SURIA pagi semakin melebarkan senyumannyasehingga seluruh
alam maya disimbahi cahaya yang menghangatkan. Langit biru luas terbentang
dihiasi beberapa tompok awan yang bersisik. Begitulah keadaan cuaca pada hari
itu yang nampak cerah.
Berdebar-debar hati Dayana sewaktu memandu. Hari ini dia terpaksa akur kehendak ayahnya. Hampir
dua bulan dia tidak bertemu dengan Akif. Tidak dapat mendustai hati selama dia
menyepikan diri daripada pemuda itu, hatinya sering menyanyikan rindu. Mungkin
pepohonan rindunya sudah menumbuh seluas ribuan hektar.
Tidak seperti perhubungannya dengan Ikhwan, walau lama
tidak bertemu tiada rasa rindu menghadiri hatinya. Mungkinkah pemuda yang
bernama Akif itu telah mencuri hatinya? Ikhwanyang masih bercuti semakin
menyepikan diri sejak lamarannya ditolak. Hanya sesekali sahaja dia menghantar
mesej pesanan ringkas bertanya khabar. Di samping itu, pemuda itu selalu
berkirim salam melalui ayahnya, jika mereka bertembung di surau.
Sebenarnya dia juga berasa bersalah kerana tiba-tiba
menyepikan diri daripada Akif. Pemuda itu tidak bersalah apa-apa pun dengannya.
Yang dirajukkan ialah amukan Rosnani, bukannya amukan Akif. Dayana tersenyum
sendiri. Justeru itu desakan ayahnya pagi tadi, tidak mampu ditolak lagi. Lantaran
rasa rindu seolah menggesanya supaya bertemu dengan pemuda itu. Terngiang pula
leteran ayahnya ditelinga.
“Hari ini pergi jumpa Akif. Bawa kek yang dia nak tu,” kata
ayahnya dengan nada tegas. “Jangan jadi kacang lupakan kulit,” marah ayahnya
pula. Bibir Dayana seolah terkunci.
“Yana ni, berurus niaga dengan orang. Bila orang telefon
tak mahu jawab pulak! Apa nak jadi dengan Yana ni?”marah Pak Yusof berpanjangan.
Dia hanya menundukkan kepalanya. Mendengar leteran daripada ayahnya itu dengan
sabar.
“Akif tu baik. Berbudi bahasa. Sederhana orangnya. Tidak
berlagak. Ayah dengar dia disegani orang. Rajin bekerja. Mungkin Yana boleh
belajar daripada dia bagaimana untuk menguruskan perniagaan. Tengok dia tu, muda
lagi. Umur belum 30 lagi. Tapi dah bina perniagaan sendiri. Maju pulak tu. Ayah
dengar dia dah beli kedai tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan di bandar tu.”
Pujian ayahnya terhadap Akif berterusan.
“Silap-silap haribulan, hidup dia lebih senang daripada Ikhwan
yang sedang belajar di luar negara tu. Yang dibangga-bangga oleh Mak Cik Tijah
kamu tu,” kata ayahnya lagi.
Seterusnya ayahnya bercerita tentang Rosnani. Dayana
benar-benar terkejut mendengar berita itu. Patutlah Akif menelefonnya berulang
kali pada hari itu. Dia pula tidak menjawab panggilan daripada pemuda itu. Bahkan
simkad pada telefonnya juga telah ditukar buat sementara.
Kepulangan Ikhwan secara mengejut menyebabkan dia cuba
melupakan Akif setelah peristiwa memalukan dirinya itu terjadi. Dayana meraba
pipinya yang telah dicakar oleh Rosnani. Masih ada kesan parutnya. Kemelut yang
melanda dirinya menyebabkan dia mengurung diri di dalam biliknya jika ada waktu
terluang. Tetapi soal bisnes kerepeknya tetap berjalan seperti biasa.
Tanpa sedar kereta yang dipandunya telah sampai di
hadapan Pasar Mini Akif. Dengan langkah perlahan dia memasuki premis itu sambil
menatang kotak yang berisi kek coklat.
Akif yang terpandang Dayana yang sedang memasuki
premisnya tersenyum lebar. Dayana nampak semakin cantik dengan baju kurungnya
yang berwarna merah jambu sedondon dengan tudungnya. Dada Akif tiba-tiba
dikepungi debar. Cepat-cepat dia memanggil pembantu kedainya supaya
menggantikan tempatnya di kaunter. Dayana menunggunya dengan sabar.
“Jom Yana, ikut
Akif ke pejabat,” pelawa Akif kepada Dayana dengan isyarat kepalanya sekali. Akif
berjalan laju menuju ke belakang pasar mini itu. Dayana mengekori Akif dengan
langkah perlahan.
“Duduklah, Yana,”pelawa Akif sambil menghidupkan pendingin
hawa. Dia menyambut kotak kek yang dihulurkan oleh Dayana dan terus membukanya.
“Wah! Mesti sedap
ni!”komen Akif langsung memotong kek menggunakan pisau plastik yang disediakan
oleh Dayana seolah tidak sabar untuk menikmatinya.
“Hmm...Yana tunggu
sekejap,” kata Akif lalu menghilangkan dirinya seketika. Tidak sampai berapa
saat dia muncul kembali membawa bersamanya piring polisterin dan air kotak.
“Pipi yang kena
cakar dah baik?”soal Akif sambil memerhati pipi Dayana. Air kotak dihulurkan
kepada gadis itu. Dia memasukkan potongan kek di atas piring kertas untuk
Dayana dan dirinya sendiri.
“Dah! Luka sikit
aje!”jawab Dayana sambil menundukkan wajahnya. Dia berasa malu kerana diperhati
oleh Akif dengan renungannya yang tajam. Perasaannya jadi tak keruan.
“Tak pasal-pasal
pipi Yana berparut,” keluh Akif perlahan.“Akif mintak maaf di atas segala
peristiwa yang terjadi,” ujar Akif dengan suara kesal.“Sebenarnya Akif tak ada
perhubungan apa-apa dengan budak Ros tu. Akif anggap dia seperti adik. Banyak
kisah sedihnya yang menyayat hati, Akif tahudan Akif bersimpati.”Akif memulakan
cerita. Dia menggigit bibirnya kerana menahan perasaan sebak.
“Tak apa! Bukan
salah Akif. Yana yang salah,” sampuk Dayana. Hatinya semakin resah apabila
berdua-duaan begitu. Akif menggaru-garu kepalanya cuba mencari idea untuk
berbual-bual dengan gadis itu. Perasaannya tidak tentu arah. Ingin dinyatakan
perasaan rindu dia berasa malu.
“Kenapa pulak Yana
menyalahkan diri sendiri ni?”soal Akif masih dengan ketenangannya. Dayana
terkelu kerana tidak tahu menjawab apa.“Kenapa Yana lari hari tu? Berulang kali
Akif panggil Yana,” beritahu Akif sambil mengenangi nostalgia pada hari berkenaan.
Segalanya masih segar di dalam ingatannya.
“Kalau tak lari, pecahlah
kepala Yana kena hempuk dengan topi keledar! Takut!”jawab Dayana sambil ketawa.
“Dahlah pipi Yana kena cakar, lepas tu belakang Yana kena hempuk pulak dengan topi
keledar! Sakit!”adu Dayana sambil mengerutkan dahinya.
“Iya tak ya jugak!
Si Ros mengamuk lain macam. Akif pun kena teruk jugak. Habis dicubit-cubit
sampai tersiat kulit. Rupa-rupanya dia buang tabiat,”cerita Akif pula. Dia
merenung lengannya dan menggosok-gosok perlahan seolah masih terasa kesan
cubitan daripada jari Rosnani.
“Malam tu
berulangkali Akif telefon Yana,”beritahu pemuda itu lagi.
“Sengaja Yana tak jawab. Lepas tu Yana tukar sim kad di
telefon tu,”jawab Dayana bersahaja. Pipinya rasa menghangat. Akif agak terkejut
dengan pengakuan gadis itu, namun tidak mengulas apa-apa.
“Sampai hati Yana
menyepikan diri daripada Akif. Akif rasa terseksa sangat. Berilah peluang Akif
berterus terang untuk bercerita dan memberi penjelasan. Tiba-tiba saja tutup
pintu,”kata Akif sambil tersenyum dan melirik ke mata gadis itu. Dia semakin
berani meluahkan perasaan hatinya kepada gadis itu dengan kiasan. Tambahan pula
apabila diketahuinya gadis itu belum dimiliki.
“Mana ada tutup
pintu! Akif datanglah ke rumah. Bukan tak tahu rumah Yana,” balas Dayana pula
sambil ketawa manja. Bunyi tawanya menyenangkan telinga Akif yang mendengarnya.
“Ada! Sebenarnya
Akif ada datang ke rumah Yana! Tapi macam mana nak buat. Hari yang Akif pergi
ke rumah Yana, Akif nampak beberapa orang sedang datang ke rumah Yana membawa
dulang hantaran,” cerita Akif sambil ketawa. “Akif pun baliklah,”katanya lagi. Ketawanya
terus berderai.
“Akif seganlah nak
kacau tunangan orang. Nanti kena tetak! Takut!”sambung Akif sambil melambakkan
tawanya sekali lagi. Dayana turut ketawa mendengar cerita Akif. Hatinya berasa
semakin mesra dengan pemuda itu.
‘Alamak! Dia tahu pulak cerita ini,’bisik hati Dayana. Bibirnya
menguntum senyuman membalas senyuman Akif yang sudah berhenti ketawa.
“Itulah, salah
sendiri jugak. Tak tanya selidik menyangka yang bukan-bukan. Yana tak ada
bertunang dengan sesiapalah,”ujar Dayana. “Memanglah ada orang datang melamar, Yana...Tapi
mak dah tolak pinangan tu. Yana pun setuju. Kami hanya kawan biasa aje,” sambungnya
lagi. Akif mendengarnya dengan teliti. Jiwa Dayana terasa lapang setelah
memberi penjelasan pemuda itu.
“Kalau nak kahwin kenalah dengan persetujuan ibu bapa
kedua-dua belah pihak. Kalau tidak, nanti bermasalah dibelakang hari,” jelas
Dayana.
“Pada pendapat Yana,biarlah ikatan perkahwinan itu yang direstui kedua ibu
bapa, barulah diberkati ALLAH,” ujarnya lagi sambil menyimpul senyuman.
“Yalah. Betul tu, Yana.
Adalah hikmahnya dan ada muslihat ALLAH disebalik peristiwa yang terjadi tu,” kata
Akif. Dia terkenangkan sahabatnya Ikhwan yang calon isterinya tidak
dipersetujui oleh emaknya.
“Insya-ALLAH,” balas
Dayana.
“Kalau ada
keizinan, boleh Akif tahu siapa yang meminang Yana tu,”tanya Akif jujur.
“Anak jiran Yana. Ikhwan
namanya,” beritahu Dayana.
Akif agak kaget apabila mendengar nama ‘Ikhwan.’ Kenangan
pertemuan dengan sahabat lamanya yang juga bernama Ikhwan beberapa minggu yang
lalu mengimbau ingatan. Dalam pertemuan mereka, Ikhwan ada menceritakan tentang
kekecewaan hatinya kerana lamaran kepada gadis pujaan telah ditolak. Mungkinkah
Ikhwan yang menjadi sahabatnya itu yang telah meminang Dayana? Timbul tanda
tanya di benaknya. Tapi,takkan dia seorang saja yang menggunakan nama Ikhwan!’jawab
hati kecilnya pula.
Bulat matanya seketika kerana memikir-mikir, namun
cepat-cepat diredupkannya kembali. Dia ingin mendengar cerita seterusnya
daripada bibir gadis itu.
“Ikhwan tu memang
kawan Yana sejak dari sekolah lagi. Secara kebetulan dia berjiran dengan Yana. Sekarang
ni dia sedang sambung pengajiannya di luar negara,” sambung Dayana lagi.
“Habis tu sekarang
ni macam mana? Yang Akif tanya dulu, Yana masih ingat lagi tak? Atau sudah
terhapus dari ingatan?”tanya Akif sambil menyedut minuman dari kotak. Mungkin pertanyaan
itu agak terburu-buru namun persoalan hati dan perasaan, dia inginkan
penjelasan secepatnya. Biar segera mendapat jawapan dan tidak perlu membuang
masa terlalu lama.
Dayana terdiam seketika. Sengaja dia membiarkan pemuda
itu melayani fikirannya seketika sambil menikmati kek coklat yang terhidang di
depan mata.
“Sebenarnya...”Dayana berhenti bersuara kerana dia sedang
mencari kata-kata yang sesuai untuk diungkapkan kepada pemuda itu. Yang
sebenarnya dia takut untuk terikat dengan mana-mana lelaki. Jika hendak
bersahabat, bersahabatlah dengan ikhlas kerana ALLAH.
“Yana masih perlu masa untuk berfikir ya? Okey! Akif bagi
masa untuk Yana dan tidak mendesak, tau! Akif pun faham, mungkin Yana dah
berkawan lama dengan Ikhwan dan rasa sulit sikit untuk melepaskan dia dari hati
Yana... hmm.. mungkin waktu ini, Yana masih berasa keliru,” kata Akif sambil
tersenyum. Terasa damai hati Dayana sewaktu mendengar kalimah yang diungkapkan
oleh pemuda itu. Pintu hati pun seolah terbuka dengan selebar-lebarnya untuk
dia.
“Akif beri Yana masa, ya! Jangan sampai jemu menunggu
jawapan, sudahlah!”gurau Dayana sambil ketawa kecil.
“Takkan Yana nak ambil masa sampai 10 tahun?”soal
Akif dengan nada riang.
“Kalau 10 tahun?”tanya Dayana nakal. Akif tersenyum
simpul dan setelah itu ketawa meleret kerana faham dengan usikan gadis itu.
“Sedap kek yang Yana buat ni,”pujinya pula, cuba menepis
pertanyaan Dayana tadi. Dayana ketawa manja.
“Akif, dah lama Yana kat sini, nanti mak dan ayah risau,”
beritahu Dayana. Matanya terus memerhati Akif yang sedang menghabiskan potongan
kek di dalam piring polisterin.
“Kalau Yana nak balik, tunggu sekejap!”kata Akif sambil
mengeluarkan beg dari dalam almari meja tulisnya. Beg itu dihulurkannya kepada
Dayana. Lambat-lambat Dayana menyambutnya.
“Ya ALLAH, apa ni Akif?”soal Dayana sambil mengerutkan
dahinya. Dia keberatan untuk menerima pemberian itu.
“Hadiah kenangan daripada Akif. Ahad minggu lepas
Akif pergi Kedah. Akif singgah di Pasar Rabu tu. Sewaktu Akif memilih tudung
untuk mak dan Nisah, Akif teringatkan Yana,” terang Akif. “Akif pun belilah
untuk Yana sekali,” sambungnya lagi.
“Alah... Akif ni, buat susah-susah aje! Segan pulak Yana
nak menerimanya,” kata Dayana tersipu-sipu. Usia persahabatan mereka yang masih
terlalu muda itu bagaikan tidak melayakkan dia menerima apa-apa pemberian
daripada pemuda itu.
“Ambillah Yana...rezeki jangan ditolak! Tak baik tau,” pujuk
Akif dengan senyuman manis. Dayana mengintai isi di dalam beg itu sambil
menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia berasa serba salah.
“Bukannya barang berharga pun! Kain untuk dibuat baju
sepasang, tudung sehelai dan dua buah buku ilmiah,” jelas Akif lagi. Matanya
terus menatap wajah Dayana yang nampak serba salah.
“Terima kasih Akif.”Akhirnya bibir Dayana menitipkan
ucapan terima kasih. Mereka berbalas senyuman.
“Kain ni Akif nak suruh Yana buat baju apa?”tanyanya
jujur. Akif tertawa seketika kerana tidak menyangka gadis itu meminta
pendapatnya. Dia berasa dihargai dan semakin selesa apabila berdekatan dengan
gadis itu yang sedang meniti jambatan hatinya.
“Akif suka tengok Yana pakai baju kurung moden, nampak
manis dan ayu,”jawabnya sambil memuji. Dayana tersenyum simpul sambil mengusap
pipinya yang terasa panas.
“Akif ni ada-ada aje,”balasnya sambil tersenyum malu.“Boleh Yana balik sekarang?”tanyanya
lalu bangun dari kerusi.
“Okey! Terima kasih keknya. Oh ya! Berapa harganya, Yana?Akif
ni tak patut betul! Perut dah kenyang baru nak tanya harga,”kata Akif sambil
ketawa lalu mengekori Dayana.
“Tak payahlah, Akif! Kek tu memang Yana buatkan untuk
Akif,” jawab Dayana sambil berjalan menuju ke keretanya.
“Janganlah begitu Yana, business woman mana boleh bersikap
begitu,”duga Akif sambil ketawa.
“Nanti lingkup bisnes,”katanya lagi cuba berseloroh.
“Ala... nilai persahabatan kita lebih berharga daripada
sebiji kek tu tau,” jawab Dayana sambil melirik pemuda itu. Akif membukakan
pintu kereta untuk gadis itu sewaktu dia ingin memasuki keretanya. Dayana
segera menghidupkan enjin kereta sedang pintu kereta masih terbuka. Mereka
masih sempat berbual-bual lagi dengan riang sambil ketawa mesra.
“Assalamualaikum...” sapaan ucapan salam mengejutkan
Dayana dan Akif yang masih leka bercerita.
“Waalaikumusalam,”jawab Akif spontan lalu menoleh ke
belakang kereta Dayana. Berderau darahnya seketika.
“Eh! Ikhwan!” sapanya dengan suara kuat.
Ikhwansedang merapati mereka dengan wajah kelat. Matanya memerhati
Dayana yang sedang duduk di tempat pemandu.Tawa di bibir Dayana serta-merta
lenyap.
“Ikhwan,” sapanya perlahan. Bola matanya merenung ke
wajah Akif dan Ikhwan silih berganti. Akif tetap dengan senyuman manis dan
wajah teduhnya. Namun, rona wajah Ikhwan yang nampak kusut dan sugul tidak
pernah dilihatnya sebelum ini.
Dayana mendongak melihat ke langit untuk menenangkan
hatinya yang tiba-tiba bergelora. Segumpal awan yang sedang bergerak melindungi
matahari. Suasana tiba-tiba menjadi redup bagaikan redup hatinya pada saat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan