Rabu, 16 Mac 2016

Cinta Tak Pernah Usai - Bab 41



AZMIR cepat-cepat memutar stereng dan keluar dari ruang parkir di hadapan bangunan Maybank di pusat bandar Ipoh. Tengah hari itu dia akan makan tengah hari dengan Dayana. Kebelakangan ini persahabatannya dengan Dayana semakin rapat. Tidak dapat dielakkan, hatinya terpanggil-panggil untuk menghubungi wanita itu setiap hari.
Rasa simpatinya yang menggunung menyebabkan dia tidak jemu untuk menemani Dayana. Menjadi teman berbual dan berkongsi masalahnya. Kecekalan dan ketabahan wanita muda itu mengagumkan hatinya. Hanya pada hari kematian Ikhwan sahaja dia melihat wanita itu menangis di dalam kesabaran menghadapi musibah. Namun hari-hari selepas itu bibirnya tetap mengukir senyuman. Tenang wajahnya seolah-olah tidak ada peristiwa pahit yang melanda hidupnya.
“Assalamualaikum, Yana...dah lama tunggu? Maaf saya terlambat sikit,”kata Azmir sebaik duduk di kerusi bersebelahan Dayana. Wanita itu hanya tersenyum manis.
“Kalau lambat lagi lima minit, Yana angkat kaki,”gurau Dayana.
Azmir hanya ketawa kecil. Selepas membuat pesanan makanan suasana diselubungi sepi. Dayana dengan lamunannya yang tidak pernah berhenti. Azmir masih memikir-mikirkan kata-kata yang patut diungkapkannya kepada wanita itu. Dayana yang baru empat bulan kematian suaminya. Tempoh idahnya sudah pasti tiada kerana dia tidak sempat bersama dengan Ikhwan.
“Hmm...Yana, minggu ni kalau saya bawa Yana untuk berkenalan dengan keluarga saya, Yana sudi tak?”tanya Azmir. Dia tidak pandai berkias macam sahabatnya Ikhwan. Berterus terang adalah lebih baik untuk mengelakkan tekaan yang bukan-bukan.
“Yana seganlah, lagipun Yana ni baru aje kematian suami, janda... nanti.”


“Yana nak bimbang apa? Takkanlah kerana baru kematian suami Yana tak boleh hendak bergerak ke mana-mana. Yana, hidup ini perlu diteruskan. Kuatkan semangat, okey?”pujuk Azmir perlahan. Alangkah ruginya jika Dayana terus bersikap negatif kerana bergelar janda.
“Err...err...”Dayana tergagap-gagap untuk membalas kata-kata Azmir. Saat itu hatinya bagaikan dibelenggu sesuatu.
Sejak kematian Ikhwan memang Azmir kerap menghubunginya. Kata Azmir dia sudi menjadi teman untuk berkongsi rasa dukanya. Kesudian Azmir itu amat dihargainya, namun dia harus berhati-hati. Jangan sampai menimbulkan fitnah.
“Yana, jangan biarkan kedukaan terus membelenggu diri. Bebaskan jiwa daripada kesedihan yang berpanjangan, Yana. Perjalanan kita dalam hidup ini masih jauh lagi,”ungkap Azmir sambil menatap wajah Dayana.
“Terima kasih, Azmir. Berat mata yang memandang, berat lagilah bahu yang memikulnya. Insya-ALLAH, lama-kelamaan ALLAH akan bantu Yana menghapuskan segala kenangan sedih itu dari hati Yana,”balas Dayana.
“Insya-ALLAH, Yana. Mungkin kedukaan itu akan cepat menyisih jika ALLAH menemukan Yana dengan seseorang yang akan menjadi jodoh Yana,”ujar Azmir sambil meleretkan senyuman.
“Jika ditakdirkan TUHAN, ada lelaki yang datang melamar Yana pada waktu ini, bagaimana? Mahukah Yana menerimanya?”soal Azmir pula. Dayana pura-pura tidak mendengar. Pertanyaan daripada Azmir itu menambah serabutkan fikiran yang sedang runsing.

Debarandada Rais bergemuruh. Pergerakan teksi yang dinaiki terasa amat perlahan. Dia tidak sabar lagi untuk bertemu dengan emaknya. Emaknya pasti terkejut apabila mendengar cerita yang akan dibawanya nanti.‘Emak! Abang Akif masih hidup, mak!’
Bolehkah dia memberitahu emaknya begitu? Rais menyoal hatinya sendiri. Kalau emaknya melompat terkinja untuk bertemu dengan Akif? Tak boleh! Hal ini tidak boleh diceritakan kepada emak. Biarlah menjadi rahsia. Mungkin lelaki yang dilihatnya di Cina Franchise Expo di Tianjin itu bukan Akif. Mungkin lelaki itu mirip Akif. Lagipun, lelaki itu tidak berada di tapak milik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Malaysia. Lelaki yang mirip sangat dengan abangnya itu berada di tapak kepunyaaan perniagaan warga Beijing.
Di gerai itu banyak terpamer barang-barang perhiasan cenderahati untuk para pelancong. Pelbagai jenis barang termasuk perhiasan dari kristal. ‘Mustahil Abang Akif berada di sana.’Hati Rais terus berkata-kata.
Dia berasa terkilan kerana tidak dapat mencari lelaki itu setelah melihatnya dari jauh. Maklumlah, tapak ekspo itu padat dengan kehadiran orang. Apabila Rais sampai di tapak gerai, lelaki berkenaan telah tiada di situ. Dia tidak dapat meneka sama ada lelaki mirip Akif itu pelancong sepertinya juga atau pekerja di situ.
“Assalamualaikum,” laung Rais dengan suara kuat sambil memberi salam.
Waalaikumussalam,” jawab Pak Shukri sambil membuka pintu.
Ayah...”sapa Rais kepada ayahnya yang berdiri di muka pintu sambil menyalami dan mengucup tangan ayahnya itu.

“Hah, hujan tidak, ribut tidak tiba-tiba sahaja balik! Kata nak pergi bercuti,”kata Pak Shukri sambil tersenyum menyambut kepulangan anaknya yang kedua.
“Dah balik! Baru sampai semalam,”jawab Rais sambil tersengih.
Mak mana, ayah?”soal Rais sambil mengekori ayahnya
Mak kamu ada di dalam biliknya. Demam dah berhari-hari. Tak kebah-kebah lagi,” jawab ayahnya dengan suara mendatar. Beg yang dihulurkan oleh Rais disambutnya.
“Nisah tak balik?”soal Rais pula apabila tidak melihat kelibat Nisah di rumah itu. Nisah yang sepatutnya sedang bercuti.
“Dia pergi bercuti di rumah kawannya. Di Lurah Bilut, Pahang,”beritahu Pak Shukri. Sudah tiga hari Nisah berada di kampung kawannya.
“Pergi ke Bilut? Cari apa di sana? Saya ajak pergi Beijing tak mahu,”kata Rais. Pelik kerana Lurah Bilut menjadi tempat percutian Nisah.
“Adik kamu tu memang begitu. Fikirannya lain macam. Dia sukakan suasana kampung dan hutan belantara. Nak mencari Akif katanya. Hmm...” keluh Pak Shukri perlahan. Kata-kata ayahnya menyebabkan Rais terkenangkan lelaki yang dilihatnya di tapak ekspo di Beijing.
“Saya nak pergi tengok mak, ayah,”beritahu Rais.
“Hmm... pergilah! Ayah nak pergi ke kedai,”beritahu Pak Shukri.
Mak Esah tersenyum sebaik melihat Rais menghampirinya. Apabila melihat anaknya itu, Mak Esah berusaha untuk menggerakkan tubuhnya supaya dapat duduk di atas tilam.
“Mak dah pergi hospital?”soal Rais sambil menyentuh dahi emaknya. Mak Esah mengangguk.
“Dah dua kali mak pergi, Rais. Semalam Yana pun ada datang. Dia juga bawa mak pergi ke klinik,”beritahu Mak Esah dengan suara perlahan dan hampir sebak.
“Ya ke,mak? Baik Kak Yana tu, walaupun tak jadi kahwin dengan Abang Akif, kerap jugak dia datang menjenguk mak. Ikhlas orangnya,”komen Rais tentang Dayana. Mendengar kata-kata Rais itu, Mak Esah terus menangis mengenangkan nasib gadis itu. Bermacam dugaan besar mendatangi hidupnya. Baru-baru ini suami yang baru dinikahinya meninggal dunia pula.
“Itulah sebabnya mak nak pinangkan dia untuk kau, Rais. Mak sayang sangat pada dia! Mak tak mahu dia terlepas ke tangan orang lain,”kata Mak Esah dalam esak tangis.
“Alah,mak ni, ke situ pulak! Sudahlah tu! Cinta mana boleh ditukar ganti, mak! Takkan dia nak terima saya. Macam mana nanti kalau dia kahwin dengan saya, tiba-tiba Abang Akif balik! Kelam kabut jadinya keluarga nanti! Nak-naknya waktu itu Kak Yana sedang bawak perut pulak. Mau gila cempera jadinya Abang Akif. Saya pulak jadi sasau,hee...hee!”gurau Rais. Cuba menghiburkan hati emaknya.
“Jadi, kalau dia menolak pinangan mak tu, saya tak kecil hati, mak! Saya tahu dan faham hati Kak Yana,”beritahu Rais dengan panjang lebar.
Kalau boleh biarlah hatinya terbuka untuk berkahwin lagi dengan lelaki lain, mak.”Lembut kata-kata Rais itu membayangkan sikapnya.
“Takkan Kak Yana hendak membujang sampai mati! Kasihan dia,” katanya lagi dengan suara lirih. Hatinya juga disimbah kesedihan apabila mendapat perkhabaran tentang Dayana.

Baru sahaja dia bangkit dari kekecewaan untuk mencari kebahagiaan dengan menikahi lelaki lain, suaminya meninggal dunia pula! Tragis! Amat tragis episod hidup yang harus dilalui oleh wanita muda itu.
“Ke mana agaknya abang kau, Rais?”soal Mak Esah dengan suara hiba.
Rais diam tidak terjawab. ‘Mungkinkah lelaki yang aku lihat di Tianjin tempoh hari, Abang Akif?’Persoalan hatinya belum mendapat jawapan.
“Dah lama Akif menghilangkan diri! Tapi naluri mak sebagai orang yang telah melahirkannya, setiap saat seolah-olah membisikan yang dia masih hidup. Akif masih ada, Rais...”ujar Mak Esah dengan juraian airmata.
“Mak,saya ada nampak dari jauh seorang lelaki yang mirip sangat dengan Abang Akif di Tianjin. Langsung tak ada beza, mak!” spontan bibir Rais meluahkan kata-kata itu. Cuba memujuk emaknya yang dilanda kesedihan dan kerinduan.
Waktu itu saya sedang melawat tapak ekspo,” cerita Rais terus membocorkan rahsia.
“Betul ke, Rais?”soal Mak Esah dengan mata yang membesar.
Betul, mak.Tapi sayang, saya tak sempat bersua muka dengan lelaki itu secara dekat. Jika tidak, boleh saya bergambar dengannya dan tunjukkan kepada mak,”cerita Rais lagi dengan nada ceria.
“Kata orang ada 7 orang yang wajahnya sama dengan wajah kita di muka bumi ni,” sambung Rais dengan nada bergurau. Cuba memujuk emaknya yang merindukan Akif.
“Rais, sama ada cerita kau itu betul ataupun tidak, hati kecil mak ni tetap mengatakan yang abang kau masih ada,”tegas Mak Esah.
“Tetapi... kalau dia masih hidup, takkan dia tak berhubung dengan kita?Memanglah talian telefon tetap di rumah, ayah dah potong  bila kabelnya asyik kena curi aje, tapi bukankah dia boleh tulis surat kepada kita?”tukas Rais sambil menggaru-garu kepala.
Macam-macam bentuk komunikasi lagi abang Akif boleh gunakan, mak! E-mel,faks...” Buntu pula fikiran Rais mengenangkan yang abangnya masih lagi hidup tetapi menyepikan diri.
Lainlah kalau dia dah hilang ingatan.”
Mak Esah menjeling apabila mendengar penghujung ayat Rais itu.
“Nak telefon macam mana? Nombor telefon kau tu asyik bertukar aje. Mesin faks di rumah Yana pun dah lingkup mengikut cerita Mak Bedah kamu! Sudahlah Rais, tadi kamu beria-ia mengatakan yang kamu nampak lelaki yang mirip sangat dengan abang kamu di China tu. Sekarang ni kamu pulak memutar-mutar cerita. Kalau Abang Akif masih hidup takkan Abang Akif tak tulis suratlah,tak telefonlah! Walau dia tak telefon, tak tulis surat, hati mak tetap kata yang Akif masih hidup!”
Berapi ungkapan kata-kata yang terlontar dari bibir Mak Esah.
“He... hee... dah kerja saya lawyer!Kenalah pandai putar belitkan fakta,” gurau Rais sambil memeluk bahu emaknya.
Ha! Macam mana dengan hal tanah ayah tu, mak?”soal Rais cuba mengalihkan tajuk perbualan dengan emaknya.
“Tanah yang bersempadan dengan ladang getah syarikat Cina tu?” soal Mak Esah.



Wong Pek Chak tu sedang pujuk ayah kamu untuk beli tanah tu! Katanya dia nak dirikan rumah pekerja di situ,”beritahu Mak Esah sambil menjuntaikan kakinya. Selalu suaminya bercerita yang lelaki Cina itu tidak pernah putus asa memujuknya sudah bertahun.
“Siapa Wong Pek Chak tu?”soal Rais.
Berapa dia nak bayar?”soal Rais lagi dengan perasaan ingin tahu, sebelum sempat Mak Esah menjawab soalannya tadi.
“Dia dah lama beli ladang getah yang bersempadan dengan tanah kita tu! Ladang tu dia dah tanam semula,”jawab Mak Esah.
Yalah! Sekarang ni harga getah melambung!” ulas Rais.Dia nak bayar berapa kepada ayah?”soal Rais, mengulangi pertanyaan yang tidak berjawab.
“Kamu ingat senang nak berunding dengan ayah kamu, soal tanah ni?”soal Mak Esah lalu menuruni katil.Nak-naknya tanah tu abang kamu yang membelinya,”jelas Mak Esah.
“Kalau nak pajak bolehlah ayah bagi,” cadang Rais sambil berjalan menuju ke tingkap. Pandangan matanya dilontarkan ke arah halaman rumah.
“Mintalah dia bayar sebulan 5 ribu ringgitseekar. Tanah abang ada 5 ekar. Dah dapat 25 ribu ringgit sebulan. Setahun?”Rais cuba mencongak.
Lebih suku juta mak! Kalau pajak 10 tahun? Banyak mak!”Rais mula berangan.
“Mulalah berangan tak sudah,”perli Mak Esah kepada Rais.
“Jom kita ke dapur, mak buatkan kamu air!”ajaknya.
Kan mak tak sihat?”soal Rais pula.
Dah sihat sikit rasanya, bila kamu kata ternampak lelaki yang mirip abang Akif kamu di Ti...Tian...”
“Tianjin,”sampuk Rais sambil mengekori emaknya.
“Esok kamu temankan ayah kamu berjumpa dengan Wong Pek Chak tu! Kata ayah kamu, kalau Cina itu setuju untuk pajak atau sewa sebahagian tanah tu, dia boleh pertimbangkan! Esok mereka nak berunding, bolehlah kamu ikut,”suruh Mak Esah.
“Siapa Wong Pek Chak tu? Rasanya macam pernah dengar nama tu! Pemilik Ladang Wong, betul ke mak?” tanya Rais untuk mendapatkan kepastian.
Kaya-raya Cina tu. Mak tengoklah, bangsa mereka tak pernah kering nafsu untuk mengumpul harta,” katanya lagi.
“Eh! Eh! Jangan perlekehkan bangsa sendiri, Rais. Kamu tengok ayah dan abang kamu. Ada duit terkumpul sahaja mesti jadikan harta. Beli tanah, beli rumah. Kamu ni ada duit terkumpul 5 atau 6 ribu, sibuk nak melancong ke sana sini,” sindir Mak Esah kepada Rais yang menyengih.
“Wong Pek Chak tu dah tua ke mak?”tanya Rais seolah berminat hendak mengetahui tentang lelaki Cina yang selalu menjadi sebutan emak dan ayahnya itu.
“Hmm... esok ikut ayah, bolehlah kamu berkenalan dengan dia,”jawab Mak Esah.
“Insya-ALLAH, mak! Saya akan temankan ayah nanti! Manalah tahu dia ada anak gadis, dapat berkenalan dengan anak gadisnya! Hee... he!!”gurau Rais lagi. Sebenarnya hatinya berasa lega apabila melihat wajah emaknya kembali ceria, tidak lagi mendung.

“Hai, nak mencari pasangan dengan anak Cina pulak ke? Tak payahlah Rais! Ramai lagi anak-anak gadis Melayu dalam negara ni!”tempelak Mak Esah sambil tersenyum sumbing. Mungkin hatinya tidak boleh menerima kehadiran menantu perempuan dari bangsa selain dari bangsanya sendiri.
“Ala, Rais bergurau ajelah mak,”pintas Rais dengan nada ceria. Dia gembira kerana melihat emaknya tidak lagi muram.
Rais nak capai cita-cita dulu! Bila dah ada firma guaman sendiri nanti, baru Rais nak kahwin,”kata Rais lagi.Dah ada rumah besar, kereta besar, syarikat besar,wang simpanan berjuta.”
“Hmm...kalau begitu kematulah kamu,”sindir Mak Esah sambil menjuihkan bibirnya dan menjeling anak keduanya itu.
“Mak,bila Nisah dah habis cutinya nanti, mak dan ayah ikut Rais balik ke Manjung, ya? Duduk dengan Rais di sana,”kata Rais sambil menarik kerusi di meja makan.
“Insya-ALLAH, mak dah berbincang dengan ayah kamu, katanya dia teringin jugak nak duduk di sana tapi tak bolehlah lama-lama,takut kebun dusunnya menjadi hutan belantara pulak,”setuju Mak Esah. Apa salah menggembirakan hati anak-anak yang masih ada bersama dengan mereka?

Tiada ulasan: