Jumaat, 12 Februari 2016

CINTA TAK PERNAH USAI BAB 37



NASI yang dimasak untuk makan malam sudah pun kering. Mak Cik Tijah mengambil sudip dan menggaris-ngaris nasi yang masih berasap. Berputar-putar wap nasi di sekitar mukanya. Berbelit-belit bagai hati Mak Cik Tijah. Mak Cik Tijah yang di dalam perasaan serba salah. Tidak semena-mena pula airmatanya meleleh.
Sayu hatinya mengenangkan Ikhwan. Perasaannya terasa lain. ‘Kenapa anak aku tu berbeza sangat kelakuannya?’
“Mak, Ikhwan nak keluar, ya...”Tiba-tiba saja Ikhwan muncul di dapur. Terkejut Mak Cik Tijah. Segera dia menoleh. Ikhwan senyum lebar memandangnya. Dia yang hanya berseluar sukan putih dan berbaju T lengan panjang putih terkalut-kalut menuang air ke dalam gelas.
“Nak kemana malam-malam ni, Ikhwan?”tanya Mak Cik Tijah lirih. Matanya sempat memerhati beg yang sedang dipegang Ikhwan. Perasaan Mak Cik Tijah berkocak seketika. ‘Ke rumah Yanalah tu!’teka hatinya.
“Ke rumah Yana, mak,”jawab Ikhwan bersahaja. Mak Cik Tijah senyum sinis. Tepat sekali tebakannya! ‘Tak habis-habis dengan Yana!’getus hatinya pula.
“Jangan lambatbalik! Kau tu belum makan malam lagi,”pesan Mak Cik Tijah.
Mak ni,risau macam Ikhwan budak-budak pulak,”sahut Ikhwan sambil ketawa kecil. Tangannya sempat menyelak tudung saji.
“Tak apalah, mak! Biar Ikhwan makan dulu,”beritahunya untuk mengambil hati emaknya itu.“Mak pun dah siapkan ni,”katanya lagi. Ikhwan mengambil pinggan lalu mencedok nasi di dalam periuk. Nasi untuk emaknya juga disendukkan.
Kenapa makan sikit sangat,”tegur Mak Cik Tijah. Nasi yang diambil Ikhwan adalah dalam tiga suap.
“Cukup mak,”tolak Ikhwan sewaktu emaknya ingin melambakkan nasi lagi ke dalam pinggannya. Berkali-kali Ikhwan melihat jam di lengannya sewaktu makan. Tidak sampai 10 minit dia selesai makan.
“Alhamdulillah,” katanya.
Selesai membasuh pinggan, Ikhwan menuju ke pintu.Ikhwan pergi dulu, mak.Mak tak nak kirim salam kepada mereka ke?”Sempat lagi Ikhwan bertanya sebelum melangkah pergi.
“Sampaikanlah,” jawab Mak Cik Tijah sepatah.
Dia terus memerhati Ikhwan yang sedang melangkah ke kereta. Fikirannya terus terkisar-kisar. Dari petang tadi dia memikirkannya. Ikhwan nampak berlainan dari kebiasaan. Tidak kedengaran suara Ikhwan sejak

kepulangannya pada petang itu sehingga ke malamnya. Ikhwan pun tidak mengikut ayahnya pergi bersolat di masjid seperti selalunya. Dia hanya bersolat di rumah pada Maghrib itu.Doa serta zikirnya memanjang sehingga ke masuk ke waktu Isyak. Tidak pernah-pernah dia mengajak Mak Cik Tijah menjadi makmumnya, tapi pada malam itu Ikhwan mempelawanya untuk bersolat berjemaah bersamanya.
Mak Cik Tijah terus mengimbas kembali perbualannya dengan Ikhwan pada waktu Maghrib tadi.
“Mak,tunggu dulu mak! Saya ada hal nak beritahu mak dan berbincang,” panggil Ikhwan apabila melihat dia sudah menyalin telekung ingin beredar dari belakang anaknya itu.
“Ada apa Ikhwan?”tanyanya lalu duduk bersila di hadapan anak bujangnya itu. Ikhwan tiba-tiba menyembamkan muka di atas ribaannya sambil menangis tersedu. Tidak pernah Ikhwan begitu.
“Ikhwan mintak dari mak untuk kali yang terakhir.’
Suara Ikhwan terngiang di telinganya. Itulah yang merunsingkan hatinya. Fikiran Mak Cik Tijah semakin berserabut dan kusut. Dia tidak tahu untuk membuat keputusan. Namun, perubahan sikap Ikhwan dengan permintaan terakhirnya menyebabkan Mak Cik Tijah terasa takut.
Silauan kilat mengejutkan lamunan Mak Cik Tijah yang masih tercegat di muka pintu. Tanpa disedari, airmatanya berlinangan. Perasaannya terasak sebak.


BINTANG-BINTANGmenghiasi angkasa. Bayu malam berhembus perlahan. Dayana menghantar Ikhwan sehingga ke kereta. Ikhwan yang datang bertandang ke rumah kira-kira 9.30 malam tadi ingin pulang kerana malam semakin larut. Jam sudah menunjukkan angka 11.30 malam.
“Ikhwan cuti berapa lama ni?”tanyanya. Maklumlah tadi dia tidak berkesempatan untuk berbual dengan Ikhwan lama-lama. Terasa segan di hadapan emak dan ayah.
“Takut rindu, ke?”Sempat pula lelaki itu mengusiknya. Dayana tersipu-sipu. Bolehkah dia merindui pemuda itu, sedangkan emaknya sudah memberi amaran. Yang dia sudah ada calon pilihan buat anak bujangnya itu. Ungkapan kata-kata Mak Cik Tijah yang berbisa terkesan di dada.
“Ada lagi empat hari, sayang!”jawab Ikhwan akhirnya.
“Oh... lama lagi,”balas Dayana.
“Yana tak suka Ikhwan ada di kampung lama-lama ke”Sekali lagi Ikhwan mengusik.
Atau... nak ajak Ikhwan pergi jalan-jalan?Nak ke mana?Jom...”sambungnya mesra.
“Bukan begitu...”
Dayana menggaru-garu pipinya. Dia berasa malu apabila mata Ikhwan yang tajam merenung tepat kepadanya. Dadanya jadi berdebar. Tidak lagi macam dulu-dulu. Walau berlama-lama dengan pemuda itu dia tidak berasa apa-apa. Kecuali perasaan geram jika Ikhwan selalu mengusiknya.
Kalau bukan begitu?”Ikhwan terus menyakat. Dayana terdiam. Debaran di jiwa menyebabkan dia kehilangan kata-kata.
Ikhwan bergurau aje.”Mengalah akhirnya Ikhwan.
Lebar senyuman Dayana. Cepat-cepat bekas plastik ditangan dihulurkannya kepada pemuda itu.


“Ikhwan, bekalan ni untuk Ikhwan, tau. Bolehlah makan sebelum tidur nanti,”beritahu Dayana.
“Terima kasih. Dah kenyang makan di sini, dibekalkan pulak,”kata Ikhwan yang terasa segan.
Ikhwan kata suka makan puding roti,”tempelak Dayana sambil menjeling manja.
“Kalau begitu lagi empat hari Ikhwan ada kat sini, bolehlah buat hari-hari,” balas Ikhwan sambil ketawa. Dia sudah masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjinnya. Namun, hatinya terasa berat pula untuk meninggalkan gadis itu.
“Kalau macam tu, baik duduk kat rumahYana,”seloroh Dayana sambil membantu Ikhwan menutup pintu kereta. Ikhwan menyeringai.
“Bawa kereta elok-elok! Jangan sampai terbabas ke dalam bendang,”pesan Dayana.
“Assalamualaikum, sayang,”kata Ikhwan sebelum bergerak. Matanya sempat menjeling ke jari manis gadis itu. Cincin yang disarungkannya ke jari itu masih kekal di situ. Perasaannya berbunga bahagia.
Assalamualaikum...”ulang Ikhwan sekali lagi apabila sampai di hujung halaman. Dayana menjawab di dalam hati. Ikhwan terus hilang dari pandangan. Malam semakin pekat.
‘Ikhwan, maafkan, Yana! Jika sekali lagi menolak cinta Ikhwan. Yana tidak berdaya, benar-benar tidak berdaya.’


PAGI itu sekali lagi emak dan ayah Dayana menimbulkan isu jodoh. ‘Sampai bila Yana nak tunggu Akif ni?Semua pinangan, Yana tolak. Ayah rasa malu, Yana. Keluarga Ramzan masih tunggu jawapan daripada Yana. Yana buat endah tak endah sahaja. Apa masalahnya dengan Ramzan tu?  Ayah tengok dia tu baik orangnya.’ Leteran ayahnya seolah terngiang di telinganya.
‘Ramzan tu kekasih Saerah, ayah.’Dia terpaksa berterus terang kepada ayahnya. ‘Semalam Ikhwan datang, dia sempat beritahu pada ayah. Dia ingin datang melamar kamu sekali lagi,’beritahu ayahnya.
Hati Dayana berbelah bahagi. Dia teringatkan Mak Cik Tijah yang mengajaknya datang bertandang ke rumahnya beberapa hari yang lalu.
Selagi kamu tak kahwin, Ikhwan pun tak mau kahwin juga! Kamu mesti kahwin supaya Ikhwan boleh melupakan kamu dan kahwin dengan gadis pilihan aku’ .
Begitulah ungkapan wanita itu dengan wajahnya yang tidak beremosi, di hujung pertemuan mereka. Kata-katanya merabakkan hati Dayana.
Mak Cik Tijah dah ada calon menantunya, ayah’. Itulah yang diberitahu kepada ayahnya. Dia nak kahwinkan Ikhwan dengan calon pilihannya,’khabarnya lagi. Ayahnya terdiam.
Sehingga waktu petang dia rasa selesa menyendiri berkurung di dalam biliknya. Fikirannya runsing dan rasa tertekan dengan hal-hal yang menyangkakari hatinya kebelakangan ini. Amat mudah baginya untuk menghindarkan Ramzan dari fikiran dan ingatan, namun amat sulit untuk melupakan Akif dan meminggirkan Ikhwan dari kenangan.
Kedatangan Mak Cik Tijah ke rumahnya petang itu semakin memerangkap hatinya ke dalam jebak misteri. Wanita itu tiba-tiba berubah sikap. Dia memohon maaf kepadanya dengan linangan air mata.


“Makcik mintak maaf dari hujung rambut ke hujung kaki, Yana.”Suara emak Ikhwan seolah-olah terngiang ditelinganya. Mak Cik Tijah juga beria-ia meminta maaf daripada emak dan ayahnya.
“Saya mintak maaf, Kak Bedah, Abang Yusof, kerana sikap angkuh saya yang dulu.”
Begitu kata Mak Cik Tijah kepada emak dan ayahnya pula. Tidak tahulah apa yang sedang bermain di dalam hati wanita itu yang nampaknya bersungguh-sungguh menyesal dan sanggup mencium kepala lutut emaknya supaya memaafkan kesalahannya yang dulu.
“Sekarang ni saya sangat-sangat berhajat untuk bermenantukan Yana. Saya akan hantar rombongan meminang sekali lagi. Kak Bedah letak hantaran berapa pun saya takkan tolak atau bantah lagi,saya tidak tergamak melihat Ikhwan merana begitu. Hati saya kuat mengatakan yang anak saya tu sedang memamah derita kerana cintanya tidak kesampaian.Kalau Kak Bedah tidak mendengar saya mengumpat Yana dulu, dan saya merestui dari awal, pasti Kak Bedah dan Abang Yusof tidak menolak pinangan itu. Dah lama mereka disatukan,”sambungnya lagi.
“Kalau boleh, esok juga saya nak nikahkan Yana dengan Ikhwan! Saya benar-benar menyesal kerana menghina dan pandang rendah pada Yana. Saya tak menduga Ikhwan jadi begitu,” racau Mak Cik Tijah. Terus mengimbas sejarah silam.
Sebelum balik tadi, Mak Cik Tijah sempat berbisik sesuatu kepadanya.
Yana terimalah Ikhwan seadanya, kerana ALLAH ya, nak! Yana tolong makcik, ya! Kita sama-sama sampaikan hajat dia. Insya-ALLAH, segala pengorbanan Yana, mak cik takkan lupa sampai bila-bila.’
Akhirnya Mak Cik Tijah memeluk tubuhnya kuat-kuat sambil mencium pipinya bertalu-talu diiringi sendu yang sukar untuk dimengerti maksudnya.
Mengapa Mak Cik Tijah tiba-tiba berubah sikap ni?’soal hatinya sendiri. Apa yang telah diberitahu oleh Ikhwan? Atau ada apa-apa masalah yang disembunyikan oleh Ikhwan?
Hatinya terus berbicara sendiri. Airmatanya berderai kembali. Dayana bangun dari katil dan menuju ke jendela. Daun jendela dikuaknya sedikit sehingga memberi ruang bayu malam menerjah masuk ke dalam kamarnya.
‘Akif! Seandainya Yana mengakhiri penantian ini, bukan bermakna cinta Yana kepada Akif telah pudar. Cinta Yana kepada Akif tetap abadi di sanubari sehingga nafas ini terhenti. Namun, Yana yakin Akif akan memahami keputusan yang Yana pilih ini. Yana tidak tega melihat emak dan ayah berduka kerana Yana,’bisik hati Dayana. Kebahagiaan Yana apabila melihat emak dan ayah gembira dan bahagia. Biarlah Yana terkorban untuk mereka.
Segala ungkapan bicara hatinya itu seolah ingin dikirimkan kepada Akif melalui bayu yang berhembus pilu pada saat itu. Bayu malam yang seolah ingin menemaninya merungkai kesedihan dan kerinduan yang tiada sempadan.
‘Maafkan Yana, Akif.’Bibir Dayana tiba-tiba menitipkan kata-kata itu. Dia tidak dapat menahan sebak yang mengasak jiwa raganya lantas tersedu dan kembali merebahkan dirinya di atas tilam. Tangisannya meratapi takdir dengan kesedihan cinta berlarutan agak lama. Ingatannya tidak dapat menghindar dari luka-luka yang terpahat dan duka yang mendalam.
Apabila kesedihannya reda, dia mencapai telefon bimbit dan menekan punat-punat di telefon bimbit itu dengan deraian airmata. Ada SMS yang belum dijawab. Ada hati yang sedang menunggu.

Dengan lafaz bismilah dia menekan butang hantar sebaik sahaja maksud hatinya sudah terungkap di paparan mesej pesanan ringkasnya.
 Yana setuju.
Sebagaimana selalu dia tidak perlu menunggu lama untuk menerima balasan kembali walau pada waktu bila pun. Sama ada tengah malam atau subuh hari.
Alhamdulillah. Terima kasih, sayang. I miss You.

Tiada ulasan: