Isnin, 15 Ogos 2016

Cinta Tak Pernah Usai -Bab 64



‘KALAUAiman mati, abang carilah Dayana. Nikahilah dia. Sampaikan salam Aiman kepadanya. Aiman minta maaf dari Dayana, dari hujung rambut ke hujung kaki. Aiman telah curi abang dari Dayana. Aiman rasa bersalah.
Aiman bersyukur kepada TUHAN, kerana hadirkan abang dalam hidup Aiman yang kegelapan.Kini hidup Aiman sudah bercahaya. Aiman sudah kenal ALLAH dan Rasul. Sudah tahu kemanisan beriman kepada ALLAH.
Aiman sudah bahagia. Aiman mahu Dayana pun merasai kebahagiaan sama seperti yang Aiman pernah rasa selama hidup dengan abang. Aiman ingin kembalikan abang kepada Dayana, kerana ALLAH. Sebagaimana abang menerima Aiman kerana rasa cinta abang kepada ALLAH. Aiman tidak tahu untuk membalas segala pengorbanan abang terhadap Aiman.’
Itulah kata-kata yang terungkap dari bibir Nur Aiman sepanjang perjalanan mereka menuju ke hospital. Sedang darah merah sudah membasahi kerusi tempat duduknya. Mungkin itu pesanan yang terakhir buat suami yang dicintai, fikir Nur Aiman.
Sampai di hospital sekali lagi tubuh Nur Aiman dicempung dari kereta ke bilik doktor. Wajah Nur Aiman sudah pucat dan tubuhnya semakin lemah. Cuma bibirnya yang tidak berhenti bersuara berpesan itu dan ini. Seolah-olah maut sudah pasti berada di hadapannya. Terlalu rapat dengan dirinya.
Akif diarahkan menunggu di luar bilik doktor sewaktu Nur Aiman mendapat rawatan. Seminit. Dua minit. Perasaan Akif semakin cemas. Degup jantungnya bergemuruh. Dia cuba bertenang dengan berjalan mundar mandir di dalam ruangan menunggu itu. Hatinya tidak berhenti berdoa. Kata-kata yang diungkapkan oleh Nur Aiman sepanjang perjalanan mereka tadi terngiang-ngiang di telinganya.
Seorang jururawat memanggil dan menunggunya di muka pintu bilik doktor. Akif segera menghampiri. Dia cuba memahami kata-kata jururawat yang berbahasa Mandarin dengannya. Mujurlah dia telah belajar Bahasa Mandarin dari isterinya. Malangnya, dia tidak boleh berkomunikasi di dalam bahasa itu, walaupun faham. Akif terpaksa berbahasa Inggeris pula untuk bertanyakan perkara yang ingin diketahui.
Nur Aiman telah kehilangan darah dalam jumlah yang banyak dan terpaksa ditahan di wad. Tubuhnya perlu dimasukkan darah semula mengikut spesifikasi yang diperlukan oleh tubuh manusia.
Nur Aiman menangis berterusan sementara menanti perbincangan doktor dan Akif. Entah apa yang sedang dijelaskan oleh doktor kepada suaminya itu. Perasaannya berkecamuk. Pilu berbaur cemas. Dia memejamkan matanya dan menanti dengan sabar di atas katil di luar bilik rawatan.

“Aiman, jururawat akan hantar Aiman masuk ke wad,” beritahu Akif dengan bisikan lembut di telinganya. Tidak tersedar bila Akif berada di sisi katilnya.
“Abang...”bisik Nur Aiman sambil menarik tangan Akif. Dia memegang lengan Akif kuat-kuat.
“Doktor beritahu apa?”soalnya dengan suara serak dan ke dalam. Bibir Akif terkunci seketika. Nur Aiman mengesat airmata dengan tapak tangannya. Hatinya dijerut kebimbangan yang semakin menghimpit.
“Aiman keguguran?”tebaknya lagi belum sempat Akif menjawab soalannya tadi.
Akif menggenggam tangan Nur Aiman kuat sambil mengukir senyuman. Dia menggeleng. Akif menelan liur beberapa kali sambil menghela nafas dalam-dalam.
“Alhamdulillah...”
Dia sempat mendengar ucapan itu daripada bibir isterinya. Kandungan Nur Aiman tidak keguguran, namun keadaan rahimnya telah lemah akibat kemalangan yang dialami. Hentakan yang kuat telah menyebabkan pintu rahimnya berubah tempat dan kondisi itu akan menyebabkan Nur Aiman akan mudah turun darah jika melakukan aktiviti yang berat. Justeru, doktor menasihati supaya kandungan itu digugurkan.
“Terima kasih, abang...”bisik Nur Aiman lagi. Tidak ada ungkapan kata-kata lagi yang dapat diungkapkannya kepada Akif. Dia berasa sangat bahagia walaupun di dalam kesakitan. Perhatian yang ditunjukkan oleh Akif kepadanya setiap kali dia dilanda musibah telah mengukuhkan lagi cintanya terhadap lelaki itu. Meskipun tidak pernah diluahkan dengan kata-kata.
“Bersyukur kepada ALLAH,” kata Akif sambil merenungnya lembut.
“Abang...”kata-kata Nur Aiman terhenti di situ. Perasaannya sebak tiba-tiba.
“Insya-ALLAH, segalanya akan selamat,” kata Akif. Masih menyembunyikan nasihat doktor. Tangan Nur Aiman digenggamnya sekali lagi.
“Kenapa bang? Doktor beritahu apa lagi?”tanya Nur Aiman apabila dilihatnya Akif bagaikan menyembunyikan sesuatu.
“Kandungan Aiman perlu digugurkan,” beritahu Akif akhirnya.
“Apa? Digugurkan? Nak buang bayi ni?”tanya Nur Aiman sambil membesarkan matanya. Airmukanya serta- merta berubah mendung. Air matanya jatuh berderai.
“Tidak, bang! Dah lama sangat Aiman nantikan saat ini,” bisiknya dengan nafas yang tertahan. Tangan Akif dikucupnya bertalu-talu. Akif mengeluh perlahan. Dia mengusap-ngusap ubun-ubun isterinya.
“Nanti bahayakan Aiman,”pujuknya.
“Tidak bangg! Aiman tetap tak mau gugurkan. Ini anak kita. Anak yang halal, bang! Dulu Aiman pernah mengandung anak haram. Kandungan Aiman elok saja sampai sempat melahirkan Haiqal,”rintih Nur Aiman.
“Atau memang abang tidak mahu ada anak yang dilahirkan Aiman,”bisiknya pula. Fikirannya mula menerawang kepada perkara yang bukan-bukan.
“Aimann! Ya ALLAH, kenapa fikirkan bukan-bukan ni! Abang risaukan Aiman,” tukas Akif sambil menggenggam kuat tangan Nur Aiman.

 SEBULAN selepas kemalangan ngeri yang menimpanya, Dayana masih trauma. Syukur, kerana dia dan Azmir terselamat dari kecelakaan itu walaupun kereta mereka remuk teruk. ALLAHlah yang telah menyelamatkannya. Siapa lagi yang lebih berkuasa daripada TUHAN yang satu?
Bacalah ayat Kursi setiap kali kita hendak memulakan perjalanan atau sebelum tidur. Insya-ALLAH ada dua malaikat yang akan menjaga keselamatan kita. Itulah pesan Akif kepadanya dulu, untuk mengikut amalan Rasulullah SAW. Justeru itu membaca ayat Kursi  menjadi amalannya. Kini, kata-kata Akif telah terbukti. Janji ALLAH memang benar.
Cuba melupakan kenangan kemalangan, selepas Maghrib malam itu Dayana menonton televisyen. Bola matanya terus memerhati paparan di skrin televisyen. Rancangan dokumentari terbitan televisyen swasta itu menyebabkan hatinya diterjah dengan berbagai-bagai perasaan. Dayana mengepal-ngepal penumbuknya. Perasaan marah dan dendamnya membuak-buak. Lakonan semula yang menunjukkan perbuatan jenayah seks yang sedang dilakukan kepada seorang mangsa menyebabkan tubuh Dayana menggeletar.
Apabila pelakon lelaki yang berwajah jahat itu menghimpit tubuh mangsanya sambil memegang kedua-dua tangan wanita mangsanya itu, nafas Dayana turut mencungap. Dia menjadi terlalu takut lalu tidak sedar mengubah posisi duduknya di atas sofa. Dayana duduk terperonyok di sudut sofa penuh ketakutan. Terasa dirinya yang sedang perlakukan begitu oleh Zaim.
Nafas Dayana semakin mengencang apabila melihat di skrin televisyen tubuh pelakon lelaki itu sudah berada di antara kedua kaki pelakon wanita itu dan terus mengasak wanita itu ke tepi dinding. Begitulah yang dilakukan oleh Zaim dengan keadaan dirinya yang sudah bogang, cuba membogangkan tubuhnya juga. Tidak sanggup lagi melihat aksi-aksi yang mengerikan itu, Dayana terus berlari masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu. Di atas katilnya dia terus mengerekot ketakutan sambil menggeletar. Hentaman rasa takut, kecewa, sedih, rasa berdosa menyebabkan Dayana menjadi tidak keruan.
“Yana...” Kedengaran laungan Azmir dari luar. Dayana bangun dari katil lalu membuka pintu bilik. Dia terus memeluk Azmir dan menangis di dada suaminya itu. Dayana menangis teresak-esak. 
“Buat apa menangis lagi?Kita kan dah selamat? Alhamdulillah,” pujuk Azmir sambil mengusap ubun-ubun Dayana. Sangka Azmir, Dayana masih terkenangkan peristiwa kemalangan ngeri yang baru ditempuhi mereka.
Dayana tidak menjawab. Rahsia besar yang tersembunyi di dalam hatinya tidak akan tertembus ke pengetahuan Azmir walau sebesar zarah. Itulah tekadnya. Rahsia itu akan disimpannya sendiri sehingga dia atau Azmir mati. Jika dia yang mati terlebih dahulu, Zaim akan bebas dan merdeka dengan kesalahan dan dosa yang telah dilakukan. Tetapi jika Azmir yang mati terlebih dahulu, Zaim akan diheret ke muka pengadilan.
“Jangan ingat-ingatkan lagi hal dah berlalu. Bersyukurlah kerana umur kita masih panjang. Lebih baik Yana ambil Quran dan baca,” nasihat Azmir lalu meninggalkan Dayana seorang diri di bilik.
Dayana menurut nasihat suaminya itu. Memang hari-hari sebelumnya pun dia kerap membaca al-Quran untuk memujuk hatinya. Namun malam itu dia tidak dapat tidur sehingga subuh. Bangun sahaja dia terus mencapai telefon bimbit dan mengirimkan SMS kepada Zaim.
“Teett!!Teett.”
Nyaring bunyi isyarat mesej yang masuk ke dalam telefon bimbit Zaim. Alina yang sedang melipat selimut di atas katil mencapai telefon bimbit Zaim yang disembunyikannya di bawah bantal. Terbeliak matanya apabila

membaca mesej pesanan ringkas yang diterima telefon bimbit suaminya itu. Dadanya berdegup kencang. Darahnya berderau hingga ke kepala.

Zaim, semalaman Yana tidak dapat tidur mengenangkan perbuatan Zaim terhadap Yana. Mengapa Zaim tergamak melakukan  perkara terkutuk tu kepada Yana. Apa dosa Yana kepada Zaim? Zaim sudah tahukan, penderitaan Yana sudah terlalu banyak. Mengapa Zaim tambahi lagi derita itu. Mentang-mentanglah suami Yana sedang sakit.

“Tak mungkin! Tak mungkin,” bisiknya sendiri. Mana mungkin suaminya berkelakuan seperti itu. Matanya menjeling Zaim yang sedang sujud di sejadah. Mustahil lelaki sebaik dan sealim Zaim tergamak melakukan perbuatan keji.
‘Pasti perempuan ini yang sedang menggilai suami aku. Aku sedikit pun tak percaya apa yang dimesejkan ini.’Hati Alina terus berbisik.
Sebaik sahaja dia melihat Zaim menyelesaikan solat subuhnya Alina terus menarik tangan suaminya itu. “Apa yang perempuan ni mesej kepada abang? Jawab!”tengkingnya di subuh itu.
Zaim mengambil telefon bimbit yang dihulurkan oleh Alina dan membaca mesej yang tercatat. Di dalam cahaya lampu di dalam bilik tidur itu, Alina tidak perasan yang muka Zaim bertukar pucat, tidak berdarah. Tubuhnya menggeletar.
“Mana abang tahu,”jawab Zaim cuba mengelakkan diri dari menjawab pertanyaan isterinya yang sedang naik minyak.
“Jangan nak tipu saya! Mesti awak kenal dia! Sekarang ni abang jawab! Betul atau tidak apa yang betina ni mesej pada abang?”tempik Alina lagi lalu memukul tubuh Zaim dengan bantal menghambur perasaan geram. Api cemburunya mula meledak bagaikan gunung berapi yang lama terpendam.
“Dia memang kawan abang,”akui Zaim dengan suara lunak.
‘Perempuan ni kalau sedang mengamuk, bukan boleh dikasari,’bisik hatinya pula. Mendengar kata-kata Zaim itu Alina bertambah naik angin. Habis bantal-bantal di atas katil dibalingnya kepada Zaim.
“Abang tak ingat ke abang dah ada anak bini? Tak ingat ke, hah?”soalnya dengan suara yang semakin melapang. Tubuh Zaim yang kecil bertambah kecil pada pandangan matanya.
“Dahlah, sayang! Jangan tempik pagi-pagi hari ni! Malu kat orang! Jiran-jiran semua dengar nanti,”pujuk Zaim dengan suara perlahan.
“Malu? Yang abang buat perangai dengan perempuan tu, abang tak malu? Kenapa abang lakukan? Ya ALLAH.”Pekikan Alina bersulam tangisan pula. Hatinya bagaikan hancur mendengarkan pengakuan jujur daripada Zaim tadi.
“Abang tak salah,”jawab Zaim cuba membela diri. Walau apapun yang terjadi dia tetap akan menegak benang basah.
“Dia bini orang, kan? Abang ni kenapa buat perangai macam ni? Kalau dia buat laporan polis macam mana? Hah?”soal Alina lagi dengan nada kuat dan marah.
  “Abang dah kata, abang tak bersalah! Yang sayang asyik paksa abang mengaku, kenapa?”soal Zaim pula. Suaranya masih lagi lembut. Lagaknya masih lagi tenang.
‘Tak mungkin Dayana melaporkan segalanya kepada pihak polis. Malulah dia nanti. Lagipun suaminya sedang sakit. Kalau suaminya dapat tahu rahsia ini, alamat kojollah lakinya itu,’bisik hati Zaim. ‘Tambahan pula dia tak ada bukti. Dia yang sewa bilik hotel tu,’bisik hatinya jahat.
“Memang abang ada jumpa dia,”cerita Zaim pula. Penjelasannya itu menyebabkan Alina menyinga, terus menerpa kepadanya dengan perasaan geram dan marah.
‘Oh,rupa-rupanya di belakang aku kamu ada perempuan lain?’bisik hatinya. Ikutkan rasa marah, rasa hendak ditumbuknya muka Zaim yang mempunyai hubungan dengan perempuan lain di luar sana!
“Jumpa? Di mana? Jawab!”tempik Alina lagi.
Nafasnya mulai kencang. Tubuhnya berpeluh disubuh hari. “Hari itu...”Zaim memulakan ceritanya dengan bersungguh-sungguh. Alina mendengar dengan berhati-hati. Begitu bijak Zaim menyusun kata-katanya lantas Alina mempercayai segala kata-kata Zaim bulat-bulat.
“Sekarang sayang dah tahu cerita yang sebenarnya, kan? Sumpah! Dengan nama ALLAH, abang tak bersalah. Perempuan ni hantar mesej memburukkan abang, sebab abang dah tak mahu layan dia lagi! Dalam hati abang hanya ada sayang seorang,”ungkap Zaim mengakhirkan ceritanya.
“Lagipun abangkan kuat sembahyang? Kalau digoda macam mana pun iman abang tak akan cair. Percayalah. Tak mungkin ada perempuan lain mengambil tempat sayang di hati abang.”Sempat lagi dia memujuk.
Alina terdiam dan termakan dengan pujukan itu.Telefon bimbitnya dicapai lalu secebis SMS dihantar kepada Dayana. Hatinya berasa puas dan lega.


LEBIH kurang 3 kilometer lagi akan sampai dipejabatnya, telefon bimbit Dayana yang diletakkannya di tempat duduk penumpang memberi isyarat lampu. Bibirnya mengukir senyuman. ‘Mesti SMS daripada Zaim atau isteri dia!’tebaknya. Subuh tadi mereka suami isteri mesti berperang besar kerana membaca SMS daripadanya. SMS cerita benar tentang Zaim. SMS cerita benar tentang perasaan trauma yang sedang ditanggungnya.
Dayana membaca SMS yang diterimanya daripada telefon bimbit yang pastinya milik isteri Zaim.
Saya isteri, Zaim..
Matanya membesar sewaktu membaca satu demi satu perkataan yang terpapar di skrin. Jantungnya seolah-olah ingin meletup dan menamatkan pernafasannya pada waktu itu juga.
‘Betul-betullah kau lelaki tak guna,Zaim! Kau fitnah aku kepada isteri engkau, ya?Tak apa, satu hari nanti kau akan tahu langit ini tinggi atau rendah,’bisik hati Dayana.
SMS yang dibaca terus disemat di hati. Dia terus berbalas-balas mesej dengan isteri Zaim. Dayana terus menulis mesej dengan berhati-hati. Dia mengharapkan isteri Zaim akan membalas mesejnya dan memberi maklumat berharga yang dapat digunakannya satu hari nanti.
Setelah berpuas hati dengan maklumat-maklumat yang diperolehi, Dayana pun mengakhirkan mesej pesanan ringkasnya kepada isteri Zaim.


Selagi Zaim tidak memberi penjelasan dan meminta maaf kepada saya atas perbuatan buruknya terhadap saya, perkara ini tidak pernah selesai. ALLAH menjadi saksi di atas segalanya. Wasalam.

Punat di sebelah kiri telefon bimbitnya terus ditekan. Dia menamatkan operasi telefon bimbitnya kerana tidak ingin menerima apa-apa SMS lagi.
‘Zaim... Zaim, aku tidak sebodoh yang kau sangka. Entahlah. Perempuan isteri orang tu terlalu sangat mempercayai suaminya walau ditipu hidup-hidup. Kau ingat aku kemaruk sangat kepada laki kau? Aku tak ingin! Bagi percuma pun aku tak mahu! Perangai macam syaitan,’bisik hati Dayana dengan darah yang meruap.
“Baik aku jaga suamiku yang sakit! Daripada bersahabat dengan kau, Iblis!” sumpah Dayana di dalam hati. Perasaan geram dan marahnya terhadap Zaim berbondong-bondong menembusi pintu hatinya.
‘Astaghfirulhalazim,’ ucap bibirnya pula. Memang Zaim telah melakukan perbuatan buruk kepadanya, tetapi sebagai hamba ALLAH, sama seperti lelaki itu, dia tidak wajar menghukumnya. Biarlah ALLAH yang menilai dan memberi hukuman.
‘Tapi, aku mesti bersihkan namaku. Senang-senang dia fitnah aku. Agaknya dia tidak tahu dosa memfitnah orang lain, sama seperti dosa membunuh,’rungut hati Dayana lagi. Dia nekad untuk mendakwa Zaim. Dayana terus merancang tindakan berikutnya yang harus diambil. ‘Ya ALLAH ya TUHANKU, berilah aku jalan untuk mencari keadilan. Permudahkanlah segala urusanku pada hari mendatang.’Doanya di dalam hati. Baru sahaja dia memarkirkan kereta di medan parkir berhampiran pejabat, Rafidah terkocoh-kocoh memanggilnya.
“Yana, emergency call! Cepat!”laung Rafidah lalu masuk ke dalam pejabat semula. Dayana tergesa-gesa keluar dari kereta dan berjalan laju.
“Siapa, Idah?”soal Dayana lalu berlari anak masuk ke dalam pejabat. Perasaannya mulai cemas. Entah perkhabaran apa pula yang akan didengarinya sebentar nanti.
“Tak tahu! Cepatlah jawab!”gesa Rafidah sambil menghulurkan gagang telefon kepada Dayana.“Kau tutup telefon bimbit ke?”sempat lagi Rafidah bertanya sewaktu Dayana menyambut gagang telefon darinya.
“Ah! Telefon bimbit sengaja aku tak aktifkan,” beritahunya kepada Rafidah. Dia menutup telefon bimbitnya kerana tidak mahu terus diganggu oleh isteri Zaim.
“Assalamualaikum...”kata Dayana dengan nafas yang sedikit mencungap.
“Waalaikumussalam,” lembut suara yang menjawab di hujung talian. Suara seorang wanita.
“Cik ni, Dayana bt Mohd Yusof ke?”tanya wanita itu masih dengan suara lembutnya.
“Ya...ya... saya Dayana,”jawab Dayana perlahan. Timbul tandatanya dibenaknya. Suara wanita itu tidak pernah didengarinya sebelum ini. Mustahil isteri Zaim mengetahui nombor telefon pejabatnya pula! Tekaan demi tekaan muncul di fikiran.
“Maafkan saya... cik... err... kita pernah bertemu sebelum ni? Saya tak cam suara cik... maaf!”ujar Dayana pula. Dia mendengar suara wanita itu ketawa perlahan.
“Memang kita belum pernah berjumpa, dik,”beritahunya mesra.“Adik memang tak kenal akak,”jelasnya lagi dengan ramah.
“Yalah,sebab itu saya rasa macam tak pernah dengar suara cik ni,”balas Dayana pula.
 “Boleh tak kalau saya hendak bertemu dengan Cik Dayana,hari ini?”kata wanita yang masih belum mengenalkan namanya itu.
“Insya-ALLAH, saya tak keberatan. Cik nak bertemu dengan saya di mana? Pukul berapa?”tanya Dayana mesra. Fikirannya mula menerawang ke sana dan ke sini.
“Jika tak keberatan boleh saya tahu siapa nama cik?”tanyanya lagi kerana wanita itu belum mengenalkan dirinya.
“Nama saya Zulaika. Dayana panggil akak, Kak Zu aje. Nanti akak datang ke pejabat Dayana. Akak ada hal yang sangat penting,” beritahu Zulaika.“Kita jumpa nanti, ya!”katanya lagi sambil memberi salam pamitan.
“Insya-ALLAH,” jawab Dayana sambil meletakkan gagang telefon ditempatnya semula. Perasaannya mula berasa cemas dan tertanya-tanya.

Tiada ulasan: