SUARA itik serati yang serak-serak basah memecah
kedamaian pagi. Mak Cik Tijah yang sedang memberi itik-itik peliharaannya makan,
riuh rendah mulutnya. Dia memarahi itik-itiknya yang berebutan menyudu dedak
yang dimasukkan ke dalam bekas takungan ayan.
“Makan elok-elok! Jangan berebut-rebut!”tempiknya sambil
menendang lembut seekor itik yang tersudu kakinya. Empat ekor itik angsanya
mengambil bahagian di dalam acara berebut makanan sambil menjerit, bertempik
dan mengembang-ngembangkan kepak mereka, berkejaran pula di sekeliling Mak Cik Tijah.
Semakin tinggilah suara orang tua itu memarahi binatang-binatang yang tidak
mengerti bahasa manusia.
“Ya ALLAH, kenapalah gamat sangat bunyi itik-itik ni, mak!Sakit
telinga saya! Runsing!”pekik Ikhwan sambil menghampiri emaknya itu. Itik-itik
yang sedang mengelilingi emaknya diusir dengan suaranya.
“Sembelih aje, boleh buat rendang!”cadangnya sambil
ketawa, melihat gelagat emaknya yang cuba mengelakkan diri dari disudu oleh
itik angsa.
“Alah! Sesekali dengar suara itik meraung pun kau dah
runsing! Esok-esok kalau dah beristeri, dah ada anak macam mana? Kau nak tampal
mulut mereka, supaya tak melalak?” sanggah Mak Tijah pula sambil merenung anaknya itu. Ikhwan yang sudah siap
berpakaian kemas seolah-olah hendak berjalan jauh.
“Pagi-pagi ni nak pergi mana?”soal Mak Cik Tijah pula. Wajah
Ikhwan disorot dengan ekor matanya.
“Ikhwan nak pergi Penang, mak! Nak jumpa kawan yang
sama-sama belajar di sana.Ada hal nak bincang,” jawab Ikhwan.
“Hai... beria nak berjumpa! Berbincang di telefon tak
boleh ke?”tanya Mak Cik Tijah.
“Memanglah boleh berbincang di telefon, mak! Tapi saja Ikhwan
nak pergi sana jumpa dia! Saja nak tanya dia, bila nak berangkat balik ke sana.
Kalau dia nak balik lambat lagi, Ikhwan nak balik dulu,”jelas Ikhwan. Mak Cik
Tijah mengetap bibirnya.
“Minggu lepas Ikhwan dah tempah tiket kapal terbang. Tengah
hari esok Ikhwan akan berangkat dari Bayan Lepas, mak!”terangnya sambil membetulkan
tali pengikat di topi keledarnya.
“Duduk lama-lama kat sini pun, buat sakit hati aje!”sambungnya
lagi dengan nada perlahan sambil menggigit bibirnya.
“Sakit yang dicari, tanggunglah sendiri! Takkanlah
kerana tak dapat kahwin dengan budak itu kau nak merajuk hati! Dah maknya nak
hantarannya tinggi sangat! Mak pun tak kuasa nak pergi menghadap muka Mak Bedah
dan Pak Yusof kamu tu berulang kali, Ikhwan!”tempelak Mak Tijah panjang lebar.
“Tak payahlah kita nak terhegeh-hegeh. Carilah gadis
lain buat pengganti! Anak datuk ke? Tan Sri ke? Yang kerja doktor ke? Lawyer ke?
Barulah sepadan,”sambungnya lagi sambil menjuih-juihkan bibirnya yang tebal.
“Ini, budak yang jual kerepek tu yang kamu tergila-gila,”sindirnya
tajam.
“Hmm entahlah, mak!Kalau ada datuk, tan sri... yang ada
anak perempuan kerja doktor, lawyer,sanggup terima hantaran mak berjumlah
RM1500 tu, mak pinangkanlah untuk saya, mak!”sindir Ikhwan perlahan. Mak Cik
Tijah tidak terjawab. Lidahnya terkumpal-kumpal sejenak.
“Kalau anak tan sri datuk... hmm hantaran 50 ribu pun tak
apa! Barulah sepadan dengan hantaran tu untuk anak perempuan mereka yang
bekerja sebagai doktor, lawyer,”jawab Mak Tijah akhirnya. Dia tak mahu mengalah.
Ikhwan mendiamkan dirinya setika. Emaknya memang pandai bermain dengan
kata-kata.
“Kalau hantaran aje dah 50 ribu, berapa banyak duit yang
Ikhwan kena sediakan untuk bernikah, mak?”tanya Ikhwan pula.
“Untuk Yana tu, hantaran berapa pun kau sanggup!” sindir
Mak Tijah pula.
“Yana tu lain, lah! Dia memang pilihan hati saya,” rungut
Ikhwan perlahan. Namun, hatinya pula seolah-olah dibaham haiwan buas. Tidak
semena-mena pula berdegup gundah-gulana. Bayangan wajah gadis itu yang sedang
berbual mesra dengan Akif abadi diingatannya. Semalam, pada saat matanya
terpaku kepada mereka, hatinya seolah-olah terkoyak oleh petir. Ikhwan menghela
nafasnya perlahan sambil mengusir bayangan yang menyakitkan itu jauh-jauh dari
kalbunya.
“Apa susahnya! Bank kat Malaysia ni banyak! Boleh buat
pinjaman. Dah berapa ramai orang buat begitu?” sanggah Mak Tijah yang tidak
pernah mahu mengalah.
“Nak beristeri pun kena berhutang keliling pinggang? Hmm,
alah mak! Tak usahlah nak peningkan kepala fikirkan soal jodoh Ikhwan lagi,hidup
membujang mungkin lebih baik,” balas Ikhwan seolah-olah merajuk dan berjauh
hati. Menggambarkan hatinya yang sedang meretak dan hampir patah.
Selepas pertemuan yang tidak terduga dengan Dayana di
hadapan Pasar Mini Akif semalam, hatinya dihadiri gelombang besar yang bakal
meranapkan segala cinta dan impiannya.
“Saya pergi dulu, mak! Assalamualaikum!”beritahu Ikhwan. Dia
akan ke Penang dengan motosikal sahaja pada hari itu. Namun, sebelum itu dia
akan bertemu dengan Dayana. Kekusutan perhubungan mereka harus dileraikan
segera. Jika tidak, segala kekusutan itu akan menjerut seluruh jiwa dan
perasaannya sampai bila-bila.
DESIRAN angin dari sawah membelai dan memesrai tubuhnya. Dayana
yang sedang berjalan di atas permatang sawah melangkah perlahan dan
berhati-hati. Matanya memerhati kiri dan kanan. Sawah yang pepohonan padinya
sedang tumbuh subur menghijau segar sudah mula mengeluarkan buah. Dia
bersendirian di situ cuba mententeramkan perasaan yang berkocakan. Wajah Akif
dan Ikhwan terus menari-nari di matanya. Dua orang pemuda itu benar-benar
mencampakkan hatinya dijurang keresahan.
Nafasnya disedut dalam-dalam dan panjang-panjang sambil
memejamkan matanya beberapa ketika. Terasa kedamaian menyelusup halus ke seluruh
sanubarinya.
“Assalamualaikum,”sapa satu suara dari arah belakang
mengejutkannya.Rasa kedamaian yang baru hendak memesrai hatinya tercalar sekali
lagi.
“Waalaikumussalam,”jawab Dayana sambil menoleh. Dia lihat
Ikhwan sedang berjalan menghampirinya dengan langkah deras. Tanpa berlengah Dayana
juga berjalan menghampiri pemuda itu. Akhirnya mereka bertemu betul-betul di pertengahan
permatang sawah. Rambut Ikhwan bergoyang-goyang dihembus angin yang semakin
kerap dan kuat, namun menyamankan.
“Ikhwan nak pergi mana ni? Segak-segak?”tanya Dayana cuba
untuk bergurau. Sekuntum senyuman dilontarkannya buat pemuda itu. Peristiwa
semalam cuba dihapus dari kenangan.
“Ikhwan nak pergi Penang,”jawab Ikhwan perlahan sambil mengusap rambutnya yang sudah tidak
terurus digugah angin kencang.
“...tapi sebelum bertolak ke Penang, Ikhwan memang nak
bertemu dengan Yana,” beritahunya. Dayana hanya membisu. Matanya terus merenungi
wajah pemuda itu.
“Semalam dahIkhwan nak datang ke rumah Yana selepas balik
dari pekan Parit Buntar tu,” beritahu Ikwan pula. Dayana yang berbaju kurung
rona biru langit begitu ayu pada pandangan matanya di saat itu.
“Selepas solat isyak semalam, ada pulak tetamu datang ke
rumah,langsung tak jadi ke rumah Yana,” sambungnya lagi sambil matanya terus
menatap wajah gadis itu. Dayana hanya mendiamkan diri sambil mendengar cerita
daripada pemuda itu. Hatinya seolah-olahdapat meneka tujuan kedatangan pemuda
itu. Mesti Ikhwan ingin bertanyakan tentang Akif.
“Yana buat apa sorang-sorang kat tengah bendang ni?”tanya
Ikhwan lalu berdiri di sisi gadis itu dengan rapat sehingga bahunya hampir
mengenai bahu Dayana.
“Saja,” jawab Dayana sepatah lalu melontarkan
pandangannya ke arah gunung ganang yang nampak kebiruan dari kejauhan. Ikhwan
pun melemparkan pandangannya ke arah yang sama. Matanya terpukau dengan
keindahan lukisan alam ciptaan TUHAN.
“Ikhwan pergi ke rumah Yana tadi. Puas Ikhwan melaung
memberi salam, tetapi tak ada jawapan,”cerita Ikhwan perlahan sambil merenung
Dayana di sisinya.
“Ye ke, Ikhwan! Yana mintak maaflah..Mak dan ayah memang
tak ada kat rumah. Yana tak tahu Ikhwan nak datang. Kalau tidak takkan Yana ke
sini,”balas Dayana. Matanya masih terpaku ke arah gunung-ganang. Mungkin sedang
mengukur ketinggian gunung itu dengan renungan matanya.
“Ikhwan teringat yang Yana selalu cerita dalam surat, Yana
suka datang ke tengah sawah waktu-waktu begini untuk menikmati keindahan alam
dan merasai kenyamanannya udaranya.”Bicara Ikhwan terhenti seketika dan dia
menghirup nafas dalam-dalam sambil mendepangkan tangannya.
“Untuk meredakan perasaan yang terganggu,”sambungnya lagi,
sambil menyorot ke wajah gadis itu sekilas. Sekali lagi dia menghela nafas
dalam-dalam dan melepaskannya perlahan. Ungkapannya itu menyentakkan hati
Dayana beberapa detik. Seolah-olah Ikhwan dapat membaca apa yang sedang
berlegar-legar di dalam fikirannya yang sedang terganggu.
“Hmm! Memang mendamaikan,”tukas Ikhwan pula. Kata-katanya
tersangkut sekali lagi. Bibirnya sempat melontarkan senyuman kepada Dayana
sewaktu gadis itu menoleh dan merenung kepadanya. Pandangan mata mereka bertemu
beberapa ketika.
“Alangkah indahnya pada waktu ini jika ada kekasih hati
di sisi untuk menemani,”katanya lagi dengan suara perlahan.
Dayana tidak menjawab. Bibirnya seakan terkunci. Hatinya
masih berasa tidak selesa dengan kejadian semalam. Ikhwan yang tiba-tiba muncul
sewaktu dia sedang berbual mesra dan bergelak ketawa dengan Akif. Pipinya
terasa tegang dan tebal. Walaupun antara dia dan Ikhwan serta akif tidak ada hubungan apa-apa yang
istimewa, tetapi dia berasa tidak senang hati dalam situasi itu. Dia bimbang Ikhwan
akan berburuk sangka kepadanya. Tambahan
pula apabila terkenangkan rona wajah Ikhwan yang nampak sugul dan kusut muram
serta merta.
Dayana melangkah menuju ke tepi tali air yang tidak jauh
dari situ. Bunyi air yang sedang mengalir lembut di dalam salirannya itu
kedengaran di telinganya. Ikhwan mengekorinya. Akhirnya mereka duduk di tepi
tali air.
“Yana...”panggil Ikhwan sambil duduk di atas tanah
beralaskan daun pokok teratai yang sempat dipatahnya. Dayana turut duduk di
sisinya. Tanah untuk tempat duduknya telah dialas oleh Ikhwan dengan saputangan.
“Ikhwan nak tanya Yana beberapa perkara,” kata-kata Ikhwan
terhenti sejenak.
Dayana menoleh kepadanya tanpa bersuara. Redup pada wajah
pemuda itu seolah-olah menggambarkan warna hatinya yang sedang suram.
“Ikhwan inginkan penjelasan sebelum Ikhwan berangkat
balik ke London,” sambung Ikhwan sambil menelan airliurnya. Tekaknya terasa
kesat dan berpasir. Hatinya terasa berat untuk meninggalkan kampung halaman. Namun,kekecewaan
yang sedang menapak di halaman jiwa seolah mendesaknya supaya segera
meninggalkan tanah air yang tercinta. Membawa hati yang luka serta impian yang
punah.
“Tanyalah Ikhwan, tanyalah apa pun. Yana akan menjawab
sejujurnya jika terdaya,”balas Dayana. Suaranya seolah membisik perlahan. Tubuh
mereka berdua terus dibelai angin yang tiba.
“Yana dah lama ke bercinta dengan Akif?”tanya Ikhwan
spontan sambil tangannya mencabut rumput berhampirannya. Hari itu dia nekad
untuk mendapatkan penjelasan daripada bibir gadis itu. Penjelasan tentang cinta.
Penjelasan tentang hati dan perasaannya. Sejujur dan seikhlasnya.
“Berr...bercinta?” Tergagap Dayana menyoal kembali. Bola
matanya merenung permukaan tali air yang berkocakan kerana ada ikan sepat yang
sedang berlompatan.
“Yaa... Yana! Bercinta...”ulang Ikhwan dengan suara
perlahan.
“Yana tak pernah bercinta dengan sesiapa,”jawab Dayana lembut
sambil menundukkan mukanya. Dia berasa serba salah kerana faham kalimah yang
telah diungkapkannya, adalah kata-kata luka apabila sampai ke pendengaran
pemuda yang sedang duduk di sisinya itu.
“Habis tu? Ikhwan? Dengan Ikhwan pun Yana tak pernah bercinta?”tanya
Ikhwandengan bisikan agak keras. “Tak ada rasa sayang?”Bertubi-tubi soalan keluar dari bibirnya untuk
meleraikan kehampaan di jiwa.
Dia benar-benar terkejut dan kecewa mendengar jawapan
dari bibir gadis itu tadi. Selama ini dia menganggap perhubungan mereka adalah
perhubungan sepasang kekasih. Siang malam dia menyemai kasih. Kasih yang
sentiasa bermesra dengan perasaan sayangnya sehingga membenihkan rasa cinta. Di
saat mereka berjauhan, cintanya yang mendalam itu akhirnya menghamilkan rindu
yang semakin sarat dari hari ke hari.
“Ikhwan sahabat Yana. Berdustalah bibir ini jika
mengatakan yang Yana tidak menyayangi Ikhwan. Memang Yana menyayangi Ikhwan
sebagai seorang sahabat,” jawab Dayana perlahan dan lambat-lambat. Keresahan
mula menghimpit hatinya. Dia sangat pasti, Ikhwan kecewa mendengar jawapan
jujur daripadanya.
“Yana jujur dalam persahabatan kita, Ikhwan. Yana ikhlas
bersahabat dengan Ikhwan, kerana ALLAH. Kejujuran dan keikhlasan di dalam
ikatan persahabatan lebih bernilai daripada secebis cinta yang akhirnya akan
mengoyak-ngoyakkan hati dan memusnahkan persahabatan yang sedia ada,”sambungnya
lagi. Ungkapannya penuh makna yang tersirat.
“Sahabat? Selama ini Yana hanya anggap Ikhwan sebagai
sahabat?”tanya Ikhwan agak terkejut. Suaranya ditekan walaupun masih berbisik. Kekecewaan
yang menyinggahi hati semakin terasa.
“Yana, cinta itu takkan pernah menjadi senjata untuk
mencederakan hati sesiapa jika kita sama-sama memeliharanya, memartabatkandan
meletakkannya di tempat yang paling tinggi dengan jujur serta ikhlas,” bidas Ikhwan
dengan suara perlahan. Dayana bungkam seketika. Lidahnya menjadi kelu apabila
kata-kata kiasannya diputar belit pula oleh pemuda itu.
“Yana yang main-mainkan hati dan perasaan Ikhwan,” ujar
Ikhwan. Suaranya tenggelam timbul dalam nada hampa.“Rasa kecewa yang disebabkan oleh perasaan yang
dimainkan itulah yang akan mengasah cinta sehingga ia menjadi senjata tajam
lantas meluka dan mengoyakkan hati pemiliknya,”sambungnya pula. Lontaran
kata-katanya penuh berkias.
“Ikhwan... Yana tak pernah mainkan perasaan sesiapa pun, apatah
lagi Ikhwan,” balas Dayana cuba mempertahankan pendiriannya. Saat itu kalbunya
berlagu sendu diiringi duka yang bergendang di seluruh jiwa raganya.
“Yana, sekarang Ikhwan tahu mengapa Yana tolak lamaran Ikhwan!
Ikhwan faham sebabnya yang paling utama bukan kerana mak Ikhwan yang tidak
menyukai Yana, tetapi sebab Yana memang tak pernah mencintai Ikhwan!”tukas Ikhwan
lagi penuh emosi.
“Nasi lemak buah bidara, sayang selasih saya lurutkan, buang
emak, buang saudara, kerana kasih, saya turutkan. Orang lain pasti akan berbuat
begitu, tetapi tidak Yana. Ikhwan sanggup korbankan segalanya tetapi apakan
daya, rupa-rupanya Ikhwan hanya bertepuk sebelah tangan.”Nada suara Ikhwan
semakin bergetar dan perlahan. Dia seolah-olah berjauh hati.
“AyahYana dah beritahu kepada Ikhwankanyang mereka
menyerahkan kepada Yana untuk membuat keputusan terakhir. Yana sendiri dengar, kan?
Ayah Yana beritahu begitu?”soal pula Ikhwan.
“Ikhwan...”
Dayana seolah-olah kehilangan kata-kata. Segala ungkapan pemuda
itu benar belaka. Namun, bagaimana dia hendak membuat keputusan yang amat berat
itu. Apa juga keputusan yang bakal diambil pasti akan melukakan hati seseorang.
Berdiam diri mungkin lebih baik. Biarkan masa dan keadaan sahaja yang membuat
keputusan untuknya. Walaupun tindakan itu agak bacul.
“Patutlah sehingga saat ini Yana belum memberi kata putus.
Yana bersikap acuh tak acuh. Yana tidak mahu membantah cakap mak dan ayah. Yana
tak mahu pertahankan cinta.”
Ikhwan terus meluahkan perasaan hatinya yang terbuku.“Rupa-rupanya Yana berkawan dangan Ikhwan,tetapi
mencintai orang lain!”tuduh Ikhwan pula. Dia sudah bangun dan berdiri di tepi
tali air.
“Apabila Ikhwan tanyakan tentang perasaan Yana dan
rancangan hidup kita seterusnya, Yana memberi Ikhwan harapan,” ungkitnya pula. Kenangan
malam pertemuan dengan gadis itu sebelum dia menghantar rombongan meminang
masih segar dalam ingatan.
“Ikhwann...”kata Dayana namun segala ungkapan yang ingin
dilafazkan seolah tertelan kembali. Yang sebenarnya dia tidak pernah memberi
harapan kepada pemuda itu. Segalanya disandarkan kepada TUHAN dan dia akan
pasrah menerima apa saja yang telah ditentukan oleh-NYA.
“Dari sekolah lagi kita berkawan! Mati-mati Ikhwan ingat
Yana mencintai Ikhwan sepenuh hati Yana. Dari sekolah lagi, Ikhwan dah bina
impian untuk kehidupan kita berdua! Walaupun Ikhwan duduk jauh di perantauan, Yana
tetap dekat di hati.”
Ikhwan terus meluahkan perasaan yang bergelodak. Mungkin
dengan luahan itu dapat menyusutkan hatinya yang membengkak semenjak semalam.
“Ikhwan... jangan tuduh Yana begitu. Ikhwan dah salah
faham,” balas Dayana dengan suara sebak.
Titisan air mata mula berderaian di pipinya. Tidak rela
hatinya menerima cercaan yang begitu. Selama ini dia memelihara kesucian
persahabatan mereka dengan sebaik-baiknya. Sudah bertahun, tetapi berdosakah
jika dia tidak mencintai pemuda itu?
“Tidak Yana... Ikhwan tak salah faham! Bahkan sudah faham
segala-galanya apabila bertembung dangan Yana dan Akif semalam. Sepasang
kekasih yang sedang berbual mesra dan ketawa riang,”sindir Ikhwan. Dia pun
tidak tahu mengapa tiba-tiba dia bersikap begitu. Terikut-ikut dengan emosinya
yang kecewa bercampur cemburu. Harapannya yang setinggi gunung bertabur menjadi
debu.
“Ikhwan, macam mana Yana nak terangkan kepada Ikhwan lagi!
Perkara sebenar tidak seperti yang Ikhwan sangkakan!”kata Dayana lagi. Suaranya
semakin serak menahan esakan.
“Akif dan Yana tak pernah bercinta!”tegas Dayana. Ikhwan
memejamkan matanya seketika. Sukar hatinya untuk menerima kenyataan Dayana itu
sedangkan matanya sendiri sudah melihat mereka berbual mesra dan bergelak
ketawa bagaikan sudah intim begitu lama.
“Demi ALLAH!”Dayana tidak takut untuk bersumpah kerana
kenyataan itu memang benar.
“Yana baru beberapa bulan aje berkenalan dengan dia. Secara
kebetulan, Yana letak kerepek-kerepek yang Yana buat di pasar mininya. Akif
tolong edarkan ke tempat-tempat lain,” terang Dayana bersungguh-sungguh.
“Tak mengapalah, Yana. Apa pun alasannya perasaan Ikhwan
telah dipermainkan! EsokIkhwan akan berangkat balik ke London! Mungkin ini
pertemuan terakhir kita. Ikhwan ingin mintak maaf daripada Yana kerana telah
banyak membuang masa Yana untuk membaca surat-surat daripada Ikhwandan
membalasnya,” ujar Ikhwan dengan nada merajuk. Bila hati telah retak, cinta
telah musnah, sikap lelaki dewasa pun seolah-olah kembali ke zaman kanak-kanak
yang tidak matang.
“Ikhwan! Demi TUHAN! Yana tak pernah ada niat nak
permainkan Ikhwan, percayalah,”tegas Dayana lagi sambil menghamburkan
airmatanya yang bertambah lebat.
“Yana sayangkan perhubungan kita ini,” tangis Dayana.
“Yana hargai cinta Ikhwan pada Yana,” bisiknya
perlahan sambil menatap mata pemuda itu. Ikhwan membatukan dirinya beberapa
ketika.
“Kalau kita saling mencintai pun, perhubungan kita tidak
direstui oleh keluarga! Jangan kerana Yana Ikhwan menjadi anak derhaka,” jelasnya
dengan suara gementar.
“Seandainya Mak Cik Tijah merestui perhubungan kita dan tidak
mengata atau memburukkan Yana dipendengaran orang kampung serta mak Yana, sudah
pasti lamaran Ikhwan, mak dan ayah Yana terima dengan senang hati,” terangnya
lagi dengan bersungguh-sungguh.
“Sudahlah, Yana! Lupakanlah Ikhwan dan segala-galanya
tentang Ikhwan,” rajuk Ikhwan terus berpanjangan. “Untuk selamanya,” katanya lagi. Ungkapan kata-kata
dari pemuda itu terus menghiris hati Dayana. Mengapa harus diungkitkan
persoalan cinta di dalam persahabatan mereka yang telah termeterai begitu lama?
“Tolonglah Ikhwan, jangan buat begini,” rayu Dayana pula
dengan deraian airmata. Hatinya terus diasak pilu dan serba salah. Memutuskan
persahabatan mereka kerana sebab yang sangat kecil tidak boleh diterima oleh
akalnya. Mengapa ikatan persahabatan harus putus jika bersahabat ikhlas kerana ALLAH?
“Yana tak sanggup. Kita dah bersahabat lama, Ikhwan!” serak
suara Dayana menyatakan isi hatinya.
“Yana tak pernah main-mainkan Ikhwan,” ulangnya lagi.
Ikhwan terus menyepikan diri. Gumpalan perasaannya yang
semakin kusut sukar terlerai. ‘Kalau tidak permainkan hati dan cinta aku, mengapa
harus ada Akif? Mengapa? Kalau tidak permainkan hati dan cinta aku, mengapa
lamaran aku ditolak? Mengapa? Mengapa cepat sangat menyerah kalah?’ Ikhwan
tiba-tiba bermonolog. Dia tidak boleh berlama-lama lagi dengan gadis itu. Semakin
lama mereka berbual, semakin luas koyakan pada hatinya. Lantas dia mengambil
keputusan untuk segera beredar dari tengah bendang itu.
“Assalamualaikum,” ucapIkhwan lalu meninggalkan Dayana
seorang diri di atas permatang sawah. Kekusutan hatinya semakin bergumpal.
“Ikhwan!Tunggu dulu!”laung Dayana. Dia cuba mengejar
pemuda itu. Ikhwan yang melangkah laju. Ikhwan berjalan tanpa menoleh lagi
diiringi oleh hembusan angin yang agak kencang.
“Ikhwan!”pekik Dayana.
Namun,Ikhwan terus mengeraskan hatinya. Buat tidak peduli
pada laungan itu.“Ikhwan!”panggil
Dayana lagi sambil berlari-lari di atas batas sawah. Hati yang meronta pedih
dihujam sayu yang menderu.
“Aduhh!Arghhh!!!”
Raungan Dayana kali ini luar biasa. Langkah Ikhwanterhenti
serta-merta. Lantas dia menoleh ke belakang. Dia nampak Dayana sedang rebah ke
atas tanah. Perasaan bengangnya bertukar cemas. Ikhwan berpatah semula ke
belakang dan berlari menuju pada Dayana yang sudah terguling di atas permatang
bendangsambil menggelinjang kesakitan.
“Astaghfirullahalazim! Kenapa ni Yana?”tanyanya kepada
Dayana sebaik tiba di sisi gadis itu. Dayana yang sudah tercungap-cungap
menahan kesakitan, menangis. Pucat mukanya seolah-olah tidak berdarah lagi. Bibirnya
diketap ketat menahan rasa sakit yang sedang membenamnya ke telaga azab. Ikhwancuba
mengangkat gadis itu dengan memangku kepala Dayana terlebih dahulu. Seluruh
wajah gadis itu sudah memercik peluh dingin.
“Yanaa...kenapa ni?” soal Ikhwan hampir menangis terus
menggenggam tangan kanan gadis itu yang terkepal-kepal kuat dengan tangan
kirinya. Pipi Dayana yang basah berpeluh dikesat dengan tapak tangannya
kanannya.
“Ularr patuk!”jawab Dayana lemah dalam tangis dengan
suara lesu. Bibirnya terketar-ketar menahan kesakitan. Terasa hilang semangat Ikhwan
sewaktu mendengar jawapan itu.
“Ya ALLAH! Bertahan Yana.. bertahan,” bisiknya di telinga
gadis itu.
“Sakitnya,Ikhwan!”rintih Dayana dan tanpa sedar dia
merengkul leher pemuda itu. Tubuhnya meringkuk.“Sakit! Aduh! Ya ALLAH...”tangisnya, langsung
memejamkan mata.
“Yana! Ya ALLAH!”jeritIkhwan.
Tubuh Dayana dipeluk dan digoncang kuat diiringi tangisan
walang. Cuba untuk menyedarkan gadis itu kembali. Namun, mata Dayana tetap
terpejam. Walaupun terasa sayang hendak melepaskan pelukan Dayana di batang
lehernya dia terpaksa merungkaikan pelukan gadis itu. Dayana dibaringkan di
atas tanah dan serta-merta
dia menyelak kain baju kurung yang dipakai oleh gadis itu.
Sah! Ada bekas gigitan di betis gadis itu yang putih kuning. Bekas gigitan
sudah berbekam merah kebiruan. Jantung Ikhwan bergerak amat laju diburu
kerisauan yang menggila.
“Maaf, Yana! Ikhwan terpaksa ambil tudung kepala ni,” bisik
Ikhwan sendiri lalu merentap tudung yang dipakai oleh Dayana.
Kain tudung itu dipintal lalu diikat pada lutut Dayana di
sebelah atas bekas patukan ular untuk mengelakkan atau melambatkan jalaran bisa
ular itu. Bimbang ia menuju ke jantung. Jika sudah begitu, Ikhwan tidak ingin
memikirkan kemungkinannya.
Tanpa berlengah diamemicit tempat gigitan itu dan memekap
mulutnya di situ. Ikhwanmenyedut tempat gigitan ular, cuba mengeluarkan bisa
ular yang sedang menjalar ke seluruh urat gadis itu. Betis Dayana yang mulai
kebiruan. Enam kali menyedut bisa dan meluahkannya semula, dia pun
tercungap-cungap. Dayana yang masih pengsan membuat hatinya semakin panik dan
cemas. Seluruh wajah Dayana dan ulas bibirnya pun sudah kebiruan.
“Yana... Yanaa...”Ikhwan cuba menyedarkan gadis itu sekali
lagi, namun Dayana tetap membisu.
Sekujur tubuh Ikwan sudah dibasahi peluh. Tanpa berlengah
lagi dia terus mengangkat lalu mencempung Dayana dan berlari anak di atas batas
sawah menuju ke rumah keluarga gadis itu. Hatinya terus membisikkan berjuta doa.
“Ya ALLAH! Kenapa dengan Yana ni, Ikhwan?”tanya Mak Bedah
sambil menjerit terus menerpa kepada pemuda itu. Anak gadisnya sudah terkulai
di atas dukungan Ikhwan.
“Makcik! Yana dipatuk ular! Tolong makcik! Tolong! Kita
kena bawa dia ke hospital segera! Makcik cepat ambil kunci kereta Yana! Cepat!!!”
Suruh Ikhwan tanpa bertangguh lagi sambil mencungap. Dia
terus mengendong Dayana menuju ke kereta Kelisa yang terparkir. Pak Cik Yusof
yang baru balik dari pekan pun terkejut besar mendengarkan berita malang itu. Hampir
tubuhnya rebah. Apatah lagi apabila melihat muka Dayana yang kebiruannya
semakin menghitam lantas dia pun menyelak kain baju kurung yang dipakai Dayana
untuk melihat betis yang dipatuk ular. Ada kesan dua lubang pada bengkak betis
yang sudah kebiruan.
“Patukan ular tedung ni! Astaghfirullahalazim!”keluh Pak
Yusof. Dahinya mula bermanik dengan peluh dingin. Patukan ular yang amat berbisa
itu amat merbahaya. Nyawa pun boleh melayang!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan