Pagi itu Dayana bersarapan dengan emak ayahnya. Biasanya selepas sarapan mereka
keluar untuk mengerjakan sawah sehingga tengah hari. Mak Bedah memerhatikan
wajah Dayana yang selamba. Ada rasa simpati yang membenih di hati orang tua itu.
Tindakannya menolak peminangan Ikhwan mungkin telah menghampakan hati anak
gadisnya.
“Yana rasa kecewa
ke mak dan ayah tolak lamaran Ikhwan?” Pertanyaan daripada emaknya yang
mendadak itu menyentakkan lamunan Dayana. Nasib baik tidak terlepas cawan yang
sedang dipegangnya.
“Tapi sebenarnya, kami
bukanlah menolak bulat-bulat. Sengaja mak letakkan hantaran tinggi sikit,” beritahu
Mak Bedah. Pada pendapatnya jika Mak Cik Tijah benar-benar berkehendak
menunaikan keinginan anak bujangnya, pasti tiada kompromi berkenaan dengan
hantaran. Sebaliknya wanita itu terus angkuh dan memandang rendah kepada anak
gadisnya pula.
“Takk... tak rasa
apa-apa mak!”Deras Dayana mengungkapkan jawapan. Walaupun hatinya
tertanya-tanya sebab musababnya, dia segan untuk meminta penjelasan daripada
emaknya atau Ikhwan. Pemuda itu pun belum menelefonnya lagi sejak rombongan
meminangnya datang ke rumah.‘Entah-entah Ikhwan kecewa dan merajuk hati,’tebaknya
dalam diam.
“Tapi mak tengok
airmuka Yana bagaikan mendung di malam hari,” usik Mak Bedah sambil merenung
mata anak gadisnya itu. Dayana tersenyum meleret mendengar usikan emaknya.
“Alah mak ni! Macam
mana nak tengok mendung pada waktu malam! Seluruh langit diselubungi kegelapan,”
jawab Dayana perlahan. Mak Bedah ketawa mendengar rungutan anaknya itu.
“Betullah tu apa
yang mak cakapkan tu! Sehari dua ni mak tengok wajah anak mak ni lain macam aje.
Tak lagi manis berseri macam selalu,” ujar Mak Bedah pula.
“Alah mak ni! Cuba
mak tengok muka Yana sekarang ni, berseri tak? Masih manis tak?”jawab Dayana
manja sambil mengukir senyuman lebar.
“Hah! Kalau begitu
barulah sinar suria gilang gemilang,”usik Mak Bedah lagi. Dayana terus ketawa
mendengarkan ulasan daripada emaknya.
“Ala mak ni! Malam-malam
mana ada sang suria! Sang purnama adalah,”balas Dayana pula. Mak Bedah
melambakkan ketawanya seketika.
“Nak oii! Kan
sekarang ni dah tengahari rembang! Bukannya di waktu malam! Cuba tengok di luar
tu. Yana tak nampak matahari yang menyala megah tu?”tanyanya sambil ketawa
mengilai melihat telatah Dayana yang mamai di pagi hari.
“Alamak! Yana
mimpi di siang hari!”jawab Dayana sambil tersipu-sipu. Terlalu banyak perkara
yang sedang mendatangi fikirannya sehingga dia tidak mengenal siang atau pun
malam lagi.
“Hah! Itulah! Pagi-pagi
hari jangan banyak mengelamun. Tak baik,”balas Mak Bedah.
“Berbalik kepada
hal tadi. Tentang lamaran Ikhwan yang mak tolak,”kata Mak Bedah. Matanya
menyorot ke wajah Dayana untuk melihat riaknya.
“Kenapamaktolak?”
tanya Dayana untuk penjelasan. Sehari dua ini emak dan ayahnya masih belum
menjelaskan sebab pinangan pemuda itu mereka tolak.
“Yana, mak tak
mahu Yana menjadi menantu yang dibenci oleh mak mertua. Mak Ikhwan tak suka
kepada Yana,” beritahu Mak Bedah lembut. Sekali lagi wajah anak gadisnya
disorot. Dayana kelihatan terkejut, namun tidak mengulas apa-apa.
“Kalau mak tak
tahu, tak mengapaYana. Tapi mak dah dengar segalanya dari mulut Mak Tijah sendiri,”
jelasMak Bedah lagi. Dayana tersentak mendengar cerita itu. Hatinya bagai
disayat sembilu tajam.
“Bukan main seronok
dia mengumpat Yana pada orang kampung,” cerita Mak Bedah yang makan hati
seorang diri.
“Bila mak dengar
tentang hal ini!?”soal Dayana perlahan. Perangai buruk emak Ikhwan itu memang
sudah difahaminya benar. Namun, dia tidak menyangka yang dia akan menjadi
mangsa umpatan wanita itu.
“Alhamdulillah, Yana.
Secara kebetulan sewaktu dia sedang mengumpat Yana di kedai Pak Abu tu, mak ada
di sana! Sebab itulah mak dan ayah keberatan untuk menerima lamaran Ikhwan. Walaupun
kami tahu Ikhwan seorang pemuda yang baikdan Yana pun dah lama berkawan
dengannya,” terang Mak Bedah lagi.
“Betul tu Yana. Kalau
kami terima pinangan itu, seolahnya kami sengaja menghumbankan Yana ke kancah
derita,” sampuk ayahnya pula. Pendapat yang diluahkan oleh ayahnya itu
menyebabkan perasaan Dayana semakin tersentuh. Dia faham hati emak dan ayahnya.
Inginkan kebahagiaan menemaninya sepanjang hayat.
“Insya-ALLAH, TUHAN
akan aturkan jodoh Yana dengan lelaki yang lebih baik daripada Ikhwan, yang
lebih mencintai Yana, yang seluruh keluarganya boleh menerima dan menyayangi
Yana seikhlasnya,” nasihat Pak Yusof pula.
“Tak apalah mak, ayah.
Yana tak kecewa kalau tidak berkahwin dengan Ikhwan. Cuma Yana berasa terkilan
sedikit sebab Ikhwan tak beritahu Yana yang emaknya tidak merestui perhubungan
kami,” jawab Dayana perlahan.
“Yalah,restu tak restu,
Ikhwan tu betul-betul cintakan Yana. Bak kata pepatah, lautan api pun sanggup
direnanginya,” sampuk Mak Bedah dengan nada mengusik.
“Hanya Yana tak
pernah bertanya kepada dia tentang cintanya. Kalau Yana tanya pasti dia sanggup
ambil kapak dan belah dadanya, tunjukkan cintanya yang tersorok di sebalik
tulang kerangkanya tu,” gurau Mak Bedah. Dayana terus ketawa kuat mendengar
kata-kata emaknya. Emaknya kadangkala pandai berlawak. Senang hati Mak Bedah
dan Pak Yusof melihat Dayana ketawa.
“Mak ni ada aje
ungkapan yang menggeletek hati Yana,”kata Dayana dalam tawa. Airmatanya yang
meleleh kerana ketawa yang panjang dikesatnya dengan belakang tangan.
“Mak jangan
bimbang. Yana terima segala keputusan mak dan ayah. Semuanya adalah untuk
kebaikan Yana. Hati Yana hampa tidak menjadi hal, asalkan Yana tidak melukakan
hati mak danayah. Nanti TUHAN pulak marah pada Yana.”Ungkapannya itu
menyebabkan bibir emak dan ayahnya tersenyum lebar.
“Tapi mak dan ayah
nak tahu jugak dari mulut Yana tentang perasaan Yana terhadap Ikhwan tu. Manalah
tahu, kalau Yana jugak mencintai Ikhwan dan telah berjanji sehidup semati
dengannya. Kalau Yana nak jugak, mak terimalah pinangan tu,” duga Mak Bedah
sambil tersenyum penuh makna.
“Mak tak nak Yana
merana dan frust menonggeng,”usik Mak
Bedah lagi. Sekali lagi Dayana melambakkan tawanya mendengarkan kata-kata
emaknya yang agak lucu.
“Ala.. Ikhwan tu
sekadar seorang sahabat, mak! Sahabat karib Yana. Kalau kami ada jodoh Yana takkan
menolaknya, tetapi jika kami tidak berjodoh, tidaklah pulak Yana berasa kecewa.
TUHAN lebih tahu apa yang baik untuk
Yana, kan?”jawab Dayana sambil tersenyum. Senyumannya itu sekali lagi melegakan
hati emak dan ayahnya.
“Kalau Yana dah
kata begitu, legalah perasaan kami!”sampuk ayahnya yang sudah bersedia untuk
menuruni tangga.
“Mak dan ayah nak
pergi dah ni! Yana duduk di rumah jaga diri elok-elok,”pesan Mak Bedah. Mereka
suami isteri ingin melakukan kerja-kerja di sawah.
“Insya-ALLAH, mak!
Hari ni Yana nak siapkan tempahan kerepek untuk majlis kenduri cukur jambul
cucu Haji Seman tu, mak! Katanya untuk tetamu dan bekalan ahli kumpulan
marhaban,”beritahu Dayana.
“Berapa mereka
pesan?”tanya Mak Bedah.
“500 bungkus, mak!”beritahu
Dayana gembira dengan rezekinya itu.
“Yana perlukan
pembantu tak?”tanya Mak Bedah.
“Tak apa, mak! Kalau
Yana rasa tak boleh buat sorang nanti, Yana telefon Kak Piah suruh dia datang
tolong,” jawab Dayana. Kerap juga wanita janda beranak 5 itu diupah untuk
membantunya.
SEPENINGGALAN emak dan ayahnya ke sawah, Dayana terus
mengambil kain basuhan untuk disidai. Sambil menyidai kain, fikirannya menjalar
ke sana dan ke sini. Sikap Ikhwan yang menyepikan diri beberapa hari
meresahkannya. Dia ternanti-nanti panggilan telefon daripada pemuda itu. Perasaan
Dayana terus terumbang ambing bagaikan sebuah sampan ditengah samudera.
Irama lagu dari telefon bimbitnya berbunyi nyaring sebaik
sahaja Dayana selesai menjemur helaian kain yang terakhir. Dia cepat-cepat
mengangkat baldi dan berlari masuk ke rumah untuk menjawab panggilan telefon
itu. Sebaik sahaja tangannya mencapai telefon bimbitnya, irama lagu pun
terhenti.
“Alamak!”rengus Dayana kesal lalu melihat paparan di
skrin telefon. Baru tangannya menekan dua tiga punat nombor di telefonnya, telefon
bernyanyi kembali.
“Helo,assalamualaikum,”jawabnya sambil menghela nafas
laju-laju. Suara Ikhwan yang mentertawakannya jelas ditelinganya.
“Waalaikumussalam! Yana, kenapa tercungap macam dikejar
naga ni?”soal Ikhwan cuba bergurau. Rasa kepedihan hati sedikit terubat apabila
mendengar suara gadis itu.
“Bukannya dikejar naga tapi Yana mengejar panggilan
telefon ni! Tadi Yana kat luar sana tengah jemur kain,” jelas Dayana. Nafasnya
tenang kembali. Dia terus menunggu Ikhwan meneruskan bicaranya.
“Yana...”panggil Ikhwan perlahan. Tidak kedengaran suara
gadis itu menjawab panggilannya. Yang terdengar ditelinganya hanyalahbunyi
hembusan nafas Dayana yang tenggelam timbul.
“Yana, kenapa mak dan ayah Yana tolak pinangan Ikhwan?”tanya
Ikhwan lembut. Mustahil Dayana tidak membantah langsung keputusan emak dan ayahnya.
Orang kata cinta itu buta, lautan api pun sanggup direnangi tetapi kenapa pula
kekasihnya itu hanya mendiamkan diri sewaktu pinangannya ditolak? Pelik juga memikirkan
sikap Dayana itu.
“Kalaupun mak Ikhwan bercakap sewenangnya, mengapa Yana
tak bantah langsung? Ikhwan peliklah,”ujar Ikhwan dengan nada kecewa.
“Ikhwan...Yana tak tahu nak jawab apa,”balas Dayana
dengan suara bergetar. Dia terasa hendak menangis pada saat itu. Tidak tahu
hendak melabuhkan sekepal hatinya kepada siapa. Akif atau Ikhwan. Hendak dibuka
kamar hatinya buat Akif, pemuda itu sedang digilai oleh Rosnani. Mahu
menempatkan Ikhwan di dalam daerah hatinya, emak pemuda itu pula tidak suka
kepadanya yang serba kekurangan.
“Sepatutnya Yana pertahankan cinta kita! Biarlah mak Ikhwan
tak suka kepada Yana pun! Bila kita dah bernikah, bukannya kita nak duduk
terperuk di celah ketiak dia! Kan Ikhwan nak bawa Yana ke London. Bila Ikhwan dah
tamat belajar nanti, kita kembali ke tanahair, kita pun takkan duduk dengan
emak,”jelas Ikhwan panjang lebar. Suaranya kembali tenang.
“Ikhwan...Yana tak boleh buat apa-apa,” rintih Dayana
sambil menangis. Membantah cakap emak dan ayahnya suatu perkara yang tidak
boleh diterima oleh hati dan akalnya. Masakan dia melukakan hati emak dan ayah
yang telah banyak berjasa dan berbudi kepadanya kerana cinta seorang lelaki?
“Yana tak sayang pada Ikhwan ke?”Pertanyaan Ikhwan itu
bagaikan meruntuhkan seluruh gunung kesabarannya. Esakan Dayana semakin kuat. Berdustalah
hatinya jika mengatakan yang dia tidak menyayangi pemuda itu.
“Bukan begitu..”
Di dalam sendu, Dayana seolah-olah kehilangan kata-kata.
“Habis tu?”tanya Ikhwan lagi. Suram di hatinya seolah mengaburkan
impiannya untuk memiliki gadis itu. Sedang percikan rindu dan cinta sentiasa
bertebaran di dalam jiwa.
“Ikhwan, Yana ni anak gadis. Tak manis rasanya kalau
meraung-raung, membentak-bentak,”tangis Dayana semakin ketara. Apalah lagi yang
mampu dikatakan kepada sidia yang begitu mengharapkannya. Mendengar esakan
Dayana, hati Ikhwan turut berhiba.
“Yana... dah jangan menangis! Ikhwan faham, Yana ni
memang tak pernah membantah cakap mak dan ayah, apatah lagi soal jodoh begini,”pujuk
Ikhwan pula. Tersentuh hatinya apabila mendengar sedu-sedan Dayana yang halus.
“Ikhwan faham hati Yana. Nanti Ikhwan pergi pujuk mak dan
ayah, Yana,” sambungnya lagi.
Tidak akan dibiarkan mana-mana tangan pun menghalang
percintaannya dengan gadis itu walaupun ibu kandungnya sendiri. Sudah lama
mereka menjalin kasih, menyulam sayang. Mustahil pula impian cinta dibiarkan
kecundang ditengah jalan.
“Okey...”setuju Dayana dengan bisikan perlahan.
“Kita doakan sama-sama ya, sayang!”kata Ikhwan lagi
dengan penuh harapan.
“Baik,” jawab Dayana.
Panggilan telefon daripada pemuda itu semakin melemaskan
perasaannya. Airmatanya terus berderaian mengenangkan perasaan yang semakin
terapung-apung. Tidak pasti tempat yang harus berpaut.
Langit yang menghitam terhampar luas menjadi sasaran mata Dayana yang asyik
bermenung di jendela pada malam itu. Cahaya bulan yang meredup dilitupi awan. TUHAN
yang telah menciptakan langit. DIA juga yang menjadikan bulan dan matahari. TUHAN
berkuasa kepada setiap sesuatu. Sesungguhnya fikiran Dayana buntu. Terkenang
pada perbualannya dengan Ikhwan, hatinya semakin keliru.
Walau dia belum pernah memberi cintanya, Ikhwan terlalu
dekat di hatinya. Mungkin kerana tempoh persahabatan mereka yang lama. Jika Ikhwan
terus melayaninya dengan baik, rasa cintanya pasti akan tumbuh dan menyubur
terhadap pemuda itu. Tambahan jika mereka ada jodoh dan Ikhwan menjadi teman
hidupnya. Seluruh cinta dan dirinya pasti akan menjadi milik pemuda itu.
Kini hasrat pemuda itu terhalang sedang harapannya tetap
menggebu. Dayana lemas dengan perasaannya sendiri. Dadanya semakin sesak pula
apabila mengenangkan Akif. Hatinya yang mula menyenangi pemuda itu. Tiba-tiba
pula perhubungan mereka diganggu gugat oleh gadis yang bernama Rosnani. Perhubungan
yang baru menampakkan sinarnya menjadi kelabu bagaikan langit suram yang sedang
dilanda puting beliung. Dengan tiba-tiba...
‘Ya ALLAH, tiadalah yang mudah melainkan yang ENGKAU
jadikannya mudah dan ENGKAUlah yang menjadikan kesukaran itu mudah bila ENGKAU
kehendaki,’doanya di dalam hati sambil menyeka airmata di pipi. Perasaannya
terasa sayu apabila mengenangkan peristiwa pada hari itu. Dayana meraba pipinya
yang masih ada kesan cakaran kuku gadis itu. Kesan cakaran masih meninggalkan
keruping yang halus di pipinya.
Bunyi ketukan di pintu bilik mengembalikan fikiran Dayana
ke alam nyata.
“Yana, jom makan
malam, nak,” pelawa emaknya sebaik sahaja Dayana membuka daun pintu.
“Yalah, mak. Sekejap lagi Yana turun,” jawab Dayana
sambil menyembunyikan kerungsingan yang sedang berhimpun di hati.
Ayahnya, Pak Yusof sudah menantinya di meja makan apabila
Dayana sampai di dapur.
“Cepat ayah balik
dari surau,” kata Dayana sambil mengambil pinggan dan mencedokkan nasi untuk
ayahnya.
“Ayah senak perut,”beritahu
Pak Yusof sambil merenung ke wajah anaknya itu. Wajah muram Dayana diperhatinya
agak lama.
“Ayah bertembung
dengan Ikhwan di surau tadi, dia kirim salam kepada Yana,” sambung Pak Yusof
lagi. “Yana jangan putuskan ikatan silaturrahim dengan Ikhwantu kerana
pinangannya ayah dan mak tolak. Bersahabatlah macam biasa dan jaga batasan
pergaulan tu mengikut acuan agama. Keluarganya pun tetangga kita,” nasihat Pak
Yusof apabila tidak mendengar Dayana menjawab salam Ikhwan.
“Ya ayah,Yana
faham,”jawab Dayana selamba. Selama ini pun dia memang menjaga baik
perhubungannya dengan Ikhwan. Pemuda itu pun begitu juga.
“Mungkin jodoh
Yana dengan orang lain. Mak berkenan sangat pada Akif tu. Keluarganya pun baik.
Tak berlagak,” sampuk emaknya pula dengan senyuman penuh makna. Dayana sempat
merenung ke wajah emaknya seketika. Entah mengapa, harapan emaknya itu seolah
senada dengan bisikan hatinya.
Namun, sanggupkah dia berebut kasih dengan gadis lain
sedangkan cinta Ikhwan yang sudah didalam genggaman ingin dilepaskan. Dayana
menelan nasi lambat-lambat bagaikan menelan butiran pasir yang memedihkan
tekaknya. Sehingga saat itu dia tidak bertanya khabar tentang Akif dan telah
menukar sim kad pada telefon bimbitnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan