MALAM semakin larut. Kenderaan yang lalu lalang di jalanraya pun semakin
berkurangan. Semua premis di bandar baru Parit Buntar telah menamatkan operasi
perniagaan masing-masing jam 10.00 malam tadi. Hanya Akif yang masih setia
duduk di dalam bilik belakang, di pasar mininya. Semua pekerjanya yang seramai
enam orang sudah pun balik ke rumah sebaik sahaja pasar mini itu ditutup jam 9.30
malam tadi.
Akif terus mengira pendapatan yang diperolehinya pada
hari itu. Not-not wang kertas yang telah dikira, diikat-ikat dan disimpan di
dalam peti besi dibawah mejanya. Pagi esok semua wang itu akan dimasukkan ke
dalam bank. Begitulah rutin hariannya. Alhamdulillah, rezeki yang dikurniakan ALLAH
kepadanya melimpah ruah.
Mungkin hujung tahun ini dia boleh membuka cawangan pasar
mininya. Cita-citanya untuk membeli kedai dua tingkat di tapak bandar baru
mungkin juga akan terlaksana. Sekarang ini bangunan kedai yang ingin dibelinya itu
masih di dalam pembinaan. Segala urusan dokumentasi dengan pihak pemaju telah
pun selesai.
Kesibukannya menghadap dokumen-dokumen yang menimbun di
atas meja tidak mampu melenyapkan ingatannya kepada Dayana. Saat itu hatinya
tak boleh lagi menyanyi sebaliknya hanya mengalirkan kesedihan dan kekecewaan.
‘Apalah nasib kau Akif. Baru cinta hendak bertunas, tanahnya
telah dilanda banjir besar. Menghanyutkan putik cinta.’ Dia bermonolog sendiri
dan masih setia di pasar mininya walaupun jam sudah menunjukkan 1.00 pagi. Bermacam
dugaan yang harus ditempuh seminggu dua ini. Pemergian Rosnani untuk selamanya,
mencampakkan perasaannya di lautan kesedihan.
Bayangan Dayana pula menjelma di fikirannya. Akif
menghela nafas dan mengeluh dengan keluhan yang berat. ‘Mengapalah aku jatuh
cinta kepada gadis itu?’soal hati Akif, sebal. Sangatlah
menyakitkan mencintai seseorang, tetapi tidak dicintai olehnya.Tetapi lebih
sakit, bila mencintai dan tidak pernah menemukan keberanian untuk memberitahu
dia apa yang dirasakan.
Tidak tahu untuk menterjemahkan perasaan hatinya sewaktu
ingin bertandang ke rumah gadis itu pada hari Ahad yang lalu. Tujuannya untuk
bertemu Dayana serta meminta maaf dan menceritakan tentang kemalangan yang telah
menimpa Rosnani pada hari itu terbantut. Baru sahaja keretanya sampai di luar
pekarangan rumah gadis itu dia lihat beberapa orang tetamu datang dengan
membawa dulang hantaran. Dia lalu membatalkan niatnya untuk mengunjungi Dayana
dan keluarganya. Sementelahan pula panggilan telefonnya kepada gadis itu yang
berulangkali tidak mendapat jawapan. Mesej yang diterima ialah nombornya tiada
dalam perkhidmatan lagi.
Nescafe panas yang berasap nipis dicicipnya perlahan
sambil matanya terus menatapi tulisan pada dokumen yang berlambak di atas meja.
Semuanya berkaitan dengan urusan pasar mininya. Kebanyakannya ialah invois dan
bil-bil daripada pembekal. Deringan telefon bimbit di atas meja mengganggu konsentrasinya.
“Mak, Akif ada di pasar mini lagi ni,” jawab Akif kepada
emaknya di hujung talian.
“Hai, nak tidur
kat situ ke? Balik ke rumah. Sambung semua kerja tu esok-esoklah Akif! Asyik
ingat kerja aje! Kerja sampai bila pun tak boleh habis. Nanti kalau dah
beristeri Akif nak buat begini, hmm... meranalah anak orang,”leter Mak Esah di
telefon.
“Hmm...mak ni ke situ pulak! Tak apalah mak, biar Akif
kahwin dengan pasar mini ni aje! Hati pun tak rasa kecewa,” gurauan Akif penuh
bermakna.
“Dah! Jangan nak merepek Akif. Dah pukul berapa ni? Hampir
2.00 pagi dah!”bidas emaknya. “Nanti mak bincang dengan ayah kamu
untuk pergi meminang Yana, tu! Tak payah Akif angau lama-lama sangat!”sambungnya
lagi. Akif diam tidak terjawab. Harapan dan impian emaknya tidak mungkin akan
tercapai. Hatinya terasa pedih.
“Cepat balik ya! Selagi
Akif tak balik ke rumah, selagi itulah mak tak dapat tidur,” beritahu Mak Esah
sambil meletakkan telefon. Mak Esah perasan gurauan anaknya tadi bagaikan
menterjemahkan hati anak bujangnya di saat itu. Dia perasan Akif tidak begitu
ceria dalam beberapa hari ini. Mungkin Akif masih bersedih kerana kematian
Rosnani yang agak rapat dengan keluarga mereka. Perkara itulah yang menyusup ke
fikirannya untuk memujuk hati sendiri.
“Hmm... Akif... Akif,”
keluh Mak Esah sambil tersenyum kerana membayangkan anak sulungnya itu
disandingkan dengan Dayana.
Cuaca yang redup terus mengiringi langkah Ikhwan dari rumahnya ke rumah Pak
Yusof. Sengaja dia datang bertandang ke rumah Dayana pada pagi itu untuk
mencari kedamaian. Tasik hatinya yang sedang berkocakan kerana hasrat tidak
kesampaian.
“Naiklah Ikhwan,” pelawa Pak Yusof sebaik sahaja menjawab
salam anak muda itu.
Pak Yusof sempat menyoroti wajah Ikhwan yang kelihatan
murung. Rona wajahnya tidak sama lagi seperti kedatangannya sebelum ini. Dulu
wajahnya ceria. Hari ini wajahnya selamba. Senyuman yang dilontarkan pun hambar,
tiada kemanisannya lagi.
“Ikhwan duduklah dulu, atau jomlah kita duduk di dapur
aje. Kami baru nak bersarapan,” beritahu Pak Yusof.“Marilah, kita
sarapan sama-sama,” ajak Pak Yusof, ramah. Ikhwan terus mengekori Pak Yusof ke
dapur.
“Ikhwan...”sapa Mak Bedah dan Dayana hampir serentak. Ikhwan
melemparkan senyumannya walaupun hambar. Layanan mesra yang diterimanya dari
keluarga itu meredakan kekecewaan hatinya.
“Silalah, Ikhwan! Nak makan apa? Yana cedokkan,” kata
Dayana yang berdiri di sisi pemuda itu. Dia mengambil pinggan dan meletakkannya
di hadapan Ikhwan.
“Apa-apa pun tak apa, Yana,”jawab Ikhwan perlahan, sambil
matanya merenung makanan yang terhidang di atas meja. Sudah beberapa hari
selera makannya seolah ditutup.
“Makanan ni, semua
Yana masak ke?”soalnya tanpa silu. Perutnya tiba-tiba terasa lapar.
“Yanalah yang
masak,” jawab Mak Bedah.
“Pagi ni dia rajin pulak,” gurau Mak Bedah sambil
tersenyum mesra. Dayana ketawa malu mendengar penjelasan emaknya itu.
“Hmm...Ikhwan suka makan pulutkan? Dengan ikan kering. Rendang
ayam kampung pun ada ni,” kata Dayana terus mencedokkan pulut ke dalam piring. Mendengar
kata-kata itu, perasaan Ikhwan semakin terusik. Kalaulah emak ayah gadis itu
menerima pinangannya. Tanpa sedar,Ikhwan mengeluh. Keluhannya itu mengejutkan
Mak Bedah dan Pak Yusof yang sedang asyik menikmati sarapan di hadapan mereka. Pak
Yusof dan Mak Bedah saling berpandangan.
Selesai bersarapan mereka berunding tentang kemelut yang
sedang melanda hati anak muda itu.
“Beginilah,Ikhwan.
Sebenarnya pakcik dan makcik tidak bertujuan untuk menghampakan Ikhwan, tetapi mak
Ikhwan tak suka pada Yana,” beritahu Pak Yusof. Ikhwan terdiam. Entah bagaimana
berita itu sampai ke pengetahuan orang tua Dayana, fikirnya.
“Ikhwan tamatkan pengajian dulu. Mungkin dalam tempoh
waktu itu, hati mak Ikhwan akan terbuka untuk menerima Yana,” sampuk pula Mak
Bedah sekadar memujuk hati anak muda itu.
“Saya belajar tak
lama lagi makcik. Tinggal kurang lebih 18 bulan aje. Tapi hati mak tu, keras
macam batu!”rungut Ikhwan. “Bukannya boleh dirunding,” adunya pula
dengan nada kecewa. Memang sejak dari dulu lagi dia lebih senang mengadu
masalah dirinya kepada emak Dayana daripada emak kandungnya sendiri.
“Tak baik Ikhwan
anggap mak Ikhwan begitu, nak! Dia yang lahirkan Ikhwan. Dia mesti tahu apa
yang baik untuk anaknya,” nasihat Mak Bedah dengan lembut.
“Makcik bukan tak
suka Ikhwan jadi menantu, bahkan makcik sayang Ikhwan macam anak sendiri,” kata
Mak Bedah sambil menghela nafas seketika.
“Tapi Ikhwan pun kena faham, hati ibu mana yang sanggup
lepaskan anak gadisnya kepada keluarga yang tidak dapat menerimanya sepenuh
hati,” ujar Mak Bedah lagi.
Ikhwan melarik senyuman tipis. Halangan dari kedua-dua
belah pihak menyebabkan impiannya untuk memiliki Dayana seolah terlerai. Haruskah
dia terus menyerah kalah?
“Makcik...saya nak menikah dengan Yana jugak. Saya nak
bawa dia ke sana,” beritahu Ikhwan seolah mendesak Pak Yusof dan Mak Bedah
menerima pinangannya. Perasaan rindu dan cintanya pada Dayana di saat itu
sedang menggebu-gebu seolah tidak tertampungkan lagi oleh kamar hatinya. Hanya
ikatan pernikahan sahajalah yang menjadi penawarnya
“Kalau begitu, Ikhwan
berundinglah dengan Yana,” sampuk Pak Yusof pula.“Tapi jangan lupa
untuk berunding dengan mak Ikhwan sekali lagi! Restu kedua ibu bapa sangat
penting di dalam urusan mendirikan rumahtangga ni,”ujarnya lagi dengan nada
lembut.
Dia pun rungsing memikirkan masalah anak muda itu.“Pak
cik tak boleh buat keputusan bagi pihak Yana,” tegas Pak Yusof lagi. Wajah muram
Ikhwan disorotinya. Dia berasa serba salah.
Mendengar kata-kata ayahnya perasaan Dayana pula seolah
tersepit. Hatinya berombak ganas dan geloranya semakin meninggi. Pandangan
matanya dialih ke arah lain apabila Ikhwan merenung ke anak matanya
mengharapkan sokongan.
TITISAN embun yang terhimpun di dedaunan tiada tersisa pabila dijilat
mentari yang mulai tersenyum. Desiranangin pagi menyamankan tubuh Akif yang
sedang mencuci kereta. Walau matahari mulai bersinar megah, kedinginan tetap
terasa. Akif mengusap-ngusap lengan dan lehernya berkali. Terasa bahang
panasnya.
“Akif,sudahlah tu! Jangan cuci kereta tu lagi! Suruh
Nisah ni buatkan!”jerit emaknya dari tingkap dapur.
“Entah,Abang Akif
ni!Dah demam, tak sihat badan, bawa-bawalah berehat,” kata Nisah yang tiba-tiba
muncul di sebelahnya.
“Biar Nisah
bersihkan kereta abang.Upahnya tak mahal, RM50 aje!” katanya lagi sambil ketawa.
Nisah mengambil tuala basah dari tangan Akif. Baldi yang
masih berisi air pun diambilnya dan dibawa ke bahagian hadapan kereta.
“Alah,buat kerja sikit nak upah lebih-lebih, mengalahkan
kedai! Tak payahlah. Biar abang buat sendiri,” kata Akif lalu mengambil kembali
tuala dari tangan Nisah.
“Asyik ingat duit aje Nisah ni! Cuba semua pekerjaan yang
dibuat niatkan kerana ALLAH, barulah jadi ibadah. Pahalanya lebih bernilai dari
RM50tau tak,” omel Akif sambil terus mengelap cermin keretanya.
“Alah, abang tu yang tak reti mencari pahala! RM50 itu
kira macam sedekahlah. Takkanlah abang nak lokek dengan adik sendiri. Duit abang
dah banyak. Jangan nak kikir. TUHAN marah tau tak?”balasnya kepada Akif.
“Eh! Dia kalih kepada kita pulak! Nak buat sesuatu kena
ikhlas. Dengan hati yang suci bersih. Walau tolong cat kereta abang dengan emas
tapi hati tak ikhlas satu pahala pun Nisah tak dapat, lebih baik Nisah tolong
buang tahi kucing yang kat dapur tu dengan hati yang tulus, ikhlas, bersih. Tidak
mengharapkan upah, macam tu baru dapat pahala,” nasihat Akif sambil menjeling
Nisah yang bercekak pinggang sambil menjelirkan lidah kepadanya.
“Tengok tu! Biarlah Nisah buatkan. Abang ni, sejak kebelakangan
ni, Nisah nak bergurau pun tak boleh! Dulu abang tak begini. Selalu bergurau. Sekarang
ni abang asyik serius dan muram aje,” leter Nisah.
“Nisah tahulah kucing Nisah dah melabur kat dapur tu,” rungutnya
lagi dengan suara perlahan. Dia merapati Akif dan mengambil semula tuala dari
tangan abangnya itu. Akif hanya menyeringai mendengar leteran adiknya.“Abang
bergaduh dengan Kak Yana ke?”teka Nisah sambil tersenyum nakal. Mata jernihnya
merenung wajah abangnya itu.
“Mulalah Nisah
buat teori sendiri. Abang tak ada apa-apa perhubungan dengan Yana, lah. Hanya
hal bisnes kerepek aje,” jawab Akif selamba. “Selain dari itu hubungan
silaturrahim sebagai saudara seagamalah,” sambung Akif lagi. Dia cuba
menyembunyikan kekecewaan di hati. Sehingga hari itu Dayana tidak
menghubunginya dan gagal dihubungi telefonnya.
“Boleh percaya ke
cerita abang ni? Nisah tak percayalah. Sebabnya sewaktu abang beria-ia mengajak
mak dan Nisah temankan abang untuk melawat Kak Yana kat hospital, Nisah tengok
muka abang berseri lain macam aje. Seri orang bercinta,” kata Nisah sambil
ketawa. Dia cuba mengumpan abangnya dengan kata-kata untuk mencungkil rahsia.
“He...he...pandailah
Nisah. Tak usah sebut-sebut soal cinta dengan abang. Hati abang jadi tak keruan.
Elok-elok demam abang kebah, langsung demam berbalik,” sahut Akif sambil
mengekek kecil.
“Alah! Bukannya
Nisah tak tahu! Abang tu demam rindu! Demam rindu ni memang begitu. Suka
berbalik-balik. Hee...hee...” balas Nisah. Hatinya riang apabila melihat
abangnya kembali ceria.
“Hmmni dia demam
rindu,”jawab Akif spontan, lalu mengambil baldi yang berisi air terus menjirus
Nisah yang sedang mencuci tayar kereta.
“Abangg!!!”raung
Nisah sambil menangis.
“Haah, kata nak bergurau,” jawab Akif. Tawanya berderai
melihat Nisah menangis dan mengelinjan di atas rumput kerana kebasahan. Adik
bongsunya itu memang cengeng.
“Bersihkan kereta
abang sampai berkilat. Nanti abang upah RM5. Hee... he...” sambungnya lagi
sambil berlari masuk ke dalam rumah. Lebih baik dia menghindarkan dirinya
daripada adik bongsunya itu. Jika tidak segala rahsia hatinya akan terbocor
gara-gara mulut Nisah yang becok itu.
PAGI itu, Pak Yusof
memasukkan kotak-kotak berisi kerepek ke dalam kereta. Ada 1000 bungkus
semuanya. Permintaan terhadap kerepek buatan anaknya semakin meningkat saban minggu.
Setelah selesai memasukkan kerepek ke dalam boot
kereta, segera dia menoleh kepada Dayana yang ada di situ.
“Hari ini Yana pergi hantar kerepek tu, boleh?”soalnya. Dayana
mengeleng.“Tak bolehlah, ayah. Yana nak buat kek! Ada orang tempah,” jawab
Dayana selamba.
Semenjak peristiwa dia dicakar oleh Rosnani di hadapan
pasar mini Akif, dia terasa malu untuk menunjukkan wajahnya di situ lagi. Tambahan
apabila dirinya dituduh sebagai perampas, perempuan tak malu dan sebagainya di
khalayak ramai begitu. Terasa kehormatannya telah tercemar percuma saja.
“Kalau begitu, ayah hantarkan! Yana dah tulis senarai
barang-barang yang Yana perlukan?”soal Pak Yusof dengan lembut.
“Dah, Yana dah
letak dalam kereta,” beritahu Dayana. Wajahnya masih selamba.
“Semuanya dah tersenarai ke?”tanya ayahnya lagi.
“Tak apa, ayah. Kalau
ada barang-barang yang Yana perlukan lagi, Yana faks kepada Akif.”
“Ayah! Nanti beritahu Akif, bekalan pisang dan ubi kayu
dah susah nak dapat. Kalau ada pesanan lagi, Yana tak sempat siapkan dalam
tempoh waktu yang cepat,” pesan Dayana.
“Hal yang itu, Yana uruskanlah dengan Akif,” balas Pak
Yusof.
“Alah! Ayah
tolonglah beritahu dia,” kata Dayana seolah merajuk.
Sejak peristiwa malang itu dia sudah tidak berhubungan
telefon dengan Akif lagi. Pesanan kerepek pun diterimanya daripada Akif melalui
faks. Perhubungan mereka kini terlangsung di dalam keadaan bisu.
“Tengoklah macam
mana nanti,” janji Pak Yusof sambil masuk ke dalam kereta. Hairan juga hatinya
melihat telatah Dayana. Macam ada sesuatu yang tak kena sahaja. ‘Jangan-jangan
merajuk dengan Akif tak?’teka hati Pak Yusof. ‘Eh! Mereka bukan ada hubungan
apa-apapun,’jawab hati Pak Yusof pula. ‘Tapi kalau tak ada hubungan apa-apa, mustahil
dia selamba sahaja waktu pinangan Ikhwan ditolak. Tak terkutik satu perkataan
pun dari bibirnya. Hmm... tak faham aku dengan Yana ni,’rungut hati Pak Yusof.
KEHADIRANkereta Kelisa berwarna merah di hadapan pasar
mininya melegakan hati Akif. Kedatangan Pak Yusof ke pasar mininya disambut dengan
senyuman gembira. ‘Tak dapat lihat
wajah anak, dapat lihat wajah ayahnya pun bersyukurlah,’ bisik hatinya memujuk
rasa kecewa.
Akifmengajak Pak
Yusof ke pejabatnya sebaik sahaja selesai memunggah kotak yang berisi kerepek
dari kereta ke dalam pasar mininya.
“Duduklah, pakcik!
Beginilah pejabat saya,” pelawa Akif sambil ketawa.
“Hai, Okeylah ni. Nak
yang macam mana lagi. Janji perniagaan maju,” kata Pak Yusof dengan mesra.
“Saya nak bayar
duit kerepekYana. Pakcik nak cek ke tunai?”soal Akif sambil memandang Pak Yusof
dengan matanya yang jernih.
“Suka hati Akiflah.
Pakcik terima aje bagi pihak Yana,” jawab Pak Yusof.
“Rajin Yana tu. Kalau
dia teruskan usaha begini, insya-ALLAH boleh buka kilang kerepek ni,” kata Akif
sambil mengira-ngira dengan kalkulator. Kata-kata Akif itu disambut Pak Yusof
dengan ketawa kecil seolah ragu-ragu dengan kenyataan anak muda itu.
“Pasaran kerepek
Yana ni dah sampai ke Ipoh,” beritahu Akif. Memang rezeki gadis itu agaknya, kerepek
yang dipasarkan begitu mendapat sambutan, sedangkan saingannya banyak juga.
“Ipoh? Hai jauh tu!
Sebenarnya Akif yang banyak bantu dia,” balas Pak Yusof.
“Alah! Tak banyak mana pun yang saya membantunya pakcik. Tapi
saya tengoklah, Yana ni memang jenis rajin dan gigih. Susah nak cari gadis-gadis
muda macam dia yang sanggup usahakan kerepek-kerepek ni,” ujar Akif pula.
“Yana tu taklah muda sangat. Dah nak masuk 22 tahun. Kalau
dia terima tawaran masuk universiti lepas SPM dulu, dua tiga tahun lagi mesti
dah tamat belajar. Entah-entah jadi doktor anak pakcik tu,” cerita Pak Yusof. Akif
mengangkat mukanya memandang wajah orang tua di hadapannya itu.
“Oh ya? Kenapa dia tolak? Sayangnya...”keluh Akif. Cerita
itu tambah menarik hatinya untuk memiliki gadis itu. ‘Tapi, dia akan menjadi
milik orang,’bisik hatinya pula cuba mengingatkan diri sendiri. Rasa kecewa yang
telah menjalari hatinya semakin kuat simpulannya.
“Dia tak sampai
hati tinggalkan kami. Begitulah Yana. Manja dengan maknya,” cerita Pak Yusof
sambil ketawa. Akif turut ketawa.
“Dia anak tunggal,
pakcik! Selalu jadi begitu, manja! Tapi tak lama lagi, pakcik nak dapat menantu,
kan? Yana kena berjauhan juga dengan maknya,” sambung Akif pula, cuba mengorek
rahsia.
“Menantu? Tak
tahulah bilanya Yana tu nak berkahwin, Akif. Baru-baru ni, memang ada orang
meminang dia, tapi pinangan tu kami tolak,” cerita Pak Yusof tanpa berselindung.
‘Hai, semakin menarik cerita ni. Adalah peluang aku!’bisik
hati Akif nakal. Nafas yang dihela terasa nyaman. “Kenapa ditolak pula.
Yang meminang tu penganggur ke?”teka Akif masih cuba merisik.
“Taklah. Budak
lelaki tu sedang belajar lagi di luar negeri. Dalam bidang apa, pakcik pun tak
pasti! Dia nak menikah dengan Yana dan nak bawa ikut dialah. Tapi maknya pulak
tak suka pada Yana. Kata maknya Yana tak layak jadi menantunya kerana hanya
berkelulusan SPM. Anaknya bakal memiliki ijazah. Jadi, pakcik dan makcik
letaklah hantaran tinggi sikit. Sebenarnya kami ingin menolak pinangan tu
secara halus,” cerita Pak Yusof lagi.
“Mereka memang
berkawan ke, pakcik?”soal Akif dengan penuh minat. Kalau Dayana mencintai
pemuda itu mustahil pula dia cepat sangat akan mengalih cintanya kepada lelaki
lain. Hati Akif berbicara sendiri.
“Berkawanlah jugak. Dari zaman sekolah lagi. Budak lelaki
tu sebenarnya anak jiran pakcik jugak. Orangnya baiklah setakat yang pakcik
kenal. Tapi perangai maknya,hmm...” jawab Pak Yusof sambil menjuihkan bibirnya.
“Berlagak! Mak Yana pun tak suka!”jelas Pak Yusof lagi.
“Susah kalau
hendak berurusan dengan orang hidung tinggi ni, Akif! Kehidupan kita sebagai
hamba ALLAH ni, kalau berjalan asyik tengok ke langit aje, alamat terjatuhlah. Kalau
perasan diri tinggi dan duduk di atas awan, awan pun akan pecah berderai jugak
menjadi hujan, jatuh ke bumi jugak sudahnya. Masuk ke dalam longkang, ke dalam
limbah,” sambung Pak Yusof lagi dengan bahasa kiasan. Akif yang mendengar, ketawa
seketika.
“Habis tu, Yana macam mana? Tak frust ke dia, bila pakcik tolak lamaran boyfriend dia?”soal Akif lagi. Terus mengorek rahsia.
“Yana kata dia kawan biasa aje dengan budak tu. Tak ada
rasa cinta. Sebab tu dia tak kisah kalau kami tolak pinangannya. Entah, pakcik
pun tak faham orang-orang muda sekarang ni,” ujar Pak Yusof lagi.
“Oh begitu kisahnya. Yana pun dah lama tak datang ke sini.
Saya telefon pun tak pernah berjawab. Dia dah tukar nombor telefon ke, pakcik?”soal
Akif dengan mesra sambil menghulurkan duit kepada Pak Yusof.
“Hari ni dia tak
dapat datang. Nak buat kek, katanya. Ada tempahan,” beritahu Pak Yusof.
“Yana pandai buat kek juga ke?”soal Akif dengan penuh
minat.
“Hmm.. dia tu
boleh belaka. Tapi ilmu yang dia ada sikit-sikit sahaja. Cukuplah untuk mencari
rezeki seringgit dua,” jawab Pak Yusof sambil merendah diri.
“Selalu ke Yana
mendapat tempahan kek, pakcik?”tanya Akif lagi.
“Selalu jugak.Tambahan
pula kalau musim perayaan. Biskut-biskut hari raya pun dia buat jugak,”cerita
Pak Yusof dengan perasaan senang.
“Dia memang minat berniaga ke pakcik?”Bagaikan tidak puas
hati Akif terus bertanyakan tentang
gadis itu.
“Minat sangat-sangat. Yana memang bercita-cita untuk
menjadi usahawan di dalam bidang ini. Tak tahulah sama ada dapat dicapai atau
menjadi angan-angan mat jenin aje.” Melirih suara Pak Yusof. Akif
mengangguk-angguk.
“Insya-ALLAH, pakcik!
Di mana ada kemahuan, kegigihan berusaha di situ ada kejayaan. Insya-ALLAH, nanti
TUHAN akan bukakan lorongnya,”tukas Akif dengan suara yang semakin merendah.
“Akif, ambil
nombor ni. Yana memang ada dua nombor telefon,” beritahu Pak Yusof sambil
mencapai pen di atas meja Akif dan mencatatnya pada kertas yang dihulurkan oleh
pemuda itu.
“Tadi pakcik ada
beritahu yang Yana ada terima tempahan kek. Saya pun nak tempah jugak sebiji. Bila-bila
dia senang, mintak tolong Yana hantar ke sini, boleh?”tanya Akif. Harapannya
kembali berbunga setelah mendengar cerita daripada ayah Dayana tadi. Rasa
kecewa yang mendiami hatinya sejak lima enam minggu yang lalu mulai menyisih.
“Pakcik sampaikan
salam saya kepada, Yana. Beritahu pada dia jugak, Rosnani dah meninggal kerana
kemalangan pada hari berkenaan,” pesan Akif.
“Rosnani? Yang accident
dekat simpang tu, ke?”soal Pak Yusof. Akif terus bercerita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan