Isnin, 12 Oktober 2015

Cinta Tak Pernah Usai - Bab 29



DESIRAN angin malam seolah-olah membisikkan nyanyian rindu tanpa liriknya. Bintang-bintang bersinar terang nampak berkerdipan dari kejauhan yang kadangkala menjadi panduan kepada musafir yang dalam perjalanan. Demikianlah TUHAN menciptakan sesuatu pasti ada muslihat dan faedahnya kepada sekalian makhluk-NYA.
Ikhwan terus menyaksikan panorama malam itu sambil mengenangi kebesaran ALLAHMaha Pencipta. Perjalanan hidupnya yang bagaikan seorang musafir berkelana tanpa sesiapa menemaninya. Bibirnya tiba-tiba mengukir senyuman kelat sambil mengeluh berat. Tidak semena-mena bayangan wajah Dayana melintas di hadapan matanya.‘Yana,’bisik hatinya. Mungkin gadis itu juga sedang dilanda kesepian sama sepertinya. Kian lama hatinya diperangkap rindu. Hampir dua tahun mereka berpisah. Cintanya kepada gadis itu tidak pernah bernoktah.
Bagai ditarik-tarik, tangannya terus menekan punat-punat di telefon bimbit. Nombor telefon baru yang digunakan oleh Dayana baru diperolehinya sewaktu bertandang ke rumah keluarga gadis itu.
Assalamualaikum, Yana..”ucapnya riang sebaik sahaja Dayana menjawab panggilan telefonnya. Hati yang kesepian terus menjadi ceria.
“Waalaikumussalam,”jawab Dayana sambil menguap berkali-kali. Tersentak juga perasaannya apabila mendengar suara lelaki itu di hujung talian. Sudah lama dia tidak mendengar suara lelaki itu.
“Saya ganggu Yana tidur ke?”soal Ikhwan perlahan sambil melihat jam yang melingkari lengan kirinya.
“Hmm... tak! Tak!”nafi Dayana sambil menguap lagi. Ikhwan yang mendengarnya ketawa mengekek diikuti oleh Dayana.
“Yana mengantuk ni. Asyik menguap aje,”katanya cuba meneka.
“Yana sihat tak?”soalnya pula. Perhatian Ikhwan terhadap gadis itu memang tidak pernah selesai. Meskipun niatnya untuk menyunting gadis itu telah terlerai, perasaannya tidak pernah berkecai.
“Bulan lepas Ikhwan balik kampung. Sempat bertandang ke rumah mak Yana. Dia yang bagi nombor telefon ni,”cerita Ikhwan sebelum sempat Dayana menjawab pertanyaannya.
“Yana dah tau. Sebab mak ada telefon Yana. Dia ada ceritakan pada Yana, Ikhwan datang ke rumah,”beritahu Dayana pula.
“Jadi sekarang, Yana apa kabar? Sihat tak?”Pertanyaan yang belum mendapat jawapan diulangi kembali.“Alhamdulillah, seadanya,” jawab Dayana dalam nada sayu. Sejak kehilangan Akif hatinya dibelenggu sepi.
“Kenapa begitu pulakYana? Kedengaran macam berputus asa, aje! Walau apapun yang berlaku, kehidupan kita kena teruskan dengan ceria,”nasihat Ikhwan bersahaja.
Dayana tidak membalas kata-kata pemuda itu. Hatinya berasa tersentuh dengan keikhlasan Ikhwan terhadap dirinya. Walaupun cintanya telah ditolak, dia masih sudi untuk berhubung dan bertanya khabar.
“Yana, Ikhwan bersimpati dengan apa yang telah berlaku,”ungkap Ikhwan perlahan. Sangkanya, sekembalinya dia dari luar negara dia dapat mendengar perkhabaran gembira tentang gadis itu yang sudah bernikah dengan Akif. Manalah tahu jika mereka telah menimang cahaya mata. Namun, kisah tragis yang


didengarnya daripada Mak Bedah amat mengejutkan. Dayana tidak jadi berkahwin dengan Akif. Pemuda itu pula menghilang selang beberapa jam sahaja lagi majlis pernikahan akan diadakan.
“Ikhwan di mana ni? Di kampung atau...”sampuk Dayana cuba mengalihkan topik perbualan mereka. Janganlah disebut nama Akif pada saat itu, bimbang rasa sedih yang sudah terbenam meledak semula.
“Di Kuala Lumpur, sa... err... Yana..”pintas Ikhwan tersasul-sasul. Kian lama mereka tidak bertemu lidahnya sudah berasa rindu untuk memanggil ‘sayang’ buat gadis itu. Namun hatinya berasa janggal pula.
“Oh ya? Bila Ikhwan sampai ke sini? Ikhwan bercuti atau bekerja?”tanya Dayana, perlahan. Entah mengapa saat itu hatinya bergetaran. Ikhwan selalu hadir di saat dirinya di dalam kedukaan.
“Ikhwan dah banyak hari kat sini, Yana.Maaflah tak telefon Yana apabila sampai di Kuala Lumpur ni. Setiap saat hati teringat untuk telefon Yana, ada aje hal yang menghalang. Malam ni Ikhwan bertekad,mesti nak telefon jugak!”jelas Ikhwan dengan nada ceria. Segar suaranya walaupun suasana malam semakin menghimpit alam.
“Ikhwan datang ke Kuala Lumpur ni bekerja ke?”tanya Dayana lagi kerana pertanyaannya tadi tidak mendapat jawapan.“Insya-ALLAH, Ikhwan akan mula kerja minggu depan,”jawab Ikhwan tenang.
“Di mana?”soal Dayana lagi.
“Di Roda Emas Sendirian Berhad,”beritahu Ikhwan. Baru semalam dia pergi melapor diri di syarikat itu. Ikhwan mendengar bunyi Dayana menguap lagi.
“Tak apalah, Yana.Pergilah tidur dulu. Pagi esok Ikhwan telefon. Ikhwan pun telefon sewaktu orang sedang menganyam mimpi. Dah 3.00 pagi,he...he...” gurauIkhwan sambil ketawa.
“Nanti kita jumpa, ya! Dah lama kita tak bertemu. Lebih dua tahun,”katanya lagi.
Niat di hati bukan untuk mengulangi kembali perjalanan yang pernah dilalui suatu ketika dulu. Namun, sebagai seorang sahabat, musibah yang melanda Dayana mengundang nestapanya juga. Di saat ini apa salahnya dia berkongsi rasa dengan gadis yang masih bertakhta dihatinya itu. Hujung jarinya masih sudi untuk menyeka airmata. Bahunya sentiasa tersedia untuk dilimpahkan segala kesedihan yang sedang bertandang.
“Insya-ALLAH, Ikhwan, terima kasih ya, kerana sudi menghubungi Yana,”jawab Dayana.
“Assalamualaikum, sayangg! Pergilah tidur,”kata Ikhwan.
Suara Ikhwan yang membisik romantis di telinga mengocakkan tasik hati Dayana. Dadanya dipalu debaran yang irama dan temponya tidak keruan. Sejak kehilangan Akif hatinya begitu sepi. Kembalinya Ikhwan ke sisinya, akan terubatkah sepi itu?
“Yana, mengelamun ke mana tu?”usik Ikhwan apabila telinganya masih lagi mendengar hembusan nafas gadis itu.
“Ikhwan... Yana... Yana...”balas Dayana tergagap.
Saat itu hatinya berasa teramat sebak. Ingin rasanya melabuhkan kasih di kamar hati jejaka itu yang pernah terbuka untuknya, namun cintanya masih mengikat kuat kepada Akif. Walaupun dia telah kehilangan Akif lebih kurang dua tahun lamanya, cinta dan rindunya kepada lelaki itu belum pernah layu.
“Yana...”panggil Ikhwan dengan suaranya yang bergetar. Suara Dayana yang semakin perlahan dan sayu membuatkan hatinya pilu. Entah apa yang sedang berlagu di dalam hati gadis itu, dia tidak tahu. Namun, dia percaya yang Dayana sedang mengekang tangisannya daripada meledak.


“Yana nak minta maaf. Walaupun Yana pernah menolak cinta Ikhwan,tetapi Ikhwan tetap melayani Yana dengan baik.”Tangisan Dayana tidak dapat tertahan lagi. Dia terus teresak.
“Yana,”ujar Ikhwan. Bicaranya tersangkut di situ seolah kehilangan kata-kata. Jika dahulu cinta gadis itu gagal direbut untuk menjadi miliknya, mustahil pada hari esok dia akan gagal lagi. Setidak-tidaknya perhubungan mereka masih boleh kekal sebagai sepasang sahabat kalau pun tidak kekasih atau suami isteri.
“Yana dah kenal Ikhwan terlalu lama. Yana dah tahu hati Ikhwan, kan? Kalau pun cinta Yana tak dapat Ikhwan raih, diri Yana Ikhwan tak mampu miliki tapi...”Ikhwan menghela nafas panjang dan melepasnya perlahan. Dia diam sejenak.
“Ikhwan tetap akan mendoakan kebahagiaan Yana. Akan cuba membuat Yana gembira dari kejauhan walaupun dengan hanya perhatian berat dan bertanya khabar,” sambungnya lagi. Kata-katanya itu semakin menyentuh perasaan Dayana.
“Ikhwan...”rintihnya sambil teresak.
“Dah sayang, jangan menangis lagi! Pergi tidur, ya,”pujuk Ikhwan. Tidak kedengaranan lagi esakan Dayana di telinganya selepas itu.
Ikhwan terus menatap langit yang gelap pekat sambil hatinya meratap. Cinta yang tidak kesampaian ini terlalu menyakitkan. Jika terpendam di dalam hati, menjadi nanah.

Tenangnya malam ini menyelimuti dunia. Langit dihiasi bintang-bintang yang bergemerlapan bertaburan. Bulan sabit mengeluarkan cahaya yang tampak mendamaikan. Nur Aiman masih menanti kepulangan Akif. Malam semakin menyelubungi alam, namun Akif masih belum pulang. Suaminya itu memang lelaki yang sangat rajin. Begitulah kata pak longnya. Dalam sehari, hanya beberapa jam sahaja Akif berada di rumah. Mungkin hanya 8 jam. Yang selebihnya Akif berada di kedai, tempat dia bekerja.
Sudah lama mereka duduk di tanah ini. Tanah yang asing dari negara sendiri. Dia pun sudah melahirkan seorang bayi lelaki. Bayi itu dinamakan oleh Akif, Muhamad Haiqal Firdaus.
Dengan kelahiran Haiqal, Akif bertambah kuat bekerja. Kata Akif dia mesti berusaha berlipat kali ganda untuk berjaya di bumi asing ini. Akif enggan menerima bantuan kewangan daripada pak long atau papanya. Nur Aiman percaya Akif seorang lelaki berduit dan berpelajaran juga. Akif pernahmemberitahunya, diamemiliki sebuah pasar mini di pekan Parit Buntar. Walaupun Akif tidak sekaya papanya, tetapi dia rasa bangga dengan suaminya itu.
Buat sementara, Akif menjadi pembantu kedai pak longnya yang menjalankan perniagaan menjual barang-barang perhiasan untuk dijadikan cenderahati atau hiasan rumah dan sebagainya. Pelanggan-pelanggan kedai  terdiri daripada pelancong-pelancong dari seluruh dunia. Beijing memang destinasi pelancongan terkenal.
Kata Akif dia sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memulakan perniagaannya sendiri di sini. Yang menjadi kehairanannya ialah, suaminya itu tidak pernah menyatakan keinginannya untuk pulang ke Malaysia. Belum pernah sekali mereka berbincang tentang hal itu.
“Szeze, buka pintu!”
Terdengar suara dari luar memanggilnya dalam bahasa Mandarin. Lamunan Nur Aiman terganggu. Perlahan-lahan dia turun dari katil, bimbang bayinya yang sedang tidur terjaga.

“Szeze, cepatlah buka pintu,”ulang suara itu lagi. Nur Aiman masih belum bergerak dari birai katil. Entah siapa yang datang malam-malam begitu, hatinya tertanya.
“Szeze, buka pintu! Aku Steven... Steven!”
Setelah berkali-kali mengetuk pintu barulah lelaki itu mengenalkan dirinya. Nur Aiman perlahan-lahan menuju ruang hadapan rumah. Dia nampak kelibat Steven melalui kaca pintu. Steven ialah sepupunya. Perhubungan mereka memang rapat. Dulu, keluarga kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk menjodohkan mereka. Cuma, dia tidak pernah mencintai Steven. Rasa cinta itu tidak pernah tumbuh di dalam hatinya untuk Steven.
Perasaan cintanya hanya tumbuh dan kembang mekar di hati Zaim. Malangnya dia menjadi mangsa mainan dan nafsu lelaki itu. Apabila teringat Zaim, perasaannya menjadi tidak menentu, Nur Aiman menggigit bibirnya yang bergetar menahan tangisan.
“Szeze, bukalah pintu ni! Aku nak masuk!”pekik Steven pula. Bersimpati dengan lelaki itu, Nur Aiman membuka daun tingkap yang berhampiran dengan pintu. Dia menjengukkan mukanya melalui tingkap.
“Steven, kau tak boleh masuklah! Akif  tak ada di rumah,”jawabnya perlahan. Dia bimbang suara mereka akan didengar jiran-jiran. Namun, kalau mereka bersuara kuat pun, tidak siapa yang ambil peduli. Steven yang keras kepala terus juga mendesaknya membuka pintu.
“Buat apa kau datang ke rumah malam-malam ni, Steven? Suami aku tak adalah!”tegas Nur Aiman lagi. Manalah tahu kalau-kalau sepupunya itu tidak mendengar kata-katanya tadi.
“Suami tak ada di rumahlah kena benarkan aku masuk,”balas Steven pula. Hatinya terus berharap yang hasratnya itu tidak akan kecundang. Mendengar ungkapan Steven itu Nur Aiman mula berasa serba salah.
“Szeze... bukankah kita ni sepupu? Papa yang suruh aku datang ke sini. Mama ada masakan istimewa malam ini. Mereka yang suruh aku hantarkan kepada kau,”pujuk Steven lagi. Dia menghampiri jendela pula.
Mendengar bibit-bibit kata yang diungkapkan oleh Steven, Nur Aiman berasa simpati. Apa salahnya membenarkan sepupunya masuk ke dalam rumah. Mustahil Akif akan marah.
“Masuklah...”pelawa Nur Aiman sambil membuka pintu. Matanya merenung ke tangan Steven. Kosong.
“Oh ya! Tunggu aku ambil di kereta,” beritahu Steven sambil tersenyum. Wong  Szeze, sepupu perempuannya yang paling disenangi. Kata ayahnya mereka telah ditunangkan sewaktu kecil. Sewaktu kanak-kanak mereka kerap bersama kerana duduk di rumah yang sama di Parit Buntar. Rumah tinggalan datuk yang terletak di dalam ladang kelapa sawit. Bapa Szeze dan bapanya adik-beradik.
Mereka pula anak tunggal. Apabila bapanya mengambil keputusan untuk berhijrah ke Beijing, dua buah keluarga itu terpaksa berpisah. Namun begitu, kerap juga mereka balik ke Malaysia atau bapa Szeze membawa keluarganya bercuti di Beijing. Hubungannya dengan Szeze memang mesra sehinggalah Szeze berkenalan dengan seorang jejaka Melayu yang bernama Zaim.
Jalinan cinta antara Szeze dan Zaim memang diketahuinya kerana sepupunya itu ada bercerita kepadanya. Nasihatnya supaya Wong Szeze supaya menjauhkan dirinya daripada lelaki Melayu itu tidak pernah diendahkan. Entah apa yang dipandang oleh Wong Szeze kepada lelaki itu.
Menurut kata sepupunya,lelaki itu bukanlah dari kalangan orang berada. Zaim hanya bekerja sebagai jurujual kereta. Zaim juga bukan seorang yang terpelajar. Dengan hanya berkelulusan SPM, tidak mungkin dia ada masa  depan yang cerah. Tambahan pula  jika malas berusaha seperti kebanyakan lelaki bangsanya.

Jadi, keputusan Wong Szeze untuk melabuhkan cintanya di dataran hati lelaki Melayu itu amat mengecewakannya. “Apa ni?” soal Nur Aiman sebaik sahaja menyambut sebuah kotak dari tangan Steven. Hatinya tertanya-tanya. Kata Steven, maklongnya yang mengirimkan masakan istimewa, tetapi yang dibawa, kotak yang mungkin mengandungi kek yang dibeli di kedai kek.
“Penipu!”kata Nur Aiman sambil menjeling tajam lantas meninggalkan kotak kek di atas meja.
Steven dibiarkan seorang diri di ruang tamu. Dari dalam bilik dia terdengar suara tangisan anaknya. Cepat-cepat Nur Aiman memasuki bilik untuk mengambil anaknya.
“Szeze,memang betul aku tipu!  Kalau aku tak tipu, kau takkan buka pintu,”jawab Steven kuat. Dia pasti Nur Aiman mendengar kata-katanya itu. Nur Aiman muncul semula ke ruang tamu sambil mendukung bayinya yang sedang menangis.
“Hari ini hari jadi kau, kan?”soal Steven cuba mengingatkan sepupunya itu.
Nur Aiman terdiam. Steven memang tidak pernah melupakan tarikh hari lahirnya. Akif? Mungkin Akif tidak pernah peduli tentang dirinya. Hampir dua tahun mereka menjadi suami isteri, mungkin Akif tidak tahu pun yang hari itu hari lahirnya. Tidak ada ucapan hari lahir dari suaminya itu, pagi tadi. Apatah lagi ciuman mesra. Nur Aiman mengeluh perlahan, menyembunyikan perasaan hampa.
“Aku bawakan kek coklat! Kau suka, kan?”pancing Steven lagi. Kecur airliur Nur Aiman seketika. Kek coklat moist memang enak dan menjadi kesukaannya.
“Aku sentiasa ingat tarikh hari lahir kau,”kata Steven lagi.
Nur Aiman terdiam mendengar kata-kata Steven itu.Akif belum melafazkan ucap selamat sempena hari lahirnya pada hari itu. Namun hatinya tidak berasa terkilan. Bukankah Akif tidak pernah menyayangi, apatah lagi mencintainya.
“Steven, kau baliklah! Bawa balik kek tu! Aku tak boleh makan. Aku tak pasti sama ada kek itu ada letak barang yang tidak halal bagi aku,” balas Nur Aiman.
“Kenapalah kau membodohkan diri Szeze? Kau ikut macam aku. Tak payah anuti apa-apa agama. Hidup pun tak susah,” sindir Steven.“Apa makanan pun aku boleh makan! Tiada apa yang dapat menghalangnya,” sambungnya lagi.
“Itu cara hidup kau. Aku mahu hidup beragama. Percaya adanya TUHAN. Sekarang ni kau pergi balik sebelum suami aku balik,” suruh Nur Aiman lagi dengan suara memujuk. Hatinya sakit apabila melihat sepupunya itu buat tidak mengendahkan kata-katanya.
“Cepat tinggalkan rumah aku, Steven!Nanti Akif balik, dia akan curiga dengan aku,”kata Nur Aiman lagi. Matanya merenung Steven yang masih bersandar di sofa sambil menghisap rokok.
“Dia takkan curiga kerana dia tak cintakan kaulah Szeze. Kau yang membodohkan diri. Dia cerdik. Pakngah mesti dah upah dia dengan wang yang banyak untuk kahwin dengan kau!”teka Steven sambil mengerling Nur Aiman. Nur Aiman masih cuba memujuk anaknya yang masih merengek dan menangis.
“Tengoklah, Szeze! Sudah lewat malam tapi dia belum balik ke rumah. Anak, kau yang kena pelihara sendiri!”cucuk  Steven lagi. Dia sedang memainkan jarum untuk menghasut wanita muda yang dicintainya itu.
“Dia sengaja ingin menjauhkan dirinya dari kau! Bukannya ada kerja sangat di kedai papa tu! Pembantu lain pun ada!”kata Steven lagi cuba meracuni fikiran sepupunya.

“Pasti hati kau menderita kerana terpaksa hidup dengan lelaki Melayu tu! Tadi kau sedang  menangiskan?”soal Steven. Dia bangun dari sofa dan duduk rapat dengan Nur Aiman. Tangannya mengusap pipi wanita itu.
Nur Aiman menepis sambil membulatkan matanya merenung Steven. “Steven, anak ini bukan anak Akif!  Tak salah kalau dia tak mahu pelihara pun,” balas Nur Aiman.
Dia tidak rela mendengar Steven mengatakan sesuatu yang buruk tentang suaminya. Lelaki yang mula mencuri rasa sayangnya. Bola matanya terlontar ke wajah anaknya yang sedang menggapai-gapai tangan. Kalaulah anak itu milik dia dan Akif, perasaannya tentu lebih bahagia.
“Kau baliklah! Aku nak tidur! Anak aku pun nak tidur!”gesa Nur Aiman kepada Steven. Namun, lelaki itu terus mengekorinya. Telatah Steven menyebabkan perasaan Nur Aiman bagaikan terhimpit. Dentingan jam di dinding sudah berbunyi 11 kali.
“Pergilah balik, Steven,”suruhnya lagi apabila sepupunya itu buat tidak endah kepada desakannya tadi. Rasa marah dan geram mula terhimpun. Nur Aiman rasa hendak menendang Steven supaya dia keluar dari rumah itu dengan segera.“Steven!”bentaknya mula menyinga.
“Jomlah, aku tidurkan anak kau,”kata Steven dengan selamba.
Tangannya mengambil Haiqal dari dukungan Nur Aiman. Mahu tidak mahu, Nur Aiman terpaksa melepaskannya dan dia sendiri beredar ke ruang tamu. Nur Aiman mundar-mandir di ruang tamu dengan perasaan serba salah. Agak lama dia berada di dalam keadaan begitu.
Nampaknya Steven terus bersikap keras kepala. Resah terus meniti hati Nur Aiman. Dia gelisah bukan sahaja kerana Akif belum pulang tetapi kerana Steven masih belum keluar dari bilik tidurnya, menemani Haiqal. Sedang Nur Aiman memikir-mikir, terdengar tangisan Haiqal yang agak kuat. Dia pun meluru dan berlari ke bilik.
“Syhh! Syhh...”pujuk Nur Aiman lalu mengangkat Haiqal dan dipangku. Namun, tangisan anak itu semakin keras. Puas dipujuk, anaknya masih ternganga menangis.
“Steven, keluarlah dari bilik ini,”suruhnya dengan suara perlahan. Dia menjeling Steven yang sedang berjalan menghampirinya.“Keluarlah!”pekik Nur Aiman tiba-tiba apabila lelaki itu terus menghimpitnya. Jeritan itu menyebabkan Haiqal terkejut lalu meraung semakin kuat.
“Aku takkan keluar!”jawab Steven tegas menunjukkan kedegilannya. Dia mengorak langkah ke pintu lantas mengunci pintu dan berjalan kembali menghampiri Nur Aiman.
Tubuh badan Nur Aiman menggeletar. Darah, seolah terhenti alirannya. Dia bangun dari katil sambil menggendong Haiqal yang masih menangis. Di matanya terbayang wajah Zaim dengan renungan buasnya. Renungan Steven terhadap dirinya kini seolah biasan renungan Zaimkepadanya di malam nestapa itu.
“Keluarlah Steven! Tolonglah...”rayunya dengan tangisan. Nur Aiman benar-benar ketakutan.
“Aku takkan keluar selagi kau tak mengaku yang kau akan kahwin dengan aku. Szeze. Aku mau kau! Kau tinggalkan lelaki Melayu itu! Dia tak pernah cintakan kau! Pasti tak pernah dan takkan cintakan kau,”kata Steven sambil memegang dagu Nur Aiman yang menangis ketakutan.
“Kenapa kau hendak bersangka buruk kepada suami aku?”soal Nur Aiman marah.
“Akif, tak pernah pandang hina kepada aku. Dia telah mengorbankan segalanya untuk membantu dan menyelamatkan aku. Kalau aku adukan masalah aku kepada kau, belum tentu kau rela mengorbankan segala-galanya untuk aku.”

Steven tidak sabar untuk terus mendengar kata-kata yang akan terlontar dari bibir wanita idamannya itu. Kata-kata pujian itu seolah-olah mengisyaratkan bahawa Akif telah memiliki Wong Szeze seluruhnya. Dia tidak boleh membiarkan perkara itu terjadi. Tidak!
“Steven!” jerit Nur Aiman apabila lelaki itu merampas Haiqal dan mencampakkan anak itu di atas tilam dengan kasar. Haiqal terus meraung dengan kuat.
“Steven!”
Tidak sempat Nur Aiman melontarkan kata-katanya. Tapak tangan Steven yang besar telah memekup mulutnya.

Tiada ulasan: