Khamis, 21 April 2016

Cinta Tak Pernah Usai- Bab 47



Dayana memberhentikan keretanya di tepi jalan beberapa meter dari rumah Mak Esah. Matanya mengitari ke sana dan ke sini. Dayana turun dari kereta dan memberi salam beberapa kali, namun tiada suara yang menjawab salamnya. ‘Alamak rumah ni macam tak ada orang aje!’ bisik hati Dayana sambil memerhati.
Baru sahaja dia menghidupkan enjin keretanya untuk beredar dari rumah itu, matanya melihat dua buah motosikal sedang menuju ke arahnya. Pemuda-pemuda yang menunggang dan membonceng motosikal itu turun dari motosikal dan menghampiri keretanya. Dada Dayana berdebat-debar, bimbang melihat kedatangan pemuda yang kelihatan tergesa-gesa itu.
“Hah, Kak Yana!”tegur salah seorang pemuda tadi.
Din, memang sangat dikenali Dayana. Pemuda itu kerap berada di rumah Akif setiap kali Dayana datang berkunjung ke rumah tunangannya itu. Din, selalu membantu bapa Akif untuk membuat kerja-kerja di kebun.
“Mana, Akif?”soal Din dengan matanya yang membulat melihat ke sana dan ke sini.
“Akif?”soal Dayana kembali. Termangu-mangu mendengar pertanyaan pemuda itu. Dadanya tiba-tiba bergemuruh.
“Itulah, Din! Aku dah kata kau aje yang perasan, Akif balik ke rumah dan memanggil kau!”tempelak  salah seorang kawan Din sambil menumbuk bahu Din.
“Bila? Bila Din nampak Akif?  Bila Akif panggil Din?”soal Dayana bertubi-tubi. Matanya merenung ke wajah Din lama-lama.
“Tadi... saya lalu di belakang rumah tu,tiba-tiba saya dengar orang laung saya! Saya toleh dan nampak Akif!  Tapi, saya terus pecut motor saya, akak! Saya takut! Bukan ke Akif dah lama ma...”
Percakapan Din tidak sempat berhujung kerana mulutnya dipekup oleh salah seorang kawannya.
“Dahlah, Din! Kau ni suka mengigau di siang hari! Entah-entah kau nampak bayang daun pisang melambai, kau sangka Akif!”sanggah kawannya pula. Matanya merenung ke wajah Dayana yang tiba-tiba kelihatan sedih.
“Mungkin aku tersilap. Kak Yana datang seorang aje ke? Suami mana?”soal Din kepada Dayana. Cepat-cepat mengalih tajuk perbualan mereka. Din rasa bersalah apabila melihat air muka Dayana yang muram sebaik sahaja dia bertanyakan tentang Akif tadi.
“Hmm... datang seorang! Dah lama tak datang jenguk Mak Esah,” beritahu Dayana dengan nada sayu.“Sengaja Yana singgah ke sini dulu sebelum balik ke rumah mak,” beritahunya lagi.
“Mak Esah dah lama tak duduk di rumah ni.Dia duduk dengan Rais. Pak Shukri pun ikut sekali. Rumah ni, Pak Shukri suruh saya tengok-tengokkan,” cerita Din tanpa dipinta.
“Oh, begitu ke? Yalah Din, terima kasih kerana beritahu.Saya beredar dulu,” balas Dayana sambil menggerakkan keretanya perlahan-lahan. Dari cermin pandang belakang, Dayana terus memerhatikan rumah Mak Esah. Perasaannya jadi tidak menentu.Din dan pemuda-pemuda tadi masih mengelilingi rumah Akif.


Sambil memandu matanya sesekali melihat ke langit. Awan sedang berarak perlahan. Pepohon di tepi jalan meliuk-lintuk melambai-lambai. Fikirannya terus menerawang mengenangkan cerita daripada Din tadi.
‘Akif,benarkah Akif pulang?’soal hatinya. Namun, pertanyaan itu tiada jawapan.
Jika benar Akif pulang, bermakna dia telah membuat kesilapan yang sangat besar. Dia telah menikahi lelaki lain, pilihan emak dan ayahnya. Pernikahannya dengan Ikhwan memang direlakannya kerana bersimpati dan ingin menjaga hati Mak Tijah yang bersungguh-sungguh meminta maaf. Sementelah pula pintu hatinya mulai terbuka untuk Ikhwan yang bersungguh-sungguh mencintainya.
Namun, pernikahannya dengan Azmir sekadar mengikut desakan emak dan ayahnya yang tidak sanggup lagi melihat dia berduka. Kejadian malang yang terlalu banyak melanda hidupnya menuangkan kesedihan di lubuk hatinya. Sangka emak dan ayahnya, kebahagiaan akan menghadirinya jika ada seseorang disisinya.
 ‘Mengapa aku tidak sabar menunggu Akif? Mengapa? Mengapa aku sanggup meleraikan butiran kesetiaan yang memahkotai cintaku selama ini?’ Beribu persoalan terus menikam benaknya.
Pinnnn... pinnn...
Tiba-tiba telinga Dayana dikejutkan oleh jeritan hon kereta yang membingitkan dan dentuman yang kuat menghentak belakang keretanya.
“Alamak! Siapa yang langgar punggung kereta aku ni?”rungut Dayana lalu membrekkan kereta Kelisanya. Dia keluar dari kereta dan terus melihat punggung keretanya yang remuk.
“Akak ni bawa kereta macam mana?”soal seorang lelaki yang turut memberhentikan kereta. Dia keluar dari keretanya dan melihat punggung kereta Dayana.
“Awak yang langgar saya!”sanggah Dayana dengan suara kuat. Matanya menentang mata lelaki itu yang berwajah marah.
“Yang akak bawa kereta perlahan sangat tu kenapa? Saya ni nak cepat! Tiba-tiba aje akak berhenti, apa pasal?”soal lelaki itu pula sambil bercekak pinggang.
“Helo! Buka cermin mata hitam awak tu! Awak tak nampak ke? Bukan ke simpang susur keluar ke jalan besar ni? Mestilah kena berhenti!Yang awak tu bawa kereta macam anjing gila pasal apa?”tanya Dayana pula dengan suara kuat. Dia mulai meradang melihat cara lelaki yang bercakap dengannya itu. Meskipun percakapannya lembut dan bersuara perlahan, namun nadanya sinis dan menyakitkan hati.
“Okey! Okeylah akak! Saya salah! Simpan nombor telefon saya. Pergilah hantar kereta tu ke bengkel untuk repair, kosnya nanti saya tanggung,” balas lelaki itu sambil menulis nombor telefon pada secebis kertas dan menghulurkannya kepada Dayana.
“Kereta tu boleh bergerak lagi,” katanya sementara menunggu Dayana mengambil cebisan kertas yang dihulurkannya. Dayana terpaksa mengambilnya dan sempat membaca nombor telefon yang tercatat sebelum menyimpan cebisan kertas itu di dalam beg tangannya.
“Encik, nama awak siapa?”tanya Dayana sambil menjerit kecil kerana lelaki tadi sudah mula menggerakkan keretanya.
“Zaim!” jawab lelaki itu lalu memecut kereta Wira putihnya meninggalkan Dayana seorang diri di tepi jalan dengan perasaan meradang.


PASAR MINI AKIF.
DARI jauh bibir Akif sudah mengukir senyuman apabila melihat papan tanda yang menamakan pasar mini kesayangannya itu masih kekal di tempatnya.
Uncle tunggu sekejap! Atau uncle nak pergi kemana-mana dulu, boleh juga! Satu jam lagi uncle datang ambil saya dan hantar saya ke Ladang Wong,” beritahu Akif  sambil tangannya menolak picu pengunci pintu kereta sewa itu.
“Saya tinggalkan beg dalam kereta ni,”kata Akif lagi. Pemandu teksi itu mengangguk. Terharu juga hatinya kerana penumpangnya itu begitu mempercayainya.
“Tak apa, encik! Saya pergi makan laksa di kedai hujung sana,” balas pemandu teksi. Dia beredar dari situ sebaik sahaja menurunkan Akif. Akif berjalan perlahan-lahan memasuki pasar mininya. Perasaannya berkecamuk. Sedih, rindu, rasa bersalah dan bermacam-macam perasaan lagi.
“Eh, Abang Akif!”pekik seorang pemuda yang tiba-tiba datang memeluknya. Akif membalas pelukan itu. Tidak disangkanya pemuda itu masih setia bekerja di pasar mininya.
“Subhanallah! Abang pergi ke mana selama ni?”soal Ali dengan suara tangis. Mereka berpelukan agak lama.
“Panjang ceritanya, Ali,”beritahu Akif. Minit-minit berikutnya mereka berdua saling bercerita di bilik belakang. Bilik yang pernah dijadikan pejabat satu waktu dulu.
“Habis tu sekarang macam mana, abang? Saya serahkan pasar mini ni kepada abang balik! Pak Shukri dan Mak Esah dah amanahkan kepada saya suruh uruskan kedai ni, sementara mereka tak ada di sini,”cerita Ali. “Sekarang abang dah balik,” ujar Ali lagi. Dia bersuara girang.
“Tak apa. Tak apa. Ali uruskan dulu buat sementara, seperti sekarang ini. Ayah abang ada tinggalkan alamat rumah Rais tak? Nombor telefon?”soal Akif dengan gaya tidak sabar.
“Tak adalah pulak! Nombor telefon pun tak ada! Tapi dia selalu ke sini,” beritahu Ali lagi.
“Nisah? Dia duduk di mana? Ada alamatnya tak?”tanya Akif tidak sabar. Rindu benar kepada adik bongsunya itu.
“Nisah? Dia belajar di Amerika dah dua tahun,”beritahu Ali. Cepat benar masa berlalu!
“Ya? Alhamdulillah...” Tergenang airmata Akif mendengar berita itu.“Bisnes macam mana?”soal Akif sambil meninjau ke dalam pasar mini. Ali memberi isyarat jarinya kepada Akif.
“Baguss! Kau jaga elok-elok pasar ni,” pesan Akif sambil menumbuk bahu Ali, mesra.
“Haa, Kak Yana pun ada jugak datang ke sini kadang-kadang. Oh! ya...tadi, pagi tadi dia ada datang ke sini! Dia singgah ke sini untuk beli buah-buahan, dia kata nak pergi ke rumah Mak Esah...eh! Dia pergi ke rumah Abang Akif lah!”beritahu Ali terlatah-latah.
Dada Akif tiba-tiba berdebar. Dia rasa tidak sabar untuk bertemu dengan tunangannya itu.
“Abang, Kak Yana dah kahwin. Kasihan dia bang! Bila abang menghilangkan diri sewaktu hari kenduri kahwin, merana dia. Dahlah termalu! Nak berdepan dengan orang kampung yang mengata macam-macam lagi!  Mula-mula dia pergi merantau ke Kuala Lumpur membawa hati. Akhirnya dia terpaksa ikut kata mak dan abahnya yang menyuruh dia kahwin! Saya kasihan tengok dia bang,”cerita Ali panjang lebar. Berita itu mengejutkan Akif. Dia mengeluh kuat, menghambur rasa kecewa.


“Mula-mula dia kahwin, suaminya mati, bang,”cerita Ali dengan nada sebak.
Berita tentang kematian Ikhwan telah tersebar luas di kampung yang berdekatan. Tidak ada hati yang tidak berasa sebak dengan peristiwa itu. Maklumlah, pengantin lelaki meninggal dunia di saat kemuncak kebahagiaan hatinya. Di saat cinta berada di dalam genggaman, impian hati di dalam pelukan. Namun, ajal pula datang menjemputnya belum sempat lagi menikmati malam pertama.
“Suami Yana mati?”soal Akif dengan wajah berkerut.‘Oh,TUHAN...’rintih hati Akif sedih.
“Dengar cerita suaminya kena barah otak, bang! Dia mati atas riba Kak Yana sewaktu upacara membatalkan air sembahyang lepas akad nikah,”sambung Ali.
Bagaikan tertahan nafas Akif sewaktu mendengar cerita itu.
“Yana kahwin dengan siapa?”soalnya lagi, seolah-olah tidak sabar untuk mendengar cerita yang seterusnya.         “Dengan Ikhwan,” jawab Ali perlahan sambil merenung wajah Akif yang nampak sedih.
“Ikhwan?Sekampung dengan dia, kan?”tanya Akif bersungguh-sungguh.
Ali mengangguk. Akif terus terduduk. Dia memekup muka dengan kedua-dua belah tapak tangannya, melindungi air mata yang tertumpah. ‘Ya ALLAH,’rintihnya sedih mendengar cerita yang tragis itu. Tercapai juga hajat Ikhwan untuk memperisterikan Dayana, namun jodoh mereka tidak panjang pula.
“Tak lama lepas tu, dia bernikah lagi, bang! Tapi...”kata-kata Ali terhenti seketika. Dia tidak pasti sama ada patut atau tidak menceritakan hal Dayana kepada Akif.
“Tapi apa, Ali?Apa yang telah terjadi?”tanya Akif tidak sabar dengan perasaan yang berdebar. Hatinya tiba-tiba terasa tergigit. Namun, wajarkah dia merasa kecewa sedangkan dia yang terlebih dahulu menghampakan gadis itu dan membenamkan hatinya ke lembah derita.
“Mereka kemalangan seminggu selepas kenduri. Suaminya cedera teruk. Buah pinggangnya pecah sebelah,”cerita Ali dengan wajah sedih.“Hingga hari ini Kak Yana terpaksa membela suaminya yang uzur akibat kemalangan itu. Kasihan dia.” Lirih suara Ali sewaktu menoktahkan ungkapan kata-katanya.
“ALLAHHUAKBAR! Besarnya ujian yang harus Yana hadapi,”keluh hati Akif. Perasaannya bercampur aduk.
“Ali,nanti beritahu ayah abang, yang abang ada balik dan datang ke sini! Abang tinggalkan nombor telefon,” pesan Akif. Tidak tergamak telinganya mendengar tentang Dayana lagi. Nasib sedih yang berterusan melanda hidup bekas tunangannya itu begitu memilukan perasaannya.
“Jangan beritahu pada, Yana. Tolong ya, Ali. Rahsiakan kepulangan abang daripada Yana. Biarlah dia hidup bahagia dengan suaminya,” pesan Akif lagi dengan suara sayu. “Kewangan syarikat ni macam mana? Duit masuk ke akaun mana?”tanya Akif.
“Saya buat macam yang abang ajar dululah, tapi semua duit saya masuk dalam akaun Pak Cik Shukri. Sebab senang nak keluarkan semula,”beritahu Ali.
“Bagus!”puji Akif. Dia membuka kunci laci kabinet besi yang sememangnya ada bersamanya dan mengeluarkan fail yang diperlukan.
“Ali, fail ni abang ambil! Kunci almari ni, nanti bagi kepada ayah! Dalam almari ni masih ada duit tunai tau,”beritahu Akif sambil meraba-raba ke dalam kabinet besinya.
“Baik, bang! Saya akan jaga amanah abang!”janji Ali.

“Hal abang dan Kak Yana jugak, kamu mesti amanah. Jangan cerita apa-apa kepadanya. Nanti abang sendiri akan beritahunya, elok-elok,”sambung Akif lagi. Ali mengangguk tanda faham. Mereka berpelukan sebelum Akif meninggalkan pasar mini itu.
Pemandu teksi sudah sedia menunggu sebaik sahaja Akif keluar dari pasar mini itu. Perasaan Akif sayu apabila dia melihat label PASAR MINI AKIF dari teksi yang sedang bergerak. Sebak. Hatinya menangis. Bersusah payah dia berusaha untuk memajukan perniagaannya itu selepas sahaja tamat pengajiannya dulu. Apabila dia sudah diambang kejayaan, dengan tiba-tiba jalan cerita dalam hidupnya seolah-olah melalui frasa anti plot.
“Kita terus ke Ladang Wong ya, encik”kata-kata drebar teksi melontarkan lamunannya.
“Ya,” jawab Akif sepatah.
Matanya terus memerhati laluan di kiri kanan jalanraya. Tidak banyak yang berubah ataupun mungkin tidak ada perubahan langsung. Ada sebatang tiang elektrik hampir patah yang dilihatnya beberapa tahun dulu, masih ada di tempatnya. Bibir Akif mengukir senyuman nipis.

LADANG WONG.
SEBUAH papan tanda yang besar tersergam di jalan masuk menghala ke ladang kelapa sawit milik Wong Pek Chak. Pemandu teksi terus menghala ke jalan yang baru diturap dengan tar.
“Wah,jalan baru bikin!”beritahu pemandu teksi kepada Akif sambil tersengih. Akif turut tersenyum dan mengangguk. Berdasarkan warna aspal yang kehitaman menunjukkan yang jalan itu baru diturap. Bau minyak tar pun masih menyengit.
“Haiya! Jalan baru bikin pun tak elok! Tengok! Mana ada rata,” rungut pemandu teksi apabila teksi yang dipandunya terhentak-hentak kecil bertalu-talu.
“Ya,uncle! Macam ini punya kerja. Kontraktornya hanya fikirkan untung aje,”balas Akif. Duduknya pun rasa tidak selesa kerana teksi asyik terhentak-hentak.
“Encik mahu pergi ke rumah Wong?”soal pemandu teksi kepada Akif untuk kepastian. Soal jalanraya yang menyakitkan hati dilontarkannya ke tepi. Akif mengangguk.
“Encik mahu saya tunggu encik atau..?” soal pemandu teksi lagi dengan suara perlahan.
“Tak apa. Uncle tak payah tunggu saya,”jawab Akif dengan tenang sambil menegang kendurkan kakinya yang lenguh.
“Nanti macam mana encik nak balik?Rumah Wong dengan jalan besar jauh sangat. Hampir 7km, macam mana encik nak keluar?”soal pemandu teksi itu. Sekadar memberi pandangan.
“Tak apa, saya mungkin tidur di rumahnya,” jawab Akif sambil senyum. Jawapan yang diberikannya menyebabkan pemandu teksi itu terkejut dan hampir membrek mengejut.
“Lu orang Melayu! Eh,rumah Wong ada banyak anjing! Nanti maacam mana lu hendak sembahyang?”soal pemandu teksi itu sambil melirik ke wajah Akif. Air muka pemuda di sebelahnya bersih dan jernih.
Uncle,kalau hendak sembahyang, di mana-mana pun boleh sembahyang walaupun di rumah itu ada banyak anjing. Asalkan tempat itu bersih daripada najis,”beritahu Akif dengan nada mesra.
Bibirnya tersenyum kerana matanya sudah ternampak bumbung rumah batu  dua tingkat milik bapa mertuanya itu. Hatinya sudah tidak sabar mahu memeluk dan mencium Haiqal. Harap-harap Haiqal masih mengenalinya.

Yang lebih diharapkannya, rumah itu ada penghuninya agar kekecewaannya tidak berulang sebagaimana dia mengunjungi rumahnya di kampung tadi.
“Oh! Macam tu ke? Sorry, saya tak tahu,”beritahu pemandu teksi lagi.
Pemandu teksi menghantar Akif sehingga ke depan pintu besar rumah Wong Pek Chak. Salakan anjing yang bertalu-talu menyambut kehadiran teksi di hadapan pintu pagar itu. Akif berasa tidak sedap hati.
“Uncle! Tunggu dulu!” arah Akif kepada pemandu teksi. Dia pun turun dari teksi dan merapati pagar yang tinggi tiang besinya. Salakan anjing semakin galak dan membingitkan telinga. Akif cuba menggoncang pagar rumah bapa mertuanya itu, namun tiada siapa pun datang membukanya. Akif kecewa. Dia menuju ke arah teksi yang sedang menunggunya lantas membuka pintu teksi itu dan menghenyakkan punggungnya ke tempat duduk penumpang.
“Kita nak ke mana, encik?”soal pemandu teksi sambil menggerakkan teksinya perlahan-lahan.
‘Kemana?’soal hati Akif. Balik kampung? Rumah dikampung berkunci. Kedua-dua orang tuanya sudah tinggal bersama Rais yang entah dimana alamatnya. Rumah Dayana? Yana pun dah berkahwin dengan lelaki lain. Balik ke Pasar Mini? Biarlah Ali yang menguruskan pasar itu. Dia pun nampak gembira dengan tugasnya.
“Encik!”kejut pemandu teksi kepada Akif yang berdiam diri. Khayalan Akif tercantas.
“Err... kita pergi airport!”balas Akif tergagap-gagap.
“Bukan encik balik lusa ke? Tadi encik sudah cerita sama saya,”ujar pemandu teksi.
“Ya...ya... hmm!!Uncle carikan saya hotel!”jawab Akif tersasul-sasul.
Tiga hari lagi sebelum tarikh penerbangannya. Esok, dia akan ke Ladang Wong sekali  lagi.

Tiada ulasan: