PERASAANDayana berbaur sebaik sahaja bertemu dengan wanita yang
bernama Zulaika. Beberapa kali dia menelan air liurnya yang dirasakan amat
pahit sedangkan dia baru sahaja meneguk minuman fresh orange. Wanita itu telah mengenalkan dirinya sebagai isteri
kedua kepada salah seorang yang berpengaruh di bandar itu.
“Terima kasihlah, Kak Zu. Sesungguhnya TUHANlah yang
telah mengutuskan akak kepada saya,” katanya seolah berbisik. Zulaika menggenggam
tangannya dan merenung matanya.
“Bersyukurlah, dik! Sebenarnya agak lama jugak akak
mencari jalan untuk menghubungi Yana. Bak kata Yanalah, jika kita selalu berdoa
mengharapkan kebaikan, ALLAH akan bukakan jalannya,” jelas Zulaika.
“Anak saudara akak yang bekerja di Hotel Casuriana tu
akhirnya dapat juga mengesan nombor telefon Yana,” ceritanya lagi.
“Akak dah bertekad untuk serahkan kepada Yana sebelum
akak berangkat ke Jerman. Akak nak duduk dengan anak akak yang bekerja di sana,”
beritahunya dengan lembut.
“Yana buatlah sesuatu untuk dapatkan keadilan,” nasihatnya
sambil memegang Dayana.
“Memang saya ada berhasrat begitu kak,tapi saya kena buat
perlahan-lahan, sebab nak kumpul bukti,” cerita Dayana. “Sementara ni saya kena
bersabar dulu, kak! Saya kena kumpulkan duit untuk khidmat guaman. Tambahan
pulak suami saya sedang sakit,” beritahu Dayana sambil menghela nafas perlahan.
“Tak apalah, Yana. Jangan tergopoh-gapah. Hal yang berat
seperti ini tidak boleh dilakukan terburu-buru,” setuju Zulaika sambil
mengambil sesuatu di dalam beg tangannya.
“Yana ambil ni, simpan elok-elok. Faizal ini adik akak. Dia
ada firma guaman di Taiping. Yana boleh berjumpa dengannya untuk mendapatkan
nasihat. VCD ni pun lebih baik Yana serahkan kepada dia untuk disimpan. Bahaya,
dik!Kalau terlepas ke tangan orang lain,”nasihatnya.
Sekeping kad niaga dihulurkannya kepada Dayana.
“Akak,maaflah saya bertanya. Apa sebenarnya yang telah
berlaku sehingga akak dapat rakaman VCD tu?”tanya Dayana lambat-lambat. Dari
tadi dia mendengar cerita yang kabur dari wanita yang baru dikenalinya itu.
Zulaika mengeluh seketika. Ketenangan di wajahnya
tercalar sejenak.
“Sebenarnya hubby
akak kaki perempuan.Suka meniduri perempuan. Satu hari anak saudara akak yang
bekerja di hotel tu ternampak dia datang dan booking bilik,” cerita Zulaika sambil menundukkan mukanya. Dia memainkan
jari-jemarinya yang sarat dengan cincin bermacam fesyen.
“Dia pun beritahu, akak.Akak pun merancang untuk
perangkap suami akak tu.Maklumlah selama ini bukannya dia nak mengaku perbuatan
buruk dia tu,” sambungnya lagi dengan suara perlahan.
“Jadi akak suruh anak saudara akak pasang kamera untuk merakam
segala aktiviti dalam bilik yang suami dah booking
tu sebagai bukti,” kata-katanya terhenti seketika.
“Sehari selepas itu apabila dia kembalikan kepada akak
kamera yang ada rakaman dalam bilik tu, akak terkejut sebaik melihatnya.”Sekali
lagi dia berhenti bercerita sambil menatap wajah Dayana sekilas.
“Kenapa akak terkejut?”sampuk Dayana yang tidak sabar
mendengar cerita selanjutnya.
“Yang dalam rakaman kamera tu bukannya suami akak! Tetapi
seorang wanita yang sedang bersedih. Selepas itu wanita itu bersolat, membaca
surah Yasin dan berdoa kepada TUHAN dengan cucuran airmata.”Suara Zulaika sudah
bertukar sebak.
“Hampir akak hapuskan semua rakaman tu, Yana. Demi TUHAN.”Zulaika
memejamkan matanya beberapa ketika sambil menekup mulutnya.
“Rupa-rupanya ada peristiwa yang amat ngeri yang telah
terjadi di bilik itu, dan mangsanya ialah adik...”ungkapnya dengan penuh
perasaan. Merah matanya sewaktu merenung ke wajah Dayana yang tenang, namun
sedang mengetap bibirnya menahan tangisan.
“Anak saudara akak tidak tahu rupa-rupanya suami akak
telah membatalkan tempahan bilik itu,” cerita Zulaikha terhenti di situ.
“Akak...”Dayana seolah-olah kehilangan kata-kata. Dadanya
terus diasak gelora duka yang menggunung bak hempasan tsunami.
“Yana simpanlah barang bukti ni baik-baik, ya,”katanya
sambil bangun dari kerusi. Dayana pun bangun sama. Dayana mengiringi wanita itu
sehingga ke keretanya.
“Akak nak balik dulu! Panjang umur kita jumpa lagi,”katanya
sebelum memasuki kereta. Dia sempat memeluk tubuh Dayana beberapa ketika dengan
pelukan yang kuat.
“Yana, sabarlah banyak-banyak. Mesti kuatkan hati. Namun,
keadilan mesti dituntut jugak.Jangan biarkan dia terlepas begitu aje,”nasihatnya
sambil menggenggam tangan Dayana kuat-kuat seolah memberinya semangat.
“Oh TUHAN...”bisik hati Dayana lalu melangut melihat awan
sambil melambaikan tangannya kepada Zulaika.
Matanya melihat matahari yang bersinar megah dan gagah. Dapatkah
dia melalui hari-hari depannya seperkasa sang mentari dengan apa yang telah
berlaku kepadanya. Ujian demi ujian. Dugaan demi dugaan. Tidak! Aku tidak akan
rebah selagi maruahku yang telah tercemar tidak kusucikan kembali.’Suara
hatinya seolah-olah menjerit melaung.
BerADA di wad Hospital Ipoh amat meresahkan
hati Azmir.Setiap waktu berlalu lambat putarannya. Suara hati tidak henti
berbisik. Meronta. Bola matanya terus berputaran mengitari sekeliling katilnya.
Ada seorang pesakit yang terlentang di atas katilnya. Kehidupannya disokong
oleh bantuan pernafasan. Azmir sempat bersyukur kerana dia masih bernafas
secara normal.
Telinganya pula diterjah oleh erangan seorang pakcik tua
yang helaan nafasnya kuat dan keras. Mungkin pakcik itu dalam perjalanan
bertemu TUHAN.
Matanya terlontar pula ke lorong menuju ke katilnya. Dayana
sedang berjalan beriringan dengan seorang doktor Cina. Airmuka isterinya itu nampak muram. Namun,
apabila sampai di sisinya segera airmuka Dayana berubah menjadi riang dan
bibirnya mengukir senyuman.
“Encik Azmir, apa khabar hari ni?”sapa doktor dengan nada riang. Dia
terus menayangkan filem X-ray di hadapan Azmir sambil duduk dibirai katil.
“Encik Azmir terpijak paku karat, kan? Pakunya besar. Karatnya
pun tebal,” beritahunya sambil menayang-nayangkan filem X-ray di hadapan
matanya.
“Macam mana encik boleh terpijak paku tu?”tanyanya ramah.
“Saya pergi buang sampah di tempat buang sampah,” jawab Azmir.
Rasanya sudah sepuluh kali dia menjawab soalan yang sama.
“Oh...”kata doktor itu. Dia menggaru-garu belakang
telinganya sambil memikirkan kata-kata yang ingin diungkapkan kepada pesakit di
depannya kini.
“Cuba encik tengok gambar X-ray ni... encik nampak tak
kesan putih-putih di tapak kaki encik?” soal doktor pula lalu menayangkan filem
X-ray di hadapan mata Azmir sekali lagi. Azmir mengangguk.
“Kesan putih-putih tu menunjukkan yang tulang kaki encik
sudah dijangkiti kuman.”
Doktor merenung ke wajah Azmir. Hiba di wajah pesakitnya
itu bukanlah pertamakali dilihat. Sudah berulangkali. Apabila dia mengungkapkan
skrip yang sama kepada pesakitnya, lukisan wajah seperti itulah yang akan
dilihat. Azmir menunggu kata-kata seterusnya yang akan diungkapkan oleh doktor
dengan nafas yang tertahan.
“Jadi apa nasihat, doktor?”tanya Azmir dengan suara serak.
Matanya terpandang kepada seorang pesakit yang sedang disorong di atas kerusi
roda. Pesakit lelaki yang kakinya hanya tinggal sebelah.
“Encik,jangkitan kuman itu terus merebak dengan cepat,” beritahu
doktor. Filem X-ray sekali lagi ditayang di hadapan matanya.
“Jadi?”tanyaAzmir. Mengharapkan doktor memberi penerangan
yang lebih jelas.
“Kita tak ada pilihan lain,” jawab doktor sambil merenung
ke wajah Azmir yang terdiam. Fikirannya kosong dan tidak ingin meneka apa-apa.
“Kaki encik kami terpaksa potong,”beritahu doktor itu
senafas.
Dunia yang dipandang seolah gelap.Bibir Azmir bergetar
untuk mengatakan sesuatu. Namun, doktor yang duduk di birai katilnya sudah
bangun dan mengarahkan sesuatu kepada jururawat yang berada di situ.
“Abang,sabar ya?Kita dah tak ada jalan lain lagi, bang! Abang
reda saja,ya. Yana akan jaga abang,” bisik Dayana dengan senyuman nipis. Airmata
yang bertakung di kolam matanya diikat kuat-kuat.
“Yana tak akan tinggalkan abang? Nanti kaki abang kudung.
Abang tak boleh berjalan sendiri,”rintih Azmir seakan ingin menangis.
“Walau bagaimana keadaan abang, Yana tetap akan bersama
dengan abang kerana ALLAH,” jawab Dayana sebak.
“Yana janji?”kata Azmir sambil menggenggam tangan Dayana.
Matanya merenung sayu.
“Janji, bang! Yana janji. Insya-ALLAH, lepas ni segalanya
akan jadi baik.Nanti kita cari kaki palsu. Abang jangan bimbang,” pujuk Dayana
lagi.
“Terima kasih, Yana...”kata Azmir sambil menelan
esakannya. Keikhlasan hati isterinya itu terlalu amat berharga dan sukar dicari
ganti.
“Abang sabar, ya,”pujuk Dayana sambil mencium tangan Azmir
bertalu-talu.
Kini kesedihannya tidak dapat dibendung lagi. Jika takdir
telah menentukan dirinya untuk berkongsi hidup dengan suaminya itu, dia rela
menerima Azmir seadanya. Dayana tidak pernah melupakan yang ALLAH sangat
mencintai orang-orang yang selalu ingin membahagiakan orang lain dengan apa
yang dimilikinya.
Pak Yusof dan Mak Bedah merenung sesama sendiri. Mereka
diam tidak terkata sebaik sahaja menerima panggilan telefon daripada Dayana.
“Kenapalah nasib malang selalu menimpa Yana?”soal Mak
Bedah dengan nada sedih.
Airmata pilu berlinangan di kolam matanya. Pak Yusof
bungkam tidak bersuara. Ya, mengapalah nasib malang selalu menimpa anak
tunggalnya itu. Mula-mula tunangan menghilang di hari pernikahan. Beratus hari
anak gadisnya itu menanggung kesedihan.
Setelah itu Ikhwan pula meninggal dunia di atas
pangkuannya pada hari pernikahan mereka. Hancur luluh hati anak gadisnya. Lantas,
dia memaksa Dayana menerima Azmir, sebagai suami. Tidak berapa hari berkahwin
dengan Azmir, motosikal yang mereka naiki pula terjatuh ke dalam tali air
kerana melalui titi yang reput. Azmir disahkan mengalami kerosakan buah
pinggang akibat kemalangan itu. Sejak hari itu, Dayana bersusah payah menjaga Azmir
yang sakit. Kini, kaki Azmir dipotong kerana terpijak paku dan telah dijangkiti
kuman.
Pak Yusof mengerutkan keningnya. Kalaulah Dayana
berkahwin dengan Akif, tentu nasibnya tidak begini. Pasti Akif telah
membahagiakannya.
“Macam mana Dayana nak uruskan Azmir tu seorang diri! Ikutkan
hati saya, nak suruh Yana tuntut fasakh aje! Kembalikan Azmir kepada keluarganya. Biar
mereka pulak yang menjaganya. Sekarang ini pun, Azmir tidak boleh tunaikan
tanggungjawabnya kepada Yana. Kasihan anak saya,seksa hidupnya,” tangis Mak
Bedah tiba-tiba. Hatinya bagai disiat-siat.
“Saya rasa Yana ni tak pernah merasai nikmat orang
berumahtangga. Asyik menderita aje,”rintih Mak Bedah lalu menangis mengogoi seperti
kanak-kanak.
Tangisnya bertambah kuat apabila teringat kepada Akif. Lelaki
yang sangat diharapkannya menjadi suami Dayana. Akif yang telah muncul kembali
setelah menghilangkan diri beberapa lama. Akif pun inginkan Dayana kembali. Dayana
dan Akif memang saling mencintai. Namun takdir yang memisahkan mereka.
“Awak ni merepek apanya, Bedah? Kalau bukan Yana,siapa yang
nak jaga Azmir? Bapaknya dah tak ada. Maknya dah duduk dengan adik-beradiknya
yang lain. Adik-beradik? Huh! Kalau Azmir tu banyak duit, banyak harta benda, berebutlah
adik-beradik untuk menjaganya! Sekarang ni adik-beradik pun dah jadi macam enau
dalam belukar,” bidas Pak Yusof.
“Walaupun dia memiliki ijazah dari universiti luar negara, tetapi
nasibnya tidak begitu baik setelah jatuh kat titi tu. Kalau ada wang simpanan
pun mesti tak banyak, apatah lagi untuk kumpul harta. Dia tiada kesempatan. Apabila
kesihatannya tidak begitu sempurna, Yana pun tidak mahu mendesaknya untuk bekerja.
Cadangan aku begini! Suruh Yana tu mintak tukar dan balik
bekerja di sini! Dulu, dia terpaksa ikut Azmir yang bekerja di Ipoh. Sekarang
ni Azmir tu dah tak bekerja lagi. Bila pindah ke sini, duduklah dengan kita
sekali. Waktu dia pergi pejabat, Azmir tu biarlah kita tolong jaga,”tegas Pak
Yusof.
“Hisy, awak ni, tak ada beban batu yang nak digalas. Apa-apa
ajelah. Asalkan Yana boleh rasa selesa sikit dan kita dapat tengok dia, aku
setuju,”kata Mak Bedah.
“Tapi takkan Yana nak bela Azmir tu sampai mati! Anak
kita tu muda lagi! Dia pun ingin hidup seperti wanita lain. Dia pun inginkan
rumahtangga sama macam orang lain,”ujar Mak Bedah pula.
“Aku rasa Yana ni tidak pernah rasa nikmat perkahwinan
macam orang lain,”keluhnya sambil menggaru-garu kepala.
“Biar dia balik ke sini dulu! Urusan rumahtangganya
dengan Azmir, biarlah Yana sendiri yang buat keputusan. Aku pun sebenarnya
menyesal jugak kahwinkan dia dengan Azmir. Tambah-tambah pulak bila Akif dah
balik! Aku kalau boleh, mahu Yana dan Akif tu bernikah jugak,” beritahu Pak
Yusof. Fikirannya mulai memberat. Permasalahan yang membelit kehidupan anak
tunggalnya semakin merumitkan.
“Tapi aku tengok Yana tu tabah dan cekal orangnya,”puji
Pak Yusof kepada anaknya yang jauh di mata.“Rezekinya pun murah! Alhamdulillah.
Agaknya inilah ganjaran yang telah diberikan ALLAH kepadanya kerana memelihara
suami yang sakit tanpa rungutan. Walau apa pun masalah yang dihadapi oleh Azmir
tu, Yana tak pernah minta duit dari aku pun! Kos rawatan Azmir tu, bukannya
sikit duit yang diperlukan tu,”kata Pak Yusof lagi.
“Awaknya,Yana tu kerja dengan kerajaan! Jadi kalau dia
berurusan dengan hospital kerajaan semuanya percuma. Dia pun rajin jugak
mencari pendapatan sampingan dengan perusahaan kerepek, biskut dan kek dia tu. Lagipun
dia jenis berjimat, tak suka membazir. Selalu beringat,” balas Mak Bedah dengan
panjang lebar.
“Cuma Yana tu kuat memendam perasaan. Dia tak mahu
susahkan hati kita. Tapi aku tahu dia sangat menderita dan sengsara. Tengoklah
tubuh badannya, semakin lama semakin kurus. Dia biar penderitaan memamahnya
dari dalam,”ujar Mak Bedah pula.
“Hal itu memang dah lama aku faham,”sampuk Pak Yusof.“Esok,
kita pergi jenguk dia! Bantu apa yang patut,”cadang Pak Yusof lalu bangun dari
sofa. Dia ingin ke surau untuk solat asar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan