Selasa, 9 Februari 2016

Cinta Tak Pernah Usai Bab 34



Pokok padi yang menghijau. Warna langit yang biru dan kejinggaan sedang menyembunyikan wajah sang mentari begitu memikat hatinya. Sudah lama panaroma indah itu tidak terpapar di hadapan matanya. Lukisan alam ciptaan ILAHI, tiada yang dapat menandingi. Senja yang datang, sebagai tanda yang siang akan ditelan malam.
Itulah tanda kebijaksanaan TUHAN mentadbir urus kerajaan-NYA dilangit dan di bumi, tiada yang dapat menandingi-NYA. Dayana melangkahkan perlahan menuju ke rumahnya. Rumah papan yang pada siangnya berwarna putih dindingnya seolah-olah sedang disepuh emas pada dinding dan atapnya dek limpahan mentari senja. Dia menyedut nafasnya dalam-dalam. Kesegaran terasa seolah ke seluruh urat sarafnya.
Alhamdulillah. Bisik hatinya yang terasa damai dan tenteram. Bagaikan tidak sabar rasa kakinya untuk memijak tanah berselut di sawah.
“Astaghfirullahalazim! Budak bertuah! Kenapa balik tak beritahu mak?”Terjerit Mak Bedah apabila ternampak Dayana yang sedang berjalan menuju ke rumah. Meluru orang tua itu menerpa anak gadisnya yang hampir dua tahun merantau di kota. Beg pakaian ditangan Dayana terus disambar. Tubuh anak gadis itu segera dipeluk kuat-kuat.
“Mak, Yana rindu kat mak!”beritahu Dayana sambil membalas pelukan emaknya dan menangis. Pipi Mak Bedah diciumnya bertalu.
Yana cuti berapa hari?”soal Mak Bedah dengan suara nyaring.
Yana, cuti panjang mak,”jawab Dayana dengan nada riang.
“Pokok-pokok padi tu tak lama lagi berbuahkan, mak?”soal Dayana pula sambil pandangan matanya terlontar ke sawah padi yang menghijau saujana mata memandang. Tangan emaknya yang berjalan laju dua tiga langkah di hadapannya disambar.
“Hmm, lagi sebulan dua berbuahlah tu. Eh, Yana ni, macam tak faham pulak dengan kerja-kerja sawah ni!”ujar Mak Bedah sambil senyum meleret. Gembira hatinya senja itu menyambut kepulangan anak yang dirindui.
“Pokok mempelam di tepi dapur tu pun sedang lebat berbuah. Dah ada yang masak pun,”beritahu Mak Bedah dengan ceria.
Dayana gemar makan buah mempelam mengkal. Tambah-tambah lagi kalau dibuat cicah. Selalunya Dayanalah yang akan menyediakan bahan cicahnya. Cili padi ditumbuk bersama gula dan dicampur sedikit belacan. Setelah itu dicampurkan dengan kicap. Mak Bedah  pun tidak tahu resipi siapa yang Dayana gunakan. Namun yang pastinya, kuah cicah yang disediakan oleh anak tunggalnya itu enak. Tambahan lagi jika dicampur dengan kacang tanah tumbuk.
“Ya ke, mak? Wah!  Esok bolehlah mencicah!”kata Dayana dengan gaya tidak sabar. Terasa kecur air liurnya.
Jom naik ke rumah! Rehat dulu. Lepas tu boleh mandi dan solat maghrib berjemaah,” ujar Mak Bedah lagi.Pagi esok mak jolokkan buah mempelam itu untuk Yana,”kata Mak Bedah.
“Yalah mak! Yana pun rasa penat sangat ni. Maklumlah hampir 8 jam duduk dalam bas ekspress. Sampai di pekan Parit Buntar tadi, terpaksa tunggu lama pulak untuk dapatkan bas ke Parit 5 ni,” cerita Dayana lalu menghenyakkan punggungnya di atas kerusi berhampiran meja makan di dapur.


“Salah diri sendiri jugak! Kenapa tak beritahu ayah, Yana nak balik? Boleh ayah tunggu Yana di stesen bas,” tukas Mak Bedah. Dayana buat muka.
Saerah tak cuti ke?”tanya Mak Bedah sambil menghulurkan segelas air kepada Dayana. Dayana menggeleng.
“Saerah kirim salam kepada mak,”beritahunya walau Saerah tidak memesan apa pun!Pertengkaran yang berlaku antara dia dan Saerah tidak perlu diceritakan kepada emaknya. Dayana menghirup air yang dihulurkan oleh emaknya untuk menghilangkan dahaganya sejak tadi.
Waalaikumussalam,” jawab Mak Bedah.
“Mak,Yana tak akan balik ke sana lagi! Yana tak sesuailah tinggal di tempat yang sibuk, bising begitu. Yana suka duduk di kampung ni, dengan mak,”beritahu Dayana dengan lembut sambil mengukir senyuman sewaktu melihat wajah emaknya.
Elok sangatlah Yana. Kau tu dah ada orang datang bertanya,”cerita Mak Bedah pula.
“Orang bertanya?  Siapa mak? Tanya nak buat apa?” soal Dayana pula.
Ada pesanan kerepek lagi ke?”tanya Dayana lagi. Mak Bedah ketawa mendengarkan pertanyaan Dayana itu.
“Kau ni tak habis-habis dengan kerepek! Memanglah, ramai jugak yang tanyakan tentang kerepek tu! Tapi yang mak nak cerita ni bukan pasal kerepek. Pasal jodoh,” ujar Mak Bedah.
“Ada dua tiga orang dah datang bertanya! Mak Esah kau pun ada datang dua tiga kali dah! Dia tetap hendak jadikan Yana menantu dia. Rais adik Akif tu dah tamat pengajiannya di universiti tu! Umurnya pun lebih kurang sebaya dengan Yana, kalau Yana...”
“Yana tak setujulah mak!”pintas Dayana sambil bangun dari kerusi menghantar gelas ke singki.
“Yana tak nak kahwinlah mak! Yana nak tunggu Akif balik. Dia ada balik nanti, insya-ALLAH,”ungkap Dayana dengan penuh keyakinan.
“Yana,dah lama sangat Akif menghilangkan diri. Jadikan dia sebagai kenangan yang tak mungkin berulang,”nasihat Mak Bedah.
“Mak, pintu hati Yana dah tertutup untuk lelaki lain. Yana dah tak ada perasaan atau keinginan untuk berumah tangga mak! Kecuali dengan Akif,” sampuk Dayana dengan nada sebak, belum sempat emaknya menghabiskan kata-katanya.
“Susahlah hati mak dan ayah kalau Yana buat keputusan begitu,” ujar Mak Bedah dengan suara sesal.
“Jangan ikutkan hatinak. Terimalah segala ketentuan ALLAH dengan keimanan dan hati yang ikhlas serta berlapang dada,” nasihat Mak Bedah.
Yana sabarlah,” pesan Mak Bedah lagi sambil menatap wajah Dayana yang murung.
Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang ALLAH terhadap hamba-NYA.” Mak Bedah cuba mengingatkan Dayana tentang erti kesabaran.
“Yana kena bersabar dengan ujian dan berikhtiar untuk mencari kebahagiaan. Kehidupan Yana masih panjang.”
“Makk!!”kata Dayana sambil memeluk emaknya.
Siapakah yang dapat merasa apa yang sedang dirasakannya kini?Mengapa di saat kebahagiaan sedang berkembang, Akif tiba-tiba menghilang? Meremukkan hati dan menghancurkan impian bahagianya. Lebih malang, rasa rindu dan cintanya terhadap lelaki itu tiada tanda-tanda akan sampai ke penghujungnya. Akif,mengapa tiba-tiba Akif tinggalkan Yana? Akif tinggalkan cinta kita? Mengapa Akif? Tidak tertahan hatinya meronta dalam jeratan cinta yang tidak terungkaikan. Penuh misteri. Akif! Raung hati Dayana bertali.
Akan hancurkah keimanannya jika dia mengambil keputusan untuk terus setia  dengan cintanya? Sedangkan perencanaan TUHAN berbeza dengan impian mereka. Sanggupkah dia menahan hampa?Perasaannya semakin menghimpit apabila terkenangkan Ikhwan. Cinta pemuda itu yang tersimpul mati terhadapnya semakin menghumbankan perasaannya ke lembah lara. Ya ALLAH, Ya TUHANku... tolonglah hamba-MU yang tidak berdaya ini.
“Dayana nak masuk ke bilik,mak!” beritahunya untuk menghindarkan dirinya dari situ. Bimbang emaknya membangkitkan persoalan jodohnya lagi.
“Pergilah rehat,Yana.”

SELEPASmakan pada malam itu Dayana terus mengurungkan diri di kamarnya. Perjalanan yang jauh pada tengah hari tadi menambatkan keletihan.Telefon bimbitnya berkelip-kelip sebaik sahaja Dayana merebahkan diri di atas tilam.
Salam. Sayang, dah selamat sampai ke rumah?
 SMS daripada Ikhwan tidak dihiraukan. Namun, tidak sampai 10 minit hatinya pula rasa gelisah. Lambat-lambat tangannya mencapai semula telefon bimbit yang telah disimpan atas peti sejuk.
Waalaikumussalam. Alhamdulillah. Yana dah selamat sampai sebelum waktu Maghrib tadi.
Balasnya sambil merenung permukaan skrin telefon bimbitnya.
Rindu.
Balasan SMS daripada Ikhwan hanya dua suku kata. Namun membuatkan perasaannya terus meronta. Hari demi hari Ikhwan terus menghimpit hatinya. Batinnya kini seolah-olah tergenggam oleh cinta lelaki itu.
“Ikhwan, janganlah.. jangan merindu, jangan menggoda Yana. Tolonglah,” bisiknya perlahan sambil menggenggam telefon bimbitnya kuat-kuat. Bibirnya digigit perlahan menahan perasaan bersemarak di dalam jiwa. Entah rindu. Entah sayu.
“Siapa yang SMS tu?”tanya Mak Bedah dengan penuh minat. Bibir Dayana seakan terkunci. “Ikhwan ada datang cari Yana?”tanya Mak Bedah apabila pertanyaannya tadi tidak berjawab.
“Ada mak! Dia ada datang cari Yana,”beritahu Dayana jujur sambil tersenyum.
“Yang tadi tu, mesti Ikhwan yang SMS, kan?”tanya Mak Bedah sambil ketawa. Dayana turut tergelak sama.
“Mak ni, tak bolehlah Yana nak sembunyikan apa-apa! Selalu aje mak dapat teka!”bidas Dayana sambil ketawa.
“Bila kali terakhir Ikhwan bertemu dengan Yana?”soal Mak Bedah lagi cuba mengorek rahsia. Matanya sempat menjeling ke jari manis Dayana. Kilauan cincin emas putih yang menghiasi jari anak gadisnya itu mencuri perhatiannya.
“Semalam, mak,”beritahu Dayana. Sebuah keluhan kecil menerobos keluar. Harapan Ikhwan terhadap dirinya menyebabkan perasaannya rasa lemas.
Oh!!”balas Mak Bedah ringkas.
“Cantik cincin yang Ikhwan bagi kat Yana tu.”Ungkapan emaknya itu benar-benar membuat hati Dayana tersentak.

“Alah! Mak ni tau belaka!”katanya seolah-olah merajuk. Pipinya rasa membahang.
“Yana,mak ni dah lama hidup! Cinta Ikhwan kepada Yana pun mak dah tahu dalam atau ceteknya,” balas Mak Bedah perlahan. Dayana terdiam. Mungkinkah cinta Ikhwan yang melaut terhadap dirinya, diiringi gelora rindunya yang tidak pernah surut akan memecahkan kesetiaannya untuk menunggu kepulangan Akif?
“Kalau tak kerana mulut maknya tu, mungkin dulu mak terima lamarannya,”ungkit Mak Bedah. Sesungguhnya saat itu tubir matanya menanti saat untuk rebak. Emosinya tiba-tiba terganggu. Saat matanya merenung ke jari manis yang tersalut cincin yang disarungkan oleh Ikhwan, batinnya terus meraung.
“Tidurlah,Yana,”gesa Mak Bedah sebelum beredar dari bilik anaknya.
Deringan telefon terus menjerit sebaik Mak Bedah menutup pintu. Mata Dayana melihat nama yang terpamer. Ikhwan. Berkali-kali telefon yang berdering tidak diendahkannya. Dayana hanya merenung telefon bimbitnya dengan mata yang terkebil-kebil.
“Yana beri peluang pada diri Yana. Berlaku jujur kepadanya, tanyakan kepada hati kecil Yana. Benarkah Ikhwan telah diusir pergi buat selamanya dan tidak layak mendiami kamar hati Yana, walau disudut yang terpencil.”
Terngiang pula suara Ikhwan di telinganya. Timbul pula rasa simpati terhadap pemuda itu. Telefon yang sudah berhenti berdering digenggamnya beberapa ketika. Dia menarik nafas panjang lalu menekan nombor telefon pemuda itu. Belum sempat habis, telefonnya meraung pula. Sepantas kilat jari-jemarinya menekan butang hijau dan menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum, Ikhwan,” katanya dengan suara gementar. Entah mengapa, perasaannya jadi tidak tentu arah. Debarannya seolah meruntuhkan seluruh jiwa raga.
“Waalaikumussalam, sayang!”Romantis suara jawapan Ikhwan menggetarkan sukma mengocakkan perasaannya yang sedia bergelora.

Tiada ulasan: