DAYANA melangkah keluar dari keretanya dengan langkah longlai. Jam
5.40 petang barulah dia sampai ke rumah. Kini, dia sudah menetap dengan emak
dan ayahnya kembali. Begitu cepat masa berlalu, tak tersedar putaran waktu. Rupa-rupanya
sudah setahun dia kembali menetap di kampung halamannya.
Syukur, selepas enam bulan membuat permohonan pertukaran
tempat bertugas, permohonannya diluluskan. Sekarang dia bertugas di Parit
Buntar. Legalah sikit rasa hatinya kerana emak dan ayah sama-sama membantu
menguruskan Azmir. Luka di kaki Azmir masih belum sembuh. Setiap hari kakinya
yang telah dipotong itu perlu dicuci. Hendak membawa Azmir ke hospital setiap
hari untuk mencuci lukanya pasti dia tidak berdaya. Justeru itu dia terpaksa
mengupah seorang jururawat pula untuk membersihkan luka di kaki Azmir setiap
hari.
Alhamdulilllah sehingga hari itu segalanya berjalan
dengan lancar. Sesungguhnya ALLAH sentiasa memberi kemudahan kepada hamba-NYA
yang sabar dan reda menghadapi dugaan dari-NYA dengan berlapang dada.
“Assalamualaikum...”laung Dayana lalu masuk ke dalam
rumah apabila mendengar emaknya menjawab salam dari dapur. Dayana terus menuju
ke dapur. Hidungnya terbau cucur udang.
“Mak...” sapanya lalu bersalam dan mencium pipi emaknya.
“Yana, duduk dulu! Mak dah buatkan air,”pelawa Mak Bedah.
Dia menuangkan air teh ke dalam cawan. “Nanti-nantilah, mak.Yana nak pergi
tengok Abang Azmir dulu,”balas Dayana sambil mencuit manja pipi ibunya lalu
beredar ke bilik tidurnya.
“Abang...”sapanya kepada Azmir yang sedang duduk di birai
katil. Tangan Azmir terus disambar dan dicium. Selepas itu hidungnya ditonyoh
ke pipi Azmir.
“Hari ni abang dah makan?”soalnya sambil merenung mesra.
Azmir mengangguk.
“Kalau begitu Yana mandikan abang,”beritahu Dayana sambil
mengusap leher Azmir yang berpeluh.
“Yana dah sembahyang ke?”tanya Azmir sambil mengengsot
jauh ke tengah katil supaya Dayana boleh duduk dengan selesa.
“Yana dah solat asar di pejabat tadi,” beritahu Dayana.“Abang
dah asar?” soalnya pula.
“Dah, masuk waktu aje abang dah solat. Ayah tolong abang
ke bilik air tadi,” beritahu Azmir dengan nada sebak. Dia benar-benar terharu
dengan layanan yang diperolehi daripada isteri dan kedua mertuanya. Tanpa
bantuan mereka tentu hidupnya semakin sulit. Kini dia susah hendak bergerak ke
sana dan ke sini sejak kaki kirinya dipotong separas buku lali.
“Kita mandilah,”pujuk Dayana lagi. Bibirnya melukis
senyuman.
“Tak apa,Yana rehatlah dulu! Baru tadi ayah tolong lapkan
badan abang! Baru sangat lagi. Belum sampai setengah jam pun,” kata Azmir.“Badan
abang pun masih berbau bedak lagi,”beritahunya. Dayana terus melekapkan
hidungnya ke bahu Azmir bertubi-tubi untuk bergurau.
“Hmm... wangi,”usiknya sambil menyeringai.
“Yana ni...”balas Azmir sambil ketawa kecil melihat
perlakuan Dayana seperti kanak-kanak berumur enam tahun. Kalau dulu, pasti dia
akan bertempik memarahi Dayana. Namun kini hal itu tidak menjadi kemarahan
kepadanya lagi. Semenjak kakinya dipotong, Azmir benar-benar insaf dan
begitu menghargai pengorbanan isterinya itu.
“Okey, kalau begitu Yana pergi ambil teh dan cucur udang
di dapur, kita makan sama-sama,” ujar Dayana sambil tersenyum.
“Yana...”panggil Azmir.
Dayana merapat kepada suaminya yang nampaknya ingin
berkata sesuatu. Azmir mencapai tangan Dayana dan menciumnya lama-lama.
“Yana... abang mintak maaf kerana tidak dapat menjadi
suami yang sempurna buat Yana. Tidak mampu beri kebahagiaan pada Yana, sedangkan
itulah tekad abang apabila memilih Yana menjadi isteri,”bicara Azmir terhenti
seketika.“Segala impian berakhir apabila kita ditimpa kemalangan itu,”rintihnya
dengan suara sebak.
“Abang...”bisik Dayana. Kata-kata yang terungkap oleh
bibir Azmir begitu menyentuh perasaannya. Tidak untuk mendustai, bibit kasihnya
terhadap Azmir semakin merimbun sejak dia menjaga Azmir yang terlantar di atas
katil selepas pembedahan memotong sebelah kaki. Mungkin agaknya sikap Azmir
yang semakin berubah. Azmir tidak lagi panas baran atau celopar mulut seperti
sebelumnya.
“Yana...”Mata Azmir yang berkaca menatap ke wajah
isterinya itu.
“Abang, tak usahlah abang fikir yang bukan-bukan lagi. Yana
faham perasaan abang. Yana ucapkan terima kasih kerana abang sudi pilih Yana
untuk menjadi isteri abang. Walau atas dasar simpati, tapi Yana tahu niat abang
suci. Abang tak mahu Yana terus bersedih meratapi kematian Ikhwan...tapi, takdir
TUHAN telah mewarnai kehidupan kita. Sungguhpun begitu, Yana tetap sayangi
abang sehingga ke hujung nyawa Yana, bang.” Dayana tidak dapat menahan
perasaannya. Dia terus memeluk Azmir dan menangis di atas bahu suaminya itu.
“Terima kasih, Yana...”kata Azmir lantas mengusap-ngusap
belakang Dayana. Hatinya berasa lega mendengar kenyataan yang tulus daripada
bibir isterinya itu.
“Yana pergi ke dapur ya,”kata Dayana setelah selesai
menangis.
Dia mencium pipi Azmir mesra sebelum beredar ke dapur.
BIBIR Pak Yusof dan Mak Bedah tersenyum lebar melihat Dayana
menuruni tangga. Wajah anaknya nampak riang.
“Yana! Mari minum petang sekali ayah ni,” pelawa emaknya.
Dayana tersenyum dan berasa serba salah pula. Pak Yusof perasan airmuka anaknya
itu tiba-tiba berubah.
“Maknya, biarlah Yana nak minum petang dengan Azmir tu! Seharian
dia tinggalkan suaminya itu kerana bekerja. Dah balik pejabat, biarlah dia
layan suaminya pulak,”kata Pak Yusof dengan suara lirih. Senyuman Dayana
kembali melebar apabila mendengar kata-kata ayahnya. Mak Bedah memasukkan cucur
udang ke dalam piring berserta sosnya dan dua cawan teh ke dalam dulang lalu
menghulurkan kepada Dayana.
“Mak pun tak tahu ALLAH dah anugerahkan hati cap apa
kepada anak mak ni,” usik Mak Bedah.
“Kenapa, mak?”tanya Dayana sambil merenung ke wajah
emaknya.
“Dulu Azmir layan Yana dengan teruk, alih-alih sekarang
ni, Yana jugak yang kena jaga dia,” rungut Mak Bedah.
“Alah, mak. Yang dulu tu dah lama berlalu. Tak ada
manusia yang tidak berbuat silap atau kesalahan. Abang Azmir pun tertekan
dengan keadaan kesihatan dia, mak. Yana faham dan tak salahkan dia kalau
bersikap kasar pada Yana. Lagipun Yana boleh menghadapi segalanya. Insya-ALLAH,
mak, anak mak ni dah kuat! Ada hati cap gajah,”seloroh Dayana sambil ketawa.
Benar, sebaik sahaja dia menerima kehilangan Akif dengan
reda dia menjadi semakin tabah. Satu demi satu dugaan yang melanda hidupnya
menyebabkan dia semakin kuat. Dia selalu teringatkan pesanan Akif. Selalu terkenangkan
nasihat Ikhwan. Cinta dan kasih sayang mereka terhadapnya seolah-olah telah
menjadi akar tunjang pada semangatnya.
Cuma, selepas peristiwa hitam mewarnai sejarah
kehidupannya gara-gara perbuatan Zaim menyebabkan ketabahannya seolah merapuh
semula. Namun, setelah Azmir kudung kakinya, dia bangkit sekali lagi. Dia
kembali menguatkan hati serta jiwa raga. Setiap penderitaan pasti akan berakhir.
Itulah kata-kata yang diasak ke setiap sudut hatinya.
“Yana, bawa ni naik ke atas! Suruh Azmir makan banyak sikit! Tengah
hari tadi dia makan sikit sangat! Tak sihat agaknya,” beritahu Mak Bedah sambil
merenung Dayana dengan kasih sayang. Dayana mengambil dulang dan beredar dari
dapur.
Mak Bedah mengeluh panjang.
“Apa yang awak keluhkan? Tak baik tahu,” tukas Pak Yusof.
“Aku kasihan sangat kepada Yana tu. Pandai berlakon di
depan kita. Nampak bahagia dan gembira sangat! Tapi aku tahu hatinya remuk dan
hancur mengenangkan nasib dirinya.Aku selalu nampak dia bangun sembahyang
tengah-tengah malam. Tiap-tiap hari! Dia tu berendam airmata. Makan hati
berulam jantung sejak menjadi isteri Azmir. Entah bila berakhirnya,”kata Mak
Bedah meluahkan segala perasaan yang terpendam di dalam hati.
“Alah, awak ni! Itu semua kerja TUHAN. Tahulah DIA hendak
mengaturkan yang terbaik untuk Yana,”bidas Pak Yusof sambil menjamah cucur
udang satu demi satu.
“Mungkin ada hikmah di sebalik segala peristiwa yang
berlaku. Awak pun tahu, dia semakin mendekatkan dirinya kepada ALLAH. Bangun
sembahyang malam untuk bermunajat kepada ALLAH. Itulah yang terbaik sebagai
seorang yang mengaku dirinya beriman kepada ALLAH. Segalanya dikembalikan
kepada yang Esa. Dari situlah dia memperolehi kekuatan untuk menghadapi segala
cabaran. Segalanya rahmat TUHAN untuknya.” Panjang lebar bicara Pak Yusof.
“Betullah kata awak tu,”balas Mak Bedah.
“Sekarang ni aku tak pernah dengar lagi dia
menyebut-nyebut nama Akif. Barang-barang hantaran untuk Akif yang disimpannya
kian lama selepas mereka tak jadi bernikah tu, semua dia dah bakar,” kata Mak
Bedah. Cerita itu mengejutkan Pak Yusof.
“Bakar? Hisy, barang-barang tu bukankah dah lama disimpan?Dulu,
sewaktu kahwin dengan Azmir kita suruh guna barang-barang itu aje, mati-mati
dia tak mahu. Dia kata barang-barang itu untuk Akif. Dia kata Akif akan balik
nanti! Awak tak ingat?”soal Pak Yusof.
“Ingat! Inilah yang menghairankan aku! Ikhwan tu sudah
pastilah takkan balik lagi. Agaknya dia juga rasa putus asa mengharapkan
kepulangan Akif! Dan ingin memberi tumpuan kepada Azmir,” teka Mak Bedah.
“Tapi baju pengantin Ikhwan dia ada simpan. Dia letak
dalam beg sekali dengan baju pengantinnya. Baju yang dia pakai sewaktu majlis
pernikahan dengan Ikhwan tu,”cerita Mak Bedah. Pak Yusof tidak memberi sebarang
komen.
“Oh ya, semalam Akif ada telefon.Dia kirim salam pada
awak. Dia tanyakan khabar Yana. Aku dah beritahu Akif, Yana ada duduk dengan
kita. Dia kata nak datang sini kalau dia balik. Dia nak jumpa Yana. Aku kata
tak usah! Suami Yana sedang sakit,” beritahu Mak Bedah.
“Lagipun sehingga hari ini, Yana tak tahu Akif masih ada.
Kak Esah dan Abang Shukri pun tidak sampai hati untuk memberitahu kepadanya. Rais
dan Nisah pun sama. Semua rasa kasihan kepada Yana. Tapi Akif pun tidak boleh
dipersalahkan,”sambung Mak Bedah lagi.
“Dua-duanya dah jadi korban. Korban percintaan” ungkap
Pak Yusof pula.“Mereka berkorban kerana rasa kasih dan cinta sejati terhadap ALLAH.”
“Maknya, insya-ALLAH, DIA sangat mencintai orang-orang
yang berkorban untuk mendapatkan keredhaan-NYA,” komen Pak Yusof lagi.
“Saya faham, tetapi mereka masih muda. Mereka masih
berpeluang untuk memulakan hidup baru. Saya tahu hati mereka. Masih saling mencintai,”tukas
Mak Bedah dengan suara sebak.
“Biarlah mereka sendiri yang selesaikan masalah ini. Insya-ALLAH,
lama-kelamaan TUHAN akan beri jalan keluar,” balas Pak Yusof pula.
DAYANA menyelak langsir yang menghiasi pintu bilik dengan
sebelah tangannya kerana tangannya yang sebelah lagi memegang dulang.Bibirnya
mengukir senyuman apabila melihat Azmir sudah merebahkan dirinya di atas tilam.
“Abang,jom kita makan cucur udang,”pelawa Dayana sambil
meletakkan dulang di atas meja kecil berhampiran katil. Azmir telah terbaring
menghadap dinding bilik.
“Abang,” ulang Dayana lagi sambil menggeletek pinggang
suaminya itu. Tidak ada tindak balas daripada Azmir.
“Abang... ya ALLAH, kenapa ni?”soalannya tidak mendapat
jawapan. Gemuruh di dalam dadanya seolah-olah meruntuhkan seluruh jantungnya.
“Mak! Ayah!”jerit Dayana sekuat hati lalu memangku kepala
Azmir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan