Isnin, 15 Ogos 2016

Cinta Tak Pernah Usai -Bab 61



Pagi yang cerah. Matahari bersinar megah. Zaim menuju ke sebuah rumah yang terletak di pinggir bandar. Rumah itu yang dinamakan sebagai markas rakyat. Ada beberapa orang lain yang sedang menunggu kedatangannya di situ. Mereka semua penyokong kuat sebuah parti.
Baru sahaja dia menyertai parti itu. Sebelum ini dia menyertai parti lain. Namun sebagai ahli biasa. Parti yang baru disertai ini, dia diangkat sebagai ketua angkatan muda di kawasannya. Kembang hidungnya apabila mendapat jawatan itu. Gaya berjalannya pun sudah berubah. Kalau dulu dia berjalan lambat-lambat dan perlahan dengan menundukkan wajah, menunjukkan kewarakannya kerana sesuai dengan parti yang didukungi, kini jalannya sudah mengepak. Kepala pun terdongak-dongak. Di markas rakyat, mereka menjalankan tugas rahsia sebagai blogger. Di sana ada peralatan ICT dan internetnya.
Bro, apa bahan yang kita ada hari ni?”tanya Mat Pian kepada Zaim yang bijak mencari bahan untuk perjuangan parti mereka.
“Mestilah ada. Semalam aku pergi betulkan komputer di pejabat MB,” cerita Zaim sambil tersengih.
Nasib baiklah dia berbakat di dalam bidang pengkomputeran ini. Sambil menyelam minum air. Itulah istilah yang dipegangnya. Dia mengambil kesempatan untuk membaca segala surat-surat yang ada tersimpan di dalam komputer yang dibaikinya.
Zaim berasa megah dengan apa yang diperolehinya. Budi dan jasanya terhadap parti begitu besar. Itulah yang bermain dimindanya kebelakangan ini. Blog mereka pun sudah dilawati oleh beratus ribu orang.
“Nanti aku muat turun dari e-mel.Lepas tu kau orang buatlah apa yang patut. Janji parti kita dapat menangi hati rakyat. Biar mereka rasa tertipu dengan parti pemerintah yang ada sekarang. Pada pilihan raya yang akan datang confirm kita menang,” sambung Zaim lagi dengan semangat yang berkobar.
“Tak apa, kalau bab putar belitkan fakta, biar aku yang kerjakan. Asalkan ada bahannya yang utama, aku akan ikhtiarkan untuk mencari bukti mengukuhkan lagi dakwaan yang kita buat tu,”sampuk Ali Toncit sambil tersengih menunjukkan giginya yang kuning dan berkarat.
“Aku muat turun sekaranglah. Lepas tu aku nak blah! Aku ada janji dengan bini aku! Nanti bising!”kata Zaim lalu masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke komputer yang sedang beroperasi.
Lima minit sahaja masa yang diambilnya. Semua surat-surat yang dicuri dari komputer di pejabat MB telah dipindahkan dari kotak e-melnya ke fail lain dalam CPU.
“Okey! Semua dah beres! Sekarang giliran kau orang pulak!”kata Zaim lalu bangun dari kerusi. Dia berjalan cepat-cepat menuju ke kereta yang diparkirkan di hadapan markas. Tanpa membuang masa Zaim terus menghenyakkan tubuhnya di tempat pemandu. Beberapa kali dia memutar kunci untuk menghidupkan enjin kereta Wiranya, namun enjin keretanya tidak boleh hidup.
‘Patutlah tadi jalan tersangkut-sangkut!’rungut Zaim lalu keluar dari kereta dengan perasaan sebal. Mujur Ali Toncit dan Mat Pian ada nombor telefon bengkel membaiki kereta yang berdekatan.
 
“Nombor telefon bengkel kereta orang Melayu tak ada ke?”soal Zaim dengan nada bergurau. Walau bagaimanapun, dia menghubungi juga Ah Kow dan menceritakan permasalahannya. Ah Kow berjanji akan menghantar sebuah kren untuk menarik kereta Zaim ke bengkel.
“Alah! Aku tengah pokai ni, macam-macam hal pulak yang datang,” rungutnya. Tambah memeningkan kepalanya apabila pekerja Ah Kow yang datang bersama pemandu kren mengganggarkan RM1500 sebagai kos pembaikan. Zaim bercekak pinggang dengan perasaan jengkel. Dia berasa susah hati. Malam ini dia sudah berjanji dengan isteri untuk makan malam diluar bersama anak-anak. Duit yang ada di dalam dompetnya hanya RM50. Duit itu pun duit syarikat punya.
Zaim menggaru-garu kepala dengan kening yang berkerut. Ali Toncit dan Mat Pian pun haprak sepertinya juga. Mustahil mereka ada duit sebanyak itu. Terlintas pula bayangan Dayana di matanya. Ulas bibir Zaim melebar. Dia pun mengirimkan mesej pesanan ringkas kepada Dayana. Meskipun sebelum ini dia berusaha menjauhkan dirinya daripada wanita itu. Tidak sampai berapa saat, Dayana membalas mesej pesanan ringkasnya.
Nanti Yana pinjamkan duit yang Zaim perlukan itu.
‘Perempuan ini betul-betul bodoh!’kata Zaim di dalam hati. Bibirnya tersenyum lebar sewaktu membaca SMS daripada Dayana.

MENAHAN rasa marah dan geram kepada lelaki durjana itu, Dayana tidak mahu terburu-buru. Jika dia terburu-buru segala rancangan yang sedang berlegar di kepalanya akan hancur. Dia ingin mendapatkan keadilan, tetapi dia tidak mempunyai bukti. Zaim pula bersikap seperti lembu kenyang. Tidak ada satu suku kata pun yang keluar dari bibirnya tentang peristiwa pahit yang telah berlaku. Apatah lagi memohon maaf. Yalah, namanya pun lelaki durjana pasti karakternya pun sesuai dengan kedurjanaannya itu. Mustahil pula lelaki durjana itu berkarakter budiman. Memohon kemaafan kepada orang yang telah dilakukan kesalahan.
‘Bahkan aku ini isteri orang dan suamiku pula sedang sakit! Jika tidak...’desis hati Dayana. Jika tidak dia tidak gentar untuk membuat laporan kepada pihak polis. Justeru, Dayana bersetuju untuk membantu Zaim. Mungkin dengan cara itu, dia dapat meredakan rasa marahnya seketika. Bukankah dulu Akif selalu menasihatinya. Taburlah kebaikan kepada orang yang melakukan kejahatan atau keburukan kepada kita. ALLAH itu Maha Adil dan menyaksikan segala perbuatan hamba-NYA.
Keesokan harinya, not RM50 sebanyak enam keping bertukar tangan. Zaim tersengih-sengih bagai kerang busuk sewaktu menyambut duit yang dihulurkan oleh Dayana.
‘Kenapalah kau bodoh sangat?’ tanyanya dalam hati. Dayana tidak sedikit pun bertanya tentang amaun kos pembaikan kereta yang dinyatakannya dalam SMS. RM3000. Dayana pun tidak meminta dia menandatangani apa-apa perjanjian atau mengeluarkan resit sewaktu menerima wang tersebut.
“Kereta saya rosak teruk,” beritahunya ringkas.
Setelah itu dia terus keluar dari kereta Dayana tanpa mengucapkan terima kasih atas bantuan itu. Memanglah dia lelaki yang tidak berbudi. Dayana menahan nafas. Kecewa dan marah bercampur baur. Telatah Zaim yang selamba seolah tidak pernah melakukan kelakuan buruk terhadapnya. Sebentar tadi Zaim tertunduk-tunduk dan berlagak seperti lelaki yang suci sedangkan pada pertemuan mereka sebelum ini Zaim berperangai syaitan.
  Ingatan Dayana terhadap Zaim berlarutan sehingga ke rumah. Ketenangan hatinya sekali lagi terganggu. Puas dia memikirkan cara untuk membuat Zaim bercerita tentang peristiwa hitam itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengutus sepucuk e-mel kepada lelaki itu. Dia inginkan satu ayat sahaja daripada Zaim yang dapat menyabitkannya dengan perbuatan terkutuk yang telah dilakukannya.
Puas Dayana memikirkan cara yang mesti dikarang untuk tatapan lelaki durjana itu. Kata-kata yang dititipkan di dalam e-melnya itu mesti kata-kata yang dapat membuka hati Zaim untuk membalas e-melnya kembali. Sekurang-kurangnya balasan e-melZaim ada menyebutkan tentang sejarah hitam yang telah diukirnya.
Berhari-hari Dayana memerah fikiran, akhirnya dia mendapat ilham bagaimana untuk menyusun kata-kata pada e-mel yang akan dihantarnya kepada Zaim.

SEGALANYA sudah ditakdirkan. Zaim membaca tajuk pada peti surat e-melnya. Bibirnya tersenyum apabila melihat nama pengirimnya. ‘Perempuan bodoh,’itulah gelarannya untuk Dayana.

Assalamualakum Zaim,
Terima kasih  atas kesudian Zaim membaca kata-kata yang tercoret pada e-mel ini. Bacalah sehingga ke noktahnya. Sekadar perkongsian mungkin kita sama-sama dapat bermuhasabah.
Kehidupan di dunia, banyak manusia dan beraneka ragamnya. Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. ( Surah al-Haiqal).
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada ALLAH lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan ALLAH, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari TUHAN mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.
Zaim, mungkin Zaim telah lakukan kesalahan yang paling besar pada Yana kerana kesilapan Yana sendiri. Selepas hari itu, Yana menanggung derita hati yang maha dahsyat. Bukankah Zaim sudah tahu yang Yana ini isteri orang dan sedang menjaga suami yang sedang sakit?  Yana boleh terima segalanya sebagai takdir buruk untuk Yana.Namun begitu,ianya mungkin menjadi amal ibadah kepada Yana sekiranya Yana menjaga suami dengan ikhlas hati.
Sungguhpun begitu, Yana tidak boleh menerima lakaran kisah yang Zaim telah palitkan dalam sejarah hidup Yana. Kenapa Zaim tergamak  melakukan perbuatan terkutuk itu kepada Yana? Apa salah dan dosa Yana kepada Zaim? Mengapa pula hati Zaim yang berasa bernanah jika Yana tidak menerima hak yang harus diterima oleh seorang isteri? Mengapa pula Zaim yang hendak mengambil tanggungjawab suami Yana yang sudah tidak berdaya lagi? Mengapa?
 Kita baru berkenalan tidak sampai 4 bulan. Yana kesal...Yana harap selepas ini Zaim janganlah ulangi lagi perbuatan buruk ini kepada mana-mana wanita lain lagi. Biarlah Yana menjadi mangsa terakhir. Zaim, bertaubatlah.. Sebelum sakratul maut tiba di halkum...

Zaim terpegun di hadapan komputernya seketika. Senyuman sinis terlukis di bibirnya.‘Yana...Yana, siapa kau nak sekolahkan aku?Aku Zaimlah! Tak ada orang berani mengapakan aku,’bisiknya sendiri sambil menepuk dada dengan bongkak. Bagaimanapun e-mel daripada wanita itu tetap dibalasnya.
‘Yana, lupakanlah semua perkara yang telah berlaku. Jika terus diingati ia akan menjadi seperti duri di dalam daging. Jaga diri.
Dayana mengetap bibir menahan perasaan marah terhadap lelaki itu sebaik sahaja membaca balasan e-melnya. Walau bagaimanapun dia berpuashati. Pertama, Zaim ada membalas e-melnya. Membuktikan yang mereka saling mengenali.
Kedua, Zaim menyuruhnya melupakan perkara yang telah berlaku. Persoalan yang boleh dibangkitkan nanti ialah, apakah perkara yang telah berlaku di antara mereka sehingga ia akan menjadi seperti duri di dalam daging? Hanya dia dan Zaim sahaja yang dapat menjawabnya. Dayana terus menggenggam tangannya seolah-olah sedang mengepal kekuatannya untuk hari depan. Nama Zaim terukir di hatinya. Bukan untuk dicintai tetapi untuk diheret ke muka pengadilan!
‘Nantilah kau!’bisik Dayana sambil mengacip giginya kuat-kuat.

Tiada ulasan: