DERINGAN telefon di atas almari memaksa Dayana berlari memasuki
rumah. Gagang telefon cepat-cepat disambar dan dilekapkan ke telinganya.
“Assalamualaikum,” sapanya mencungap.
“Waalaikumussalam,”jawab suara di hujung talian. Suara
garau wanita yang mencecah di telinganya belum pernah didengar.
“Maaf,siapa ni?”tanya Dayana lembut.
Telinganya dipasang untuk memastikan jawapan yang bakal
didengar. “Hai! Baru duduk di Kuala Lumpur sehari dua dah tak kenal suara orang
kampung?”Sinis jawapan yang diterima. Dayana menggigit bibir.
“Mintak maaflah.Ya.”
“Mak Cik Tijah ni,” pintas suara itu. Mengenalkan dirinya.
“Mak Cik Tijah,”tegur Dayana ramah.
“Makcik apa khabar? Sihat?”tanyanya mesra.
“Alhamdulillah, Yana... rasanya belum nak mati lagi.”Sekali
lagi jawapan berbisa keluar dari bibir wanita itu.
“Syukurlah kalau begitu, makcik,”balas Dayana perlahan. “Mintak
maaflah sebab Yana tak cam suara makcik tadi,”sambungnya lagi. Hatinya
tertanya-tanya sebab musabab wanita itu menelefon ke rumah. Hendak bertanya
terasa tidak sopan.
“Mak cik nak cakap dengan mak ke?”Akhirnya persoalan itu
yang keluar daripada mulutnya. Mungkin cara itu yang terbaik.
“Eh tak! Aku memang nak cakap dengan kamu!”beritahu Mak Cik
Tijah terus terang. Kasar bahasanya. Dayana terkedu.
“Oh!”balasnya. Menunggu kata-kata seterusnya dari emak
Ikhwan itu.
“Yana...”panggil Mak Cik Tijah. Nada suaranya tiba-tiba
berubah lembut.
“Ya makcik.”
Lembut jugalah suara yang menjawabnya.
“Petang-petang nanti, kalau Yana ada masa boleh datang
bertandang ke rumah makcik?”tanya Mak Cik Tijah pula. Dayana terpinga seketika.
‘Arahan ke jemputan ni?’tanya hatinya. Apa pasal pulak
nak aku datang ke rumah dia? Bukan ke dia tak suka kepada aku? Hatinya terus
bersoal jawab. Menyebabkan Dayana terdiam beberapa ketika.
“Kalau tak boleh tak apa,”ujar wanita itu pula. Suaranya
mendatar seolah-olah merajuk.
“Boleh, makcik! Insya-ALLAH, selepas asar nanti Yana
datang, ya!”janji Dayana.
“Makcik...”panggil
Dayana. Senyap.
Dayana merenung gagang telefon terkulat-kulat. Mak Cik
Tijah menamatkan perbualan mereka tanpa pamitan. ‘Apalah Mak Cik Tijah ni!’ gerutu
hatinya.
PUKUL 5.30 petang itu kereta Kelisa Dayana sudah terparkir di
halaman rumah Mak Cik Tijah. Suasana di sekeliling rumah lengang. Dayana turun
dari kereta sambil matanya meliar ke sana sini.
Belum sempat dia memberi salam Mak Cik Tijah sudah muncul
di muka pintu. Dayana melemparkan senyuman.
“Masuklah,Yana,”pelawa Mak Cik Tijah dengan wajah
seriusnya. Namun, huluran tangan Dayana disambutnya juga. Cepat ditarik
tangannya kembali belum sempat gadis itu mencium hujung jarinya.
“Duduklah,”katanya lagi. Kerusi yang rapat di meja makan
ditariknya perlahan.
“Sunyi aje rumah ni, makcik.”Dayana memulakan bicara
sebaik duduk di kerusi. Matanya meliar ke sekeliling ruang dapur yang agak luas
itu.
“Memang beginilah hari-hari,”jawab Mak Cik Tijah perlahan.
Matanya sempat melirik ke wajah tenang gadis itu.
“Sekejap ya, Yana. Makcik buatkan air,”beritahunya.
Tidak sempat Dayana menjawab Mak Cik Tijah sudah
meninggalkannya seorang diri di situ. Sepeninggalan wanita itu matanya sekali
lagi menjalari ke seluruh ruang dinding. Ada beberapa bingkai gambar yang
tergantung di situ. Salah satunya memaparkan potret Ikhwan. Dayana bangun untuk
mengamati potret wajah Ikhwan dari dekat. Bibirnya tersenyum nipis. Matanya merenung
cincin di jari manis. Tidak semena-mena hatinya dibuai rasa rindu
“Lama benar Yana bercuti, ya.”Sekali lagi suara Mak Cik
Tijah menjengah di telinganya. Lamunan Dayana berterbangan. Rasa rindu kepada
Ikhwan segera ditepis.
“Yana cuti terus makcik,” jawab Dayana perlahan.
Mak Cik Tijah sedang memindahkan cawan teh dari dulang ke
atas meja. Matanya sempat menjeling Dayana yang sedang menenung gambar anak
terunanya.
“Mari duduk sini,
Yana. Kita minum,tak payahlah tenung-tenung gambar Ikhwan tu lama sangat. Takkan
dia nak keluar dari situ dan peluk kamu!”Gurauan Mak Cik Tijah begitu berbisa
di telinga Dayana. Dia menggaru-garu kepala. Tidak tahu hendak membalas
kata-kata wanita bermulut lepas itu. Sebenarnya dia termalu sendiri. Tak sangka
pula orang tua itu perasan dia sedang mengamati gambar Ikhwan.
“Bila makcik buat kek pisang ni?”tanya Dayana sambil
mengambil seketul kek pisang yang dihidangkan.
“Semalam. Nanti sebelum balik, makcik bekalkan untuk mak
dan ayah kamu, ya,”kata Mak Cik Tijah. Dia menemani Dayana minum.
“Ada Ikhwan telefon Yana?”tanyanya perlahan.
Dayana terpaku sejenak. Dia mula mengesyaki tujuan Mak Cik
Tijah menyuruhnya datang ke rumah.
“Ada, makcik,”jawab Dayana jujur. Air teh dicicipnya
perlahan sambil matanya merenung ke wajah Mak Cik Tijah yang nampak serius. Dahinya
berkerut. Gaya air muka wanita itu nampak seolah-oalh ada perkara besar yang
hendak disampaikan kepadanya.
“Selalu ke dia telefon?”tanya Mak Cik Tijah lagi.
“Tiap-tiap hari, makcik,”beritahu Dayana sambil memerhati
riak muka orang tua itu. Bahu Mak Cik Tijah terangkat.
“Hari-hari?”Terkejut benar bunyinya. Bulat matanya
merenung Dayana.
“Jumpa? Dia jumpa kamu tiap-tiap hari jugak?”tebaknya
pula. Dayana menggeleng. Agaknya kalau dia mengangguk, mahu terkeluar anak
tekak Mak Cik Tijah menjerit.
“Kenapa makcik?”tanya Dayana. Wajah kelat Mak Cik Tijah
disoroti. Nasib baiklah teh yang dihidang sudah habis diminum. Kek pisang yang
sedap pun sudah dua ketul menghuni perutnya. Jika tidak, mahu tak tertelan apa
yang dihidangkan.
“Makcik tak suka Ikhwan telefon Yana ke?”tanyanya lembut.
Mak Cik Tijah tidak menjawab. Panas juga telinganya mendengar pertanyaan
daripada gadis itu!
“Kek pisang tu kalau kamu rasa sedap, habiskanlah Yana.”
Pandai pula Mak Cik Tijah mengalihkan tajuk perbualan. Piring berisi kek pisang
dirapatkan kepada Dayana.
“Memang sedap, makcik! Tapi perut Yana dah kenyang,” beritahu
Dayana pula.
“Habis tu tadi yang kamu kata kamu bercuti terus tu, maknanya
kamu tak balik lagi ke Kuala Lumpurlah, ya?”Sekali lagi Mak Cik Tijah membawa
ke lorong lain.
“Ya makcik! Yana rasa tak sesuailah duduk di sana! Bising!
Asyik sibuk aje 24 jam,” terang Dayana jujur. Lega hatinya kerana tidak lagi
ditanya tentang Ikhwan.
“Dah memang kamu tu budak kampung! Mana sesuai duduk di
kota besar begitu! Dah biasa dengan lumpur bendang,” sinis kata-katanya. Berdesing
telinga Dayana.
“Yalah, makcik. Dah memang saya gadis kampung,” setuju
Dayana merendah diri. Menghiris hati sendiri.
“Apa cadangan Yana selepas ni?”tanya Mak Cik Tijah sambil
memasukkan cawan-cawan yang sudah kosong ke atas dulang.
“Buat masa ini Yana masih teruskan perusahaan kerepek tu.
Insya-ALLAH Yana sedang berusaha mencari tapak kedai untuk buka kedai kek,” beritahu
Dayana perlahan dan lambat-lambat. Sepatutnya dia tidak memberitahu tentang
angan-angannya itu kepada Mak Cik Tijah.
“Tinggi benar cita-cita kamu.”Lebar senyuman Mak Cik
Tijah sewaktu mengungkapkan kata-kata itu. Tak tahulah sama ada senyuman ikhlas
atau senyuman palsu memperli.
“Yana tunggu sekejap ya...”Suaranya kembali lunak. Dia
mengangkat dulang ke dapur dan muncul kembali di hadapan Dayana beberapa saat
kemudian.
“Terima kasihlah sebab sudi datang ke rumah makcik,” katanya sambil duduk kembali di
hadapan Dayana. Bekas plastik yang berada di tangannya dihulurkannya kepada
gadis itu.
‘Mak Cik Tijah ni macam nak halau aku balik aje,’bisik
hati Dayana.“Makcik,Yana nak beredar duluya,”cepat-cepat Dayana bangun
dari kerusinya.
“Duduk dulu! Aku ada hal nak cakap!”tegas pula suara Mak
Cik Tijah. Tersentak Dayana. Dengan tiba-tiba pula wajah orang tua itu berkerut
sewaktu merenungnya.
“Yana,sebenarnya begini...”
PETANG Sabtu yang damai. Langit membiru. Burung-burung
berterbangan. Angin pun berhembus lembut saat Ikhwan turun dari keretanya. Dia
baru sampai dari Kuala Lumpur.
Mak Cik Tijah menyambut kepulangan Ikhwan pada hari itu
dengan perasaan yang berbaur. Gembira kerana
sudah agak lama Ikhwan tidak pulang ke kampung sejak bekerja di Kuala Lumpur. Pilu
kerana dilihatnya tubuh Ikhwan semakin susut dan mukanya yang agak pucat.
“Mak...”sapa Ikhwan sambil bersalam dan mencium tangannya.“Mak
sihat?”tanyanya sambil senyum lalu menghulurkan buah tangan yang dibawa ke
tangan emaknya. Cermin mata hitam yang sedang dipakai ditolak ke atas kepalanya.
Tajam matanya merenung Mak Cik Tijah.
“Alhamdulillah, mak sihat! Kau macam mana? Mak tengok semakin susut dan
pucat aje! Ada apa-apa yang tak kena ke? Atau terlalu sibuk dengan kerja sampai
makan minum dah tak terjaga lagi?” PertanyaanMak Cik Tijah bertubi-tubi sambil
menyambut huluran beg-beg kertas yang dihulurkan oleh Ikhwan.
“Tak apa-apa, mak! Cuma sakit kepala aje kadang-kadang.Agaknya
sebab saya kurang tidur,” beritahu Ikhwan perlahan.
“Fikirkan apa lagi, Ikhwan? Yang sudah lepas tu biarkan
berlalu. Sekarang ni Ikhwan sudah ada kerjaya sendiri, kan? Pengajian pun sudah
tamat. Cita-cita pun sudah tercapai,”rungut Mak Cik Tijah perlahan. Matanya
tidak lekang melihat wajah Ikhwan yang berlainan benar pada pandangan matanya.
“Alhamdulillah, mak! Semua impian mak, cita-cita mak
untuk melihat kejayaan saya, TUHAN sudah sampaikan,” balas Ikhwan. Perlahan
suaranya.
“Mak,saya nak berehat. Terasa penat pula hari ni! Saya
naik ke bilik dulu, mak,”ujarnya pula untuk segera beredar dari situ.
“Dalam beg tu apa?”tanya Makcik Tijah apabila melihat ada
lagi dua beg kertas yang dipegang oleh Ikhwan bersama beg pakaiannya.
“Oh! Yang ini saya beli buah tangan untuk Yana dan Mak
Bedah, mak,”jawab Ikhwan sambil cepat-cepat meninggalkan emaknya.
“Hmm... tak habis-habis dengan Yana,” keluh Mak Cik Tijah.
Dia ke dapur mengambilkan air minuman untuk anak bujangnya itu. Walaupun Ikhwan
tidak meminta dia faham anaknya yang sedang kepenatan itu pasti juga kehausan. Mak
Cik Tijah menghantar segelas besar air limau suam ke bilik Ikhwan.
Dari sebalik pintu bilik yang renggang dia nampak Ikhwan
sedang duduk di birai katil sambil bercakap di telefon bimbitnya. Mak Cik Tijah
memasang telinganya. Dia berdiri rapat di sebalik daun pintu.
“Baik, sayang! Malam nanti selepas Isyak Ikhwan
datang. I miss You so much!”Suara Ikhwan yang lembut itu kedengaran jelas di
telinganya.
Mak Cik Tijah mengetap bibir. Hatinya cuba meneka-neka. Dengan
siapa agaknya Ikhwan sedang bercakap. Jangan-jangan Yana! Tebaknya.Mak Cik
Tijah pura-pura mengetuk pintu bilik apabila kedengaran Ikhwan terbatuk-batuk.
“Mak, masuklah...”pelawa Ikhwan yang sudah bersalin
baju. Daun jendela di biliknya dibuka luas-luas. “Tak payah, mak nak
hantar minuman ni untuk kau! Kau berehatlah lepas mandi nanti,”pesan Mak Cik
Tijah.
“Yalah,” jawab Ikhwan sepatah sambil mengambil gelas
yang dihulurkan.
“Terima kasih, mak,”katanya sambil tersenyum nipis.
“Ikhwan bercakap di telefon dengan siapa tadi?”tanya
Mak Cik Tijah yang tak tertahan hati ingin mengetahui siapa gerangannya yang
dipanggil Ikhwan ‘Sayang’
“Yana, mak...”jawab Ikhwan. Daun pintu dirapatkannya
semula apabila emaknya beredar dari situ.
Mak Cik Tijah terkedu mendengar jawapan itu. Dua hari
lepas dia ada memanggil gadis itu bertandang ke rumahnya. Di akhir kunjungan gadis
itu dia sempat berpesan,
‘Selagi kamu tak
kahwin, Ikhwan pun tak mau kahwin jugak! Kamu mesti kahwin supaya Ikhwan boleh
melupakan kamu dan kahwin dengan gadis pilihan aku.’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan