Isnin, 12 Oktober 2015

Cinta Tak Pernah Usai - Bab 30



SEBUAH kereta Toyota Camry berwarna silver metalik berhenti di hadapan apartmen yang didiami oleh Dayana dan Saerah. Dia yang menunggu di situ hampir sepuluh minit tidak menghiraukan kehadiran kereta itu yang nampaknya sedang menunggu seseorang juga.
Dayana terus tertinjau-tinjau ke arah jalan raya mengharapkan kemunculan kereta kancil berwarna pinang masak. Minit demi minit berlalu menyebabkan hatinya ditambat resah. Malam yang semakin pekat menyebabkan dia tidak betah berada di situ. Matanya merenung ke arah kereta Toyota Camry yang sedang berundur mendekatinya perlahan-lahan namun dia tidak mengendahkannya.
“Mana Ikhwan ni?”gerutu hatinya. Baru dia bercadang menelefon, lampu di telefon bimbitnya berkelip-kelip.
Tunggu putera raja datang jemput dengan jet ke?
SMS daripada Ikhwan menyebabkan Dayana ketawa sendiri. Dibiarkannya SMS itu tidak berjawab. Dia menyimpan kembali telefon bimbitnya dan berniat akan menelefon Ikhwan lima minit lagi.
Pintu kereta Toyota Camry yang berhenti betul-betul disisinya ternganga tiba-tiba menyebabkan Dayana terkejut hampir melatah. Irama lagu ‘Still Loving You’ nyanyian Kumpulan Scorpion berkumandang perlahan.
“Yana, masuklah,”pelawa seorang lelaki yang tidak begitu dikenali lagi. Dayana menjenguk ke dalam kereta sejenak. Berderau darahnya apabila mereka bertemu mata. Debaran dadanya seolah meluruhkan seluruh tubuhnya.
“Ikhwan!”pekiknya. Faham dengan gurauan Ikhwan. Detakan jantungnya tiba-tiba melaju.
“Masuklah...”pelawa Ikhwan sekali lagi sambil melambakkan tawanya. Wajah Dayana ditatapnya sekilas. Terubat rindunya sedetik.
“Sampai hati mainkan Yana. Naik juling mata Yana melihat Kancil lalu lalang kat depan ni,” tukas Dayana. Keriangan terpancar di matanya kerana dapat bertemu teman lama.
“Kancil dah kena tembak!”gurau Ikhwan dengan tawanya yang masih meleret.
Ikhwan ni saja nak kenakan Yana, tau!”tempelak Dayana.
Tanpa sedar, tangannya menampar manja lengan pemuda itu sebaik sahaja duduk di tempat duduk penumpang. Ikhwan sempat menangkap tangannya seketika sebelum Dayana cepat-cepat menarik tangannya semula. Dia tersipu kerana terlepas laku macam di zaman kanak-kanak mereka.
Err... maaf!” Terpacul kata-kata itu daripada mulutnya. Pipinya terasa hangat. Kemesraan mereka di zaman kanak-kanak menyebabkan dia terlupa untuk menjaga kelakuannya.

“Alah, dah lama tak bergurau dengan Yana. Dah rindu nak tengok Yana marah-marah manja.Hee... he...” usik Ikhwan lagi.
“Mesti Ikhwan asyik perhati gerak-geri Yana dari dalam kereta tadi,” rungut Dayana dengan nada geram.
Dia malu sendiri apabila mengenangkan gerak-gerinya sewaktu menunggu di tepi jalan itu tadi. Sekejap bercekak pinggang sambil berjalan ke hulu dan ke hilir. Sekejap berdiri terjengket-jengket dan tertinjau-tinjau.
“Apa salahnya tengok aksi-aksi Yana yang mengalahkan model tu, bukannya selalu.”Gurauan Ikhwan belum lagi reda. Dayana menjawabnya lalu ketawa.
“Terima kasih kerana sudi terima pelawaan Ikhwan,” ucap Ikhwan sambil menggerakkan kereta perlahan-lahan. Cuaca pada malam minggu itu amat cerah dan indah. Rembulan penuh. Langit ditaburi bintang.
“Dah lama kita tak jumpa,” sambungnya perlahan.
Dayana hanya mampu senyum. Kali terakhir mereka bertemu ialah sewaktu pemuda itu menyelamatkannya sewaktu dia dipatuk ular. Pada waktu itu dia pula pengsan.
Setelah pertemuan terakhir ditengah bendang pada hari itu, Ikhwan balik ke London dan tidak pernah pulang bercuti. Dia sempat menghantar kad undangan perkahwinannya dengan Akif kepada pemuda itu. Namun selepas kehilangan Akif, dia menyepikan diri daripada Ikhwan. Kalau boleh dia ingin menyepikan dirinya dari dunia ini juga.
“Yana sihat?”tanya Ikhwan sambil melirik pada gadis itu seketika. Tubuh Dayana nampak kurus tetapi pipinya tetap gebu berisi. Senyumannya masih lagi manis seperti dulu.
“Alhamdulillah, seperti yang Ikhwan lihatlah,” jawab Dayana bersahaja.
“Yang dilihat batang tubuh aje. Yana tetap cantik dan manis macam dulu. Gerak-geri tetap lemah lembut dan memikat hati,” balas Ikhwan. Lirikan matanya menyinggahi gadis itu yang tersipu dengan pujiannya.
“Alaa... Ikhwan suka sangat memuji,” ujar Dayana sambil menoleh kepada pemuda itu. Kemesraan dan keramahan Ikhwan tetap segar macam dulu.
“Ikhwan macam mana pulak? Sihat?”tanya Dayana sambil menoleh kepada Ikhwan. Pemuda itu sepi seketika.
“Tengok tu, orang tanya tak nak jawab,”ujar Dayana seolah merajuk. Dia menjeling kepada Ikhwan seketika selepas itu terus merenung ke arah depan.
Sayangtanya apa?”tanya Ikhwan pula.
“Malas nak ulang soalan,”jawab Dayana sambil ketawa. Hatinya bagai tergeletek dengan lamunan pemuda itu. Terusik dengan panggilan ‘sayang.’Ingatannya terlontar kepada Akif dan perasaannya serta-merta menjadi sayu.
“Tengok tu,”tegur Ikhwan sambil merenung sekilas. Dayana ketawa lagi. Kesayuan dihatinya bertebaran pergi.
Yana tanya, Ikhwan sihat tak?”pekik Dayana sengaja untuk berseloroh.
“Oh! Ikhwan sihat,alhamdulillah! Tambahan pula apabila dapat bertemu dengan Yana semula. Hmm...kalau sakit pun, rasa boleh bertahan untuk hidup 1000 tahun lagi,”jawabnya panjang lebar.
“Ikhwan...” panggil Dayana perlahan. Hatinya ingin bertanya. Namun, gelora di dalam jiwa belum dapat diterjemahkan dengan kata-kata.
“Kenapa, Yana?”Ikhwan menoleh lalu senyum. Sesekali dia merenung cermin sisi.


“Ikhwan keluar dengan Yana ni tak ada orang marah ke?”Terlontar juga pertanyaan yang terbuku di hatinya sejak tadi.
“Mestilah ada,”jawab Ikhwan bersahaja. Bibirnya menguntum senyuman penuh makna.
“Habis tu?”Tergantung-gantung ungkapan Dayana. Perasaannya mula tidak tentu arah.
“Habis tu, apa?”tanya Ikhwan sambil berhenti di lampu isyarat yang menyala merah.
Tak apa ke kita keluar berduaan begini?”tanya Dayana lurus. Soalannya hanya dijawab dengan tawa oleh pemuda itu.
“Ikhwan nak bawa siapa lagi, Yana?”Melirih suara Ikhwan. Dia sudah dapat meneka apa yang sedang difikirkan oleh gadis yang sedang duduk disisinya itu.
“Tadi, Ikhwan nak bawa pakcik guard yang berkawal di pintu masuk ke kawasan perumahan tempat Ikhwan tinggal tu, kesian pulak kat isteri dia kena tinggal malam-malam ni!”usik Ikhwan sambil ketawa.
“Alaa...Ikhwan ni pura-pura tak faham. Maksud Yana, bawalah kekasih hati sama-sama tadi. Supaya dia tak cemburu dan marah,” balas Dayana selamba.
“Tak! Bukan Ikhwan tak faham segala kata-kata Yana, tapi memang tak ada gadis yang sudi berkasih dengan kita.” Jawapannya seolah berjauh hati entah dengan siapa.
Berjauh hati pulak!”sindir Dayana manja sambil menjeling. Ikhwan yang sedang memegang stereng dengan hanya sebelah tangan memandu dengan tenang.
“Yana, seluruh daerah hati Ikhwan memang untuk...”ungkapan kata-kata Ikhwan terhenti. Dengan tiba-tiba dia mengaduh perlahan, namun suaranya yang mengaduh tenggelam oleh bunyi hon kereta di belakangnya.
Habis tu tadi Ikhwan kata ada orang marah,”balas Dayana seolah merajuk. Alangkah sesal rasa hatinya jika menyebabkan punca pergaduhan antara Ikhwan dengan seseorang.
Membawa anak gadis orang malam-malam ni tanpa ditemani sesiapa. Yana agak siapa yang akan marah?” putar Ikhwan pula. Mustahil Dayana tidak memahami maksud kata-katanya.
“TUHANlah marah,”jawab Dayana seolah merungut.
Ikhwan hanya senyum sambil mengerut dahi. Sekali lagi dia menekan-nekan dahinya.‘Aduh!’rintihnya perlahan. Kepalanya tiba-tiba pula terasa sakit. Ikhwan terdiam agak lama kerana melayan rasa sakitnya itu. Dayana yang terus memerhati ke arah hadapannya turut menyepi. Dia menoleh kearah Ikhwan apabila lelaki itu menyalakan lampu signal ke kiri dan memberhentikan keretanya di tepi jalan dengan mengejut.
“Ikhwan!Kenappp?”Tidak sempat pertanyaan dilontarkan ke deria pendengaran pemuda itu, Ikhwan telah membuka pintu kereta serta-merta sebaik sahaja kereta berhenti. Dia membongkok menghulurkan kepalanya keluar kereta lalu termuntah-muntah beberapa kali.
“Astaghfirullahalazim! Kenapa dengan Ikhwan nii?”Getus hati Dayana dengan perasaan cemas. Cepat-cepat tangannya menggosok-gosok belakang pemuda itu,cuba meredakannya. Hembusan nafas Ikhwan agak kuat di pendengarannya.
“Ikhwan...kenapa ni?”soalnya bimbang dan cemas.
Ikhwan tidak muntah lagi tetapi telah tersandar di tempat duduk pemandu sambil memejamkan mata dan memicit-micit kepalanya. Dahinya berkerut sehingga kedua-dua keningnya hampir bercantum.


“Ikhwan...”panggil Dayana lagi cuba bertenang. Namun, perasaannya berombak resah. Tangannyamenggeletar sewaktu meraba-raba ke dalam begnya mencari botol air mineral dan minyak angin. Matanya tak lekang dari Ikhwan yang sedang memicit kepala sambil beristighfar berulangkali.
“Ikhwan sakit kepala,ya?”tebaknya sambil menghulurkan minyak angin ke tangan pemuda itu. Ikhwan mengangguk lesu.
“Nah,minum air ni dulu,”katanya sambil menghulurkan botol mineral yang sudah dibuka penutupnya. Ikhwan menyambut dan minum beberapa teguk.
Terima kasih, Yana. Mintak maaflah, tiba-tiba sakit kepala pulak,”kata Ikhwan, kesal.
“Tak apa,sakit dah nak datang, bukannya kita tahu,”balas Dayana lembut. Dia membuka penutup botol minyak angin pula dan menyerahkan botol itu kepada Ikhwan.
“Yana...”panggil Ikhwan lemah. Dayana merenung ke wajahnya. Ikhwan yang masih memegang dan memicit-micit dahinya.
“Yana boleh tolongIkhwan?”tanya Ikhwan. Dayana mengangguk.
“Tolong drive! Hantarkan Ikhwan balik ke rumah,”beritahu Ikhwan.
Dayana terpegun seketika. Mustahil dia sanggup menerima permintaan lelaki itu. Matanya sempat menjeling jam di dashboard. Angka jam digital menunjukkan waktu 10.45 malam.
Malam esoklah kita keluar lagi,” sambung Ikhwan dengan suara tidak bermaya. Memang dia tidak mampu untuk memandu pada saat itu.
“Tak apa, Ikhwan,”balas Dayana sambil merenung wajah Ikhwan dalam cahaya kelam itu. Perasaannya berbelah bagi.
“Tolong Ikhwan ya, Yana. Kalau kena sakit macam ni,pandangan mata Ikhwan jadi kabur,”jelas Ikhwan lembut. Dalam cahaya suram pandangan matanya penuh mengharap.
Tak apalah, Ikhwan. Biar Yana hantarkan,”setuju Dayana. Langsung keluar dari kereta untuk bertukar tempat duduk dengan Ikhwan.
“Terima kasih, Yana...” ucap Ikhwan sebaik sahaja duduk ditempat duduk penumpang. Belum sempat Dayana menggerakkan kereta, Ikhwan terpekik.
Yana,nanti!”pekik Ikhwan.
Sekali lagi pintu kereta dibuka dan Ikhwan memancutkan muntahnya berkali-kali. Mahu tak mahu Dayana terpaksa membantu dengan mengurut-ngurut belakang pemuda itu.
“Ya ALLAH, kenapa dengan Ikhwan ni?”tanya hatinya cemas. Perasaan simpatinya memuncak melihat Ikhwan tersandar di tempat duduk sambil menggosok-gosok dahinya berulangkali. Mahu tak mahu, dia terpaksa membantu melumur minyak angin ke dahi dan pangkal leher lelaki itu.
“Terima kasih, Yana,”beritahu Ikhwan lalu membetulkan tempat duduknya agar dia boleh berbaring dan memejamkan matanya.
Alamat rumah Ikhwan, Yana tak tau,”kata Dayana sambil merenung kepada Ikhwan yang sudah memejamkan matanya.
Tak apa.. nanti Ikhwan beritahu,”kata Ikhwan.
Ikhwan beritahu aje sekarang, biar Yana bawa kereta dan cari. Ikhwan baringlah,” pujukDayana.

“Yana cari kawasan perumahan Taman Seri Mahligai. Rumah nombor 117,” beritahu Ikhwan dengan suara serak dan lesu.
“Okey! Yana akan cari sampai jumpa! Ikhwan tidurlah dan berehat.Tapi sebelum tu, kunci rumah kat mana?”tanyanya.
Ikhwan meraba kocek seluarnya dan mengambil segugus kunci lalu menghulurkan kepada gadis itu. Dayana memandu perlahan-lahan sambil memerhatikan nama-nama jalan yang terlihat oleh matanya.
“Alhamdulillah,” getus hati Dayana apabila ternampak papan tanda yang menunjuk arah menuju ke Taman Seri Mahligai. Rupa-rupanya Ikhwan duduk tidak jauh dari apartmen sewaannya. Kira-kira 25km tetapi disebabkan dia tidak tahu jalannya, jarak 25km seolah menjadi 250km kerana terpaksa berpusing-pusing mencari jalan masuk menuju ke situ.
“Ikhwan…”kejutnya kepada Ikhwan yang tidur beria.
Ikhwan...”ulangnya lagi. Dia sudah turun dari kereta dan siap membuka kunci pintu rumah.
Kita dah sampai ke rumah ni,”beritahunya pula sambil menggoyang-goyangkan bahu lelaki itu perlahan-lahan. Ikhwan mencelikkan matanya.
Alhamdulillah,” bisik Ikhwan perlahan.
Terima kasih, Yana,”ucapnya lalu membuka pintu kereta. Rasa sakit kepalanya bagaikan meremukkan seluruh tengkorak kepalanya. Rasa itu amat menyeksakan. Dia ingin segera berbaring di atas katilnya.
“Ikhwan,”kata Dayana sambil melihat lelaki itu berjalan terhuyung-hayang menuju ke pintu rumahnya. Dia mengekori rapat di belakang.
Ikhwann...”Nasib baik Dayana sempat menyambar dan memegang tubuh lelaki itu, jika tidak dia sudah rebah ke atas simen.
“Tak  apa. Yana tolong hantar ke dalam rumah,”kata Dayana. Mahu tak mahu dia terpaksa memapah lelaki itu ke muka pintu.
“Terima kasih, Yana,”ucap Ikhwan terus merebahkan tubuhnya di atas sofa. Nafasnya mencungap-cungap.
Yanaaa! Tolong ambil ubat Ikhwan dalam peti sejuk,”suruh Ikhwan sambil mengeluh.
“Baik,” akur Dayana.
Tidak sampai dua minit dia muncul kembali di depan pemuda itu membawa bekas ubat yang dijumpai di dalam peti sejuk dan segelas air. Pucat muka Ikhwan menunjukkan yang dia memang di dalam kesakitan.
“Makanlah ubat!”gesanya. Sekali lagi dia merenung jam tangan di lengan kirinya. Hampir 12 tengah malam. Alamak! Ada ke teksi yang lalu di kawasan perumahan ni malam-malam begini? bisik hati Dayana.
“Terima kasih, Yana.”Perlahan suara Ikhwan sambil menghulurkan gelas yang sudah kosong ke tangan gadis itu. Empat biji pil sudah menjadi penghuni perutnya.
“Lepas hantar gelas ke dapur, Yana nak balik, ya! Yana balik dengan teksi,”beritahu Dayana terus beredar dari sisi Ikhwan belum sempat lelaki itu menjawab apa.
Ikhwan sudah berdengkur halus sebaik sahaja Dayana muncul kembali di ruang tamu. Wajah Ikhwan yang bersahaja nampak lesu dan pucat.
Ikhwann..”kejutnya perlahan.


Ikhwan langsung tidak tersedar. Tambatan resah di hati Dayana semakin mengikat kuat. Dia gelisah dan serba salah. Meninggalkan pemuda itu  bersendirian di dalam kesakitan, hatinya rasa tidak betah.

Tiada ulasan: