Rabu, 9 September 2015

Cinta Tak Pernah Usai-Bab 21



SUARA azan subuh dari surau yang berhampiran mengejutkan tidur Mak Esah. Dia segera bangun untuk menunaikan tanggungjawabnya kepada yang Esa. Sebelum ke bilik air, sempat dia menjenguk ke bilik Akif. Bilik yang telah dihias indah, sepi dari penghuninya.
Semalam, sewaktu dia masuk tidur Akif masih belum balik ke rumah. Namun, tidak teringat pula hatinya untuk menghubungi telefon bimbit anaknya itu. Lagipun semalam sewaktu dia masuk tidur, jam baru menunjukkan pukul 10.00 malam.
‘Takkan dia tidur di rumah Yana pulak! Hisy! Melampau betul budak ni! Tak sabar-sabar. Kan nak disatukan tak berapa jam lagi?’rungut hati Mak Esah. ‘Tapi, tak mungkin Akif tidur kat sana!’Suara hati Mak Esah menolak pula jangkaan hatinya sebelum itu. Selesai berwuduk, Mak Esah terus melaksanakan tanggungjawabnya kepada TUHAN Maha Pencipta.
Seelok sahaja Mak Esah selesai berwirid dan membaca surah Yasin, Pak Shukri balik dari surau.
“Bapaknya, Akif ke mana ni? Belum balik-balik lagi! Cuba awak telefon dia! Saya risau ni,” beritahu Mak Esah dengan nada bimbang.
“Belum balik? Bukan ke dia dah pergi ke pasar?”soal Pak Shukriyang terkejut dengan kenyataan isterinya itu.Biasanya, anak sulungnya itu pergi ke pasar awal pagi untuk membeli barang-barang basah sebagai bekalan di pasar mininya.
“Semalam saya tidur awal. Dia ada balik tak sebelum awak masuk tidur?”tanya Mak Esah.
Pak Shukri menggeleng.
“Lagipun, Akif dah beritahu saya, dia bercuti dua minggu. Urusan pasar mini dia dah serahkan kepada budak pembantu kedainya. Termasuk pergi ke pasar membeli barang-barang basah,” terang Mak Esah lagi.
“Tidur di pasar mini agaknya,”tebak Pak Shukri pula untuk memujuk hati isteri dan hatinya sendiri.
“Tak apalah bapaknya. Sekejap lagi, saya suruh Rais pergi cari abangnya di kedai. Selagi saya tak tengok muka Akif pagi ni, takkan tenang hati saya ni. Hai Akif, awak tu dah nak jadi pengantin baru tak lama lagi, jaga-jagalah diri nak oii! Janganlah risaukan hati mak ni! Tak balik ke rumah, tak mahu telefon beritahu,” leter Mak Esah kepada Akif yang entah di mana.


Pukul 9.00 pagi, Rais tiba di hadapan Pasar Mini Akif. Pintu pasar mini itu baru dibuka oleh pekerja Akif. Ali tersengih-sengih menyambut kedatangan Rais yang nampaknya tergesa-gesa. Rais terus bertanyakan Akif.
“Abang Akif tak ada, Rais! Dari pagi semalam dia tak datang.”
Jawapan daripada pembantu pasar mini milik abangnya itu mengecewakan Rais. Dia terus menekan nombor telefon bimbit Akif. Berulangkali Rais menghubungi telefon bimbit abangnya, namun dari tadi panggilan itu tidak mendapat jawapan. Kecewa dengan penggilan telefonnya yang tidak dilayan, dia menghubungi pula telefon bakal kakak iparnya, Dayana. Sama seperti panggilannya kepada Akif, panggilan ke telefon bimbit Dayana pun tidak mendapat respons.
‘Hai! Kemana Abang Akif dan Kak Yana ni?’soal hati Rais yang mula meradang.
Ali, pembantu kedai Akif datang menghampiri Rais.
“Rais, nitelefon Abang Akif. Dia tertinggal di celah kotak susu di belakang tu,” beritahu Ali sambil menghulurkan telefon bimbit kepunyaan Akif kepada Rais.
Laa... patutlah telefon tak berjawab,”rungut Rais sambil mengambil telefon bimbit Akif dan menyimpan di dalam poket seluarnya.‘Menyusahkan orang betul!’rungutnya lagi. Rais meninggalkan pasar mini itu. Dia cuba meneka-neka tempat yang selalu dikunjungi oleh abang sulungnya itu.
‘Hisy! Abang Akif ni bukan suka membuang masa ke tempat yang tidak menentu. Setiap masa dia berada di pasar mini dia,’kata hati Rais.
“Di masjid agaknya! Buat solat dhuha,” kata Rais sendiri. Dia memang tahu amalan yang selalu dilakukan oleh abangnya. Oleh sebab itulah rezekinya melimpah ruah. Rajin beribadah dan kuat bekerja pula.
“Tapi nak sembahyang, di mana-mana pun boleh sembahyang.” Rais terus merungutlagi. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk mencari abangnya di masjid berdekatan, ke kedai mamak di pekan itu dan pulang ke rumah, jika Akif tidak ditemui.
Puas Rais berkeliling dengan motosikalnya di sekitar pekan Parit Buntar, namun tidak terlihat bayang Akif pun. Mentari pun sudah menggalah. Akhirnya dia balik ke rumah apabila perutnya mula berkeroncong.
“Mak,Abang Akif tak ada di kedai,” beritahu Rais kepada emaknya sebaik sahaja memarkirkan motosikalnya. Emaknya sedang menjemur kain di ampaian tidak menjawab. Rais duduk bertinggung berhampiran baldi yang terisi dengan kain-kain yang hendak dijemur.
Mak Esah menghampiri Rais sebaik sahaja kerjanya selesai.
“Rais tak telefon dia ke?”soal Mak Esah.
“Telefon Abang Akif pun tertinggal di kedai! Patutlah telefon berulangkali tak ada jawapan,”beritahu Rais dengan nada kecewa. Dia mengeluarkan telefon bimbit Akif dari kocek seluar lalu menghulurkannya kepada Mak Esah.
“Yana?Kamu dah telefon?”tanya Mak Esah lagi.
“Kak Yana pun tak dapat jugak! Jangan-jangan kenduri kahwin tak jadi, mak!  Entah-entah pengantin lelaki melarikan diri,”ungkap Rais sambil ketawa, cuba berseloroh dengan emaknya.
Rais, kau jangan nak bercakap merapu! Kau mesti cari abang jugak! Kalau tidak malu kita nanti! Malu keluarga Yana! Mana nak letak muka?”tempelak Mak Esah kepada anaknya yang kedua itu.

Abang kamu tu cinta pada Kak Yana kamu tu dah macam Qays cintakan Laila aje tahu tak? Takkan pulak dia nak melarikan dirinya menjelang hari pernikahan yang tak berapa jam lagi!”bidas Mak Esah pula.
Qays? Siapa Qays tu mak?”soal Rais.
“Yang saya tahu, kisah cinta klasik tu wataknya Majnun. Haa! Sepatutnya mak cakap macam ni. Abang Akif cintakan Kak Yana macam Majnun cintakan Laila,” balas Rais.
Eh,budak ini! Qays tu Majnunlah. Majnun tu maknanya ‘gila’. Qays menjadi majnun kerana kehilangan Laila. Sebab tu kisahnya jadi Laila Majnun,” jelas Mak Esah.
“Dah, Rais. Tak usah berbahas dengan mak pasal Laila Majnun lagi. Kamu pergi masuk ke rumah, makan tengah hari! Mak dah siapkan atas meja tu, lepas sembahyang zuhur, kamu kena pergi ke rumah Yana, kamu tanyakan tentang Akif!”arah Mak Esah pula.
“Sebelum tu, singgah di kedai abang kamu suruh si Ali tu sediakan telur-telur ayam untuk majlis kenduri tu. Rasanya abang kamu dah beli, 1500 biji,” sambung Mak Esah lagi.
“Yang itu sekarang ni jugak saya boleh telefon Ali! Tapi kalau mak nak suruh saya ambil telur-telur tu saya malas mak. Saya penatlah. Mak asyik suruh saya ke hulu ke hilir. Yang nak kahwinnya abang Akif,” rungut Rais dengan suara perlahan. Mak Esah tersenyum mendengar rungutan anak keduanya itu. Perangai Rais sama macam Nisah. Bermulut becok tetapi jarang membantah percakapannya. Kalau membantah pun hanya di mulut, tetapi akhirnya mereka akan menurut juga.
“Esok-esok bila kamu nak kahwin, giliran abang kamu pulak ke hulu ke hilir untuk majlis kenduri!”tempelak Mak Esah kepada Rais.“Lagipun perbelanjaan kamu di universiti tu abang kamu yang tanggung. Cuba tahu mengenang budi orang sikit,” sindir Mak Esah sambil tersenyum.
“Yalah, mak! Saya telefon Ali sekarang,” jawab Rais segera mendail nombor telefon pasar mini abangnya. “Petang nanti mak suruh bapak ambil. Lepas tu boleh suruh adik kamu basuh semua telur tu. Nanti-nanti senang, terus rebus aje,”terang Mak Esah dengan nada lembut.
“Hah, cantik! Suruh Nisah tu buat kerja sikit! Pemalas! Asyik buat tahi mata aje! Kalau tak buat tahi mata, asyik menghadap televisyen melayan drama cerita hantu! Tak tahu ke rumah ni nak menghadap kenduri kahwin!  Banyak kerja nak dibuat,” omel Rais sebelum masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur. Tudung saji di atas meja terus diselaknya untuk melihat juadah tengah hari itu. Rais menggosok-gosok perutnya yang lapar sambil menelan airliur.
Selepas makan tengah hari dan solat zuhur, Rais terburu-buru menuju ke motosikalnya. Sebelum pergi matanya memandang ke langit. Cuaca pada petang itu agak mendung. Dia terus menyarung baju hujan ke tubuhnya kerana menjangka yang hujan akan turun dipertengahan perjalanannya nanti. Mudah-mudahan perjalanannya menuju ke rumah bakal kakak iparnya lancar.
‘Adalah hendaknya Abang Akif di rumah Kak Yana ni,’bisiknya sambil berharap.
Hujan semakin lebat, tatkala tangan Rais semakin kuat memutar pemulas minyak. Jika boleh, biar motosikal yang dibawanya meluru laju sederas peluru.




Mentari di ufuk barat sudah mewarna langit jingga. Burung layang-layang yang berterbangan berputaran seolah menimbulkan bintik-bintik hitam pada lukisan alam. Indahnya panorama senja ciptaan TUHAN. Mak Esah memegang dadanya yang asyik berdebar sejak dari semalam. Entah apa petandanya. Hari ini, Jumaat. Esok hari Sabtu. Hari kenduri kahwin Akif bersama Dayana. Kali terakhir dia melihat wajah anak sulungnya pada pagi semalam, sebelum dia bertolak ke rumah Dayana. Sehingga malam ini, Akif masih belum pulang.
Rais yang disuruh menjejaki Akif ke rumah Dayana pun masih belum balik lagi sejak tadi. Mustahil Rais tersesat jalan. Bukannya dia tidak pernah mengunjungi rumah bakal kakak iparnya itu. Fikiran Mak Esah terus berkisar-kisar ke sana dan ke sini.
“Nisah, cuba kamu telefon Abang Akif kamu, Rais dan Kak Yana kamu sekali! Hati mak ni berasa tak sedaplah Nisah! Abang Akif kamu tu, dari semalam tak balik-balik. Kenduri akad nikah tak berapa jam aje lagi. Dia pergi ke mana?” jerit Mak Esah dari arah dapur kepada anak gadisnya yang berada di ruang tamu bersama beberapa orang teman perempuannya.
Anak-anak gadis itu sedang menyediakan cenderahati yang akan dibekalkan kepada tetamu yang datang pada majlis kenduri nanti.
“Yalah, mak! Semalam pun dah banyak kali Nisah telefon Abang Akif, tapi tak ada jawapan! Nisah cuba lagi,”beritahu Nisah sambil memandang ke wajah emaknya yang nampak gelisah dan risau.
“ALLAH,mak!Dengar tu, dalam bilik Abang Akif, dia tinggal telefon! Macam mana nak dapat?”soal Nisah  sesal.
“Ya ALLAH!Mak terlupa! Abang Akif kamu memang dah tertinggal telefon bimbitnya di pasar mininya! Tadi lepas Abang Rais kamu balik dari sana, dia berikan mak telefon tu. Mak yang letakkan di dalam biliknya,” cerita Mak Esah sambil menggaru-garu kepalanya.
“Mak ni risaukan abang kamu sampai jadi mamai,” sambungnya lagi sambil merenung ke wajah anak gadisnya. Wajah Nisah pun seolah-olah mempamerkan kerisauan hatinya. Hati mana yang tidak gundah-gulana jika ada ahli keluarga yang paling rapat menghilangkan diri secara tiba-tiba. Apatah lagi kehilangannya menjelang hari pernikahan pula.
“Tak apalah, Nisah!  Dah buatkan minuman untuk kawan-kawan tu? Pergi buat air, kasihan mereka dari tadi lagi mengerjakan beg-beg tu! Banyak yang dah siap?”soal Mak Esah sambil melihat di dalam kotak. Senaskhah surah Yasiin, sapu tangan, air kotak, gula-gula dan kuih bahulu terisi di dalam beg-beg kertas kecil berwarna hijau lumut.
“Mak, ada kereta polis datang tu!”beritahu Nisah sebaik terlihat sebuah kereta polis memasuki kawasan rumah mereka. Kereta itu diparkirkan di bawah pokok rambutan, tempat abangnya selalu meletakkan keretanya.
“Hah? Pp... polis?”soal Mak Esah tergagap-gagap. Menyirap darahnya sehingga ke dada menyesakkan nafasnya sejenak. Kaki yang menuruni anak tangga pun terasa goyah. Anggota polis sedang berjalan menghampiri tangga rumah mereka.‘Perkhabaran siapakah yang akan dibawa?Akif atau Rais? Ya ALLAH, janganlah terjadi sesuatu yang buruk kepada anak-anakku!’bisik hati Mak Esah.
Esok, kenduri kahwin akan berlangsung. Hari gembira buatnya dan keluarga kerana akan menyambut menantu. Janganlah hendaknya kenduri itu bertukar menjadi kenduri yang ditangisi. Debaran di dadanya kian memuncak. Nafasnya juga semakin sesak. Gemuruhdi dalam dadanya TUHAN sahaja yang tahu. Rasa takut dan bimbangnya meruncing. Menghujam dan menerjah hatinya.
‘Kami jumpa mayat anak makcik, Akif bin Shukri yang telah disumbat di dalam guni. Badannya dikerat-kerat beberapa bahagian.’Mungkinkah kata-kata itu yang akan diungkap oleh polis yang datang ke rumahnya? Mak Esah cuba meneka. Tidak sempat memijakkan kaki ke anak tangga yang terakhir, tubuh Mak Esah terkulai dan hampir rebah.
“Makkk!”jerit Nisah sambil cuba menyambar tubuh emaknya.
                                                                                                                            
DUGAAN TUHAN yang mendatangi kehidupannya sehari dua kebelakangan ini begitu mencabar. Ujian dari TUHAN yang bertimpa-timpa merebakkan tubir matanya. Sudah puas Mak Esah menangis. Hampir basah tuala tangan yang mengesat airmata dipipinya. Esok majlis kenduri kahwin Akif. Majlis akad nikah jam 10.00 pagi akan dilakukan di masjid. Tapi Akif...
Tadi, sewaktu polis datang ke rumah, dia menyangka polis membawa perkhabaran tentang anak sulungnya itu. Telinganya seakan mendengar kata-kata yang bakal diungkapkan oleh anggota polis.
‘Kami jumpa mayat anak makcik, Akif bin Shukri yang telah disumbat di dalam guni. Badannya dikerat-kerat beberapa bahagian.’
Telinganya seolah-olahtakut untuk mendengar kata-kata yang akan diluahkan oleh anggota polis yang datang ke rumahnya. Kalau boleh, janganlah mereka berkata sesuatu pun. Namun, anggota polis itu tetap juga kena bersuara. Mujur bukan ungkapan kata-kata yang menakutkan itu yang dilontarkan oleh mereka ke pendengarannya. Sebaliknya pihak polis membawa perkhabaran yang lain. Berita yang didengarnya itu turut membuat hatinya remuk.
Pandangan mata Mak Esah terus menatap ke wajah Rais yang matanya terpejam. Sesekali dia mengusap-ngusap kepala anak bujangnya itu. Mak Esah terus meratap hiba.
Syukurlah kau selamat, Rais! Kalau tak, tak tahulah macam mana! Hancur hati mak!”rungut Mak Esah seorang diri. Rais yang mendengar suara merengek-rengek di tepi telinga membuka matanya perlahan-lahan. Dia tahu, kini dia berada di atas katil di hospital. Rais cuba mengingat kembali peristiwa yang sudah berlaku. Seluruh tubuh badannya terasa sakit. ‘ALLAH,’rintihnya lalu membuka matanya lambat-lambat.
Rais! Ya ALLAH, anak aku...” tangisan Mak Esah meleret.
“Mak, Rais accident,”beritahu Rais dengan suara serak. Nasib baik umurnya masih panjang. Dia masih hidup dan tidak mati.
“Mak tahu! Kenapalah Rais pecut motor laju sangat?”soal Mak Esah masih dalam tangis.“Rais nak cepat, mak! Hujan lebat,”adu Rais dengan nada perlahan.
Abang Akif macam mana, mak? Dah jumpa dia? Dia dah balik ke rumah?”soal Rais bertalu-talu dengan suara perlahan. Mendengar pertanyaan itu raungan Mak Esah bertambah kuat.

Tiada ulasan: