Lolongan anjing menggamatkan suasana malam yang sepatutnya hening dan damai. Perlahan-lahan
tapak kaki diatur di sepanjang jalan yang kadangkala berlopak kecil jika aspal
jalannya yang nipis telah pecah. Sesekali dia bertembung dengan pejalan kaki
yang lain. Wajah-wajah yang asing dengan dirinya. Kebanyakan mereka berkulit
putih kemerahan dan bermata sepet. Namun, ramai juga yang tidak lagi mewarisi
genetik bermata sepet itu kerana perkahwinan campur. Ramai yang sudah berhidung
mancung dan bermata besar.
Fikirannya
menjelajahi ingatan dan kenangan. Nur Aiman Zumaiah Wong, wanita yang telah
halal menjadi isterinya itu bermata bundar. Memang tidak ketara kecinaannya. Apatah
lagi jika berbusana muslimah warna hijau, maroon atau biji kundang. Semakin terserlah
keseriannya. Bayi lelaki yang dilahirkannya juga mirip bayi Melayu. Oh! Akif
hampir terlupa. ‘Bukankah Nur Aiman telah diperkosa oleh teman lelakinya yang
berbangsa Melayu? Lelaki Islam?’ bisik hati Akif. Dia mengeluh seketika.
Nasib yang dilalui oleh Nur Aiman begitu menyedihkan, sama
seperti Rosnani. Rosnani yang hampir diperkosa enggan membuat laporan polis. Nur
Aiman yang diperkosa sehingga mengandung juga enggan membuat laporan polis. ‘Mengapakah
mereka tidak mahu menuntut keadilan untuk diri sendiri dan membiarkan
lelaki-lelaki yang zalim itu hidup bebas?’ soal hati Akif.
Wajahnya didongakkan supaya matanya dapat mengitari
langit yang luas terbentang. Hatinya terus mengenang keluarga di kampung. Emak.
Ayah. Rais. Nisah. Dan yang paling tidak dapat dilupakan, Dayana.
Dengan tiba-tiba perasaannya menjadi sebak. ‘Yana, Akif
korbankan diri Akif, cinta kita, kerana ALLAH. Kita adalah milik-NYA. Kita tidak
mampu menepis segala perencanaan yang telah ditentukan oleh-NYA kepada kita. Walau
pahit, kita terpaksa menelannya jua.Mungkin di sebalik kepahitan, tersembunyi
hikmah semanis madu dari syurga di kemudian hari nanti.’Hati kecilnya berbicara
sendiri.
Akif terus mengimbau kenangan silam sewaktu bersama
Dayana. Perasaan hatinya seolah dihiris-hiris. Bisanya seakan menjalar ke seluruh
urat dan nadinya. Tidak tersedar langkah kakinya sudah sampai ke depan rumahnya.
Suasana hadapan rumah sewanya hanya disuluhi oleh cahaya bulan sabit. Di dalam
rumah pun nampak gelap. Hanya lampu di
dalam bilik tidur sahaja yang bernyala. Akif membuka kunci pintu sambil
meraba-raba lubang kunci di daun pintu.
‘Agaknya Aiman dah tidur,’kata hatinya sambil menolak
daun pintu.
Hidungnya terhidu bau asap rokok dan bau yang asing di
rumah itu. Kaki Akif terus melangkah memasuki rumah. Sampai di ruang tamu Akif
memetik suis di dinding. Ruang tamu terang-benderang. Bola matanya singgah di
atas meja kopi. Ada sebuah kotak. Entah apa isinya,Akif tidak mahu ambil peduli.
“Assalamualaikum, Aiman!”kata Akif lalu menolak daun
pintu bilik. Nur Aiman bangun lalu duduk di atas tilam. Dia terpisat-pisat
sambil menggenyeh-genyeh matanya.
“Maaf, Akif balik lambat. Akif pergi cari ni,” beritahu
Akif sambil duduk di hadapan Nur Aiman. Sebuah kotak comel dihulurkan kepada
isterinya itu. Nur Aiman menyambutnya lambat-lambat. Matanya yang basah kerana
airmata menatap wajah Akif yang lesu.
“Itu saja yang tinggal, Aiman! Susah nak cari yang halal
di sini,” sambung Akif lagi. Nur Aiman terus membuka kotak itu dengan dada berdebar penuh tanda tanya.
“Aiman,selamat hari lahir,” ucap Akif sebaik sahaja
dipastikannya Nur Aiman telah melihat isi di dalam kotak itu. Kalbu Nur Aiman
tiba-tiba meruntun.
Di dalam kotak, hanya terdapat sepotong kek coklat moistsebesar dua jari. Dia teringat kek
coklat yang dibawa oleh Steven tadi. Sejak tadi dia sudah berniat, pagi esok, kek
itu akan menghuni tong sampah besar di belakang rumah. Nur Aiman mengusap dada
menahan pilu.
“Maaf, hanya sepotong kek,”kata Akif menahan sebak. Saat
dia melihat kek itu ingatannya melayang kepada Dayana. Tunangannya yang pandai
membuat kek coklat.
‘Akif...”bisik Nur Aiman dengan suara bergetar. Tangan
Akif terus disambar dan dikucup. Dinihari itu tiba-tiba Nur Aiman meraung.
DERU enjin motosikal yang memekak di subuh
hari menjagakan Dayana. Cepat-cepat dia membuka matanya sambil merungut sewaktu
menguap luas.
“Ya ALLAH,siapalah yang merempit subuh-subuh ni? Orang
nak tidur pun tak senang!”gerutunya perlahan.
Matanya dipejam semula sambil menghidu-hidu. Mula-mula
dia menghidu kain selimut yang membungkusi tubuhnya. Ada bauan yang sangat asing.
Setelah itu dia meraba-raba bantal pelapik kepalanya pula. Dayana terlompat di
tempat tidurnya dan serta-merta bangun terus duduk bersila di atas tilam.
“Ya ALLAH! Aku tidur di mana ni?”soalnya sendiri dengan
perasaan cemas. Matanya mengitari bilik yang luas dan dan bola matanya singgah
pada sekeping foto yang berbingkaidi atas meja tulis.
“Ikhwan...”bisiknya.
Baru dia teringat yang semalam dia terpaksa membatalkan
niatnya untuk balik ke rumah sewanya. Ikhwan yang tidur mati dengan muka pucat,
mustahil ditinggalkan begitu sahaja.
“Tapi semalam aku tidur atas lantai,” rungutnya sendiri penuh
tandatanya. Belum sempat kotak fikirnya terselongkar mencari jawapan, telefon
bimbitnya memberi isyarat mesej.
Salam, Yana. Ikhwan pergi solat kat masjid tak jauh dari
rumah. Yana kalau nak solat, kain telekung ada dalam almari. Ikhwan memang beli
untuk emak. Tunggu Ikhwan. Ikhwan hantar Yana balik.
Belum sempat membalasnya. Satu lagi SMS diterima.
Maaf, tadi Ikhwan angkat Yana dari ruang tamu ke atas
katil. Ikhwan tak tergamak tengok dan biarkan Yana tidur meringkuk di atas
lantai, kesejukan.
Dayana memicit dahinya yang tiba-tiba terasa bengang. ‘Ya
ALLAH, apa yang sedang berlaku ini? Ikhwan,mengapa kembali kepada Yana?Mengapa
berbuat baik kepada Yana lagi? Yana takut... tolonglah!’tangis hatinya.
Kalaulah cinta Ikhwan terhadapnya masih menyala. Kalaulah
harapan lelaki itu terhadapnya masih menggunung dan tidak berhujung,apa yang
mesti dilakukannya? Hati ini milik siapa sebenarnya? Tercipta untuk siapa?’ Soalan
yang datang ke benaknya berbondong-bondong. Batinnya bermonolog sendiri sambil
mencari telekung yang dikatakan di dalam almari pakaian. Telekung yang berwarna
putih itu tergantung di antara baju-baju kemeja Ikhwan.
Jam menujukkan angka 6.50 pagi. Dayana cepat-cepat menuju
ke bilik air untuk mengambil wuduk.
“Alhamdulillah,” bisiknya sebaik sahaja selesai solatnya.
Setelah itu dia menadah tangan untuk berdoa ke hadrat ILAHI. Sebagaimana biasa
dia mendoakan kesejahteraan Akif dengan penuh syahdu. Dengan derai airmata.
PANDANGAN Ikhwan terus terlontar ke pintu bilik tidurnya
sebaik sahaja dia naik ke tingkat atas rumah inapannya. Suasana masih
diselubungi sunyi. Dari celah daun pintu yang sedikit renggang, Ikhwan melihat
Dayana masih di atas sejadah.
“Assalamualaikum, Yana,”sapa Ikhwan.
Dayana terkejut lantas menoleh. Entah bila waktunya
Ikhwan memasuki bilik itu. Dia pun tidak sedar. Dayana mendongak melihat lelaki itu. Degup dadanya
tiba-tiba bergemuruh. Matanya yang basah dengan airmata menjadi ratahan mata
tajam Ikhwan yang berdiri dalam jarak empat langkah dengannya. Ikhwan yang
berbaju Melayu biru serta berkain pelikat dan masih bersongkok begitu
mendebarkan hatinya pada saat itu. Dayana bangun berdiri perlahan-lahan.
“Bi...bi... bila Ikhwan balik dari masjid?”soalnya
tergagap. Ikhwan tidak menjawab sebaliknya terus menatapnya dengan mata tidak
berkedip.
“Kenapa Yana menangis?”Pertanyaan Dayana tidak mendapat
jawapan. Sebaliknya Ikhwan menyoalnya pula. Bibir Dayana seakan terkunci. Debaran
yang menghentam jiwanya menggoyahkan lututnya. Tubuhnya tiba-tiba gementar.
“Yana...”panggil Ikhwan dengan suara bergetar dan
perlahan. Dia terus merapati Dayana yang terpaku memandangnya. Lembut senyuman
lelaki itu membelai hatinya.
Ikhwan tidak mengerti mengapa perasaannya seolah-olah gementar
saat itu. Di saat mereka berduaan begitu di dalam sebuah kamar yang hening dan
menyepi. Dayana yang masih bertelekung dengan seraut wajahnya yang lembut dan
tenang begitu memukau. Apatah lagi apabila melihat wajah tenang itu dilimpahi
airmata. Perasaannya begitu tersentuh. Ingin sahaja dia mendakap tubuh itu. Memujuknya
dengan seluruh kasih sayang. Melepaskan segala kerinduan yang selama ini
terpendam.
“Kenapa Yana bersedih ni?”soal Ikhwan penuh kasih sayang.
Matanya merenung lembut ke arah gadis itu. Mengharapkan seuntai bicara.
‘Ikhwann... Yana...Yana..”Tidak terungkapkan walau
sepatah kata pun dari bibirnya apabila pandangan mata mereka terus bertaut. Renungan
mata Ikhwan yang tepat ke dalam anak matanya seolah-olah menggumpalkan seluruh
perasaan yang sedang berserabut. Aduhai, hati janganlah terkulai. Rebah dalam
tawanan cintanya.
Subuh itu celik sahaja matanya, Haiqal menangistidak
berhenti. Akif yang tidur di bilik berasingan segera meluru ke bilik isterinya.
Cepat-cepat dia mengangkat Haiqal lantas mendukung anak itu. Namun, tangisan
Haiqal tidak juga reda. Akif terus membelai serta mengusap belakang leher
Haiqal yang berada di atas dukungannya. Tiba-tiba usapan jarinya di belakang
leher Haiqal terhenti. Matanya terpaku kepada leher bayi itu. Nur Aiman yang
kelihatan sembab wajahnya kerana kesan menangis turut memujuk anaknya itu.
“Astaghfirullahalazim! Aiman! Siapa yang cucuh rokok di
leher Haiqal ni?ALLAHUAKBAR!Kasihan budak ni!”kata Akif dengan nada terkejut
lantas menunjukkan bekas cucuhan rokok itu kepada Nur Aiman. Walaupun kesannya
tidak besar, namun sudah tentu ianya amat menyakitkan bayi yang tidak mengerti
apa-apa itu. Nur Aiman tiba-tiba tersedu. Gementar tubuhnya pada saat itu hanya
TUHAN yang tahu.
“Aiman, siapa yang datang ke rumah ni sewaktu Akif tak
ada?” soal Akif dengan suara yang agak kuat.
Nur Aiman tersentak. Pertama kali dia mendengar Akif
bersuara kuat seperti itu. Akif meletakkan kembali Haiqal di atas tilam. Renungannya
tajam ke wajah isterinya itu dan menanti bibir Nur Aiman melontarkan kata-kata
untuk menjawab soalannya. Namun, hampa. Mata
Nur Aiman menatap wajah Akif. Hatinya terus dijerut rasa takut. Mereka beradu
pandangan beberapa ketika sehingga kolam mata Nur Aiman memerah dan memecahkan airmata.
“Siapa yang datang?”ulang Akif dengan nada marah kerana
isterinya menguncikan mulut dan tidak mengendahkan soalannya. Sudahlah Haiqal
masih melalak tidak berhenti, Akif tiba-tiba hilang sabar.
“Apa yang dia
telah lakukan kepada Aiman? Kepada Haiqal?” soal Akif lagi dengan suara kuat
dan menengking. Melihat kecederaan pada bayi itu menyebabkan kesabarannya
tercarik. Tanpa disedari, nada suaranya juga meninggi. Tidak pernah dia
bersuara seperti itu selama berkahwin dengan wanita muda itu. Dulu-dulu sewaktu
dia memarahi Nisah adiknya pun,suaranya tidak sekuat itu.
“Semalam masuk ke
dalam rumah aje, Akif terhidu bau asap rokok! Siapa yang datang?”soal Akif lagi
mula meradang apabila Nur Aiman masih membisu.
“Jawab pertanyaan Akif!”
Nur Aiman terus menangis teresak. Dia rasa tertekan
dengan situasi itu. Akif telah memarahinya. Tidak pernah Akif melayaninya
dengan kasar selama mereka menjadi suami isteri.
Mungkin benar kata Steven. Akif memang membencinya. Tidak
mungkin akan mencintainya. Tidak pernah menyayanginya. Bisikan-bisikan hatinya
terus mengasak fikiran. Sedu sedan Nur Aiman semakin kuat.
“Aiman, Aiman tu
isteri Akif. Haiqal tu anak kita! Akif tak mahu terjadi sesuatu yang buruk
kepada Aiman, kepada Haiqal. Lagipun, haram hukumnya membenarkan orang lain
memasuki rumah sewaktu ketiadaan suami, tanpa izin suami,” nasihat Akif dengan
suara mengendur.
Dia rasa menyesal pula kerana telah berkasar dengan
isterinya itu di awal pagi. Tambahan pula apabila melihat Nur Aiman menangis
kerana mendengar suaranya yang agak kuat daripada biasa.
“Tambahan pula
dalam keadaan Aiman membuka aurat begitu.”
Bebelan Akif terhenti. Bola matanya singgah ke batang
tubuh isterinya. Nur Aiman yang berbaju tidur nipis berwarna kuning air separas
lutut. Nur Aiman terus menangis. Akif merapati Nur Aiman dan ingin mengusap
dagu Nur Aiman untuk memujuk wanita itu. Namun, belum sempat jarinya menyentuh
dagu isterinya itu, Akif menarik tangannya semula. Dia terasa kekok dan janggal.
“Takkan Steven pun tak boleh masuk ke dalam rumah ini? Dia
sepupu Aiman. Anak paklong yang telah banyak menolong kita,”jawab Nur Aiman
sambil menangis cuba mempertahankan diri.
Saat itu batinnya mula berasa tidak senang. Rungsing dan
bosan. Hatinya mula termakan kata-kata yang diungkapkan oleh Steven semalam.
“Aiman bukan duduk dalam penjara,”sambungnya lagi sambil
tersedu-sedan. Tersentak Akif mendengar kata-kata yang terlontar oleh bibir
isterinya. Nampak macam dia memenjarakan wanita itu dengan kejam dan tidak
boleh bertemu dengan sesiapa juga.
“Aiman, semua ini perintah TUHAN. Tujuannya untuk menjaga
keselamatan dan kehormatan seorang isteri,” sambung Akif lagi dengan suara
memujuk.
“Akif tak mahu terjadi sesuatu yang buruk kepada isteri Akif.
Aiman fahamkan?”pujuk Akif terus menyuburkan kesabaran. Matanya merenung Nur
Aiman yang menundukkan wajahnya memandang anaknya yang sudah berhenti menangis.
Nur Aiman terus membisu. Hatinya rasa rungsing dan bosan! Dia rasa ingin lari!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan