Hujanyang turun sejak senja tadi masih belum reda. Langit yang terbentang pun mula
menghitam tanda menghampiri malam. Burung layang-layang tampak bertebaran di
angkasa berterbangan sekawan menuju ke sarang. Walaupun cuaca tidak begitu baik,
Pak Shukri sudah bersiap-siap untuk ke surau yang letaknya lebih kurang satu
kilometer dari rumahnya.
Walaupun badannya
terasa penat hari itu, rutin hariannya untuk solat berjemaah di surau pada
setiap waktu tidak pernah diculas. Pahala 27 kali ganda jika solat berjemaah. Begitulah
kata ustaz sebagai memberi motivasi kepada jemaah agar rajin ke surau. Sewaktu
pulang ke perkampungan abadi nanti, pahala dari segala amal ibadatnyalah yang
akan mengekori.
Siang tadi, dia sibuk bersama beberapa orang kampung
mendirikan khemah tempat memasak bagi majlis kenduri perkahwinan anaknya yang
sulung. Akif, beria-ia sangat mahumengadakan majlis kenduri kahwinnya secara
gotong-royong bersama penduduk kampung. Puas dipujuk untuk membuat tempahan katering
untuk majlis itu, namun Akif mahukan majlis secara gotong-royong juga. Untuk
mengeratkan silaraturahim antara jiran-jiran kampung yang nampaknya sudah
semakin renggang. Itulah katanya.
Mahu tak mahu, terpaksa juga Pak Shukri bersetuju. Cuma
yang menjadi kebimbangan orang tua itu ialah kalau tak ada orang kampung yang
sanggup datang menolong bantu kerja kendurinya.
“Bapaknya! Mari minum kopi dulu sebelum ke surau tu!”panggil
Mak Esah. Suara Mak Esah mengejutkan lamunan Pak Cik Shukri tentang majlis
kenduri yang akan dihadapinya.
Pak Shukri yang baru melangkah ke pintu terpaksa berundur
semula. Dia menarik kerusi di meja makan lalu duduk serta mencapai kuih yang
terhidang.
“Sedap bahulu ni,”puji
Pak Shukri sebaik sahaja menggigit sebiji kuih bahulu. Tangannya mencapai lagi
sebiji bahulu acuan buah gelugur.
“Alhamdulilah, dapat jugak siapkan bahulu ni untuk dihidangkan
kepada tetamu nanti,” cerita Mak Esah sambil menuangkan kopi O ke dalam cawan.
“Kenalah ikutkan
kehendak Akif tu. Maklumlah anak sulung. Lagipun dia suka makan bahulu ni,” sambung
Mak Esah lagi.
“Banyaklah awak buat ya?”tanya Pak Shukri sambil cuba
mengingat. Seingatannya dia tidak nampakpun isterinya itu membakar bahulu di
rumah.
“Mana sempat saya
nak buat, bapaknya! Saya mintak tolong Saripah buatkan! Lagipun, dia memang
buat bahulu ni hari-hari! Awak dah lupa ke kita ada jiran yang menjadi
pengusaha kuih bahulu ni?”
Senyum lebar Mak Esah melihat suaminya makan bahulu
dengan penuh selera.
“Oh ya! Kuih bakar
awak tak tempah ke?”soal Pak Shukri sambil menghirup kopi O. Terkecur pula airliurnya
apabila teringatkan kuih bakar.
“Kuih bakar ada
sikit! Tapi yang itu saya tak tempah! Bakal menantu awak yang buatkan,”beritahu
Mak Esah lalu bangun perlahan-lahan dari tempat duduknya. Mak Esah mencapai
bekas plastik yang terisi dengan kuih bakar. Beberapa kuntum kuih bakar dimasukkannya ke dalam piring lalu
dihidangkannya di hadapan Pak Shukri. Suaminya itu terus mencapai sekuntum dan menggigitnya
perlahan.
“Hmm...sedap. Gebu. Lembut. Lemak. Semuanya cukup,”puji
Pak Shukri lagi. Mak Esah tersenyum lebar.
“Budak Yana tu memang pandai memasak, bang! Bertuah Akif
kerana mendapat isteri pandai memasak. Saya dengar dia memang membuat kuih-kuih
tradisional untuk dijual! Rajin orangnya,” kata Mak Esah. Giliran dia pula
memuji bakal menantunya.
“Akif sedang
usahakan untuk mendapatkan tapak kedai untuk Yana tu,” beritahu Mak Esah lagi.
“Nak berniaga apa
pulak Yana tu! Eh! Kan Akif dah ada pasar mini sendiri! Dah ada cawangannya pun.
Bila mereka dah nikah, kenalah Yana tolong bantu perniagaan Akif tu,”ujar Pak Shukri
memberi pendapatnya. Kata-katanya itu disambut oleh Mak Esah dengan tawanya
yang berderai.
“Eh! Awak ni, biarlah
Akif nak isterinya berdikari. Ada perniagaan sendiri. Lagipun, kata Akif, bakal
isterinya itu berbakat dalam soal masak memasak ni.Sayang kalau bakat dan
kebolehan yang dikurniakan TUHAN itu disia-siakan. Tidak digunakan untuk
menjana pendapatan,” jelas Mak Esah.
“Hmm...Akif! Dalam
fikiran dia tak ada hal lain! Asyik fikir hal bisnes aje! Tapi asalkan dia
sentiasa hormat kita sebagai emak bapak dan ikut perintah TUHAN, saya tak kisah
dia berniaga apa pun. Asalkan halal,” kata Pak Shukri pula, mengulas tentang
perangai anak sulungnya itu.
“Alhamdulillah
bang, Akif tu anak yang baik. Yang berpegang teguh pada ajaran agama, sebab tu
rezekinya melimpah ruah dan kejayaan selalu memihak kepadanya,”puji Mak Esah
pula. Tidak berniat untuk riak, Mak Esah berbangga dan bersyukur TUHAN
mengurniakan anak-anak yang mendengar kata mereka sebagai orang tua.
“Eh! Akif ni dah nak masuk maghrib begini belum balik
lagi,”kata Mak Esah yang tiba-tiba teringatkan anak lelakinya itu.
“Dia ke rumah Yana,
kan?”soal Pak Shukri pula. Mak Esah mengangguk.
“Tapi dia janji
dengan saya nak pergi sekejap aje! Sebab itu saya izinkan dia pergi,” beritahu
Mak Esah. Rasa bimbang mula menyapa hatinya. “Katanya nak bincang dengan Yana
tentang majlis pernikahan mereka tu! Nak buat di masjid atau di rumah,” cerita Mak Esah lagi.
“Bukankah kita dah putuskan tentang perkara itu! Mereka
akan bernikah di masjid! Mak dan bapak Yana pun dah setuju. Bukannya apa, dapat
jugak mengimarahkan masjid di kampung tu. Tidaklah hanya digunakan untuk solat
Jumaat dan solat Hari Raya aje,”kata Pak Shukri. Mak Esah ketawa kecil.
“Sebenarnya Akif tu sengaja hendak berjumpa dengan Yana
agaknya. Nak lepaskan rindulah tu! Tengoklah sampai sekarang ni tak balik-balik
lagi. Entah apalah yang dibual dan diselorohkannya dengan Yana tu,”ujar Mak
Esah dalam tawanya. Sungguhpun begitu hatinya tetap berasa bimbang. Perasaannya
terasa lain benar pada senja itu.
“Tak usahlah awak bimbang. Sekejap lagi adalah Akif tu
balik! Saya nak ke surau ni,” kata Pak Shukri cuba menenangkan hati isterinya. Mak
Esah mula nampak gelisah kerana Akif masih belum pulang ke rumah. Cuaca mendung
semakin buruk dengan hembusan angin yang mulai kencang.
TITISAN hujan yang menimpa cermin hadapan keretanya menyebabkan Akif memandu
perlahan, penuh hati-hati menghindarkan diri dari sebarang kemalangan. Maklumlah
hari bahagianya akan muncul beberapa jam sahaja lagi. Dia akan bergelar suami
kepada gadis yang telah bermukim di kamar hatinya, memiliki cintanya.
“Hisy, apa perempuan tu buat kat situ?”tanya Akif sendiri
apabila matanya terlontar ke arah seorang gadis yang sedang memanjat tiang
jambatan yang sedang dilaluinya. Gadis itu sedang cuba menyelitkan dirinya di
celah binaan jambatan dan cuba memanjat
ke atas binaan yang paling tinggi dalam hujan lebat. Akif memberhentikan
keretanya dan memerhati telatah perempuan itu yang amat mencurigakannya.
“Astaghfirullahalazim. Apa yang dia nak buat tu?”rungut
Akif sendiri sambil keluar dari perut kereta. Perasaannya cemas apabila melihat
gadis itu berdiri di tempat paling hujung di atas tiang yang berbonjol.
“Amoi, jangan terjun!”jeritnya kuat apabila melihat gadis
itu seolah-olah ingin menghumbankan dirinya ke dalam sungai. Gadis itu menoleh
kepadanya.
“Kalau awak terjun, terus mati tak apa! Kalau tak mati? Bukan
senang mahu mati! Lagipun awak ingat mati itu seronok ke? Tak seronok jugak! Amoi!
Pegang tangan saya ni! Turun perlahan-lahan. Saya akan bantu awak!”
Begitulah pujukannya kepada gadis itu di dalam derai
hujan. Baju yang membalut tubuh gadis itu basah kuyup. Sudahlah memakai gaun
berwarna merah jambu di atas paras atas lutut. Baju yang dibasahi air hujan
sudah melekat pada tubuh anak gadis itu. Baju yang singkat menyerlahkan
sebahagian besar pahanya yang putih mulus. Walaupun cuba untuk mengelak, dia
terpaksa juga merenung kepada gadis itu sewaktu memujuknya.
“Kenapa lu sibuk! Lu tak tahu apa-apa! Saya tak mahu
hidup lagi!”teriak gadis itu dengan suaranya tersendat pilu. Airmatanya
berjejeran di pipi bersatu dengan air hujan. Tubuhnya juga sudah lencun. Sedu
sedannya yang bertali menggegarkan bahunya. Rasa sengsara jiwanya pada saat itu
mungkin sebanyak titisan hujan yang sedang menimpa bumi. Fikiran yang kusut
membongkar kenangan. Hatinya bagai dilapah kejam.
Sejak dari pagi tadi dia berjalan kaki
tanpa arah tujuan. Lebih menyedihkan tapak kakinya juga tidak lagi beralas. Dia
mengambil keputusan untuk membuang kasut yang dipakainya apabila sebelah
talinya telah putus. Kini malam merangkak datang. Rintik-rintik hujan pula
membasahi tubuhnya.
“Szeze! Keluar dari rumah ini! Aku tak
mahu tengok muka lu lagi!”tempikan papanya yang amat marah hampir menggugurkan
jantungnya. Fikirannya pun berserabut. Jiwa Wong Szeze terasa bagai
ditikam-tikam. “Lu keluar dari rumah ini! Pergi!!Usir papanya sekali lagi.
Suara papanya yang garang, kuat dan penuh
kemarahan seolah-olah terngiang di telinganya lagi. Dengan kesedihan yang
memuncak dan berserabut fikiran, dia keluar dari rumah sehelai sepinggang. Meskipun
dia anak tunggal seorang lelaki hartawan. Wong Pek Chak, papanya yang kaya raya
seolah muflis dengan nilai kemanusiaan apabila mengusirnya dari rumah. tanpa
wang sesen pun. Hanya airmata sahaja yang menemaninya.
Terlalu jauh dia berjalan sehingga satu
saat dia berasa sangat haus dan lapar. Namun, tiada siapa pun yang dapat
menolongnya. Kekasihnya Zaim sudah melarikan diri. Zaim, lelaki Melayu beragama
Islam yang ingin mengajarnya mendalamiIslam. Kata Zaim, dia akan ajarkan
bagaimana caranya memperolehi cahaya iman.
Tangisan Wong Szeze semakin kuat. Hempasan
kesedihan dijiwanya semakin bergelora. Dia takut. Takut untuk menghadapi hari
esok. Perutnya akan semakin besar. Dunia seolah-olah gelap. Dia seolah akan
melalui kehidupan yang gelap pekat. Tanpa cahaya. TUHAN yang dicari pun seolah
sudah membencinya.
“Bukan anak saya. Jangan-jangan Szeze
sudah tidur dengan lelaki lain.”Ungkapan Zaim meremukkan hatinya. Rasanya sakit.
Terlalu sakit.
“Sumpah! Demi TUHAN yang Zaim sembah! Anak
ini anak kita,” beritahunya kepada Zaim dengan tangisan pilu.
“Saya tahu, anak gadis bangsa Szeze selalu
tidur dengan lelaki. Tidak kisah kalau mengandung anak haram.” Tuduhan Zaim
mengoyak hatinya. Dirinya bagaikan terlalu hina.
“Zaim... ini memang anak kita... tolonglah
Szeze. Szeze tak tahu nak buat macam mana,dah empat bulan Zaim...tolonglah..kita
mesti daftarkan perkahwinan kita..”rayunya kepada Zaim.
Namun, Zaim melemparkan senyuman sinis
kepadanya dan terus meninggalkan dia bersendirian. Hari itu, hari terakhir dia
bertemu dengan Zaim. Hatinya semakin terumbang-ambing. Ternyata Zaim lelaki
durjana. Janjinya untuk menjadi pembimbing ke jalan yang lurus ternyata dusta.
Gema suara ayahnya dan suara Zaim seolah
mengejarnya. Wong Szeze berlari-lari anak pula. Dia ingin berlari ke hujung
dunia jika dengan pelarian itu dia dapat membebaskan diri dari masalah yang
sedang membelitnya.
“Aku tak ingin hidup lagi! Aku tak ingin!!!”
Langkahnya semakin deras apabila melihat
ada sebuah jambatan yang merentangi sungai tidak jauh dari situ. Dia sudah
nekad. Nafasnya sudah sesak. Dia terasa seolah-olah ada tangan malaikat yang
akan menyambutnya. Wong Szeze tidak sabar lagi. Hatinya sudah tidak tertahan.
Kehidupan ini tidak lagi memberi erti kepadanya. Anak
haram yang di dalam perutnya akan menyusahkannya sehingga dia mati.
“Lebih baik aku
mati bersamanya. Papa dan mama pun tidak akan menanggung malu,” rintihnya.
Wong Szeze memejamkan mata dan menarik nafasnya panjang. Mungkin
itu nafasnya yang terakhir. Dia akan meninggalkan dunia ini. ‘ Selamat Tinggal
Dunia! ’jerit hatinya.
“Cik!Cik! Jangan terjun!!Jangan begitu, amoi! Awak turun dulu! Cepat, pegang
tangan saya ni! Awak tengok baju saya pun dah basah kuyup. Kalau awak tak mahu
turun, saya pun tak mahu pergi dari sini! Turun ya!” pujuk Akif dengan suara
lembut. Petir berdentum tiba-tiba.
Wong Szeze tersentak dari lamunan pahitnya. Dia memegang
kepala yang terasa seolah akan pecah dihempas kesedihan.
“Semua masalah ada jalan penyelesaiannya.” Semakin melirih
suara Akif memujuk gadis yang tidak dikenali dalam dentuman petir dan kilat
meretakkan langit.
“Apa masalahnya ni?”tanya Akif dengan suara agak kuat
kerana jarak dia dan gadis Cina itu agak jauh. Gadis itu berada di tempat yang
tinggi. Matanya terus merenung gadis itu mengharapkan jawapan.
“Saya mengandung!”beritahu gadis itu sambil teresak-esak.
Dua patah perkataan yang terlontar dari bibirnya mengejutkan Akif. Lantas, dia
cuba meneka cerita seterusnya. Pasti gadis itu sudah terlanjur dengan
kekasihnya dan kekasihnya telah melarikan diri.
“Turun ya!”katanya sambil menghulurkan tangannya kepada
gadis Cina itu sekali lagi. Gadis itu merenung kepadanya seketika. “Turunlah...”gesanya
lagi dengan lembut. Tangannya terus dihulurkan kepada gadis itu.
“Saya mahu cari jantan tak guna tu! Zaim!!!” beritahu
gadis itu dengan airmata yang berderai. Esakan yang memilukan mengiringi setiap
perkataan yang terlontar dari bibirnya. Akif tidak terkata mendengar nama
lelaki yang disebutkan. Macam nama lelaki Melayu saja!
“Saya mahu cari dia! Saya mahu tikam dia!! Lelaki tak
guna!!!”sambung gadis Cina itu lagi dengan tangisan yang berterusan.
“Kalau awak mahu cari dia, buat apa nak bunuh diri? Bukannya
dia ada dalam sungai itu!”tukas Akif. Walau bagaimana cara pun dia akan memujuk
gadis itu juga.
“Saya sangka lelaki Melayu, lelaki Islam boleh dipercayai!
Baik! Tetapi semuanya tak guna! Jahat! Penipu!”marahnya dalam tangisan
menjentik telinga Akif.
“Semua bangsa pun sama. Ada yang baik. Ada yang jahat.”
Namun kata-kata pujukan itu tidak bermakna untuk
mengubati hati gadis Cina itu yang sudah dimamah kecewa lara.“Turunlah, kalau
awak terjun jugak, maknanya kekasih awak yang jahat itu sudah berjaya
membinasakan seluruh diri dan kehidupan awak.” Akif cuba berdiplomasi lagi.
“Sepatutnya awak beri peluang kepada diri awak untuk
terus hidup dan tuntut keadilan,”katanya.
Gadis itu menundukkan muka sambil merenung hujung kakinya.
Kalimah yang diungkapkan oleh pemuda yang tidak dikenalinya itu, termakan juga
oleh akalnya. Dia ingin mencari syurga, namun kini jalan yang sedang dipilih
akan menghumbankannya ke dalam neraka.
“Turunlah... biar saya hantarkan awak balik ke rumah,”pujuk
Akif sambil menawarkan bantuan. Hatinya
lega apabila jari jemari anak gadis itu menggenggam tangannya.
HAMPIR pukul 1.00 pagi dia tiba di rumah orang tua gadis Cina itu. Rumahnya
terletak di dalam sebuah ladang kelapa sawit. Sepanjang perjalanan, gadis itu
yang masih larut dengan kesedihan membisu tanpa kata. Akif juga tidak
mendesaknya untuk bercerita. Syukur dia telah berjaya menyelamatkan satu jiwa
yang ingin menghujungkan penghidupannya.
Bunyi salakan anjing yang garang kedengaran di telinga
Akif sebaik sahaja dia turun dari perut kereta. Dia memarkirkan kereta di luar
pagar. Gadis itu masih terpaku di tempat duduk di dalam kereta. Ketakutan yang
mencengkam di hati menyebabkan tubuhnya terikat di kerusi. Perasaannya cemas
dan tidak dapat meneka bagaimanakah penerimaan papanya nanti! Papanya yang telah bertukar watak menjadi
pembengis kerana calitan noda yang tersimbah pada dirinya.
“Turunlah!Kenapa
takut? Ini rumah mak dan bapak awak, kan?”soal Akif lembut. Wong Szeze
mengangguk dan keluar dari kereta perlahan-lahan. Bunyi salakan anjing tidak
lagi kedengaran. Senyap.
“Pergilah masuk,”
gesa Akif apabila dilihatnya Wong Szeze enggan pergi.
“Jom, saya hantar
awak sampai ke depan pintu rumah,”kata Akif akhirnya. Dia menghayun langkah
menuju ke pintu. Gadis Cina itu mendahuluinya dua langkah.
Sebaik sahaja
loceng pada tepi pintu ditekan, daun pintu pun terbuka. Terlihat susuk tubuh
seorang lelaki Cina separuh umur. Sebaik sahaja gadis Cina itu membolosi pintu
dan menangis kuat, Akif pula diterpa oleh dua orang lelaki.
“Buk! Buk! Buk!”
Buku lima hinggap di kepalanya bertubi-tubi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan