MALAM itu jam 8.40 malam, Akif sudah
menutup premis niaganya. Dia terbatuk-batuk beberapa kali sewaktu berjalan
menuju ke parkir keretanya yang terletak di sebelah kanan pasar mininya. Hatinya
berasa sepi dan hening dengan tiba-tiba.Terlintas difikirannya untuk
menghubungi Dayana. Lantas, tangannya meraba-raba telefon bimbit di poket
seluarnya.
Tiga kali mendail panggilannya tidak
berjawab.
“Agaknya Yana dah tidur,” tebaknya
walaupun pada waktu itu baru pukul 8.45 malam. Perasaannya tidak tentu arah
sejak semalam. Setelah bertembung dengan Ikhwan sewaktu sedang berbual mesra
dengan Dayana, hatinya dibelenggu perasaan keliru. Pasti Ikhwan menyangka buruk
kepadanya. Seolah-olah dia bersikap oportunis. Menahan lukah dipergentingan. Teka
hatinya lagi.
‘Astaghfirullahalazim. Aku ni meneka yang
bukan-bukan pula,’bisiknya. Baru dia membuka kunci pada pintu kereta, telinganya
menangkap bunyi motosikal yang menghampirinya.
“Akif! Tunggu dulu!”Suara lelaki yang
masih bertopi keledar itu menerjah gegendang telinganya. Di dalam cahaya suram,
wajah pemuda itu belum dapat dicamnya lagi.
“Assalamualaikum, Akif... akulah, Ikhwan,”
beritahu pemuda itu sambil mengenalkan dirinya. Ikhwan turun dari motosikal seraya menanggalkan topi
keledar.
“Waalaikumussalam! Ikhwan... aku dah
tutup kedailah,” kata Akif sambil berjalan menghampiri Ikhwan lalu berjabat
salam.Mereka berpelukan seketika.
Mata Ikhwan menatap ke wajah Akif
walaupun tidak begitu jelas. Suara Ikhwan yang agak serius itu menyebabkan hati
Akif tertanya-tanya. Apakah maksud kedatangan Ikhwan pada malam itu? Bertujuan
baik atau sebaliknya.
“Akif...”panggil Ikhwan. Setelah itu
bibirnya seolah-olah terkunci. Ikhwan gelisah dan kelihatan bimbang.
“Ada hal apa Ikhwan?”tanya Akif pula.
Telatah Ikhwan pada waktu itu menyebabkan hatinya berasa suspens pula.
Kalau persoalan cinta yang menjadi
rebutan, dia rela mengundurkan diri kerana Ikhwan yang lebih berhak kepada
gadis itu. Yang menjadi masalahnya cinta Dayana bukan untuk Ikhwan dan belum
pasti pula menjadi miliknya.
“Aku datang ni nak beritahu tentang Yana,”
jawab Ikhwan dengan suara bergetar. Setelah itu sekali lagi dia menyepi. Bicara
Ikhwan yang tersangkut-sangkut itu seolah menggergaji perasaan Akif.
“Yana?”soal Akif pula. Hatinya tiba-tiba diasak
debar yang tiada kesudahan.
“Ada berita tak baik,”sambungIkhwan lagi
dengan suara tertahan-tahan. Jawapan itu seolah menggoyahkan kedua kaki Akif
yang tadinya tegap berdiri.
“Apa yang telah berlaku pada Yana?”tanyanya
seolah-olah tidak sabar.
“Jom kita pergi ke gerai tu,boleh aku
bercerita,”sambung Ikhwan lagi.
Akif yang seolah-olah kehilangan suara
mengikut langkahan Ikhwan. Angin malam terus mendesir seolah membisikkan rasa
pilu yang sedang berdendang di jiwa Ikhwan. Fikiran dan perasaan Akif terus
dilanda keresahan.
MALAMsemakin lengang. Sudah berulangkali Mak Esah mengintai-ngintai ke halaman
rumah melalui langsir jendela. Namun yang kelihatan hanyalah kegelapan.
“Mak ni intai apa? Nisah kira dah dekat
20 kali mak pergi ke tingkap tu! Kalau mak nak intai ayah, ayah dah berdengkur,”tegur
Nisah yang masih sibuk membuat kerja sekolahnya. Setelah itu dia ketawa
sendiri.
“Nisah ni tahu hendak bergelak ketawa aje!”marah
Mak Esah sambil menjeling Nisah yang sudah menutup buku-buku sekolahnya. Nisah
hanya menyengih.
“Habis tu, mak terintai-intai macam orang
gila bayang,” seloroh Nisah sambil menghampiri emaknya.
“Eh! Budak ni, berani-berani Nisah cakap kepada mak begitu? Nisah ingat
mak nak ambil tempat Rosnani ke? Mak risau,abang kamu tak balik-balik lagi apa
halnya?”tanya Mak Esah pula. Mendengar nama Rosnani disebut, kening Nisah terus
berkerut.
“Alah, mak ni! Ingat-ingatkan Kak Ros
pulak,”kata Nisah.“Abang Akif
pergi jumpa Kak Yana agaknya tu, mak!”teka Nisah.
“Malam-malam buta ni takkan nak pergi
jumpa dengan anak dara orang?”sanggah Mak Esah.
“Apa salahnya, mak! Bagi orang yang
sedang bercinta, malam atau siang sama aje! Semuanya indah belaka,” balas Nisah
sambil tersengih-sengih lagi.
“Tapi kalau dating malam-malam ni, lagi best,
mak! Sejuk, boleh kira bintang di langit sama-sama,” sambung Nisah lagi dengan
suara dan ekspresi wajah nakalnya.
“Amboi, Nisah! Kamu tu periksa SPM pun
belum tentu boleh lepas ataupun tak, tak usah pandai-pandai hendak berkisah
tentang percintaan abang kamu pulak!”tempelak Mak Esah.
“Cepat-cepatlah mak pinangkan Kak Yana tu,
nikahkan abang. Dah ada isteri tak adalah abang nak balik lewat lagi! Entah-entah
tak keluar-keluar rumah, asyik menghadap muka isteri dia aje,”balas Nisah
dengan matanya yang menyinar nakal melihat ke wajah emaknya yang geram
mendengar kata-katanya.
“Hah, tu abang dah balik!”beritahu Nisah
apabila melihat cahaya lampu kereta menyuluhi ke halaman rumah mereka. Hati Mak
Esah menguak lapang. Dia menjawab salam sebaik sahaja mendengar ucapan salam
daripada anak bujangnya itu.
“Nisah, cepat pergi ambilkan air minum
untuk abang! Dia mesti penat dan haus tu,”suruh Mak Esah kepada Nisah yang
sudah meniarap di atas sofa sambil membuka novel. Tidak seperti selalu pada
malam itu Nisah cepat sahaja bergerak apabila disuruh emaknya.
Akif yang baru naik ke rumah terus
menghenyakkan punggungnya ke atas sofa lalu mengeluh kuat. Helaan nafasnya
laju.
Mak Esah hanya memerhatikan telatah anak
sulungnya itu yang wajahnya nampak sugul. Akif masih belum bersuara.
“Apa yang merunsingkan, Akif? Balik-balik
ke rumah aje terus monyok! Berwajah muram,”tegur Mak Esah.
Akif tidak terus menjawab. Dia menyambut
air yang dihulurkan oleh Nisah kepadanya. “Terima kasih, Nisah,”katanya
perlahan terus menghirup air teh yang sudah suam.“Rajin ada maknalah tu.”Akif sempat mengusik sambil
menjeling.
“Pergi tidur, Nisah. Dah pukul berapa ni?
Jangan nak baca novel lagi!”marah Mak Esah apabila melihat Nisah sudah duduk di
sofa dan memegang novel.
“Alah, mak ni! Orang nak sembang dengan
abanglah,”rungut Nisah sambil berpura memasamkan mukanya. Dia baru bercadang
hendak memujuk abangnya itu dan meminta sedikit duit.
“Tak payah sembang-sembangmalam-malam
buta ni! Abang pun dah letih tu, tak nampak?”marah Mak Esah lagi. Geram hatinya
kadang-kadang dengan sikap degil dan nakal anak gadis remajanya itu.
“Yalah... yalah... yalah!”jawab Nisah
terus meninggalkan mereka lalu menuju ke biliknya sambil berlari. Akif dan Mak
Esah yang memerhati, menggeleng.
“Kenapa Akif balik lambat?”tanya Mak Esah
sebaik sahaja kelibat Nisah hilang daripada pandangan mereka.“Bersembang dengan kawan lama, mak!”beritahu
Akif sambil mengeluh.
“Kawan lelaki ke kawan perempuan?”soal
Mak Esah pula sambil tersenyum simpul.
“Kawan lelaki, mak! Kawan sewaktu
saya sekolah dulu! Tapi sekarang ni dia masih belajar lagi,” jawab Akif. “Ohh...mak
ingatkan Akif pergi jumpa dengan Yana! Kain dan tudung yang Akif belikan untuk
dia dah disampaikan kepada dia?”tanya Mak Esah sekadar menduga. Akif mengangguk
sambil tersenyum seketika.
“Kawan Akif datang berjumpa dengan Akif
tadi pun pasal Yana jugak, mak,”beritahu Akif dengan tenang. “Pasal Yana? Kenapa
dengan dia?”tanya Mak Esah seolah-olah tidak sabar mendengar cerita yang
selanjutnya. Dia baru bercadang hendak memberitahu Akif yang mereka suami
isteri telah bersepakat untuk melamar gadis itu dalam masa yang terdekat ini.
“Ada berita tak baik, mak! Yana telah
mendapat kecelakaan,” beritahu Akif dengan suara sebak. “Hah! Yana mendapat
kecelakaan? Kecelakaan apa? Macam mana dengan dia?”soal Mak Esah bertubi-tubi. Hatinya
seolah-olah digaru untuk mengetahui cerita sebenarnya.
“Yana dipatuk ular, mak!Dia sekarang
masih kat hospital, tapi dia masih belum sedar! Pihak hospital kehabisan stok
vaksin untuk menawar bisa ular tu,”cerita Akif dengan suara bergetar. Kegalauan
perasaannya cuba dibendung.
“Astaghfirullahalazim! Habis tu macam
mana sekarang ni?”tanya Mak Esah dengan mata yang membesar. Akif yang duduk di
hadapannya kelihatan gelisah.
“Doktor telah menyuntik vaksin yang lain
sementara bekalan vaksin yang sepatutnya sampai, mungkin malam ini atau subuh
esok,” jawab Akif perlahan.“Mak... kita
doakan untuk Yana, ya mak! Semoga ALLAH terus memeliharanya dan...”ungkapannya
terputus begitu sahaja. Akif tidak mampu berkata lagi.
MALAM itu adalah malam yang paling
meresahkan hati Akif. Puas dia memaksa matanya supaya lelap, namun tidak
berjaya. Ingatannya terus terlontar kepada Dayana. Fikirannya terus mengimbas
kembali detik-detik perkenalan mereka. Bayangan seraut wajah Dayana yang mendamaikan
terus menerjah kenangan. Dadanya semakin dipalu debaran yang iramanya semakin
sumbang memikirkan impian cintanya yang mungkin tidak kesampaian.
Setelah puas bergolek ke kiri dan ke
kanan akhirnya Akif bangun untuk menunaikan solat hajat. Dia memohon kepada ALLAH
supaya menyelamatkan Dayana daripada bisa ular yang mungkin sedang menjalari seluruh
urat dan darahnya. Selesai menunaikan solat hajat 12 rakaat, Akif meneruskannya
dengan solat tahajud dan setelah itu dia membaca al-Quran. Alhamdulillah, setelah
membaca tiga muka surat surah al-Maidah, matanya mula mengantuk. Dia terus
terlelap sebaik sahaja merebahkan dirinya di atas tilam dan terjaga sewaktu
kedengaran azan subuh.
Saat matahari terbit, Akif sudah
bersiap-siap hendak ke pasar. Walau hati menggelupur untuk menjenguk Dayana di
hospital pada awal pagi itu, namun hasrat hatinya terpaksa ditahan dan dikekang.
Dia telah meninggalkan nombor telefon bimbitnya pada jururawat yang bertugas
semalam. Mereka berjanji akan menghubunginya apabila gadis itu telah sedar.
Dalam pertemuannya dengan Ikhwan semalam,
pemuda itu ada menyelitkan cerita tentang kekecewaannya. Kehampaan sahabatnya
itu mencuit juga perasaan hatinya walaupun sedikit. Dia faham dengan perasaan Ikhwan
itu dan bersimpati. Bukan salahnya jika lamaran Ikhwan ditolak oleh emak dan
ayah Dayana. Pinangannya juga belum tentu diterima oleh keluarga gadis itu.
“Jodoh pertemuan di tangan TUHAN, Ikhwan.
Tak usahlah bersedih. Mungkin ALLAHbelum bukakan hati ibu bapa Yana buat masa
ini atau TUHAN akan temukan kau dengan gadis yang lebih baik daripada dia.”Begitulah
katanya kepada Ikhwan semalam. Memujuk hati sahabat lama dan memujuk hatinya
sendiri jika mengalami masalah yang sama suatu hari nanti.
“Aku pun baru sangat berkenalan dengan
Yana tu... dalam empat lima enam bulan ni! Perasaan dia terhadap aku pun, aku
tak tahu! Aku ikhlas menerima dia sebagai seorang sahabat dan sedang membantu
dia untuk mengembangkan bisnes kerepeknya. Secara kebetulan aku kenal baik
dengan ayahnya, Pak Yusof tu. Emak aku pun dah kenal dengan dia dan keluarganya
juga” terangnya kepada Ikhwan dengan jujur dan ikhlas.
“Sebagai lelaki aku ingin bertanya kepada
kau Akif. Dan kau jawablah dengan terus terang. Kau suka kepada Dayana?”soalan Ikhwan
benar-benar menguji hatinya.
“Sejujurnya, aku menyenangi dia. Maafkan
aku Ikhwan kerana berterus terang. Tetapi antara aku dan dia tidak pernah
menjalin perhubungan lebih dari seorang sahabat. Aku menghormatinya” jawabnya
kepada soalan pemuda itu.
“Kalau TUHAN dah jodohkan kau dengan dia
nanti, kau jaga dia elok-elok, Akif! Aku reda segalanya. Seperti kata kaulah, jodoh
pertemuan di tangan TUHAN.”KenyataanIkhwan seolah terngiang di telinganya.
“Ikhwan, sekarang ni kita sama-sama doakan
Yana, semoga dia selamat! Selepas ni mana tahu kalau pintu hatinya terbuka
untuk kau,”katanya kepada Ikhwan yang masih nampak resah kerana bimbangkan
keselamatan Dayana. Sebagaimana pemuda itu, dia juga reda dengan ketentuan ALLAH.
“Persoalan cinta, biarlah dia sendiri
yang membuat pilihan. Pasal mak kau tu, pandai-pandailah pujuk! Hati wanita ni
macam kerak nasi”Nasihatnya kepada Ikhwan meskipun hati sendiri bagai
disalai-salai mengenangkan cintanya yang bakal terputus dipertengahan jalan. Percintaannya
yang akan terpeleset.
“Akif, mak dah siapkan sarapan ni! Mari
makan sekali!”panggil Mak Esah. Lamunan Akif berderai bagai titisan embun dipermukaan
dedaunan yang bergoyang ditiup angin.
“Mak masak apa pagi ni?”tanyanya sambil
menarik kerusi di meja makan lalu duduk dan mencapai pinggan yang tersedia.
“Ayah kamu nak makan nasi kerabu.Nasi
kerabulah sarapan kita pagi ni,” jawab Mak Esah sambil menyendukkan nasi kerabu
ke dalam pinggan Akif.
“Ayah dah keluar pergi ke kebun ke, mak?”soal
Akif sambil menghirup kopi O panas.
“Dah! Awal lagi dia pergi! Nanti dia nak
pergi ke pejabat tanah! Kalau Akif ada masa, pergilah ikut ayah sekali ke pejabat
tu! Pasal tanah yang Akif nak beli tu,” beritahu Mak Esah.
“Tuan punya tanah tu dah bersetuju ke, mak?”tanya
Akif dengan wajah girang.
“Nampaknya begitulah, Akif. Sebab tu ayah
nak pergi ke pejabat tanah dengan tuan punya tanah tu! Nak semak geran katanya.
Geran yang dalam simpanan tuan tanah tu dah dimakan lipas,langsung tak boleh
dibaca,” cerita Mak Esah.
“Baiklah, mak! Nanti sebelum ayah
pergi, telefon saya. Biar saya pergi ke pejabat tanah tu! Pagi ni selepas pergi
ke pasar mencari bahan-bahan basah untuk pasar mini saya tu, saya nak ke
hospital,” beritahu Akif.
“Bilanya nak bawa mak melawat Yana?”soal
Mak Esah sambil menyorot ke wajah Akif.
“Insya-ALLAH, petang sikit. Waktu melawat
pukul 4.30. Melawat pagi ini pun, dia belum sedar lagi,”jawab Akif sambil
mengeluh. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata kerana bimbangkan gadis itu.
Dayana yang mula mengisi rasa kekosongan di hatinya.
Telefon bimbit yang tiba-tiba berdering
segera disambarnya. Nombor yang terpapar tidak dikenalinya.
“Helo! Assalamualaikum,” kata Akif
dengan debaran dada yang bergemuruh. Kalau panggilan telefon itu dari hospital,
perkhabaran apakah yang akan sampai ke telinganya sebentar nanti? Pernafasannya
bagaikan tertahan.
“Helo! Akif... Yana ni.” Suara Dayana
kedengaran lemah di hujung talian. Mendengarkan suara itu hatinya menguak lapang
seluas angkasa.
“Yana, alhamdulillah! TUHAN telah
makbulkan doa kami semua,” jawab Akif dengan suara gembira.
“Ya...terima kasih, kerana doakan Yana,” jawab
Dayana perlahan.“Jururawat
bagi pinjam telefon ni,” beritahu Dayana lagi dengan suara serak.
“Bila Yana sedar ni?”tanya Akif.
“Pukul 5.30 pagi tadi! Jururawat
beritahu, semalam Akif ada datang,”sambung Dayana lagi dengan suara yang amat
perlahan.
“Akif datang sebaik saja mendapat berita
daripadaIkhwan,” beritahu Akif pula.
“Yana, nanti Akif pergi hospital, lawat
Yana. Terima kasih kerana telefon Akif. Yana berehatlah dulu, ya,”nasihat Akif
lembut. Bibirnya tersenyum lebar sebaik sahaja menekan butang merah di
telefonnya.
“Hah! Barulah nampak wajah macam anak mak,
kalau ceria-ceria begini,”ujar Mak Esah sambil merenung ke wajah Akif.
“Hee... he... semalam tu, Akif risau
sangat mak!Macam mana nak ceria! Bak kata orang, nyawa Yana semalam macam abu
di atas tunggul aje! Bisa ular tedung tu bahaya, mak.”
“Syukurlah, Akif! Kalau begitu, bolehlah
mak teruskan rancangan mak dan ayah untuk merisik dan meminang dia tu,” tegas
Mak Esah. Hatinya berasa tidak sabar untuk menerima menantu. Akif pun bukannya
muda lagi. Umurnya sudah hampir 28 tahun.
“Terserahlah kepada mak! Tetapi
sebaik-baiknya mak tanyakan kepada Yana dulu. Lepas tu berbincang dengan maknya,
melalui telefon. Kalau dah ada kata sepakat barulah hantar rombongan. Akif tak
nak, lamaran kita ditolak, mak!
“Tapi mak, Akif rasa tangguhkan dulu niat
mak tu. Setahun atau dua tahun. Akif pun baru sangat berkenalan dengan Yana tu.
Belum kenal hati budinya lagi.”Sempat lagi dia menyambung bicaranya tadi yang
belum ada kesudahan.
“Pulak! Nanti kalau dia terlepas ke
tangan orang, jangan gigit jari ya, Akif! Mak dah bagi peluang dan dah beri
lampu hijau, Akif menolak pulak! Jangan ingat selepas ni kalau Akif ada
berkenan dengan mana-mana gadis lagi, mak ringan hati untuk menerimanya!”Kenyataan
daripada emaknya berbau amaran.
Akif terkedu. Entah mengapa laluan
hatinya tiba-tiba berubah setelah terserempak dengan Ikhwan sewaktu dia sedang
berbual mesra dengan Dayana. Sedangkan sebelum itu hatinya sudah meronta-ronta
ingin memberitahu emaknya tentang hasratnya untuk merisik dan melamar gadis itu.
Tidak ingin menunggu lama-lama.
“Mak ni! Tak baiklah buat pada Akif
begitu! Sebenarnya begini, mak...”kata-kata Akif terhenti. Dia serba salah
hendak bercerita hal sebenar kepada emaknya.
“Hati Yana berada di persimpangan, mak! Biar
dia sihat dan tenang dulu.”Akhirnya kata-kata itu yang terluah daripada
bibirnya.
“Maksud Akif, Yana dah ada boyfriend
ke?”Laju bibir Mak Esah mengungkapkan pertanyaan.
“Akif pergi dulu, mak! Jangan lupa
kita nak pergi melawat Yana petang nanti,”kata Akif lalu keluar dari pintu
menuju ke kereta yang diparkir di tepi rumah. Pertanyaan emaknya tadi terbiar
tanpa jawapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan