WONG PEK CHAKmenjadi orang yang paling gembira pagi itu. Nur Aiman
baru sahaja menelefonnya dari Beijing. Wong Pek Chak bagaikan tidak percaya
dengan berita yang didengarnya. Ucapan terima kasih dibisikkannya kepada TUHAN
di dalam hati. Betullah kata kawannya, kalau meminta kepada TUHAN, pasti TUHAN
akan beri. Permintaannya kepada
TUHAN, supaya dikurniakan cucu buat menggantikan Haiqal yang telah meninggal
dunia. Kerinduannya untuk bermain
dengan kanak-kanak tidak tertahan lagi.Tambahan pula melihat anaknya, Nur
Aiman@Wong Szeze menyembunyikan kesedihan setelah kematian anaksulungnya,
semakin kerap dia berdoa.
‘Terima kasih, Ya ALLAH.’Spontan bibirnya mengucapkan
kata-kata itu. Wong Pek Chak mencubit bibirnya yang telah melakukan kesilapan
besar, menyalahi agama nenek moyang.
Wong Pek Chak menjeling di hujung ruang tamu. Dulu, di
situ ada sebuah tokong yang besar. Setiap minggu dia meletakkan buah epal, limau
dan kuih manis. Sekarang tokong itu sudah tiada lagi. Janjinya dengan isteri
tokong akan dibuat baru, yang lebih cantik dan besar. Sehingga saat itu, tidak
ada gerak di hatinya untuk mengupah orang membina tokong yang baru.
“Anak lu mengandung.Baru sat dia telefon,”beritahu Wong
Pek Chak kepada isterinya yang baru tiba di sisinya.
“Mengandung anak siapa?”soal Chan Sze Hong. Perasaannya
berdebar dibuai rasa gembira.
“Anak Akiflah!”jawab Wong Pek Chak. Matanya merenung ke
wajah Chan Sze Hong yang mengerdip-ngedipkan matanya.
“Betul ke?”soal Chan Sze Hong seolah tidak percaya. Jika
Nur Aiman mengandung, tidak lama lagi mereka akan menjadi datuk dan nenek lagi.
“Lu telefonlah, dia. Tanya dengan Aiman sendiri. Aku
hendak keluar pergi jumpa kawan di kebun,”beritahu Wong Pek Chak. Dia ingin
membeli sedikit makanan dan membawanya ke kebun berhampiran dengan kebun pisang
Pak Shukri.
“Aku hendak sembahyang,” beritahu pula Chan Sze Hong. Dia
menjeling tapak bekas tokong, setelah itu mengeluh dengan kuat. “Cepatlah
panggil orang bikin tempat sembahyang,” suruhnya. Sudah berulang kali dia menyuruh
suaminya mengupah orang untuk membina tokong mereka semula.
“Alah! Tak payah bikin lagi! Mahu sembahyang, di
mana-mana pun boleh sembahyang. Mengapa hendak susah-susah. Lu tengok menantu
dan anak kita, di mana-mana pun mereka boleh sembahyang,” kata Wong Pek Chak. Hatinya
seolah tertutup untuk membina tokong yang baru setelah membaca kisah Nabi
Ibrahim di dalam kitab tafsiran al-Quran yang ditinggalkan oleh Nur Aiman.
Cerita di dalam al-Quran itu memang ada kemunasabahannya.
Mustahil sebuah patung yang dipahat dan diukir oleh manusia mempunyai kuasa
yang paling tertinggi untuk mentadbir alam ini. Justeru itu, dia semakin tidak
jemu membaca kitab tafsir al-Quran itu. Kitab al-Quran itu begitu menarik
hatinya. Dalam diam-diam dia sudah mengikuti kelas pengajian agama Islam di
Pejabat Agama.
KUIH apam balik, karipap, pulut udang menjadi pilihan hati
Wong Pek Chak sewaktu singgah di sebuah gerai menjual kuih-muih di tepi jalan. Teh
tarik dan kopi O panas dibeli di kedai mamak berhampiran Pekan Parit Buntar.
Sampai sahaja di kebun getahnya, Wong Pek Chak terus
mencari Pak Shukri. Dari jauh lagi dia mendengar ranting-ranting kecil sedang
dicantas. Bibir lelaki Cina itu tersenyum. Tiba sahaja di pangkin kecil tempat
mereka selalu berjumpa, Wong Pek Chak meletakkan segala bekalannya.
“Shukli! Mali! Minum!”jeritnya dengan nada gembira. Lidah
Wong Pek Chak pun sudah tidak mampu lagi menyebut, menterjemahkan huruf ‘R’ kerana
terlalu gembira. Pak Cik Shukri yang mendengar laungan itu segera menghampiri.
“Hai,banyak yang tauke beli ni!”tegur Pak Shukri sambil
mengambil pulut udang.
“Hati saya sedang gembira! TUHAN ALLAH, telah beri apa yang saya
mintak,” cerita Wong Pek Chak seolah-olah tidak sabar. Pak Shukri memberi
isyarat mata, meminta Wong Pek Chak meneruskan ceritanya.
“Anak perempuan saya dah mengandung,”beritahu Wong Pek
Chak sambil mengambil plastik air minuman.
“Ini air,”kata Wong Pek Chak sambil menghulurkan plastik
berisi air kopi. Tidak sempat jari Pak Shukri mencangkuk tali pengikat, plastik
berisi kopi terlepas dari tangan Wong Pek Chak lalu jatuh ke tanah.
“Haiyaa! Nasib tak ada baik,” kata Wong Pek Chak dengan
suara kesal. Hampa perasaannya.
“Bukan nasib tak baik, tetapi tak ada rezeki,”sampuk Pak Shukri.
“TUHAN akan gantikan dengan rezeki yang lain,” sambungnya
lagi.
“Tak apa, wa suruh kuli
pergi beli yang lain,”kata Wong Pek Chak pula.
“Tak payah, tauke! Macam inilah, kita pun dah lama
berkawan. Tapi tauke belum pernah pergi ke rumah saya. Disebabkan saya pun rasa
gembira kerana tauke akan timang cucu, jom makan di rumah saya,” pelawa Pak Shukri.“Tauke
panggil kuli semua, jom pergi ke rumah saya! Tadi orang rumah saya ada buat
pulut durian,” ceritanya dengan ramah.
“Pulut dengan durian? Wah,saya suka!Tapi kuli saya ada enam
orang! Boleh ajak semua sekali ke, kawan?” soal Wong Pek Chak.“Durian ada cukup
ke?” bisiknya pula sambil ketawa.
“Boleh, cukup, insya-ALLAH,” jawab Pak Shukri.
Matanya merenung Wong Pek Chak dengan mesra. Sepuluh
minit berjalan di lorong denai yang tersedia, mereka pun sampai di rumah Pak
Shukri. Wong Pek Chak dipersilakan duduk di ruang tamu sementara Mak Esah
menyediakan hidangan.
Sambil menunggu di ruang tamu, Wong Pek Chak mengambil
peluang untuk memerhati sekitar ruang itu. Matanya terpaku pada sebuah bingkai
gambar. Seorang pemuda yang bergambar dengan segulung ijazah ditangannya. Wajah
pemuda itu sangat dikenalinya. Jantung Wong Pek Chak berdetak laju. Nafasnya
tertahan-tahan.
“Dalam gambar tu anak sulung saya! Gambar lama, selepas
majlis konvokesyen,” beritahu Pak Shukri yang tiba-tiba muncul membawa pinggan
berisi durian.
“Anak?”soal Wong Pek Chak. Pak Shukri mengangguk. Hati
Wong Pek Chak mula dihujam tandatanya.
“Sekarang dia kat mana?”soal Wong Pek Chak lagi. Gambar
itu terus diamati. ‘Memang gambar Akif ni,’ bisik hatinya mulai sebak.
“Dia...”Pak Shukri rasa serba salah untuk memberitahu,
bimbang lelaki Cina itu tidak mempercayainya. “Anak lu nama Akif, kan? Dia
duduk di Beijing, sudah berkahwin dengan anak Cina, betul ke?”teka Wong Pek
Chak kerana tidak sabar menunggu jawapan daripada Pak Shukri. Hanya anggukan Pak
Shukri yang menjadi jawapan. Fikirannya pula dilanda tandatanya.
“Macam mana tauke tahu? Dia kahwin dengan saudara tauke
ke?”soal Pak Shukri.
“Akif... dia menantu, wa!”jawab Wong Pek Chak dengan
suara kuat, terus terduduk
di atas sofa.
Kuasa TUHAN memang hebat. Segalanya diatur dengan baik. Wong
Pek Chak terasa ingin bersujud di atas lantai untuk menyatakan terima kasihnya
kepada ALLAH.
Nur Aiman ketawa di hujung talian mendengar cerita
daripada suaminya. Akif yang tidak sabar-sabar untuk menyampaikan berita yang
menggembirakan itu kepada isterinya.
“Lepas ayah, papa pulak yang telefon kepada abang, ceritakan
hal yang sama. Hee...hee,” cerita Akif dengan gembira.
“Rupa-rupanya mereka dah lama berkenalan. Abang tak tahu
pulak yang papa ada beli tanah bersempadan dengan tanah abang di kampung,”beritahu
Akif.
“Nasib baik ayah tak termakan pujukan papa supaya menjual
tanah dusun abang kepadanya.”Ketawa Akif sambung menyambung. Nur Aiman turut
ketawa.
“Alhamdulillah, bang. Syukurlah. Mungkin ini rezeki yang
dibawa oleh anak kita,” kata Nur Aiman. Dia mengusap-ngusap perutnya yang mula
membesar.
“Ya, Aiman. Segalanya ALLAH telah rancang dan aturkan,” jawab
Akif dengan tenang. Perjalanan hidupnya kini berjalan dengan lancar meskipun
merantau di negara orang.
“Abang... abang agak emak abang dah boleh terima Aiman?”soal
Nur Aiman secara tiba-tiba. Akif terkesima dengan pertanyaan itu. Dia
menyembunyikan keluhan. Hati emaknya memang keras.
“Aiman, kita terus berusaha dan berdoa, ya. Selepas itu
kita bertawakal sahajalah kepada ALLAH. Mudah-mudahan satu hari nanti, ALLAH
akan membuka pintu hati mak,” nasihat Akif dengan nada membujuk.
“Baik, bang.Aiman faham. Pukul berapa abang nak balik ni?
Aiman belum masak lagi,” beritahu Nur Aiman dengan suara manja. Sekali lagi
Akif melambakkan tawanya.
“Hai, suami Aiman bukan ke tauke restoran? Tak payah
masak hari ni. Biar abang bawa balik apa yang ada di restoran aje,” kata Akif.
“Okey,” jawab Nur Aiman. Senyuman terus berbunga
dibibirnya. Kebahagiaan kian menyelubunginya apabila mendengar Akif ketawa
riang. Rasa cintanya kepada Akif semakin melebat.
@@@@@@
Jam dilengannya sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Zaim
tergesa-gesa keluar dari kedai tempatnya mencari rezeki menuju ke kereta. Pintu
kereta Wira putih itu dibukanya dengan deras lantas punggungnya dihenyakkan ke
tempat duduk pemandu. Tidak lama kemudian, kedengaran deruman ekzosnya yang
mengaum memberi isyarat yang kereta Zaim sedang meninggalkan kawasan parkir itu.
Zaim, seorang lelaki bertubuh kecil berusia lewat 30-an. Berwajah
bulat dan berkening hitam serta lebat. Bulu matanya lentik dan memiliki
sepasang mata yang jernih. Hidungnya mancung dan ulas bibirnya nipis. Dia boleh
dikategorikan sebagai seorang lelaki yang kacak. Orangnya nampak pendiam dan
susah untuk didampingi.
Zaim terus memecut keretanya dengan laju menuju ke tempat
isterinya bekerja. Hari ini pula, isterinya itu ingin bermanja-manja, minta dihantarkan
ke tempat kerja sedangkan masing-masing mempunyai kenderaan sendiri. Jika
perginya dihantar, mahu tak mahu baliknya mestilah dijemput juga.
Dari jauh lagi Alina dapat mendengar bunyi kereta
suaminya. Bibirnya tersenyum lebar sambil memerhatikan jam tangan di lengan. Zaim
memang seorang suami yang mendengar kata. Tepat 5.15 petang kereta Wira
suaminya itu sudah berada dihadapannya.
Alina membuka pintu dan duduk di sebelah pemandu. Tanpa
berkata sesuatu pun kepada Zaim yang datang menjemputnya, Alina terus
menyandarkan tubuhnya pada kerusi untuk meredakan keletihannya. Dia bekerja
sebagai seorang kerani di kilang itu. Lama juga dia bekerja di situ. Sejak mula
berkahwin dengan Zaim dan kini usia perkahwinan mereka sudah menjangkau empat
tahun serta memiliki sepasang cahaya mata.
“Insurans dan roadtax
kereta saya, abang dah uruskan?”tanya isterinya. Setelah hampir separuh
perjalanan mereka barulah Alina bersuara. Matanya mengerling Zaim yang sedang
memandu. Zaim mengerling kepada isterinya kembali dan menjawab lambat-lambat.
“Esoklah! Hari ini abang tak sempat! Lagipun, lagi dua
hari baru tamat cukai jalan tu,”jawab Zaim hambar.
Sebenarnya, fikirannya sedang ligat memikirkan sumber
wang bagi membiayai insuran dan cukai jalan itu. Sekurang-kurangnya RM600 mesti
ada di dalam tangan. Sedangkan pada ketika itu poketnya sedang kosong. Wang
simpanan pun tidak pernah ada. Teringat pula hutangnya pada Dayana. Zaim
tersenyum. Sehingga hari itu, Dayana tidak pernah menuntut pun. ‘Maklumlah, aku
ada menyimpan rahsia besarnya. Bodoh betul,’bisik hati Zaim. Sekali lagi dia
memperlekehkan Dayana.
Alina mengerling Zaim dengan ekor mata. Suaminya itu
sedang asyik dengan pemanduannya. Sekuntum senyuman hambar terukir di bibir Alina.
Alangkah bertuah dan beruntungnya dia kerana bersuamikan Zaim. Sudahlah
berwajah tampan, perhatian yang diberikan oleh Zaim kepada dia dan anak-anak
tidak berbelah bahagi. Zaim sentiasa tunduk kepada kehendaknya. Jika dilarang
keluar rumah pada waktu malam, Zaim akan akur. Jika disuruh bercuti kerana
menjaga anak bongsu mereka sekiranya tiada pengasuh, Zaim tidak pernah bantah.
“Hari Ahad nanti abang ingat nak bawa anak-anak pergi
berkelah,”beritahu Zaim. Tiba-tiba dia bersuara memecah keheningan.Alina
menoleh kepada Zaim seketika setelah itu kembali memandang ke hadapan.
“Hari Ahad minggu ni, saya ada kerja,”jawab Alina agak
marah.Tiba-tiba sahaja Zaim membuat rancangan tanpa berbincang dengannya
terlebih dahulu.
“Kerja? Hmm...kalau begitu kita pergi minggu depan
sajalah. Nasib baik abang belum ceritakan kepada along dan adik! Jika tidak
merajuklah mereka nanti,”ujar Zaim. Nada suaranya naik turun.
“Tengoklah macam mana nanti,”jawab Alina dengan suara
yang acuh tak acuh. Di dalam fikirannya kini sedang sarat dengan berbagai
masalah keluarga serta adik-adik yang masih ramai dan bersekolah. Mustahillah
dalam waktu begitu tergamak pula dirinya bergembira dan berseronok.
“Yalah,abang ikut aje apa kata sayang,” jawab Zaim dengan
nada lembut sambil memberhentikan keretanya di bawah pokok mempelam di hadapan
rumah. Alina turun dari kereta tanpa mengucapkan sepatah kata pun kepada Zaim.
Zaim mengekori pergerakan tubuh isterinya itu dengan
pandangan mata. Sebenarnya dia pun kadangkala terasa bosan dengan sikap Alina
yang begitu ego dan cemburu. Jika tidak kerana anak mereka yang dua orang itu,
tidak rela dirinya meneruskan ikatan perkahwinannya dengan Alina. Namun, untuk
meredakan kebosanannya itu Zaim mempunyai caranya yang tersendiri.
Apa penawar yang paling mujarab dapat mengubat
kebosanannya? Perempuanlah. Sekali jari dipetik, ramai wanita-wanita datang dan
berlutut kepadanya. Mereka akan tertawan dengan kata-kata manisnya. Bukan hari
ini saja tetapi sejak dari dulu lagi. Auranya yang memikat menyebabkan ramai
gadis terpesona, tidak mengira umur atau bangsa mereka.
Zaim terus terkenangkan salah seorang teman wanitanya. Wong
Szeze. Gadis Cina yang memukau mata. Anak orang kaya pemilik ladang kelapa
sawit di Parit Buntar itu pernah menjalin cinta dengannya. Perkenalannya dengan gadis itu, sewaktu Wong Szeze datang ke
kedai menjual kereta menemani sahabatnya. Pada waktu itu dia bekerja sebagai jurujual kereta
di Prai. Umurnya pada waktu itu hampir 26 tahun. Masih bujang.
Gara-gara terpesona dengan ucapan bibirnya, mereka
bersahabat. Gadis Cina itu terlalu berminat untuk mendalami agama Islam. Sementara
jerat hendak mengena, terpaksalah dia berpura-pura warak. Menghafal terjemahan al-Quran
beberapa baris lalu digunakan untuk memperdaya Wong Szeze.
Bunting saja gadis Cina itu, dia pun menjauhkan diri. Mungkin
istilah yang paling sesuai, melarikan diri. Tambahan pula anak Cina itu
menunjukkan laporan DNA kepadanya. Bayi yang dikandung memang anaknya. Pada
waktu itu Wong Szeze sudah mengandung lima bulan.
‘Wow! Ramailah bini aku, jika semua perempuan yang telah
kutiduri dan mengandung aku kutip buat isteri, ceh!’hatinya berbicara sendiri.
‘Perempuan-perempuan itu yang bodoh! Mudah percaya pada tutur kata dan
pujukanku,’bisik hatinya dengan rasa bangga.
‘Tapi dengan Yana ni aku dah tertewas.Tak apa, kelmarin aku gagal,
esok-esok pasti aku akan berjaya. Sejauhmana seorang wanita muda sepertinya
dapat menahan kehausan dan membiarkan dirinya kegersangan selamanya.’Zaim terus
berbicara sendiri. ‘Suaminya pun dah lama sakit. Agak-agaknya dia dah lama
tidak menerima hak-haknya sebagai seorang isteri.’Hati Zaim terus meracau.
“Abang, naik solat! Waktu asar dah lama masuk ni!”panggil
Alina kuat.
Lamunan Zaim terhenti apabila terdengar laungan Alina
dari jendela. Zaim yang masih di dalam kereta cepat-cepat keluar dari kereta
dan memasuki rumah. Kalau tidak kerana takutkan leteran Alina, dia lebih selesa
duduk dikerusi batu di bawah pokok mempelam sambil membaca akhbar tabloid parti
politik yang menjadi sanjungannya.
“Sayang ni bimbang sangat kalau abang tak sembahyang. Sembahyang
tu, bukan ke tiang agama?Takkanlah abang nak abaikannya, seolah meruntuhkan agama
pulak,” komen Zaim
perlahan.
“Alah! Saya cuma mengingatkan aje,” beritahu Alina. Bab
hukum-hakam ugama, Zaim memang arif sangat. “Terima kasih. Bertuahnya abang
kerana dapat isteri macam sayang ni,”puji Zaim.
“Mudahan kita bersama ke jannah.” Matanya merenung ke
wajah Alina yang kembang kempis hidungnya kerana dipuji sedikit.
“Hmm, abang pergi solat dulu! Solat asar ni kalau
ditangguh-tangguhkan, segala amalan pada hari itu tidak diterima TUHAN,” sambung Zaim lagi.
“Tau tak apa,” pintas Alina. Dia tersenyum melihat Zaim
terus memasuki bilik air sebaik sahaja masuk ke dalam rumah. Beberapa minit
kemudian Zaim keluar dan mengambil sejadah. Sekali lagi Alina tersenyum. Dia berasa bertuah
kerana bersuamikan Zaim. Zaim, warak. Alim.
Baru sahaja Zaim membentang sejadah, telefon bimbit yang
diletak atas katil berbunyi. Pantas tangannya menyambar dan menjawab panggilan
itu.
“Hai,bro!”katanya
sebaik mendengar suara Ali Toncit.
“Pukul berapa nak datang markas?”tanya Ali Toncit dengan
suara kuat.
“Eh,aku di rumahlah! Dengan anak bini. Ni, aku baru nak
sembahyang,” beritahu Zaim dengan suara bisikan. Bimbang percakapannya
didengari Alina.
“Sembahyang?Amboi! Dah jadi alim pulak!”sindir Ali Toncit
sambil ketawa. Kenyataan Zaim itu begitu menggeletek hatinya. Zaim, perangai
jahatnya mengalahkan syaitan.
“Aaah! Alim kucing. Kalau tak sembahyang, bisinglah bini
aku. Berleter! Kenalah aku buat jugak,”jawab Zaim sambil ketawa. Air wuduk di tubuh
pun sudah mengering.
“Aku takut kalau bini aku berleter dan mengamuk.Aku
buatlah apa yang dia suruh,”tambah Zaim. Kata-katanya itu disambut oleh Ali
Toncit dengan hilaian besar.
“Kalau begitu kau sembahyang kerana binilah, bukan kerana
ALLAH. Aku rasa maksiat kau yang bertimbun tak mampu nak ditutup dengan pahala
solat kau ni!”sindir Ali Toncit sambil ketawa. Perangai buas Zaim memang sudah
difahaminya benar. “Tak sangka pulak kau ni takut bini,”koyok Ali Toncit lagi.
“Kau ni Ali, dapat peluang bedal aku, kau terus bedal cukup-cukup
ye! Aku Islam macam kau jugak,”sambung Zaim dengan penuh makna.
“Cepatlah datang! Malam ini kita tidur di markas! Aku ada
bawak tiga perempuan! Muda-muda! Tergedik-gedik budak-budak tu aku tengok! Sambil
tu boleh siapkan agenda yang bos suruh tu! Kita kena buat lagi beberapa blog
supaya matlamat kita tercapai,” beritahu Ali Toncit.
“Yalah, pukul 8.30 nanti aku sampai. Suruh aje
perempuan-perempuan tu bersedia,” ujar Zaim dengan hati yang berdebar dan
perasaan tidak sabar.Airliurnya terkecur.‘Hidup nekad, mati muda,’ itulah
prinsip hidupnya.
Di dalam kehidupan yang singkat ini haruslah berani melakukan
apa sahaja. Tidak kira perkara apa pun. Mana tahu, jika ditakdirkan mati
sewaktu umur masih muda. Tentulah rugi kerana tidak berseronok-seronok. Usia
yang ada jangan dipersia. Isikanlah dengan segala kenikmatan dan keseronokan
yang boleh diperolehi dalam dunia ini. Esok-esok, bila dah mati belum tentu
masuk syurga dan merasai nikmatnya.
Jika ke neraka sudah tentulah, azab yang memedihkan saja yang
dirasa. Justeru, untuk apa melepaskan peluang yang ada di depan mata sewaktu hidup
di dunia fana. Nafsu syahwat kurniaan ALLAH kepada setiap makluk-Nya hendaklah
digunakan semahunya, tanda kesyukuran di atas pemberian nikmat itu. Kata-kata
itulah yang selalu berlegar dan bertapak di dalam fikiran, hati dan jiwa Zaim. Dia
bertuhankan nafsu serakah yang tidak pernah mengalah.
“Okey,waktu solat tu, doakan aku masuk syurga,” kata Ali
Toncit sambil ketawa besar lalu menamatkan perbualan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan