Angin petang bertiup agak kencang. Langit yang membiru lewat tengah hari tadi
sudah bertukar ke warna kelabu dan mentari pun menyembunyikan wajahnya di
sebalik awan yang berpintal. Dayana meninjau cuaca di luar rumah dengan
perasaan walang. Suasana gelap seakan menghampiri malam sedangkan jam di
dinding baru menunjukkan waktu 5.30 petang. Dia masih berada di ruang tamu
rumah orang tuanya bersama tunangannya kerana membincangkan urusan majlis
pernikahanmereka yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Hujan lebat yang turun menyebabkan pandangan mereka
terarah ke luar jendela sesekali memerhati titik air hujan kasar.
“Pejam celik, pejam celik, dah hampir waktunya kita nak
menikah ya?”gurau Akif sambil merenung wajah tunang kesayangan. Dayana hanya
menyengih dan mengangguk serta membalas renungan Akif dengan mata yang
bersinar.
“Yana, jangan benarkan Akif balik lagi! Tunggu sehingga
hujan reda.”
Terdengar suara emaknya melaung dari arah dapur rumah
mereka. Dayana tidak menjawab laungan emaknya sebaliknya bibirnya tersenyum
sambil memandang Akif.
“Ha! Kan mak dah marah! Yana cakap tak mahu dengar!”katanya
kepada Akif yang nampak tidak senang duduk kerana ingin beredar dari rumah itu
sejak dari tadi. Pandangan mata Akif berulang kali terlontar ke luar rumah dan
beralih ke arah langit yang nampaknya semakin memberat. Gugusan awan berwarna
kelabu menandakan hujan lebat bakal menyirami bumi.
“Tak apa, Akif tunggu lagi tiga minit. Kalau hujan tak
turun, Akif balik jugak! Tak elok orang
tengok nanti, kalau Akif berlama-lama di sini! Maklumlah, darah manis!”jawab
Akif sambil ketawa kecil dam memandang ke wajah Dayana yang sedang mencebik.
“Betul ke Yana, tak mahu adakan acara persandingan di
majlis pernikahan kita nanti?”soal Akif sekali lagi kerana inginkan kepastian. Dayana
mengangguk sambil melirik ke arah Akif.
“Yana tak menyesal ke? Nanti tak ada gambar-gambar
persandingan, bertukar-tukar pakaian sampai 14 persalinan untuk ditunjukkan
kepada kawan-kawan,” kata Akif lagi, cuba menguji. Dayana tersenyum lebar
mendengar kata-kata Akif itu.
“Pulak! Kan kelmarin kita dah janji takkan buat
perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dalam majlis pernikahan kita
nanti,”jawab Dayana dengan nada perlahan. Hairan pula rasa hatinya dengan pertanyaan
Akif itu. Bukankah dia sendiri yang beria-ia mengatakan amalan bersanding itu
tidak dituntut oleh agama. Tidak pernah dilakukan sewaktu zaman rasulullah.
“Alhamdulillah. Akif saja nak uji Yana. Manalah tahu kalau-kalau
Yana dah ubah pendirian,”ujar Akif sambil tersenyum lagi lalu bangun dari sofa,
meninjau keadaan hujan di luar rumah.
“Akif nak balik
jugak ke? Pergilah jumpa dengan mak dulu,”suruh Dayana sambil mengekori Akif
yang berjalan menghampiri Mak Bedah. Emaknya yang secara kebetulan sedang
menghampiri ruang tamu.
“Saya kena beredar jugak ni, makcik. Nampak gayanya hujan
ni lambat sidangnya.”
Akif bersalaman dan mencium tangan bakal emak mertuanya
itu.
“Kirim salam kepada mak Akif, ya! Ni makcik ada bekalkan rendang pedas udang
galah untuk Akif dan mak,” kata Mak Bedah sambil menghulurkan bekas plastik
kepada Akif. Akif menyambutnya dengan wajah ceria. Dayana menghantarkan
tunangannya itu ke kereta yang diparkir di bawah rumah.
“Oh ya!”kata Akif
sambil mengambil sesuatu di dalam beg dokumennya di dalam kereta.
“Pasport
antarabangsa yang kita buat tempoh hari, Akif dah ambilkan,”beritahu Akif. Tadi
dia sempat singgah ke pejabat imigresen sewaktu dalam perjalanan ke bank untuk mengeluarkan
wang bagi perbelanjaan kenduri kahwinnya.
“Yang ini, Yana
punya! Yana simpanlah,”kata Akif sambil menghulurkan pasport itu ke tangan
tunangannya. Matanya merenung sayang.
“Jadi ke kita nak berbulan
madu tu?”soal Dayana sambil tersenyum. Matanya memerhati pasport di tangan dan
sempat menyelaknya satu persatu.
“Insya-ALLAH,tapi tempatnya, Akif tak mahu beritahu Yana,”
kata Akif sambil ketawa kecil.
“Beritahulah...”rengek
Dayana. Namun Akif tetap menggeleng sambil menyeringai. Dayana sekali lagi
memuncungkan bibirnya dan pura-pura merajuk. Akif mengacah seolah-olah ingin
mencubit hidung Dayana sambil membuka pintu kereta.
“Biarlah rahsia,” jawab
Akif sambil ketawa.“Bila balik dari berbulan madu nanti kita terus
pindah ke rumah baru! Akif nak buat kenduri kesyukuran sikit,”beritahu Akif
tentang perancangannya kepada tunangan kesayangan. Dayana tersenyum manja
mendengar kata-kata Akif itu.
“Barang-barang
dalam rumah semua dah ada, kan Akif?”tanyanya perlahan dengan wajah riang.
“Ya, sayang! Yana
bawa tubuh badan aje! Yang lain-lain semua Akif dah sediakan untuk kita,” beritahu
Akif sambil masuk ke dalam kereta.
“Bawa kereta elok-elok tau,” pesan Dayana kepada Akif. Berat
rasa hatinya untuk melepaskan Akif pergi. Perasaan sayangnya terikat kuat, menyimpul
di hati. Perpisahan mereka pada senja itu mengundang debaran dalam dadanya. Perasaannya
terasa luar biasa.
“Insya-ALLAH. Kita jumpa hmm... lagi beberapa jam,” jawab
Akif sambil menghidupkan enjin kereta. Lagi sehari, hari bahagia mereka akan
tiba. Hari mereka akan diijabkabulkan. Dia bersyukur kepada ALLAH kerana tidak
melalui jalan sukar untuk memiliki gadis itu. Perhubungan yang mendapat restu
daripada ibubapa mereka menyebabkan segalanya menjadi mudah. Dalam tempoh
perkenalan tidak sampai enam bulan mereka telah mengikatkan tali pertunangan. Dan
kini mereka akan diijabkabulkan. Mereka akan menjadi pasangan suami isteri. Dia
bersumpah akan menjaga Dayana dengan cintanya yang tidak berbelah bagi.
“Nanti Akif telefon Yana, ya!”kata Dayana sambil menutup
pintu kereta Akif. Akif menggeleng sambil ketawa.
“Tak ada panggilan
telefon lagi selepas ni,”usik Akif. Matanya melirik nakalke arah Dayana.
“Alaa...” rengek
Dayana sambil menjeling manja. Dia tahu Akif sengaja menyakatnya. Sikap Akif
yang suka mengusik dan menyakatnya itulah yang menyebabkan kasih dan cintanya
bertambah dalam.
“SMS?”soal Dayana pula.
“SMS pun tak ada,”jawab
Akif sambil tersengih. Geli hatinya melihat Dayana memuncungkan bibirnya macam
ikan kaloi.
“Nanti kita rindu
kat awak macam mana?”soal Dayana sambil menjeling sekali lagi.
“Eleh, simpan saja
rindu tu sampai menggebu-gebu. Sehingga kita menjadi suami isteri yang sah!”jawab
Akif sambil mengenyitkan mata kirinya dan tersenyum nakal.
“Dah bernikah baru
kita lepaskan rindu sepuas hati,” sambungnya lagi sambil ketawa riang.
“Rindu di dalam hati Akif pun sudah menggebu-gebu pada
setiap hari, Akif rasa nak bernikah sekarang jugak!”guraunya lagi sambil
menyeringai mengusik Dayana.
‘Gatal pulak mamat ni hari ni,’bisik hati Dayana. Matanya
menjeling, geram.
“Okeylah! Kalau
ada rasa rindu, Yana simpanlah!”jawab Dayana seolah merajuk.
“Bukan setakat
rindu tu menggebu-gebu, biar ia membuih terussetinggi langit,” sambung Dayana
lagi dengan nada melirih. Ketawa Akif bertambah kuat apabila melihat rajuk
tunangannya. Barulah dia teringat yang telefon bimbitnya tertinggal di pasar
mininya.
“Abang nak balik
ni! Selamat tinggal, sayang,” kata Akif sambil menggerakkan keretanya
perlahan-lahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan