DAYANA terus bergolek-golek di hadapan televisyen dan menonton rancangan yang
disiarkan tanpa perasaan. Deringan telefon menyebabkan lamunannya terkecai. Dayana
tergesa-gesa mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas sofa.
“Assalamualaikum!”ucapnya sebaik sahaja melihat nombor
telefon talian tetap. Nombor telefon itu tidak pernah tersimpan di dalam
telefonnya. Dada Dayana mula dipalu debaran kencang. Harapannya setinggi gunung
agar suara yang akan didengarinya sebentar nanti ialah suara Akif yang sangat
dirinduinya.
“Waalaikumussalam, Yana!”jawab Mak Bedah.
Harapan Dayana meruntuh apabila mendengar suara emaknya. Dia
mengeluh hampa pada mulanya, namun mengukir senyuman pula setelah itu kerana
hatinya juga sedang merindukan emaknya itu.
“Mak, mak telefon dari mana ni?”soal Dayana dengan suara
teruja. Dia mendengar bunyi tawa emaknya yang mengekek kecil.
“Telefon dari rumahlah Yana! Baru siang tadi ayah Yana
masukkan talian tetap ni!”cerita Mak Bedah.
“Habis tu, ayah tak guna telefon bimbit lagi ke, mak?”soal
Dayana deras. Lagi sekali dia mendengar bunyi tawa emaknya.
“Alah Yana! Mak rasa lebih baiklah ayah guna telefon
tetap ni! Tak payahlah nak guna telefon tangan macam orang lain tu,”jawab Mak
Bedah.
“Telefon ayah jatuh dalam bendang lagi ke, mak?”tebak
Dayana sambil ketawa.
“Apa lagi, Yana! Kalau tak silap mak dah tigabuah telefon
tangan ayah Yana jatuh dalam bendang tu. Habis terbenam dalam selut!”beritahu
Mak Bedah.
“Hee... hee...”Meleret ketawa Dayana.
“Mak! Mak suruhlah ayah gantung telefon di lehernya. Taklah
jatuh dalam bendang lagi,”cadang Dayana sambil ketawa.
“Oh ya, Yana tadi Mak Esah ada datang ke rumah,”beritahu
Mak Bedah apabila ketawa Dayana reda.
Berderau darah Dayana tiba-tiba. Sekali lagi dia
mengharapkan berita tentang tunangannya. Bibirnya mula bergetar menahan tangis.
“Mak! Ada berita tentang Akif ke mak?”soal Dayana sebak. Tasik
matanya mulai pedih. Dadanya dipalu debaran kencang sekali lagi. Terasa tidak
sabar untuk mendengar kata-kata seterusnya, yang akan terungkap daripada bibir
emaknya.
“Bukan pasal Akif, Yana,”jawab Mak Bedah. Perasaan sedih
mula menghadiri hatinya lalu dia berhenti berkata seketika. Dayana diam dan
menunggu emaknya terus bercerita.
“Nisah dah dapat tawaran untuk menyambung pelajarannya di
luar negara. Jadi Mak Esah datang untuk jemput kita ke majlis kesyukuran dan
kenduri doa selamat sebelum Nisah berangkat,”terang Mak Bedah pula.
“Ya ke, mak? Alhamdulillah. Tercapai jugak hasrat Nisah, mak!
Kalau Akif ada mesti dia suka sangat dan gembira dengan berita ini, mak!”balas
Dayana.
Sekali lagi perasaan sedih melanda hatinya. Terlalu cepat
masa berlalu. Dia masih ingat lagi sewaktu keluarga sedang sibuk-sibuk
menguruskan majlis pernikahannya dengan Akif, Nisah bakal menduduki peperiksaan
SPM pada tahun itu.
“Yana, kalau Yana dapat cuti, Yana balik ya nak! Boleh
kita pergi sama-sama,” pujuk Mak Bedah.
“Insya-ALLAH, mak! Apa-apa hal nanti Yana beritahu, mak! Andaikata
Yana tak dapat balik, mak sampaikan salam Yana kepada Mak Esah sekeluarga ya! Nisah
tu, nanti Yana telefon dia untuk ucapkan tahniah,” ujar Dayana.
“Mak Esah dan Pak Shukri sihat tak, mak?”tanya Dayana
pula.
Agak lama juga dia tidak menghubungi keluarga tunangannya
itu walaupun tidak pernah melupakan mereka. Mungkin menyepikan diri daripada
mereka, adalah jalan yang terbaik kerana dia sedang mengusir kedukaan hatinya disebabkan
kehilangan bakal suaminya itu.
“Alhamdulillah, sihat. Dua-dua sihat. Tapi mereka masih
bersedih di atas kehilangan Akif. Sewaktu bertandang ke rumah kelmarin, mereka
tak habis-habis bercerita tentang dia. Yang Mak Esah kamu, asyik menangis aje. Hancur
luluh hati orang tua itu kerana kehilangan anaknya itu. Puas dicari,jenazah pun
tak jumpa,”jawab Mak Bedah.
“Mak...janganlah cakap macam tu, mak!”pintas Dayana.
Tidak sanggup telinganya mendengar perkataan ‘jenazah,’meskipun
semua orang akan mengalami fasa begitu, namun dia tidak sanggup melihat jenazah
Akif terdampar di hadapan matanya.
“Seperkara lagi Yana...terlupa pulak mak nak beritahu
Yana. Semalam Ikhwan pun ada datang ke sini! Dia tanyakan tentang Yana. Dia kirim
salam,”beritahu Mak Bedah. Apabila mendengar nama pemuda itu, darah Dayana
berderau. Sekali lagi bibirnya digigit kerana menahan perasaan sebak.
“Waalaikumussalam, mak! Ikhwancuti lama ke, mak?”tanyanya
perlahan. Matanya terkedip-kedip menahan airmata daripada gugur. Rasa sedih
datang menamui hatinya.
“Katanya lama jugak! Nak bekerja setahun dua, lepas tu nak
sambung belajar balik,”jawab Mak Bedah. Sewaktu kedatangan pemuda itu semalam, dia
ada menyatakan hasratnya untuk menyunting Dayana sekali lagi. Tetapi hal itu
Mak Bedah tidak mahu menceritakannya kepada anak gadisnya itu.
“Kalau Ikhwan datang ke rumah lagi, mak sampaikan salam
Yana kepada dia ya!”kata Dayana.
Meskipun emak pemuda itu pernah menghinanya, namun dia
tidak pernah berkecil hati dan berdendam. Ikhwan tetap sahabat karibnya dunia
akhirat. Apatah lagi sepanjang persahabatan mereka, pemuda itu belum
pernah sekali melukakan perasaannya. Cuma mereka tidak berjodoh sehingga
menyebabkan cinta pemuda itu kepadanya kecundang di pertengahan jalan. Secara
kebetulan pula, Akif hadir di dalam hidupnya. Kesederhanaan serta keikhlasan
pemuda itu menawan hatinya. Perhubungan mereka direstui dua keluarga, lantaran
itu lamaran Akiftidak mampu ditolak.
“Insya-ALLAH, Yana. Tapi semalam dia dah ambil nombor
telefon dan alamat Yana,” beritahu Mak Bedah. Dia terkenangkan perhubungan
anak-anak itu yang tidak ditakdirkan untuk bersama apabila lamaran pemuda itu
terpaksa ditolak.
“Ikhwan kata dia akan bekerja di Kuala Lumpur. Kalau dia
cari Yana,bertemu dengan Yana, bersahabatlah elok-elok ya, nak! Kalau sesekali Ikhwan
ajak Yana keluar, kalau Yana ikut, pandai-pandailah jaga diri ya, nak,”pesan
Mak Bedah memujuk.
“InsyaALLAH, mak! Mak jangan bimbang. Takkanlah bila dah
berjauhan dengan mak dan ayah, Yana lepas laku pulak! Yana masih ingat mak! Teropong
ALLAH Taala itu Maha Besar, sentiasa dapat melihat gerak-geri Yana,”balas
Dayana panjang lebar sambil ketawa.
“Baiklah, Yana. Dah malam ni, lain kali mak telefon lagi!
Yana jaga diri ya! Solat, baca al-Quran jangan tinggal!”pesan Mak Bedah.
“Insya-ALLAH, mak! Assalamualaikum!”kata Dayana sebelum
menekan butang merah di telefon bimbitnya. Dia kembali merebahkan dirinya di
atas permaidani di hadapan televisyen sambil menggeliat beberapa kali.
WONG PEK CHAKtersenyum gembira. Dia baru sahaja menerima panggilan telefon
daripada menantunya. Akif memberitahu yang Nur Aiman sudah selamat melahirkan
seorang bayi lelaki. Sebelum itu abangnya, Wong Pek Chau juga telah menefonnya
memberitahu perkara yang sama. Namun cerita yang didengar daripada mulut
abangnya membuat dia terkesima.
Kata Wong Pek Chau, sebaik sahaja dia dan isterinya serta
seorang jiran mereka telah tiba di rumah Nur Aiman, mereka mendengar suara bayi menangis. Rupa-rupanya
Nur Aiman baru sahaja melahirkan bayinya dengan bantuan suaminya kerana tidak
sempat lagi untuk dibawa ke hospital. Mujurlah jiran yang dibawa oleh Wong Pek
Chau ke rumah Nur Aiman bekerja sebagai jururawat dan arif tentang hal-hal
perbidanan dan dapat membantu Akif serta Nur Aiman. Wong Pek Chak rasa kagum
mendengar cerita tentang menantu paksanya itu. Nampaknya dia telah menjaga anak
perempuannya dengan baik.
“Kenapa awak senyum-senyum ni?”soal isterinya yang datang
membawa secawan kopi dan kuih pau dan menghidangkannya. Wong Pek Chak serta-merta
membuat wajah selamba. Berita itu tidak boleh diberitahu kepada isterinya. Jika
diberitahu pasti isterinya akan menangis dan meraung kerana mengenangkan anak
kesayangannya. Lagipun dia tidak mahu menjatuhkan egonya saat itu. Bukankah dia
begitu marah terhadap Wong Szeze dan enggan mengakuinya sebagai anak lagi? Mustahil
dia begitu mudah memberi kemaafan atas kesalahan dan dosa yang sangat besar
yang telah dilakukan oleh anak gadisnya itu.
“Harga getah dah naik. Hampir RM9.00 satu kilo,”jawab
Wong Pek Chak bersahaja.
Chan Sze Hong menjuihkan bibirnya. Duit! Duit! Duit! Itu
sahaja yang difikirkan oleh suaminya. Duit ringgit melimpah ruah, hartanya
banyak namun tanpa seorang anak pun di sisinya dia merasakan telah begitu
muflis!
Hiruk-PIKUK kota amat merimaskan jiwa Dayana. Pagi petang, siang atau malam seakan
serupa. Sentiasa sibuk. Sungguhpun begitu, kesibukan itu membawa hikmah juga
kepada dirinya. Dengan perlahan dia dapat melupakan Akif buat sementara. Namun
apabila selesai waktu kerja, kenangannya terhadap Akif segar semula. Kini lebih
setahun Akif lenyap dari genggamannya. Suara lelaki itu tidak dapat didengari
lagi. Apatah lagi untuk menatap wajahnya. Kehilangan Akif di saat kemuncak
cinta mereka meremukkan hatinya.
Hancur luluh perasaannya. Dayana terasa dipermainkan. Tetapi
siapa yang mempermainkannya? Tak lain dari takdir yang telah digarap TUHAN
untuk mereka. Mengenangkan cinta Akif terhadapnya, tidak mungkin lelaki itu
tergamak mempermainkannya. Bermacam spekulasi telah dibuat. Mungkin Akif telah
diculik. Dirompak. Dibunuh. Dibakaratau dibunuh dan dihumban ke dalam sungai. Seribu
satu macam lagi tekaan terungkap di bibir masyarakat di sekelilingnya. Semuanya
mengerikan. Tidak tergamak dia membayangkan Akif menerima kezaliman seperti itu.
‘Akif.’Meluncur nama itu dibibirnya. Tidak semena-mena
air mata menitis di pipinya. Sehingga ke hari itu, Akif tidak ditemui oleh
sesiapa pun. Deringan telefon memancung kenangannya terhadap Akif seketika.
“Helo...”ucapnya sebaik sahaja telefon melekap di
telinganya. Bibirnya mengukir senyuman sebaik sahaja mendengar suara lelaki.
“Yana, Ramzan ni,”jawab suara yang di hujung sana.
“Yana tahu,” jawabnya lembut.
Ramzan teman lelaki Saerah, sepupunya. Selalu juga Ramzan
menghubunginya jika dia keluar bersama Saerah kerana disuruh oleh Saerah.
“Ramzan, pesan dengan Saerah, hari ni tak payah tapau
apa-apa untuk Yana,”ujarnya kepada Ramzan. Kebiasaannya Saerah akan menyuruh
Ramzan menghubunginya jika dia ada apa-apa yang hendak dipesan kepada sepupunya
itu.
“Habis tu malam ni Yana tak mau makan?”tanya pemuda itu
pula dengan nada bimbang. Hati disapa kecewa kerana rancangan kecundang.
“Tak apa, Ramzan. Terima kasih. Saya makan apa yang ada
di rumah ni,”jawab Dayana sambil ketawa.
“Sekarang ni saya tak bersama Saerah, Yana! Saya seorang
aje. Ada di depan rumah Yana ni. Kalau Yana sudi, saya nak bawa Yana pergi
makan di luar,”beritahu Ramzan dengan suara tergagap-gagap. Dayana agak
terkejut dengan pelawaan Ramzan itu.
“Pulak! Saerah pergi mana?”soal pula Dayana tanpa memberi
jawapan terhadap pelawaan Ramzan tadi. “Saerah, malam ni dia ada kerja lebih
masa. Sampai pukul 12.00 malam nanti. Boleh ya Yana! Kita pergi makan sama-sama. Saya dah lama
menanti peluang untuk keluar makan dengan awak,” beritahu Ramzan tambah berani.
“Maaflah Ramzan! Saya tak...ermm”
“Janganlah menolak, Yana. Awak takut Saerah marah, ya?”pintas
Ramzan sebelum sempat Dayana menghabiskan kata-katanya.
“Saya kurang sihatlah, Ramzan! Maaf ya...”kata Dayana
cuba menolak dengan sopan. Dia benar-benar rasa serba salah. Kalaulah Saerah
mendapat tahu yang Ramzan menghubunginya di luar pengetahuannya, Saerah pasti
akan mengamuk. Silap hari bulan, sanggup berputus arang dan berkerat rotan
dengannya. Karakter Saerah sudah difahaminya benar. Maklumlah mereka sepupu.
“Baiklah. Jika begitu saya tak paksa. Saya faham. Tapi
Yana jangan lupa kata-kata orang tua, kumbang tidak seekor! Yang dah lepas tu, Yana
lupakanlah. Jadikan kenangan. Yana kena hadapi kenyataan hari ini. Kehidupan
ini perlu diteruskan, betul tak?” soal Ramzan.
“Entahlah! Lain padang, lain belalang! Lain orang, berbeza
pulak pandangannya,” jawab Dayana berkias.
“Tak guna teruskan kesetiaan kepada seseorang yang dah
tiada, Yana. Bimbang nanti kesetiaan itu akan mendatangkan kekecewaan, masa
pulak banyak terbuang,”kata Ramzan pula dengan nada lembut.
“Lebih baik Yana beri ruang kepada orang lain! Supaya
hasrat cintanya kesampaian,”sambung Ramzan lagi dengan kata-kata penuh bermakna.
“Mana tahu dia lebih memberi kebahagiaan daripada orang
yang telah menjadi sejarah hidup kita,” nasihat Ramzan dengan nada bersahaja.
“Pintu hati saya dah tertutup Ramzan,” kata Dayana berterus
terang. Tergores hatinya kerana didesak untuk melupakan orang yang telah bertakhta
di hatinya.
“Jangan begitu, Yana. Jika Yana berkeputusan begitu
seolah Yana telah berputus asa daripada rahmat ALLAH. Yana menentang fitrah
yang inginkan kehidupan berpasangan,” nasihat Ramzan dengan lembut.
“Kehilangan orang yang kita sayang bukan bermakna
kehidupan kita dah sampai penghujungnya,” sambung Ramzan lagi apabila tidak
mendengar suara Dayana. Dia berharap gadis itu sedang meneliti kata-katanya.
“Alangkan malam berganti pagi, lorong gelap berujung
terang, badaipun akan mereda. Begitu juga airmata duka, pasti akan mengering
juga. Yana, sebenarnya saya tak seronok melihat Yana terus dikepung kesedihan. Jika
Yana izinkan, saya ingin mengusir kesedihan yang sudah menyubur di hati Yana,”terang
Ramzan. Luahan kata-kata itu melegakan perasaannya.
“Terima kasih di atas nasihat Ramzan tu, tapi Yana
benar-benar mintak maaf. Buat masa ni Yana tak mahu kehadiran sesiapa pun di
hati Yana,” jawab Dayana dengan perlahan dan berhati-hati.
“Jadi, tak sudilah nak keluar makan dengan saya malam ni?”soal
Ramzan lagi, masih belum berputus asa.“Ya,” jawab Dayana. Tidak kedengaran lagi
suara Ramzan.
‘Ya ALLAH, tolong hamba-Mu ini,’bisik dayana sambil
menyeka airmata.
“Tolonglah ya ALLAH, berikan aku kekuatan untuk melepasi
batasan ujian ini,” doanya berterusan di dalam rasa sepi yang abadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan