Akif kelihatan sibuk di kedai yang sedang diusahakannya. Syukurlah,Akif Halal Product memberi
sumbangan yang besar kepada penduduk tempatan yang beragama Islam. Akif
tidak menduga kedainya itu menjadi tumpuan bukan sahaja warga Cina yang
beragama Islam, bahkan yang bukan muslim turut mengunjungi kedainya itu.
Akif tidak pasti berapa lama lagi dia akan berada di bumi
itu. Hidupnya sunyi. Rasa sepiselalu merobek hati. Dia rasa terasing. Namun,
sekali berkayuh ke tengah laut mustahil pulang ke tepi pantai. Pulau impian tetap
ingin dijejak walau perahu pecah dihempas badai. Alang-alang menggenggam bara
api biar menjadi abu.
Dulu, dia bekerja dengan bapa saudara Nur Aiman. Lelaki
Cina itu sebenarnya tidak lokek dengan ilmu kepadanya. Mungkin benar-benar
ikhlas menganggap dirinya sebagai menantu saudara walaupun mereka berbeza
bangsa dan agama.
Wong Pek Chau banyak membantunya, untuk mendapatkan tapak
kedai dan lain-lain urusan dokumentasi dengan kerajaan negara itu. Sungguhpun
begitu, tanpa sumbangan dan sokongan yang diberikan oleh Kementerian
Perdagangan Antarabangsa Malaysia, tidak mungkin dia dapat berada disitu dan
meneruskan usaha dan cita-cita niaganya di rantau orang.
Telah termaktub di dalam ketetapan ALLAH dia akan
memperolehi rezekinya di negara ini. Pertemuannya dengan Nur Aiman pada
senja itu hanyalah menjadi sebab musababnya sahaja. Akif akur dengan kekuasaan ALLAH.
Fikirannya terus melayang terkenangkan perbualannya dengan Nur Aiman di hari
pertama mereka memijak bumi Beijing. Pada waktu itu Nur Aiman kebingungan dan
tidak dapat menerima kenyataan yang mereka telah menjadi suami isteri.
“Awak...perjalanan hidup manusia ALLAH yang
tentukan. Takdir TUHAN telah menentukan saya akan jadi suami awak! Takdir TUHAN
juga telah menetapkan yang kita berdua akan tinggal di sini untuk mencari
rezeki seperti yang telah ditetapkan oleh DIA.”
Itulah jawapan yang diberikan kepada Nur Aiman
yang terus menyalahkan dirinya. Pada waktu itu mereka baru tiba di bumi Beijing.
Sedang mencari restoran halal untuk memenuhi tuntutan perut.
“Walaupun kadangkala manusia memikirkan
perkara itu tiada kelogikannya, tetapi kuasa ALLAH yang Maha Agung akan
memungkinkan semua perkara yang berlaku mengikut kehendak-NYA,”sambungnya lagi
dengan penuh hikmah.
“Kita akan tinggal di sini selama mana
yang telah ditentukan oleh ALLAH,” katanya lagi. Dia pun tidak menduga yang
dirinya akan terlontar ke bumi itu. Sewaktu di zaman persekolahan, dia selalu
membaca tentang sejarah negara China ini. Bahkan Nabi Muhamad SAW pernah juga
bersabda untuk memberi dorongan kepada umatnya yang ingin menuntut ilmu ‘Tuntutlah
ilmu walaupun sehingga ke negeri Cina’ .
“Akif,telefon! Malaysia! Malaysia!”laungan seorang
pembantunya yang berbangsa Cina mengejutkan lamunan Akif. Dia berkejar
menyambut gagang telefon dengan dada yang berdebar-debar.
‘Mak! Mak! Harap-harap mak yang telefon,’bisik hatinya. Dia
telah meninggalkan semua nombor telefon yang dia ada untuk keluarga di Malaysia
menghubunginya.
“Helo! Assalamualaikum, Akif,”kata suara itu.
‘Nur Aiman,’bisik hati Akif.
“Ya,waalaikumussalam. Helo, Aiman. Aiman apa khabar?”soal
Akif lembut.
Perasaannya cemas apabila mendengar Nur Aiman teresak. Memenuhi
permintaan isterinya itu, dia mengizinkan Nur Aiman dan Haiqal tinggal di
Malaysia.
“Akif,Haiqal sakit. Dah seminggu dia masuk wad,”adu Nur
Aiman dalam tangisan. Mula-mula Haiqal demam panas. Pada mulanya dia meneka
yang Haiqal berasa rindu kepada Akif.
“Haiqal masuk wad? Doktor beritahu apa?”soal Akif yang
terkejut.
Nur Aiman terdiam. Dia bimbang kata-kata yang
dilafazkannya akan merisaukan Akif dan memaksanya pulang. Pada pendapatnya, kalau
Akif ingin pulang biarlah dengan kerelaan hatinya sendiri. Kepulangannya kerana
kasih sayang dan rasa tanggungjawabnya kepada Haiqal.
“Aimann...”seru Akif apabila tidak kedengaran suara
isterinya itu. Nur Aiman tidak menjawab pertanyaan Akif sebaliknya dia terus
menangis.
“Aiman... Aiman sabar ya! Mintak doa kepada ALLAH
banyak-banyak. TUHAN akan sembuhkan anak kita, insya-ALLAH,” pujuk Akif. Esakan
Nur Aiman masih lagi lebat.
“Akif...”rintih Nur Aiman.
Dia tidak dapat mengungkapkan kata-kata seterusnya. Esakannya
semakin kuat. Situasi Haiqal merungsingkan hatinya. Namun, dia takut untuk
mendesak Akif supaya pulang. Manalah tahu jika Akif rasa terganggu dengan
luahan perasaannya. Dia dan Haiqal, bukan siapa-siapa pun di hati lelaki itu. Entah-entah
tidak ada sekelumit pun perasaan sayang. Namun, Akif terus mendesaknya supaya
menjelaskan segalanya tentang anak mereka.
“Haiqal ada masalah paru-paru,”terang Nur Aiman dalam
esakan. Saat itu perasaan bimbangnya terhadap kesihatan anaknya itu berada di
kemuncaknya.
“Masalah paru-paru?”soal Akif dengan nada terkejut. Jika
ada sayap, dia ingin terbang ke tanah air saat itu juga.
“Aiman,sabar ya! Jangan menangis. Nanti abang balik. Lepas ni
abang tempah tiket kapal terbang dan akan balik dengan segera,” janji Akif
terus memujuk. Rasa simpatinya yang menggunung kepada wanita itu menyebabkan
lidahnya tiba-tiba ingin membahasakan dirinya sebagai ‘abang’ kepada isterinya
itu.
“Aiman tak paksa Akif balik. Aiman cuma nak
beritahu Akif, yang Haiqal sakit,”rengek Nur Aiman. Akif terdiam seketika.
“Assalamualaikum, bye!”
Itu kata-kata terakhir yang terlontar
dari bibir Nur Aiman. Talian telefon pun terputus. Akif menghela nafas
dalam-dalam dan melepaskannya perlahan. Dia terkenangkan perbualannya dengan
Nur Aiman sewaktu kepulangannya ke negara baru-baru ini. Dalam perbualannya
itu, Nur Aiman asyik membangkitkan tentang perasaannya. Isterinya yang berjauh
hati dan berasa tidak dicintai.
‘Mengapa tidak ada rasa cinta kepada Nur
Aiman walau sekelumit? Zalimkah aku?’soal hati Akif.
‘Dayana sudahpun berumahtangga. Mungkin
dia telah menikmati kebahagiaan dalam rumahtangga yang dibinanya,’bisik hatinya
pula.‘Sedang aku menzalimi diriku sendiri dan isteri yang telah diamanahkan
oleh ALLAH kepadaku,’Akif terus bermonolog sendiri.
‘Yana, cinta kita tetap abadi di dalam
lipatan hati Akif. Dia tidak pernah menjadi sejarah pahit, tetapi kenangan yang
sangat indah. Namun, apalah daya kita Yana, kita hanya merancang. TUHAN yang
menentukan segalanya.’Bisikan hati Akif disulami getaran rindu yang teramat.
Wong PEK CHAK dan Chan Sze Hong berjalan mundar-mandir di luar wad. Hati
kedua-duanya dibelit rasa resah dan gelisah. Rasa bimbang yang bersarang
semakin membesar. Muhammad Haiqal Firdaus, cucu tunggal yang ada, masih tidak
berubah kondisinya. Nur Aiman sudah menangis sehingga bengkak-bengkak pelupuk
matanya. Kata doktor, Haiqal mengalami masalah kembang paru-paru dan jangkitan
kuman pada paru-parunya itu. Penyakit ini memang selalu dihidapi oleh
kanak-kanak sebayanya. Tetapi sakit paru-paru Haiqal berada di tahap serius.
“Lu sudah beritahu Akif?”soal isterinya secara tiba-tiba.
Wong Pek Chak tiba-tiba tersentak. Dia menoleh kepada
isterinya.
“Kata Szeze dia sudah beritahu Akif, tiga hari lepas!”jawab
Wong Pek Chak.
“Kalau Haiqal mati macam mana?”soal isterinya. Matanya
merenung ke wajah Wong Pek Chak tepat-tepat.
“Mana boleh mati. Cucu aku mana boleh mati? Harta-harta
nanti hendak kasi siapa?”soal pula Wong Pek Chak.
Wong Szeze satu-satunya anak mereka. Muhamad Haiqal
Firdaus satu-satunya cucu yang ada. Walaupun dia anak tidak sah taraf, Haiqal
tetap cucunya. Alangkan Akif pun boleh menerima anak itu dengan ikhlas. Mengapa
dia tidak mahu menerima? Tambahan pula sehingga hari itu tiada tanda-tanda yang
Wong Szeze akan mengandung lagi.
“Tapi itu bukan keturunan lu! Keturunan Melayu. Kalau dia
mati pun wa ingat lebih bagus. Jika tidak Szeze akan teringatkan cerita lama
sampai bila-bila,”kata Chan Sze Hong pula.
“Kalau Akif tak balik, kalau Haiqal mati, kita urus cara kita,”
cadang Chan Sze Hong lagi.
“Kenapa lu fikir bukan-bukan! Lu ingat kalau Haiqal mati,
Nur Aiman boleh jadi bahagia? Silap-silap hari bulan dia boleh jadi gila!” leter
Wong Pek Chak.
“Sepatutnya lu doa kepada TUHAN nenek moyang lu, biar
cucu lu sihat. Bukan mintak dia mati!”bidas Wong Pek Chak dengan nada perlahan.
Matanya menjeling isteri yang di sisinya.
“Tengoklah! Sampai sekarang Akif belum balik!”rungut Chan
Sze Hong lagi. Sukar hatinya untuk mempercayai yang menantunya akan pulang
melihat Haiqal yang sedang sakit.
“Lu ingat jarak Beijing dan Malaysia dekat? Macam lu
pergi jamban kat rumah? Ada otak Tuhan bagi, kasi guna sikitlah,” marah Wong
Pek Chak. Dia percaya menantunya itu akan balik. Matanya tiba-tiba terlontar ke
lorong masuk ke wad kanak-kanak itu. Bibir lelaki Cina itu mengukir senyuman. ‘Akif
dah balik,’bisik hatinya gembira.
“Papa...”sapa Akif sambil menyalami dan mencium tangan
bapa mertuanya. Tangan emak mertuanya pun disalam dan dicium juga.
Wong Pek Chak merenung Akif dengan satu perasaan aneh. Setiap
kali menantunya itu bersalam dan mencium tangannya dia berasa sesuatu perasaan
yang berkembang biak di dalam hatinya. Perasaan bahagia dan berasa amat
berharga.
“Nur Aiman mana, pa?”soal Akif sambil matanya meliar ke
sana dan ke sini.
“Dia dalam wad! Pergilah masuk tengok. Haiqal, keadaannya
tak berubah,” beritahu Wong Pek Chak. Akif melangkah laju menuju ke dalam wad. Dari
jauh lagi dia telah melihat Nur Aiman datang menghampirinya. Nur Aiman berwajah
sugul.
“Insya-ALLAH, Haiqal tak apa-apa tu,”kata Akif lalu
mencapai tangan Nur Aiman dan menggenggamnya. Matanya merenung wajah Nur Aiman.
Akif sempat membetulkan anak-anak rambut Nur Aiman yang terjurai keluar dari
tepi tudungnya.
“Harap-harap. Tapi...”jawab Nur Aiman terus tersedu. Paru-paru
Haiqal sudah dijangkiti kuman. Itulah yang diberitahu oleh doktor tengah hari
tadi.
“Tu nurse
panggil...”kata Akif memberitahu apabila melihat seorang jururawat
melambai-lambai ke arah mereka dengan keadaan cemas.
Nur Aiman berlari-lari anak menuju ke katil yang
menempatkan Haiqal. Dua orang doktor berjalan tergesa-gesa menuju ke katil yang
sama. Akif turut mengekori dengan perasaan panik.Akif terus menyelak tabir yang
menyelubungi katil yang menempatkan Haiqal walau dihalangi doktor. Dia terus
duduk di birai katil dan mengangkat Haiqal ke atas pangkuan dan terus
mendakapnya.
“Haiqal...”bisik Akif sambil mencium pipi Haiqal. Dia
amat rindu kepada anak itu. Meskipun Haiqal bukan anak dari benihnya, namun dia
sangat menyayanginya.
“Encik! Anak encik dah...”beritahu doktor dengan nada
perlahan.
“Dah apa doktor?” soal Akif dengan suara yang terketar. Dia
terus mendakap tubuh Haiqal yang kaku. Tidak ada hembusan nafas yang keluar
dari hidung anak itu tatkala Akif merapatkan jarinya ke hidung Haiqal. Nur
Aiman yang sudah berada di sisinya memegang-megang tubuh Haiqal yang masih
panas, merengek-rengek memanggil nama anaknya.
“Haiqal, papa balik sayang! Bukakan mata! Tengok ni, papa
datang, Haiqal...”Begitulah kata Nur Aiman sambil mengelus lengan Haiqal.
“Doktor...”kata Akif sambil memandang ke wajah doktor dan
jururawat silih berganti. Perasaan cemas berada dikemuncaknya. Jantungnya berdetak kencang.
Nafasnya memburu. Dia takut untuk mendengar kata-kata yang akan keluar daripada
bibir doktor yang merawat anaknya.
“Haiqal sudah meninggal dunia, encik! Tiga minit yang
lalu,” jelas doktor dengan suara sedih. Berita yang didengar itu amat menikam. Seluruh
alam maya seolah telah gelap dan gelita. Nafas Akif seolah tertahan.
“Haiqal!!”jerit Nur Aiman lalu tubuhnya terkulai dan
rebah ke atas lantai di tepi kaki Akif.
LONG berharga 50,000 sudah pun tiba dari tengah hari tadi. Gambar
Muhammad Haiqal Firdaus telah dibingkaikan sebesar saiz yang ada di kedai
gambar. Semuanya sudah tersedia di ruang tamu di rumah banglo Wong Pek Chak. Hanya
menanti tubuh comel yang tidak bernyawa lagi untuk dimasukkan di dalam long itu sementara disemadikan. Walaupun dilarang oleh suaminya, Chan Sze Hong tetap
juga membuat persiapan untuk menyambut mayat cucunya.
“Mana Akif dan Szeze tidak sampai-sampai lagi?”tanya Chan
Sze Hong dengan tangisan. Tangannya sudah berapa kali membakar colok dan
dicacakkan di tempat colok di hadapan bingkai gambarHaiqal Firdaus.
“Dia bawa Haiqal pergi masjid untuk disembahyangkan,” jawab
Wong Pek Chak yang sedang bersedih dan sugul.
“Kenapa dia degil? Aku mahu ikut cara nenek moyang,”tangis
Chan Sze Hong.
“Kenapa lu tak faham?”soal Wong Pek Chak pula. Matanya
yang sepet menjadi besar apabila merenung Chan Sze Hong. “Szeze sudah pilih
jalannya, tak boleh ikut jalan nenek moyang lu lagi,” jelas Wong Pek Chak.
“Ini semua lu punya pasal. Lu yang paksa lelaki Melayu
itu kahwin dengan anak kita! Lu yang suruh dia tinggalkan agama kita!”tuduh Chan
Sze Hong dalam tangisan yang berleretan.
“Habis tu, lu mau Szeze bunting tak ada laki? Lu mahu?”soal
Wong Pek Chak pula. Mengungkit kisah silam.“Sekarang cucu lu sudah mati! Aku
mahu anak aku balik! Lu mesti suruh Akif ceraikan Szeze. Szeze mesti balik ke agama
nenek moyang,”kata Chan Sze Hong dengan suara kuat.
“Itu pun mereka balik,” beritahu Wong Pek Chak.
Di luar pagar dia melihat Akif berjalan beriringan dengan
Nur Aiman dengan langkah longlai. Kelihatannya Nur Aiman melintukkan kepalanya
di bahu Akif. Nur Aiman yang masih teresak.
“Mana Haiqal?”soal Chan Sze Hong sambil menerpa dan
menumbuk-numbuk dada Akif berkali-kali. Akif cuba mengelak, namun emak
mertuanya terus memukulnya sambil menangis.
“Haiqal sudah disemadikan, mama,”jawab Akif dengan suara
sebak. Chan Sze Hong terus meraung dan meratap sambil memukul dada dan
menarik-narik rambutnya.
“Mama... mama! Sabar! Sabar! Setiap yang hidup pasti akan menemui
mati,” pujuk Akif sambil memeluk emak mertuanya yang sedang berada di dalam
kesedihan.
“Haiqal dah selamat dikebumikan,”beritahu Akif lagi. Nur
Aiman turut memberitahu emaknya dengan bahasa Mandarin pula.
“TUHAN lebih sayangi dia,”pujuk Akif. Alangkah sulitnya
untuk memberi kefahaman kepada orang yang tidak mengerti akan kekuasaan TUHAN.
“Lu tipu! Kalau sayang kenapa ambil dia? Cucu aku dah
mati!”pekik Chan Sze Hong lagi.
“Mama, Haiqal sudah menuju ke syurga, mama,”pujuk Akif. Diikuti
oleh Nur Aiman pula dengan Bahasa Mandarin.
“Tapi cucu aku dah mati! Aku tak ada cucu lagi!”tangis Chan
Sze Hong lalu memeluk Nur Aiman pula. Mendengar kata-kata emaknya Nur Aiman
pula bertambah kuat tangisannya.
“Szeze... sekarang anak lu sudah mati! Lu mintak cerai
dari laki lu!Lu baliklah kepada agama nenek moyang kita, kalau lu benar
sayangkan mama!”suruhChan
Sze Hong pula.
Dia menarik Nur Aiman supaya
mengikutnya. Beberapa batang colok yang masih membara merah dihujungnya diserahkan
kepada Nur Aiman. Wanita itu terus memaksa Nur Aiman bersembahyang mengikut
caranya.
“Akif...”panggil Nur Aiman yang berasa serba salah. Matanya
merenung ke mata Akif. Akif menggeleng memberi isyarat kepada isterinya itu
supaya jangan mematuhi kehendak emaknya.
“Ah Hong! Lu sudah gila ka? Suka-suka suruh orang
sembahyang ikut cara lu! Lu ingat kalau Szeze ikut sembahyang cara lu, Haiqal
boleh hidup balik ke? Tak ada punya! Cucu lu tu TUHAN kasi pinjam saja,sekarang
dia sudah ambil balikk!”marah Wong Pek Chak kepada isterinya.
“Akif! Bawa bini lu naik atas!”suruh Wong Pek Chak kepada
Akif diiringi dengan isyarat kepalanya.
“Maa! Saya letih. Saya nak naik ke bilik. Saya nak rehat,”beritahu
Nur Aiman kepada emaknya dan memberi alasan untuk menghindarkan dirinya dari
situ. Selagi dia berada di situ, selagi itulah emaknya akan memaksa. Dia sudah
Islam. Mengapa emaknya tidak mahu mengerti? Nur Aiman menarik tangan Akif
supaya mengikutnya.
“Jomlah kita berehat,” ajaknya kepada Akif yang terus
mengekorinya.
Alhamdulillah, Nur Aiman sudah teguh keyakinannya kepada ALLAH.
Bapa mertuanya pun sudah memahami kekuasaan TUHAN kepada setiap hamba-NYA. Dalam
senyap-senyap Akif mendoakan semoga ALLAH memberi pertunjuk dan hidayah kepada
bapa dan emak mertuanya. Supaya dibukakan pintu hati mereka untuk menyembah ALLAH,
TUHAN yang ESA.
Sampai sahaja ke bilik, Nur Aiman terus menghumbankan
dirinya di atas tilam. Kini giliran dia pula meraung dan menangis teresak-esak
kerana kematian MuhammadHaiqal.
“Aiman,” kata Akif sambil menarik tangan Nur Aiman supaya
bangun dan berdiri menghadapnya.
“Jangan menangis begini,” pujuk Akif lembut sambil
menyeka airmata di pipi Nur Aiman. Sedu-sedan Nur Aiman menghibakan hatinya.
“Anak Aiman, anak Aiman dah tak ada lagi,”rintih Nur
Aiman sambil menangis tersedu-sedan.
“Syy! Istighfar! Astaghfirullahalazim! Aiman terimalah
segalanya dengan keimanan. Aiman jangan lupa, DIA lah yang Berkuasa atas
sekalian hamba-Nya (dangan tadbir dan takdir); dan Dialah Yang Maha Bijaksana
serta Amat Mendalam Pengetahuan-Nya. Semua tu kita dah pernah baca dalam Quran...”
kata Akif dengan suara sebak dan linangan air mata. Dia juga turut bersedih
dengan kematian Haiqal, namun apa dayanya untuk menahan pemergian itu?
“Insya-ALLAH, ada hikmah disebalik kesedihan ini,” pujuk
Akif lagi. Nur Aiman merapatkan wajahnya ke dada Akif. Sedu sedannya berterusan.
“Insya-ALLAH, TUHAN akan beri gantinya. Percayalah.”Pujukan
Akif berterusan.
“Aiman takkan ada anak lagi! Akif akan ceraikan Aiman, kan?”tanya
Nur Aiman pula sambil mendongak memandang wajah Akif. Esakannya semakin kuat.
“Aiman, mengapa selalu tanyakan hal ini? Akif menikahi
Aiman kerana ALLAH. Sampai bila-bila Aiman tetap akan jadi isteri Akif, selama
mana TUHAN berkehendakkan begitu,” jawab Akif dengan nada sebak.
“Tapi selama ini Akif menyembunyikan diri daripada
keluarga Akif. Akif putuskan perhubungan dengan mereka,” rengek Nur Aiman. Tiba-tiba
pula Nur Aiman menimbulkan persoalan keluarganya. Akif berasa serba salah.
“Aiman, bila sampai masanya nanti kita akan bertemu
dengan mak Akif,” kata Akif dengan suara sebak.
“Tapi, kalau mak Akif tak terima Aiman, suruh Akif
ceraikan Aiman, macam mana? Akif kena ikut cakap mak Akif, kan? Akif tak boleh
bantah,” ujar Nur Aiman lagi.
“Jika tidak Akif akan menjadi anak derhaka!”Kata-kata Nur
Aiman itu diiringi dengan tangisan yang menghibakan. Alangkah malangnya nasib
diri, jika benar-benar perkara itu menimpa dirinya.
“Aiman, esok ikut Akif balik kampung untuk berkenalan
dengan mak dan ayah Akif,” beritahu Akif. Akhirnya dia membuat keputusan.
“Kalau mak dan ayah Akif tak terima Aiman?”soal Nur Aiman.
Hari ini hatinya sudah remuk kerana kehilangan Haiqal. Jika
emak dan ayah Akif enggan menerimanya, hati yang telah remuk itu akan luluh dan
hancur. Sedu sedan Nur Aiman benar-benar menyentuh perasaan Akif.
Benar, dia tidak boleh membantah kata-kata emaknya. Tetapi membiarkan Nur Aiman, seorang mualaf melalui
kehidupannya sendirian terumbang ambing dalam mencari pegangan ke tali ALLAH, itu
merupakan satu kezaliman. Dayana sudah berumahtangga. Apa lagi yang diharapkan daripada
gadis itu? Meskipun bersepai alam maya, takdir TUHAN tidak merencanakan jodoh
mereka berdua pada waktu itu.
“Aiman...”bisik Akif sambil memegang kedua-dua bahu Nur
Aiman.
“Insya-ALLAH, sampai bila-bila Aiman akan jadi isteri
Akif,” kata Akif sambil mengusap bahu Nur Aiman yang kesedihan.
“Jika ada rezeki TUHAN akan berikan kita zuriat. Aiman
akan jadi ibu semula,” bisik Akif.
Akif menghela
nafasnya perlahan. ‘Beratnya dugaan untukmu, Aiman’ bisik hati Akif lantas
bibirnya singgah di dahi wanita muda itu. Sebuah kucupan halus dan lembut, untuk
pertamakalinya. Nur Aiman menangis semakin kuat sehingga menggegarkan tubuhnya.
“Aiman...”pujuk Akif sambil merangkul tubuh Nur Aiman. Dipeluknya
kuat-kuat sambil merapatkan hidungnya ke hidung isterinya itu. Buat
pertamakalinya nafas mereka menyatu dalam getar sendu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan