Bahagian pesakit luar Hospital Parit Buntar hari
itu sesak dengan pesakit. Mak Bedah menunggu dengan sabar nombor gilirannya
dipanggil. Nasib baiklah ada sebuah bangku yang masih kosong. Dapatlah dia
duduk di situ dan menunggu dengan selesa.
“Duduk sini diam-diam! Mama nak ke tandas. Sekejap aje. ”
Tiba-tiba gegendang telinganya diterjah oleh satu suara
dari arah sisinya. Mak Bedah menoleh apabila mendengar suara kanak-kanak
merengek. Kanak-kanak lelaki yang berusia lebih kurang dua tahun itu
menggoyang-goyangkan badannya berkali-kali sambil merengek. Mungkin itu isyarat
protes yang dia enggan ditinggalkan sendirian di situ.
Ibu kanak-kanak itu seorang wanita muda yang memakai
blaus lengan panjang dan berskirt labuh berwarna kuning air. Dia nampak hampa
dengan keengganan anaknya itu.
“Makcik, boleh tak tolong tengok anak saya sekejap? Saya
nak buang air sangat! Dah tak boleh tahan ni! Di tandas tu basah, nanti dia
jatuh pulak,”kata wanita muda itu sambil matanya merenung Mak Bedah. Bibir Mak Bedah
mengukir senyuman dan mengangguk tanda sudi membantu.
“Tak apa,pergilah. Anak ni, biar makcik tolong jaga.Nombor
makcik pun lambat lagi! Nombor 193. Sekarang baru nombor 38,” beritahu Mak Bedah.
Tangannya lalu mengangkat tubuh kanak-kanak itu dan
diletakkannya di atas pangkuannya. Berhenti pula tangisannya. Bulat matanya
merenung Mak Bedah yang sedang meribanya.
“Terima kasih,”kata wanita muda yang berkulit cerah itu. Dia
menunjukkan wajah yang manis kepada Mak Bedah.
“Haiqal,duduk dengan nenek sekejap, ya,”bisiknya kepada
anaknya yang nampak selesa di atas pangkuan Mak Bedah. Terkejut Mak Bedah
apabila mendengar nama yang dipanggil oleh wanita muda itu kepada anaknya. Disangkanya
perempuan yang meminta bantuan darinya itu berbangsa Cina, rupa-rupanya tidak.
“Haiqal? Nama Haiqal ya? Comel!Hah,duduk diam-diam atas
riba nenek,”kata Mak Bedah sambil mencium ubun-ubun kanak-kanak itu. Bahagia
pula rasa hati Mak Bedah sewaktu memangku kanak-kanak itu. Maklumlah dia sudah
lama tidak beranak kecil. Leka dia melayan Haiqal yang menunjuk jarinya ke sana
dan ke sini. Bercakap sepatah-sepatah dan tidak pelat.
“Haiqal...”
Tiba-tiba muncul seorang wanita Cina yang berusia lebih
50 dan menghulurkan tangannya kepada kanak-kanak itu. Haiqal pun terus
mengelinjan di atas ribaan Mak Bedah kerana ingin mendapatkan wanita itu.
“Saya nak angkat cucu saya.Mamanya masih di tandas. Dia
cirit-birit. Cucu saya ni demam,”beritahu wanita Cina itu sambil mengangkat Haiqal
dari ribaan Mak Bedah dan terus mengendong cucunya itu. Mak Bedah terlopong
dengan situasi itu. ‘Muhammad Haiqal Firdaus.’Kedengaran laungan dari pembesar
suara.
“Hah!Saya mau tengok doktor.Depa sudah panggil!” beritahu
wanita Cina itu lagi kepada Mak Bedah.
“Muhammad Haiqal Firdaus. Bilik nombor 3.” Suara dari
pembesar suara itu berulang-ulang. Wanita Cina tadi segera mendukung cucunya
dan cepat-cepat berjalan menuju ke bilik doktor.
Mak Bedah semakin keliru. ‘Macam mana ni? Nama cucunya macam orang
Melayu. Nama orang Islam. Kalau nak kata maknya orang Melayu Islam, tak ada
pulak pakai tudung! Nak kata Cina pun bukan. Tapi wanita yang tua tadi sah Cinanya.
Pening kepala aku,’bisik hati Mak Bedah.
‘Tapi, wanita Melayu Islam pun ramai yang
tidak bertudung. Susah hendak membezakan wanita Melayu Islam dengan yang bukan
Melayu di negara ini sekarang. Tambah-tambah kalau tidak memakai tudung, bahkan
kadangkala pakaian yang dipakai oleh wanita Melayu Islam lebih menjolok mata
dari yang dipakai oleh bukan Islam,’fikir Mak Bedah lagi.
“Lambat lagi ke, maknya?”kejut Pak Yusof kepada Mak Bedah
yang asyik mengelamun. Tiba-tiba sahaja suaminya duduk di sisinya. Entah bila
dia balik dari kantin hospital.
Tangan Pak Yusof mengambil keratan nombor giliran di
tangan Mak Bedah. Setelah itu dia melihat nombor digital yang terpapar di
dinding di hadapannya.
“Mak oii! Lambatnya lagi! Jomlah saya bawa awak ke klinik
swasta! Lambat sangat ni!”kata Pak Yusof.
“Yalah...”jawab Mak Bedah bersetuju dengan cadangan
suaminya itu. Dia sekadar pening kepala dan sakit lutut. Pening kepalanya
mungkin kerana tekanan darah tinggi disebabkan banyak makan durian sewaktu
kepulangan anaknya dua hari yang lalu. Dayana yang tidak gemar makan durian pun
dipaksa menemaninya. Itulah padahnya.
“Maknya, tunggu saya dekat unit X-ray tu. Biar saya pergi
ambil motor. Parkirnya jauh. Awak tu sakit lutut,” kata Pak Yusof lembut lantas
cepat-cepat beredar dari sisi isterinya itu. Mak Cik Bedah menghayun langkah
menuju ke tempat yang diarah suaminya dan menunggu di situ.
“Makcik, terima kasih kerana jaga anak saya tadi,” kata
satu suara.Mak Bedah yang sedang menunggu kedatangan Pak Yusof menoleh.
“Tak apa. Hal kecil aje...err...” jawab Mak Bedah. Bibirnya
bergerak-gerak ingin bertanyakan nama wanita muda itu.‘Cina ke Melayu budak ni?’soal hatinya.
“Szeze,cepat.Papa sudah mari! Haiqal biar mama yang dukung.”
Tiba-tiba datang wanita Cina yang separuh usia tadi
menghampiri mereka. Mereka berbual-bual beberapa ketika di dalam bahasa
Mandarin. Sebuah kereta Volvo lama berwarna hijau berhenti dan mereka terus
menaikinya.
Mak Bedah mengintai pemandu yang membawa kereta Volvo itu.
‘Oh! Memang sah Cinanya,’bisik hati Mak Bedah sambil bibirnya mengukir senyuman.
‘Agaknya kalau Akif jadi kahwin dengan Yana tempoh hari, mungkin
anak mereka lebih kurang umur Haiqal. Hisy!’ Mak Bedah merungut sendiri. Entah
bila agaknya dia dapat menimang cucu. Hasil pernikahan Dayana dengan Azmir
belum menunjukkan tanda-tanda yang pasangan itu akan menimang cahaya mata. Mak
Bedah mengeluh kecewa.
Tiba-tiba kakinya terpijak sesuatu. Mak Bedah menundukkan
wajahnya dan memandang di atas aspal jalan. Dompet kulit tergolek di hujung
kakinya.
“Hmm... mesti anak Cina tadi tercicir beg duitnya,” bisik
Mak Bedah lalu mengutip dompet itu dan memasukkannya ke dalam begnya.
“Ya ALLAH,awak fikirkan tentang apa? Saya dah tunggu lama.
Cepatlah naik motor ni!”tegurPak Yusof yang sudah memberhentikan motosikalnya
berhampiran Mak Bedah.
“Alah, aku jumpa beg duit,”jawab Mak Bedah lalu
mengeluarkan beg duit yang disimpan dan menunjukkannya kepada Pak Yusof. Pak
Yusof terus membukanya.
“Amboi,banyak duitnya!”kata Pak Yusof.
Kad pengenalan yang terselit di dalam dompet itu juga dikeluarkan
dan dilihatnya.
“Maknya, selepas balik dari klinik, kita pergi ke Ladang
Wong. ya! Kita hantar dompet ni balik! Lebih 1000 ringgit duit yang ada dalam
dompet ni,” beritahu Pak Yusof.
“Bolehlah, kita cari rumahnya sampai jumpa, ya,”cadang
Mak Bedah pula.
Pak Yusof mengangguk sambil menghidupkan enjin motosikalnya.
Gerimissemakin lebat sewaktu kereta Volvo milik
Wong Pek Cak tiba di halaman rumah Pak Yusof. Nur Aiman turun dari kereta dan
menudung kepalanya dari disirami gerimis yang semakin kasar butirannya dengan
tapak tangan.
“Naiklah,”pelawa Mak Bedah yang sedang berdiri di muka
pintu. Kedatangan wanita Cina itu memang sedang ditunggu. Tengah hari tadi, sewaktu
dia pergi ke alamat seperti yang tercatat di belakang kad pengenalan wanita itu,
hanya ada orang gaji di rumahnya.
Pak Yusof enggan menyerahkan beg duit yang dijumpai
kepada pembantu rumah warga Indonesia itu. Lantaran itu, mereka meninggalkan pesan
dan nombor telefon rumah. Wanita Cina itu menghubungi telefon rumahnya dua jam
yang lalu.
“Makcik sedang buat apa tadi?”soal Nur Aiman lalu duduk
di atas lantai.
“Makcik lepas sembahyang asar. Mengaji Quran sikit,”jawab
Mak Bedah sambil tersenyum.
Matanya merenung ke wajah wanita Cina itu. Wanita Cina
itu berseluar hitam longgar dipadankan dengan blaus biru berlengan panjang. Rambutnya
yang lurus diikat tocang satu. Sebahagian dahinya ditutupi oleh rambut dipotong
lurus. Penampilannya terlalu sederhana tanpa mamakai alat solek.
‘Macam amoi yang jual buah di pekan tu pulak, anak Cina
ni,’ bisik hati Mak Bedah. Wajah cantik Nur Aiman direnungnya lama.
“Duduk dulu ya,”suruh Mak Bedah. Dia beredar ke dalam bilik.
Mata Nur Aiman mengitari anjung rumah Mak Bedah. Bola
matanya terpaku pada sebuah buku tebal di almari yang sarat dengan buku. Dia
bangun dan pergi ke almari buku itu. Matanya terus membaca tulisan yang tertera
pada tulang buku yang menjadi perhatiannya tadi.
“Suka baca buku ke?”Soalan Mak Bedah yang tiba-tiba
muncul di sisinya mengejutkan Nur Aiman.
“Ya...ya, makcik!” jawab Nur Aiman sambil menggosok-gosok
dadanya berulang kali. Mak Bedah senyum melihat gelagatnya.
“Ini, dompet awak yang makcik jumpa tu. Periksalah,” kata
Mak Bedah sambil menghulurkan dompet kepada Nur Aiman. Nur Aiman menyambutnya
sambil mengukirkan senyuman. Dompet di tangan terus dimasukkan ke dalam beg.
“Terima kasih, makcik! Kalau begitu saya balik dulu,” katanya
lembut dan berjalan ke pintu.
“Nanti dulu.Duduk dulu. Makcik buat air. Lepas minum
nanti, bolehlah balik! Kalau datang ke
rumah orang Melayu, mesti minum dulu,” beritahu Mak Bedah lagi.
“Baik, makcik. Hmm... boleh tak saya nak pegang kitab Quran
tafsir tu?”soal Nur Aiman sambil menunjukkan ibujarinya ke arah buku tebal di
dalam almari tadi.
Mak Bedah tersentak dengan permintaan wanita Cina itu. ‘Boleh
ke tidak ni?’soal hati Mak Bedah. ‘Dia ni kafir,’ bisik hatinya pula. Hujung
matanya mengerling wanita Cina itu yang masih menanti jawapannya.
“Makcik, saya mualaf,”beritahu Nur Aiman dengan nada
perlahan. Mendengar kata-kata itu Mak Bedah bertambah terkejut.
“Astaghfirullahalazim! Kenapa tak beritahu makcik?”soal
Mak Bedah lantas tangannya membuka almari buku dan mengeluarkan kitab tafsir al-Quran
yang dimaksudkan oleh wanita Cina itu.
“Ambillah kitab ni! Makcik hadiahkan untuk... nama siapa?”tanya
Mak Bedah ramah sambil tersenyum.
“Nur Aiman Zumaiah Wong,” jawab Nur Aiman perlahan. Bibirnya
mengukirkan senyuman sebaik sahaja menyebut nama itu.
“Sedap namanya,” komen Mak Bedah. “Maknanya pun bagus,” beritahu
Mak Bedah pula.
Nur Aiman tersenyum lagi. Hatinya seolah terbuai oleh
satu perasaan yang sangat indah.
“Nama tu, suami saya yang bagi,” cerita Nur Aiman dengan
bangga.
Wajah Akif terbayang di mata. Rasa rindunya pula seolah
menyala. Kitab tafsir al-Quran yang disambut dari tangan Mak Bedah terus
didakapnya erat-erat dengan linangan airmata.
“Nanti Aiman baca kitab ni setiap masa. Kitab al-Quran
ini, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang hendak bertaqwa. Anak bacalah dan
jadikan ia sebagai panduan hidup. Syukurlah kerana ALLAH telah memilih Aiman
untuk menjadi penganut agama ISLAM yang suci,” kata Mak Bedah dengan nada sebak.
Dia memeluk Nur Aiman yang terharu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan