Isnin, 28 September 2015

Cinta Tak Pernah Usai - Bab 25



HIDUP ini adalah sebuah perjalanan. Kadangkala kita tiba di destinasi yang pahit. Kadangkala pula  persinggahan kita suatu tempat yang cukup indah dan mengujakan. Kadangkala kita letih, kadangkala kita lalai seketika. Kadangkala kita terlanggar sesuatu dan terjatuh. Itulah perjalanan. Dan kini perjalanan hidupnya jauh terlontar dari pandangan mata ayah dan emak sertatunangannya. Namun tidak mungkin dia terbuang daripada pandangan ALLAH yang telah menciptakannya. Ingatannya terus memutar kenangan yang masih jelas dalam fikiran dan bayangannya.
“Dia bikin malu wa!  Lu tengok dia punya perut! Saya ingat lagi empat lima bulan sudah mahu pecah!  Sudah mahu beranak! Tapi jantan itu sudah lari! Tarak guna! Wa malu!”Lelaki Cina itu terus memekik. Isterinya yang duduk berhampiran diam tidak berkata sesuatu malah duduk di sofa dengan wajah yang penuh ketakutan. Pekikan lelaki Cina itu memancung lamunan dia yang masih berdiri mematung di depan mereka.
“Apa pasal lu tak mahu dengar cakap waa!”marahnya kepada anak gadisnya yang duduk terperosok di atas sofa. Tangisan anaknya itu masih belum berhenti.
“Lu pergi cari dan mesti kahwin dengan jantan itu juga! Kalau tidak wa tembak lu!”jerit lelaki Cina itu pula sambil menarik rambut anak gadisnya serta menempeleng pipi gadis itu.
“Kenapa lu kawan dengan jantan Melayu tu?”soalnya lalu tangannya laju menampar belakang anak gadisnya itu yang tidak sempat mengelak lagi.
“Wa sudah cakap, lu akan kahwin dengan Steven! Kenapa lu degill”marahnya. Sekali lagi tangannya menyentak rambut anak gadisnya yang panjang.
“Szeze tak cinta dia,” jawab anak gadis itu dengan suara yang mengecil di hujungnya. Esak sedunya masih belum berhenti. Tubuhnya bergegar kerana esakan. Namun, esakannya yang bertalu meskipun menggegarkan seluruh tubuhnya dan meleraikan anggota tubuh itu tak mungkin dapat memudarkan kesedihan yang sedang menggenggam sanubarinya, walau seketika.
“Cinta?”ungkap lelaki Cina itu dengan nada mengejek.
Cintalah yang telah buat lu jadi begini?” tanyanya sambil memandang anak gadisnya itu dengan pandangan jengkel.
“Wa sudah janji dengan pak long lu, sejak lu kecil lagi! Sekarang lu buat perangai! Lu kasi malu wa punya muka sama lu punya pak long!”jerit lelaki Cina itu. Kemarahannya masih berterusan. Kulit wajahnya yang cerah semakin memerah jambu.
“Sekarang! Steven pun sudah tak mahu sama lu! Belum register, dalam perut sudah ada anak! Serupa anjing!”katanya lagi dengan nada yang masih belum berubah.
Isterinya memarahi lelaki Cina itu dengan bahasa Mandarin. Lelaki Cina itu bertikam lidah pula dengan isterinya dengan suara yang kuat. Suasana di ruang tamu rumah itu bertambah panas meskipun udara di sekeliling sedang mendingin.
“Lu selalu manjakan anak lu!”jerit lelaki itu dengan kuat secara tiba-tiba. Lalu dia meninggalkan ruang tamu itu dan kembali semula tidak berapa saat kemudian. Di tangannya ada sepucuk pistol.


“Wa akan tembak lu, lepas tu mama lu, lepas tu...”kata lelaki Cina itu sambil menghalakan muncung pistol ke kepala sendiri. Nafasnya juga semakin deras. Mukanya merah padam. Matanya merenung buas ke arah isteri dan anak gadisnya yang menangis tidak berhenti serta merengek-rengek di dalam bahasa Mandarin.
“Astaghfirullahalazim! Uncle! Sabar!”Begitulah katanya kepada lelaki Cina yang sedang diamuk perasaan marah bercampur geram.
“Eh! Jantan yang kasi rosak anak wa tu sama bangsa dengan lu! Sama agama dengan lu! Sekarang wa mau tanya sama lu, lu mau kahwin dengan anak wa atau lu mau wa tembak anak wa kasi mati malam ni jugak!”ancam lelaki Cina itu cuba berunding dengannya.
“Lu yang selamatkan dia dari bunuh diri! Dia mesti teruskan hidup sama lu! Wa tak peduli! Asalkan bila dia beranak, dia sudah ada laki!”kata lelaki Cina itu dengan suara tegang dan kuat.
Mesti selesaikan malam ini jugak!”desaknya lagi sambil menghela nafas panjang dan kerap.
“Tak boleh begitu Uncle! Uncle tak kenal sama saya! Saya datang sini, mahu hantar anak Uncle balik saja!  Saya mahu tolong saja!”katanya cuba menolak dengan cara yang terbaik dirasakannya. Dengan tiba-tiba dia dihadapkan dengan ujian yang sebegitu berat. Sudahlah sebelum ini dia dipukul sehingga pengsan begitu lama.
“Kalau begitu wa tembak!”ugut lelaki Cina itu lagi. Dia menghalakan muncung pistol ke sana dan ke sini dengan nafas yang mencungap.
 ‘Tam!’ Bunyi tembakan itu mengejutkan semua penghuni di ruang tamu. Mereka saling berenungan. Satu das peluru menembusi potret keluarga yang tergantung di dinding. Cermin yang menutupi gambar dalam frame berderai. Kepingan gambar tobek dan berlubang.
“Lu mau ambil tanggungjawab bangsa dan agama lu ataupun tidak!?” soalnya lagi lalu menghalakan muncung pistol ke kepala anak gadisnya yang semakin kuat sedunya. Dia  tergamam dan serba salah.
“Lu mau atau tidak?”ulangnya lagi. Dengan amat payah itu dia terpaksa mengangguk-angguk apabila melihat lelaki Cina itu sudah melekapkan muncung pistol ke dahi anak gadisnya yang menangis berpanjangan. Saat itu bagaikan nyawanya yang sedang dicabut perlahan.
“Jantan Melayu dan Islam selalu macam ini! Tak guna! Jahat!”tuduh lelaki Cina itu dengan suara keras.Kuat tipu!!”sambungnya lagi dengan nada benci.
Pipinya bagaikan disiram dengan air dari perlimbahan. Maruahnya, maruah agama yang dicintainya seolah dipijak-pijak. Lantas hatinya membuat keputusan mukatamad. Demi TUHAN yang dicintai sepenuh hati. ISLAM agama suci. Penganut-penganutnya harus berperibadi mulia kerana mencontohi akhlak junjungan besar Nabi Muhamad SAW.
“Tapi anak uncle kena ikut agama saya!”beritahunya dengan suara jelas dan tegas. Teringat dia kepada ayat dalam al-Quran, terangkum dalam surah al-Baqarah, Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam). Air liur yang ditelan sudah berkali-kali. Tidak menduga, pertolongan yang ingin dihulurkan kepada seorang gadis, menjerat lehernya sendiri.
“Wa tak kisah kalau dia ikut agama lu!”kata lelaki Cina itu lagi dengan suara kuat. Nafasnya masih deras. Anak gadisnya yang sedang merengek menangis, terdiam serta merta. Deras bola matanya merenung wajah bapanya.


“Kenapa lu diam?”jerkah lelaki itu lagi kepadanya. Pada saat itu dia sedang mententeramkan hatinya dengan mengingatkan ayat-ayat ALLAH yang selalu dibaca.
‘ALLAH, tiada TUHAN melainkan DIA. Yang hidup kekal lagi terus menerus menguruskan makhluknya. Tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-NYA apa yang dilangit dan dibumi. Siapakah yang dapat memberi syafaat disisi ALLAH tanpa izinnya.
ALLAH mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu ALLAH melainkan apa yang dikehendaki-NYA. Kursi ALLAH meliputi langit dan bumi. Dan ALLAH tidak merasa berat memelihara keduanya, dan ALLAH Maha Tinggi Lagi Maha Besar’ ( al-Baqarah 255/ Ayat Kursi).
Sesungguhnya kalam ALLAH itu memudahkan hatinya membuat keputusan yang amat berat.
Ya ALLAH, bantulah hamba-MU ini. Berilah kekuatan untuk menempuhi dugaan-MU yang amat hebat ini,’bisiknya.
“Err... cik.. relakah hati cik...”
“Tunggu dulu!”celah gadis itu dengan suara serak. Sedu sedannya masih tersisa. Mata yang bundar kelihatan sepet kerana kesan tangisnya.
“Dengar apa yang saya ingin katakan. Betulkan jika tersalah,”sambungnya lagi dengan esakan. Bahasa Melayu yang diungkapkannya agak fasih.
“Ashhaduallailahaillallah. Wa ash hadu anna Muhamadarasulullah. Aku naik saksi, tiada TUHAN yang disembah, melainkan ALLAH. Aku naik saksi bahawa Muhamad itu pesuruh ALLAH.”Dengan suaranya yang terketar-ketar dia  mengungkapkan kalimah itu.
“Szeze!” tempik lelaki Cina itu dan isterinya hampir serentak. Bulat mata kedua-duanya memandang anak gadis mereka.
“Papa... Szeze memang sudah lama anut Islam...”
Gadis itu terus meraung dan menyembamkan mukanya di atas lantai sambil menangis. Dia menyembamkan mukanya di atas  lantai berkali-kali di hadapan kedua ibu bapanya sambil meraung kuat.
‘Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki ALLAH, sesungguhnya ALLAH adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya).
Gelora di hati menghempas jiwa seolah akan meleraikannya. Nafasnya seolah terhimpit.’ La Qhauwala wala Qhu wata illa billa hil azimm,’ucapan itu seolah meniti ke seluruh urat dan nadinya.‘Aku milik Yang Di Atas Sana’ bisik hatinya.Pernafasannya kembali lapang.Walau di lubuk hati dapat merasakan perjalanan hidupnya selepas ini penuh berduri.
Wong Szeze yang telah dinamakan Nur Aiman Zumaiah Wong binti Abdullah. Sukar untuk mempercayainya, gadis berketurunan Cina yang berusia 23 tahun itu akan menjadi isterinya. Tidak pernah dijangkakan oleh fikirannya bahawa dirinya akan terlontar jauh dari tanahair tercinta. Demi menyelamatkan 4 jiwa. Demi menyelamatkan aqidah seorang mualaf yang telah dianiayai oleh lelaki sebangsa dan seagama dengannya, dia rela untuk mengharungi segala risiko yang bakal mendatang. Ikatan kasih dengan gadis pilihan hati terpaksa dirungkaikan dengan senyap. Dalam rahsia.

Takdir yang telah terukir untuk cinta mereka, nukilannya ialahimpian tidak kesampaian. Tidak sanggup membayangkan bagaimana keadaan keluarga menghadapi kehilangannya, di saat majlis pernikahan. Tidak rela juga membayangkan kelukaan yang dirasai oleh gadis tunangan kerana ketidakmunculannya di hari bahagia mereka. Sesungguhnya, siapakah yang dapat menafikan yang jodoh, pertemuan, ajal dan maut itu tetap ketentuan TUHAN. Mengenang janji yang tak tertunaikan hatinya seolah-olah tertancap busar panah yang begitu menyakitkan.
‘Munafikkah aku?’soal hatinya.
Memang, di antara tanda-tanda orang munafik itu ialah orang yang memungkiri janji. Nafasnya seolah sesak. Tidak ingin meletakkan dirinya di dalam golongan orang munafik apatah lagi fasik kerana cita-citanya yang murni ialah ingin menjadi muslim yang soleh, beriman dan bertaqwa.
Fikirannya terus berlegar-legar. Matanya merenung ke luar jendela. Pemandangan di luar sana berbeza dengan pemandangan di tempat kelahirannya. Dulu rumahnya terletak di pinggir desa yang damai. Kebanyakan penduduk kampung mengerjakan sawah bendang sebagai sumber pendapatan. Justeru banyaklah sawah bendang berhampiran dengan rumah ibu bapanya. Dia sendiri memilih untuk menjadi peniaga di pekan berhampiran. Di pekan Parit Buntar, dia memulakan perniagaan dan mempunyai pasar mini.
AKIF BIN SHUKRI.
Sekeping cek atas namanya dengan nilai RM300,000 diserahkan oleh bapa Wong Szeze kepadanya. Selepas selesai upacara mendaftarkan Wong Szeze sebagai mualaf di pejabat agama dan ijabkabul mereka. Melihat nilai cek yang terhampar di depan matanya dia sudah dapat meneka bahawa lelaki Cina itu seorang yang kaya. Mungkin seorang jutawan atau hartawan.
“Saya tak mahu cek ni, Uncle! Saya tolong kerana ALLAH. Saya tak mahu Uncle tembak anak Uncle, tembak isteri Uncle, tembak diri Uncle! Perbuatan membunuh jiwa orang lain dan jiwa sendiri itu, berdosa. Ditegah oleh semua agama.”
Begitulah katanya sambil menolak cek itu. Meskipun dia pasti lelaki Cina yang telah menjadi bapa mertuanya itu tidak mengerti maksud kata-katanya.
“Lu bawa bini lu pergi jauh-jauh. Aku tak mahu tengok muka dia lagi. Tapi kalau aku dapat tahu lu kasi anak aku hidup dalam dunia macam neraka,aku...”Lelaki Cina itu tidak meneruskan kata-katanya. Namun,dia sudah faham, jika dia menyeksa hidup anak gadis tunggal lelaki Cina itu, pasti kepalanya akan ditembak..
“Anak aku tak pernah hidup susah!”katanya lagi sambil menghulur kepingan cek tadi dan mendesak dia untuk menerimanya.“Lu jangan cuba lari untuk tinggalkan anak aku! Aku punya orang akan cari lu sampai lubang cacing! Aku suruh depa tembak lu sampai hancur!”ugut bapa mertuanya dengan suara kuat sambil mengetapkan bibirnya.
“Lu pergi duduk dengan abang aku di Beijing sampai Szeze bersalin”Arahan demi arahan terlontar dari bibir bapa mertuanya. Sudah empat bulan peristiwa itu berlalu. Menurut kehendak bapa gadis itu, dia terpaksa berhijrah. Meninggalkan keluarga tercinta tanpa sepatah pesanan buat panduan mereka. Dia pasti mereka kini tercari-cari. Tambah-tambah lagi Dayana. Sudah tentu akan merasai kehilangan yang amat sangat.



Kepulangannya dari rumah Dayana senja itu rupa-rupanya telah membawanya ke lorong takdir yang tersasar daripada impian cinta mereka. Fikiran Akif terus melayang mengenangkan saat pertemuannya dengan Wong Szeze.
Lantaran berasa simpati kepada gadis muda yang sudah dianiayai oleh kaum sejenisnya, bahkan sebangsa dan seagama, dia menawarkan diri untuk menghantar gadis itu pulang ke rumah. Membiarkan gadis itu keseorangan meratap kesedihan dijerut kekecewaan, pasti dia akan meneruskan niatnya untuk membunuh diri. Syaitan akan menjadi teman kepada orang yang di dalam permasalahan dan kesedihan.
Hampir pukul 1.00 pagi dia tiba di rumah orang tua gadis  itu. Pintu dibuka oleh seorang lelaki Cina yang sedang marah. Sebaik sahaja gadis itu melolos pintu dan bercakap sesuatu dengan lelaki itu sambil menangis, tiba-tiba sahaja dua orang lelaki keluar dari dalam rumah lalu meluru ke arah dia yang tercegat di muka pintu.
Beberapa biji buku lima hinggap di muka dan di kepalanya. Rasa kaget dan terkejut menyebabkan dia tidak sempat melawan. Satu pukulan yang amat kuat hinggap di belakang lehernya. Setelah itu dia tidak mengingati apa-apa lagi.
Sesedarnya dia berada di atas katil. Anak gadis Cina itu duduk di hujung kakinya sambil meratap. Apabila diberitahu yang dia tidak sedarkan diri selama tiga hari kerana dipukul kuat pada pangkal lehernya, dia kebingungan. Hari majlis kenduri pernikahannya sudah pun berlalu.
Saat itu Akif mengeluh payah. Pasti akan berlaku kekecohan jika dia membawa Nur Aiman pulang. Dayana pasti tidak dapat menerima kenyataan pada waktu itu. Begitu juga keluarganya dan keluarga bakal mertuanya. Nur Aiman pula benar-benar di dalam kelemasan. Gadis itu mengharapkan sepasang tangan datang membantu serta menariknya keluar dari telaga azab.
Noda pun sudah tercalit di dalam sejarah hidupnya. Kehormatan dicemari oleh lelaki bergelar kekasih yang berhati keji. Emak dan ayah yang kecewa juga telah tidak mahu menerimanya sebagai anak lagi. Dugaan ini pasti memamah dan mencarik-carik jiwa serta hati gadis itu.Segala-galanya menjadi kusut dan berserabut dalam sekelip mata, sukar untuk dileraikan pada saat itu.
Mujur pada hari itu semua dokumen penting pengenalan diri ada bersamanya. Kad pengenalan, pasport antarabangsa, buku bank dan lain-lain. Mujur juga di tangannya ada wang tunai yang sememangnya disediakan untuk perbelanjaan majlis perkahwinannya. Pada saat keluarga pihak pengantin perempuan dan keluarganya resah mencari dia yang menghilangkan diri di hari pernikahan, dia dan Nur Aiman sibuk menguruskan perjalanan mereka untuk tiba di bumi Beijing. Diawasi oleh konco-konco bapa mertuanya yang berlagak gangster.
Selepas sahaja mereka bernikah di pejabat agama dan mendaftarkan Wong Szeze sebagai mualaf, bapa Wong Szeze, Wong Pek Chak menyuruh kulinya menghantar mereka ke Kuala Lumpur. Mereka menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur selama urusan dokumentasi pemergian mereka ke Beijing selesai. Urusan visa selesai dalam tempoh tidak sampai 10 hari. Dia yang kebingungan seolah telah kehilangan perasaan untuk menghubungi keluarga di kampung. Dari KLIA mereka menaiki pesawat ke Beijing dengan perasaan berbaur.
Di Beijing, Wong Pek Chau, bapa saudara dan Steven, sepupu Wong Szeze atau Nur Aiman telah sedia menunggu kedatangan mereka. Wong Pek Chau juga telah menyediakan sebuah rumah untuk mereka.
“Akif, kenapa termenung?”Menjengah suara itu ditelinganya memancung lamunan Akif. Dia menoleh ke sisinya. Nur Aiman sedang menatang dulang minuman.

“Tak ada apa-apa,” jawab Akif perlahan. Matanya menjeling Nur Aiman yang nampak lemah. Wajahnya pun nampak sembab.
Mata Akif terlontar pula ke perut Nur Aiman. Perut yang besar dan membulat sudah melurut ke bawah. Jangan-jangan beberapa hari lagi, Nur Aiman akan melahirkan bayi yang sedang dikandungnya. Akif tunduk memandang lantai. Ketabahannya kini seolah rebah. Amat besar dugaan daripada TUHAN. Entah bagaimana dia boleh terheret di dalam permasalahan itu. Menjadi pak sanggup ke atas perbuatan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Batang tubuhnya pula terlontar ke negeri yang asing. Tanpa Dayana dia berasa amat sepi.
“Aiman selalu nampak Akif termenung. Mesti Akif berasa kesal! Aiman mintak maaf!”ungkap bibir isterinya. Sudah beribu kali Nur Aiman memohon kemaafan daripadanya. Akif menatap wajah Nur Aiman yang muram. Apakah kesalahan wanita itu kepadanya? Tanya hati Akif berulang kali setiap kali isterinya itu memohon maaf.
Nur Aiman tidak minta kepadanya supaya mereka bertemu pada senja itu. Tidak juga memohon atau merayunya supaya menghentikan kereta untuk memujuknya dari terjun ke dalam sungai yang mengalir deras dan keruh airnya itu. Siapa yang mendesaknya untuk melakukan semua itu? Akif menyoal dirinya sendiri. Pasti yang di atas sana. DIAlah TUHAN pemilik seluruh alam dan sekelian makhluk. DIAlah yang melontar rasa belas ke seluruh pelosok hatinya untuk melakukan kebaikan dan membantu gadis Cina itu.
“Akif, tinggalkanlah Sze...Aiman...”pinta Nur Aiman pula dengan suara perlahan sambil menundukkan wajahnya.
Kadangkala sukar bagi wanita Cina itu untuk membahasakan dirinya dengan nama yang baru. Nur Aiman Zumaiah. Sukar juga baginya untuk menyesuaikan dirinya dengan Akif. Lelaki yang tidak pernah diimpikan untuk menjadi suami. Segalanya begitu asing baginya. Sekelip mata dia terpaksa menjalani kehidupan yang baru dengan lelaki yang tidak pernah dikenalinya. Apatah lagi mencintainya. Kini, beberapa bulan bersama, dia masih keliru dengan perasaannya terhadap lelaki itu. Yang pastinya apabila dia teringatkan Zaim, hatinya sukar untuk menerima  Akif.
“Aiman, tak ada apa yang saya kesalkan,” jawab Akif.
“Cuma kadangkala saya teringat kepada tunangan saya,” sambungnya lagi dengan suara yang terhimpit. Bibirnya digigit kecil. Jawapan itu menyebabkan Nur Aiman terdiam. Wanita itutunduk.
“Sebenarnya...”kata Akif lagi. Setelah itu dia terdiam kerana tidak pasti untuk mengungkapkan cerita yang terpendam di lubuk hatinya.
“Hari yang kita bertemu di dalam hujan lebat itu,Akif baru balik dari rumah Yana,tunangan Akif.” Sebak suara Akif sewaktu bercerita. Dia mengusap dadanya berkali cuba meredakan kesedihan yang sedang menghujam setiap penjuru hatinya.
“Kami berbincang tentang majlis pernikahan yang akan diadakan pada hari Sabtu tu,”sambung Akif sambil menundukkan kepalanya. Saat itu hatinya dicengkam kehibaan. Nur Aiman yang mendengar ceritanya hanya menyepi, namun batinnya terus diasak oleh berbagai perasaan. Rasa bersalah dan sesalnya lebih besar dan dalam dari lautan yang ada.
“Semua persiapan untuk majlis pernikahan dan perkahwinan sudah sedia,tapi...”Sekali lagi Akif berhenti berbicara. Tak guna dikenangkan lagi peristiwa yang telah berlalu.


“Tapi Aiman telah rampas Akif, kan? Aiman rampas Akif dari family Akif. Aiman yang menyebabkan segala kekalutan.”Nur Aiman terus menyalahkan dirinya sendiri. Nada suaranya perlahan. Suaranya semakin sebak.
Sesungguhnya sebagai seorang insan yang mempunyai hati dan perasaan dia tidak dapat menyembunyikan rasa kesalnya. Rasa bersalah yang melingkari jiwa sering mengocakkan tasik hati. Sentiasa mengejarnya sejak mereka dinikahkan.
“Aiman rampas Akif dari tunangan Akif, kan?”tanya Nur Aiman seolah berbisik.
Airmata sesal mula menjatuhi pipinya. Akif diam. Dia telah menceritakan segala-galanya kepada Nur Aiman. Seharusnya tiada rahsia antara mereka.
“Aiman... Akif tak pernah beranggapan begitu,” balas Akif. Perlahan suaranya. Matanya memandang ke wajah polos isterinya sekilas.
“Tapi tadi bukankah Akif bercerita yang Akif sudah mahu kahwin tapi kerana pertemuan kita, Akif langsung tak jadi kahwin dengan dia,tapi...kahwin dengan Aiman,” ujar Nur Aiman. Sepatah demi sepatah terungkap dari bibirnya dengan suara bergetar.
“Kalau Akif tak hantar Aiman pulang pada malam itu, pasti Akif takkan kena pukul oleh orang-orang papa sampai pengsan begitu lama,”rintih Nur Aiman penuh sesal.
Akif mengeluh perlahan. Memang benar, sebaik sahaja dia sedar dari pengsan, dia berada di atas katil di dalam sebuah bilik. Gadis Cina itu berada di hujung kakinya dan menangis bersungguh-sungguh. Rupa-rupanya dia dipukul kerana salah faham bapa gadis itu. Sangkanya dialah lelaki Melayu yang telah merosakkan anak gadisnya.
“Setelah itu papa paksa Akif kahwin dengan Aiman,”suara Nur Aiman seolah berbisik. Matanya dipejamkan seketika.
Suara papanya terngiang-ngiang di telinga. Juraian airmatanya berterusan. Kenangan yang terlayang di ingatan menggamit rasa hiba. Hatinya bagai disiat-siat. Berdosakah dia kerana mengikut kehendak hatinya yang dipercik dengan keinginan untuk beriman kepada ALLAH? Namun, mengapakah nasib malang pula yang menjeratnya sebaik sahaja dia mengikut kehendak hatinya itu. Dirinya diperkosa oleh lelaki yang ingin mengajarnya kalimah syahadah dan menunjuk ajar cara bersuci dan mandi hadas sebelum memeluk agama Islam.
“Akif...”rintih Nur Aiman sambil teresak. Tidak ada lagi kalimah yang mampu diungkapkannya. Sesungguhnya pada saat itu dia berasa tidak berdaya.“Kalaulah kita tidak dipertemukan pada senja itu...”
“Aiman, jangan dipertikaikan tentang pertemuan itu! Kita hanya manusia yang sangat lemah! Tidak ada kuasa menghalang aturan dan kehendak TUHAN,” pintas Akif tenang.“Kita tak akan tahu apa yang akan berlaku walau dalam masa sesaat selepas ini,” jelasnya pula.
“Semua ini TUHAN yang tentukan ke?”soal Nur Aiman lambat-lambat. Walaupun sudah acapkali Akif menjelaskan kepadanya, dia tetap tidak puas hati. Dia ingin meletakkan segala kesalahan itu di atas pundaknya sendiri tanpa melibatkan sesiapa.
“Ya, Aiman! TUHAN berkuasa kepada setiap sesuatu, meskipun kepada hal yang paling mudah dan kecil pada pandangan manusia,” jelas Akif sambil tersenyum. Cuba menggembirakan Nur Aiman.
Sama ada cinta atau tidak, wanita Cina yang sedang berdiri di hadapannya telah menjadi isterinya. Menjadi kewajipannya untuk memberikan kebahagiaan dan menggembirakan hati isterinya itu semampunya sebagaimana yang diperintahkan oleh ALLAH.

“Maksudnya?”soal Nur Aiman semakin tertarik dengan penjelasan Akif. Walaupun dia sudah tahu tentang kehebatan dan kekuasaan ALLAH, namun pengetahuannya itu masih lagi samar-samar.
“Tak akan ada embun yang menitis di atas bumi jika tidak diperintah oleh TUHAN,”kata Akif dengan berhati-hati. Nur Aiman mengerutkan dahinya cuba memahami kata-kata suaminya itu.
“Tapi....”
Hati Nur Aiman masih sukar untuk memahami persoalan itu. Mustahil peristiwa pertemuan mereka boleh disamakan dengan titisan embun di hujung rumput?
“Aiman, sudahlah tu. Tak usah dikenang lagi perkara yang telah berlaku. Segalanya sudah direncana oleh TUHAN. Kuasa-NYA yang paling tinggi tidak boleh diatasi oleh mana-mana makhluk pun. Pertemuan kita, perjodohan kita ini pasti tersembunyi hikmah dan muslihat di sebaliknya,”sambung Akif dengan lembut. Dia tidak ingin mengimbau kenangan itu lagi kerana hatinya terasa pedih. Di dalam kepasrahan, kepedihan tetap ada.
“Aiman, nanti telefon papa dan mama. Beritahu dia kita di sini sihat. Beritahu papa, Akif dah bekerja dengan pak long. Mintak papa dan mama doakan untuk kita supaya selamat dan murah rezeki di sini,”pesan Akif kepada Nur Aiman yang tercengang. Lebih baik mereka berbual tentang hal yang berlaku pada hari ini dan perancangan hidup mereka pada masa depan daripada berterusan mengenang sejarah pahit yang tidak mungkin diubah lagi.
“Beritahu pada papa, Akif sedang usahakan supaya kita dapat buka perniagaan di sini,”beritahu Akif lagi. Banyak perkara yang harus diuruskan untuk membolehkan dia mencari rezeki di bumi itu. Dengan meletakkan ALLAH di seluruh pelosok hatinya, dia tidak berasa gentar untuk hidup di situ kerana yakin ada peruntukan rezeki untuknya daripada perbendaharaan ALLAH walau dimana jua dia berada.
“Tapi Akif, Aiman sudah Islam. Bolehkah hubungi papa yang non-muslim?Yang kafir? Tak berdosa ke?  Lagipun papa sudah buang Aiman, dia tak mengaku anak lagi!”ujar Nur Aiman dengan suara perlahan menyembunyikan rasa pilu.
“Aiman, perhubungan antara Aiman dan papa serta mama itu tak putus walaupun Aiman sudah menganut Islam,” jawab Akif sambil tersenyum. “Kalau Aiman inginkan anak-anak kita nanti menjadi anak yang soleh dan solehah, Aiman terlebih dahulu kena menjadi anak yang solehah untuk papa dan mama. Insya-ALLAH, lama kelamaan hati papa akan lembut kembali!”nasihat Akif.
“Macam mana dengan keluarga Akif? Akif hubungilah mereka. Ceritakan tentang kita.”
Lontaran kata-kata daripada Nur Aiman itu semakin memilukan Akif. Sesungguhnya di saat itu dia masih belum bersedia untuk menghadapi keluarganya. Dia belum ada kekuatan. Semangatnya seolah semakin merapuh. Hanya keimanannyalah yang membuatkan dirinya terus teguh. Dia yakin dan percaya rintangan yang sedang dihadapi adalah ujian dari TUHAN untuknya,tanda TUHAN mengasihinya.
“Tak apa, Aiman! Akif serahkan kepada ALLAH aje,”jawab Akif perlahan sambil menundukkan mukanya. Sungguh dia tidak sanggup lagi menghadapi keluarganya dan keluarga Dayana. Segala semangat dan kekuatannya selama ini seolah-olah telah berkecai.
“Tapi...kita kena berusaha dan berikhtiar dulukan? Selepas itu baru bertawakal kepada ALLAH.”Kenyataan daripada isterinya itu semakin menyesakkan dada Akif.
 
“Ya, Aiman. Kita kena berusaha, berikhtiar, berdoa dan bertawakal! Insya-ALLAH, esok lusa Akif akan cuba menghubungi mereka di Malaysia,”janji Akif sambil merenung ke wajah Nur Aiman yang nampak lega dengan kata-katanya itu.

Tiada ulasan: