MENTARI mula menunjukkan wajahnya ke alam maya dengan cahayanya
yang melebar ke serata pekarangan rumah Pak Yusof. Burung murai di atas pokok
jambu air di tepi rumah berkicau riang dan lincah melompat dari satu dahan ke
dahan.
Pak Yusof tersenyum lebar melihat kanopi berwarna biru
yang siap didirikan di halaman rumahnya. Kerusi meja pun sudah siap disusun. Tetamu
pun telah dijemput. Katering untuk menguruskan makanan dan minuman kepada
tetamu di majlis kendurinya pun sudah ditempah.
Mak Bedah pun sibuk juga di dapur bersama beberapa orang
jiran yang membantunya untuk menyediakan apa yang perlu untuk majlis kenduri
yang akan diadakan dua hari lagi.
“Bersyukurlah, Bedah! Akhirnya Yana mahu juga menerima
lamaran lelaki yang meminangnya. Lega kau, Bedah!”kata salah seorang jirannya
yang sedang memerah santan. Pagi itu mereka akan bergotong-royong untuk membuat
pulut manis atau wajik.
“Rasanya hampir dua tahun peristiwa itu berlalu, kan? Syukurlah
kerana Yana tu tabah orangnya. Di dalam kesetiaannya menunggu dia masih boleh
berfikir dengan waras dan tidak mengikut perasaannya. Kalau gadis lain, mesti
mengambil keputusan untuk mendara sehingga ke mati.”
“Alhamdulillah,saya bersyukur sangat-sangat. Dah tak ada
jodoh dia dengan Akif, nak buat macam mana,”jawab Mak Bedah. Dia memaksa
bibirnya untuk melukis senyuman.
“Alhamdulillah, juga kerana dia menurut kehendak keluarga
pihak lelaki yang ingin menyegerakan pernikahan ni,”sambungnya lagi.
“Rasanya tak sampai dua bulan dia bertunang, ya Kak Bedah?”sampuk
satu suara lagi.
“Lebih kurang begitulah,”jawab Mak Bedah ramah.
“Tunangnya dulu tu masih belum dijumpa mayatnya lagi, kan
Bedah?”soal jirannya yang lain pula sambil menghampiri Mak Bedah.
“Ya. Memang belum ditemui lagi. Tak tahulah apa nasibnya
Akif tu! Entah di mana berkuburnya. Saya kasihan juga kepada emaknya. Dia pun
tak begitu sihat semenjak Akif hilang dan tidak diketahui hidup matinya,” jawab
Mak Bedah dengan suara sebak.
Dia mengesat hujung mata dengan hujung lengan baju kurung
yang dipakainya. Sewaktu dia mengesat hujung matanya sempat pula dia menjeling
ke arah luar rumah. Nampaknya ada seorang gadis sedang berjalan menuju ke pintu
dapur.
“Saerah! Nak jumpa Yana, ya? Dia ada di biliknya. Pergilah
Saerah naik ke atas,”kata Mak Bedah kepada anak saudaranya itu.
“Yalah, mak ngah! Saya rasa tak sabar nak berjumpa dengan
Yana ni,” jawab Saerah dengan senyuman penuh bermakna.
“Saerah! Masuklah...”pelawa Dayana kepada sepupunya itu
sebaik sahaja melihat kelibat sepupunya itu melalui pintu bilik.
“Nah, ini hadiah untuk kau! Maaf,esok aku tak dapat hadir
pada majlis perkahwinan kau,”beritahu Saerah dengan suara kasar dan sebak di
hujungnya. Dia diberitahu oleh emak dan ayahnya tentang majlis perkahwinan itu.
“Laa... kenapa pulak begitu, Saerah?”kata Dayana dengan
suara lirih. Bungkusan hadiah yang dibawa oleh Saerah tadi diletakkan di atas
tilam.
“Nak buat apa hadir kalau untuk merobek-robek hatiku
sendiri. Kata orang luka ditangan nampak berdarah! Luka di hati siapa yang tahu
dalam atau lebarnya,” balas Saerah pula dan tidak semena-mena dia menangis
sebaik sahaja menamatkan bicaranya. Dayana yang melihat keadaan Saerah yang
bersedih itu tercengang bengang. Dia keliru dengan kata-kata yang diungkapkan
oleh sepupunya itu.
“Aku dah beritahu kau, jangan ambil Ramzan daripada aku! Tapi
kau tak ada hati perut! Masih nak rampas dia dari aku,”jelas Saerah sambil
menangis tersedu-sedan.
“Astaghfirulahalazim! Kau ni dah salah fahamlah, Saerah! Mesti
kau tak baca kad jemputan kahwin aku! Sebab hati kau dah berlumur dengan
perasaan marah, benci dan dendam kepada aku,”balas Dayana sambil menggeleng.
Saerah terkasima apabila mendengar ungkapan Dayana. Memang
dia tidak membaca kad jemputan yang diterimanya kerana perasaan marah dan
cemburu yang membuak. Tambahan pula panggilan telefon yang dibuat kepada Ramzan
tidak pernah berjawab. Pemuda itu seolah telah memutuskan perhubungan dengannya.
Jadi dia mengesyaki yang lamaran Ramzan telah diterima oleh Dayana dan mereka
akan bernikah esok.
“Ambil kad jemputan ni dan baca elok-elok,”beritahu
Dayana sambil meninggalkan Saerah seorang diri di dalam bilik itu. Dia ke dapur
untuk mengambilkan minuman buat sepupunya itu.
CUACAterang-benderang keesokan harinya. Rombongan pengantin
lelaki yang sampai di pekarangan rumah Dayana disambut dengan paluan kompang
dan rebana yang mendendangkan lagu ‘Selamat Pengantin Baru.’Sebagaimana kompang
dipalu begitu juga dengan hatinya yang tidak berhenti debarannya dari semalam.
Insya-ALLAH, esok kita akan
diijabkabulkan. Terima kasih, sayang. Memberi peluang kepadaku untuk
melestarikan impian. Seandainya esok kita berkesempatan menjadi suami isteri, terimalah
diri ini seadanya. Seikhlas hati.
Dayana sempat membaca kiriman SMS yang diterimanya
semalam sebelum mendengar pengumuman daripada pembesar suara. Upacara akad
nikah yang akan berlangsung beberapa saat sahaja lagi.
‘Selamat pengantin baru! Insya-ALLAH
kita akan diijabkabulkan dan menjadi suami isteri. Yana akan terima seadanya. Mencintai
kerana ALLAH, seikhlas hati.
Dayana sempat mengintai pengantin lelaki yang membelek
telefon bimbit dan tersenyum membaca SMS kirimannya di hadapan Tok Kadi.
“Kita akan jalankan akad nikah sekarang.”Suara di
pembesar suara. Bunyi paluan kompang serta merta lenyap. Jantung Dayana
berdetak semakin laju.
Kedengaran suara Tok Kadi menjalankan upacara akad
melalui pembesar suara dan disambut oleh suara pengantin lelaki dengan gementar.
“Saya terima nikahnya, Dayana binti Mohd Yusof dengan
maskahwinnya seperti yang tersebut.” Suara pengantin lelaki tenggelam timbul
dipendengarannya. Hanya sekali lafaz acara ijabkabul selesai.
‘Alhamdulillah,’bisik hati Dayana keharuan. Beberapa
titik airmata menjatuhi pipinya. Dia benar-benar rasa tersentuh. Siapakah yang
dapat menghalang kehendak TUHAN. Akhirnya Ikhwan menjadi jodohnya juga.
“Assalamualaikum...” Kedengaran suara memberi salam di
muka pintu. Pengantin lelaki dengan teman pengapitnya yang berpakaian sedondon
berbaju Melayu berwarna putih mutiara memasuki bilik. Dia menghampiri Dayana
yang sedang duduk di birai katil sambil tersenyum manis. Busana pengantin menyerikan wajah mereka berdua. Tangannya
dihulurkan untuk dijabat oleh gadis yang telah menjadi permaisuri hati.
“Azmir, perkenalkan ini Yana,” sempat lagi dia
memperkenalkan Dayana kepada teman pengapitnya yang diimport dari Terengganu.
“Kenapa tangan Ikhwan sejuk ni?”Dayana sempat berbisik
sewaktu Ikhwan merapatkan muka untuk mencium dahinya. Ikhwan tidak menjawab
sebaliknya meramas tangannya kuat-kuat sehingga tangannya terasa sakit pula. Silauan flash kamera melimpahi kamar itu.
“Terima kasih, sayang,” bisik Ikhwan ditelinganya sewaktu
memberi ciuman halus dipipi kanannya. Agak lama ciuman Ikhwan melekat dipipinya
kerana kawan-kawan ingin merakamkan detik yang bersejarah itu.
“I love You so much.”Suara
Ikhwan yang amat romantis dan perlahan membisik di telinga kirinya sebelum
bibir lelaki itu singgah di pipi kirinya pula.
Kedua-dua tangan Ikhwan memegang kedua-dua bahunya dengan
lembut. Sekali lagi Ikhwan ditegah untuk meleraikan bibir dan hidungnya dari
pipi Dayana kerana ramai sangat jurugambar yang ingin mengambil gambar mereka.
“Cepatlah,tak usah dera pengantin, tak baik!”Kedengaran
satu suara memprotes. Dayana dan Ikhwan hanya akur kepada kehendak kawan-kawan
yang ingin menumpang kebahagiaan yang sedang mereka kecapi. Senyuman tidak
lekang dari bibir mereka.
“Yana... Ya ALLAH!”bisik Ikhwan tiba-tiba sambil
mengerutkan dahinya.
Dayana tersentak apabila tiba-tiba bahunya dicengkam
dengan kuat oleh tangan Ikhwan. Tidak semena-mena pula kepala Ikhwan melurut ke
atas bahunya. Serta-merta rasa cemas dan panik menyelubunginya apabila Ikhwan
mendakap tubuhnya kuat-kuat. Sesudah itu kepala Ikhwan terlentok-lentok ke
dadanya pula dengan matanya yang terpejam.
“Wan! Wan!”
Teman pengapit Ikhwan menepuk-nepuk pipi pemuda itu. Dayana
yang tergamam cuba menggoyahkan tubuh Ikhwan yang sudah condong dan merapat
kepadanya dan akhirnya tubuh itu terkulai di atas pangkuannya.
“Ikhwan!Ya ALLAH, kenapa dengan Ikhwan ni?”tangis Dayana
sambil mengusap-ngusap wajah Ikhwan yang merenik peluh dingin. Dia menanggalkan
tengkolok yang dipakai oleh suaminya itu. Butang-butang baju Melayunya juga
cepat-cepat dibuka dengan tangan yang menggeletar. Azmir turut membantu.
“Cepat angkat dia letak atas katil!”arah satu suara. Suasana
di dalam bilik pengantin menjadi kecoh. Pengantin lelaki pengsan dengan
tiba-tiba.
“Tolong panggil ambulans.”Suara-suara yang mengarah itu dan
ini bersilih ganti.
“Ikhwannn...”Dayana mula teresak dengan perasaan yang
tidak tentu arah. Dia memanjat atas katil dan bertedu di sisi tubuh Ikhwan yang
terbaring. Namun, perasaannnya berasa tidak puas. Dia mengalih kedudukannya, duduk
di hujung katil dan mengalihkan kepala Ikhwan dari atas bantal ke atas
pangkuannya pula. Tangan Ikhwan yang semakin mendingin digenggamnya kuat.
“Ikhwan... kenapa ni?” Perasaan Dayana terus tidak keruan.
Jari-jemarinya yang memerah inai terus mengusap-ngusap pipi Ikhwan.
“Sabar Yana,”nasihat Azmir lantas dia membisikkan sesuatu
di telinga Ikhwan.
“Ikwannn!!”Tangisan Dayana semakin kuat. Ikhwan membuka
matanya seketika dan pandangannya layu semula. Matanya tertutup sekali lagi.
“Ikhwannn...”tangis Dayana bertalu. Wajah Ikhwan terus
memucat. Ulas bibirnya yang mulai memutih, seolah-olah tersenyum puas.
“Ikhwann,”bisik Azmir sambil meraba-raba pergelangan
tangan sahabatnya itu. Berkali-kali dia mengusap mencari saki-baki gerak
nadinya.
“Ikhwan...”
Jari jemari Azmir terus meraba-raba. Dari pergelangan
tangan kiri ke pergelangan tangan kanan. Debaran di dadanya semakin memuncak.
“Ya ALLAH, Ikhwan... kenapa jadi begini,”tangis Azmir
pula. Dia mendakap tubuh Ikhwan yang di atas pangkuan Dayana.
“Ikhwan...”Dayana memekup mulutnya yang ingin meraung.
“Oh,tidak! TUHAN tolonglah...”rintih Dayana. Hempasan
kesedihan seolah meranapkan segunung ketabahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan