Khamis, 21 April 2016

Cinta Tak Pernah Usai- Bab 49



Hujan turun renyai sewaktu teksi membawa Akif ke Ladang Wong. Seperti hari sebelumnya, teksi berhenti di hadapan pagar besar yang mengelilingi rumah banglo tauke ladang kelapa sawit itu. Turun sahaja dari teksi telinga Akif dapat mendengar bunyi hilai ketawa Haiqal. Mungkin dia sedang bermain dengan datuk dan neneknya.
Hairan, hari ini tidak pula kedengaran salakan anjing yang menggamatkan. Beberapa kali Akif melaung, barulah pintu dibuka. Wong Pek Chak dan isterinya kaget seketika. Haiqal yang sudah pandai berjalan terus menerpa kepada Akif. Akif terus menyambar tubuh anak itu dan mendukungnya. Pipi Haiqal diciumnya bertalu melepaskan rasa rindu.
“Akif! Kenapa datang? Lu mahu ambil Haiqal balik?”soal emak mertuanya dengan nada marah. Airmukanya yang riang kerana bermain dengan Haiqal sebentar tadi lenyap. Kini wajahnya diselubungi mendung. Sebentar lagi pasti rahsianya akan terbongkar. Akif pasti akan marah kerana menyembunyikan perkhabaran tentang Wong Szeze.
“Lu mahu tidur sini ke?”soal pula Wong Pek Chak belum sempat Akif menjawab persoalan dari emak mertuanya tadi. Akif menantunya. Memang dia ada hak untuk tidur di rumah ini,bisik hati Wong Pek Chak.
“Saya nak ambil Haiqal dan akan pergi dari sini,” beritahu Akif sambil mencium pipi Haiqal bertalu-talu. Telapak kaki anak itu digeleteknya berulang kali. Tubuh Haiqal yang dipeluk rasa suam-suam kuku.
“Haiqal tak sihat ya? Rindu papa ya?”soal Akif dengan suara keanakan dan mencium ubun-ubun Haiqal lama-lama.
“Mama lu sudah bawa dia pergi hospital semalam,”beritahu Wong Pek Chak. Dia turut mengagah Haiqal yang mengelinjang di atas dukungan papanya.
Akif tidak membalas kerana asyik melayani anaknya. Walau bagaimanapun, kenyataan daripada bapa mertuanya itu menjawab pertanyaan yang timbul di benaknya. Patutlah tidak ada orang di rumah sewaktu dia datang semalam.

  “Pa...pa... pa...” ucap Haiqal berulang kali sambil ketawa mengekek apabila digeletek tapak kakinya oleh Akif. Lenyap segala keletihan yang membelit Akif sebaik dapat melihat wajah dan mendengar kekekan manja Haiqal.
“Bila lu mahu balik?”soal Wong Pek Chak. Mustahil Akif balik ke Malaysia untuk selamanya kerana dia sudah memulakan perniagaannya di Beijing.
“12.00 malam nanti. Dari Bayan Lepas ke Kuala Lumpur. Tengah hari esok saya terbang ke Beijing dari KLIA,”cerita Akif. Matanya merenung wajah emak mertua dan bapa mertuanya bersilih ganti.
“Lu pergilah berehat dulu,” kata Wong Pek Chak. Dia mengambil Haiqal dari dukungan Akif. Namun,Haiqal terus memaut leher papanya.
“Tanti! Bibik! Mari sini!”pekik Wong Pek Chak memanggil pembantu rumahnya. Bibik Tanti berlari-lari dari dapur ke ruang tamu.
“Ini,suami Szeze. Pergi tunjukkan dia bilik. Dia mahu rehat. Lepas tu siapkan dia makanan dan minuman,”arah Wong Pek Chak kepada Bibik Tanti. Setelah dipujuk akhirnya Haiqal kembali ke dukungan datuknya.
Akif mengekori Bibik Tanti ke tingkat dua banglo itu. Dia ditinggalkan oleh Bibik Tanti di muka pintu bilik yang daun pintunya tertutup rapat. Akif menolak daun pintu tanpa rasa ragu.
Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke dalam kamar itu. Bola matanya mengitari bilik yang luas lalu menyinggahi sekujur tubuh yang sedang sujud. Akif  terkejut.
‘Oh, rupa-rupanya Aiman ada di sini,’ bisik hatinya.
‘Alhamdulillah’ Lega perasaannya kerana Nur Aiman masih berpegang kepada tali agama. Nur Aiman tersentak apabila melihat Akif berdiri di belakangnya sebaik sahaja dia selesai solat.
“Akif...”kata Nur Aiman spontan lantas berdiri mendepani Akif. Tak sedar, tangannya merangkul suaminya itu. Bibirnya terketar-ketar ingin mengatakan sesuatu. TUHAN telah memakbulkan doanya. Namun, perasaannya cemas. Apakah kedatangan Akif untuk melafazkan talak buatnya?
“Akif, Aiman mintak maaf,”bisik Nur Aiman dengan bibir yang menggeletar sambil mendongak menatap wajah Akif. Mereka bertatapan. Akif merenungnya dengan bibir yang tersenyum.
Senyuman itu merebakkan tubir mata Nur Aiman lantas dia membenamkan wajahnya di dada Akif lalu melimpahkan airmatanya. Walaupun tiada balasan, tubuh suaminya dipeluk sekuat hatinya. Dia ingin melambakkan perasaan rindunya. Dia ingin menghimpunkan kata-kata maaf dari seluruh pelosok jiwanya.
“Akif, Aiman mintak ampun. Ampunkan, Aimann!”raungnya kuat sambil mendakap tubuh Akif erat-erat.
“Aiman, mengapa Aiman lari tinggalkan Akif?”soal Akif dengan suara yang sebak dan kesal. Jika Nur Aiman terus lari meninggalkan dirinya, terasa pengorbanannya selama ini sia-sia.
Nur Aiman tidak menjawab persoalan itu, namun cepat-cepat menutup daun pintu. Matanya terus menatap wajah Akif. Haruskah dia menjawab persoalan suaminya itu? Ya. Mengapa dia lari meninggalkan Akif yang sanggup berkorban segalanya untuk menemaninya. Mengambil tanggungjawab untuk menjaga dia dan Haiqal.
“Puas Akif menelefon Aiman. Tetapi telefon tak berjawab!”tukasnya.
“Aiman tinggalkan Akif begitu sahaja tanpa pesan dan berita..”



“Se... sebenarnya Steven ambil telefon Aiman,” pintas Nur Aiman tergagap kerana dia tahu jawapannya itu tidak akan memuaskan hati suaminya. Banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk dia menghubungi suaminya itu. Bukan hanya dengan telefon bimbit.
“Aiman...”kata Akif sambil memegang kedua-dua belah bahu isterinya itu.
Matanya merenung ke anak mata isterinya dalam-dalam. Dia benar-benar mengharapkan jawapan yang jujur dari isterinya itu. Tangan Nur Aiman memegang tangan Akif yang berada di atas bahunya. Dia berasa sebak. Akif tidak pernah menyentuhnya begitu sebelum ini.
“Kalau ada masalah apa-apa, kita kena bincang,” nasihat Akif lembut. Dia berasa terkilan kerana tindakan isterinya itu. Tambah terkilan lagi apabila Steven dan ayahnya datang untuk meminta Nur Aiman daripadanya.
“Bukannya Aiman melarikan diri daripada Akif begitu aje,” nasihat Akif lagi. Wajah Nur Aiman ditatapnya berulang kali.
“Aiman nak telefon,tapi...”
Nur Aiman berasa serba salah untuk memberitahu Akif perkara yang sebenarnya. Haruskah dia memberitahu Akif yang mamanya telah melarang dia menghubungi suaminya itu. Mamanya yang kerap mengugut untuk membunuh diri.
“Tapi kenapa, Aiman? Ceritalah dengan terus terang. Akif sedia mendengarnya dengan hati terbuka,” beritahu Akif dengan lembut. Bahu Nur Aiman dipicitnya perlahan.
“Mama tak benarkan! Dia mengugut akan minum racun kalau Aiman balik ke sana atau telefon Akif,” adu Nur Aiman, mula bercerita. Bulat mata Akif apabila mendengar cerita itu.
“Lagipun..Akif tak pernah menyayangi Aiman,”jelas Nur Aiman sayu. Suara Nur Aiman mula tersangkut-sangkut kerana hatinya dipasung rasa sedih. Akif hanya membiarkan sahaja Nur Aiman meluahkan isi hatinya.
“Apabila Akif bercakap kasar dengan Aiman, Aiman sangka mesti Akif sudah benci kepada Aiman. Lagipun Aiman dah suruh Akif ceraikan Aiman bila Aiman dah bersalin,” rintih Nur Aiman perlahan. Bibirnya bergetar menahan tangisan. Walaupun pahit, dia terpaksa menyatakan yang sebenarnya kepada Akif. Apa yang dirasakannya. Perhubungan mereka sentiasa dingin dan beku. Hambar dan kaku.
“Bila Steven pujuk, Aiman terus percaya dan ikut dia,”akui Nur Aiman.
“Aiman...”kata Akif. Tersentuh hatinya apabila mendengar kata-kata yang diungkapkan oleh isterinya itu. Sejauh itu menerawangnya fikiran Nur Aiman.
“Betulkan, apa yang Aiman katakan itu? Sampai bila-bila pun Akif akan membenci dan tak mungkin akan menyayangi Aiman,”rintih Nur Aiman.
“Aimannn...”sebak hati Akif mendengar luahan hati isterinya itu. Rupa-rupanya Nur Aiman begitu berjauh hati dengannya lalu membawa diri.
“ALLAH sudah tetapkan yang Aiman menjadi jodoh Akif,” bisiknya.
Walaupun cintanya pada Dayana tidak pernah goyah, dengan wanita yang telah menjadi isterinya itu dia tidak ingin untuk berpisah.
“Tapi Akif tak pernah mencintai Aiman,” kata Nur Aiman.


Akif terdiam sejenak. Matanya memandang tepat ke anak mata Nur Aiman sekali lagi. Persoalan cinta, terlalu susah untuk dirungkaikan. Adakala cinta datang sekelip mata dan sukar dilupakan. Adakalanya pula, cinta itu tidak pernah tumbuh meskipun jauhnya perjalanan perhubungan itu seumpama jarak bumi ke langit ketujuh.
“Aiman, maafkan Akif jika sikap Akif sebelum ini melukakan hati Aiman. Walaupun Akif tidak pernah mengungkapkan kata-kata sayang atau cinta, Akif telah berusaha untuk menjadi suami yang terbaik untuk Aiman. Akif juga berusaha untuk menjadi ayah yang terbaik buat Haiqal. Akif sayangkan dia macam anak Akif sendiri. Akif balik ni pun nak ambil Haiqal. Akif rindukan dia sangat-sangat,” jelas Akif dengan panjang lebar.
“Macam mana dengan Aiman?”soal Nur Aiman pula. Mustahil Akif sanggup memisahkan ibu dengan anak kandungnya.
“Haiqal anak Aiman. Aiman yang lebih berhak,” kata Nur Aiman pula sekadar menguji.
“Aiman, jomlah kita balik sama-sama ke sana,”kata Akif perlahan.“Akif dah mulakan perniagaan sendiri,”beritahunya dengan ikhlas. Dia juga ikhlas dengan ikatan perkahwinan yang termeteri antara mereka.
“Aiman...kita duduklah kat sana buat sementara. Kita adu nasib kita di sana. Mungkin ada ketetapan daripadaALLAH, rezeki kita akan bertambah,”pujuk Akif.
“Empat lima tahun lagi, kita balik ke sini semula,” katanya lagi.
“Benar ke Akif ingin Aiman ikut balik?”soal Nur Aiman pula. Hatinya berbelah bahagi untuk kembali ke Beijing. Dia bimbang Steven terus mengganggunya.
Sebagai suami isteri, kita mesti selalu bersama,” jawab Akif tenang. Nur Aiman menunggu Akif meneruskan kata-katanya.
“Jika Aiman ada rasa cinta kepada Akif dan sudi menerima Akif sebagai suami untuk selamanya, Aiman ikutlah Akif dengan rela, kerana ALLAH,”sambungnya lagi. Matanya menyorot ke wajah Nur Aiman. Bicara Akif bernoktah di situ. Hatinya berasa amat sebak. Nur Aiman juga sayu dan tidak mampu membalas kata-kata suaminya itu.
“Akif mintak maaf kerana kekasaran Akif pada hari itu telah membuat Aiman berjauh hati. Sebagai suami Akif tidak boleh terima ada lelaki lain masuk ke rumah dan mengganggu isterinya. Akif wajib menegur Aiman. Itu hak Akif sebagai seorang suami,” terang Akif. Sudah berkali dia menjelaskan hal itu kepada Nur Aiman.
“Akif, Aiman pun mintak maaf. Memang Steven cuba melakukan perkara yang tidak elok kepada Aiman,tapi alhamdulillah, Akif. Aiman selalu ingat nasihat Akif, tentang maruah seorang isteri..,” tangis Nur Aiman secara tiba-tiba. Akif lega mendengar kenyataan itu.
“Walaupun selepas lari dari rumah, Aiman duduk dengan Steven! Dia selalu paksa Aiman minum minuman keras,layan kawan-kawan lelakinya, tapi Aiman tak lakukan semua itu, Akif. Percayalah.” Tangisan Nur Aiman bertambah kuat pula.
“Cuma Aiman tak bersolat,dedah aurat,”cerita Nur Aiman lagi. Airmatanya berjejeran.
“Akif, selama Aiman tak solat hati Aiman jadi tidak tenteram. Aiman rasa kosong dan terumbang-ambing. Tambahan pula apabila Akif tiada lagi di sisi...”kata-kata Nur Aiman terhenti. Bibirnya bergetar-getar lagi. Dia tidak mampu lagi mengungkapkan kata-kata kerana asakan kesedihan. Tanpa Akif dia rasa tidak bermaya dan resah. Akif bagaikan separuh nyawanya.
Sedih, terharu, sesal dan bersyukur. Itulah perasaan yang menusuk-nusuk ke ulu hati Akif pada saat itu. Lantas dibiarkan Nur Aiman mencurahkan perasaan hati yang terbuku, semahunya.
“Tapi, Aiman dah bertaubat! Aiman dah mintak ampun kepada ALLAH..”cerita Nur Aiman akhirnya bernoktah.
“Aiman, syukurlah kalau begitu! Alhamdulilah. Akif rasa bahagia dan gembira mendengar cerita Aiman. Sebelum ini Akif sangat bimbang. Bila Aiman tinggalkan rumah, hanya TUHAN saja yang tahu isi hati Akif. Akif bimbang Aiman hilang pedoman dan iman,”ujar Akif. Bibirnya mengukir senyuman apabila merenung ke wajah Nur Aiman.
“Tak ada suami normal yang tidak bimbang pada kehilangan isterinya, tambahan pula apabila segala ikhtiar dan usaha telah dilakukan untuk mencarinya gagal. Hanya kepada ALLAH tempat Akif mengadu dan akhirnya Akif tawakal aje.”
Mendengar kata-kata suaminya, hati Nur Aiman terbuai oleh perasaan yang sangat indah. Rupa-rupanya Akif sangat mengambil berat padanya. Hatinya menguak lapang. Namun untuk mengikut Akif pulang, dia bimbang Steven terus mengganggu kehidupan mereka. Saat fikirannya kusut mencari alasan, teringat pula kepada wanita yang baru dikenalinya semalam.
“Akif, boleh tak Haiqal dan  Aiman tinggal kat sini? Aiman nak belajar agama dengan seorang makcik. Aiman baru berkenalan dengan dia. Petang semalam Aiman pergi ke rumahnya, di Parit Lima. Makcik tu hadiahkan Aiman...” kata-kata Nur Aiman tersangkut di situ. Kitab Tafsir al-Quran tulisan rumi yang disimpan di dalam almari pakaian diambil dan diserahkannya kepada Akif.
Akif segera menyambutnya dan menyelak helaian muka hadapan kitab tafsir al-Quran itu. Bola matanya menari-nari.
Sila  baca dengan cermat. Kitab ini milik DAYANA BINTI MOHD YUSOF.
Tulisan tangan yang tertera dan sempat singgah di retina matanya menyebabkan batin Akif meraung.
‘ALLAHUAKBAR!’Insaf dengan kehebatan ALLAH, hatinya bagaikan tersungkur.

Tiada ulasan: