Rabu, 16 Mac 2016

Cinta Tak Pernah Usai - Bab 40



KEDENGARAN bunyi hon di jalanraya yang sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu itu. Rais berjalan dicelah-celah kenderaan bersama teman serombongannya.Akhirnya, tercapai juga impiannya untuk menjejakkan kaki di bumi Beijing. Sudah lama dia berkeinginan untuk melancong di sini.
Kaki Rais melangkah mengekori teman-temannya yang sedang menuju ke tapak ekspo yang secara kebetulan sedang diadakan. Ramai orang mengunjungi Cina Francais Expo yang diadakan oleh kerajaan Cina dan KPDNK Malaysia itu. Penyertaan yang julung-julung kali ini terdiri daripada pegawai-pegawai KPDNK, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan beberapa buah syarikat korporat yang lain.
Rais yang secara kebetulan datang melancong ke Beijing turut mengunjungi tapak ekspo ini. Tapak ekspo yang luas itu dipenuhi oleh gerai yang mewakili syarikat-syarikat tempatan Beijing dan Malaysia.
“Wah, ramainya yang datang! Tak sangka pulak ada ramai orang Malaysia di sini!”kata Rais kepada temannya dengan suara kuat. Dia terpaksa bercakap dengan kuat bagi mengatasi bunyi suara dari pembesar suara yang memekak. Setiap gerai cuba mempromosi produk masing-masing.
“Hai, kau tak nampak ke iklan gergasi di pintu masuk tadi? Ekspo ni kan kerjasama dengan kerajaan Malaysia,” terang kawannya dengan suara kuat juga.
“Manalah aku tahu! Kain rentang di pintu masuk tadi, kan bertulisan Cina! Mana aku faham, Halim,”jawab Rais lagi. Matanya terus memerhati barangan dan browser yang terdapat di gerai yang sedang dilawati.
“Aku pun tak faham jugak,tapi ada Jalur Gemilang dan logo kerajaan Malaysia, jadi aku pun buat andaian sendiri,”balas Halim sambil ketawa. Terasa megah hatinya melihat Jalur Gemilang berkibar megah di negara asing.
“Jom kita pergi ke gerai hujung sana.Di situ ada pameran barang-barang kristal dan lain-lain cenderamata,”ajak Halim sambil menarik tangan Rais.
Mata Rais pun merenung ke gerai yang dikatakan oleh Halim. Dia terpandangkan seorang lelaki yang sedang menyusun barang-barang di dalam gerai tersebut. Dari kejauhan susuk tubuh lelaki itu bagaikan sudah biasa sangat dengan dirinya.
‘Eh! Tak mungkin...’kata hati Rais.
‘Mustahil Abang Akif berada di sini? Buat apa dia di sini?  Kalau benar, mengapa tidak menghubungi keluarga dikampung?’pujuk hatinyalagi.Cuba menafikan lelaki yang sedang dilihatnya dari jauh itu ialah abang kandungnya, Akif.
“Yang kau terdiam kenapa, Rais?”tanya Halim.
Aku macam terpandang-pandang abang aku di gerai barang-barang kristal tu,” beritahu Rais terus terang. Apa salahnya berkongsi cerita dengan temannya itu.
“Abang kau yang hilang tu? Hisy, pelanduk dua serupalah tu! Gerai tu milik orang Cinalah,”ujar Halim. Kata-kata yang dilontarkan oleh Halim itu melegakan hati Rais seketika.
“Hai! Takkanlah aku tak kenal abang sendiri!”tegas Rais sambil melontarkan pandangan matanya sekali lagi ke arah gerai itu, namunlelaki itu sudah tiada lagi di situ.

“Hah! Hilang pulak dia! Jangan-jangan dia pun pelancong seperti kita jugak,”kata-kata Rais bernada kecewa.“Apa masalahnya, Rais? Jom kita pergi tanya pada pekerja kat situ. Bukannya susah sangat nak mencari jalan penyelesaian pada masalah yang sedang membelit dalam kepala kau,”cadang Halim lalu mengheret tangan Rais.
Mereka terus bertanya kepada seorang pemuda yang masih berada di dalam gerai tersebut. Sayang sekali, pembantu lelaki berbangsa Cina yang berada di situ langsung tidak memahami soalan yang dikemukakan oleh Halim dalam Bahasa Inggeris.
“Eh,sudahlah Halim! Macam ayam bercakap dengan kambing! Satu apapun dia tak faham,”tukas Rais sambil ketawa mengekek. Mereka pun beredar dari situ dan pergi ke gerai pameran yang lain.
Setelah membeli beberapa barangan sebagai ole-ole untuk emak, ayah dan adiknya dikampung, Rais dan Halim tergesa-gesa pula mencari ahli rombongan yang lain kerana selepas itu mereka ada program lawatan di tempat lain pula. Sungguhpun begitu, kelibat lelaki tadi yang mirip Akif bersemadi di ingatan Rais.
“Selepas ni kita nak ke mana pulak?”tanyanya kepada Halim.
Tangan pun sudah dipenuhi beg. Matanya terus meliar ke sana ke sini dalam kawasan ekspo itu mengharap dapat melihat wajah lelaki tadi sekali lagi.
“Ikut jadualnya lepas ni kita nak ke pusat bandar lama Beijing! Ke Jalan Dashilan,” beritahu Halim.
Kawasan perniagaan Jalan Dashilan terletak di pusat bandar lama Beijing.Kedai-kedai menjual ubat tradisional dan sutera yang bersejarah lebih 100 tahun banyak terdapat di situ.
“Kraftangan banyak kat situ ya?”tanya Rais yang seakan mabuk untuk membeli ole-ole. Yang paling penting ole-ole untuk emaknya, ayah dan Nisah.
“Ada jugak! Tapi kata tourist guide kita tadi, lebih baik beli barang-barang kraftangan atau lukisan tradisional China di Jalan Liulichang!”
Eh! Kau ni beria nak memborong ni, kau dah tempah satu kapal terbang, eh?”tanya Halim sambil menumbuk bahu Rais dan menyentuh beg-beg kertas ditangan temannya itu. Rais menyengih.


AKIF melangkah perlahan menuju ke rumah sebaik sahaja turun dari teksi. Sepanjang perjalanan dia teringatkan cerita temannya yang bersama-sama bekerja menjadi pembantu kedai Wong Pek Chau. Pembantu kedai yang tidak tahu langsung berbahasa Inggeris itu terpaksa mencari seorang temannya untuk menterjemahkan cerita yang ingin disampaikannya kepada Akif.
Kononnya, ada dua pelancong dari Malaysia bertanyakan tentangnya. Disebabkan dia tidak memahami Bahasa Inggeris dia tidak menjawab apa-apa. Setelah kedua-dua orang itu pergi barulah temannya teringat yang sedang ditanyakan oleh pemuda-pemuda itu ialah Akif. Di kedai, Wong Pek Chau telah menamakan Akif sebagai Ah Kit.
Cerita itu menyebabkan lautan hati Akif bergelora beberapa saat. Dia cuba meneka, siapakah yang dapat mengenalinya di sini? Untuk menghindarkan dirinya daripada terus mengingati dan meneka serta runsing, Akif membuat kesimpulan yang dicari oleh pemuda-pemuda pelancong dari Malaysia tadi, bukanlah dirinya. Lagipun tidak siapa pun yang tahu dia sedang berada di negara itu.



Jam di lengan menunjukkan waktu 5.00 petang sewaktu Akif tiba di hadapan rumahnya. Dia turun dari bas dan berjalan tenang menuju ke rumah sewanya.
Seorang jiran yang duduk selang dua buah rumah dengannya, menyapa. Itulah satu-satunya jiran yang sering menegurnya di dalam Bahasa Inggeris yang tidak fasih. Mungkin jiran-jiran yang lain tidak tahu berbahasa Inggeris. Dia pula tidak tahu berbahasa Cina di dalam dialek apa pun.
 Jiran itu tidak hanya bertanyakan tentang kehilangannya sudah tiga hari. Bahkan lelaki separuh umur itu memberitahunya ada mendengar bayi menangis dari rumahnya dalam tempoh yang agak lama pagi tadi.
Akif terkejut mendengar cerita itu. Setelah berjabat salam dengan jirannya itu dan mengucapkan terima kasih kepadanya, langkah Akif bertambah laju menuju ke rumah.
Pemandangan yang terakam oleh retina matanya sebaik sahaja masuk ke pekarangan rumah. Kain baju di ampaian yang tidak diangkat. Ada yang sudah berjatuhan di atas tanah dan kotor disirami air hujan bercampur tanah.
Kehadiran angin secara tiba-tiba dan agak kencang menerbangkan lagi dua tiga helai pakaian lalu mendakap bumi yang masih basah.
“Kenapa Aiman tak angkat baju-baju ni?”soal hati Akif.
Selepas meletakkan beg yang dibawa di muka pintu, Akif terus mengutip kain baju di penyidai di depan rumah. Matanya terus mengitari sekeliling. Telinganya juga cuba mendengar jika ada apa-apa bunyi atau suara yang datang dari dalam rumah sewaannya.Tidak kedengaran apa-apa. Suasana hening dan sunyi sepi. Hanya kedengaran desiran daun-daun kering dibelai puputan angin.
“Assalamualaikum, Aiman!”laung Akif sambil memberi salam.
Lama dia menunggu Nur Aiman menjawab salam atau membuka pintu. Akhirnya hati Akif dibelit kehampaan dan tandatanya. Dia meraba-raba dalam poket seluarnya mencari anak kunci pintu rumah.
“Aiman!”laungnya lagi sebaik sahaja kaki melangkah ke dalam rumah setelah kunci pintu dibuka. Tidak ada jawapan.
‘Subhanallah! Astaghfirullahalazim,’keluh Akif sebaik sahaja terlihat keadaan ruang tamu yang berselerak. Dua biji gelas tergolek di atas meja kopi. Tiga botol minuman keras tergolek di atas lantai.
‘Aiman minum air kencing syaitan ni?’soal hati Akif.
‘Aiman...’rintih hati Akif seolah ingin menangis kecewa. Dia menelan air liurnya berkali-kali lantas meluru menuju ke bilik tidur mereka apabila mendengar suara Haiqal mengagah-agah. Bibirnya melarik senyuman pahit dengan perasaan lega. Sangkanya Nur Aiman berada di dalam bilik tidur bersama anaknya.
“Ya TUHAN...”bisik Akif perlahan. Setelah itu dia beristighfar berulang kali.Tubuh Muhamad Haiqal tergolek ke hujung katil menanti masa untuk jatuh ke atas lantai.
“Aiman!!!”jerit Akif dengan suara yang kuat seolah hilang sabar.
Lengkingan suara anjing yang didengari tambah menyentakkan hatinya. Seekor anak anjing berbulu panjang warna kelabu memasuki bilik dan melompat ke atas katil. Anak anjing menghampiri Haiqal dengan lidahnya yang terjelir ingin menjilat tubuh anak itu.
 
Spontan tangan Akif menyambar tubuh Haiqal lalu mendukungnya. Anak anjing  terus menyalak berlengking-lengking. Akif mati akal seketika.Matanya merenung ke arah anak anjing yang turut memandang ke arahnya sambil bernafas deras dan menjelirkan lidahnya.
“Keluar!”kata Akif cuba menghalau anak anjing itu keluar dari biliknya. Namun, haiwan itu nampaknya terlalu degil. Akif tidak ada pilihan lain selain dari meminta bantuan jirannya untuk mengeluarkan anak anjing itu dari rumah. Nasib baik jirannya yang berbangsa Cina itu sudi membantunya. Bahkan dengan rela hati pula sanggup menolong Akif untuk membersihkan seluruh rumah jika perlu. Akif menolaknya dengan baik kerana rumah itu tidak perlulah disamak.
Akif terkedu apabila diberitahu jirannya, Nur Aiman sudah mengikut seorang lelaki dan pergi dari rumah dengan membawa beg besar.Tadi, dia nampak kain telekung yang selalu dipakai oleh Nur Aiman untuk bersolat terperuk di bawah almari solek.
‘Ya ALLAH, peliharalah iman isteriku,’bisik hati Akif. Dia menghela nafas. Fikirannya jadi buntu tiba-tiba. Gagal menggeledah punca yang menyebabkan Nur Aiman meninggalkan rumah. Meninggalkan seekor anak anjing di dalam rumah untuk menjaga anak mereka yang masih kecil.
Tangisan Haiqal di atas dukungannya memancung lamunan Akif.Dia segera memujuk anak itu dan membawanya masuk kembali ke dalam rumah. Terlintas pula di fikirannya untuk menghubungi Wong Pek Chau kalau-kalau Nur Aiman ada datang ke rumah.
“Akif ada bertengkar atau marahkan Szeze ke?”soal Wong Pek Chau pula. Cuba meneka sebab musabab anak saudaranya lari meninggalkan rumah. Wong Szeze anak manja. Hatinya tidak boleh tersinggung walaupun sebesar kuman. Cepat sahaja dia merajuk dan lari dari rumah. Dari kecil lagi Wong Szeze memang berperangai begitu.
“Saya tak pernah marahkan dia,”jelas Akif. Cuma beberapa bulan dulu saya ada menegur dan menasihatinya kerana membenarkan lelaki masuk ke rumah sewaktu ketiadaan saya. Tapi hal itu dah lama berlaku dan saya dah mintak maaf daripada dia,”sambungnya lagi.
Salahkah dia menegur isterinya itu? Mustahil Nur Aiman mendendaminya dalam tempoh yang amat lama, sebab selepas kejadian itu dia melayan Nur Aiman seperti biasa. Hanya kadangkala dia tidak banyak bercakap kerana terlalu penat dan bermacam-macam perkara hadir di dalam fikirannya.
“Steven ada di rumah tak, paklong?”soal Akif pula.
Manalah tahu kalau-kalau Steven tahu tentang Nur Aiman. Atau mungkin lelaki itu yang melarikan isterinya. Namun hal yang berlegar di fikirannya tidak dinyatakan kepada bapa saudara Nur Aiman itu.
“Steven memang tak duduk di sini! Dia pun dah lama tak balik ke rumah,” beritahu paklongnya dengan nada perlahan. Dia faham dengan kebimbangan yang sedang bertakhta di hati Akif.
“Nombor telefon dia pun aku tak ada,”sambung paklongnya lagi. Steven anak tunggalnya itu memang keras kepala dan degil.
“Tak apalah, paklong! Saya tunggu di rumah ni aje. Mana tahu kalau Nur Aiman pergi ke rumah kawan-kawannya,”kata Akif sebelum menamatkan perbualan di telefon.
“Kawan? Dia mana ada kawan,”balas Wong Pek Chau pula cuba mengingatkan Akif.
“Nanti saya cari dia paklong,” janji Akif.Atau saya buat laporan polis,”tambahnya lagi.
 
Mendengar kata-kata Akif itu Wong Pek Chau tersentak. Bimbang laporan yang akan dibuat oleh Akif itu akan mengheret anak tunggalnya di dalam permasalahan. Steven anaknya itu bukannya baik sangat. Dia  ada mendengar khabar angin yang Steven terlibat dengan kongsi gelap yang mengganas di bandar itu.
“Tak usah buat laporan polis, Akif! Kau kena ingat! Kau orang asing di sini,” pujuknya supaya Akif membatalkan niatnya.
Biar paklong yang buat. Kau belum tahu selok-belok masyarakat di sini,” katanya lagi.
Nanti tak pasal-pasal pulakkau yang kena tangkap. Siapa pulak yang nak jaga Haiqal,” ulasan Wong Pek Chau itu semakin menyerabutkan fikiran Akif. “Uruskan hal visa tu dulu.”
“Baiklah, paklong! Saya ikut nasihat, paklong,” setuju Akif. Bermacam-macam perkara yang mendatangi fikirannya. Mujurlah paklongnya mengingatkan dia tentang visa. Esok dia akan pergi ke pejabat yang menguruskan hal visanya. Jika dia berhasrat untuk meneruskan kehidupannya di bumi itu dan mencari rezeki di situ, mungkin dia perlu membuat permohonan untuk menjadi penduduk tetap.
“Terima kasih, paklong,”kata Akif sebelum menamatkan perbualan mereka. Tangisan Haiqal kembali meledak sebaik sahaja Akif meletakkan gagang telefon di tempatnya.

Tiada ulasan: