Khamis, 10 September 2015

Cinta Tak Pernah Usai - Bab 22



PERSEKITARAN rumah Pak Yusof terang-benderang dengan cahaya lampu yang menghiasi kanopi yang telah didirikan di halaman rumah. Kerusi dan meja untuk kegunaan tetamu yang akan menghadiri majlis kenduri pernikahan anak gadisnya sudah tersusun rapi.
Tinggal beberapa jam sahaja lagi, impian hati mereka akan terlaksana. Anak gadisnya akan diijabkabul dengan pemuda yang telah menawan hati mereka sekeluarga. Pak Yusof bersyukur kerana hajatnya untuk bermenantukan Akif bakal tercapai. Akif seorang pemuda yang amat sederhana peribadinya walaupun telah menempa kejayaan di dalam bisnesnya. Orangnya ramah, pemurah dan merendah diri.
Assalamualaikum!”
Seorang demi seorang datang menghulurkan tangan kepada Pak Yusof yang menunggu di kaki tangga.
Wah! Berseri-seri wajah Abang Yusof! Gembira nak menyambut menantu ya?”kata mereka sambil menaiki tangga rumah.
“Alhamdulillah! Nak sambut menantu tunggallah katakan,” balas Pak Yusof sambil ketawa. Dia mempersilakan semua tetamu yang datang dari masjid kampung itu supaya naik ke rumah.
Ruang tamu di rumah mula dipenuhi tetamu yang datang ke rumahnyamalam itu. Saudara-mara ramai yang datang bertandang untuk membantu. Malam itu sengaja diadakan majlis kesyukuran dan bacaan Yasin untuk memohon kepada TUHAN agar perjalanan majlis pernikahan Dayana dan Akif berjalan lancar.
Dayana pun sedang sibuk juga membuat persiapan terakhir sebelum majlis pernikahan dilangsungkan. Walaupun segalanya dibuat secara sederhana tetapi biarlah yang terbaik kerana hari itu tidak akan berulang lagi. Esok, hari indah dan bahagia buatnya. Kata orang, alam perkahwinan, alam yang mengasyikkan. Gedung pahala dan syurga dunia.
“Tahniah, Yana! Selamat pengantin baru!”Seorang demi seorang sahabat yang hadir di majlis pada malam itu mengucapkan tahniah sambil mencium pipinya. Dayana mengucapkan terima kasih sambil tersenyum manis. Jiwanya dilingkari oleh perasaan indah yang menggebu. Tidak mampu diungkapkan oleh kata-kata.
“Mudah-mudahan Akif dapat membimbing kau menjadi isteri solehah dan mithali, Yana...”kata seorang sahabatnya lagi sambil ketawa riang.
“Insya-ALLAH! Kau doakan aku ya! Supaya aku menjadi isteri mithali,bukan isteri menyesali!”balas Dayana sambil ketawa. Kata-kata yang diungkap Dayana mengundang tawa teman-temannya yang berada di kamar pengantin itu.
“Kau ni, Yana! Di saat-saat menjadi raja sehari pun sempat lagi nak loyar buruk!”sahut Rohana, temannya yang paling akrab.
“Esok baru majlis akadnya! Dah menjadi isteri nanti aku tak loyar buruk lagi,”janji Dayana sambil tersenyum. Rasa tidak sabar menanti detik mereka diijabkabulkan. Akif akan menjadi miliknya. Bunga-bunga cinta mereka akan disatukan. Taman hatinya terasa begitu indah sekali di saat itu. Tambahan pula apabila dia terkenangkan SMS kiriman Akif ke telefon bimbitnya. SMS yang diterima sehari sebelum kunjungan Akif ke rumahnya untuk membincangkan tentang majlis pernikahan mereka.


Yana, selamat malam sayang. Mimpi yang terindah tentang kita. Tidak berapa hari lagi, ketika matamu terbuka dari tidurmu, Yana akan melihat abang. Begitulah hari-hari yang seterusnya. Abang tidak sabar menanti saat indah itu.
Kata-kata yang dilakarkan oleh tunangannya itu menyebabkan dia tersenyum sepanjang hari dan berasa tidak sabar untuk menunggu hari bahagia mereka.
“Cepat jodoh kau ya, Yana! Tak sangka aku jodoh kau dengan Akif tu. Jadi bini taukelah, kau! Tak payahlah susah-susah nak buat kerepek lagi! Duduk rumah, kau goyang kaki aje,”gurau temannya lagi.
“Hisy! Mana boleh berhenti buat kerepek! Banyak nostalgianya. Kerana nak jual kerepek itulah yang menyebabkan aku bertemu dan berkenalan dengan dia tau,”cerita Dayana dengan suara riang.
“Lagipun Akif mahu aku teruskan perusahaan tu. Kalau ada rezeki dia akan kembangkan bisnes tu dan hmm... kek coklat aku tu,”sambung Dayana lagi dengan perasaan gembira. “Insya-ALLAH, dia sedang berikhtiar untuk mencari tapak kedai untuk bisnes kek dan kerepek aku tu,”terang Dayana dengan perasaan teruja.
“Wah, bagusnya bakal suami kau,Yana! Beruntung betul! Beraspirasi dan bervisi orangnya!”balas Rohana lagi sambil ketawa berderai. Dayana turut ketawa bersama mereka.
“Yana!Ooo... Yana!”pekik Mak Bedah dari arah halaman. Perbualan Dayana dan teman-temannya terganggu oleh suara emaknya yang memanggil.
Dayana terkocoh-kocoh menghampiri emaknya yang berada di kaki tangga rumah mereka. Dia terkejut melihat tetamu yang datang. Pak Shukri, bakal bapa mertuanya dan Nisah. Pak Shukri terus menyonsong ayahnya yang sedang menyusun kerusi meja di bawah khemah untuk majlis kenduri esok, sementara menanti tetamu yang akan membaca Yasiin pada malam itu.
“Nisah, jemputlah naik ke rumah!”tegur Dayana dengan ramah. Matanya meliar mencari kelibat Akif.
Sejak semalam dia tidak menghubungi tunangannya itu. SMS pun tidak. Bahkan telefon bimbitnya pun tidak diaktifkannya.‘Simpanlah rindu itu sehingga ia menggebu.’ Kata-kata yang diungkapkan oleh Akif masih terngiang-ngiang ditelinganya.
“Akak,” rengek Nisah tiba-tiba sambil merapati Dayana. Dayana merenung Nisah. Wajah sayu Nisah menggamit perasaan cemas. Dadanya mula berdebar-debar dan tidak keruan.
“Akak!”tangis Nisah. Kedua-dua belah tangan Dayana dipegang kuat. Bibir Nisah terketar-ketar untuk mengeluarkan kata-kata.
“Kenapa ni Nisah? Apa yang telah terjadi?”soal Dayana. Suaranya perlahan dan bergetar. Reaksi Nisah pada malam itu menghumbankan perasaannya ke tasik resah.
“Akak...Abang Akif...”jawab Nisah tergagap. Kesedihannya sudah tidak tertahan lagi. Mendengar kata-kata itu debaran di hati Dayana semakin kencang. Dia semakin resah untuk mendengar cerita selanjutnya daripada bibir Nisah.
“Ke...ke... kenapa dengan Abang Akif, Nisah?”soal Dayana separuh berbisik. Tubuhnya mulai goyah.
“Abang Akif dah hilang! Dia tak balik ke rumah sejaksemalam, akak!”cerita Nisah sambil menangis lalu memeluk Dayana. Kenyataan itu menyebabkan Dayana terpempan.
“Nisah bergurau dengan akak, ya?”tanya Dayana tidak ingin mempercayai berita yang disampaikan oleh Nisah. Nisah menggeleng sambil merenung Dayana dengan pandangan sayu.

“Tak bergurau, akak! Betul... Abang Akif  tak balik ke rumah sejak hari dia datang ke sini,”tangis Nisah. Derai airmatanya semakin lebat.
“Akif tak balik ke rumah?”soal Dayana kepada Nisah. Nada suaranya risau. Bibirnya bergetar menahan tangisan.
“Ya, Kak Yana! Nisah datang ni nak menurut dialah. Mak di rumah tu dah macam ibu kucing kehilangan anak dah,”terang Nisah pula. Airmata kesedihan terus berjejeran mengalir dan membasahi pipinya.
“Merata tempat kami cari,” cerita Nisah lagi sambil menangis. Dayana terdiam sejenak. Puas dia memikirkan tentang Akif.
“Abang Rais pulak kemalangan sewaktu nak datang ke sini,” beritahu Nisah dengan air mata yang masih berlinangan.
“Kami cuba telefon Kak Yana tapi tak dapat,” cerita Nisah. Ungkapan itu seolah-olah menghempapkan perasaan kesal di kepala Dayana. Dia menyesal kerana mengikut rasa hati untuk bergurau dengan Akif. Telefon bimbitnya tidak diaktifkan.
“Rais kemalangan? Ya ALLAH...”keluh Dayana. Airmuka yang berseri mula berarak pergi. Warna mendung mula menghadiri, menyelubungi wajahnya.
“Kak Yana! Nisah nak akak jadi kakak ipar Nisah jugak,” rengek Nisah sambil mendakap tubuh Dayana. Rengekan Nisah itu membuat Dayana semakin sebak. Dia terasa ingin menangis. Bibirnya bergetar untuk mengucapkan kata-kata.
“Tak apa! Kak Yana cuba telefon dia!”bisik Dayana dengan suara menggeletar. Manalah tahu, Akif cuba bermain-main dengannya. Sengaja menyembunyikan diri.
“Abang Akif tertinggal telefon bimbitnya di kedai!”beritahu Nisah lagi dalam tangisan. Berita itu semakin mengecewakan Dayana, namun dia cuba melindungi emosinya di hadapan bakal adik iparnya itu. Dayana menggaru-garu dagunya sambil memikir.
“Nisahh...”rintih Dayana.
“Kalau Abang Akif tak balik jugak macam mana?”tanyanya dengan suara sebak.
Di saat itu seluruh dunia ini dirasakan sedang bergoncang. Hanya menanti saat untuk pecah berderai. Nisah yang tidak berupaya memberi jawapan terus memeluk Dayana dan menangis bertambah kuat. Lama mereka berpelukan dan menangis.
“Akak, Nisah kena balik dulu,” beritahu Nisah sambil mengesat airmata dipipinya.
“Nanti mak risau pulak! Lagipun Nisah dah janji akan hantar barang-barang keperluan angah ke wad,”terang Nisah sambil teresak.
“Yalah, Nisah,”kata Dayana lalu melepaskan Nisah dari dakapannya. Dia juga menyeka airmata yang terus menuruni pipinya.
Dayana naik ke rumah dan  terus memasuki kamar pengantin dengan langkah lesu. Kakinya seolah-olah tidak berpijak dilantai rumah lagi. Matanyamemerhati pakaian yang akan disarungkan ke tubuhnya pada majlis pernikahan esok. Baju dan selendang putih.

Tiada ulasan: