Rabu, 16 Mac 2016

Cinta Tak Pernah Usai - Bab 39



BARAH otak! Ikhwan menghidap barah otak? Kenapa dia tak ceritakan kepada aku? Kenapa? Kenapa Ikhwan rahsiakan daripada Yana? Kenapa Ikhwan?’Itulah rintihan hati Dayana yang berleretan.
Sudah bergelen airmatanya yang berderai menghadapi musibah yang begitu mencabar ketabahan hatinya. Satu demi satu. Dulu, di saat dia akan diijabkabulkan dengan Akif, pemuda itu menghilangkan diri tidak kembali lagi sehingga kini. Hatinya tersungkur sedih, jiwanya rebah dalam jurang kecewa yang amat dalam.
Lama dia mengambil masa  untuk bangun kembali. Walaupun tidak berjaya sama sekali untuk menghapuskan Akif dari kenangan dan ingatan serta kamar hatinya, akhirnya dia dapat menerima kenyataan itu. Dirinya hanyalah seorang hamba ALLAH yang tidak mampu menolak ketentuan-NYA.
Walaupun rasa bersalah kepada Akif, kerana memecahkan kesetiaan demi sebuah kehidupan, lamaran Ikhwan tak mampu ditolak lagi. Desakan emak dan ayah, cinta sejati dan kesetiaan Ikhwan menyebabkan dia ingin merebut kembali impian kebahagiaan yang telah bertaburan dan berterbangan. Menerima cinta lelaki itu, bersama dengannya untuk menempuhi hari-hari mendatang, dia begitu percaya dan yakin, kegembiraan dan kebahagiaan akan menghadiri hidupnya semula. Tapi kini?
“Yana, sabarlah nak! ALLAH memberi ujian dan dugaan, tanda dia mengasihi hamba-NYA,” pujuk Mak Bedah dengan perasaan sebak.
“Mak, Yana kesal,”jawabnya teresak.
“Tak usah dikesalkan lagi, Yana,”pujuk Mak Bedah.
“Yana kesal Ikhwan merahsiakan segalanya dari Yana. Sedangkan sewaktu Yana bertunang dengan Akif pun dia selalu hubungi Yana melalui surat macam kebiasaannya,”rintih Dayana.
“Tapi kenapa dia tak cerita kepada kami,”tangisnya lagi.
“Dia dah lama sakit... tetapi sengaja dia biarkan.” Dayana mengulangi cerita yang diterimanya daripada Azmir, teman serumah Ikhwan sewaktu dia di luar negara.
Menurut Azmir apabila doktor memberitahu Ikhwan gejala sakit kepala yang kerap dialaminya adalah simpton-simpton barah otak diperingkat awal, pemuda itu tidak mengendahkannya. Segala arahan doktor supaya dia meneruskan rawatan susulan tidak dipatuhi.
“Semuanya disebabkan dia sudah berputus harap untuk hidup. Dia kecewa kerana hasrat cintanya tidak kesampaian,”cerita Azmir lagi. Cerita tentang Ikhwan yang berputus harap untuk hidup kerana cintanya tidak kesampaian membuat hati Dayana rasa terkilan. Mustahil Ikhwan mengambil pendirian sebodoh itu. Bukankah dia seorang yang bijak?
“Dia rasa tertewas sedangkan dia sudah mencintai Yana terlalu lama. Dari zaman persekolahan lagi tetapi dia gagal merebut cinta Yana. Sebaliknya Akif yang baru beberapa bulan berkenalan dengan Yana telah mengalahkannya,” sambung Azmir sambil mengeluh.
“Apabila dia balik ke Malaysia dan akrab semula dengan Yana yang telah kehilangan Akif, pada waktu itulah dia sibuk untuk merawat dirinya kembali,”cerita Azmir.

“Kalau tak salah,dia dah bebas dari penyakit itu,” beritahu Azmir sambil memicit dahinya berkali-kali.
“Yana, dia pernah cakap pada saya. Kalau Yana terima dia sebagai suami, kalau panjang umurnya, seandainya Akif kembali dan Yana berasa tidak bahagia bersamanya dan inginkan Akif semula... dia rela lepaskan Yana. Asalkan ada tempoh waktu yang sedikit untuk dia curahkan segala cinta dan kasih sayangnya kepada Yana. Sebelum dia pergi untuk selamanya. Dia sudah bersyukur sangat-sangat.”
Cerita Azmir bernoktah di situ kerana mungkin hatinya tidak tertahan lagi untuk mengenangi sahabat karib yang telah meninggalkannya buat selamanya. Jiwanya juga meronta.
“Yana...”panggilan lembut emaknya sambil mendakapnya dengan kasih sayang meleraikan lamunan Dayana. “Bersyukurlah,nak. Yana sempat membuat bibirnya tersenyum dan menyampaikan hajatnya untuk memperisterikan, Yana. Walaupun untuk beberapa saat sahaja. Insya-ALLAH, rohnya sudah tenang di sana,” pujuk Mak Bedah.
“Dia hembuskan nafas terakhirnya di atas pangkuan Yana... dengan senyuman, nak! Segala urusan jenazahnya mudah, cepat dan tidak menemui sebarang kesulitan. Alhamdulillah, Yana. Bersyukurlah ya... jangan menangis lagi, nak! Walaupun Yana tak sempat menjalankan tanggungjawab sebagai isteri kepadanya, tetapi peluang untuk Yana berbakti kepadanya sebagai isteri solehah masih terbuka luas,” nasihat Mak Bedah dengan lembut dan perlahan-lahan.
“Yana selalu doa untuk dia, baca al-Quran, bersedekah dan hadiahkan pahala untuk arwah Ikhwan,” pujuk Mak Bedah lagi.
Sudah dua minggu Ikhwan pergi, namun kesedihan yang sedang bertakhta di hati anaknya masih setinggi langit. Tidak tahu lagi apa caranya dapat memujuk hati Dayana yang hancur remuk dan luluh.
“Yana...”Pak Yusof yang tiba-tiba memasuki bilik anak gadisnya itu menghulurkan sepucuk surat ke tangan Dayana.
“Ada surat untuk Yana ni, posmen baru hantar,” beritahu Pak Yusof. “Surat dari mana ayah?”tanya Dayana. Airmata yang mengalir di pipi dikesat dengan tapak tangan.
Pak Yusof tidak menjawab. Dayana membuka sampul surat dengan tangan yang menggeletar. Bola matanya menari-nari membaca tulisan yang tercatat di lembaran kertas dengan mata yang membesar. Tawaran jawatan Pembantu Pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara, Ipoh menyebabkan hatinya terkejut.
“Apa naknya?”tanya Pak Yusof. Dayana tidak terkata. Dia menghulurkan surat berkenaan ke tangan ayahnya. Giliran Pak Yusof pula menatapi surat itu. Bibir tua itu tersenyum.
“Alhamdulillah,” ucapnya berulangkali.
“Tahniah Yana! Segalanya telah diaturkan TUHAN. Tengok ni DIA ambil satu, DIA akan gantikan dengan yang lain untuk pujuk hati Yana,” kata Pak Yusof lalu memeluk anak gadisnya.
“Jangan bersedih lagi. Ikhwan yang pergi semakin menjauh. Yana yang hidup ini perlu teruskan hidup dengan penuh semangat! Cari kejayaan untuk dunia dan akhirat,” nasihatnya sambil mencium ubun-ubun anak kesayangannya itu.
“Insya-ALLAH,” jawab Dayana. Titisan airmata di pipi diseka dengan hujung jari. Harapannya biarlah itu titisan air matanya yang terakhir.


Steven memarkirkan keretanya di seberang jalan sambil memerhatikan rumah Akif dari dalam kereta. Hampir 15 minit dia berada di situ namun, belum nampak kelibat Akif keluar dari rumah itu untuk pergi bekerja. Sejak kebelakangan ini kerap juga dia datang ke rumah itu tetapi kerap juga hatinya ditusuk rasa kecewa kerana Nur Aiman enggan membukakan pintu untuknya. Kata Nur Aiman suaminya marah. Dulu teruk dia kena marah dengan Akif kerana membenarkan lelaki masuk ke rumah sewaktu ketiadaannya.
Hampir tiga batang rokok habis disedut sementara menunggu di situ, barulah terlihat Akif keluar dari pintu rumah. Steven terus memerhati gerak-geri lelaki itu yang tidak perasankan kehadirannya di situ. Akif berbaju kemeja lengan pendek berwarna biru. Seluar yang dipakainya juga berwarna biru namun lebih tua dari warna bajunya. Akif juga ada membawa beg pakaian yang sederhana besarnya.
Steven mengurut-ngurut dagunya sambil tersenyum. Dia  teringat yang bapanya ada menceritakan tentang ekspo perniagaan yang sedang diadakan di Tianjin. Bapanya ada menyewa tapak untuk menyertai ekspo anjuran kerajaan itu. Khabarnya ekspo yang diadakan itu hasil kerjasama kerajaan Cina dan kerajaan Malaysia. Mungkin ramai juga peniaga-peniaga dari Malaysia datang untuk mempromosikan barangan mereka.
Mata Steven terus mengekori Akif sehinggalah lelaki itu tiba ditempat menunggu bas dan menaiki bas yang secara kebetulan tiba. Steven mula menggerakkan keretanya dan menuju ke rumah Akif untuk bertemu dengan sepupunya, Nur Aiman atau Wong Szeze.
“Dia datang lagi,” bisik hati Nur Aiman sebaik sahaja melihat kereta Steven berhenti di hadapan rumahnya.
Dia cepat-cepat masuk ke bilik sambil mendukung Muhamad Haiqal Firdaus. Haiqal yang baru selesai menyusu itu nampak tenang dan bermain-main sendiri. Nur Aiman berasa sangat bahagia apabila melihat keletah Haiqal jika tidak meragam. Haiqal pun sudah pandai berjalan dan belajar bercakap sepatah dua.
“Szeze...bukak pintu! Aku nak masuk!”jerit Steven dari pintu hadapan.
Nur Aiman berpura tidak mendengar panggilan itu. Dia merebahkan dirinya disisi Haiqal sambil membelai-belai tubuh anaknya itu. Berkali-kali Steven memanggilnya namun Nur Aiman tidak mempedulikannya.
“Szeze... kalau tak mahu buka pintu tak apalah! Aku ada bawakan hadiah untuk kau. Aku masukkan melalui tingkap ya,” kata Steven.
Tidak sampai dua minit Nur Aiman dikejutkan dengan kehadiran seekor anak anjing ke dalam biliknya. Anak anjing berbulu lebat berwarna kelabu itu melompat ke atas tilam lalu menghidu-hidu bantal. Nur Aiman cepat-cepat mengangkat Haiqal lantas dia segera keluar dari bilik itu. Dia segera menuju ke pintu dan membuka daun pintu.
“Steven!”jerit Nur Aiman tanpa mempedulikan orang yang lalu lalang di hadapan rumah. Steven yang baru hendak masuk ke dalam kereta berundur semula dan menghampiri Nur Aiman.
“Heh, anjing! Kau ambil anak anjing ni balik! Kenapa dengan kau? Dulukau cucuh leher anak aku! Aku tahu kau sengaja buat begitu supaya Haiqal menangis dan aku masuk ke dalam bilik. Sebab kau nak ganggu aku!  Hari ini hantar anak anjing pulak! Kau tak faham ke, aku sudah Islam!”tingkah Nur Aiman dengan nada keras. Ingin sahaja telapak tangannnya menyinggahi pipi Steven.
Kau panggil aku anjing?”tanya Steven tanpa mengharapkan jawapan. “Kau tak guna!”marah Nur Aiman lalu membaling Steven dengan tuala kecil yang berada di tangannya.

“Sombongnya kau sejak kahwin dengan lelaki Melayu itu. Kau ingat dia cintakan kau ke Szeze? Dia tak cinta kaulah! Pernah dia sentuh kau tak? Tak pernah kan?”tanya Steven cuba menghasut Nur Aiman. Kekerasan hati wanita muda itu seolah mencabarnya.
Nur Aiman terdiam. Mungkin benar kata-kata Steven itu. Hati Akif tidak mungkin jinak kepadanya. Tidak mungkin Akif dapat mencintainya. Sejarah silamnya yang hitam. Haiqal sudahpun berusia dua tahun lebih. Usia Haiqal itu membawa maksud sudah lebih dua tahun dia menjadi isteri Akif. Belum pernah sekali pun Akif mengucapkan kata-kata sayang kepadanya. Bahkan Akif tidak pernah memesrainya pun walau sesaat.
“Kau nak bagi aku masuk ke tidak?”tanya Steven lagi. Kali ini suaranya lebih lunak dari tadi. Matanya merenung ke arah Nur Aiman Wong yang sedang berdiri di ambang pintu.
“Kau ni Szeze... berilah aku peluang,”kata Steven cuba mengumpan.
Nur Aiman masih berdiri di posisi tadi.Dia tidak membalas kata-kata pemuda itu. Bukannya dia tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Steven. Sepupunya itu masih mengharapkan cintanya.
“Minggu depan, aku bercadang nak balik ke Malaysia,” beritahu Steven pula apabila dilihatnya Nur Aiman tidak berminat untuk berbincang tentang perasaan. “Kalau kau ada apa-apa pesanan untuk pakngah atau makngah aku boleh sampaikan,”sambungnya lagi dengan nada memujuk.Dia masih berdiri di hadapan Nur Aiman.
Mendengar perkhabaran itu, airmuka Nur Aiman yang muram serta-merta berubah. Bibirnya melarik senyuman manis.
“Szeze... berilah aku masuk,”rayu Steven dengan pandangan mengharap. Kali ini dia tidak akan berputus asa untuk memujuk wanita itu.
“Masuklah!”pelawa Nur Aiman sambil beredar dari muka pintu. Steven tersenyum lebar kerana umpannya sudah mengena. Nur Aiman memang mudah diperdaya.
“Duduklah! Aku ambilkan minuman,”beritahu Nur Aiman. Dia rasa menyesal pula kerana telah mengasari sepupunya itu tadi. Cepat sahaja hatinya mengalah dengan pujukan sepupunya itu.
“Bila kau nak balik? Aku ada nak kirimkan barang kepada mak,” beritahu Nur Aiman lagi sambil berjalan menuju ke dapur. Baru minggu lepas dia membelikan emaknya sepasang kain. Kata Akif dia akan mengeposnya dua tiga hari lagi. Kalau kain itu boleh dikirim melalui Steven mungkin lebih cepat sampai ke tangan emaknya!
“Nak minum apa?”soal Nur Aiman bersungguh.
“Tak apa,minuman aku ada bawa! Makanan pun ada. Semuanya yang kau suka. Kita makan sama-sama, ya! Lagipun, suami kau tak ada di rumah dua tiga hari, kan? Dia takkan tahu kalau kau minum-minum sikit dengan aku. Mahu?”soal Steven dengan senyuman harapan.
“Mungkin keresahan di hati kau akan reda,” katanya lagi. Masih memujuk. Sudah lama dia mengenali wanita itu. Segala kelemahannya  sudah di dalam genggaman.
“Macam mana kau tahu hati aku sedang resah gelisah? Kau bukannya malaikat,”balas Nur Aiman pula sambil menjeling. Sejak dari kecil Steven memang pandai serkap jarang.
“Kitakan, sepupu,” jawab Steven dengan suara lunak sambil menjeling Nur Aiman dengan penjuru matanya.
“Memang aku sedang rungsing...”akui Nur Aiman lalu duduk di hadapan Steven.
Dia rungsing kerana Akif semakin menyepikan dirinya. Sudahlah balik dari kerja lewat malam, setelah itu Akif seolah tidak mempedulikannya. Akif hanya bermain-main dengan anaknya, Haiqal, tetapi apabila dia ada bersama, Akif bagaikan anak patung. Senyap dan tidak bersuara. Perubahan sikap Akif itu begitu ketara sejak peristiwa dulu. Akif memarahinya kerana membenarkan lelaki masuk ke dalam rumah sewaktu ketiadaannya dan leher Haiqal telah dicucuh dengan rokok. Sikap Akif yang tidak mengendahkannya menyebabkan dia rasa begitu tertekan.
“Mestilah rasa runsing kalau duduk terkurung sahaja di dalam rumah. Kasihan kau Szeze,” balas Steven lalu bangun dari sofa. Perhatian berat yang ditunjukkan oleh sepupunya itu menghadirkan rasa sedih di hati Nur Aiman yang kekosongan.
“Sebab itu hati aku bagai ditarik-tarik untuk ke sini. Aku tahu, saat ini kau perlukan seseorang, kan?”pancing Steven sambil tersenyum sumbing. Nur Aiman mengangguk-angguk.
“Kau tunggu sekejap. Aku ambil minuman dari kereta,” beritahunya.
Nur Aiman turut bangun menuju ke dapur untuk mengambil gelas. Hari itu dia benar-benar rasa runsing. Hatinya seolah diramas-ramas. Dia tidak tahu bagaimana caranya untuk mencuri rasa cinta suaminya. Semakin hari perhubungan mereka semakin dingin, lebih dingin dari dulu.
“Jangan sedih lagi...”Suara Steven mengganggu layangan lamunannya.
Bunyi desiran air yang dituang dari botol ke dalam gelas membuat jantung Nur Aiman berdetak laju. Tambahan apabila melihat air yang di dalam gelas berbuih tinggi. Nafasnya seolah menjadi sesak.

Tiada ulasan: