MATAHARI bersinar terang. Cahayanya yang keemasan melimpahi ke atas
jalan-jalan dan sekitar pada dinding bangunan yang terdapat di bandar itu. Tulisan
pada label-label yang bertulisan Cina sepenuhnya tergantung di premis-premis
niaga yang sedang sibuk dengan aktiviti mereka.
Suara azan Asar dari
Masjid Niujie, Beijing mengejutkan Wong Szeze yang sedang berjalan-jalan di
sekitar bandar dalam kawasan ibu kota China itu. Dia tercari-cari punca laungan,
namun hampa kerana yang kelihatan hanya bangunan seperti tokong. Seruan
menunaikan solat terus berkumandang dan selepas diamati seketika rupa-rupanya
ia datang dari arah bangunan berciri seni bina klasik Cina yang jaraknya hanya
kira-kira 10 meter dari tempat mereka berada.
“Alhamdulillah,” kata suaminya. Wong Szeze tersenyum
tipis apabila melihat lelaki yang telah menjadi suaminya itu tersenyum. Mereka
pun berjalan menuju ke bangunan itu.
Senyuman suaminya tambah lebar lagi apabila disapa
seorang lelaki dalam bahasa Melayu yang kurang lancar di hadapan pintu masjid.
“Awak dari Malaysia?”tanya lelaki itu sambil tersenyum
mesra. Pandangan matanya ramah.
“Selamat datang, waktu solat dah masuk,” beritahunya, lalu
mengajak masuk ke dalam masjid.
“Saya nak solat!”kata suaminya lalu meninggalkan Wong
Szeze seorang diri. Wong Szeze terkesima. Dia tidak tahu untuk menjawab apa. Baru
dua minggu dia menjadi isteri kepada lelaki Melayu itu. Perkahwinan yang
dipaksa. Jika tidak kerana muncung pistol papanya yang melekap di kepala, mustahil
lelaki itu ingin memilihnya menjadi isteri.
Aneh, pemuda Melayu yang telah menjadi suaminya, sedikit
pun tidak membantah. Sedangkan hatinya seolah-olah hancur berdebu mendengar
kata-kata amaran itu. Papanya bertukar karakter dan menjadi zalim dengan
tiba-tiba. Mungkin tertekan dengan keaiban yang telah dilakukannya. Sementara
menunggu suaminya selesai solat, Wong Szeze mengelamun sendiri mengenangkan
nasib dirinya sendiri.
“Jom kita pergi. Alhamdulillah, ramai jugak orang Islam
kat sini.”
Lamunan Wong Szeze dikejutkan oleh suara suaminya yang
sudah kembali di sisinya. Matanya merenung ke wajah lelaki itu yang nampak
tenang.
“Kata pemuda tadi, ada lebih kurang 10,000 penduduk beragama
Islam di sini. Hmm... apa nama tempat ni? Niu?”soal suaminya sambil merenung kepadanya.
“Niujie,” jawab Wong Szeze sepatah. Dia memang sudah
biasa datang ke daerah itu. Ini adalah kerana Wong Pek Chau, bapa saudaranya
memang telah bermaustatin di situ bersama isteri dan anaknya, Steven.
Suaminya tersenyum lagi. Wong Szeze memerhatikan wajah
lelaki itu yang tenang dan jernih. Tidak tergambar pun kekusutan walaupun
sedikit. Yang ada hanyalah kedamaian.
“Hmm, Masjid Niujie ni, masjid yang terbesar dan tertua
di Beijing ni,” cerita suaminya pula. Di matanya seolah-olah terbayang
keindahan dalam masjid yang dilihatnya tadi yang amat menakjubkan dengan hiasan
seni kaligrafi Cina. Hiasan yang sangat menarik.
“Kita takkan berasa asing di sini kerana ada ramai orang
Islam. Awak pernah tak belajar sejarah? Islam telah memasuki negara Cina ini
sejak kurun ke-7 masihi. Di zaman Rasulullah lagi,” terang suaminya. Wong Szeze
hanya berdiam. Dia masih berasa kekok dan janggal dengan lelaki itu.
“Saya hanya ingat tentang Laksamana Cheng Ho yang datang
ke Melaka dan mengajak Parameswara memeluk agama Islam,”jawab Wong Szeze lambat-lambat.
Sekali lagi bibir suaminya mengukir senyuman.
“Ya...betul tu. Agama Islam telah tersebar ke negeri Cina
terlebih dahulu sebelum berkembang ke Asia Tenggara,”terangnya perlahan. Wong
Szeze mengangguk.
“Hati saya berasa lega kerana telah menunaikan solat di
masjid tadi. Bila awak dah pandai solat, kita datang bersolat di sini,” kata
suaminya.Wong Szeze mengangguk lesu.
“Awak mesti dah tahu, seorang muslim itu wajib
menyempurnakan solat yang telah difardhukan ke atasnya lima kali sehari,” kata
suaminya sambil berjalan.
“Ya, saya dah tahu,” jawab Wong Szeze pula sambil menoleh.
Dulu sewaktu bersekolah menengah, dia bersekolah di sekolah menengah kebangsaan.
Ramai teman-temannya dalam kalangan orang Melayu beragama Islam. Daripada kawan-kawan
sekolahnyalah dia belajar mengenali agama Islam serba sedikit sehinggalah dia
berkenalan dengan Zaim.
“Dulu waktu sekolah saya berkawan dengan budak-budak
Melayu,”ceritanya perlahan dengan suara serak seolah merintih.
“Tak mengapa. Awak belajar perlahan-lahan dulu. Tak usah
terburu-buru,” sambung suaminya lagi.
Wong Szeze mengangguk. Apakah lelaki itu utusan ALLAH
buatnya? Untuk membimbing dan mendidiknya mendalami ilmu agama Islam yang masih
suram dikalbunya? Mengilap nur iman yang masih belum bersinar di hatinya?
“Bolehkah awak ajar saya membaca al-Quran jugak?”soalnya
lagi dengan penuh harapan. Senyuman lelaki yang sedang berjalan di sisinya
semakin melebar.
“Insya-ALLAH, saya akan ajar awak hal yang awak tidak
tahu tentang Islam.Sekiranya saya tahu,” jawab suaminya. Dia hanya mendiamkan
diri beberapa ketika.
“Syukurlah, kerana awak telah dipilih oleh ALLAH untuk
mendapat petunjuk dan hidayah-NYA untuk memeluk agama Islam. Dalam al-Quran ada
menyebutkan, Barang siapa yang ALLAH kehendaki untuk mendapat petunjuk, nescaya
dia melapangkan dadanya untuk Islam.”
Bisikan lembut suara lelaki yang berjalan berdampingan
dengannya menyebabkan hati Wong Szeze berasa hiba.
“saya lapar,”beritahu
Wong Szeze secara tiba-tiba. Sudah beberapa lama dia tidak berselera untuk
makan. Kemurungan yang menghurung jiwa raganya menyebabkan dia patah selera.
“Lapar? Kalau begitu, kita makan dulu sebelum balik. Kita
cari restoran Islam. Kat sini banyak restoran yang menyediakan makanan untuk
orang Islam. Kita kena makan makanan yang halal untuk seorang muslim,”jawab
suaminya dengan panjang lebar terus berpesan kepadanya.
“Saya tahu kat sini ada banyak restoran untuk orang-orang
Islam. Tiga tahun yang lalu saya pernah datang ke sini untuk melancong! Tapi
nama tempat ini dan masjid tadi, saya dah tak ingat lagi,”jelasnya pula.
Wong Szeze mendengar segala kata-kata lelaki itu sambil
berjalan beriringan dengannya. Perasaannya semakin keliru. Apabila mengenangkan
Zaim yang telah menodainya, dia terasa benci kepada lelaki yang sedang berjalan
bersama dengannya itu. Lelaki yang sebangsa dan seagama dengan Zaim. Tetapi
kini dia tidak punyai sesiapa lagi. Papanya tidak mengakuinya sebagai anak lagi.
Mamanya juga terpaksa menurut telunjuk papanya. Mahu tak mahu kepada lelaki
itulah dia terpaksa menyandarkan harapan. Memberi kepercayaan.
“Betul ke awak akan duduk dengan saya kat sini?”tanya
Wong Szeze dengan suara serak. Suaminya hanya diam.“Papa saya telah susahkan
awak!”kata Wong Szeze lagi. Matanya kembali terasa pedih apabila mengenangkan
peristiwa pada malam itu.
“Tak pasal-pasal awak kena jadi suami saya!”rengek Wong
Szeze pula dengan linangan airmata.
“Kenapa awak tak biarkan papa tembak saya? Kenapa?”soalnya
pula sambil teresak. Beberapa orang yang lalu lalang memerhatikan mereka.
“Takdir TUHAN telah menentukan saya akan jadi suami awak!
Takdir TUHAN jugak telah menetapkan yang kita berdua akan tinggal disini untuk
mencari rezeki seperti yang telah ditetapkan oleh-NYA,” jawab suaminya sambil
menatap matanya yang dibasahi airmata.
“Walaupun kadangkala kita manusia memikirkan perkara itu
tiada kelogikannya, tetapi kuasa ALLAH yang maha agung akan memungkinkan semua
perkara yang berlaku mengikut kehendak-NYA,” sambung suaminya lagi dengan penuh
hikmah. Bibir Wong Szeze akhirnya terkunci.
“Kita akan tinggal di sini selama mana yang telah
ditentukan oleh ALLAH,” tambah suaminya lagi. Dia pun tidak menduga yang
dirinya akan terlontar ke bumi itu. Sewaktu di zaman persekolahan dia selalu
membaca tentang sejarah negara Cina ini. Bahkan Nabi Muhamad SAW pernah juga
bersabda untuk memberi dorongan kepada umatnya yang ingin menuntut ilmu’ Tuntutlah
ilmu walaupun sehingga ke negara China’ .
“Tapi... saya tetap rasa bersalah,”tukas Wong Szeze
dengan linangan airmata. Dia mengusap perutnya beberapa ketika. Perasaan sedih
terus mengasak hatinya sehingga menyebabkan airmatanya membuak.
“Saya tak kenal siapa awak! Saya tak pernah cinta kepada
awak,”tangisnya pula. Esakannya semakin kencang sehingga memaksa Wong Szeze
memekup mulutnya untuk mengelakkan bunyi esakan itu meledak keluar.
“Saya pun tak kenal awak! Saya pun tak pernah mencintai
awak! Tetapi takdir TUHAN telah mengikat kita dengan ikatan pernikahan yang
telah sah di sisi agama dan undang-undang,” jawab suaminya. dengan tenang
sambil melangkah masuk ke dalam restoran yang menghidangkan makanan untuk orang
Muslim.
“Oleh sebab itu kita kena saling menerima antara satu
sama lain. Dengan perasaan tulus dan ikhlas sesuai dengan ajaran agama yang
telah kita anuti.”Lembut suaranya seolah membisik di telinga Wong Szeze.
PAK Shukri menghayun parang ditangannya tinggi-tinggi. Pokok pisang nangka
yang ingin ditebangnya itu, buahnya sudah matang benar. Pisang nangka itu masih
lagi muda. Sedap jika dibuat kerepek. Hatinya tiba-tiba teringat kepada Dayana.
Gadis yang gagal dijadikan menantu kerana dia kehilangan anak lelakinya, Akif. Dayana,
rajin membuat kerepek untuk dijual.
Lima kali takik sahaja pada batang pokok pisang itu, Pak
Shukri menghentikan hayunan parangnya. Pokok pisang yang sudah hampir terkulai,
ditarik pada daunnya yang tercapai oleh tangan tuanya. Akhirnya batang pisang
rebah ke atas tanah dengan gerak perlahan tanpa merosakkan buah pisang.
“Wah,pagi-pagi dah dapat rezeki!”
Tiba-tiba Pak Shukri dikejutkan oleh satu suara yang
tidak pernah didengarnya sebelum ini. Dia segera menoleh. Bola matanya
menyinggahi pada susuk tubuh seorang lelaki Cina.
“Haa! Tauke! Cari apa dalam semak pagi-pagi ni?”soalnya
kepada lelaki Cina yang berseluar pendek dan berbaju T hitam berkolar bulat. Di
bahu lelaki Cina itu tersandang selaras senapang. Dia ditemani oleh seseorang
yang nampaknya seperti orang Indonesia.
“Cari harimaulah!”jawab lelaki Cina itu dengan suara kuat
cuba berseloroh. Mendengar jawapan itu Pak Shukri terus ketawa.
“Kalau ada harimau saya pun takut nak datang sini,”balas
Pak Shukri dengan nafas termengah-mengah. Selesai mencantas tandan pisang dia menghampiri
lelaki Cina itu yang sedang tertinjau-tinjau melihat kawasan di sekitar.
“Tengok apa, tauke?”tanya Pak Shukri hairan. Dia turut
tertinjau-tinjau melihat sekitar kebun pisangnya. Manalah tahu matanya dapat
mencari apa yang sedang dilihat oleh lelaki Cina itu.
“Saya punya kuli! Mana depa pergi?”balas lelaki Cina itu.“Haiyaa!
Lambat-lambat mari, mau tunjuk tempat untuk buat kerja pun susah!”katanya lagi
dalam pelat Cina.
“Sayadah beli semua tanah di sebelah sana!”ceritanya
sambil menuding-nuding jarinya ke sana sini. Pak Shukri tercengang. Bukankah
semua tanah di situ milik orang Melayu. Luasnya beratus hektar.
“Oh!!” sahut Pak Shukri. ‘Kenapalah mereka jual tanah
kepada lelaki Cina ni?’soal hatinya.
“Sudah pindah milik ke, tauke?”soalnya. Tangannya
memerhati pokok pisang di hadapannya. Pelepah daun pisang yang sudah kering
dicantas.
“Haiya! Sudah maa! Semua geran saya sudah dapat! Baru boleh bikin kerja!”jawab lelaki Cina itu lagi
sambil duduk mencangkung. Agaknya dia berasa lenguh berdiri lama-lama.
“Saya ingat mau tebang semua pokok getah tu dan tanam
semula! Harga getah sekarang pun sudah naik,”ceritanya lagi dengan ramah. Sambil
itu matanya terus meliar ke sana dan ke sini.
“Lama-lama nanti harga getah jatuh jugak! Macam dulu, bila
harga kelapa sawit naik, ramai orang hendak tanam kelapa sawit!Bila kelapa
sawit banyak, harga pun jatuh,”kata Pak Shukri. Walaupun dia tidak bersekolah
tinggi, namun dia mengambil tahu juga hal dunia luar dan hal ekonomi negara.
“Ladang kelapa sawit pun saya ada! Saya ada kilang proses
sawit jugak! Harga buah sawit sekarang bukan rendah sangatlah! Bolehlah...”kata
lelaki Cina itu lagi sambil bangun dan menggeliat membetulkan pinggangnya.
“Encik,kuli-kuli saya sudah mari! Saya pergilah! Nanti
bila tanah sudah siap ditebas, aku selalu datang tengok kuli buat kerja.Nanti
kita boleh cerita-cerita,”katanya lagi sambil menyeluk poket seluarnya.
“Kawan! Angkat ni simpan! Senang-senang kita pergi minum
kopi,” katanya sambil menghulurkan sekeping kad bisnes ke tangan Pak Shukri.
“Baik, terima kasih,”kata Pak Shukri. Teringat pula
hendak memberi sesuatu kepada insan yang baru dikenali. Buat pemanis
persahabatan.
“Tauke, tunggu! Saya angkat durian kasi tauke!”pelawanya
lalu berjalan menuju ke arah motosikalnya. Dia pun mengambil tiga biji buah
durian yang paling baik dan sedap isinya.
“Haiyaa!Tak payah susah-susahlah, encik! Berapa ringgit
ni?”tanya lelaki Cina itu sambil menyambut buah durian dengan wajah teruja.
“Tak payah bayarlah! Rezeki dari TUHAN, kita makan
sama-sama,”jawab Pak Shukri sambil menepuk bahu lelaki Cina itu.
“Tapi buah durian ini jenis baik,”balas lelaki Cina itu
terus menyeluk kocek seluarnya.
“Ajaran agama Islam, kalau hendak bersedekah kepada orang
lain, mesti beri barang yang paling bagus!”jawab Pak Shukri terus menolak
huluran duit yang diunjukkan oleh lelaki Cina itu.
“Oh! Begitu ke kawan? Baru satu kali jumpa lu sudah baik!
Sudah kasi buah durian! Saya mahu kasi duit pun kawan tak mahu! Apa boleh buat,”
keluh lelaki Cina itu disambut oleh Pak Shukri dengan ketawa kecil.
“Alah tauke! Satu kali jumpa ke atau sudah banyak kali
jumpa ke, hari ini durian ni sudah jadi rezeki yang ALLAH sudah tetapkan untuk
tauke! Jangan banyak fikir lagi! Lain kali kalau hendak makan durian datang ke
sini,” pelawa Pak Shukri dengan ikhlas dan senang hati sambil tersenyum mesra.
“Kalau ada rezeki, insya-ALLAH adalah duriannya! Kalau tak ada, mungkin rezeki tauke untuk hari
itu buah-buahan yang lain pulak! Di
hujung sana tanah dusun saya banyak tanam pokok buah-buahan,” cerita Pak Shukri.
“Baik. Baik. Terima kasih. Wah! Durian ni bau pun sudah
sedap. Manis...”kata lelaki Cina itu sambil menghalakan buah durian ke
hidungnya. Tidak semena-mena, dia teringat kepada anak tunggalnya, Wong Szeze. Anak
tunggalnya hantu durian. Anak tunggal yang telah menconteng arang ke mukanya!
“Terima kasih kembali,” jawab Pak Shukri lalu mencapai
parang yang diletakkan di dalam raga motosikalnya. Sebelum mula mencantas
pelepah-pelepah daun pisang yang layu, dia menyimpan kad bisnes yang diberi
lelaki Cina tadi. Matanya sempat membaca tulisan yang tertulis pada kad itu.
Wong Pek Chak.
Ladang Wong.
Batu 14, Parit
Buntar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan