RESTORAN di Hotel Hyatt Saujana Shah Alam menerima
sepasang tetamu lagi pada dinihari itu. Dayana berjalan bergandingan dengan
Ikhwan dengan langkah perlahan. Dalam restoran masih ramai dengan pengunjung
yang mungkin penginap hotel itu juga.
Dendangan irama jazz yang kedengaran menyebabkan suasana
santai dan tidak terasa malam semakin erat memeluk alam dalam dakapannya. Hembusan
angin menderu terasa menyamankan.
“Kita duduk di sana,” ajak Ikhwan sambil menudingkan ibu
jarinya ke arah meja yang masih kosong disudut yang agak terceruk. Berhampiran
pokok hiasan yang meredupkan jika pada waktu siang.
Tanpa sedar dia menggenggam tangan gadis yang sedang
berjalan beriringan dengannya itu dan mengheretnya perlahan ke meja yang
dimaksudkan. Apabila Dayana berusaha melepaskan genggaman tangannya, dia
melepaskannya perlahan dengan perasaan berat.
Pelayan restoran datang mengambil pesanan. Ikhwan memesan
kopi O panas untuknya dan coklat panas untuk Dayana. Dipandangnya wajah gadis
itu yang masih muram dan sugul. Pipi Dayana masih dibasahi titisan airmata yang
hangat. Ikhwan mengambil sesuatu dari kocek seluarnya dan menghulurkan kepada
Dayana.
“Kesat airmata tu,”suruhnya perlahan. Saputangan yang
dihulurkan Ikhwan menyentakkan hati Dayana. Perasaannya tersapa oleh rasa sebak.
Dia menguraikan lipatan saputangan berwarna biru langit dan memerhatikan di
salah satu penjurunya.
Untuk Ikhwan. Tanda Kenangan daripada Yana.
Dayana memejamkan matanya seketika. Memori di zaman
persekolahan mengimbau kenangan. Saputangan itu hadiah pemberiannya buat Ikhwan.
Sebelum keberangkatan pemuda itu untuk menyambung pengajian ke luar negara. Saputangan
yang dibeli dengan harga RM1.80. Dua minggu masa yang diambil untuk menjahit
tangan buat mengukir nama pemuda itu di saputangan yang akan menjadi hadiah
darinya.
“Ikhwan masih simpan sapu tangan ni?”tanyanya dengan
bisikan perlahan. Ikhwan mengangguk sambil mendekatkan dirinya kepada gadis itu.
“Segala apa yang Yana beri, akan Ikhwan simpan
sebaik-baiknya. Walaupun hanya cebisan kertas yang tertulis dua tiga perkataan,”
jawab Ikhwan sambil senyum. Matanya sempat melirik ke wajah gadis itu yang
kelihatan tidak begitu yakin dengan kata-katanya.
“Tak percaya ke?” tanyanya sambil mengelebek dompetnya
dan mengeluarkan sesuatu. Cebisan kertas yang sudah kumal dihulurkan kepada
Dayana.
Ikhwan, awak balik dulu. Saya tak balik
dengan awak-Dayana.
Dayana menatap tulisan tangannya sewaktu di tingkatan
satu sambil tergelak kecil. Dia teringat pada peristiwa yang memalukannya itu. Hari
itu dia terpaksa menyuruh Ikhwan balik dulu kerana baju kurung seragam
sekolahnya telah kotor akibat kecuaiannya. Sebaik selesai waktu persekolahan
pada hari itu kawan sekelas yang duduk di meja belakangnya menegur.
“Eh, Yana! Kau datang bulanlah! Tengok baju kau kat
punggung tu dah bertompok dengan darah!”kata Biah dengan bisikan gajahnya.
Malunya tidak terhingga. Dia terpaksa duduk semula di
kerusi untuk mengelakkan peristiwa itu diketahui oleh murid-murid lain. Teringat
pula kepada Ikhwan yang selalu menunggunya untuk balik bersama-sama lalu dia
menitipkan pesanan itu dan mengirimkannya kepada Ikhwan melalui seorang teman
sekelasnya.
“Sampai hari ini Ikhwan tidak tahu sebabnya mengapa Yana
tidak dapat balik bersama pada hari itu,”kata-kata Ikhwan menerbangkan lamunan
Dayana.
“He... hee...”Malu menceritakan hal yang sebenarnya
Dayana menjawab persoalan Ikhwan dengan ketawa. Rona wajah Dayana tidak lagi
muram seperti tadi. Ikhwan bernafas lega. Apabila mendengar atau melihat gadis
itu menangis, hatinya seolah-olah tercampak ke jurang yang tidak menentu
kerikil dan kecerunannya.
“Mengapa Yana tiba-tiba berhenti kerja dan nak balik
kampung pulak?” spontan bibirnya bertanya sambil menghulurkan cawan coklat
panas yang baru dihantar oleh pelayan restoran.
“Ikhwan rasa tak seronoklah.Kalau Yana kerja di Kuala
Lumpur, jika tak hari-hari, kita boleh bertemu seminggu sekali,” ujarnya lagi.
Dayana terdiam. Minuman yang tersaji di hadapannya dicicip
perlahan sambil merenung jauh.
“Dulu Yana datang ke sini untuk mencuba sesuatu yang baru
dan cuba melarikan ingatan dari kenangan silam,”balas Dayana bersama keluhan.
“Akhirnya kenangan itu terus mengejar Yana, kan?”tebak
Ikhwan. Dayana mengangguk sambil mengetap bibirnya.
“Itu yang buat Yana menangis tadi? Sebab diburu kenangan
sedih dan menyayat hati?”soal Ikhwan pula. Warna mendung menyelaputi wajah
gadis itu sekali lagi.
“Yana teringatkan...”Suara Ikhwan seolah-olah tersangkut
di kerongkongnya. Tidak sampai hatinya untuk menyebut nama Akif di pendengaran
gadis itu. Nama yang akan menyebabkan kesedihannya semakin merebak. Hatinya
juga akan terasa luka.
“Bukan sebab itu,”nafi Dayana sambil menggenggam
tangannya yang mula dijamah kedinginan penghawa dingin restoran itu.
“Bukan sebab Yana teringatkan Akiff,”tegasnya. Getaran
suara Dayana begitu memilukan Ikhwan. Apatah lagi apabila melihat titisan
airmata terurai di pipinya yang putih kuning.
“Yana dah boleh terima kenyataanyang Akif tidak
ditakdirkan untuk Yana.” Suaranya seolah merintih. Bibirnya digigit-gigit kecil
seolah menyesal dengan kata-kata yang baru diungkapkannya.
“Yana,” kata Ikhwan sambil memegang lengan Dayana. Dipegangnya
kuat-kuat seolah-olah memujuk dan menyalurkan kekuatan serta ketabahan darinya
untuk gadis itu.
“Saerah...”kata Dayana sepatah. Bola mata Ikhwan terus
memerhati ulas bibirnya mengharapkan ceritanya berterusan.
“Dia tuduh Yana merampas boyfriendnya.”Suara Dayana
seolah-olah tersangkut di situ. Airmata kembali terhimpun di penjuru matanya.
“Kira-kiranya malam tadi Saerah mengamuk dan bertengkar
dengan Yana, lah ni?”teka Ikhwan lagi. Perangai Saerah pun difahaminya benar. Bukannya
dia tidak kenal dengan gadis itu. Dari sekolah lagi sudah bermulut celopar dan
cakap lepas tanpa peduli perasaan orang lain. Dayana mengangguk lesu.
“Tak usah peduli kepada kata-kata dia, Yana. Kalau perlu
Ikhwan carikan Yana rumah lain. Yana tak payah duduk dengan dia lagi. Tak
usahlah Yana tinggalkan Kuala Lumpur ni,”kata Ikhwan lembut membujuk. Berlenggang-lenggok
nadanya.
“Nanti Ikhwan diburu sepi sekali lagi.” Bisikan kata-kata
itu terngiang-ngiang di telinganya.“Dikejar bayangan rindu, tak cukup tanah
untuk berlari.” Gurauannya penuh maksud tersirat.
“Ikhwan...”panggil Dayana perlahan. Ikhwan menjawab panggilan
itu dengan renungan mata yang redup.“Yana rasa Yana tak sesuai tinggal di sini,”
beritahu Dayana lembut. Ikhwan merenungnya penuh harap.
“Duduklah kat sini.Nanti kalau Yana bertemu jodoh dengan
lelaki yang bekerja di sini, macam mana?”soal Ikhwan. Dayana tidak menjawab. Direnungnya
wajah lelaki itu di kala Ikhwan menundukkan mukanya merenung cawan kopi. Wajah Ikhwan
yang semakin cengkung membenihkan rasa simpati.
“Ikhwan...”suara Dayana seolah membisik. Ikhwan merenung
lalu senyum.“Kerap ke Ikhwan diserang sakit kepala macam kelmarin?”tanya Dayana.
Cuba mengalihkan tajuk perbualan mereka. Persoalan jodoh tidak ingin
dibangkitkan lagi. Matanya merenung Ikhwan, mengharapkan jawapan.
“Jarang sekali,”jawab Ikhwan. Bibirnya senyum lagi.
“Yana risau ke?”tanyanya pula. Sekadar untuk menduga.
“Mestilah risau,” jawab Dayana.
Malu dia untuk menceritakan tangisannya berlarutan hampir
sejam sehingga akhirnya dia tertidur sewaktu menunggu Ikhwan yang terlena
tempoh hari. Ikhwan menundukkan wajahnya sambil tersenyum. Pada hari itu walau
berada di dalam kesakitan, perasaannya berasa sangat indah. Dia berpeluang
merasai belaian tangan gadis itu. Alangkah bahagianya, sekiranya belaian itu
menjadi miliknya sepanjang hayat.
“Kita dah berkawan lama, Ikhwan. Yana dah rasa sebati
dengan Ikhwan. Kalau sewaktu kita di zaman kanak-kanak, tengok kaki Ikhwan
terluka terkena duri pun, Yana dah menangis.”Luahan hati Dayana itu menyebabkan
perasaan Ikhwan rasa terapung.
“Inikan pulak tengok Ikhwan dalam keadaan begitu. Kalau
Ikhwan bukan benar-benar sakit, mustahil Ikhwan biarkan Yana, kan? Mesti Ikhwan
bawa jugak ke tempat yang Ikhwan dah janjikan itu,” sambung Dayana lagi. Kali
ini perasaan Ikhwan seolah berada di kemuncak dunia.
“Ikhwan dah pergi jumpa doktor. Dia kata tak ada apa-apa.
Mungkin sekarang ni cuaca panas sangat,”cerita Ikhwan untuk memujuk hati gadis
itu. Kebimbangan di hati Dayana biarlah terusir buat selamanya.
“Secara kebetulan hari yang kita jumpa tu, Ikhwan ada
kerja di tapak projek. Dari pagi sampai ke petang. Panas!”tambahnya lagi.
“Betul ni?”tanya Dayana seolah tidak percaya. Keadaan
Ikhwan pada malam itu amat mencemaskan hatinya.“Sumpah!” jawab Ikhwan sambil
mengangkat tangan kanannya.
“Sayang jugak awak kat saya, ya?” Sempat lagi dia
berjenaka. Dayana ketawa. Segala kesedihannya tadi seolah-olah terbang dibawa
angin malam.
“Pernah ke Yana kata benci?”soalnya sambil membesarkan
mata.
“Yana...”panggilan Ikhwan seolah membisik.
“Kenapa pandang Yana begitu?”tanya Dayana apabila mata
Ikhwan terarah kepadanya. Sedang bibirnya tidak berkata sesuatu. Ikhwan seolah-olah
sedang mengelamun dan memikirkan perkara yang amat berat.
“Ikhwan lega apabila melihat Yana kembali ceriadan
bersemangat!”ungkap Ikhwan perlahan. “Keceriaan Yana itu akan merebak ke dasar
hati Ikhwan, tau,”selorohnya pula.
“Bermacam musibah yang melanda hidup Yana, tetapi Yana
tetap kuat dan tabah. Kalau menangis pun sekejap aje,kan?”tukasnya.
“Kalau Yana menangis sehingga menghanyutkan diri Yana ke
dalam lautan airmata pun, takdir ALLAH tidak akan berubah,” balas Dayana sayu.
“Ikhwan...”kata Dayana.
“Ya, sayangg,”jawab Ikhwan.
“Kita balik,”ajak Dayana perlahan.
Jam di lengan kirinya sudah menunjukkan angka 4.00 pagi. Hatinya
berasa tidak selesa jika bersama dengan pemuda itu berduaan begitu lama. Jiwanya
rasa tidak tenang.
“Jom,” setuju Ikhwan lalu meraih bahu gadis itu supaya
berjalan beriringan dengannya. Sebagaimana diduga, Dayana berusaha untuk
menjauhkan diri dari tubuhnya.
Sepanjang perjalanan pulang mereka ditakluki kebisuan. Ikhwan
begitu asyik menikmati irama lagu kesukaannya. I’m Still Loving You.
Time, it needs time
To win back Your love again..
“Berhenti...”Pekikan halus Dayana mengejutkan lelaki itu
yang begitu asyik mendengar lagu. Serta-merta dia memperlahankan kereta dan berhenti
di hadapan pagar apartmen tempat Dayana tinggal.
“Nasib baik tak terbabas,”kata Ikhwan sambil ketawa. Dia
membuka pintu untuk Dayana. Hembusan angin bertiup menyentuh tubuh mereka
sebaik sahaja pintu kereta Toyota Camrynya ternganga.
“Yana...”
Lengan Dayana dipegang kuat sebelum gadis itu melangkah
turun dari keretanya. Dayana terkejut lantas menoleh merenung wajah Ikhwan yang
sedang merenungnya. Pemuda itu mencapai tangannya pula. Nafas Dayana tiba-tiba laju.
Di dalam kedinginan penghawa dingin kereta dan angin yang berhembus dari luar
kereta, tubuhnya tiba-tiba menghangat. Ikhwan memasukkan sesuatu di dalam
genggaman tangannya dan terus memegang tangan kanannya itu kuat-kuat seketika.
“Yana...kalau Yana dah berputus harap untuk menanti
kepulangan Akif, harapan Ikhwan terhadap Yana tidak pernah berhujung,” kata
Ikhwan dengan suara bergetar.
“Yana beri peluang kepada diri Yana. Berlaku jujur
kepadanya, tanyakan kepada hati kecil Yana. Benarkah Ikhwan telah diusir pergi
buat selamanya dan tidak layak mendiami kamar hati Yana, walau disudut yang
terpencil?” Kalimah yang dilafazkan oleh lelaki itu amat memilukan hatinya.
“Hati kecil kita tidak pernah berdusta, Yana,”bisik
Ikhwan.
“Cincin ini sebagai isyarat...”kata-kata Ikhwan terhenti
sejenak.
“Ikhwan akan hantar rombongan meminang sekali lagi,” tegasnya
pula.
Genggaman tangan Dayana dibukainya lantas cincin tadi
diambil semula lalu disarungkannya di jari manis gadis itu. Tanpa sedar hujung
jari Dayana dikucupnya penuh rasa kasih.
“Ikhwannn...”Dayana kehilangan kata-kata lagi entah untuk
kali yang keberapa. Dia memejamkan matanya seketika dan tidak dapat ditahan, airmatanya
menitis lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan