Selasa, 8 September 2015

Cinta Tak Pernah Usai - Bab 18



SENYUMAN manis Dayana menyambut kehadiran Akif di hadapannya. Tepat seperti yang dijanjikan, Akif tiba 25 minit selepas perbualan mereka di telefon tamat.

“Kita minum dulu ya,”ajak Dayana lalu merenung ke wajah pemuda itu.

“Okey!”jawab Akif sambil menarik kerusi di sebelah gadis itu.

“Alhamdulillah, Yana dah benar-benar sihat,” katanya sebaik sahaja duduk ke kerusi. Matanya sempat menatap ke wajah Dayana yang nampak kemerahan kerana cuaca panas pada petang itu.

“Syukurlah,” balas Dayana sambil melontarkan senyuman manis kepada Akif.

“Nasib baik Ikhwan cepat bertindak untuk membantu dan menyelamatkan Yana,”sambungnya lagi. Wajah riangnya diselaputi mendung seketika. Hatinya kembali hiba.

“Kalau tidak entah-entah Yana dah tak ada lagi,” rungutnya sendiri. Akif pura-pura tidak mendengar rungutan gadis itu.

“Oh ya,” kata Akif lalu menyeluk kocek seluarnya. Mendengar nama Ikhwan disebutkan oleh gadis itu baru dia teringat tentang surat pemuda itu.

“Terima kasih kerana sudi berkongsi dengan Akif,” sambungnya lagi lalu mengembalikan surat seperti yang dijanjikan tadi. Dayana menyambutnya dan cepat-cepat menyimpannya ke dalam beg galasnya. “Cinta Ikhwan terhadap Yana menyentuh perasaan Akif. Keikhlasannya menyebabkan Akif berfikir berjuta kali,” kata pemuda itu pula. Suaranya tenggelam timbul oleh bunyi hingar-bingar di sekeliling mereka. Kantin hospital itu yang mulai ramai pengunjungnya kerana waktu melawat sudah bermula. Waris-waris pesakit yang datang melawat saudara mara mereka di wad turut singgah di kantin untuk membasahkan tekak.

Sebelum ni Akif dah kenal dengan Ikhwan ke? Kita satu sekolah ke, Akif? Tapi, kenapa kita tak dipertemukan dulu?”Tidak tersedar bibir Dayana mengungkapkan pertanyaan itu, lalu dijawab oleh Akif dengan ketawa.

Tak,kita berlainan sekolahlah, Yana,”jelasnya lembut.

Sebab kenapa kita tidak pertemukan dahulu  ialah,TUHAN telah merencanakan satu insiden dalam peristiwa pertemuan pertama kita, yang akan menjadi kenangan sangat manis sampai bila-bila.Hee... hee!” usik Akif sambil ketawa. Dayana turut ketawa kerana dia juga sedang terkenangkan insiden yang berlaku pada pertemuan pertama mereka.

Habis tu, macam mana Akif boleh kenal dengan Ikhwan pulak?”soal Dayana lagi sambil merenung Akif dengan mata bersinar.

Ikhwan tu sebenarnya kawan Akif jugak! Kami berkenalan sewaktu perlawanan hoki, waktu sekolah dulu! Dah lama sangat tak bertemu dengan dia,hampir 10 tahun,”cerita Akif jujur. Tidak tergamak pula hendak memberitahu Dayana yang dia baru bertemu dengan Ikhwan beberapa minggu yang lalu.

Sudah kehendak TUHAN,” jawab Dayana akhirnya setelah terdiam beberapa ketika. Sedikit pun dia tidak menyangka pemuda yang sedang terintai-intai di pintu hatinya itu kawan Ikhwan. Nasib baiklah cintanya belum dilabuhkan di hati sesiapa di antara mereka lagi. Jika tidak mungkin akan menambahkan koleksi kisah trilogi cinta. Dayana tersenyum sambil fikirannya terkisar-kisar. Akif juga mendiamkan diri.

“Apa pulak yang Akif fikirkan?”tanya Dayana.

Jangan-jangan hati pemuda itu sudah beralih arah. Permintaannya untuk menjadikan dia sebagai teman istimewa sudah tidak relevan lagi. Mungkin pemuda itu ingin memutuskan perhubungan mereka yang baru bertunas! Tebak hatinya. ‘Tapi kenapa aku susah hati pulak?’soal hati Dayana yang tidak henti bermonolog.

“Keikhlasan itu amat penting di dalam semua perhubungan. Dalam apa juga perkara,” kata Akif seolah berbisik.

“Memang betul,” setuju Dayana. Hanya dia berasa terkilan kerana Ikhwan seolah-olah tidak dapat melihat keikhlasan hatinya di dalam persahabatan mereka. Dia telah tersalah sangka tentang perhubungannya dengan Akif. Namun mujurlah, di dalam warkah terakhir yang baru diterimanya dua hari lepas, Ikhwan sudah memahami segalanya. Pemuda itu dapat melihat segalanya dengan fikiran yang lapang dan terbuka.

“Minumlah Yana,”pelawa Akif apabila dilihatnya gadis itu terdiam dan mengelamun. Dayana menyedut air limau tanpa bersuara. Akif merenungnya dan mereka bertentang mata beberapa ketika.

“Nampak macam susah hati aje, Yana,”tegur Akif.

Dayana hanya menjawab dengan senyuman. Bibirnya seolah-olah terkunci. Walaupun sebenarnya dia inginkan penjelasan daripada pemuda itu. Tentang lamaran yang dikatakan oleh emaknya itu, atas kehendak dia sendiri atau dia tidak tahu-menahu. Namun, jika dia pula bertanya nampak seolah tidak beradab dan tidak sopan pula. Tak manis!

“Jomlah kita balik,” ajak Akif lalu bangun sebelum sempat Dayana menjawab pertanyaannya. Akif terus menuju ke kaunter untuk membayar harga minuman. Setelah itu mereka berjalan beriringan menuju ke medan parkir. Kereta Proton Perdana milik Akif terparkir agak jauh dari blok yang menempatkan kantin hospital.

“Kasihan,berpeluh,Yana.” Kata Akif sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta. Dayana segera menyandarkan tubuhnya sebaik duduk di kerusi penumpang. Melindungi hati yang berdebar-debar dia mengunci bibir agak lama.

“Yana,” panggil Akif sambil menoleh kepada Dayana seketika. Dadanya tiba-tiba dipalu debaran. Dayana menoleh kepadanya dan tersenyum.

“Kenapa Akif?”soal Dayana lembut.

“Yana tahu...” Ungkapan Akif terhenti seketika. Dayana menunggu pemuda itu meneruskan kata-katanya dengan sabar.

“Selain dari mak dan Nisah, hanya Yanalah gadis yang pernah Akif bawa dengan kereta ni,” beritahu Akif sambil ketawa kecil.

“Oh!”balas Dayana ringkas.

“Boleh percaya ke ni? Takkan Akif tak pernah ada teman wanita walaupun sekali?”tanya Dayana.

Mustahil pemuda yang sedang memandu kereta di sebelahnya itu tidak berdaya menawan hati perempuan. Rupa paras menyenangkan. Dengan kerjayanya sebagai pemilik dan pengurus pasar mininya yang maju itu pasti kewangannya juga kukuh. Berbudi bahasa pula.




“Yana,” panggil Akif lagi.
Dayana menoleh sekali lagi dan merenung kepadanya.“Mak Akif kata...”Suara Akif sedikit gementar. Dada Dayana pula dipalu debaran. Mungkinkah pemuda itu ingin bertanyakan tentang lamaran yang akan dibuat oleh keluarganya?

“Yana... mak Akif kata, dia dah beritahu Yana yang dia akan melamar Yana untuk Akif,” kata Akif dengan sekali lafaz. Setelah itu dia menghela nafas dalam-dalam. Dia ingin mendengar jawapan daripada bibir gadis itu terlebih dahulu. Selagi tidak mendengar jawapan yang pasti langkahnya terasa sumbang.

“Yana, sebenarnya Akif dah beritahu kepada mak jangan terburu-buru tentang hal ini,” terang Akif. Dia pun berasa serba salah dengan tindakan emaknya yang tidak berbincang dengannya terlebih dahulu.

“Tetapi mak pulak seolah-olah tidak sabar,” sambungnya lagi.

Memang dia sengaja tidak bercerita kepada emaknya tentang Ikhwan. Tentang lamaran pemuda itu kepada Dayana. Jika emaknya tahu, tentu emaknya mengambil keputusan sebaliknya. Silap hari bulan emak memarahinya pula kerana menganggap dia mengganggu kekasih orang. Tetapi Dayana pula sudah mengaku yang dia tidak mencintai Ikhwan. Apa salahnya dia mencuba nasib? Sementelah pula gadis itu memang telah menawan hatinya. Mana tahu Dayana dicipta oleh TUHAN untuk menjadi jodohnya. Akif terus mengelamun.

“Boleh tak Akif beri masa pada Yana untuk berfikir?”Permintaan Dayana seolah menggantung hati Akif. Perasaannya bagai terawang-awang. Namun, persoalan cinta tidak boleh dipaksa. Sungguhpun dari gerak-geri gadis itu dia dapat meneka yang Dayana mungkin menyenanginya, tetapi dia tidak boleh menaruh harapan setinggi langit. Bimbang kalau-kalau hasratnya tertolak, harapannya akan hancur dan terlontar ke lembah yang paling dalam. Entah-entah dia akan menanggung kekecewaan sama seperti Ikhwan.

“Boleh Yana, pasti boleh! Tapi jangan lama sangat tau,” kata Akif sambil ketawa untuk menyembunyikan keresahan di jiwa.

“Tak lama sangat,” balas Dayana.

“Berapa lama? Tiga minit?”tanya Akif cuba berseloroh tetapi hakikatnya begitulah yang diinginkannya. Cepat Dayana membuat keputusan cepat hatinya berasa lega. Tidaklah perasaannya terumbang-ambing bagaikan layang-layang terputus tali.

“Dalam dua atau tiga tahun,” beritahu Dayana bersahaja dalam tawa yang belum reda.

“Apa? Dua tiga tahun?”Akif terpekik kecil. Bulat matanya merenung Dayana yang sedang ketawa mengekek.




Tiada ulasan: