Isnin, 28 September 2015

Cinta Tak Pernah Usai - Bab 24



KESEMPURNAAN iman kita terhadap ALLAH akan menentukan keimanan kita terhadap malaikat-malaikat-Nya. Kesempurnaan iman kita terhadap Malaikat-Nya akan menentukan keimanan kita terhadap kitab-kitab Suci-Nya. Kesempurnaan keimanan terhadap kitab suci-Nya menentukan kesempurnaan keimanan kita terhadap Para Rasul-Nya. Kesempurnaan keimanan kita terhadap para Rasul-Nya menentukan kesempurnaan keimanan kita terhadap Hari Akhir-Nya. Dan kesempurnaan keimanan kita terhadap Hari Akhir-Nya menentukan keimanan kita terhadap qada dan qadar-Nya (Takdir ALLAH)
Begitulah yang dikatakan oleh Tok Imam masjid di dalam tazkirahnya selepas subuh tadi. Sepanjang jalan pulang dari surau ke rumah, Pak Yusof dan Mak Bedah berbual dan cuba mengaitkan musibah yang menimpa anak gadis mereka dengan isi tazkirah yang telah didengari.
Hujan renyai-renyai pada pagi itu menghalang langkah mereka untuk pergi ke sawah. Tambahan kerja-kerja di sawah pun sudah selesai. Padi-padi sudah tumbuh subur dan menanti masa untuk berbuah. Waktu yang senggang begitu memberi peluang untuk mereka berehat sambil menikmati sarapan.
“Macam mana dengan permintaan anak awak tu, Bedah?”soal Pak Yusof.
Matanya terus merenung ke wajah isterinya yang bertepek dengan bedak sejuk yang nipis dan mengering. Mak Bedah dan Pak Yusof merenung sesama sendiri. Hampir sejam mereka duduk di pelantar di bawah pokok jambu sebelah rumah mereka. Kopi O yang diminum pun sudah habis seteko.
“Dia nak ikut Saerah, kerja di bandar tu. Biarkanlah dia, bang! Saya pun kasihan tengokkan Yana tu,” kata Mak Bedah dengan suara sebak. Sungguh tidak diduganya nasib Dayana seburuk itu. Memang benarlah, seorang hamba ALLAH itu terlalu kerdil dan tidak ada kuasa apa-apa pun. Serapi mana pun perancangan yang dibuat oleh seorang hamba ALLAH, namun DIA juga yang berkuasa menentukan kejayaan perancangan itu.
“Hai, mudah pulak awak buat keputusan! Selalu bukan ke awak tak mahu berjauhan dengan Yana?”tanya Pak Yusof yang terkejut dengan perubahan sikap isterinya.
“Memanglah, bang! Jika boleh saya tak mahu berjauhan dengan Yana. Salah satu sebab yang membuatkan saya suka sangat dia berkahwin dengan Akif dulu. Saya yakin yang mereka suami isteri akan selalu balik ke sini, maklumlah duduk dalam satu mukim.”Bicara Mak Bedah terhenti seketika. Dia menghela nafasnya perlahan sambil melontarkan pandangannya ke tengah halaman.
“Habis tu, sekarang ni kenapa awak berubah fikiran pulak?”tanya Pak Yusof menduga.
Memanglah hati manusia itu kerap berubah seperti anak sungai. Anak sungai yang deras atau keruh airnya bergantung kepada jumlah air yang datang dari hulunya. Jika hujan lebat berhari-hari, air di empangan pun terpaksa dilepaskan. Bukan sahaja air sungai mengalir deras dan dalam, alur sungai pun turut berubah bentuknya.
“Saya kasihan tengok dia, bang,”rintih Mak Bedah perlahan sambil mencebik. Dugaan yang menimpa anak perempuannya itu memang terlalu berat. Hujan ujian dan dugaan yang sedang menimpa anak gadisnya seolah hujan dimusim tengkujuh. Dia bimbang hati anaknya akan tenggelam di dalam banjir derita jika dibiarkan berterusan. Dayana yang asyik bermuram dan gundah-gulana menggamit keresahan di hati tuanya sebagai seorang ibu.

“Sebenarnya aku tak begitu setuju dia rapat sangat dengan Saerah tu,” beritahu Pak Yusof. Saerah, anak kepada abangnya yang ketiga. Sepupu kepada Dayana. Saerah dan Dayana hampir sebaya.
“Hai! Dengan anak saudara sendiri pun tak percaya?”tempelak Mak Bedah sambil merenung Pak Yusof dengan matanya yang membesar.
“Aku bimbang, Saerah mempengaruhi Yana kepada perkara yang tak baik! Awak tengoklah Saerah tu! Caranya berpakaian. Cara dia bercakap dengan orang tua!  Macam tak ada perasaan hormat. Tahunya nak bergelak ketawa aje. Asyik nak berhibur. Yana tu sedang kecewa. Bersedih. Aku risau Saerah mengajar Yana perkara yang bukan-bukan untuk mengubati kekecewaan dan kesedihannya,” terang Pak Yusof dengan panjang lebar. Apa yang ada di dalam fikirannya tidak perlu diselindungkan daripada pengetahuan isterinya.
“Ke situ pulak fikiran awak! Takkanlah Yana tak tahu nak menggunakan otak dia! Pandai-pandailah dia menggunakannya untuk menjaga dirinya. Saya rasa baiklah biarkan dia pergi!  Biar dia ubat hatinya yang lara tu! Awak tengoklah, kalau di rumah ni dia asyik memerap di bilik dan menangis bila terkenangkan Akif,” beritahu Mak Bedah pula. Hatinya berasa hiba. Tubuh Dayana pun sudah semakin kurus.
“Bebaskanlah dia sesekali. Kalau dia rasa tak sesuai nanti, dia baliklah ke rumah ni,” sambung Mak Bedah lagi. Dia seolah merungut dengan dirinya sendiri.
“Manalah tahu bila berpeluang bertemu dengan teman-teman baru nanti, dia dapat melupakan Akif,”sambung Mak Bedah dengan nada perlahan. Matanya cuba meninjau ke arah bilik Dayana, kalau-kalau anaknya itu ada duduk termenung di jendela. Tidak puas hatinya apabila tidak terlihat kelibat Dayana pada pagi itu.
“Takkanlah begitu mudah Yana hendak melupakan tunangannya itu, Cik Bedah oi! Remuk di hatinya tak mungkin terawat lagi. Maklumlah, tunangan hilang di saat hari pernikahan mereka! Saya pun faham perasaannya. Jika dia tidak cekal, takkan tertanggung hatinya menghadapi ujian ini! Nikah tak jadi! Akif pula menghilangkan diri tanpa pesan. Orang-orang kampung pulak ada yang gatal mulut, mengumpat keji yang tidak-tidak,” ujar Pak Yusof.
“Sebab tak nak dia dengar orang kampung mengumpat keji itulah yang saya nak suruh dia berhijrah ke Kuala Lumpur tu,”jelas Mak Bedah.
“Panggil anak awak tu! Ajak dia makan sekali!”suruh Pak Yusof kepada isterinya.
“Yana! Yana!”laung Mak Bedah berulangkali. Cuping telinganya dihalakan ke arah bilik anak gadisnya itu.
“Ya, mak!”jawab Dayana sayup-sayup.
Bibir Mak Bedah mengukir senyuman apabila mendengar jawapan itu. Senyumannya tambah melebar apabila melihat Dayana menjengukkan mukanya di muka tingkap.
“Turun! Mari minum sekali! Ada lepat labu dengan bihun goreng ni!”pelawa Mak Bedah dengan suara kuat sambil menggamit Dayana.
Kelibat Dayana lenyap dari muka tingkap. Seketika kemudian, mata Mak Bedah melihat daun pintu dapur ditarik dari arah dalam. Muncul Dayana dari sebalik daun pintu itu dengan langkah longlai.
“Duduk sini,”kata Pak Yusof sambil menepuk perlahan lantai pelantar. Pak Yusof berinjak sedikit dan duduk rapat dengan Mak Bedah. Dayana menurut kata ayahnya lalu duduk bersimpuh di situ dan mengambil pinggan yang sudah diisi dengan bihun goreng oleh emaknya.


“Jadi kamu nak ikut Saerah kerja di Kuala Lumpur?”tanya Pak Yusof dengan suara serak.
Dayana diam. Dia seolah sedang berfikir. Mak Bedah menguit paha suaminya. Pak Yusof juga diam. Dia faham isyarat isterinya itu supaya dia tidak mengulangi soalan yang serupa kepada Dayana.
“Kalau mak dan ayah izinkan, Yana nak ikut Saerah sebulan dua,”jawab Dayana perlahan-lahan. Matanya merenung ke arah sawah yang terbentang luas, saujana mata memandang. Hatinya berasa damai seketika apabila melihat warna kehijauan di depan matanya. Langit yang membiru. Panorama itu amat memukau matanya.
“Nak kerja apa katsana? Saerah kerja di mana?”soalan yang mula ditujukan kepada Dayana beralih pula kepada Mak Bedah. Mata Pak Yusof merenung anak dan isterinya silih berganti.
“Entahlah, bapaknya! Katanya kerja di hotel! Alah! Kerja di mana-mana pun tak apa! Asalkan kerjanya yang halal dan tidak menjurus kepada maksiat,”jawab Mak Bedah sambil merenung Dayana yang tunduk. Dayana sedang membuka daun pisang yang membalut kuih lepat labu.
“Saerah katadah ada kerja untuk Yana! Yana cuba dulu, kalau tak sesuai nanti, Yana baliklah ke kampung ni. Yana teruskan perusahaan kerepek dan kuih-kuih tradisional tu, mak,”jawab Dayana dengan suara sebak.
“Yana akan buat apa yang Akif rancangkan,”tambah Dayana dengan suara pilu. Akif tak pernah lepas dari kenangan. Bukankah mereka telah sama-sama berjanji untuk memajukan perusahaan masing-masing?
“Yana kalau boleh hendak teruskan cita-cita kami,”kata Dayana dengan suara sebak. Sesungguhnya hatinya di saat itu pun terasa sesak. Airmata tiba-tiba berderai di pipinya. Pak Yusof dan Mak Bedah hanya mampu melihat anak gadis mereka yang diselubungi kesedihan.
“Dulu Akif selalu memberi semangat dan motivasi kepada Yana untuk meneruskan usaha dalam pembuatan kerepek dan kuih-muih tradisionalni,”cerita Dayana sambil teresak.
“Mak tahu, Yana. Akif selalu membimbing Yana di dalam bisnes ini, bahkan dia tidak lokek untuk memberi bantuan modal kepada Yana,” sampuk Mak Bedah dengan suara yang serak kerana asakan perasaan pilu.
“Mak jugaktahu, Akif sangat sayang pada Yana, nak!”Mak Bedah sudah tidak dapat menahan kesedihannya lantas dia pun turut menangis bersama anak gadisnya.
“Yana, Bedah...sudahlah tu. Jangan ditangisi lagi perkara yang telah berlaku. Kita doakan yang terbaik untuk Akif, mudah-mudahan tiada kejadian buruk yang telah menimpanya,” nasihat Pak Yusof. Ungkapan di bibir tidak selari dengan ukiran di hatinya. Jika tiada kejadian buruk yang menimpa, mustahil bakal menantunya itu gagal ditemui sehingga ke hari itu.
“Mak, ayah... Akif pergi ke mana?”tanya Dayana. Walaupun dia sedar yang emak dan ayahnya tidak mampu memberinya jawapan.
Sehingga kini, hampir dua bulan Akif lenyap dari pandangannya. Keluarganya dan keluarga Akif sudah puas berikhtiar dan mencari ke sana sini, namun Akif hilang tanpa kesan atau pesan.
“Mak, Yana naik  dulu. Telefon bimbit berbunyi! Jangan-jangan Akif telefon Yana, mak!”kata Dayana tiba-tiba lalu tergesa-gesameninggalkan mihun dan lepat labu yang baru sedikit dijamahnya. Dia berlari-lari anak menaiki tangga. Mak Bedah dan Pak Yusof menggeleng dengan perasaan yang berbaur.
“Aku risau anak awak jadi sewel! Tengoklah tu! Awak ada dengar telefonnya berbunyi?”soal Pak Yusof kepada Mak Bedah.


“Entah! Aku tak dengar pun!”jawab Mak Bedah sambil matanya memerhati ke tangga. Kelibat Dayana pun sudah lenyap.
“Lagipun bukankah telefon yang digunakannya sekarang  telefon baru?”soal Pak Yusof lagi. Dayana telah kehilangan telefon bimbitnya sewaktu menghadiri temuduga kerja sebulan yang lalu. Mak Bedah mengangkat bahunya.
“Shukri ada berjumpa dengan aku! Katanya, dia tetap mahu Yana menjadi menantunya. Kalau Yana mahu terima, dia nak pinang Yana untuk, Rais.”Cerita Pak Yusof sambil melunjurkan kakinya. Setelah itu dia menggoyang-goyangkan bahunya berulangkali cuba menghilangkan rasa sengal.
“Hisy! Itu kerja gila! Buatnya Akif balik nanti? Macam mana? Takkan Yana begitu mudah hendak menggantikan Akif dengan Rais pulak! Tak mahu saya, bapaknya! Biar Yana kahwin dengan orang lain,” jawab Mak Bedah sambil tangannya mengutip pinggan mangkuk yang sudah kosong dan dimasukkannya ke dalam dulang.
“Kalau dah jodohnya dengan Rais jugak macam mana?Jika TUHAN berkehendakkan begitu, siapa yang dapat menghalangnya?”tanya Pak Yusof lagi.
‘Tidak ada manusia yang mampu mengatasi perencanaan Yang Di Atas Sana terhadap dirinya,’ bisik hatinya.
“Rais nak ke? Yana, tunangan abangnya. Shukri tu, apa yang difikirkannya? Nak tukar-tukar calon suami untuk Yana macam itu aje! Hal ini bukankah melibatkan perasaan dan hati?”soal Mak Bedah yang tidak boleh menerima cadangan besan tak jadinya itu.
“Kalau Rais jugak setuju macam mana? Yana tu takkan nak membujang sampai tua! Dah tak sampai jodohnya dengan Akif, nak buat macam mana? Entah-entah memang ada jodohnya dengan Rais! Siapa tahu!”balas Pak Yusof.“Kehilangan Akif menjadi sebab untuk menyatukan Yana dan Rais,” sambungnya dengan tenang. Bukankah semua perkara yang terjadi ada sebab dan musababnya. Hanya TUHAN sahaja yang tahu, muslihat di sebalik segala kejadian.
“Yana nak tunggu Akif jugak! Katanya, kalau Akif tu dah mati, dia mahu tengok jenazahnya! Baru dia nak kahwin dengan orang lain. Itu yang dia beritahu kepada saya,”cerita Mak Bedah. Di dalam kelembutannya, Dayana bertegas mempertahankan cintanya terhadap Akif.
“Kalau Akif tu ditelan buaya atau harimau macam mana?”soal Pak Yusof pula. Kehilangan Akif di hari pernikahan dengan anaknya menjadi misteri. Sehingga hari itu, pihak polis gagal mengesannya.
“Hisy awak ni!”rengus Mak Bedah lalu bangun meninggalkan Pak Yusof .

Tiada ulasan: