Khamis, 21 April 2016

Cinta Tak Pernah Usai- Bab 45



SEJAK kepulangannya ke rumah itu Nur Aiman terus bersedih. Ketiadaan papa dan mamanya menyebabkan rumah itu ditambat kesunyian. Menurut Bibik Tanti, papa dan mamanya telah pergi ke Beijing. Mungkin sewaktu papanya sampai di sana, dia dalam perjalanan balik ke Malaysia. Puas berikhtiar, akhirnya dia dapat melarikan dirinya daripada Steven.
Ingatannya terus menjalar kepada Akif. Kalbunya terasa kosong. Bagaikan ada sesuatu yang hilang. Setiap saat dia berwajah murung. Hatinya terus mengenang suami dan anaknya. Kenangan sewaktu bersama Akif terimbau di hadapan matanya. Kenangan dari saat pertama mereka bertemu sehinggalah malam terakhir mereka bersama.
Bibik terus membasahkan tuala dan meletakkannya di atas dahi Nur Aiman yang terus mengerang-ngerang. Sudah lima hari Nur Aiman berkeadaan begitu. Suhu badannya panas.
“Biar saya bawa Szeze pergi klinik, mahu?”tawar Bibiknya. Nur Aiman menggeleng. Wajah Haiqal yang sedang mengagah terbayang di matanya. Kekekan ketawa anaknya itu sewaktu sedang digeletek perutnya seolah-olah kedengaran ditelinganya.
“Saya rindukan Haiqal...”rintih Nur Aiman sambil menangis.
Wajah Haiqal terlihat di mana-mana. Maklumlah dia meninggalkan anaknya itu di saat Haiqal sudah boleh menjadi teman bermain dan diajar bercakap sepatah-sepatah.
“Ya...siapa Haiqal tu? Bibik mahu cari dia di mana?”soal Bibiknya dengan nada hairan sambil tangannya terus memerah tuala muka yang diguna untuk membasahkan dahi Nur Aiman. Sudah berulangkali nama Haiqal menjentik gegendang telinganya.
“Bibik, saya tinggalkan anak saya,” cerita Nur Aiman dengan tangis.
Saat itu hatinya terasa pilu. Saat itu barulah rasa bersalah menghimpit seluruh ruang hatinya. Selama ini dia merahsiakan segalanya daripada Bibik Tanti. Secara kebetulan wanita itu juga tidak pernah bertanyakan apa-apa. Maklumlah, mungkin pembantu rumahnya itu berasa segan hendak mengambil tahu tentang dirinya sebagai anak tuan rumah.
“Lorr! Habis tu, Szeze sudah lari atau keluar dari agama Islam juga? Lantas kembali ke rumah ini?”soal Bibik Tanti dengan matanya yang membesar sewaktu merenung Nur Aiman. Nur Aiman terus teresak. Rasa rindunya kepada Haiqal dan Akif seolah-olah mengasak-asak jiwanya.
Sejak meninggalkan rumah untuk mengikut Steven dia sudah tidak solat lagi. Walaupun dia belum lagi meneguk minuman atau makanan yang telah diharamkan oleh agama yang suci itu, Nur Aiman kini ragu-ragu dengan jalan yang sedang dilaluinya.
Dia tinggal bersama sepupunya, Steven bukannya sehari dua. Tabiat Steven memang suka berhibur. Setiap malam Steven membawa dia ke kelab-kelab malam untuk berhibur bersama teman-temannya.
Mereka berjudi,minum minuman keras dan menari. Kawan-kawan lelaki Steven menari dengannya silih berganti. Bahkan mereka inginkan lebih dari itu. Tetapi dia tidak akan mengulangi sejarah hitam yang pernah dilaluinya bersama Zaim. Steven akan mengasarinya jika dia tidak mahu meneguk minuman keras. Steven akan lebih marah lagi kalau dia enggan melayani nafsu teman-temannya.

Steven cuba menggembirakan dirinya dengan keseronokan dunia yang tiada sempadan. Namun, hatinya tidak pernah berasa seronok. Walau sebesar biji sawi. Hatinya tidak pernah berasa tenang.
Nur Aiman tidak dapat menahan perasaan sedihnya apabila mengenangkan hari-hari yang dilalui sewaktu hidup dengan Steven. Asakan sedih yang terus menghentam dada, memaksa dia memekup mulutnya dan menangis. ‘Aku telah melakukan dosa...’ rintih hatinya pilu. Walaupun tidak terjebak dengan perzinaan dan minum minuman keras, tetapi dia telah berdosa kerana meninggalkan Akif, suaminya.
Meskipun berulang kali dicuba, dia tidak dapat meloloskan dirinya dari rumah Steven untuk kembali kepada Akif. Lantas dia terpaksa berbohong kepada Steven dengan mengatakan yang dia telah membenci Akif. Puas dia merayu Steven supaya sepupunya itu, pergi bertemu dengan Akif. Dia paksa Steven berjumpa dengan Akif dan meminta suaminya itu menceraikannya supaya dia dapat berkahwin dengan Steven. Apabila Steven meninggalkannya sendirian di rumah, barulah dia berpeluang melarikan diri dan kembali ke Malaysia. Dia takut tinggal di Beijing lagi. Dia bimbang akan diapa-apakan Steven.
“Bibik, bagaimana dikatakan keluar dari Islam itu? Saya tak faham. Apakah saya telah murtad?”soal Nur Aiman.
Bibik Tanti terdiam seketika. Bagaimana menjelaskan kepada anak majikannya itu tentang perkara-perkara yang dapat membatalkan akidahnya dengan cara yang mudah difahami. Bibik Tanti mencari kata-kata yang sesuai untuk dititipkannya kepada Nur Aiman.
“Bibik, lama saya tak solat! Adakah saya masih Islam? Saya keluar dari rumah tinggalkan suami dan anak saya dengan tidak menutup aurat! Bolehkah saya dianggap sebagai seorang muslim lagi! Saya jahat, Bibik! Banyak dosa! ALLAH pasti tidak terima saya lagi! Bukankah seorang muslim itu mesti seorang yang baik! Macam... macam...”bicara Nur Aiman terhenti seketika. Dia teresak. Saat itu dia sangat merindui Akif.
Bibik Tanti bungkam apabila mendengar pertanyaan yang bertalu dari bibir Nur Aiman. Terlalu ramai orang yang mengaku Islam tetapi tidak solat. Sukar untuk dihitung jumlah wanita yang tidak menutup aurat meskipun mereka mengaku dirinya Islam. Walaupun pada waktu itu mereka hanya berbikini di khalayak, jika mereka dilahirkan sebagai orang Islam, mereka tetap akan mempertahankannya. Yang sering dicanangkan ialah ‘Iman letaknya di hati, bukannya pada pakaian.’Ataupun mereka akan mengatakan begini. ‘TUHAN lebih tahu tentang diri mereka.’
“Bibik!”Panggilan Nur Aiman mengejutkan Bibik Tanti.
“Bolehkah saya menjadi muslim yang baik macam Akif? Akif baik sangat,”kata Nur Aiman sambil meraung kecil. Bibik Tanti menggaru-garu kepala. Sikap Nur Aiman menghairankannya.
“Akif tu siapa?”soalnya. Adakah lelaki itu yang membuat onar sehingga Wong Szeze mengandung anak haram?Fikiran Bibik Tanti cuba meneka sendiri. Mustahil pula lelaki sebegitu dipuja?
“Akif tu, suami saya,” jawab Nur Aiman dengan suara mengecil, terus menyembamkan wajahnya di bantal. Selama mereka berjauhan barulah dia tahu nilai cintanya terhadap lelaki itu.
“Aduh! Ya kalau dia baik mengapa ditinggalin?”soal Bibik Tanti.
“Dia benci saya... dia tak pernah cinta saya. Dia tidak pernah anggap saya sebagai isterinya! Dia tidak pernah sentuh saya,”beritahu Nur Aiman. Ungkapan kata-katanya disulami esakan.


“Szeze,tadi kamu bilang sama Bibik yang suami kamu seorang lelaki yang baik.Sekarang kamu tuduh dia pulak! Bibik jadi keliru,”kata Bibik Tanti sambil menggaru-garu kepalanya.
“Papa yang paksa dia kahwin dengan saya sebab saya sudah mengandung,”cerita Nur Aiman dengan tergagap-gagap dan bergetar suaranya.
“Waktu itu, saya hendak terjun sungai! Sebab... ssebab saya mengandung! Saya kena rogol oleh teman lelaki saya, bik!”jelasnya lagi. Dia memejamkan matanya cuba menghindarkan bayangan kenangan yang mengerikan itu dari menjengah fikiran.
“Akif yang selamatkan saya dan hantar balik ke rumah!Kuli papa pukul dia kerana menyangka dia yang merogol saya,”Pada saat ini esakan Nur Aiman semakin lebat.
“Kemudiannya, papa paksa dia nikahi saya.”Suara Nur Aiman menghalus dihujungnya.
“Lepas tu papa terus hantar kami ke Beijing. Dia tak boleh lari sebab papa sudah suruh orang-orangnya tembak dia kalau dia lari. Sebab itu dia tak pernah sayangi dan cintai saya,” adunya kepada Bibik Tanti.
“Kerana saya dia berpisah dengan tunangannya pada hari pernikahan mereka,”racau Nur Aiman yang sedang berkecamuk fikiran.
Ternganga mulut Bibik Tanti mendengar cerita itu.
“Sampai mati pun Akif tak akan cintai saya, bik,”ujar Nur Aiman sedih. Airmata yang berderaian tidak dapat ditahan lagi. Bibik Tanti membiarkan Nur Aiman menangis sepuas hatinya. Setelah itu barulah dia berusaha memujuk wanita itu.
“Szeze... cinta dan kasih sayang itu bukan barang murahan. Bukan mainan bibir atau sekadar ungkapan kata-kata.”Bicara Bibik Tanti terhenti seketika. Matanya terus menatap anak majikannya yang berduka.
“Jangan fikirkan perkara yang bukan-bukan. Nanti hati bertambah berserabut. Fikiran pun akan bertambah kusut. Syaitan akan merasuk dan memujuk hati manusia yang sedang di dalam kerunsingan,” nasihat Bibik Tanti dengan suara perlahan. Mendengar kata-kata itu, Nur Aiman terus bangun dan duduk dibirai katil.
“Bibik,Akif selalu beritahu kepada saya begitu,”cerita Nur Aiman. Rasa rindu pula membuak-buak dan menghempas pantai hatinya. Rindunya kepada Akif menusuk kalbu.
Bibik Tanti tersenyum mendengar kata-kata Nur Aiman itu.
“Szeze...”panggilnya perlahan.
“Nur Aiman! Akif menamakan saya Nur Aiman Zumaiah,”beritahu Nur Aiman dengan nada perlahan. Lapang kembali jiwanya setelah mencurahkan segala isihatinya kepada pembantu rumahnya itu.
“Baik,mulai saat ini, Bibik akan panggil Aiman,”kata Bibik Tanti.
“Aiman,berehatlah! Sambil itu fikirkanlah pengorbanan yang telah dilakukan oleh Akif kepada Aiman. Lupakanlah kekhilafan yang telah dilakukannya kepada Aiman. Mungkin dia tak tahu hendak meluahkan cinta kepada Aiman dengan kata-kata,” nasihat Bibik Tanti.
“Tapi dia menjaga Aiman dan anak dengan baik, kan?”tanyanya lagi.
Nur Aiman mengangguk.
“Dia ada ajar Aiman bagaimana hendak menjadi seorang muslim yang baik? Dia ada ajar Aiman bersolat?”soal Bibik Tanti lambat-lambat. Bimbang kata-kata yang terungkap menggores hati wanita muda itu.


Nur Aiman mengangguk. Benar. Akif telah mendidiknya dengan sabar. Akif telah melakukan pengorbanan yang sangat besar kepadanya. Meskipun mereka tidak pernah saling mengenali sebelum ini. Akif berbeza dengan bekas teman lelakinya, Zaim.
‘Kalau hendak peluk Islam, mesti benar-benar jujur. Kejujuran itu mestilah dibuktikan. Mustahil hanya dengan ungkapan kata-kata.’ Begitulah kata Zaim. Zaim pandai berpura-pura alim. Nampak macam warak.
Nur Aiman memegang dahinya. Tidak sanggup lagi dia mengenang atau merenung kembali ukiran sejarah yang terpahat bersama Zaim. Hatinya berasa sangat sakit. Kesakitan itu semakin dirasai apabila dia balik ke Malaysia. Kotak fikirnya terus memikirkan kesedihan yang membadai hidupnya. Puas direnung dia  sendiri tidak pasti atas keyakinan apa yang dipegang oleh Akif yang sanggup menerimanya tanpa usul periksa lagi.
Demi untuk menyelamatkan maruahnya, Akif telah mengorbankan cinta terhadap tunangannya. Sanggup meninggalkan keluarga, ibu bapa dan negara tercinta untuk terus bersama dengannya. Selepas lafaz ijabkabul, Akif terus mengikutnya. Belum pernah sekali Akif meninggalkannya. Sebaliknya dia yang meninggalkan Akif. Jiwa Nur Aiman terus diasak dan dihimpit oleh rasa kesal dan bersalah.
“Bibik tolong saya, saya tak boleh berfikir lagi sekarang ni! Jika saya balik ke pangkuan Akif, sudikah dia terima saya?”soal Nur Aiman. Airmatanya merembes sekali lagi.
Saat itu perasaannya begitu keliru dan buntu. Walaupun cinta buat Akif sudah mula bertunas di laman hatinya, dapatkah lelaki itu menerimanya dengan sepenuh hati. Mampukah cinta lelaki itu dimiliki sedangkan perhubungan antara mereka selama ini adalah kerana desakan takdir?
“Aiman, berilah waktu dia untuk berfikir dan menggeledah setiap pelosok hatinya,” kata Bibik Tanti seolah-olah bermadah.
“Maksud Bibik?”soal Nur Aiman dengan suara tersendat pilu. “Kalau dia mencintai, pasti dia akan datang mencari,” jawab Bibik Tanti terus memberi harapan.
“Tapi Akif tak tau saya ada di sini! Saya yang lari!  Saya yang tak sabar!”adu Nur Aiman lagi. Sekali lagi dia menyalahkan diri sendiri.
“Aiman solat dan berdoalah kepada ALLAH. Insya-ALLAH, Dia akan menghantar suami Aiman kepada Aiman,”pujuk Bibik Tanti lagi. Umpama menarik rambut di dalam tepung, begitulahlah yang harus dilakukannya kepada saudara barunya yang masih terumbang-ambing memegang tali ALLAH.
“Nanti Bibik pinjamkan Aiman telekung,” katanya lagi.
Nur Aiman mengangguk dan senyum lega.











Tiada ulasan: