WAKTU terus berputar mengikut aturan yang telah ditetapkan
oleh TUHAN. Mentari tetap timbul dari sebelah timur dan tenggelam di sebelah
barat tidak pernah tersilap walau berjuta tahun. Seluruh cakerawala tetap
bergerak pada paksinya sambil bertasbih memuji kekuasaan Pencipta-Nya.
Agak lama Akif tinggal bersendirian di rumah itu. Semenjak
pemergian Haiqal mengikut datuk dan neneknya pulang ke Parit Buntar. Nur Aiman
pula sudah meninggalkannya lebih lama dari itu. Sejak hari itu mereka bagaikan
terputus hubungan. Dia sudah berkali-kali menghubungi telefon bimbit isterinya
itu, namun tidak pernah berjawab.
Tidak untuk mempercayai kata-kata Steven tentang
isterinya, Akif tidak dapat mendustai hatinya yang dia berasa sedikit curiga
dengan pendirian beragama di hati Nur Aiman. Dia bimbang Nur Aiman akan
terumbang- ambing di dalam bahtera iman yang masih belum teguh tanpa bimbingan.
Dalam ketenangan, kini hatinya digugat oleh rasa risau.
Bimbang. Dia bimbang jika Nur Aiman kembali murtad. Dia bimbang bapa dan emak
mertuanya akan menyesatkan Haiqal yang masih kecil. Memang, bapa dan emak
mertuanya telah berjanji, akan menjaga Haiqal sesuai dengan agama Islam dengan
bantuan Bibik Tanti, namun bolehkah janji itu dipercayai? Janji seorang datuk
yang kafir sebelum memperolehi cucunya!
Bapa dan emak mertuanya juga gagal dihubungi. Hatinya
semakin diburu rasa bersalah. Bersalah kepada Haiqal. Bersalah kepada TUHAN. Akif
cuba bermuhasabah. Mungkin dia yang bersalah sehingga menyebabkan Nur Aiman
melarikan diri. Nur Aiman merajuk dan tergores hati. Dia telah mencuba menjadi
suami yang baik buat wanita itu.Menjalankan segala tanggungjawabnya untuk
mendidik Nur Aiman sebagai seorang mualaf dan cuba untuk menggembirakan hati
isterinya itu dengan apa juga cara.
Namun Akif sedar
selama perkahwinan mereka, ruang perkahwinan itu kosong dan hambar. Dia tidak
pernah mengucapkan kata cinta kepada Nur Aiman. Bahkan tidak pernah bermesra
pun dengan isterinya itu sebagai kewajipan bersuami isteri. Dia mendera
batinnya sendiri. Pasti juga dia telah mendera batin Nur Aiman. Kerana apa? Kerana
dia tidak pernah mencintai gadis Cina itu. Dia hanya mencintai Dayana.
Dia masih
berharap cintanya dan Dayana dapat disatukan. Dia telah ingkar perintah TUHAN
dengan sikapnya yang mengabaikan keperluan fitrah badani Nur Aiman.
Namun, dia benar-benar mengimpikan dapat terus membimbing
dan mendidik Nur Aiman serta Haiqal menjadi muslim yang sejati. ‘Ya TUHAN, tunjukilah
aku jalan untuk meleraikan permasalahan ini,’bisik hati Akif. Terlintas di
hatinya untuk kembali ke tanah air pada waktu itu. Ingatannya terhadap emak, ayah,
Rais dan Nisah melonjak-lonjak. Apatah lagi kepada Dayana.
Deringan telefon di atas meja memancung lamunan Akif.
“Encik Akif, ekoran perbincangan kita tempoh hari
berkenaan dengan hasrat Encik Akif untuk membuka perniagaan francais tu..”Rashid,
pegawai dari Kedutaan Malaysia di Beijing terus memberikan penjelasan kepada
Akif.
Bibir Akif mengukir senyuman. Panggilan telefon yang
diterima seolah-olah penawar bagi hatinya yang agak sugul semenjak dua tiga minggu
ini.
Mahu tidak mahu dia kena pulang ke tanah air untuk
menguruskan tentang perniagaan francaisnya yang akan dimulakan di Beijing. Dia
perlu berurusan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan di Putrajaya, Malaysia. Di juga perlu balik ke rumahnya untuk
mengambil dokumen-dokumen sokongannya
yang lain. Lagipun, dia perlu menyediakan modal yang cukup untuk memulakan
perniagaan. Walaupun kerajaan Malaysia bersedia memberi bantuan kewangan, segala
dokumen yang diperlukan perlu diambil di rumahnya di Malaysia.
Sewaktu ekspo di
Tianjin tempoh hari dia mengambil kesempatan untuk bertemu dengan beberapa
orang pegawai yang mewakili kementerian itu dan menyatakan cita-citanya untuk
membuka francais makanan halal di Beijing. Dengan pengalamannya sebagai pemilik
pasar mini sewaktu di tanah air dan
menjalankan perniagaan barang-barang cenderamata milik pak longnya di
Beijing, nampaknya kemampuannya sebagai usahawan diyakini. Tambahan pula dia memiliki ijazah
di dalam pengajian perniagaan. Kebolehan dan ilmunya semakin diyakini.
‘Mak,Akif akan balik, mak! Akif akan balik! Akif akan
cium kaki mak! Ampunkan Akif, mak!!’
Tidak semena-mena air mata terhimpun dipenjuru mata dan
mengalir di pipinya.
Cahaya senja yang kejinggaan melimpah di depan pintu.
Gemersik angin bertiup perlahan namun tidak mampu menyamankan hatinya yang
resah. Chan Sze Hong merenung anak kucing Parsi yang sedang melompat-lompat di depan
pintu. Hatinya juga seolah-olah sedang melompat-lompat bagaikan anak kucing itu.
Tadi Nur Aiman ada memberitahunya, dia ingin pulang ke Beijing. Dia akan
membawa Haiqal bersamanya. Puas dia menghalang, namun Nur Aiman terus berdegil.
Akhirnya dia terpaksa mengugut anak tunggalnya itu.
‘Kalau lu tinggalkan rumah ini, mama minum racun,’ungkap
bibirnya sambil menangis kuat.
‘Sudahlah lu tinggalkan agama nenek moyang. Sekarang lu
mahu tinggalkan mama juga. Lu mahu ikut laki lu. Pergilah! Mama pun akan pergi
mati!’ jeritnya pada Nur Aiman pagi tadi.
Jeritannya itu menyebabkan Haiqal terkejut lalu menangis.
Nur Aiman terus merentap Haiqal dari dukungannya dan membawa anaknya itu terus
masuk ke dalam bilik. Sampai sekarang Nur Aiman masih belum keluar dari
biliknya.
Kepulangannya dari Beijing dulu bersama cucunya tambah
menceriakan hatinya apabila melihat anak perempuan tunggalnya itu berada di
rumah. Dia dan suaminya telah menghalang Nur Aiman daripada menghubungi Akif. Dia
kalau boleh ingin Nur Aiman berpisah dengan lelaki Melayu itu. Dia mahu anak
perempuan tunggalnya itu meninggalkan agama yang sedang dianutinya kini.
“Mama dan papa boleh paksa Aiman tinggal di rumah ini. Tapi
tak boleh paksa Aiman tinggalkan agama ISLAM!”tegas Nur Aiman.
Walaupun suatu ketika dulu Zaim pernah
memperolok-olokkannya kerana keinginannya yang mendalam untuk memeluk agama
Islam, dan telah memperdaya serta mencemar maruahnya, namun bimbingannya yang
diperolehi daripada Akif menyebabkan rasa cintanya kepada ALLAH semakin kuat. Sedikit
demi sedikit peristiwa hitam
yang pernah mewarnai hidupnya memudar dalam kenangan. Dia yakin kejadian
malang itu adalah ketentuan daripada TUHAN yang ada muslihat yang tersendiri. Salah
satu muslihat yang jelas pada pemikirannya ialah ALLAH ingin menemukan dia
dengan jodoh yang dapat membimbingnya mencari hidayah. Akiflah takdir jodohnya.
“Aiman tak mungkin kembali ke agama nenek moyang kita
lagi, mama. Aiman lebih rela mati.”
Mendengar kata-kata Nur Aiman, Chan Sze Hong mengusap
dadanya. Lusuh semangatnya untuk memujuk Nur Aiman supaya kembali ke agama
nenek moyang. Namun, dia tetap akan berusaha. Lama dia bermenung menggeledah
pemikiran.
“Mama, jom pergi makan,”ajak Nur Aiman yang tiba-tiba berada
disisinya. Chan Sze Hong menoleh. Lamunannya bersepai. Bibirnya tersenyum
apabila melihat Haiqal yang sedang didukung oleh Nur Aiman menggapai-gapaikan
tangan kepadanya.
“Nee... nee...” kata Haiqal sambil mengekek. Chan Sze
Hong terus ketawa melihat kepada cucunya. Rasa kasihnya kepada Haiqal kembali
melimpah ruah. Dia terus mengambil Haiqal dari dukungan Nur Aiman.
“Panasnya badan! Cucu nenek demam,”bisiknya sambil
mencium Haiqal bertalu. Pandangannya acuh tidak acuh kepada Nur Aiman kerana
berjauh hati.
“Mama, Aiman mintak maaf! Tak apalah. Aiman akan tinggal
dengan mama, tapi Aiman kena beritahu Akif. Mama, Akif tu seorang suami yang
baik. Tak patut Aiman buat dia begini. Mesti dia bimbang. Tercari-cari..”beritahu
Nur Aiman dengan linangan airmata cuba memujuk hati mamanya yang sedang merajuk.
“Akif pasti rindukan Haiqal. Aiman nak dengarkan suara
Haiqal ditelinganya,”ujarnya lagi dengan penuh harap.
“Aiman, tunggu dulu! Bila mama beritahu, baru telefon dia.
Sekarang ni tak usah,” balas Chan Sze Hong. Kalau Akif tahu isterinya ada di
sini pasti dia akan datang untuk mengambil balik Wong Szeze dan Haiqal. Rumah
itu akan diselubungi kesunyian kembali.
“Kalau Akif tahu, nanti Akif datang ambil Haiqal! Mama
belum puas bermain-main dengan cucu mama,”kata Chan Sze Hong dengan suara serak.
“Tapi mama... Aiman tak boleh buat begitu. Aiman isteri
Akif. Dia kena tahu kemana Aiman pergi. Dengan siapa Aiman berada. Kalau tidak
dia pasti risau. Aiman akan berdosa kalau buat begitu,”terang Nur Aiman dengan
suara memujuk. Akif pernah memberitahunya, bagi seorang isteri keredaan TUHAN
kepadanya bergantung kepada keredaan suami. Pengetahuannya yang masih cetek
dengan ilmu mengenal TUHAN menyebabkan dia tidak berupaya memahami kata-kata
suaminya itu. Tetapi Akif telah menjelaskannya dengan ayat yang mudah. Kalau
suami tak suka kepada apa-apa kelakuan isterinya, ALLAH pun tidak akan
menyukainya.
“Aiman nak telefon dia sekarang,”kata Nur Aiman perlahan.
Matanya merenung mamanya mengharapkan pengertian.
“Kenapa lu degil? Lu mahu mama mati minum racun? Mama
kata jangan, ikutlah kata mama! Tunggu sebulan dua lagi. Baru lu boleh beritahu
laki lu!”tegas Chan Sze Hong. Haiqal yang di atas dukungannya terus dicium bertalu.
“Lagipun sudah berapa bulan lu dekat sini? Kenapa hari
ini pulak lu sibuk-sibuk hendak kasi tahu dia?”tanya Chan Sze Hong.
Nur Aiman tidak menjawab. Entah mengapa dengan tiba-tiba
pula dia merindui suaminya itu.
“Anak lu ni demam! Lu hendak biarkan dia saja?” soal Chan
Sze Hong sambil mengusap-ngusap ubun-ubun Haiqal beberapa kali.
“Esok kita bawa Haiqal ke hospital,” ajaknya pula. Ubun-ubun
Haiqal terus dielus-elus.
“Baik mama,”setuju Nur Aiman untuk memujuk hati emaknya
yang kembali rawan.
‘TUHAN akan hantar Akif kepadaku,’bisik hatinya.
Tiupan angin yang memilukan seolah-olah
menyambut kepulangan Akif di halaman rumahnya. Daun-daun ciku kering bertaburan.
Rumput rampai dan kemuncup di hadapan rumah sudah separas betisnya. Bunga-bunga
bulang kesayangan emaknya satu waktu dulu sudah terbiar pasu-pasunya. Ada yang
sudah kering dan hampir mati. Sebatang pokok bulang yang pasunya diletakkan di
bawah pokok jambu batu berbunga lebat dan tumbuh menjulur membelit pokok jambu
itu. Sebatang pokok langsat telah tumbang, mungkin angkara ribut dan menimpa
wayar telefon.
‘Emak dan ayah sudah tinggalkan rumah ini mungkin lebih lima
enam bulan,’teka hati Akif. Dia terduduk di atas tangga dengan perasaan hampa
dan kecewa. Fikirannya buntu seketika. Hatinya seolah tergigit.
Terdengar bunyi motosikal melalui belakang rumahnya. Di
belakang rumahnya memang ada sebatang denai yang digunakan oleh penduduk
kampung sebagai jalan pintas menuju ke rumah ketua kampung. Bunyi enjin motosikal
itu sudah dikenalinya. Akif berkejar ke arah belakang rumah dan cuba memanggil
pemuda yang sedang menunggang motosikal itu.
“Din!! Din!”panggilnya dengan kuat.
Din menoleh ke arah Akif yang sedang berlari anak cuba
menahan motosikalnya.
“Eh! Aa... Akkiff!!”kata Din tergagap-gagap dengan mata
yang terbeliak. ‘Bukankah Akif anak Mak Esah dan sudah mati?’soal hati Din. Terus tubuh Din menggeletar
lantas tanpa membuang masa walau seminit dia memecut laju motosikalnya tanpa menoleh lagi.
Sekali lagi Akif terduduk. Kini dia terduduk di atas
tunggul pokok mempelam yang sudah hampir reput. Akif masih ingat lagi, pokok
mempelam itu, dialah yang menebangnya kerana di atas pokoknya ada sarang tebuan.
Tidak dapat tidak pokok mempelam itu perlu ditebang kerana ayahnya sudah
bercadang membuat khemah tempat menyiang lembu untuk majlis perkahwinannya
dengan Dayana. Bimbang pula tebuan datang menyerang penduduk kampung yang
sedang bekerja lantas mereka mengambil keputusan untuk menebang pokok mempelam
pauh itu.
‘Din tengok aku macam nampak hantu!’ rungut Akif sambil
mengeluh. ‘Mungkin penduduk kampung, sangka aku dah mati,’bisik hati kecilnya. Cuba
memujuk perasaan yang rawan.
Akif mundar-mandir
di sekitar rumah yang semak itu sambil berfikir. Telefon bimbit di kocek seluar
diambil, lantas Akif menekan nombor-nombor di telefon bimbitnya. Nasib baik dia
meminta nombor telefon pemandu teksi tadi.
Kepulangannya itu menghampakan. Lebih baik dia beredar
dari rumah itu sebelum menimbulkan kekecohan. Namun, dia perlu mengambil semua
dokumen yang diperlukan. Jika tidak kepulangannya akan menjadi sia-sia.
‘Oh ya, semua dokumen, salinannya ada di dalam fail di
pasar mini,’bisikan hatinya menyebabkan perasaannya menjadi lega.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan