tanya Mak Esah sambil merenung Nur Aiman. Wajah perempuan muda dihadapannya itu sukar untuk dikenali bangsanya. Melayu bukan. Wajahnya mirip Cina tetapi tidak pula bermata sepet atau pesek hidungnya. Wajah wanita muda di hadapannya kini macam wanita yang selalu muncul di iklan-iklan di televisyen.
Mak Esah merenung wanita muda di sisi anak lelakinya itu lama. Fikirannya dihujam berbagai pertanyaan. Meneka perhubungan antara Akif dan wanita itu menyebabkan hati Mak Esah diintip rasa takut. Bayangan Dayana menari-nari di matanya.
“Siapa dia, Akif?”soal Mak Esah lagi seolah berbisik. Suaranya bergetar. Detakan jantungnya semakin laju.
“Nur Aiman,”beritahu Akif dengan suara yang terketar. Tangan Nur Aiman digenggamnya kuat. Renungan tajam emaknya bagai meracik hatinya. Namun, dia mesti berkata benar.
Nur Aiman... di...dia me...menantu, mak!”jawab Akif tergagap-gagap.
Tubuhnya rasa gementar. Tambahan pula apabila melihat emaknya sudah mengusap-ngusap dada. Terbuntang mata Mak Esah mendengar kenyataan itu.
“Dia perempuan Cina kan?”teka Mak Esah.
Akif mengangguk.
“Mak! Makkk!”jerit Akif sambil menyambar tubuh emaknya yang tiba-tiba rebah. Akif yang tidak sempat menyambut tubuh emaknya turut terguling kerana menghalang tubuh emaknya dari terhempas di atas tanah. Nur Aiman terjelepok di atas tanah berhampiran Akif dan Mak Esah. Tangisan pilunya jatuh bersama hujan yang menitis bumi pada senja itu.

Musibah yang datang selalunya bertimpa-timpa. Demikianlah TUHAN menguji hamba-Nya. Sudahlah kematian anaknya. Ibunya pula enggan menerima Nur Aiman sebagai menantu. Kini tiba lagi perkhabaran yang meremukkan hati Akif. Gagang telefon yang dipegang hampir terlucut dari genggamannya.
“Apa? Kedai terbakar?”soal Akif dengan nada terkejut. Dia terus mendengar dengan berhati-hati cerita daripada Wong Pek Chau.
“Kedai terbakar?”soal Nur Aiman sambil menatap wajah Akif yang sugul. Akif mengangguk.
“Akif...”kata Nur Aiman sambil memberanikan dirinya untuk memeluk tubuh lelaki itu. Dia tahu suaminya itu sedang kecewa. Akif yang bercita-cita besar.
“Tak apa. Abang boleh hadapi segalanya. Semua ini dugaan daripada TUHAN,” jawab Akif sambil membalas pelukan Nur Aiman dan menggosok-gosok bahu isterinya itu.
“Papa!”laung Nur Aiman kepada ayahnya yang duduk tidak berapa jauh dari situ. Dia meminta sesuatu daripada bapanya menggunakan bahasa Mandarin. Wong Pek Chak menghampiri anak menantunya.
“Hah,Akif, ada orang bakar kedai lu? Lu pergi balik sana. Tengok apa sudah jadi. Berapa banyak yang kena ganti. Papa bagi lu wang,”tawar Wong Pek Chak.
“Siapa yang bakar kedai lu?”tanya Wong Pek Chak pula. Akif menggeleng.
“Lu tak ada musuh, kan?”teka bapa mertuanya lagi. Mustahil menantunya yang baik budi pekerti itu mempunyai musuh,bisik hatinya pula.
“Saya tak tahu, papa. Mungkin ada orang iri hati. Sebab saya orang luar yang berniaga di situ,”tebak Akif pula. Perniagaannya yang maju mungkin menjadi penyebab kemarahan orang.
“Lu pergi bawa Aiman balik sana.Nanti papa kasi duit.Cari kedai yang lebih besar lagi,”ujar Wong Pek Chak. Berapa banyak duit yang diperlukan oleh Akif, dia sanggup laburkan.
“Papa... tak apa. Saya...”Akif berasa serba salah untuk menerima bantuan bapa mertuanya.
“Haiyaaa, Akif apa pasal lu susah sangat nak terima bantuan papa? Lu tak boleh terima Aiman jugak ke? Atau tak boleh terima papa sebagai bapak mertua lu?”soal Wong Pek Chak spontan.
Akif terkedu. Nur Aiman juga terkedu. Dia ingin mengikut Akif kembali ke Beijing tetapi dia bimbang Steven akan terus mengganggunya.
“Terima kasih, papa. Minggu depan baru saya balik. Saya bawa Aiman,” beritahu Akif dengan tenang.
“Aiman, sebelum balik ke sana kita pergi jumpa dengan mak abang sekali lagi,”kata Akif sambil merenung ke wajah isterinya.
Nur Aiman mengangguk. Walau apa yang terjadi, dia mesti berada di samping suaminya itu. Mahu atau tidak, emak dan bapa Akif adalah mertuanya juga.


GAGANG telefon di tangannya terlepas dan terhempas ke lantai. Berita yang baru singgah di pendengarannya amat mengejutkan. Chan Sze Hong terus meraung. Impian di hatinya terlerai. Harapannya untuk bermenantukan Steven mekar semula apabila Haiqal Firdaus meninggal dunia. Walaupun Wong Szeze telah menceritakan kelakuan buruk dan kejahatan Steven kepadanya, dia tidak mempercayai cerita itu. Dia tetap ingin menjodohkan Steven dengan anak tunggalnya itu.

Cadangnya ingin mendesak Akif supaya menceraikan Wong Szeze dan anak tunggalnya itu kembali ke agama nenek moyang. Tambahan pula dia dapat menghidu yang emak Akif enggan menerima Wong Szeze sebagai menantunya. Dia sudah menghalang Wong Szeze mengikut Akif balik ke Beijing. Dia juga sudah memarahi suaminya yang sanggup membantu Akif untuk meneruskan perniagaannya walaupun kedainya sudah dibakar. Bukan sedikit wang yang ingin dikorbankan oleh suaminya itu kepada Akif.
Disebabkan dia marah-marah, Nur Aiman pula merajuk. Berkurung di dalam biliknya. Tidak mahu makan. Tidak mahu minum. Apatah lagi untuk berbual-bual.
“Szeze...  Szeze!”laung Chan Sze Hong dalam tangisan.
Haiya! Kenapa lu teriak? Szeze sedang sedih. Lu jangan ganggu dia!”marah Wong Pek Chak.
Matanya merenung tajam. Hatinya juga dikepung kedukaan. Namun, sebagai manusia tiada upayanya untuk menahan nyawa sesiapapun. Minggu lepas cucunya baru meninggal dunia. Haiqal masih terlalu kecil. Belum puas melihat dunia. Belum puas disayangi papa, mama dan atuk serta neneknya. Apabila roh telah dipisah dari jasadnya, tubuh kecil itu hanya seumpama selonggokan daging sahaja, dan mesti disemadikan. Tidak ada tabib atau doktor yang dapat menghalang perpisahan roh dan jasadnya. Tidak ada. Kini dia menerima berita kematian lagi sekali.
Baru sahaja Wong Pek Chau menghubungi mereka. Wong Pek Chau memberitahu perkhabaran yang mengejutkan.
Szeze!”laung Chan Sze Hong dengan suara yang kuat.
“Hei, Ah Hong! Jangan teriak lagi! Biar aku pergi tengok dia! Dan beritahu berita ini kepada dia,” Lirih suara Wong Pek Chak seolah memujuk isterinya itu. Wong Pek Chak beredar dari situ dan perlahan menaiki tangga ke tingkat dua.
Sampai di muka pintu bilik anaknya yang sedia renggang, Wong Pek Chak mengintai. Dia melihat Akif sedang sujud. Nur Aiman yang berada di belakang Akif juga sedang sujud. Lama Wong Pek Chak berdiri di hadapan pintu sambil melihat perlakuan anak menantunya yang sedang sembahyang. Dia bimbang untuk memanggil mereka kalau-kalau menjadi satu kesalahan. Dia pelik melihat Akif menghulurkan tangannya kepada Nur Aiman dan tangan itu disambut anaknya lantas dikucup. Setelah itu dia melihat Akif mencium dahi Nur Aiman. Bibir Wong Pek Chak mengukir senyuman bahagia. Hatinya berasa tenang.
Dia sangat pasti Akif akan membahagiakan anaknya. Dia juga berasa selesa dengan menantunya itu. Kadangkala dia ada juga membaca tentang nabi orang Islam. Nabi Muhammad SAW. Tulisan dari orang Cina Muslim yang telah menjadi pendakwah. Muhamad itu seorang yang lemah lembut. Menghormati orang lain. Kepada yang tua atau yang muda. Menyayangi kanak-kanak. ‘Mungkin Akif mencontohi perangai atau kelakuan nabinya,’fikir Wong Pek Chak tanpa ragu-ragu.
“Pa...masuklah papa.”Nur Aiman meluaskan bukaan daun pintu. Tersentak Wong Pek Chak yang sedang ralit berfikir.
“Masuklah papa,”pelawa Akif pula. Wong Pek Chak merenung ke wajah menantunya yang bersih dan tenang.
“Tadi kami solat berjemaah,”terang Akif lembut.
“Solat jemaah?”soal Wong Pek Chak. Solat Jemaah atau Jumaat? Wong Pek Chak kebingungan.
“Bukan solat jemaah tu buat di masjid pada hari Jumaat?”tanyanya ragu-ragu.

Akif senyum. “Untuk pengetahuan papa, sembahyang jemaah tu boleh dibuat di mana-mana. Asalkan ada imam dan makmunnya,”terangnya ringkas. Raut wajah bapa mertuanya semakin menunjukkan tandatanya.
“Papa...nanti kalau ada masa saya terangkan kepada papa,”kata Akif lembut.
“Baik! Baik...”setuju Wong Pek Chak. Perkara penting yang hendak disampaikannya kepada Nur Aiman harus dilaksanakan terlebih dahulu.
“Szeze,papa nak beritahu lu,”kata-kata Wong Pek Chak terhenti seketika. Dia memikir cara untuk menyampaikan berita sedih itu kepada Nur Aiman.
“Nak beritahu apa, papa?”soal Nur Aiman kerana agak lama papanya mendiamkan diri di muka pintu. “Sepupu lu, sudah mati. Baru saja paklong lu telefon, beritahu,”jelas Wong Pek Chak.
“Steven mati, pa?”soal Nur Aiman dengan suara kuat. Baru sebentar tadi dia berdoa kepada ALLAH agar menghindarkan dirinya daripada kejahatan perlakuan sepupunya itu. Dia ingin membina hidup baru bersama Akif dan akan melambakkan seluruh cintanya kepada lelaki itu.
“Ya! Dia terlibat dengan pergaduhan di kelab malam. Dia kena tembak!”beritahu Wong Pek Chak. Walau terasa sedih dengan berita itu, dada Nur Aiman menguak lapang.

Tiada ulasan: