Isnin, 12 Oktober 2015

Cinta Tak Pernah Usai - Bab 32



Apartmen tempat tinggal Dayana dibalut kesepian malam itu. Sudah dua hari Saerah bermasam muka dengannya. Ditegur sepatah, dia menjawab sepatah. Hati Dayana pun menjadi rimas dengan telatah sepupunya itu yang mencemburuinya. Apartmen tempat tinggal mereka seolah-olah menjadi penjara yang sunyi dan sepi. Masing-masing membawa hal sendiri. Malam itu Dayana cuba membuka mulutnya.
“Saerah...”tegur Dayana apabila melihat Saerah bangun dari sofa sebaik sahaja dia ingin duduk berdekatan
“Saerah...”panggilnya pula. Wajah masam Saerah direnungnya.
“Apa salah yang aku dah buat?”tanyanya perlahan.
Saerah tidak menjawab sebaliknya merengus serta memalingkan wajahnya dan berpura-pura menonton televisyen. “Saerah,aku tanya, apa salah yang aku dah buat sehingga kau memusuhi aku?”tanya Dayana cuba bertenang. Dadanya mula beriak sedih.
“Aku menyesal bawa kau datang ke sini, Yana! Aku tak sangka kau sanggup menggoda dan ingin merampas Ramzan daripada aku!”tempelak Saerah sambil membulatkan matanya sewaktu merenung Dayana.
“Dulu, sewaktu duduk di kampung kau tu baik sangat macam malaikat! Tak sangka pulak bila dah duduk di tengah kota ni kau bertukar karakter jadi setan betina!” seranah Saerah tiba-tiba dengan suara kuat. Bantal penghias sofa dihumbannya sehingga mengenai tubuh Dayana.
Airmata Dayana berhambur keluar apabila mendengar sindiran dan tuduhan daripada Saerah. Sungguh dia tidak menduga yang Saerah akan memarahinya sedemikian rupa dan mulutnya begitu celopar.
“Kau ni Saerah, cakap tu biar beralas sikit! Hei, hati aku sebesar jarum peniti pun tak pernah berniat untuk menggoda apatah lagi merampas teman lelaki kau! Kita ni sepupu! Mustahil aku khianati sepupu aku sendiri,”kata Dayana mempertahankan dirinya. Nada suaranya melirih di celah tangisan.



“Kalau kau tak goda macam mana pulak dia boleh ajak aku pergi bertemu dengan emak bapak kau? Cuba kau jawab?Aku ajak dia jumpa dengan mak bapak aku dah bertahun tapi ada aje alasannya. Tiba-tiba ajak aku kenalkan dia dengan emak bapak kau! Apa kes?”tempik Saerah lagi.
Dayana terpempan mendengar penjelasan daripada Saerah.
“Aku tak tahu apa-apa pun, Saerah! Kau tanyalah boyfriend kau tu apa halnya nak berjumpa dengan mak bapak aku!”bidas Dayana dengan suaranya yang mulai kuat.
“Kalau pun kau nak cari pengganti Akif, takkanlah Ramzan pulak yang kau nak rembat! Kau beritahu aje kepada aku! Aku boleh tolong carikan. Di luar sana bersepah lagi jantan! Kalau kau dah kemaruk sangat, aku boleh bawa ke rumah ni!”kata Saerah lagi dengan bibir terjuih-juih. Dayana mengetap bibir mendengar kata-kata sindiran daripada Saerah itu. Tidak diduganya mulut sepupunya itu begitu lancang sekali.
“Saerah, aku tak kemaruklah! Kalau nak cari pengganti, tak payahlah kau nak berbaik hati menabur jasa kepada aku. Pengganti pun sudah datang menyerah diri, kalau aku berkehendak,”jawab Dayana perlahan. Selama ini memang dia merahsiakan perhubungannya dengan Ikhwan daripada pengetahuan sepupunya itu.
“Bagus! Kalau begitu esok kau keluar dari rumah ni, Yana. Cari rumah sewa lain buat sementara! Aku tak boleh duduk serumah dengan kau lagi buat masa ini!”beritahu Saerah dengan nada tegang sambil bercekak pinggang.
“Tengok muka kau pun darah aku boleh mendidih,” sambungnya lagi dengan nada yang menyakitkan hati. Mukanya masam mencuka.
“Esok memang aku nak balik kampung pun! Aku akan balik ke kampung buat selamanya! Janganlah kau susah hati, Saerah,”beritahu Dayana dengan suara kendur. Namun, hatinya begitu tergores dengan perlakuan dan tindakan Saerah.
“Aku harap, sepeninggalan aku nanti, perhubungan kau dan Ramzan akan kembali seperti sediakala,” beritahu Dayana. Nada suaranya direndahkan selagi terdaya.
“Janganlah kita berpatah arang berkerat rotan kerana hal ini!”sambungnya sambil menundukkan wajahnya. Amatlah singkat pemikiran seseorang gadis itu jika bermusuhan kerana seorang lelaki!
‘Kita ni sepupu! Tak baik bergaduh. Bermusuhan,” jelasnya lagi sambil memandang wajah Saerah yang masih mencuka.
“Bukan mudah lelaki lain dapat menggantikan tempat Akif di hatiku,”bisik Dayana perlahan dan mengharap bisikannya itu didengari oleh Saerah. Walaupun kini Ikhwan semakin akrab dan terus mendambakannya, namun cintanya kepada Akif tidak mungkin akan lenyap dengan begitu mudah.
“Itu urusan kaulah, Yana!  Kalau kau nak jadi anak dara tua pun, ada aku kisah? Yang aku kisah jika Ramzan tu jadi mabuk, tergila-gilakan kau! Berkerat rotan berputus arang pun aku sanggup!” sindir Saerah lagi dengan nada angkuh.
“Saerah, memutuskan silaturahim tu, menjauhkan diri dari syurga tahu tak?”tukas Dayana dengan nada perlahan sambil menjeling Saerah.‘Mengapalah akal Saerah ni suntuk sangat? Kerana hal lelaki pun sanggup memutuskan silaraturahim?’gerutu hatinya.
Saerah berpura-pura merenung ke arah lain sambil mencari kata-kata yang bakal diungkap oleh bibirnya untuk menyakitkan hati sepupunya itu.

“Biarlah,kalau semua orang nak masuk syurga.”
Akhirnya kata-kata Saerah tersangkut di situ. Dia terkenangkan leteran ayahnya tentang kata-kata yang tidak dihabiskannya tadi. Neraka itu bukanlah tempat untuk diimpikan. Bahkan sepatutnya, mendengar perkataan neraka sahaja hati seorang hamba ALLAH telah berasa gerun dan gementar kerana takutkan azab dan pedih siksaannya yang tidak pernah dijangka oleh akal.
“Suka hati kaulah, Saerah! Aku nak kemaskan kain baju aku,”beritahu Dayana sambil meninggalkan Saerah seorang diri di ruang tamu. Jika boleh pada malam itu juga dia ingin bertolak balik ke kampung. Tergores benar hati dan perasaannya dengan kata-kata Saerah tadi.Sebaik masuk ke biliknya, Dayana terus menghumbankan tubuhnya ke atas tilam. Tidak dapat ditahan lagi asakan pilu di hatinya lalu dia menyembamkan mukanya ke bantal cuba menyembunyikan tangisannya. Hanya tubuhnya yang bergegaran menahan esakan.
‘Ya ALLAH, kuatkanlah hatiku ini. Jangan dirapuhkan oleh segala ujian dan dugaan,”rintihnya dalam tangisan. Tidak tersedar matanya terlelap di dalam keadaan dirinya yang meniarap. Isyarat mesej yang kedengaran dari telefon bimbit yang terletak di tepi telinganya  mengejutkan Dayana dinihari itu.
Assalamualaikum, sayang.
Dengan matanya yang separuh celik, Dayana mengamati tulisan yang terpapar di skrin telefonnya. Kebelakangan ini Ikhwan sering menghubunginya. Kerap memanggilnya‘sayang’, terubat juga rasa sepi yang sedang melingkari hatinya. Namun tidak mungkin menyisih pergi.
Waalaikumussalam.
Jawabnya sepatah. Setelah itu telefon bimbit diletaknya kembali di bawah bantal. Tidur yang terganggu ingin disambung semula.Tidak sampai 10 saat isyarat mesej kedengaran lagi. Dayana mengeluh kerana rasa terganggu namun untuk membiarkan SMS itu dia tidak tergamak.
Tengah hari esok, kita makan tengah hari sama-sama. Ikhwan datang jemput Yana di tempat kerja. Boleh, sayang?
‘Tolonglah, Ikhwan! Jangan buat Yana begini!’.
Hatinya seolah menjerit. Perhatian berat dan kasih sayang yang dipamerkan oleh pemuda itu terhadapnya kebelakangan ini menakutkannya. Bimbang hatinya akan tertewas sedangkan dia tahu perhubungan mereka sudah ada sempadannya. Tambahan pula seluruh cintanya telah diserahkan kepada Akif.
Maaf Ikhwan! Yana dah berhenti kerja. Pagi esok juga Yana akan balik kampung.
Balasnya.
Respons kepada SMSnya itu ialah irama dering telefonnya yang menjerit tidak berapa saat selepas itu. Nama Ikhwan terpapar di skrin. Dengan gaya malas Dayana menekan butang hijau di dada telefonnya.
“Assalamualaikum Yana,” sapa Ikhwan sebaik sahaja mendengar suara gadis itu mengucapkan ‘helo.’ “Waalaikumussalam,” jawab Dayana perlahan dengan suara serak. Sisa esakannya kedengaran halus.
“Yana, kenapa tiba-tiba hendak berhenti kerja dan balik kampung ni?”soal Ikhwan seolah berbisik. Dayana terkelu seketika. Tidak semena-mena dia menangis teresak kerana dengan tiba-tiba dia teringat kepada kata-kata nista yang dilemparkan oleh Saerah kepadanya tadi.
“Yana...” Romantis suara Ikhwan menyeru namanya di kala itu semakin meluluhkan hati kecil gadis itu. Esakannya semakin lebat. “Yana... kenapa ni, hmm?”tanya Ikhwan lagi.
“Ikhwan,”rengek Dayana sambil berhamburan airmata setelah itu dia seolah-olahkehilangan kata-kata.
“Yana, sebenarnya Ikhwan ada di depan rumah Yana ni,”beritahu lelaki itu pula. Sedu-sedan Dayana semakin kuat.
“Macam mana Ikhwan boleh berada di depan rumah Yana pulak?”tanya Dayana dalam esakan. Lelaki itu selalu hadir di saat dia di dalam kedukaan.Jam di kepala katil menunjukkan waktu 1.20 pagi.
“Ikhwan baru balik bertemu dengan kawan. Sebetulnya selepas Isyak tadi, Ikhwan memang nak datang ke sini. Baru aje Ikhwan nak keluar dari rumah, kawan pulak datang. Kami pergi makan dulu,leka berborak,” cerita Ikhwan. Dayana diam lagi.
“Yana, kita pergi ke mana-mana. Lepas tu Yana boleh ceritakan apa masalah yang sedang melanda hati sehingga menyebabkan Yana bersedih begini,”pujuk Ikhwan. Dayana masih berdiam. Permintaan Ikhwan menyebarkan resah di hatinya. Sememangnya dia sedang kegelisahan.
“Yana...”suara Ikhwan yang memanggilnya lembut seolah-olah memujuk dan mengharap.“Jangan dibiarkan diri keseorangan sewaktu hati didatangi kesedihan. Nanti kelaraan yang hadir bertandang.”
Suara Ikhwan yang memanggilnya lembut seolah memujuk dan mengharap. Dayana serba salah.
“Kita dah berkawan lama,Yana. Apa salahnya kita terus berbagi rasa, berkongsi duka macam dulu-dulu?”Kalimah yang diungkapkan oleh Ikhwan terus memerangkap perasaan Dayana.
Memang sejak zaman persekolahan lagi pemuda itulah tempat dia bercerita segala-galanya. Sehinggalah Akif muncul di dalam kehidupan mereka.
Jomlah kita keluar. Yana ceritakan apa masalah yang sedang mengusutkan fikiran. Insya-ALLAH, Ikhwan cuba uraikan segala keserabutan itu.”Lirih suara Ikhwan  memujuknya.
“Jomlah,malam kelmarin kita tidak puas bercerita,”rayu Ikhwan dengan suara lunak.

Tiada ulasan: