Isnin, 7 September 2015

Cinta Tak Pernah Usai - Bab 17



Assalamualaikum, Yana.
Alhamdulillah, kerana Yana telah sedar. Itu tandanya ALLAH amat mengasihi Yana dan memberi rahmat-NYA untuk kesembuhan Yana. Bisa ular tedung itu amat berbahaya sekali, sayang. Sewaktu Yana memberitahu Ikhwan yang Yana telah dipatuk ular semalam, bagaikan melayang nyawa Ikhwanmenghadapi detik yang amat mencemaskan itu. Maaf, Ikhwan telah menyedut bisa ular di betis Yana sewaktu cuba menyelamatkan Yana. Yana yang pengsan Ikhwandukung untuk dibawa balik ke rumah dan seterusnya membawa Yana ke hospital.
Yana, di saat Yana menatap coretan ini, Ikhwan mungkin di dalam penerbangan untuk balik ke perantauan. Terasa berat hati untuk meninggalkan tanah air, apatah lagi pada ketika Yana terlantar di atas katil wad hospital bertarung dengan kesakitan yang tidak dapat diteka pengakhirannya. Namun,Ikhwan tetap yakin yang Yana akan selamat dan Ikhwan tidak pernah berhenti berdoa untuk keselamatan Yana. Ikhwan berdoa pada setiap detik.                                                              
Yana, selautan kemaafan Ikhwan pohonkan kerana telah melontar hati dan perasaan Yana ke dalam gelora kekeliruan cinta. Ikhwan yang tiba-tiba beremosi kerana impian yang hancur dan musnah, tidak sanggup mengunci bibir selagi belum mendengar penjelasan daripada Yana sendiri. Maafkan Ikhwan, sayang.
Semalaman Ikhwan memikirkan tentang kalimah-kalimah yang Yana ungkapkan itu. Akhirnya... hati ini dapat menerimanya. Memang benar, bahawa persahabatan yang ikhlas itu tidak harus kita cemari dengan keinginan-keinginan yang akhirnya akan menyangkarkan kasih sayang yang selama ini telah terukir. Biarkanlah kasih sayang yang sedia ada selama ini berkembang mekar semahunya. Tapi, sebaliknya Ikhwan pula yang tamak. Apabila Yana berikan keikhlasan dan kejujuran, Ikhwan mencari-cari kasih dan sayang Yana. Bila kasih dan sayang Yana itu telah Ikhwan temui di dalam perhubungan kita yang bertahun, Ikhwan inginkan cinta Yana puladan seterusnya ingin memiliki diri Yana seluruhnya.
Yana, Ikhwan bagaikan seorang musafir yang berkelana di dalam pengembaraannya. Takdir telah menemukan kita di dalam pengembaraan itu. Sekadar untuk bertemu seketika di satu tempat sahaja, namun takdir tidak merencanakan yang kita akan bersama selamanya. Justeru itu Ikhwan akan meneruskan kembara ini berkelana seorang diri lagi. Dengan rela hati Ikhwan melepaskan Yana ke lorong takdir Yana, lorong takdir yang mungkin telah merencanakan pertemuan Yana dengan seseorang yang dapat memiliki cinta dan seluruh diri Yana.

Persahabatan kita, kasih sayang yang mengerawanginya selama ini abadi di dalam sanubariIkhwan. Yana, jangan pernah berhenti berhubung dengan Ikhwan jika ada waktu terluang. Kita tetap sahabat dunia dan akhirat. Hari-hari semalam yang pernah kita lewati bersama adalah kenangan terindah yang amat berharga. Rasa cinta yang pernah mendatangi hati ini takkan pernah usai atau usang selamanya..
Akhir-Maaf jika kata-kata tercoret ada yang menyebabkan hati Yana terluka. Ikhwan menulis surat ini di dalam keadaan yang tergesa-gesa. Sekian, jaga diri baik-baik. Semoga Rahmat Tuhan sentiasa memayungimu.

Salam Dakapan Kasih
Ikhwan b. Mat Hussin

Tersandar tubuh Dayana ke kepala katil sebaik sahaja selesai membaca surat yang dikirimkan oleh Ikhwan melalui emaknya tadi. Setelah emak dan ayahnya pulang, barulah Dayana berkesempatan menatapinya dengan perasaan yang tidak mampu diterjemahkan.
“Ikhwan...”rintih Dayana perlahan sambil teresak hiba. Airmatanya tidak dapat dibendung lagi. Dia rasa kehilangan. Bagaikan sesuatu telah ditarik dari lubuk hatinya. Sesuatu yang telah berakar tunjang kian lama.
“Ikhwan...mengapa pergi begitu saja?”rengeknya sendiri.
“Belum sempat Yana menitipkan ucapan terima kasih buatmu,”tangis hatinya sendiri.
Pemergian Ikhwan dalam keadaan hati pemuda itu sedang merajuk begitu memedihkan batinnya. Begitu bisa. Mungkin menyamai bisa ular yang nyaris meragut nyawanya semalam. Budi dan jasa pemuda itu amat besar untuk disisihkan begitu sahaja.
‘Andaikata Ikhwan tidak mengendahkan jeritanku semalam.’Hatinya membisikkan sambil memejamkan matanya beberapa ketika. Lantas juraian manik jernih terus membutir berderaian di pipinya.
“Yana...”bisikan suara Akif di tepi telinganya menyebabkan dia tersentak sejenak. Langsung dia tidak menyedari bila pemuda itu datang dan berada ditepi katilnya kerana asyik melayan perasaan sedihnya. Dia mendongak melihat wajah Akif yang sedang merenungnya lembut. Wajah teduh dan renungan lembut pemuda itu menyebabkan hatinya berasa tersentuh. Tidak sanggup rasanya untuk terus bertentangan mata.
“Kenapa Yana?”tanya Akif perlahan.
Matanya merenung mata Dayana. Tangisan gadis itu masih belum reda.“Kenapa ni?”ulang Akif sambil mengambil kerusi dan duduk rapat dengan katil gadis itu. Tangannya menarik langsir supaya mengelilingi katil itu. Pada pendapatnya tidak elok jika orang lalu lalang melihat gadis itu menangis.
“Istighfar banyak-banyak, Yana. Insya-ALLAH, hati Yana akan tenang kembali,”pujuk Akif perlahan. Dia mendengar Dayana membisikkan istighfar sambil mengusap dadanya beberapa kali.
“Okey! Alhamdulillah, Yana dah tenang kembali,”beritahu Dayana beberapa saat kemudian sambil tersenyum manis. Cuba menyembunyikan keremukan hatinya pada saat itu.
“Maaf, Yana tak sedar Akif sampai,”sambungnya lagi sambil matanya mengitari ke sana sini melalui sebahagian langsir yang masih terbuka.“Pagi tadi, Akif kata nak bawa makcik dan Nisah. Mana mereka?”soal Dayana sambil merenung Akif. Pagi tadi, sebaik sedar dia telah menelefon pemuda itu menggunakan telefon yang dipinjamkan oleh jururawat yang bertugas pada waktu itu.
“Mak dan Nisah singgah di kantin hospital, sekejap! Nisah tu, balik dari sekolah tadi tak sempat makan, terus nak ikut Akif melawat Yana. Bila nampak kantin, mulalah perutnya berdendang,” beritahu Akif sambil ketawa kecil.
“Lama dah Yana tak jumpa dengan Nisah! Rindu pula kepada keletahnya yang nakal dan riang,” tukas Dayana sambil ketawa kecil disambut oleh Akif dengan ketawanya juga.
“Yana, rindu pada Nisah aje? Pada abangnya tak rindu ke?”seloroh Akif sambil ketawa. Sempat matanya melirik ke wajah gadis itu yang mula merah padam. Dayana menjawab usikan itu dengan senyuman. Wajahnya yang mendung tadi bagaikan terhapus oleh kehadiran sang mentari.
“Alhamdulillah! Cuaca kembali cerah. Mendung dah pun berlalu! Hujan pun dah berhenti,” kata Akif cuba mengusik lagi. Gembira hatinya melihat Dayana riang kembali. Keriangan gadis itu akan merebak ke hatinya juga. Namun lebih menyenangkan hatinya jika dapat dikongsi segala kesedihan yang telah bertandang di halaman hati gadis itu tadi.
“Akif perli Yanalah tu,” tukas Dayana sambil menjeling.
“Hee... hee...”jawab Akif dengan ketawa ringan.“Bagitahulah,”pujuknya lembut.
“Bagitau apa?”tanya Dayana.
“Bagitaulah,apa yang menyebabkan Yana menangis,”jawab Akif terus memujuk.
Dayana berasa serba salah pada mulanya. Namun, tatapan mata pemuda itu menyebabkan dia mengalah. Lantas menghulurkan surat yang masih berada di dalam genggamannya  kepada Akif.
“Apa ni, Yana? Surat cinta ke? Kalau surat cinta daripada seseorang kepada Yana, Akif tak patut baca,” kata Akif. Huluran surat di tangan gadis itu dibiarkan beberapa ketika.
“Dengan ikhlas hati, Yana mengizinkannya! Akif perlu tahu isi kandungan surat ini,” balas Dayana perlahan. “Ambil dan bacalah! Sebelum Yana tukar fikiran ni,” ujar Dayana sambil tersenyum.
“Surat daripada siapa?”tanya Akif, lambat-lambat dia mengambil surat dari tangan Dayana.
“Daripada Ikhwan. Di... dia dah pergi,” jawab Dayana dengan suara sebak. Sekali lagi air jernih mendesak tubir matanya tetapi cepat dikesat dengan hujung jarinya sebelum titisannya menjatuhi pipi.
“Belum sempat lagi Yana ucapkan terima kasih kepadanya,”adunya dengan suara sebak. Perasaannya jadi tidak keruan pula mengenangkan pemuda itu. Dia yang telah menyelamatkan nyawanya dan bersusah payah untuknya, tetapi hati pemuda itu pula dilukai. Cintanya seolah-olah diabai.
“Assalamualaikum!Cak!!!”
Tiba-tiba Nisah menjengukkan mukanya dari sebalik langsir sambil menyeringai. Lembaran putih yang baru sempat dibuka oleh Akif segera dilipatnya kembali lalu disimpan di dalam kocek seluarnya. Dayana cepat-cepat mengesat airmatanya dan pura-pura ketawa dengan usikan Nisah itu.
“Kak Yana...”tegur Nisah dengan riang sambil mendekati Dayana untuk bersalaman dengannya. Mak Esah yang mengekorinya pun tersenyum lebar. Dia turut bersalaman dan mencium pipi gadis itu. Terperanjat Dayana dengan kemesraan emak Akif.
“Alhamdulillah, Yana dah selamat,” kata Mak Esah dengan ramah.
“Ya, makcik! Syukurlahhh,”jawab Dayana sambil tersenyum. Nisah yang duduk di atas tilam di hujung kakinya pun tersenyum-senyum.
“Akak! Nisah nak tengok tempat yang kena patuk tu, boleh?”tanya Nisah tiba-tiba sambil tersengih nakal.
“Nak tengok?”soal Dayana sambil tersenyum malu-malu. Matanya sempat merenung ke mata Akif.
“Nisah! Kenapa nakal sangat ni? Tak usah layan dia, Yana!” marah Mak Esah sambil mencubit kecil lengan Nisah.
“Entah Nisah ni! Biar doktor aje yang tengok! Kalau Nisah tengok pun nak buat apa?”tegur Akif perlahan. Dia faham Dayana berada di dalam keadaan serba salah dengan permintaan adiknya itu.
“Alamak! Makcik ni datang tak bawa buah tangan pun untuk Yana,” ujar Mak Esah serta-merta. Tangannya sempat menguit-nguit paha Nisah memberi isyarat.
“Haa... iya tak iya jugak! Apa kata kalau abang tolong belikan Kak Yana kuih-muih di kantin. Tadi ada banyak, kan, mak!” sampuk Nisah sambil merenung Akif dan mengenyitkan matanya.
“Okeylah, biar Akif yang pergi belikan untuk Yana, mak!”jawab Akif sambil beredar dari sisi mereka.
“Yanaaa... mak dan ayah, dah datang?”tanya Mak Esah sebaik sahaja Akif pergi.
“Dah, makcik! Baru aje mak dan ayah balik. Sebelum Akif sampai tadi,”jawab Dayana sambil tersenyum. Mak Esah memegang tangan Dayana dan mengusapnya perlahan. Dayana merenung ke wajah wanita itu dan meleretkan senyumannya lagi. Sinar mata wanita itu seolah-olah ingin menyampaikan sesuatu kepadanya. Hati Dayana mula disapa tandatanya.
“Yana,” kata Mak Esah.
“Saya, makcik,”jawab Dayana. Matanya sempat merenung Nisah yang asyik tersenyum dari tadi.
“Kalau makcik tanyakan sesuatu, boleh?”tanya Mak Esah.
“Boleh, makcik! Tanyalah apa aje. Kalau Yana berupaya menjawabnya, Yana jawab. Kalau Yana tidak berupaya menjawabnya, Yana mintak maaf, ya,”jawab Dayana mesra. Hatinya cuba meneka. Mak Esah terdiam seketika. Dayana terus tertunggu-tunggu.
“Apa yang makcik nak tanyakan?”soal Dayana setelah agak lama Mak Esah berdiam diri.
“Kak Yana suka tak pada Abang Akif?”soal Nisah. Tiba-tiba sahaja dia menyampuk perbualan mereka. Persoalannya membuatkan gadis itu terpempan seketika. Mak Esah menjegilkan matanya kepada Nisah.
“Habis tu, mak slow sangat! Nisah tolonglah tanya! He... he...” kata Nisah dengan muka selamba. Mak Esah menjeling tajam sambil mengetapkan bibirnya. Geram!
“Tak seronoklah mak, kalau lambat-lambat ni! Macam Nisah baca novel jugak! Kalau ceritanya lambat berkembang, nak baca jadi bosan,”sambungnya lagi sambil ketawa nakal.
“Betul tu Yana! Itulah yang makcik nak tanyakan tadi,” beritahu Mak Esah sambil ketawa. Jarinya sempat juga menggetu belakang paha Nisah.
“Jawablah Kak Yana,”gesa Nisah pula tidak sabar menanti bibir Dayana bersuara.
“Alhamdulillah, makcik! Yana rasa bertuah kerana Akif sudi bersahabat dengan Yana yang serba kekurangan ni,” jawab Dayana berterus terang dan merendah diri. Kulit pipinya mula terasa tegang.
“Yana, Akif tu tak pernah ada girlfriend. Dulu sewaktu bersekolah dia asyik dengan pelajaran dia aje! Bila dia dah bekerja sendiri ni, dia asyik dengan bisness dia, tak ada masa untuk bercintan-cintun macam orang lain tu,”cerita Mak Esah tentang anak sulungnya itu. Ceritanya terhenti seketika kerana memerhatikan raut wajah Dayana yang tenang sewaktu mendengar kata-katanya.
“Makcik tengok dia macam serasi dengan Yana ni,”beritahu Mak Esah. Dada Dayana tiba-tiba dipalu perasaan yang tidak keruan.
“Ya ke, makcik? Alhamdulillahlah kalau begitu,”sahut Dayana perlahan.
“Yana... kalau mak cik nak melamar Yana untuk Akif, agak-agaknya Yana akan terima tak lamaran makcik tu?”Pertanyaan yang berterus terang daripada bibir Mak Esah bagaikan lontaran bom pada hati Dayana. Seluruh tubuhnya seakan menggeletar untuk memberi jawapan.


Berkali-kali Akif menatapi surat yang dicoretkan oleh Ikhwan untuk Dayana. Hatinya dibelit oleh satu perasaan yang amat sukar digambarkan. Rasa bersalah, kecewa, juga terharu. Keikhlasan hati Ikhwan dalam percintaannya terhadap Dayanabegitu menyentuh hati. Ungkapan cinta yang tidak pernah usai atau usang selamanya, begitu dalam pengertiannya.
Akif mencapai telefon bimbit di atas meja. Lama matanya merenung ke telefon bimbit itu. Bermacam-macam perkara yang bermain-main di benaknya. Sama ada hendak menelefon Dayana ataupun tidak. Wajarkah dia meneruskan persahabatannya dengan gadis itu dan menaruh harapan? Sekali lagi dia menatapi coretan Ikhwan yang masih terbentang di atas mejanya.
“Ah! Mengapa aku harus ragu untuk membuat keputusan jika aku benar-benar ikhlas untuk bersahabat dengannya kerana ALLAH?”soal hatinya. Lantas, dengan pantas dia menekan butang-butang nombor di telefon bimbitnya.
“Assalamualaikum, Yana...”sapanya dengan suara riang sebaik sahaja mendengar suara gadis itu di hujung talian.
“Waalaikumussalam,”jawabDayana lembut. Dia yang sedang berkemas kerana telah mendapat kebenaran untuk meninggalkan wad pada hari itu, meriangkan suaranya.
“Bila Yana nak keluar dari wad?”tanya Akif. Telinganya dipasang betul-betul untuk mendengar jawapan.
“Hari inilah. Yana sedang berkemas-kemas nak balik ni,” jawab Dayana mesra.
“Okey, kalau begitu Yana tunggu.Akif datang jemput! Dalam 25 minit lagi Akif sampai,”kata Akif sambil senyum walaupun gadis itu tidak dapat melihat senyumnya yang lebar.
“Tak apa, Akif! Jangan susah-susah nak datang jemput Yana. Nanti Yana telefon ayah Yana suruh dia datang ambil,”tolak Dayana dengan perlahan. Dia terasa segan pula.
Dulupun Akif pernah membantunya. Menghantarnya balik ke rumah dari hospital. Tambahan pula apabila mengenangkan isi perbualannya dengan emak pemuda itu semalam. Mak Esah yang telah berterus terang ingin merapatkan perhubungan mereka sekeluarga dengan menyatukan dia dan Akif.
“Tak ada susahnya. Kalau Yana tolak pelawaan Akif, itu yang menjadi susah,”kata Akif pula. Seboleh-bolehnya dia ingin melestarikan hasrat hatinya juga. Untuk menjemput dan menghantar gadis itu pulang ke rumahnya.
“Apa pulak susahnya?” Melirih pertanyaan Dayana.
“Susahlah hati Akif. Sebab mak Akif dah pesan, kalau Yana discharged dia dah suruhAkif jemput dan hantarkan Yana balik ke rumah,” beritahu Akif sambil ketawa.
“Oh, ya ke?”tanya Dayana sambil mengeluh perlahan. Hatinya terkepung oleh rasa serba salah.
“Yana seganlah, Akif,”rengek Dayana. Apabila emak pemuda itu telah berterus terang untuk melamarnya dia terasa malu. Apatah lagi Akif belum pun memberitahunya tentang perkara itu. Entah-entah hanya emak pemuda itu yang berkenankan dia, tetapi anak lelakinya tidak!
“Lagipun Akif nak kembalikan surat Ikhwan ni,” beritahu Akif lembut cuba memujuk.
Mendengarkan kata-kata itu perasaan Dayana mula tidak tentu arah. Dia terkenangkan Ikhwan yang sudah menyelamatkannya walaupun hatinya telah dilukai. Namun, dia tidak berkesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan selamat jalan kepada pemuda itu.
“Macam mana Yana? Setuju ya! Akif dah nak bergerak ke sana ni,” beritahu Akif lagi.
“Kalau begitu Yana tunggulah Akif datang. Yana tunggu di kantin hospital tau,” balasDayana mengalah. Lembaran daripada Ikhwan itu amat berharga bagi dirinya.
“Okey! Jumpa nanti! Assalamualaikum.”Akif menoktahkan perbualan mereka lantas cepat-cepat keluar dari pasar mininya menuju ke kereta.


Tiada ulasan: