Gemersik deru angin menggoyang-goyangkan rimbunan
padi di sawah. Gesekan buluh perindu yang ditanam di belakang rumah bagaikan
berirama. Paduan simfoni alam itu menimbulkan suasana nyaman, tambahan dalam
cuaca yang redup pada petang itu.
Cuaca yang mendamaikan itu tidak dilepaskan begitu sahaja
dengan bermenung atau berangan. Dayana sibuk di halaman rumahnya kerana
menyiram pokok bunga yang sedang kembang mekar. Emaknya memang suka menanam
pokok bunga, terutamanya pokok bunga kertas. Bermacam-macam warna bunga kertas
menghiasi halamannya.
Di kala tangannya sibuk mengheret tiub getah ke sana dan
ke sini menyirami pokok-pokok bunga yang ditanam di dalam pasu atau tanah, bola
matanya terlontar ke arah lorong yang menghala ke rumahnya. Tiga buah kereta sedang bergerak perlahan-lahan.
‘Hisy! Nampak macam kereta Ramzan tu? Buat apa dia datang
ke sini?’ soal hatinya. Dayana cepat-cepat menggulung saluran getah yang sedang
digunakan. Dia berlari-lari anak menuju ke dalam rumah dan memasuki rumah
melalui pintu dapur. Gulungan tiub getah sempat disimpan di tempatnya semula.
Dayana terus menyelinap masuk ke dalam kamarnya dan
menyembunyikan diri. Sungguhpun begitu dia sempat mengintai tetamu yang datang
melalui celah dinding biliknya yang renggangnya sebesar batang mancis. Sah. Ramzan
salah seorang pemandu kereta. Mereka memakirkan kereta di hadapan tangga dan
memberi salam beberapa kali. Dayana dengar suara ayahnya menjawab salam.
Pak Yusof mempersilakan tetamu yang datang naik ke rumah.
Enam orang tetamu yang tidak dikenali. Tiga orang lelaki separuh usia. Seorang
pemuda yang umurnya mungkin lebih sedikit dari Dayana dan dua orang wanita
lewat 40-an. Pak Yusof mengamati wajah mereka satu demi satu. Mak Bedah di
dapur turut naik ke anjung untuk meraikan tetamu yang tidak dikenali dan tidak
diundang itu. Belum sempat Pak Yusof bertanya lelaki yang paling muda
memperkenalkan dirinya.
“Pakcik,saya Ramzan, kawan Dayana,” beritahunya sambil
memperkenalkan yang lain. Pak Yusof berjabat salam dengan tetamunya yang lelaki
lalu mempersilakan mereka duduk di sofa. Lelaki separuh umur yang diperkenalkan
sebagai bapa saudara Ramzan memulakan bicara tentang hajat kedatangan mereka.
Dayana yang berada di bilik gelisah. Sedikit sebanyak
butir bicara tetamu-tetamu yang datang singgah juga ke telinganya. Dadanya
semakin berdebar. ‘Entah apalah yang akan diamuk oleh Saerah nanti jika
mendapat tahu hal ini,’ bisik hatinya. Terdengar pula suara emaknya memanggil
perlahan dari sebalik pintu. Dayana membuka pintu dengan rasa malas.
“Yana, pergi bancuh air dan hidangkan kepada tetamu kita!
Yang Yana bersembunyi, apa hal?”tanya Mak Bedah perlahan. Matanya sempat
menyorot ke wajah anak tunggalnya yang nampak muram.
“Ala, Yana malulah, mak,”jawab Dayana sambil
menggaru-garu pipinya. Keningnya berkerut.
“Hisy! Anak dara ni! Pergi buat air lepas tu hantar ke
depan,”suruh Mak Bedah lagi.
“Yana bancuh dan
siapkan, tapi nanti mak datanglah ke dapur ambil! Yana malulah nak tunjuk muka
kepada mereka,”kata Dayana lagi sambil memberi alasan.
“Salin baju tu
dulu! Pakai baju kurung, tudung!”pesan
Mak Bedah sebelum meninggalkan Dayana di muka pintu biliknya.
SEJAK selepas Isya tadi dia duduk bersandar dan bermenung di
atas katil sambil memeluk kedua lututnya. Desakan emak dan ayah supaya dia menoktahkan
penantian serta menamatkan pengharapan terhadap Akif begitu meremukkan
sanubarinya.
‘Tidakkah emak tahu yang Yana begitu mencintai Akif. Yana
tak pernah mencintai sesiapa sebelum dia. Akif, cinta pertama Yana. Dia lelaki
yang sempurna di mata Yana. Belum pernah sekali dia mencalarkan hati ini. Belum
pernah sekali dia membuat Yana rasa kecewa. Apatah lagi dengan sengaja membuat
Yana rasa terluka dengan kata-katanya. Yana tidak rela hati Yana dimiliki oleh
lelaki lain, mak. Ayah.’
Batin Dayana terus meratap pilu. Bergetar bibirnya
menahan tangisan, namun airmata yang kian lama tersimpan berderai juga. Sesak
dadanya pada malam itu. Dayana terus tenggelam di dalam kesedihan dan kesunyian.
Tangannya mencapai frame yang
membingkai gambar Akif. Gambar itu ditatapnya lama-lama. Rasa rindunya yang
melangit tak terhapuskan.
Yana sayang, aku telah memilihmu menjadi
pendamping hidupku kerana kaulah cinta pertama dan terakhirku. Aku mencintaimu
sejak kali pertama kita bertemu.Akan kujagamu dengan cintaku yang tidak
berbelah bagi kerana dirimu separuh nyawaku, separuh jiwaku. Percayalah sayang,
tidak ada yang akan memisahkan kita,kecuali TUHAN.
Kata-kata yang terlakar dibelakang foto Akif itu
dibacanya berulangkali. Hatinya semakin sebak. TUHAN. Batinnya memanggil TUHAN.
Takdir TUHANkah yang telah memisahkan mereka? Mengapakah hempasan takdir
terhadap dirinya teramat berat? ‘Yana pun tak sanggup berpisah dengan Akif! Tetapi
mengapa Akif tiba-tiba menghilangkan diri, mengapa Akif! Yana rindu. Rindu
sangat pada Akif. Kerinduan Yana kepada Akif tidak pernah pudar. Sudah lama
Yana tidak mendengar suara Akif. Akif pergi ke mana! Ke mana? Mengapa buat Yana
begini! Yana rasa sengsara sangat! Akiff! Mengapa impian kita tidak
tercantumkan?’soal hati Dayana.
Dia terus merintih sambil menyembamkan mukanya di bantal.
Tidak tertahan hatinya lagi menanggung rindu. Deringan telefon menghentikan
tangisannya seketika. Dayana menekan butang hijau pada telefon bimbitnya.
“Helo! Hmm Saerah!”kata Dayana sebaik sahaja mendengar
suara Saerah di hujung talian. “Puas hati kau sekarang? Mesti kau suka, kan? Kau
pura-pura merajuk dan balik ke kampung supaya Ramzan datang pujuk kau, kan?”
sindir Saerah dengan nada yang menyakitkan hati.
“Saerah,apa yang kau merepek ni?Aku tak suruh pun Ramzan
datang cari aku! Bahkan aku tak pernah beritahu dia pun alamat rumah aku!”terang
Dayana dengan suara serak. Geram juga hatinya mendengar tuduhan Saerah yang
melulu. Tidak habis-habis!
“Dah tu macam mana Ramzan boleh sampai ke rumah kau? Pujuk
kau?”marah Saerah lagi.“Dia datang bukan untuk memujuk aku,”beritahu
Dayana dengan nada geram.
“Kalau tidak memujuk, untuk apa lag? Kk... kau ni Yana, boyfriend sepupu sendiri pun nak rampas!”tuduh
Saerah lagi. Perasaan radangnya berterusan.
“Ramzan datang melamar aku! Kau yang beritahu alamat
rumah aku pada dia, kan?”soal Dayana pula. Suaranya mula meninggi apabila
kesabarannya telah tercalar dengan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
“Apa? Ramzan pinang kau?”jerit Saerah.
Dayana enggan menjawab apa-apa lantas menekan butang
merah di telefon. Dia kembali merebahkan tubuhnya di atas tilam. Bantal guling
dicapai lalu dipeluknya erat. Dayana menyambung tangisannya yang terganggu oleh
panggilan dari Saerah tadi. Hatinya terus terhumban di lembah lara di
penghujung malam.
Isyarat SMS pula datang bertandang. Dayana menyambar
telefon bimbitnya yang terdampar di atas tilam. Sangkanya Saerah masih belum
berpuas hati dan ingin menyerangnya melalui SMS pula.
Assalamualaikum, sayang. Hujung
minggu ni Ikhwan akan balik kampung. Ada kesempatan Ikhwan akan datang ke rumah.
Tangisan hatinya bertambah hebat. Kenangan pertemuan
terakhir bersama pemuda itu menikam perasaannya. Sebentuk cincin pemberian
pemuda itu masih dalam simpanannya. Perasaannya terus diawang-awangan. Harapan
dan cinta Ikhwan amat berharga tetapi mengapa pintu hatinya terlalu liat untuk
pemuda itu sejak dahulu lagi. Agaknya kerana sikap emaknya yang tidak
menyenangkan hati. Tetapi mengapa harus Ikhwan yang menjadi mangsanya?
Perasaan Dayana terus berbelit-belit. Akif yang belum
pernah menjadi sejarah di dalam hatinya. Ikhwan yang sentiasa segar di dalam
ingatannya sebagai sahabat yang disayangi dan dihormati. Kedua-dua lelaki itu
telah menjerat perasaannya. Walaupun tidak sampai mengikat langkahnya untuk
terus ke depan, tetapi hatinya seolah berasa takut untuk memilih cinta sesiapa
pun untuk sekali lagi.
MINIT demi minit, Ikhwan terus merenung telefon bimbit
yang terletak di hujung meja tulisnya. Dayana yang terusan menyepikan diri
menyebabkan hatinya dihambat resah. Menunggu balasan SMS daripada gadis itu
hatinya seolah-olah meronta. Bagaikan terkena sentuhan sakti, hati yang muram
kembali ceria apabila mendengar isyarat getaran di telefon bimbitnya.
Insya-ALLAH. Yana akan tunggu. Ikhwan nak makan apa? Nanti
Yana masakkan..
Meleret senyuman dibibirnya sewaktu membaca jawapan itu. Berbunga-bunga
perasaannya.
Tak apa, sayang. Tak payah
susah-susah. Ikhwan cuma nak bertemu dengan Yana saja... kalau ada kesempatan.
Balasan SMS daripada Ikhwan membuatkan hati Dayana
tertanya-tanya. Macam ada suatu yang tak kena sahaja dengan Ikhwan ni! Getus
suara hatinya.
Selagi ada kesempatanlah
Yana nak masakkan untuk Ikhwan.
Balasnya cepat-cepat. Setelah itu dia merenung telefon bimbitnya
dengan hati yang berdebar. Sekali lagi telefon bimbitnya bercahaya merah.
Buatkan Ikhwan puding roti, boleh?
Senyuman Dayana meleret membaca permintaan daripada
pemuda itu.
Beres.
Jawabnya sambil menguap.
Terima kasih, sayang. Pergilah
tidur. Ikhwan dah nampak Yana menguap luas... hee.. hee. Assalamualaikum.
Dayana ketawa sendiri di dalam biliknya. SMS terakhir
daripada pemuda itu mencuit hatinya yang sedang dirasuk kesedihan sejak tadi. Entah
mengapa tiba-tiba perasaannya rasa bahagia.
Hee... hee...tau tak apa. Waalaikumussalam.
Jawabnya lalu meletakkan kepalanya di atas bantal lantas
terus terlena.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan