Pekan Parit Buntar seperti hari-hari biasa. Tenang. Situasinya
lebih kurang sama dengan Sri Manjung. Tempat dia mencari rezeki. Rais memandu
keretanya perlahan-lahan menyusuri jalan menuju ke pasar mini milik abangnya, Akif.
Pasar mini itu masih beroperasi walaupun abangnya telah menghilangkan diri.
Ali, pembantu
abangnya dulu telah dilantik sebagai pengurus. Jadi, dialah yang menguruskan
pasar mini itu. Emak dan ayahnya, kini menetap dengannya di Sri Manjung, Manjung buat sementara. Selalu mereka balik ke Parit
Buntar untuk melihat rumah yang ditinggalkan dan kondisi perniagaan Pasar Mini
Akif.
Pasar Mini Akif sentiasa ada pengunjugnya. Bibir tua Pak
Shukri mengukir senyuman sebaik sahaja melihat orang ramai berbaris di kaunter.
Dia masuk ke dalam pasar itu diekori oleh Rais dan Mak Esah.
“Pak Cik Shukri! Pak Cik Shukri!”jerit Ali sebaik sahaja
melihat orang tua itu. Dia terus menerpa dan menarik tangan Pak Shukri. Telatah
Ali itu membuat perasaan Pak Shukri dan Mak Esah menjadi cemas.
“Aa...Aa. Abang Akif hidup lagi!”beritahu Ali tergagap-gagap
sambil menarik tangan Pak Shukri supaya mengikutnya ke bahagian belakang pasar
itu agar dia dapat bercerita dengan selesa.
“Apa maksud kamu, Ali? Bertenang! Apa ceritanya ni?”soal
Pak Shukri dengan suara kuat. Tidak sabar dia ingin mendengar cerita seterusnya
daripada Ali.
“Tiga minggu lepas, Abang Akif ada datang ke sini! Dia
kata dia balik ke rumah, tapi siapa yang ada di rumah? Abang Akif sekarang
duduk di Beijing. Dia berniaga di sana,” cerita Ali bersungguh-sungguh. Terbeliak
mata Pak Shukri mendengar cerita Ali itu.
“Kamu biar betul Ali!”tukas Pak Shukri. Sukar untuk
mempercayai cerita anak muda itu. Tidak logik langsung. Kalau di dalam mimpi
boleh juga dipercayai, tetapi ini kenyataan.
“Sumpah! Kalau tidak percaya saya ada bukti. Abang Akif
ada tinggalkan kunci almari besi dia!”jawab Ali bersungguh-sungguh sambil
meraba-raba kocek seluarnya. Dia mengeluarkan segugusan kunci dan mengambil
salah satu darinya. Anak kunci itu diserahkan kepada Pak Shukri.
“Abang Akif kata dia dah berniaga di Beijing!”tegas Ali
lagi dengan ekspresi wajah yang bersungguh-sungguh.
“Abang Akif berniaga di Beijing? Jadi mungkin betullah
lelaki yang saya nampak tu Abang Akif,” pintas Rais pula. “Tapi macam mana pulak
Abang Akif boleh pergi berniaga kat sana?”soal Rais apabila dirasakan kenyataan
Ali itu langsung tidak ada kemunasabahannya. Dia tidak yakin dengan cerita itu.
“Iya tak iya...”setuju Mak Esah pula. Walaupun dia begitu
mengharapkan kepulangan Akif,namun cerita yang didengarnya daripada Ali seperti
tidak boleh diterima akalnya.
“Ali,betul ke apa yang kamu ceritakan ini?Atau kamu
reka-reka?”soal pula Mak Esah. Airmatanya mulai tumpah. Jadi tak salahlah
naluri rasanya selama ini.
“Sumpah, Mak Esah! Memang Abang Akif ada balik.Dia ada
tinggalkan nombor telefon,”khabar Ali sambil menggaru-garu kepalanya. Tiba-tiba
dia teringat. Tetapi...
“Alamak, di mana saya simpan nombor telefon tu?”jerit Ali
sambil menampar kepalanya. Dia pasti kena marah dengan Mak Esah.
“Ali!” jegil Mak Esah kepada Ali. Ali yang rasa bersalah menggigit
jari. Rasa hendak menghempuk kepalanya ke dinding pula kerana kesengalannya
itu.
“Saya rasa, kertas yang Abang Akif bagi, saya masukkan
dalam poket seluar,”cerita Ali dengan perasaan bersalah.
“Hah! Dah masuk dalam mesin basuhlah tu,”teka Rais dengan
suara kesal. Ali mengangguk. Mak Esah terus membebel bagai bertih memarahi Ali.
“Sudahlah,mak. Jangan marah Ali lagi. Dia bukan sengaja. Nanti
kita ikhtiarkan cari Abang Akif. Insya-ALLAH, pasti dapat bertemu kembali,”
pujuk Rais kepada emaknya.
“Nak cari macam mana?”soal Mak Esah dengan penuh harapan.
“Saya ada seorang kenalan yang bekerja di Kementerian
Perdagangan Antarabangsa, mungkin kita boleh mula di sana,” saran Rais.
Bukankah dia ternampak lelaki mirip abangnya itu di tapak
expo Kementerian Perdagangan Malaysia dan kerajaan Cina. Pasti Akif mencari
peluang perniagaan sewaktu expo itu berlangsung. Abangnya memang pandai mencari
peluang.
“Kalau tak dapat macam mana?”soal Mak Esah dengan
perasaan tidak sabar. Rindunya sudah merimbun. Airmatanya sudah banyak yang
tumpah kerana mengenangkan anak sulungnya itu.
“Alah awak ni, maknya! Nak risau apa? Nanti Akif baliklah
ke sini semula! Takkan tak mahu balik langsung! Angkasawan pun balik jugak ke bumi lambat
launnya, inikan pulak negara Cina tu!” leter Pak Shukri kepada Mak Esah yang
nampak menggelabah dan risau.
“Betul kata ayah tu, mak! Sekarang ni kita singgah di
pasar mini ni sebab nak tengok Ali dan pengurusan pasar ni. Lepas tu kita
memang dah bercadang nak ambil Nisah di airport,”
kata Rais pula, menyokong kata-kata ayahnya.
“Yalah...yalah! Suami, anak, semua nak membebel,”sindir
Mak Esah sambil berjalan keluar dari pasar mini itu. Bibirnya mengukir senyuman.
Anaknya Akif sudah pulang. Akif masih hidup. Akif tidak mati. Tapi... Dayana
pula sudah berkahwin dengan Azmir. Hati Mak Esah terasa hiba. Dia sesal.
“Macam mana pulak Akif boleh terpelanting ke sana?”soal
Mak Esah kepada Pak Shukri. Pertanyaannya itu tidak ada siapa yang menjawab
kerana semuanya telah memahami. TUHANlah yang mentadbirkan segala urusan. Setiap
perkara menjadi mudah bagi ALLAH walau pada pandangan atau fikiran manusia
perkara yang terjadi tidak munasabah.
“Hmm... nasib baik Kak Yana kahwin dengan orang lain. Kalau
kahwin dengan saya tak ke haru biru jadinya,”seloroh Rais sambil mengekori
punggung emaknya. Hatinya turut berasa gembira mendengar perkhabaran tentang
Akif.
“Rais, bawa mak ke rumah Mak Bedah kamu,”kata Mak Esah
kepada Rais. Dia tidak sabar hendak berkongsi kegembiraan dengan besan tak
jadinya itu.
“Hari ini tak bolehlah, mak. Kita dah janji dengan Nisah!
Nanti merajuk pulak anak dara mak tu,” jawab Rais.“Bulan depan saya balik dan
ambil cuti lagi. Waktu tu baru kita pergi. Nisah pun ada. Kita pergi sekeluarga,”
cadang Rais. Matanya merenung wajah emaknya yang nampak tidak puas hati.
“Hal Akif ni lebih baik jangan cerita kepada keluarga
Yana,” celah Pak Shukri.
“Mengapa pulak?”soal Mak Esah.
“Tak usah! Aku kata tak usah, tak usah! Tunggu apa kata
Akif dulu,” tegas Pak Shukri.
Dayana terus sujud di atas sejadah. Pada sujud
yang terakhir dia terus berdoa kepada TUHAN. Semoga ALLAH memberikan ketabahan
kepadanya. Semoga ALLAH meneguhkan imannya. Semoga ALLAH merahmati Akif sama ada dia masih hidup atau
telah pergi mengadap-NYA.
“Ya ALLAH, Ya TUHANku, ampunkanlah segala dosa suamiku
yang terdahulu yang telah pergi menghadapmu. Tempatkanlah dia dalam kalangan
orang-orang yang ENGKAU kasihi,”bisiknya dengan bibir yang bergetar menahan
tangisan.
Masih terbayang di matanya wajah Ikhwan di hari pernikahan mereka.
Eratnya dakapan Ikhwan pada tubuhnya pada hari itu bagaikan terasa. Rupa-rupanya
itulah pelukannya yang pertama dan terakhir. Ikhwan pergi meninggalkan dirinya
dengan cintanya yang tidak pernah usang. Dia pergi buat selamanya. Airmata
Dayana terus berderaian.
“Yana, abang lapar!”
Terdengar laungan Azmir
dari arah dapur. Belum sempat Dayana berwirid seketika Azmir sudah muncul di
bilik dengan hanya berseluar pendek.
“Yang kau ni sembahyang lama-lama sangat, apa hal?”soal Azmir
dengan nada kasar.“Siap nasi cepat! Abang lapar,”sambungnya lagi dengan nada
marah. Matanya menjeling tajam sewaktu merenung Dayana.
“Yalah, Yana siapkan! Abang solatlah dulu! Lepas solat
nanti kita makan sama-sama,” jawab Dayana sambil melipat kain telekung yang
baru dilucutkan dari tubuhnya. Air mata di pipi cepat-cepat diseka dengan
hujung jarinya.
“Abang nak makan sekarang!”bentakAzmir dengan kasar
sambil menunjukkan isyarat tangan ke lehernya. Dayana terdiam. Dia sudah masak
sangat dengan perangai suaminya itu. Buruk akhlaknya.
Memang benarlah kata-kata bijak pandai, keimanan
seseorang itu tidak boleh diwarisi daripada ibu bapanya yang beriman. Anak
orang yang berpengetahuan agama, tetapi Azmir solat lima waktu pun selalu culas.
“Cepatlah, Yana!”desak Azmir lagi dengan nada marah. Dayana
terkocoh-kocoh pergi ke dapur untuk memanaskan lauk pauk tengah hari tadi.
“Masak lain! Takkan nak makan lauk tengah hari tadi?Jelak!”kata
Azmir apabila melihat Dayana memasukkan lauk-pauk tengah hari tadi ke dalam
periuk yang telah diletakkan di atas dapur.
“Alah, kan baki lauk tengah hari tadi masih banyak?Abang
ni, buat membazir aje,” jawab Dayana dengan nada lembut. Wajah Azmir yang mulai
masam direnungnya sekilas.“Orang membazir ni, sahabat syaitan,”tukasnya lagi. Cuba
menasihat.
“Kalau nak suruh abang makan malam ni, Yana masak lain! Kalau
lauk-pauk siang tadi, kau telanlah sendiri,”kata Azmir sambil menepuk meja
makan dengan kasar. Telinganya rasa sakit kerana Dayana membandingkannya dengan
syaitan.
“Yalah...yalah! Yana buat sambal udang! Abang pergilah
sembahyang maghrib dulu,”kata Dayana, masih cuba memujuk Azmir supaya
menunaikan kewajipannya kepada TUHAN.
“Kau ni, berapa kali aku nak cakap? Jangan sibuk hal aku!
Aku nak sembahyang ke? Tak mahu sembahyang sampai mampus ke, kau jangan sibuk!”marah
Azmir yang tiba-tiba
naik berang. Memang menjadi kepantangannya jika dinasihati berkenaan dengan
amal ibadah. Dia mencengkam belakang leher Dayana dan menggoncang-goncang leher
isterinya itu berulangkali.
Dayana tidak melawan tindakan suaminya itu. Hari ini, bukanlah
kali pertama dia menjadi mangsa sikap panas baran Azmir. Hampir dua tahun
mereka menjadi suami isteri. Kerap sahaja tubuh badannya menjadi mangsa tangan Azmir
yang panas baran. Azmir dengan sikap pembengis dan kaki perempuan benar-benar menguji
kesabarannya saban hari. Sungguh dia tidak menduga perangai Azmir begitu. Sangkanya
teman karib Ikhwan, akhlaknya seperti Ikhwan juga. Namun, Azmir hanya baik budi
sewaktu mula merapati dirinya yang di dalam kesedihan. Selepas kemalangan nampak
sangat Azmir terus berubah sikap.
“Sekarang kamu cepat masak!”desakAzmir lalu menolak
kepala Dayana dengan kasar.
Setelah itu dia beredar dari dapur dengan perasaan marah.
Dayana menelan kesedihan sambil menggigit-gigit bibirnya. Dengan tangan yang
menggeletar dia mengopek kulit udang yang baru dikeluarkan dari peti sejuk. Dua
tiga titik airmatanya jatuh ke dalam piring.
‘Mak,mengapa nasib Yana jadi begini?’ soal Dayana sambil menangis tersedu.
Bila dirinya dilayan dengan buruk oleh Azmir, hatinya tidak dapat lari
daripada mengingati Akif, Ikhwan. Akif seorang lelaki yang lembut dan penyayang.
Meskipun pada waktu yang tertentu dia tegas. Ikhwan pun selalu melayannya dengan baik. Cintanya yang mendalam sehingga ke hujung nyawa
tidak mungkin dilupai begitu sahaja.
*********
Mentari menyinar terang. Dari pintu bank Azmir
melangkah laju menuju ke tempat parkir kereta. Sengaja dia keluar ke bandar
pada tengah hari itu untuk ke bengkel membaiki kereta. Selesai urusannya di
bengkel kereta dia pergi ke bank.
“Mir! Azmir!”
Langkah Azmir terhenti sambil menoleh dan mencari tuan
punya badan yang memekik memanggilnya.
“Hei! Meenalah!” Belakang Azmir ditepuk dengan kuat.
“Hei, kau?Hantu! Buat terkejut aku aje! Nasib baik aku
tak sakit jantung! Kalau tak, tak pasal-pasal kojol!”kata Azmir sambil ketawa. Meena
ketawa kuat sehingga ternganga mulutnya.
“Amboi! Mentang-mentang dah lama tak jumpa. Dulu panggil
I sayang, sekarang ni panggil hantu pulak,”balas Meena sambil terseringai.
“Macam mana boleh jumpa youkat sini? Laki you, mana?”soal Azmir sambil tangannya
terus memain-mainkan kunci kereta. Matanya merenung Meena yang nampak seksi.
“I dah bercerai,”jawab
Meena selamba.
“Bercerai?”soal Azmir lagi, dengan nada hairan. Meena
mengangguk.
“Dah lamalah menjanda ni?”tanya Azmir sambil tersenyum.
“Hmm, dah setahun,”beritahu Meena.
“Tak apa, janda pun masih bergetah lagi. Haa... haa!”Azmir
melambakkan tawanya. Sengaja hendak bergurau.
“Hi, teruklah you ni!”Laju saja jari Meena mengutil
lengan Azmir.
“I dengar you dah kahwin,”kata Meena sambil menyeringai.
Terkejut besar dia apabila mendapat berita yang Azmir
bernikah sebaik sahaja perhubungan mereka diputuskan. Berkahwin dengan janda
kawan karibnya. Sangkanya Azmir akan tetap setia kepadanya walaupun lamarannya
ditolak. Rupa-rupanya sekelip mata sahaja Azmir mencari pengganti.
“Mestilah!”jawab Azmir deras.
“You ingat I tak laku ke?”tanyanya pula sengaja hendak
menyakitkan hati wanita gedik itu.
“I tak kata pun,”balas Meena sambil tersenyum lebar.
Azmir, bekas kekasihnya. Sikap Azmir yang ‘King Control’ dan
kasanova itu menyebabkan dia berasa bosan dan tidak yakin akan cinta lelaki itu.
“Tak nak belanja I ke? Tekak I ni dah kering. Asyik
berbual dengan you dari tadi,”rengek Meena sambil mengenyitkan matanya macam
perempuan miang.
“You tak kerja ke hari ni?”tanya Azmir apabila melihat
Meena yang hanya berseluar jeans dan
berblaus kain jarang lengan panjang. Bayangan coli yang dipakainya pun jelas
kelihatan. Rambutnya yang panjang terjurai di atas bahu.
“You ni semakin tua semakin seksi pulak,”perli Azmir
dengan nada bersahaja. Matanya menelusurike tubuh Meena yang montok.
“Mestilah,” jawab Meena dengan manja dan mengada-ngada. Kalau
boleh biarlah Azmir cair dengan kemanjaannya itu.
“I tanya tadi. Hari ini you tak kerja ke?”soal Azmir
kembali.
“Hari ni I cuti!”jawab Meena.
“Oh ya? Secara kebetulan I pun tak kerja,” beritahu Azmir.
“Jomlah kita pergi makan,”ajak Meena.“I belanja,” tawarnya
pula.
“Hmm... hari ni tak boleh. I kena balik. Tadi, waktu
keluar dari rumah, I tak ingat sama ada I kunci pintu rumah atau pun tidak! You
tahulah duduk di kawasan Ipoh ni,” ujar Azmir cuba berdalih. Sebenarnya dia
sudah tidak berminat lagi kepada wanita yang sudah menjanda itu.
“Azmir,you ni, nanti habislah pencuri angkut
barang-barang dari rumah you!”Meena terpekik kecil.
“I ikut you baliklah! Lama kita tak bersembang.Lagipun
hari ni I bosan sangat,” ujar Meena sambil merapati Azmir.
Azmir tersentak dengan permintaan bekas kekasihnya itu. Dia
melihat jam tangan yang melingkari lengan kirinya.‘Yana selalu balik ke rumah 5.30
petang. Sekarang ni baru pukul 12.30 tengah hari,’bisik hati Azmir.
“I ikut you baliklah, sayang! Bolehkan? Kita beli makanan
untuk tengah hari dan makan sama-sama di rumah you!”cadang Meena cuba memancing
hati Azmir.
“Okeylah. Kalau begitu boleh! I setuju dengan idea you!Kita
pun dah lama tak bercerita,” kata Azmir.
Pada pendapatnya lebih baik makan tengah hari di rumahnya
daripada di khalayak ramai. Bimbang akan terserempak dengan kawan-kawannya dan
kawan-kawan Dayana. Pasti akan jadi kekalutan jika sampai ke telinga Dayana. Pasti isterinya cemburu!
“Jomlah, naik kereta I. Nanti I hantar you balik,”pelawa
Azmir lalu membuka pintu keretanya. Meena pun turut membuka pintu di sebelah
penumpang sambil tersenyum girang.
*****
PUKUL1.30 tengah hari Dayana masih berulang alik
ke tandas sejak dari tadi. Entah mengapa perutnya asyik memulas sejak dia
bersarapan di kantin pagi tadi.
“Yana, kau cirit-birit ke?”tanya rakan sepejabatnya.
Dayana hanya mampu mengangguk. Dia menekan perut sambil
mengerutkan wajahnya. Tali perutnya seolah dipintal dan ditarik-tarik hampir putus.
“Pergilah balik, Yana! Pergi klinik dapatkan MC,” pujuk
Rafidah yang kasihan melihat wanita itu sudah beberapa kali berulang ke tandas.
“Yalah, aku nak pergi kliniklah ni. Tak tahan dah,”jawab
Dayana dengan suara lemah. Bibirnya diketap-ketap menahan kesakitan yang
menjalar dalam perutnya.
“Kau boleh pandu kereta tak ni?”tanya Rafidah lagi sambil
merenung wajah Dayana yang agak pucat dan lesu.
“Insya-ALLAH. Boleh agaknya. Nanti aku bawa laju-laju,” beritahu
Dayana sambil tersenyum.
“Bawa laju pulak! Kau tu sakit perut!”pekik Rafidah
seolah-olah marah mendengar jawapan itu.
“Sebab sakit perutlah
kena bawa laju! Takkan aku nak bawa macam kura-kura. Nanti punggung kereta aku
kena hentam pulak. Dahlah aku menahan cirit-birit!”jawab Dayana sempat lagi
ketawa kecil di dalam sakitnya itu. Dia pun mengambil beg tangannya dan beredar
dari pejabatnya menuju ke parkir kereta.
Sampai di klinik,
Dayana terpaksa menunggu sebelum dapat bertemu dengan doktor. Dia resah kerana
menahan perut yang bergelodak. Penantian di dalam keadaan perut yang memulas
begitu memanglah menyeksakan. Bajunya pun sudah dibasahi peluh kerana menahan
kesakitan. Mujur dia hanya menunggu tidak sampai lima minit.
“Ubat yang awak
ambil di farmasi nanti, terus makan. Saya bagi cuti sakit 2 hari. Kalau malam
ini masih cirit-birit, datang ke klinik lagi,” beritahu doktor yang merawat
Dayana.
Keluar dari
klinik Dayana terus singgah di restoran untuk mencari sedikit makanan dan air
untuk makan ubat seperti yang dinasihatkan oleh doktor.
Tidak sampai 10 minit setelah makan ubat, sakit perutnya
reda sedikit. Hanya sesekali sahaja rasa memulas datang. Setelah membeli
sedikit lauk-pauk untuk dibawa balik ke rumah, Dayana terus menuju ke kereta
yang diparkirnya tidak jauh dari situ. Dia terus balik ke rumah dan ingin
berehat. Secara kebetulan hari ini, Azmir pun bercuti.
Jam menunjukkan pukul 3.00 petang sewaktu Dayana tiba di
pekarangan rumahnya. Kereta Azmir masih berada ditempatnya.
“Hai, tak keluar ke orang tua ni? Tadi kata ada hal di
pekan!”rungut Dayana seorang diri.
“Tak jadilah tu agaknya,” bisiknya pula. Dia faham sangat
dengan perangai Azmir yang suka berkepit dengannya walaupun berperangai panas
baran. Dayana berjalan dengan langkah longlai menuju ke rumah yang berkunci. Bola
matanya singgah pada sepasang sepatu di hadapan pintu. Hatinya berasa pelik. Di
hadapan pintu ada sepasang sepatu wanita yang bergelimpangan.
“Bila pulak aku beli kasut ni?”soal hatinya sambil
membuka kunci pintu dengan perlahan. Dia masuk ke rumah lambat-lambat. Demi
matanya terlontar sahaja ke ruang tamu, jantung Dayana seolah getak.
“Aaa...abang! Err... err...sorry...”kata Dayana sebaik saja matanya singgah ke sofa di ruang
tamu. Seorang wanita sedang duduk di atas pangkuan Azmir.
********
Azmir menghempas pinggan nasinya di atas meja. Hatinya benar-benar
meradang melihat ketenangan Dayana. Semenjak petang tadi begitulah keadaan
airmuka isterinya itu. Azmir benar-benar tidak faham dengan hati isterinya itu.
Terserempak dengan suami yang sedang bercengkarama dengan wanita lain di dalam
rumah sendiri pun isterinya itu tidak terkutik. Apatah lagi marah!
“Buat apa kamu siapkan nasi untuk aku?”tengkingnya. Dayana
yang sedang mencedok nasi tersentak. Cepat dia merenung ke wajah Azmir yang
masam dan keruh.
“Dah waktu makan malam ni, mestilah Yana siapkan makanan
untuk abang,” jawab Dayana dengan tenang.
“Aku tak mahu makan!”pekik Azmir. Sengaja ingin mencabar
kesabaran Dayana.
“Makanlah sikit. Lepas tu abang kena makan ubat! Abang
dah lupa ke?”soal Dayana lagi masih dengan suara lembut seolah-olah memujuk.
“Buat apa kau kisah aku makan atau tak? Aku makan ubat
atau tak? Buat apa kau menyibuk?”soal Azmir dengan nada kasar.
“Yana kenalah tunaikan tanggungjawab Yana sebagai isteri
abang,”jawab Dayana dengan lembut. Jawapan itu semakin memarakkan api kemarahan
Azmir.“Yana kena jaga abang,”terang Dayana lagi.
“Hei! Tengah hari tadi, aku bawa balik perempuan ke rumah
ni, kau buat tak kisah,”marah Azmir sambil menjegilkan matanya. Dayana mengekek
mendengar kemarahan Azmir itu.
“Bawalah siapa pun ke rumah ni, itu hak abang,”jawab
Dayana selamba.
Bukannya dia tidak faham dengan perangai suaminya itu. Memang
playboy sewaktu tinggal di luar
negara dulu. Namun, dia tidak pernah mengungkit kisah silam suaminya itu. Itulah
jawapan yang diberikan kepada sepupu-sepupu Azmir yang sibuk menceritakan
tentang kenakalan Azmir suatu waktu dulu. Meskipun kadang-kadang telefon bimbit
Azmir menerima panggilan daripada wanita-wanita yang tidak dikenalinya, dia
tidak pernah bertanya pun kepada suaminya itu.
“Kau nampak atau tak apa yang perempuan tu buat tadi?”jerit
Azmir.
Dayana hanya mengangguk. Lidahnya terasa jijik untuk
menjawab. Sewaktu dia masuk ke dalam rumah dan terpandang mereka, Azmir dan
perempuan itu saling bermesra.
“Kalau dah nampak, kau masih nak tunaikan tanggungjawab
kepada aku? Kau tak tahu nak marah ke? Tak cemburu? Kenapa dengan kau ni?”soal Azmir
dengan perasaan bengang dan meradang. Dia mencekak belakang leher Dayana. “Yana
tak cemburu ke?”tanyanya sambil menekan suara.
“Kalau abang nak nikah dengan perempuan tu pun Yana tak
marah! Tak cemburu! Pergilah kahwin dengan dia,”jawab Dayana selamba. Jawapannya
itu menyebabkan Azmir semakin geram. Sahlah, Dayana tidak pernah mencintainya. Tidak
ada sekelumit pun kasih sayang wanita itu untuknya. Rupa-rupanya cinta Dayana
kepada Akif dan Ikhwan masih tidak terhakis.
“Kenapa Yana ni? Yana tak cinta pada abang ke?Hah?”tempik
Azmir sambil menarik tubuh Dayana dan menggoncangnya berkali-kali.
“Jawablah!”tengking Azmir. Terus mendesak Dayana. Dia
ingin benar isterinya itu mengungkapkan kata-kata cinta buatnya.
Selama perkahwinan mereka, Azmir faham cinta Dayana bukan
mudah untuk dimiliki. Dia hanya berjaya menikahi gadis itu tetapi tidak mampu
memiliki apa-apa pun sama ada jasad atau cintanya. Namun, hendak melepaskannya
terasa sayang. Tambahan pula Dayana memang seorang isteri yang baik. Penuh
tanggungjawab dan penyayang.
“Cinta atau tidaknya, Yana dah menjadi isteri abang. Yana
akan tunaikan tanggungjawab yang sepatutnya seperti yang kita telah janjikan,” kata
Dayana.
Sehingga saat itu dia tidak boleh menukar cintanya kepada
Akif kepada mana-mana lelaki lain. Ingatannya kepada Ikhwan pun tidak ada sesiapa
boleh menghalang.
“Kalau abang tak selesa dengan Yana dan sudah ada pilihan
yang lebih baik, abang boleh buat keputusan,” ungkapnya lagi tanpa rasa kecewa.
“Jadi Yana nak bercerai dengan abanglah?”sergah Azmir
dengan nada terkejut. Bulat matanya merenung Dayana.
“Buat apa nak bercerai? Abang nak ceraikan Yana ke?”soalan
Dayana semakin menaikkan darah Azmir.
“Jadi Yana nak bermadulah? Begitu?”tanya Azmir seolah
tidak percaya. Dayana nampak terlalu berlapang dada menghadapi situasi pada
hari itu.
“Kalau abang bernikah dengan perempuan tu, tanpa ceraikan
Yana, bermadulah! Apa masalahnya?”soal Dayana kembali. Azmir terdiam. Hanya
hembusan nafasnya yang semakin deras. Sikap Dayana benar-benar memeningkan
kepalanya.
“Sekarang ni abang makanlah! Yana nak pergi solat isyak,”
kata Dayana.
“Nanti dulu! Abang belum habis bercakap!”kata Azmir
sambil menarik tangan Dayana. Setelah itu Azmir merenungnya lama-lama. Dayana
hanya mendiamkan diri. Hembusan nafas Azmir kedengaran di telinganya apabila
mereka sama-sama membisu.
“Cakaplah!”gesa Dayana. Tangannya yang dipegang Azmir
ditarik perlahan.
“Yana tak nak tanya ke siapa perempuan tadi?”soal Azmir
sambil mencengkam bahu Dayana pula. Tiada jawapan. Bibir isterinya bagai
terkunci pula.“Hei, tanyalah!”tengking Azmir sambil meramas-ramas bahu Dayana
dengan kuat dan geram.
“Yana tak mahu tanya! Kalau abang nak beritahu Yana siapa
perempuan tu, Yana sudi nak dengar. Dan Yana ucapkan terima kasih,”jawab Dayana
lembut. Wajahnya masih tenang. Kelembutan dan ketenangannya seolah semakin
mendera hati Azmir.
“Hai, tengok seorang perempuan lain yang duduk di
pangkuan suami di depan mata Yana, Yana boleh bersabar! Perempuan jenis apa Yana
ni? Marahlah abang! Marah!”pekik Azmir persis orang hilang akal.
“Yana sengaja balik awal untuk mengendap abang, kan?”tuduh
Azmir pula. Dayana tersentak dengan tuduhan itu.
“Tengah hari tadi Yana sakit perutlah, abang. Kan Yana
cirit-birit,”jelas Dayana. Bibirnya mengukir senyuman. Senyuman yang terukir di
bibirnya semakin menyemarakkan perasaan marah Azmir.
“Abang tuduh begitu pun tak marah! Marahlah!”tempik Azmir.
Kesabaran Dayana menyeksa hatinya.
“Subhanallah! Kenapa dengan abang ni? Abang tu suami, Yana
wajib hormati bukannya memarahi abang. Tapi Yana tak suka abang buat perkara
tak elok dengan perempuan tu, di rumah ni. Yana nasihatkan abang bernikah aje
dengan dia kalau perasaan cinta sudah tak tertahan lagi,” kata Dayana sambil
merungkaikan tangan Azmir dari bahunya.
“Yana nak pergi solat isyak,” katanyalalu meninggalkan Azmir
yang nampak terganggu perasaannya. Azmir semakin kebingungan dan malu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan