Malam ini cuaca agak dingin dari malam-malam sebelumnya. Akif cepat-cepat
mengunci pintu kedai dan terus beredar dari situ dengan langkah deras. Dia
ingin segera pulang. Malam ini hatinya berasa tidak sedap pula. Tambahan pula
hari ini dia pulang ke rumah lewat daripada biasa. ‘Kasihan Aiman tinggal
sendirian di rumah,’ bisik hatinya. Lagipun dua tiga hari ini Nur Aiman
kelihatan muram dan tidak banyak bercakap. Akif cuba untuk memahaminya, karakter
seorang wanita bergelar isteri dan bakal ibu.
Tambahan pula isterinya itu sudah hampir benar untuk
bersalin. Dia rasa bertanggungjawab walaupun bayi yang akan dilahirkan oleh Nur
Aiman bukan zuriatnya. Dia sudah bersedia untuk menjadi seorang ayah. Dia juga
sudah banyak membaca buku tentang proses kelahiran seorang bayi. Manalah tahu, kalau-kalau
sewaktu Nur Aiman sakit hendak bersalin, dia sukar mendapatkan bantuan. Maklumlah
duduk di negara orang.
Bas yang akan membawanya pulang ke rumah tiba, sebaik
sahaja Akif sampai ke tempat menunggu bas tidak jauh dari tapak kedai
paklongnya berniaga. Itu bas yang terakhir. Mudah-mudahan perjalanan pada malam
itu lancar. Terlintas pula hatinya untuk menghubungi Nur Aiman.
Ucapan salamnya segera dijawab oleh isterinya.
“Aiman... Aiman dah makan?”tanyanya sambil meraba-raba
buku di dalam beg sandangnya.
Waktu perjalanannya yang panjang itu akan diisi dengan
membaca buku. Pasti hatinya tidak betah untuk membuang masa melihat ke kiri
kanan sewaktu duduk di dalam bas sedang penumpang-penumpang yang lain khusyuk
membaca.
“Aiman belum makan,”beritahu Nur Aiman perlahan. Sejak dari
tadi badannya rasa tidak sihat. Perasaannya juga tidak menentu.
“Kenapa tak makan lagi? Makanlah... dah lewat malam ni,”balas
Akif sambil memujuk.
“Aiman nak tunggu, Akif,”jawab Nur Aiman sambil cuba
menegakkan pinggangnya. Perutnya yang besar diusap-usap.
“Aiman makanlah dulu,” suruh Akif lembut.
“Pergi makan sekarang,” suruhnya lagi lalu menekan butang
merah di telefon bimbitnya. Setelah itu Akif menyandarkan belakangnya ke tempat
duduk sepenuhnya dan mula menyelak helaian buku. Dia membaca dengan tenang,
namun fikirannya menerawang entah ke mana.
Beberapa pucuk surat yang telah ditulis masih tersimpan
di dalam laci di kedai tempat dia mencari rezeki. Surat yang cuba difaks kepada
Dayana sehingga hari itu masih tidak berjaya. Akif mengeluh beberapa kali.
Panggilan telefon yang cuba dibuat kepada bapa Dayana
serta keluarganya juga membawa nasib yang sama. Wajah-wajah yang dirindui
seolah tertampal pada setiap lembaran muka surat buku yang sedang dibaca. Tanpa
sedar, titik airmatanya gugur membasahi permukaan buku. Setitik Cuma. Ya, hanya
setitik.
HANYA sekeping roti sahaja yang mampu ditelannya. Selepas makan Nur Aiman
kembali ke biliknya lalu merebahkan tubuhnya di atas katil. Puas dia cuba
melelapkan mata, namun matanya tetap terjegil. Nur Aiman gelisah di atas katil.
Pinggangnya juga terasa sakit-sakit.
Sudah dua tiga hari dia berkeadaan begitu. Kata
maklongnya, mungkin masanya untuk melahirkan bayi yang sedang dikandungnya
sudah hampir. Maklongnya ada mempelawa supaya dia tinggal di rumahnya sehingga
bersalin tetapi Akif tidak membenarkannya. Kata Akif, dia mahu menjaganya walau
dalam keadaan apapun.
Rasa sakit pada pinggang Nur Aiman semakin kerap. Kini
rasa sakit itu sudah menjalar ke tulang punggungnya pula. Nur Aiman semakin
resah. Akif pula tiada di rumah. Dia masih belum pulang dari kedai. Nur Aiman
melihat jam di dinding. Jarum menunjukkan angka 11.00 malam. Dia menghela nafas
panjang. Rasa sakitnya sudah tak tertahan lagi. Nur Aiman mula merengek. Dia
gelisah dalam airmata. Bermacam minyak sudah dilumur pada perutnya untuk
meredakan kesakitan. Namun sakitnya tidak endah.
“Akif, cepatlah balik...”rintihnya perlahan. Keningnya
dikerut menahan kesakitan. Bagaikan tidak sabar hatinya menanti kepulangan Akif.
Perlahan-lahan dia turun dari katil menuju ke arah
telefon di meja yang jaraknya hanya 10 kaki dari katil. Tanpa sengaja tangannya
menepis botol losen yang berada di tepi bantalnya lalu botol losen yang longgar
penutupnya itu memuntahkan isinya di atas lantai. Nur Aiman mengeluh, sesal. Dia
tidak mengendahkan losen yang telah tertumpah itu.
Matlamatnya untuk mendapatkan telefon bagi menelefon
suaminya itu dengan segera. Terketar jari-jemarinya menekan nombor-nombor di
telefon. Tiga kali dia mendail barulah penggilan telefonnya dijawab.
“Akif dalam perjalanan pulang ni,”jawab suaminya lemah. Lantas
tidak tergamak pula bibirnya hendak memberitahu keadaan dirinya yang sedang
terbenam di dalam kesakitan yang amat sangat.
“Bb... baik! Akif lambat balik, Aiman risau,”beritahunya
sambil mengetap bibir menahan derita sakit yang sedang menghujamnya.
“Akif dalam bas ni,jangan bimbang,” pujuk suaminya dengan
suara lirih.
“Baiklah,”balas Nur Aiman sedang airmatanya terus membuak.
Perbualan mereka ditamatkan kerana dia berasa tidak berdaya lagi untuk berdiri.
Kakinya semakin lemah dan goyah. Kulit perutnya juga bagaikan hendak pecah.
“Aduh! Kenapa sakit sangat ni?”bisiknya sambil melangkah
perlahan menuju ke katil. Perut, pinggang, punggung dan seluruh tubuhnya yang
sedang kesakitan mungkin akan terubat sedikit jika dia dapat merebahkan dirinya
di atas tilam semula. Matanya merenung katil. Kaki yang melangkah terleka.
“Argghhh!”pekik Nur Aiman tiba-tiba.
Tubuh yang memberat dengan kandungan yang sarat tidak
dapat lagi diimbangi. Dia terduduk di atas lantai umpama buah nangka yang besar
dan busuk. Raungannya bertambah kuat menahan kesakitan. Lambakan darah pekat
yang mengalir dari celah paha menyangkarnya pula di dalam ketakutan yang maha
dahsyat. Nur Aiman cuba mengesatnya dengan telapak tangan, namun darah terus
melimpah. Dengan tangan dibasahi darah dia cuba menaiki katil dengan berpaut
kepada cadar. Namun kudratnya seolah-olah sudah lenyap.
SEBAIKsahaja menghabiskan 10 muka surat pada buku yang sedang dibacanya, bas
yang dinaiki pun sudah sampai ke jalan masuk menuju ke kawasan rumah sewanya. Cepat
perjalanan bas pada malam itu. Penumpang
pun tidak ramai. Jadi bas tidak kerap berhenti. Dalam tempoh 35 minit
sahaja, bas sudah berhenti di tempat menunggu bas di hadapan rumah sewanya.
Tidak kedengaran sebarang suara televisyen atau radio
sewaktu Akif menolak daun pintu yang sudah dibukakan kuncinya sebentar tadi.
“Aiman!”laung Akif sebaik sahaja masuk ke dalam rumah. Senyap.
Hati Akif berdebar. Dia menuju ke bilik tidur Nur Aiman dan tangannya memutar
tombol lantas pantas menolak daun pintu. Bola matanya terus terlontar di atas
katil. Cadar dipenuhi darah. Isterinya terbaring di atas lantai.
“Aiman! Ya ALLAH!”pekik Akif lalu menerpa kepada Nur
Aiman. Hanya rengekan dan tangisan Nur Aiman yang menjadi jawapan.
“Aiman jatuh ke?”tanya Akif dengan nafas mencungap. Tubuh
isterinya yang berat cuba diangkat.
“Akif... Sakit!!”adu Nur Aiman terus merangkul leher Akif
dengan kuat.Airmatanya berhamburan.
“Astaghfirullahalazim,” kata Akif lalu mencuba sekali
lagi untuk mengangkat tubuh Nur Aiman dan meletakkannya di atas katil semula.
Akif panik dan cemas dalam situasi itu. Nur Aiman terus
menangis kuat. Benar. Nur Aiman akan melahirkan! Saat kelahiran bayi yang
sedang dikandung Nur Aiman sudah sampai.
“Aiman, tenang! Tenang! Akif ada,” pujuk Akif apabila
melihat keadaan Nur Aiman yang menggelabah dan menangis tidak berhenti.
“Sakit...”adu Nur Aiman lagi. Kulit perutnya terasa
tegang bagai hendak pecah. Tangan Akif dipegang sekuat hati.
“Sabar, Aiman. Akif cuba dapatkan bantuan,” kata Akif
lalu meluru ke meja telefon dan mencapai gagang telefon. Akif cuba menghubungi
pihak hospital untuk mendapatkan bantuan ambulans. Berkali-kali dia mendail,
namun talian operator pun sukar diperolehi. Panggilan telefon ke rumah
paklongnya pun tidak berjawab.
“Akiff!”jerit Nur Aiman penuh ketakutan. Nur Aiman dapat
merasakan bayi yang sedang dikandung sedang bergerak untuk keluar dari rahimnya
sehingga memaksanya merenggangkan kedua-dua pahanya. Jeritan Nur Aiman
membuatkan Akif terus meluru ke katil. Matanya terlontar kepada Nur Aiman yang
sedang tercungap-cungap bernafas dan berpeluh-peluh. Kedua-dua tangan Nur Aiman
mencengkam tilam kuat-kuat.
“Akiff! Tolonglah
Aiman...”tangis Nur Aiman. Raungannya kuat.
“Akif! Sakitt!”jerit Nur Aiman apabila rasa sakit sampai
ke kemuncaknya. Jeritan dan lolongan itu menyebabkan hati Akif bertambah cemas.
Nafasnya terus mencungap. Matanya membesar melihat Nur Aiman yang menahan
kesakitan dalam keadaan yang tidak keruan dan menggelupur di atas tilam.
‘Subhanallah.Astaghfirullahalazim..’Istighfar Akif dengan
nafas yang deras lalu bertedu di hadapan Nur Aiman.
“Aiman, tenang ya. Istighfar. Ingatkan ALLAH. Akif akan
bantu Aiman,” katanya.
Dalam nafasnya yang semakin deras kerana perasaan cemas, Akif terus memujuk dan
cuba mententeramkan isterinya. Peluh dingin mulai memercik di kening dan seluruh
tubuhnya.
‘Ya ALLAH Ya TUHANKU, bantulah hamba-Mu ini. Tunjuk
ajarlah aku bagaimana untuk menyambut kelahiran anugerah-MU ini!’ bisik hati
Akif. Degup dadanya bergemuruh. Nafasnya memburu. Nur Aiman terus meraung dan
bernafas mencungap-cungap.
Tangisan seorang bayi akhirnya mengganti suara raungan
Nur Aiman. Bibirnya sempat tersenyum memandang kepada Akif yang seluruh
wajahnya sudah dibanjiri keringat. Nafasnya dan nafas Akif sama-sama
bergelombang kuat.
“Alhamdulillah! Syukur Ya ALLAH!” ucap Akif dalam desahan
nafasnya sambil menatang seorang bayi comel lelaki yang masih berlendir dan
merah kulitnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan