WONG PEK CHAKmundar-mandir di dalam rumah Akif. Isterinya yang ikut
bersama ke bumi Beijing itu duduk di atas sofa sambil memangku Haiqal. Sudah
satu jam mereka berada di rumah itu. Sudah dua minggu mereka sampai di Beijing
dan terus menginap di rumah Wong Pek Chau. Secara kebetulan Wong Pek Chak demam
selesema sebaik tiba di bumi itu. Lantaran itulah mereka mengambil masa untuk
ke rumah anak menantu. Wong Pek Chau pun hanya memberitahu tentang kehilangan
Wong Szeze semalam. Terkejut besar Wong Pek Chak suami isteri. Mereka rasa
tidak sabar hendak bersemuka dengan Akif.
“Saya tak tahu Aiman pergi ke mana, papa,” beritahu Akif.
Wajah bapa mertuanya yang nampak gusar dan marah direnungnya.
“Puas saya mencarinya ke sana dan ke sini,” katanya lagi.
Bukannya dia tidak pernah cuba menghubungi bapa mertuanya untuk menceritakan
hal itu, namun panggilan telefonnya tidak pernah dijawab.
“Kenapa tak beritahu kepada aku?”marah Wong Pek Chak.
“Sudah berapa lama dia lari?”tanyanya lagi sambil
membulatkan matanya yang sepet.
“Sudah lama, papa...”jawab Akif.
Walau apapun telahan buruk mertua terhadapnya dia akan
menceritakan yang benar.
“Mesti lu sudah seksa hidup dia. Lu buat dia rasa hidup
macam neraka! Sebab itu dia lari!”tuduh Wong Pek Chak dengan suara agak kuat. Hampa
hatinya untuk melepaskan rindu kepada anak tunggalnya. Sangkanya Wong Szeze
hidup bahagia bersama dengan Akif. Seperti kata abang longnya, Akif seorang
yang baik. Rajin. Berbudi bahasa. Sesuai dengan nilai-nilai murni yang
terkandung di dalam agama yang dianutinya.
“Papa, saya telah cuba yang terbaik untuk menjalankan
kewajipan dan tanggungjawab saya terhadap Aiman,”balas Akif dengan suara agak
kuat, cuba mempertahankan dirinya sendiri.
“Kalau begitu kenapa dia lari?”soal Wong Pek Chak sambil
menekan suaranya. Sekali lagi wajah Akif direnung dengan pandangan tajam.
“Saya tak tahu apa masalahnya sehingga Aiman meninggalkan
saya. Kalau papa rasa saya bersalah dan hendak tembak saya,papa tembaklah,”kata
Akif dengan suara tenang.
“Lu cakap tak serupa bikin! Kalau lu layan dia dengan
baik takkan anak aku lari? Entah-entah dia sudah mati!”tebak Wong Pek Chak. Chan
Sze Hong menoleh kepadanya apabila dia menyebut perkataan ‘mati’ .
“Lu tak ambil berat kepada dia!”tuduh Wong Pek Chak lagi.
“Saya tak ambil berat?”soal Akif kembali.
Segalanya telah dikorbankan untuk keluarga Cina itu
tetapi tuduhan pula yang diterima. Segala pengorbanannya selama ini seolah
tidak ada harga.
“Papa, saya tak pernah tinggalkan dia. Sehingga hari ini
saya masih tunggu dia di rumah ini! Kalau saya mahu, saya boleh tinggalkan
negara ini dan balik ke Malaysia ke pangkuan keluarga saya dan tu,tunangan saya.”Suara Akif tiba-tiba
bergetar. Hatinya diintip pilu tidak semena-mena.
“Saya tak balik ke negara saya, walaupun Aiman telah
meninggalkan saya tanpa khabar berita.”
Wong Pek Chak tersentak apabila mendengar kata-kata Akif
itu. Direnung menantunya itu. Akif kelihatan tenang. Akif masih menunggu bapa
mertuanya mengatakan sesuatu. Emak mertuanya yang sedari tadi hanya
Membisu, berkata sesuatu kepada suaminya dalam bahasa Mandarin. Wong Pek
Chak membalas kata-kata isterinya dengan bahasa Mandarin juga.
Mereka nampaknya
sedang berundingkan sesuatu. Akif mendengar bapa mertua dan emak mertuanya menyebut-nyebut
nama Szeze dan Haiqal berkali-kali. Hati Akif berasa sesuatu.
“Mama lu hendak bawa cucunya balik,” kata Wong Pek Chak
dengan suara kuat. Dia pun sebenarnya bersetuju juga dengan pendapat isterinya
itu. Kalau mereka telah kehilangan Wong Szeze apa salahnya kalau mereka
mengambil Haiqal sebagai ganti.
“Nak bawa balik? Papa,Haiqal anak saya! Biarlah saya yang
pelihara dia! Lambat laun Aiman pasti akan balik! Lagipun...”kata-kata Akif
tersangkut di situ. Bukankah emak dan bapa mertuanya itu kafir. Tidakkah nanti
mereka akan mendidik Haiqal supaya meneruskan tradisi nenek moyang mereka. Menyekutukan
ALLAH. Nauzubillah. Lagipun Haiqal masih kecil. Dia umpama sehelai kain putih.
“Haiqal tu sangat rapat dengan saya.Sejak dia lahir, kami
tidak pernah berpisah. Cuma waktu siang, sewaktu saya keluar bekerja saya
tinggalkan dia,” cerita Akif.
Dia harap bapa dan emak mertuanya akan faham. Mustahil
pada waktu itu dia menghalang keinginan bapa dan emak mertuanya itu dengan
menegaskan soal iman. Soal aqidah Haiqal yang pasti akan rosak jika dipelihara
oleh datuk nenek yang bukan muslim. Justeru itu dia perlu mencari pelbagai
alasan agar keinginan dan hasrat hati bapa dan emak mertuanya itu terkekang.
“Kita perlu uruskan dokumen untuk bawa dia keluar dari
negara ini dulu,” kata Akif terus mencari alasan. Urusan dokumentasi untuk
anaknya itu mungkin memakan masa sebulan.
“Lu sengaja nak cari alasan untuk menghalang.Dia bukan
anak lu!”kata Wong Pek Chak tanpa memikirkan perasaan Akif yang mendengarnya. “Waktu
aku paksa lu kahwin dengan Szeze dia sudah mengandung!”Suara Wong Pek Chak agak
kuat dan sengaja ditekan.
“Papa, walaupun Haiqal bukan anak saya, saya tetap anggap
Haiqal macam anak sendiri!”pertahan Akif dengan suara tegas. Wong Pek Chak
bungkam seketika. Tersentuh dengan kata-kata menantunya itu yang mempamerkan
kemuliaan hatinya.
“Mama lu itu selalu tidak sihat kerana rindukan Szeze,”beritahu
Wong Pek Chak lagi, masih cuba memujuk setelah mencalarkan hati Akif dengan
kata-katanya tadi. Kali ini suaranya kembali mengendur.
Dia harap hati menantunya akan cair dan lembut serta
bersetuju dengan kehendak mereka. Dia tahu, Akif seorang yang lembut hati. Mudah
mengasihani orang lain, lantaran itu Akif sanggup mengorbankan dirinya demi menyelamatkan
nyawa orang lain. Meskipun dengan orang yang baru dikenalinya.
“Kalau lu tak benarkan kami ambil Haiqal buat selamanya, lu
izinkanlah kami pinjam Haiqal sekejap saja! Setelah itu kami pulangkanlah balik,”pujuk
Wong Pek Chak lagi dengan suara lunak dan muka manis.
“Dia pun darah daging papa jugak.”Perlahan suara Wong Pek
Chak. Watak bengisnya tiba-tiba bertukar.
“Pak long beritahu pada papa, lu sedang sibuk sekarang
ini. Bukankah lu sudah ada peluang untuk membuka perniagaan di sini? Nanti lu
tak ada masa nak jaga anak lu, lebih baik kami bawa pulang dan jaga dengan baik.
Kami pun datuk nenek dia.”Pujukan Wong Pek Chak masih belum luntur.
Apa juga cara, Haiqal mesti dibawa pulang ke Malaysia. Pantang
dirinya jika apa yang diingini tidak tercapai. Wong Pek Chak rasa tercabar. Mungkin
ada satu lagi cara yang dapat membuat Akif tunduk kepada kehendaknya.
Dia menyuruh Chan
Sze Hong mengambil sesuatu di dalam beg di dalam bilik. Haiqal yang dipangkuan
isterinya itu beralih kepadanya pula. Akif hanya membiarkan Haiqal
bermanja-manja dengan datuk dan neneknya. Hairan pula, Haiqal sedikit pun tidak
meragam.
“Akif, pembantu rumah papa orang Indonesia. Dia orang
Islam,” beritahu Wong Pek Chak secara tiba-tiba. Mungkin kenyataan itu dapat
mempengaruhi fikiran menantunya itu. Chan Sze Hong muncul di ruang tamu
beberapa ketika kemudian. Wong Pek Chak mengambil buku cek yang dihulurkan oleh
isterinya lantas menulis sesuatu di lembaran cek itu.
“Nah! Lu ambil ini! Haiqal kami bawa balik untuk satu
tahun,”kata Wong Pek Chak sambil menghulurkan kepingan cek itu kepada
menantunya.
“Tapi, lu jangan bimbang. Kami akan duduk di sini bersama
lu beberapa lama, biasakan Haiqal dengan atuk dan neneknya,lepas tu baru kami
balik ke Malaysia dengan Haiqal,”beritahu Wong Pek Chak. Dengan tiba-tiba idea
itu datang dalam fikirannya.
“Waktu itu mungkin urusan visa pun sudah selesai.”
Akif hanya tersenyum sumbing. Apakah yang ada di dalam
fikiran bapa mertuanya? Adakah nilai maruahnya hanya RM500,000. Begitukah nilai
aqidah anaknya, Haiqal? Haiqal anaknya bukan untuk dijual beli dengan wang, bukan
juga untuk pajakan.
“Tak apalah, papa! Saya tak mahu duit tu! Papa boleh bawa balik Haiqal, tapi bukan untuk
satu tahun! Bila-bila pun saya boleh pergi ambil balik,”kata Akif dengan lembut.
Wong Pek Chak tersenyum lebar.
Akif turut tersenyum di dalam hatinya. Dia ada
strateginya sendiri. Bukankah Rasulullah SAW pernah membebaskan orang-orang
kafir musyrik yang ditawan oleh orang Islam supaya kembali kepada kaumnya dan
membiarkan tentera-tentera Islam menjadi tawanan kaum kafir musyrik?
‘Tapi, Haiqal masih bayi, belum boleh berdakwah,’bisik
hati Akif.
Di ruang tamu rumah bapa mertuanya ada sebuah tokong. Akif
cuba mengingat-ingat keadaan rumah bapa mertuanya itu. Kalau bapa dan emak
mertuanya mengajar Haiqal menyembah di tokong mereka? Soal hati Akif. Bulu
romanya tiba-tiba merinding.
“Terima kasih, Akif!”kata Wong Pek Chak. Dia merenung
isterinya yang turut tersenyum dan berpuas hati. “Percayalah kepada papa,”kata Wong
Pek Chak lagi dengan senyuman lebar.
“Saya percaya,”balas Akif tenang. Dia percaya TUHAN akan memelihara
anaknya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan