HARI ini genap seminggu Dayana bergelar isteri. Ucapan
selamat pengantin baru daripada teman-teman masih bertali arus. Telinganya
seolah-olah benci mendengar ucapan itu. Tidak terasa keindahan alam perkahwinan
yang baru ditempuhi gerbangnya. Baru semalam dia balik ke kampungnya di Parit
Buntar selepas selesai kenduri menyambut menantu di kampung halaman Azmir,
iaitu di Terengganu.
Azmir bin Datuk Mukhriz, jodohnya yang kedua. Azmir
bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi di Ipoh. Secara kebetulan dia pun
mendapat tawaran kerja sebagai penjawat awam tidak lama selepas kematian Ikhwan.
Segala keputusan hidupnya kini telah diserahkan kepada ibubapanya sahaja.
Entah bagaimana pula Azmir teman karib Ikhwan terbuka
hati untuk memilikinya. Memilihnya untuk dijadikan isteri. Sama ada kerana
cinta atau simpati, dia malas untuk memikirkannya lagi. Dia sudah letih. Letih
dengan ujian malang yang bertimpa-timpa.
“Yana, hari ini ajak Azmir pergi ke rumah Mak Teh, Mak
Ndak, Tok Su dan semua saudara mara kita yang ada di kampung ini.” Suara
emaknya membuat Dayana tersentak dari lamunan. Kenangannya kepada Akif dan
Ikhwan serta merta berterbangan.
“Eloklah tu, Yana. Selepas sarapan nanti kita
pergi. Saya pun teringin nak melawat sekitar kampung ni,” sampuk Azmir yang
secara kebetulan berada di situ.
“Basikal ada tak?”tanya Azmir lagi dengan mata bersinar. Pasti
seronok jika dapat mengayuh basikal di kawasan kampung itu, yang dikelilingi
sawah padi.
“Motor adalah. Basikal dah lama Yana tak guna. Tayarnya
pun dah tak ada,” jawab Dayana perlahan. Dia merenung ke wajah Azmir tanpa
senyuman.
“Kalau begitu kita naik motor,” balas Azmir. Secebis
senyuman mesra dilontarkan buat tatapan
Dayana tetapi tiada balasan.
Melihat wajah muram Dayana, hati Azmir juga tidak berasa
gembira. Tambahan pula apabila dilihatnya Dayana asyik mengelamun dan bersedih
hati. Sudah seminggu menjadi pasangan suami isteri, isterinya itu asyik
bermuram sahaja. Namun dia mengerti perasaan isterinya itu, pasti belum dapat
membebaskan dirinya daripada kenangan pahit yang pernah ditempuhinya. Tragedi
demi tragedi terukir kukuh di sanubarinya.
“Kita pergi sekarang, ya. Yana pergi ambil tudung sekejap,”
kata Dayana. Kali ini dia melontar secebis senyuman kepada Azmir. Hati Azmir
yang hampir merajuk tadi kembali terpujuk dengan senyuman manis isterinya itu.
GEMERSIK tiupan angin dari sawah begitu menyamankan. Sambil
menaiki motosikal bersama isterinya itu Azmir cuba untuk beramah mesra dengan
Dayana. Walaupun dia kerap menelefon Dayana dan mereka ada bertemu beberapa kali
sehingga dia membuat keputusan untuk mengahwini bekas isteri teman karibnya
yang telah menjadi arwah, kesedihan Dayana masih belum menyisih.
Dia sangat bersimpati dan mengerti kegalauan yang sedang
ditanggung oleh jiwa Dayana. Mula-mula kehilangan tunangan di hari pernikahan. Namun,
Dayana masih berharap yang tunangannya akan kembali dan impian mereka dapat disatukan.
Setelah itu dia bernikah pula dengan Ikhwan anak jiran sekampung yang sudah
berkawan lama dengannya. Malang tetap menghurunginya. Ikhwan yang baru
beberapa saat menjabat tangan Tok Kadi dalam upacara ijab kabul meninggal dunia pada hari itu juga.
Azmir bertekad akan mencuba yang terbaik untuk
membahagiakan wanita itu. Sementelah Dayana pula seorang wanita yang penuh dengan
kriteria wanita idamannya.
Perlahan-lahan mereka bermotorsikal di dalam kampung itu.
Dari rumah Tok Su, mereka pergi ke rumah Mak Ndak.
“Rumah Mak Ndak tu di seberang tali air, Mir. Kita
tinggalkan motor di seberang sini dan berjalan kaki ke rumahnya,” cadang Dayana
sebaik nampak titi yang menghubungkan antara dua tebing tali air itu.
“Itu ada titi!”kata Azmir pula terus menghalakan motosikal
ke arah titi yang usang. Angin yang bertiup manja membuatkan bibir Azmir
tersenyum.Dia berasa damai dikelilingi oleh sawah bendang yang menghijau. Motorsikal
yang ditunggang terus dihala ke titi.
“Mir,Yana tak pernah naik titi ni dengan motor!”beritahu
Dayana dengan suara cemas. Titi yang sudah lama itu semakin mereput.
“Tak apa. Hari ini kita pernahkan,” jawab Azmir dengan
penuh keyakinan. Dayana pun berasa serba salah untuk terus menghalang keinginan
suaminya itu yang begitu teruja dengan suasana desa.
“Bismillahirahmanirrahim,” kata Azmir kuat-kuat sambil
ketawa riang.
“Krakkkkkk... ppraappp...”
Belum sempat motosikal sampai ke seberang sana, titi yang
usang patah.
“Ya ALLAH!” jerit Azmir dan Dayana serentak. Motosikal
serta penunggang dan pemboncengnya terhumban ke dalam tali air yang dalam
airnya serta mengalir agak deras.
CARA ALLAH menguatkan keimanan kita adalah dengan mengirimkan
berbagai ujian kehidupan kepada kita. Dan
sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan,
kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang
yang sabar. Demikianlah firman ALLAH di dalam kitab suci Al-Quran.
Tidak ada lagi airmata yang mengalir di pipi Dayana. Ujian
daripada TUHAN. Hatinya, seluruh jiwanya seolah-olah telah terjaring dengan
keyakinan itu.
Pak Yusof dan Mak Bedah yang menemaninya membisu sejak
dari tadi. Kemalangan yang menimpa pasangan pengantin baru itu menyebabkan Pak
Yusof dan Mak Bedah terkelu.Azmir telah mendapat kecederaan parah kerana telah
dihempap motosikal sewaktu motosikal itu jatuh dan terhumban ke dalam tali air.
Syukurlah kerana Dayana tidak ditimpa oleh motosikal, jika tidak mungkin dia
turut cedera. Sewaktu kemalangan, Dayana hanya terhumban di dalam air dan tidak
cedera walaupun sedikit.
“Mak dan ayah, baliklah ke rumah.” Suara Dayana memecah
keheningan. Mereka masih berada di wad hospital kerana menunggu Azmir yang
masih lagi dirawat.
“Biar Yana yang jaga Abang Azmir. Doktor kata sejam lagi
Abang Azmir akan sedar. Mak baliklah ya,”pujuk Dayana sambil merenung ke wajah
emak dan ayahnya silih berganti.
“Yana, sabarlah nak,” kata Mak Bedah sambil mengesat
matanya yang basah.
“Azmir dah sedar ke?”
Kesedihan tiga
beranak itu diganggu oleh suara seorang lelaki. Datuk Mukhriz datang bersama
isterinya, Datin Habibah. Pak Yusof segera berjabat tangan dengan besannya.
“Azmir belum sedar lagi,” beritahu Pak Yusof.
Dayana bersalaman dan mencium tangan ibu dan bapa
mertuanya.
“Baru seminggu beristeri dah ditimpa kemalangan pulak,” kata
Datin Habibah sambil menggeleng.
“Agaknya nasib Yana ni memang malang.” Meluncur pula
ungkapan yang mencalarkan hati orang yang mendengarnya dari bibir wanita
bergelar datin itu.
“Azmir pun satu hal jugak! Degil! Inilah padahnya
mengahwini sisa orang!”
Tersentak Dayana mendengar kata-kata yang diucapkan oleh
emak mertuanya itu. Kemalangan yang menimpa Azmir seolah-olah disebabkan oleh
nasibnya yang buruk. Memandang hina kepadanya pula kerana pernah bernikah
sebelum ini. Astaghfirullahalazim. Istighfarnya di dalam hati sambil melarik
senyuman tipis.
“Datin, perkara dah nak berlaku. Bukannya disebabkan
nasib Yana, motor yang ditunggang Azmir terhumban dalam tali air tu. Kita
sebagai hamba ALLAH ni tiada berdaya,” bela Mak Bedah apabila melihat airmuka
Dayana berubah mendengar kata-kata emak mertuanya.
“Yana dah larang Azmir naik titi usang tu dengan motor. Tapi
Azmir berdegil. Nasib baiklah masih panjang umur Azmir tu,” bidas Mak Bedah
lagi dengan perasaan geram. Bibit-bibit pertengkaran kecil antara dua besan
perempuan itu mulai berbunga.
“Nasib baik anak saya tak patah riuk, cacat,”sambungnya
lagi. Hatinya terhiris juga dengan kata-kata besannya tadi.
“Kalau anak saya patah riuk dan cacat, saya nak salahkan
siapa pulak?” hambur Mak Bedah dengan perasaan geram. Tak tersabar hatinya jika
anak kesayangannya itu diperlekehkan kerana pernah menjadi janda.
“Puan Dayana Mohd Yusof!”laung jururawat daripada bilik
yang menempatkan Azmir. Dayana terus menerpa dengan perasaan lega kerana
pertengkaran yang bakal tercetus antara emak dan emak mertuanya dapat ditepis
dengan panggilan jururawat itu.
“Doktor nak jumpa,” beritahu jururawat lagi. Dayana terus
mengekori jururawat itu.
“Puan Dayana! Hasil X-ray menunjukkan yang buah pinggang
suami puan mendapat kecederaan,mungkin kerana hempapan yang kuat sewaktu
kemalangan,”terang doktor satu per satu.
Dayana menekup mulutnya menahan ledakan tangisannya.
“Oh TUHAN,” rintih hatinya.
“Jika buah pinggang suami puan rosak kerana kecederaan
itu dan gagal berfungsi, dia kena mendapatkan rawatan dialiasis sepanjang
hayatnya,”beritahu doktor lagi. Ungkapan yang seterusnya daripada bibir doktor
muda itu menerjah ke gegendang telinga Dayana. Perasaannya terus terhimpit.
Gerbang perkahwinan yang baru dilalui rupa-rupanya
membuka terowong penderitaan buatnya. Belum sempat lagi mengecap keindahan dan
kemanisan hidup bersuami isteri, dirinya terlontar ke pantai duka. Perjalanannya
masih panjang. Dayana tidak pasti, dapatkah dia bertahan melangkah sendiri di hamparan
jalan yang bakal menyeksakannya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan