ANGIN malam terus membelai rambutnya. Dia yang bermenung
di muka jendela, melihat bulan dipeluk awan menyinarkan cahaya terang seolah-olah
asyik dengan kemesraan. Suasana sepi dan hening serta hembusan angin malam
semakin menambah seksa dihatinya. Rindunya kepada Akif membara. Lantas Dayana
meninggalkan jendela yang terbuka.
Cuba melupakan nostalgia pahit yang pernah menghadiri
laman hidupnya, dia terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur mengikut sepupunya
Saerah. Di Kuala Lumpur dia bekerja di sebuah klinik swasta buat sementara
waktu. Pendapatan yang diperolehi dari pekerjaannya itu cukuplah untuk
menampung kehidupannya di kota itu. Untuk membayar sewa rumah dan makan
minumnya. Dapat juga mengirimkan seringgit dua untuk emak dan ayahnya di
kampung sebagai mengenang budi dan jasa mereka.
“Yana, kau belum siap lagi ke? Cepatlah, kan kita nak
makan di luar malam ni?”jerit Saerah dari dalam bilik. Sudah dua kali dia melihat
dari pintu bilik ke ruang tamu. Dayana masih bergolek di depan televisyen.
“Ala, Saerah! Aku malaslah nak pergi. Aku makan kat rumah
ajelah,” jawab Dayana dengan suara lirih. Dia benar-benar rasa penat di saat
itu. Lagipun sejak tengah hari tadi kepalanya rasa sakit. Jangan-jangan
penyakit migrain datang menyerangnya lagi.
“Alah,janganlah begitu, Yana! Sejak kau duduk kat sini, belum pernah sekali
pun kita makan di luar sama-sama! Aku tahulah kau pandai dan rajin memasak! Tapi
sesekali kita tukar seleralah pulak,” leter Saerah sambil berjalan keluar dari
bilik. Dia sudah siap berdandan dengan blaus tidak berlengan dan berseluar jeans ketat.
“Aku sakit kepalalah, Saerah! Kalau kau tak keberatan, kau
bungkuskan untuk aku,”kata Dayana sambil memeluk bantal gulingnya. Dia
memejamkan mata tanpa mengendahkan renungan Saerah.
“Okeylah, Yana. Nanti aku tapau untuk kau. Ubat? Ubat ada tak? Kalau tak ada, aku belikan nanti,”tawar
Saerah lagi. Dia menjamah dahi Dayana dengan telapak tangannya.
“Panaslah, Yana! Kau ni, tapi bekerja di klinik! Sebelum
balik tadi, suruhlah doktor periksa kau sekejap! Ambil ubat sekali,”rungut
Saerah dengan suara kuat.
“Aku sakit kepala aje! Agaknya migrain,”jawab Dayana
dengan suara lemah sambil memegang tangan Saerah yang sedang menyentuh dahinya.
“Kau tu, Yana. Jagalah kesihatan sikit. Aku tengok
malam-malam pun kau susah nak tidur! Tak usah dikenangkan lagi perkara yang
lepas. Akif tu kau lupakan aje, Yana. Dah lama dia hilang. Entah-entah dah jadi
ulat,” nasihat Saerah dengan nada perlahan sambil menepuk belakang Dayana
sebelum dia beredar ke pintu.
Dayana tidak menjawab kata-kata Saerah itu. Saerah tidak
pernah merasa apa yang sedang dirasakannya. Mudahlah dia memberi nasihat supaya
melupakan Akif. Tapi mudahkah baginya melupakan orang yang sangat dikasihinya? Sudah
tentu tidak.
Bunyi jam loceng di hujung kepala katil mengejutkan Nur Aiman pada pagi itu. Dia
mencelikkan matanya dan bangun sambil menggeliat. Mata Nur Aiman merenung di
atas tilam, tempat yang sengaja dikosongkan untuk Akif. Cadar yang membaluti
permukaan tilam itu nampak kemas dan tidak berkedut walau sedikit. Nur Aiman
tersenyum pahit.
Akif tidak seperti bekas teman lelakinya. Akif tidak
tunduk kepada nafsunya. Bayangan Zaim menerjah kenangannya.Zaim lelaki jahat! Sumpahnya
di dalam hati. Zaim telah mempermainkannya. Zaim telah mengolok-olokkan hasrat
hatinya untuk memeluk agama Islam. Keinginan hatinya yang ingin berkahwin
dengan Zaim dan memeluk agama Islam telah ditentang oleh papa dan mama
sekeras-kerasnya. Lantas tangisan kecewa dilimpahkan di bahu Zaim. Lalu Zaim memujuknya
dan memberi idea yang pasti dapat menyebabkan percintaan mereka dipersetujui
oleh papa dan mamanya. Walaupun dia menolak, Zaim tetap mendesak.
‘Selepas ini Szeze masuk Islam. Pasti papa Szeze tidak
lagi melarang. Setelah itu kita akan kahwin. TUHAN tidak melarang hamba-NYA
berbuat dosa. Jika tersilap segeralah bertaubat. TUHAN Maha Pengampun. Menyayangi
hamba-hamba-NYA. TUHAN akan mengampunkan dosa-dosa hamba-NYA walaupun sebanyak
buih dilautan.’Begitulah pujukan Zaim. ‘Setelah Szeze peluk Islam, semua dosa, TUHAN
akan ampunkan. Szeze seolah bayi yang baru lahir. Suci dan bersih.’
Zaimbegitu bijak melentur lidahnya mengungkapkan
perkataan yang membutakan hatinya. Pada mulanya Zaim memujuk, namun akhirnya terus
mendesak dan memaksa dengan kekerasan. Setelah itu Zaim memujuknya kembali dan
terus memutarkan kata-katanya. Zaim telah mengajarnya mengucap kalimah syahadah.
Dan dia terus percaya yang lelaki itu dapat membimbingnya mencari kebenaran dan
mengenal TUHAN semesta alam.
Nur Aiman meraba-raba perutnya. Hatinya berasa hiba
seketika. Dia menghampiri suaminya dari arah belakang dengan langkah yang
perlahan.
“Akif...”panggilnya lembut. Akif segera menoleh lalu
melontarkan senyuman. Senyuman Akif tidak dibalas.
“Mengapa Aiman bangun awal sangat ni? Bila masuk waktu
subuh nanti, Akif akan kejutkan Aiman untuk solat! Aiman kan dah sarat tu,kena
tidur dan rehat yang cukup,” nasihat Akif sambil melihat Nur Aiman dengan
penjuru matanya.
“Mengapa Akif tak tidur dari semalam?”tanya Nur Aiman
sambil merenung wajah Akif di dalam limpahan cahaya lampu yang suram. Akif menggeleng.
“Akif tak boleh nak lelapkan mata, Aiman. Akif bangun
tunaikan solat tahajud,”beritahu Akif. Sekali lagi bola matanya terlontar ke
arah luar rumah yang masih diselubungi kegelapan.
Nur Aiman terdiam seketika. Dia sudah tahu tentang solat
sunat tahajud itu. Dia juga tahu mengapa suaminya tidak dapat melelapkan mata
sejak semalam. Bahkan malam-malam sebelumnya juga, Akif kerap berjaga malam.
“Akif...”seru Nur Aiman lembut. “Aiman ingin cakap
sesuatu...”
Akif terus merenung kepadanya dengan wajah tenang dan
mengangguk. Agak lama mereka berbalas renungan.
“Akif, Aiman faham, Akif terpaksa tinggal di sini
menemani Aiman, menjaga Aiman. Aiman tidak berkecil hati kalau Akif membenci
Aiman punkerana Aiman dan papa telah menyusahkan Akif.”
Untuk apa lelaki itu mengorbankan diri kerananya. Tiada
perasaan cinta antara mereka. Tidak juga rasa kasih dan sayang. Bahkan tidak
ada perasaan apa-apa pun. Ikatan perkahwinan mereka itu hanyalah keterpaksaan
yang terpaksa direlakan. Namun, pengorbanan yang dilakukan oleh Akif untuk
dirinya amat besar. Sehingga saat itu dia tidak dapat mencari jawapan mengapa
lelaki itu sanggup berkorban untuknya. Masih setia menemaninya walaupun
kadangkala dia bersikap acuh tak acuh.
“Kalau Akif nak balik ke Malaysia, Akif baliklah. Tinggalkan
Aiman di sini. Bi... biar Aiman tinggal di sini. Pak long ada untuk jaga Aiman,”
kata Nur Aiman lagi.
Matanya merenung ke wajah Akif yang muram. Akif merenung
ke mata bundar isterinya itu beberapa ketika. Dia diam sekali lagi. Membiarkan
Nur Aiman menanti jawapan.
“Nur Aiman...”katanya selepas itu dengan suara lirih.“Saya
takkan balik keseorangan. Aiman, isteri saya. Saya bertanggungjawab terhadap
Aiman dan...” kata-kata Akif terhenti di situ.
Tangannya memegang perut Nur Aiman. Tangan Nur Aiman
memegang belakang tangan Akif yang berada diperutnya. Hatinya terasa ngilu. Sungguh
ngilu.
“Tapi...yang dalam perut ni, bukan anak Akif. Anak haram.
Anak luar nikah. Lepas lahir nanti Szeze nak beri kepada orang,”kata Nur Aiman
dengan suara sebak. Kadang-kadang dia masih belum membiasakan lidahnya untuk
membahasakan diri sebagai Aiman. Saat itu, hatinya bagai dihiris-hiris. Kolam
matanya mulai terasa hangat. Digenangi air yang menanti detik untuk membanjiri
pipinya.
“Astaghfirullahalazim! Aiman, jangan kata begitu. Tak
baik. Anak tu tak bersalah. Dia tetap suci. Dia tidak berdosa,” ujar Akif.
“Seperkara lagi, mulai saat ini Aiman kena bahasakan diri
dengan saya sebagai Aiman atau Nur atau Zumaiah. Semua nama-nama itu membawa
maksud yang sangat baik. Nur itu cahaya. Aiman itu maksudnya berkat. Zumaiah
itu maksudnya yang berani atau cekal,” terang Akif dengan lembut.
‘Nur Aiman’ nama yang telah dipilih untuk anak sulungnya
yang bakal lahir setelah pernikahannya dengan Dayana. Namun, manusia hanya
merancang TUHAN tetap melaksanakan perancangan terhadap setiap hamba-NYA tanpa
cacat cela mengikut kehendak-NYA.
“Akif nak bela anak ini?”soal Nur Aiman lagi. Inginkan
kepastian. Tangannya memegang perut yang membusung sambil matanya menatap wajah
Akif.
Mana mungkin mereka memelihara anak itu. Sedang untuk
membawanya di dalam kandungannya pun dia sudah rasa tertekan. Bayangan wajah
teman lelaki yang telah meranapkan kesuciannya sering menghantuinya. Apatah
lagi jika bayi itu sudah dilahirkan nanti.Jika bayi itu mewarisi wajah lelaki yang telah memalit
kekotoran di dalam sejarah hidupnya, bagaimanakah dia dapat mendepani situasi itu?Sedangkan
perasaan marah dan benci yang menggunung telah bersarang di hatinya.
“Nak bela ke?”soalnya lagi kepada Akif.
Akif mengangguk. Bibirnya melarik senyuman tulus.
“Bukankah Aiman ni isteri Akif? Takkan Akif tak mahu
pelihara anak yang dilahirkan oleh isteri Akif?”soal Akif lembut sambil
merenung ke mata isterinya yang sedikit sepet kerana baru bangun dari tidur.
“Tapi dia anak haram! Kata papa nanti dia bawa sial
kepada ibu dan bapa,”jawab Nur Aiman spontan sambil merenung sayu ke wajah Akif.
Sekali lagi Nur Aiman mengungkapkan kata-kata yang menyebabkan Akif tersenyum.
“Aiman, tak ada sial malang kepada hamba ALLAH. Semua
manusia itu sama saja di sisi TUHAN. Hanyaketaqwaan, keimanan dan amal soleh
yang membezakannya. Setiap perkara yang berlaku telah ditetapkan oleh ALLAH. Sebagai
seorang Islam, kita tidak boleh mempercayai perkara yang sebegitu. Tidak ada
yang lebih
berkuasa melainkan ALLAH,” jelas Akif kepada Nur Aiman. Isterinya seorang
saudara baru yang harus dipujuk dan dijinakkan hatinya untuk menghayati Islam.
“Begitu besarnya kuasa ALLAH?”tanya Nur Aiman. Akif
mengangguk-angguk.
Isterinya itu seorang mualaf. Terlalu banyak perkara yang
dia belum tahu. Namun begitu, Akif tidak dapat menolak yang ramai lagi
saudaranya yang seagama yang Islamnya sejak lahir masih mempercayai kepada
perkara-perkara karut, tahyul dan khurafat seperti itu.
“Sze... Aiman mintak maaf! Aiman mintak maaf. Aiman akan
terus mempelajari ilmu agama dengan bantuan Akif...Insya-ALLAH,” kata Nur Aiman
dengan suara menggeletar. Saat Akif menasihatinya dengan nada suara yang lembut
dan tenang, perasaan kasihnya terhadap lelaki itu menjalar-jalar di setiap urat
sarafnya.
“Akif, Aiman akan pelihara anak ini sebaik-baiknya. Beri
pendidikan agama supaya dia menjadi anak yang so... solah...”sambung Nur Aiman
lagi. Dia selalu mendengar perkataan itu diungkapkan oleh sahabatnya yang
berbangsa Melayu.
“Anak yang soleh! Bukan solah!” kata Akif membetulkan
percakapan Nur Aiman yang sesekali pelat.
Nur Aiman tersenyum dan memandang ke wajah Akif. Dia
tidak tahu apakah yang bersemadi di dalam hati lelaki itu yang sanggup
menikahinya. Antara mereka berdua akan termeterikah rasa cinta kerana pertalian itu sekadar simpati, atas desakan
bapanya?Jangan-jangan pertalian itu akan putus sebaik sahaja bayi yang
dikandungnya dilahirkan. Akif akan meninggalkannya sebagaimana yang dilakukan
oleh bekas teman lelakinya yang durjana itu.
“Kenapa ni? Tiba-tiba Aiman diam membisu?”soal Akif pula
apabila melihat Nur Aiman Zumaiah membisu terlalu lama.
“Aiman sedang berfikir, mengapa tiba-tiba kita boleh
berjumpa. Tiba-tiba juga, Akif menjadi suami Aiman. Dalam masa beberapa hari saja.
Alangkah mudahnya hati Akif menerima desakan papa. Senangnya Akif menerima
Aiman yang sudah ternoda,”jawab Aiman dengan suara gementar. Dia memberanikan
dirinya untuk memegang tangan Akif. Walaupun sudah 4 bulan dia menjadi isteri
lelaki itu, perhubungan mereka seperti orang asing. Akif hanya membiarkan
pegangan tangannya tanpa balasan.
“Nur Aiman, jika ALLAH ingin menjadikan sesuatu, tidak
ada sesuatu pun yang dapat menghalangnya. ALLAH yang telah mengaturkan
segala-galanya. DIA Maha mengetahui dan Maha Bijaksana,” jawab Akif perlahan. Walaupun
sudah berulangkali dia menerangkan perkara yang sama untuk pendengaran
isterinya itu,
“Lagipun, hati setiap manusia berada di dalam genggaman
ALLAH. Begitu juga dengan hati Akif. ALLAH yang berkuasa kepada hati
hamba-hambaNYA. DIA yang membuka pintu hati Akif untuk menerima Aiman,” jelas
Akif lagi dengan teratur.
“DIA juga yang memberi pertunjuk dan hidayah ke dalam
lubuk hati Nur Aiman untuk peluk Islam, kerana kuasa memberi pertunjuk dan
hidayah kepada seorang manusia itu hanyalah ALLAH,”ungkap Akif lagi dengan
perlahan dan teratur. Dengan sabar dan tenang dia berbicara dengan Nur Aiman. Wanita
muda itu yang baru ingin mengenali TUHAN yang Maha Agung.
“Rukun Iman yang ke-6, percaya kepada qada dan qadar
ALLAH. Semua yang berlaku sudah takdir,” beritahu Akif lagi dengan lembut. Nur Aiman mendengar kata-kata
Akif dengan teliti sambil menundukkan wajahnya dengan perasaan syahdu.
“Akif, terima kasih,”balas Nur Aiman dengan bibir yang
bergetar. Kolam matanya basah.
“Tapi kalau Aiman nampak Akif selalu bermenung, Aiman
susah hati,”rintihnya perlahan. Akif tersenyum sambil memegang kedua-dua bahu
isterinya.
“Aiman jangan fikir yang bukan-bukan. Nanti akan
mengganggu kandungan tu. Lebih baik Aiman berzikir, berselawat dan berdoa. Mudah-mudahan
bayi yang akan dilahirkan sihat dan sempurna,” nasihat Akif. Untuk mengajak
seorang mualaf ke jalan TUHAN dia perlu berhikmah di dalam kata-kata.
“Zikir yang mana satu? Subhanallah, ALLAHUAKBAR. Yang itu
ke? Boleh sebut ke bila-bila masa?”soal Nur Aiman. Matanya mengecil sewaktu
merenung Akif. Akif mengangguk-angguk. Nur Aiman terus merenung ke wajah Akif. Mereka
beradu pandangan beberapa ketika. Dapatkah dicari warna cinta di sebalik wajah
yang bersih dan tenang itu. Cinta untuknya sebagai isteri?
“Bacalah apa-apa pun, Aiman. Asalkan ayat-ayat yang Aiman
baca itu untuk memuji kebesaran dan keagungan ALLAH. Agama Islam itu agama yang
sangat mudah dan indah. Ia tidak pernah menyusahkan umat-NYA untuk mendekatkan
diri kepada TUHAN. Kalau Aiman tak mampu untuk mengucapkan ayat-ayat yang
panjang cukuplah sekadar Aiman menyebut ALLAH, ALLAH, ALLAH atau lain-lain nama
TUHAN yang terangkum dalam nyanyian Asmaul Husna itu,”nasihat Akif kepada
isterinya.
Nur Aiman mengangguk-angguk. Akif sudah mengajarnya
menyanyikan lagu nama-mana TUHAN itu. Namun jauh di dasar hatinya tersedip juga
satu pertanyaan. ‘Selama manakah Akif akan menjadi suamiku?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan