Isnin, 15 Ogos 2016

Cinta Tak Pernah Usai- Bab 63



LANGIT kelihatan membiru. Kenderaan yang sedang melalui lebuh raya utara selatan pun bergerak dengan lancar. Dayana meneruskan pemanduan. Dia dan Azmir dalam perjalanan pulang dari Parit Buntar ke Ipoh. Azmir sudah dua bulan keluar dari wad hospital. Pada waktu itu jam menunjukkan angka 1.15 petang. Dayana terus menekan pedal minyak dan menambahkan kelajuan kereta yang dipandu. Hatinya mengenangkan solat zuhur yang akan masuk tidak lama lagi.
Sambil memandu ingatannya menjalar ke sana dan sini. Perasaannya menjadi hiba. Ketenangan hatinya berkocak diusik kenangan. Fikirannya terus berputar mengenangkan segala peristiwa yang telah mendatangi hidupnya. Apakah segalanya telah tersurat di dalam perencanaan ALLAH. Benar, setiap perkara yang baik sudah ketentuan TUHAN. Hati kecilnya membisikkan.
Namun, bukankah setiap perbuatan jahat itu hasil dari tangan manusia itu sendiri? Soal akalnya pula.‘Ya ALLAH, ampunkan dosaku, jika segala keburukan yang telah terjadi kepada diriku adalah kerana kekhilafanku sendiri,’rintih hatinya.‘Tetapi aku tidak pernah ingin melakukan keburukan. Aku serahkan diriku bulat-bulat kepada-MU. Aku ingin persembahkan diri kepada-MU dengan keadaan diri yang suci dan bersih, Ya ALLAH.’Hati Dayana terus berkata-kata.
Sejarah hitam yang diukir oleh Zaim dalam kanvas kehidupannya tertayang di mata. ‘Mungkin ALLAH inginkan kebaikan kepadaku, lalu menimpakan dugaan sebegitu buatku,’pujuk hati kecilnya pula.‘Justeru aku harus mendekatkan diri kepada-NYA,’hatinya terus berbisik sendiri.
Di hadapannya ada sebuah lori kontena yang bergerak agak perlahan. Dayana terus memberi lampu isyarat kanan dan menukar laluannya ke sebelah kanan dan memotong lori kontena itu.
“Hai, Yana lain macam pulak bawa kereta hari ini! Jangan laju sangat,” tegur Azmir sambil merenung meter. Jarum pada meter menunjukkan angka 90/km. Dayana menjeling Azmir yang terus berleter. Fokusnya terhadap pemanduan terganggu apabila ditegur begitu. Sudahlah tasik hatinya sedang dipukul badai. Kelajuan 90/km sejam di laluan lebuh raya bukanlah luarbiasa.
“90km saja bang! Laju apa? Kan di lebuh raya ni! Bawa lambat-lambat nanti, orang hentam dari belakang, baru tahu,”jawab Dayana dengan perasaan sesal dan marah.
“Laju ni!”marah Azmir pula sambil menjeling tajam. Dayana tidak mempedulikan kemarahan Azmir.
“Yana, perlahan sikit. Jangan laju sangat. Abang takut! Rasa gayat! Janganlah keras kepala!”leter Azmir lagi meninggikan suaranya.
“Abang tu suka begitu, bila Yana tekan pedal minyak aje, abang bising. Ganggulah fokus Yana nak bawa kereta,” balas Dayana lagi dengan perasaan geram dan merajuk. Dia pun memperlahankan kelajuan dan menukar laluan ke sebelah kiri. Hatinya sebal. Dari cermin pandang belakangnya Dayana nampak sebuah lori kontena mengekori dengan laju. Perasaannya berasa tidak sedap.
Dia ingin memecut kembali untuk melarikan keretanya dari lori kontena yang bergerak laju dan megah. Namun keinginannya itu dibatalkan apabila melihat Azmir asyik memerhatikan meter di dashboard dan


membebel. Perasaannya semakin terganggu. Tambahan pula di hadapannya ada sebuah lori kecil yang bergerak terlalu perlahan.
“Bukk!!”
Telinganya tiba-tiba dijengah oleh bunyi kuat. Muka keretanya tiba-tiba beralih arah. Dayana menoleh ke sebelah kanannya. Dia terperanjat besar apabila melihat lori kontena terlalu rapat dengan dengan pintu sebelah pemandu. Kereta yang dipandu tiba-tiba berpusing. Dadanya berdegup kencang. ‘Ya ALLAH, kenapa kereta aku berada di depan lori kontena ni?’soal hatinya dengan perasaan cemas. ‘Aku kemalangan!’bisik hatinya pula sambil tangannya terus mengawal stereng dan cuba melarikan keretanya dari terus disodok oleh lori kontena itu. Azmir yang duduk sebelahnya terus menjerit dan melaung memanggil ALLAH berulang kali.
Kereta Dayana terus bergerak menghala ke arah Taiping kembali dan rapat dengan tayar lori kontena itu. Yang memisahkan dia dan tayar lori kontena yang besar itu hanyalah pintu keretanya sahaja. Dalam perasaan cemas, Dayana sempat menjeling Azmir yang ketakutan dan mengecutkan dirinya di tempat duduk.
‘Ya ALLAH, selamatkanlah suamiku. Jangan cederakannya walau secalar. Jangan titiskan darahnya walau setitik,’ Hatinya sempat membisik dan berdoa.
Sewaktu dinding sebelah kanan keretanya dimain-mainkan oleh tayar lori kontena dan telinganya mendengar bunyi mengerutup, hati Dayana tidak berhenti berdoa dengan hati kecut. Dia rasa ingin menangis di saat itu. Ajal seolah-olah semakin menghampirinya.
‘ Ya ALLAH, aku serahkan diriku kepadaMU Ya ALLAH, sekiranya ENGKAU telah menetapkan cara kematianku dengan cara ini, pada hari ini, aku terima dan redha. Permudahkanlah kematianku, segala urusan jenazahku,’begitulah bisiknya di dalam hati. Debaran di dadanya semakin memuncak. Waktu yang berlalu terlalu perlahan. Keretanya terus bergerak berlainan arah dengan tayar lori kontena yang masih melekat didinding keretanya.
‘Ya ALLAH, tolonglah hamba-MU ini Ya ALLAH, bebaskan aku dari bencana ini sebagaimana ENGKAU membebaskan aku dari api neraka di hari akhirat nanti.’ Doa Dayana lagi sambil memandang langit yang terbentang luas.
Mungkin sudah sampai saatnya rohnya akan dipisahkan dari jasadnya dan dia akan berpindah ke alam barzakh. Dayana terus memandang langit yang memutih, menanti ALLAH menyingkap tabir ajalnya. Hijab antara dua dunia.
Dia sudah bersedia untuk menghadap TUHAN. Mungkin ALLAH telah menjanjikan kebaikan untuknya dengan kematiannya itu. Penderitaan hidupnya di dunia akan berhenti. Dayana menarik nafas panjang-panjang sambil terus mengawal setereng dalam deru bunyi enjin kontena itu. Terdengar lagi sekali hentakan pada keretanya dan keretanya berpusing sekali lagi, kembali menghala ke arah Ipoh.
“ALLAH!!!” jerit Azmir kuat.






DINIHARI itu Akif bangun. Sementara menunggu masuk waktu subuh dia membaca al-Quran setelah menunaikan solat sunat tahajud. Al-Quran sentiasa menjadi pilihan hati setiap hari. Membaca al-Quran menjadi amalannya sejak remaja lagi. Hatinya akan berasa asing jika ada saat-saat yang tertentu dia gagal melaksanakan amalannya itu. Keresahan dan kegelisahan datang silih berganti.
Dayana tunangannya dulu pun mempunyai hobi yang sama. Membaca al-Quran. Akif menghela nafasnya perlahan. Apa khabar Yana agaknya?Terlintas pertanyaan itu difikirannya.
‘Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan ALLAH semata-mata, dan ALLAH pula Amat belas-kasihan akan hamba-hamba-Nya.’
Bibir Akif mengukir senyuman apabila teringatkan ayat-ayat ALLAH yang selalu dibacanya. Demi TUHAN, dia bukan sahaja sanggup mengorbankan dirinya, bahkan sanggup juga mengorbankan tunangan dan cinta mereka.‘Insya-ALLAH, TUHAN akan memberi kefahaman kepada Dayana, jika aku berpeluang untuk bersemuka dan memberi penjelasan kepadanya,’keluh Akif. Dia akur kepada kehendak ibu bapa tunangannya itu. Pak Yusof dan Mak Bedah yang tidak mengizinkannya bertemu dengan Dayana.
Baris demi baris ayat-ayat suci al-Quran meluncur dari lidahnya dengan suara yang amat perlahan. Sehingga dia menjadi asyik dan teruja dengan janji-janji TUHAN.
Ya ALLAH. Ya ALLAH. Ya ALLAH. Syurga-MU penuh nikmat. Subhanallah.
‘Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan ALLAH dan meninggalkan larangan-Nya), mereka dibalas oleh ALLAH dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera. Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk.’
“Abang...”sapa Nur Aiman kepada Akif yang sedang asyik membaca al-Quran. Akif segera menoleh seraya tersenyum. Nur Aiman membalas senyumannya. Senyuman yang membayangkan kebahagiaan hatinya.
“Aiman tak mahu tidur lagi ke?”soal Akif  lembut. Nur Aiman mengeleng. Dia duduk rapat dengan Akif. Matanya mencuri pandang kitab suci al-Quran yang sedang dibaca oleh suaminya itu.
“Suara abang yang gemersik membaca al-Quran lebih indah dari mimpi yang sedang hadir dalam lena Aiman,” jawab Nur Aiman seolah-olah bermadah.
“Aiman pun impikan syurga sama seperti abang,”sambung Nur Aiman lembut sambil matanya terpaku sekali lagi, membaca lembaran al-Quran yang masih terbuka.
“Kalau begitu, jom kita mengaji dan baca tafsirannya sama-sama,” pelawa Akif. Matanya memerhati perut Nur Aiman. Isterinya itu yang baru mengandung beberapa minggu, perutnya yang mula membesar.
 “Aiman ambil wuduk dulu,” jawab Nur Aiman dengan senang hati. Dia bangun perlahan-lahan meninggalkan Akif.
“Okey, kita baca al-Quran. Masuk waktu subuh, kita solat. Setelah itu kita sambung lagi! Esok, hari Ahad. Abang cuti,” kata Akif sambil matanya mengiringi langkah Nur Aiman ke bilik air.
Tidak sampai berapa minit Nur Aiman meninggalkannya, dia mendengar suara Nur Aiman meraung dari dalam bilik air. Mendengar raungan itu Akif terus meluru ke bilik air. Pintu bilik air pula ditutup dan berkunci dari dalam. ‘Astaghfirullahalazim.’Dada Akif berdegup kencang apabila mendengar suara Nur Aiman menangis dan merintih.
“Aiman,buka pintu ni!”suruh Akif dengan suara kuat bercampur cemas sambil mengetuk daun pintu. Tidak ada jawapan. Perasaannya bertambah panik.
“Aimannn!”panggil Akif lagi. Telinganya dilekapkan di pintu.
“Abang, Aiman jatuh!Tak boleh bangun ni, sakitt!”beritahu Nur Aiman sambil menangis.
Memang benar, dia berada di dalam kesakitan yang amat sangat. Kakinya tergelincir lalu dia jatuh terhempas dengan kuat. Tulang punggungnya terasa hendak patah. Janin di dalam rahimnya seolah ingin terburai dan luruh dari kandungannya. Darah pekat pun sudah mengalir melalui celah pahanya.
“Aiman, kalau boleh bergerak perlahan-lahan, jauhkan diri Aiman dari pintu!”arah Akif dengan suara mencungap. Tubuhnya mulai dibasahi peluh. Jantungnya berdegup kencang. Bimbang kemalangan yang menimpa akan mencederakan kandungan Nur Aiman. Jiwa Akif semakin berdebar.
“Abang nak pecahkan pintu ni!”beritahu Akif,serentak dengan itu dia menendang daun pintu sekuat hatinya.
“Ya ALLAH...”keluh Akif sebaik sahaja pintu terbuka,bola matanya terlontar ke tubuh Nur Aiman. Nur Aiman  terperosok dan tersandar di dinding bilik air dengan sebelah kakinya terlunjur. Rengekan dan tangisannya seperti anak kecil.
“Astaghfirullahalazim, Aiman, macam mana jadi begini?”soal Akif dengan suara sebak. Perasaannya  cemas dan panik apabila melihat lantai bilik air sudah bertukar ke warna merah. Mendengar pertanyaan Akif, tangisan Nur Aiman semakin kuat. Perasaan takut menghujam hatinya.
‘Anak aku!’ Batinnya menjerit. Tangannya meraba bawah perutnya dan mencengkamnya kuat-kuat. “Sakit...”rengek Nur Aiman terus memaut leher Akif yang sedang merapat kepadanya. Kesakitan yang dirasai bagaikan memutuskan pernafasannya pada saat itu.
“Sabar,Aiman.Tenang... ingat dan serahkan segalanya pada ALLAH,” pujuk Akif.
Getaran suaranya tidak dapat disembunyikan. Dia terus mencempung Nur Aiman membawanya keluar dari bilik air terus ke ruang tamu. Tanpa peduli darah pekat yang berjejeran dari celah paha isterinya itu. Sementara dia membuka kunci pintu rumah dan menghidupkan enjin kereta, Nur Aiman dibaringkan di atas sofa.
“Kita pergi ke hospital,”bisik Akif perlahan.
Sekali lagi tubuh Nur Aiman dicempung lalu membawanya ke kereta. Maksud tafsiran al-Quran yang sedang dibacanya sewaktu mendengar raungan Nur Aiman dari bilik air seolah-olah tertayang di hadapan matanya.

Dan jika ALLAH mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.







Tiada ulasan: