Wong Pek Chak mundar mandir di ruang tamu di rumahnya.
Hari ini, entah berapa kali dia berkeadaan seperti itu. Isterinya asyik terbatuk-batuk tidak berhenti. Setiap
kali bunyi batuk menerobos ke gegendang telinga, bola mata Wong Pek Chak pasti akan
terlontar ke tubuh isterinya itu. Isterinya yang sedang berbaring di atas
kerusi malas yang diperbuat daripada rotan. Isterinya terus berayun-ayun. Jika
batuknya berulang dengan keras, kerusi malas yang menampung tubuhnya itu akan
terhinggut-hinggut. Tubuh isteri semakin susut sejak Wong Szeze meninggalkan
rumah itu.
“Pergi siap, aku bawa lu pergi ke hospital,”kata Wong Pek
Chak dengan suara parau. Isterinya hanya membisu. Dia menggosok-gosok dadanya yang
terasa perit dan pedih.
“Aku bawa kau pergi ke hospital!”ulang Wong Pek Chak lagi
dengan suara lebih kuat dari tadi.
“Pergi hospital? Nak buat apa? Aku tak mahu! Biar aku sakit sampai mati! Hidup pun tak ada
guna,”jawab Chan Sze Hong dengan suara bergetar. Matanya sempat menjeling Wong
Pek Chak yang sudah duduk di atas sofa.
“Apa pasal lu tak mahu hidup? Sebab anak perempuan lu
sudah tak ada di rumah ni?”soal Wong Pek Chak seolah memahami isihati isterinya
itu.
“Yalah,Szeze satu-satunya anak kita! Kenapa lu halau dia
keluar dari rumah! Lu buang dia! Lu suruh dia tinggalkan agama nenek moyang
kita,”jawab Chan Sze Hong. Sudah dua tahun dia tidak dapat menatap wajah
anaknya itu. Rasa rindu yang menitis di lembangan hatinya pada setiap saat
terus membanjirkan rasa sengsara.
“Pasti dia tidak akan balik ke rumah ini lagi. Pasti
suaminya tak benarkan dia balik ke sini! Dia sudah masuk Islam,” sambungnya lagi dengan
nada sesal. Setelah itu dia menghela nafas dan melepasnya perlahan. Wong Pek
Chak menjeling.
“Kenapa awak risau?Dia di Beijing sihat! Dia sudah
beranak, dapat anak lelaki,”beritahu Wong Pek Chak. Berita tentang kelahiran
anak Wong Szeze tidak pernah diceritakan kepada isterinya.
“Macam mana lu tahu?” tanya Chan Sze Hong dengan suara
kuat. Kecewa dengan sikap suami yang merahsiakan hal anak tunggal mereka
daripadanya.
“Akif telefon aku! Sudah lama dulu,”cerita Wong Pek Chak
dengan suara lirih.“Anak depa
pun dah besar,”katanya lagi dengan senyuman.
“Siapa Akif?”soal Chan Sze Hong. Hampir dia terlupa kepada
menantunya. Maklumlah mereka suami isteri tidak pernah berbual tentang Wong
Szeze lagi sejak peristwa pada malam itu.
“Menantu lu, lah! Lu dah lupa? Lelaki Melayu yang dah
jadi laki anak lu,”jelas Wong Pek Chak lagi. Bibirnya tersenyum tipis.
Dalam diam lelaki Cina ini mula menyenangi keperibadian
menantunya itu. Kerap juga Akif menelefonnya. Akif yang begitu menghormatinya.Bicaranya
lembut dan sopan. Tidak seperti Steven, anak abangnya yang kerapkali
berkelakuan biadap. Nasib baiklah Wong Szeze berkahwin dengan Akif kerana
desakan dan ugutannya.
“Apa lagi yang dia cerita?”soal Chan Sze Hong dengan
perasaan teruja. Perkhabaran yang baru didengarinya tadi seolah-olah menyuntik
semangat baru pada jiwanya yang layu kebelakangan ini.
“Dia ingin berniaga di sana,”beritahu Wong Pek Chak sambil
membetulkan duduknya. Dia menggeliat beberapa kali.
“Berniaga? Ada duit ke?”soal Chan Sze Hong. Seingatnya,
suaminya pernah memberi cek yang banyak jumlahnya kepada pemuda itu sebaik
sahaja dia berkahwin dengan Wong Szeze. Namun, mereka berasa amat terkejut
kerana pemuda Melayu itu menolak pemberian mereka.
“Dia tak mahu aku bantu dia. Mungkin dia berwang,”teka
Wong Pek Chak.
“Along beritahu aku, Akif rajin buat kerja. Sekarang
urusan kedainya telah diserahkan kepada menantu kita,” cerita Wong Pek Chak.
Akif seorang yang jujur dan amanah. Pelanggan-palanggan
yang datang pun suka berurusan dengannya. Budi bahasanya baik dan bersopan
dengan semua orang. Cerita daripada abangnya menyebabkan Wong Pek Chak jadi
keliru. Bukankah lelaki Melayu, orang Islam suka menipu? Kaki putar belit. Kaki
songlap? Tengoklah teman lelaki Wong Szeze itu! Melarikan diri setelah
merosakkan anak gadis orang!
“Menantu kita? Kita mana ada anak? Bukan lu sudah halau
Szeze? Lu tak mengaku dia anak lagi?”soal Chan Sze Hong sambil menempelak.
Tekaknya terasa gatal kembali apabila dia banyak berkata-kata.
Lantas wanita separuh umur itu tidak dapat lagi menahan lengkingan-lengkingan
batuk yang menerobos keluar dari kerongkongnya.
“Aku bawa lu pergi hospital,” kata Wong Pek Chak lagi
lalu bangun dari sofanya. Dia menghampiri isterinya yang terus batuk tidak
berhenti.
“Bibik!”jerit Wong Pek Chak memanggil pembantu rumahnya.“Bibik!”laungnya
lagi apabila kelibat pembantu rumahnya warga Indonesia itu masih belum muncul.
“Bibik!”ulangnya lagi.
Kali ini lebih kuat dari tadi. Baru dia ingin membuka
mulutnya untuk memanggil Bibik sekali lagi, wanita berusia 40-an itu tiba
dimuka pintu.
“Tuan panggil saya?”soal Bibik lalu menghampiri Chan Sze Hong yang
masih batuk-batuk. Pantas tangannya mengusap belakang wanita itu.
“Ambilkan air untuk nyonya, lepas itu kamu bantu dia
tukar baju! Aku mahu bawa dia jumpa doktor!”arah Wong Pek Chak lalu beredar
dari situ.
“Aku tak mahu jumpa doktor! Aku mahu duduk kat sini
tunggu Szeze! Kamu tolong bawakan air suam aje,”beritahu Chan Sze Hong kepada Bibiknya.
“Nanti tuan marah,”tukas Bibiknya
dengan suara bimbang.
Dia amat takut kalau tuannya itu marah-marah. Majikannya
itu memang garang jika orang membantah kata-katanya. Jika dia dipatuhi, hatinya
cepat pula menjadi lunak.
“Biar dia marah! Aku tak peduli. Dia selalu pentingkan
diri sendiri,” kata Chan Sze Hong. Dia seolah-olah meluahkan rasa hati kepada
pembantu rumahnya.
Chan Sze Hong batuk lagi. Dadanya mula rasa sesak dan
saluran pernafasannya seolah menyempit. Kerongkongnya terus meledakkan batuk
yang semakin keras. Chan Sze Hong terus memekup mulutnya dengan tisu, cuba
menahan batuknya terus menerobos keluar. Kali ini dikerongkongnya seolah-olah
ada sesuatu yang tersengkang dan menyekat. Akhirnya dia batuk kuat-kuat dan
berharap kerongkongnya akan berasa lega. Chan Sze Hong melihat tisu yang
digunakan untuk memekup mulutnya tadi.
“Hah?Darah? Nyonya! Nyonya... batuk berdarah!”pekik Bibik
yang terkejut. Pasti majikannya itu mengalami masalah batuk yang serius.
“Jangan beritahu tuan! Hantar aku ke bilik! Aku nak
berehat!”arahnya kepada Bibik dengan suara tersangkut-sangkut perlahan dan
mencungap.
“Aku rindu Szeze,aku nak anak aku balik,”beritahu Chan
Sze Hong.
“Aku mahu Szeze. Aku mahu lihat Szeze sebelum aku mati,”ungkapChan
Sze Hong dengan nada sebak mula meracau. Bibik yang masih berdiri di hadapannya
menggaru-garu kepala.
“Aku mahu dia ikut agama nenek moyangnya semula,”rintih Chan
Sze Hong. Bibik yang mendengar racauan wanita itu hanya menggeleng.
“Szeze sudah memilih jalannya sendiri,takkan dia
mengundur ke belakang semula,”jelas Bibik dengan suara perlahan.‘Masakan
seorang yang telah menganut agama ISLAM yang suci kembali murtad. Nauzubillah,’bisik
hati Bibik Tanti.
‘Harap-harap suami Szeze membimbingnya dengan sempurna,’doa
Bibik Tanti di dalam hati. Banyak peristiwa yang telah terjadi, isteri kembali
murtad apabila gagal dibimbing oleh suaminya yang Islam sejak lahir.
“Satu hari Szeze akan balik ke rumah ini. Hubungan nyonya
dengan dia tidak terputus walaupun dia sudah memeluk agama Islam,” terang Bibik
lagi cuba memujuk.
“Bolehkah Szeze duduk sama-sama dengan aku? Maknya yang
bukan Islam? Boleh ke?”soal Chan Sze Hong dengan kuat.
“Saya jugak orang Islam,” beritahu Bibik Tanti. Chan Sze
Hong terdiam. Selama ini sememangnya dia sudah mengetahui yang pembantu rumah
mereka itu seorang muslim.
“Betul Szeze akan balik?”soal Chan Sze Hong dengan suara
yang halus dihujung ungkapannya. Bibik hanya mengangguk.
“Kalau begitu, beritahu tuan, aku mahu berjumpa doktor!” kata
Chan Sze Hong pula. Nafasnya sekali lagi mencungap.
HEMBUSAN angin pada petang itu
menyamankan tubuh-tubuh yang dimesrainya. Pak Yusof suami isteri ralit
berbual-bual dengan Pak Shukri dan Mak Esah.
“Dah lama kita tak jumpa,”kata Pak Yusof
sambil merenung ke wajah tetamu-tetamunya. Pak Shukri dan Mak Esah menggangguk.
“Yalah... sewaktu kenduri kahwin Yana
dulu pun, kita dengar awak berdua tak begitu sihat,” sampuk Mak Bedah lembut.
“Ya.. betul tu, Cik Bedah.Kami mintak
maaf kerana tak datang,”jawab Mak Esah perlahan.
Dia terus terkenangkan Dayana. Nasib
yang melanda gadis itu. Gadis yang diharapkan menjadi menantunya. Sudahlah tidak
jadi berkahwin dengan anaknya yang tiba-tiba menghilangkan diri. Perkahwinannya
dengan Ikhwan pun menghadirkan derita dalam jiwanya. Macam mana hati tidak nestapa?Lelaki
yang baru dinikahi terkulai di atas pangkuannya. Setelah itu menghembuskan
nafas terakhirnya. Sedangkan upacara pernikahan baru sahaja selesai. Mak Esah
menyeka airmata yang bertakung di penjuru mata.
“Secara kebetulan hari ini kami ada
kesempatan bertandang ke sini,” sambungnya lagi. Matanya melilau ke sana dan ke
sini. Tak nampak lagi kelibat Dayana sejak tadi.
“Yana tak ada di rumah ke, Bedah?”tanyanya
setelah lama menunggu kemunculan gadis itu.
“Yana tak ada. Dia bekerja di Ipoh,” beritahu
Mak Bedah, tenang. Seingatnya Dayana sudah memberitahu Mak Esah tentang hal
itu.
“Dah banyak bulan jugak dia kat sana. Dah
rezeki diadapat tawaran kerja selepas kematian Ikhwan,” jelas Mak Bedah. Suaranya
pula bertukar sebak. Kesedihan pula yang melanda jiwa-jiwa mereka yang berada
di situ apabila mengenangkan kejadian buruk yang menimpa anak gadis itu.
“Sabarlah Esah...Bedah. Segala ujian
yang dihadapkan oleh TUHAN kepada dia sebagai tanda ALLAH menyayangi dan ingin
menguji keimanannya,”nasihat Pak Shukri sambil mencapai cucur bawang yang
terhidang.
“Alhamdulillah, saya tengok Yana tu
penyabar orangnya,” pujinya pula.
“Bersyukurlah, Yusof...Bedah! Yana masih
dapat dilihat rupa parasnya walaupun sekarang ni dia duduk berjauhan. Macam
kami ni, nasib Akif tu langsung kami tak tahu. Entah hidup entah dah mati,”katanya
sedih.
“Yalah,”setuju Pak Yusof. Sayu
kedengaran suaranya.“Kita serahkan saja kepada ALLAH. Dialah yang Maha Mengetahui
segalanya. Mana tahu masih ada peluang untuk kita menatap wajahnya lagi. Kita
doakanlah sama-sama,” katanya pula.
“Perniagaan Pasar Mini Akif tu siapa
yang menguruskannya sekarang?”tanya Pak Yusof kepada Pak Shukri.
“Saya gajikan orang. Ada seorang
pembantu Akif yang dah lama kerja di situ. Saya lantik jadi pengurusnya,” cerita
Pak Shukri.
“Kami pun tak duduk di Parit Buntar ni
lagi,”jelasnya.
“Habis tu? Duduk kat mana sekarang ni? Takkan
mengikut Nisah duduk di seberang laut pulak?”pintas Mak Bedah.
“Kami duduk di Manjungdengan Rais. Dia
dah kerja di sana,di Mahkamah Manjung,”balas Mak Esah. “Ya ALLAH... cepatnya
masa berlalu. Sangka saya Rais masih belajar lagi,”tukas Mak Bedah.
“Alhamdulillah...tercapai cita-citanya
hendak jadi lawyertu,”balas Mak Esah. Hujung bibirnya mengherot seketika bila
terkenangkan keletah anak-anaknya yang tiga orang jika mereka semua ada di
rumah.
“Dia sambut cabaran abangnya. Kata Akif
kalau nak jadi lawyer, jadi lawyer betul-betul. Jangan nak jadi loyar buruk dan
memekak di rumah, asyik nak menyakat adiknya Nisah tu,”cerita Mak Esah sambil
ketawa kecil. Kenangan manis sewaktu mereka sekeluarga berkumpul menyebabkan
hatinya rasa bahagia seketika.
“Minumlah, Kak Esah, Abang Shukri. Jamahlah
apa yang ada tu,”pelawa Mak Bedah.
“Secara kebetulan Abang Shukri dan Kak
Esah dah datang ni,”kata-kata Pak Yusof terhenti sejenak. Dia merenung muka Mak
Bedah dan memberi isyarat mata. Mak Bedah segera beredar apabila faham dengan
maksud isyarat mata suaminya itu.
“Minumlah,”pelawa Pak Yusof pula
sementara menunggu kemunculan isterinya semula. Mak Bedah kembali beberapa
minit kemudian. Dia menyerahkan sampul surat warna biru muda kepada suaminya. Suaminya
pula menyerahkan sampul surat itu ke tangan Pak Shukri dan memegang tangan
lelaki itu lama-lama dengan perasaan yang berbaur.
“Apa ni Yusof?”tanya Pak Shukri lalu
membuka sampul surat itu. Matanya terus meneliti tulisan yang tertera kepada
kad yang berkerawang cantik.
Undangan Perkahwinan.
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh
Yusof bin Wahab dan Zabedah binti Ismail
Dengan segala hormatnya mempersilakan
Tuan/Puan/Encik/Cik /Haji Shukri bin Rahman dan isteri serta keluarga
ke majlis perkahwinan puteri kami
yang dikasihi
Dayana binti Mohd Yusof dengan Azmir bin Datuk Mukhriz .
“Yana nak bernikah lagi?”soal Pak Shukri
agak terkejut. Begitu cepat ALLAH menggantikan jodoh untuk gadis itu. Belum
sampai setengah tahun Ikhwan meninggal dunia. Mak Bedah dan Pak Yusof
mengangguk.
“Eloklah, Bedah... Yusof! Mudahan
panjang jodohnya kali ini. Saya benar-benar bersimpati dengan nasib Yana tu. Tetapi
apa daya kita hendak menahan dugaaan dan cubaan ALLAH terhadapnya,” kata Pak
Shukri tenang.
“Kami yang mendesak dia, Kak Esah,Abang
Shukri. Bukannya kerana apa, kami bimbang sebab dia duduk seorang di Ipoh.
Tambahan pula bermacam musibah yang telah melanda hidupnya. Kesedihan dan
penderitaan di hatinya itu pasti sudah meriak-riak. Mana
tahu pernikahannya kali ini akan melenyapkan kesedihan dan penderitaannya,” balas
Pak Yusof dengan panjang lebar.
“Secara kebetulan, Azmir
tu teman karib Ikhwan sewaktu belajar di luar negara dulu. Dia yang jadi
pengapit arwahnya sewaktu majlis pernikahan Ikhwan dan Dayana tempoh hari,”cerita
Mak Bedah lambat-lambat.
“Ikhwan menghembuskan nafas terakhir di hadapan mereka
berdua. Dia sangat bersimpati dengan nasib dan kesedihan yang dialami Yana. Kerap
juga dia datang ke sini untuk bertanya khabar.
Akhirnya menyatakan hasrat hatinya untuk menyunting Yana,”sampuk Pak Yusof.
“Jenuh jugak kami memujuk Yana. Maklumlah, dia baru
sangat kematian suami. Tapi ikut mana dugaan pun, hidup ini harus diteruskan,”sambungnya
lagi.
“Betul tu, Bedah..Yusof.Janganlah
bimbang yang kami akan berkecil hati kerana Yana tidak lagi menunggu Akif. Dia
perlu teruskan hidup dia macam orang lain. Kalau dah ada jodoh, eloklah dia
bernikah lain. Punyai suami dan keluarga. Walaupun saya berasa kecewa kerana
tidak dapat menjadikan dia menantu, Yana tetap kami anggap sebagai anak sendiri,”sampuk
Mak Esah pula.
Pak Yusof dan Mak Bedah tersenyum lega.
ALHAMDULILLAH. Selesai bacaan al-Qurannya pada malam itu. Jam di
dinding menunjukkan waktu 11.00 malam.‘Sunyinya malam ini,’bisik hati Akif. Matanya
merenung Haiqal yang sedang lena di atas tilam di katilnya. Botol susu masih di
dalam genggamannya.
Syukur, dalam kesibukannya menguruskan perniagaan dan
menjaga Haiqal, TUHAN masih meminjamkan waktu untuknya bagi membaca kitab suci
itu.
Banyak hadis yang menjelaskan
keistimewaan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di
sisi ALLAH SWT seperti dalam satu hadis Qudsi di mana sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: “Sesiapa
yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiku daripada
meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik
daripada Aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaku itu. Dan
kelebihan kalam ALLAH di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya ALLAH di
atas makluk-Nya.”
Sekali lagi dia merenung anak itu sambil mengukir
senyuman. Tanpa Nur Aiman, dia juga dapat memelihara Haiqal. Setelah itu Akif
bermenung di jendela bilik tidurnya. Langit yang luas terbentang menjadi
tatapan matanya. Bintang-bintang yang bertaburan dan berkelipan membuatkan
bibirnya tersenyum. Hatinya terasa damai apabila mengenangkan kebesaran ALLAH. Walau
dipenjuru hatinya tersembunyi segumpal kerinduan yang tidak mungkin terlerai.
Kegelisahan dan keresahan yang menggenggam hati terus
mengikat. Lara yang tidak sudah gagal untuk dilafazkan dengan kata-kata. Hanya
dengan membaca al-Quran hatinya rasa terhibur dan damai. Sesungguhnya ALLAHlah
penghibur yang paling agung.
Baru belakangnya direbahkan atas tilam, kedengaran suara
memanggil-manggil namanya berulang kali. Akif melangkah dengan longlai menuju
ke pintu. Hari itu dia penat benar. Urusan di kedainya semakin banyak kerana
kedai yang diusahakannya semakin maju.
“Steven, masuklah,” pelawa Akif kepada pemuda Cina itu
yang datang bersendirian. “Duduklah,” pelawanya lagi.
Steven pun duduk di sofa. Suasana di ruang tamu diikat
kebisuan beberapa ketika.
“Akif, pulangkan Szeze kepada aku balik.”Tiba-tiba sahaja
bibir Steven melontarkan kata-kata.
Akif tersentak mendengar permintaan Steven itu. Matanya
merenung Steven tidak berkelip. Bibirnya bungkam tidak bersuara beberapa ketika.
Dia hanya mampu memandang lelaki itu yang duduk di sofa sambil menyilangkan
kakinya.
Sebatang demi sebatang rokok terselit di antara ulas bibir
Steven yang semakin kering dan menghitam. Nafas yang dihela dalam dan semakin
dalam lalu dilepaskan dengan rakus. Steven masih menunggu bibir Akif
mengeluarkan kata-kata. Namun, lelaki di hadapannya itu tetap membisu.
“Heh, cepatlah! Buat keputusan! Sekarang Szeze dah tidak
mahu hidup dengan kau lagi! Kenapa kau nak paksa dia?”soal Steven dengan nada
bongkak dan sombong.
“Nur Aiman tidak pernah beritahu aku begitu,” jawab Akif
dengan tenang. Matanya merenung wajah Steven yang kelat.
“Kalau dia suka duduk dengan awak, tidaklah dia lari
tinggalkan rumah!”balas Steven pula. Hatinya semakin geram melihat Akif masih
dengan ketenangannya walau dia bersikap kasar dan mengeluarkan kata-kata kesat
kepada lelaki itu. Kedegilan Akif seolah sepadan dengan sikap keras kepala Wong
Szeze. Walaupun dia berjaya memujuk Wong Szeze supaya meninggalkan Akif, tetapi
dia tidak berjaya memujuk wanita muda itu untuk melupakan lelaki itu.
“Nur Aiman bukan lari dari rumah! Tetapi dia dilarikan,”kata
Akif secara sinis. Matanya merenung Steven sekali lagi.“Kalau tidak ada orang
hasut dan pengaruhi dia, takkan dia sanggup tinggalkan anaknya yang masih kecil
di rumah seorang diri,”tebak Akif pula.
“Heh, bodoh! Itu maknanya dia tidak inginkan anak itu
lagi! Dia tak suka. Dia benci! Kau kongkong hidup dia! Tak bagi dia keluar
rumah! Tak bagi orang masuk dalam rumah! Suruh pakai tudung kepala bila keluar
pintu rumah pun! Dia benci semua tu!”kata Steven dengan suara kuat. “Agama kau
telah menyusahkan dia!”tuduh Steven.
Telinga Akif berdesing. Namun, dia tetap mendiamkan
dirinya kerana faham situasi Steven yang tidak pernah mendapat pertunjuk
hidayah daripada ALLAH. Steven tidak pernah mengenali Islam. Akif membiarkan
Steven meluahkan kata-kata yang tersimpan. Meluahkan kemarahannya.
“Dia menyesal kahwin dengan awak! Dia menyesal tak
gugurkan bayi tu sewaktu mula mengandung!”ujar Steven bersungguh-sungguh.
Akif hanya mendengar lontaran kata-kata dari bibir Steven
dengan tenang. Bibirnya mengukir senyuman.
“Sekarang dia nak balik kepada aku. Nak kembali ke agama
nenek moyang kami! Dia menyesal ikut agama awak,”terang Steven lagi sambil
menyedut rokok dengan rakus.
“Awak beritahu, berapa banyak wang yang awak mahu! Aku
boleh bagi! Aku mahu awak ceraikan Szeze. Dia hak aku! Dari kecil lagi aku
cintakan dia,”beritahu Steven lagi. Suaranya bertambah kuat.
“Cakaplah! Berapa?”desak Steven lagi.
Ketenangan yang ditunjukkan oleh lelaki yang sedang duduk
di hadapannya menyebabkan hatinya semakin sakit. Patutlah ayahnya selalu
memuji-muji. Pujian ayahnya yang melambung terhadap menantu saudara yang
berlainan bangsa dan agama itu menyebabkan hatinya seolah ditusuk-tusuk besi
tajam.
“Berapa harga Aiman?”tanya Akif sambil bibirnya mengukir
senyuman. Steven tidak terjawab.“Kaulah yang letak harga!”jawab Steven dengan
suara kuat setelah berdiam diri beberapa lama.
“Kau fikir boleh ke seorang perempuan ditukar dengan
sejumlah wang?”soal Akif lagi sekadar menguji. “Mestilah boleh! Aku selalu beli
perempuan! Tiap-tiap malam aku beli perempuan,”jawab Steven dengan nada bangga.
Membuka pekung di dada.
“Kadang-kadang aku beli dua tiga orang sekali!”katanya
lagi dengan nada angkuh. Terlalu mudah memperolehi perempuan untuk melayani
nafsunya, seolah sayur di pasar. Itu
yang terdetik di hati Steven. Soalan dari Akif menimbulkan rasa pelik di
fikirannya.
Dia tidak menyangka
Akif begitu bodoh sekali. Persoalan
yang seremeh itupun tidak dapat difikirkan kewajarannya. Mungkin disebabkan
kebodohannya itulah dia sanggup berkahwin dengan Wong Szeze yang telah
mengandung anak haram. Sekarang ini, Wong Szeze, isterinya itu telah berjaya
dipujuk dan mengikutnya. Mereka telah tinggal serumah.
“Itu perempuan sundal! Pelacur!” jawab Akif sambil ketawa
sinis.“Boleh dibeli macam awak membeli kambing atau...” kata-kata Akif
tersangkut di situ. Tidak sanggup lidahnya untuk menyebut perkataan khinzir pun.
“Takkanlah awak nak samakan wanita yang awak cintai sama
seperti pelacur,”ujar Akif dengan nada sinis.“Nur Aiman perempuan baik! Dia
isteri aku!”tegasnya.
“Seluruh harta yang awak ada tidak cukup untuk menebus
dia daripada aku,” tegas Akif lagi. Nada suaranya masih lagi lembut.
“Perempuan baik?”soal Steven dengan nada mengejek. Geli
telinganya mendengar pujian Akif terhadap wong Szeze.“Perempuan baik takkan
mengandung anak haram,”katanya lagi dengan nada sinis.“Perempuan baik takkan
serah tubuh badannya kepada jantan yang belum jadi suaminya,” sambung Steven
lagi.
Kata-kata itu menyebabkan telinga Akif berdesing sekali
lagi. Walau dia belum pernah mencintai Nur Aiman apatah lagi menyentuhnya,
namun telinganya tidak sanggup mendengar kata-kata yang mencela maruah
isterinya itu. Mencela maruah isterinya seolah-olah mencela maruahnya juga.
“Sekarang ni awak datang sini, mintak saya ceraikan Nur
Aimankan? Kalau dia perempuan tak baik, kenapa awak mintak dia dari saya?”soal
Akif dengan nada perlahan dan lembut.
“Aiman ada di rumah awakkan? Tolong suruh isteri saya
balik kepangkuan suaminya,” ujar Akif. Masih
dengan ketenangannya.
Mendengar kata-kata Akif itu, Steven bertambah meradang. Dia
merasakan yang Akif sedang mempermain-mainkannya dengan kata-kata. Sama seperti
Wong Szeze.
“Heh! Akif! Kau tahu tak aku siapa? Sekali lagi aku
ingatkan! Kalau kau sayangkan nyawa awak! Perniagaan kau yang baru hendak
bermula di sini, kau mesti ceraikan Wong Szeze! Kalau tidak!!”Steven seolah-olah
memberi amaran kepada Akif. Kata-kata Steven tersangkut di situ. Akif
merenungnya dengan penjuru mata tanpa rasa gentar.
“Kalau tidak apa?”soal Akif pula sengaja hendak mencabar
lelaki itu. Sedikit pun dia tidak gentar kepada lelaki yang berperwatakan
samseng atau gengster itu.
“Kalau tidak awak yang jadi mayat, kedai awak yang akan
jadi abu!”ugut Steven pula sambil menundingkan jari telunjuknya ke muka Akif
lalu meninggalkan rumah lelaki itu dengan perasaan berang.
Steven memandu keretanya laju-laju. Di dalam fikirannya
dia sudah mencipta beratus ayat untuk diperdengarkannya kepada Wong Szeze. Wong
Szeze pasti akan percaya segala kata-katanya. Wong Szeze pun bukanlah cerdik
sangat orangnya. Jika tidak, masakan diperdaya oleh teman lelakinya yang dahulu,
sehingga mengandungkan anak tidak sah taraf. Sekolahnya pun setakat tingkatan
lima sahaja.
Tamat SPM, Wong Szeze sudah sibuk main cinta dengan
jantan Melayu. Tapi, kalau Wong Szeze tidak bersekolah tinggi pun, dia boleh
hidup senang sampai mati. Papanya banyak harta. Banyak wang. Hartawan dan
jutawan Wong, siapa yang tidak mengenalinya?
Steven terus mengelamun. Impiannya untuk memiliki Wong
Szeze terus membara. Walau bapanya juga banyak harta dan wang, jika
dibandingkan, harta kepunyaan pakngahnya lebih banyak. Silap-silap hari bulan, harta
pakngahnya akan jatuh ke tangan Akif, menantunya.
‘Tak boleh jadi,’ bisik hati Steven. ‘Apa pun caranya, aku
kena rampas balik Szeze dari laki dia. Aku akan beritahu Szeze yang Akif sudah
benci kepada dia. Akif akan ceraikan dia. Tapi, kalau aku berjaya tarik Szeze
balik ke agama nenek moyang kami, secara automatik perhubungan mereka suami
isteri akan putus!’
Bermacam-macam suara yang mendatangi fikiran Steven. Bibirnya
mengukir senyuman.
Sampai di rumah, pintu rumahnya ternganga. Steven meluru
memasuki rumah dan memanggil-manggil nama Wong Szeze. Senyap. Steven terus
masuk ke biliknya dan menggeledah laci. Sepucuk pistol yang tersembunyi di
bawah sehelai tuala berwarna putih di dalam laci itu diambilnya dengan rakus. Nafasnya
mendengus. Tubuhnya menggeletar. Hatinya marah dan kecewa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan