Selasa, 16 Ogos 2016

Cinta Tak Pernah Usai- Bab 67



MALAM yang sepi. Dayana bermenung di atas katil. Dia merenung tempat tidurAzmir. Tempat itu kini kosong. Dia berasa kehilangan. Dadanya terasa sesak. Azmir telah meninggalkan dunia yang fana ini. Mereka telah terputus perhubungan. Dipisahkan antara dua dunia.
Alam barzakh dan alam dunia. Tidak ada pintu yang dapat menembusi antara keduanya kecuali liang lahad. Manusia yang telah mati dikirimkan ke alam barzakh melalui lubang kuburnya. Tetapi tidak pernah ada manusia yang telah pergi ke alam barzakh dapat kembali ke alam dunia melalui pintu kuburnya.
Azmir telah meninggalkannya jauh dan semakin jauh. Sama seperti Akif. Akif telah lama pergi. Sama seperti Ikhwan. Jika diukur dengan jarak perjalanan manusia, lamanya pemergian Akif, mungkin telah berpuluh ribu kilometer. Kenangan silam terselak-selak di hadapan matanya. Bayangan Akif melintas di hadapan matanya. ‘Akif...’tangis hatinya.
Ingin sahaja dia bertanya kepada angin malam, namun deru angin tidak mampu bersuara. Hatinya menangis pilu. Dayana meluru ke almari pakaiannya. Dia mengambil sebuah beg kulit yang berisi dokumen penting. Azmir sudah pun pergi. Akif tidak mungkin lagi menjadi milikku. Ikhwan sudah damai di sana. Kenangan yang tercipta antara keduanya harus aku lontar jauh-jauh. Aku akan merdekakan diriku dari belenggu kenangan yang akan melemahkan diriku. Aku harus kuat. Aku harus kuat. Masih ada perkara penting yang perlu aku uruskan. Aku telah berjanji dengan diriku. ZAIM. Terpacul nama itu meluncur dari bibir Dayana. Airmata yang tertumpah segera dikesatnya.
‘Masanya sudah tiba,Zaim. Masanya sudah tiba...’bisik Dayana di dalam hati. Dia membentang sejadah lalu memulakan solat sunat istikharah. Dia ingin meminta panduan daripada TUHAN atas keputusan yang telah dibuatnya.

KICAUAN burung murai mengejutkan Dayana pagi itu. Selepas menunaikan solat subuh dia sudah bersiap-siap. Hari ini dia akan memulakan langkahnya untuk membersihkan namanya. Sepasang kurung biru pemberian Akif dipadankan dengan tudung yang dihadiahkan oleh Ikhwan tersarung di tubuhnya. Beg tangan yang dibelikan oleh Azmir untuknya sebelum mereka diijabkabulkan,didakap erat.
“Mak, Yana nak ke Taiping,” beritahu Dayana kepada Mak Bedah. Mak Bedah tersentak.
“Yana nak pergi ke Taiping buat apa?”soalnya.
“Yana masih dalam edah lagi! Tak usahlah ke mana-mana,” nasihat Mak Bedah sambil merenung kepada anaknya itu. “Azmir tu baru tiga hari meninggal, Yana,” nasihat Mak Bedah lagi.
“Yana nak pergi jumpa peguam, mak,”beritahu Dayana dengan suara sebak. Mak Bedah terkejut apabila mendengar perkataan ‘peguam.’ Hatinya semakin cemas.
“Yana dah berjanji dengan peguam tu lama dah. Yana akan failkan kes Yana ni sebaik sahaja Abang Azmir meninggal, mak! Yana mesti bersihkan nama baik Yana balik. Jika tidak, hati Yana akan sengsara sampai mati, mak!”Cerita Dayana dengan suara serak menahan sebak.
 “Dah lama sangat Yana pendam cerita ini, mak. Yana tak mahu Abang Azmir tahu peristiwa buruk yang telah menimpa Yana. Abang Azmir mengganggap Yana macam kain putih yang tidak tercela, mak! Yana pun ingin menjadi seperti itu kalau boleh, tapi TUHAN telah merencanakan segalanya,” cerita Dayana lagi. Airmatanya sudah tidak dapat dikekang lagi. Dia terus teresak sambil menekup mulutnya.
Kata-kata yang terlontar dari mulut anaknya itu mencampakkan perasaan Mak Bedah ke lautan keliru dan tandatanya.
“Yana, apa yang telah berlaku, nak?”Terketar suara Mak Bedah melemparkan persoalan. Hempasan pilu di jiwa Dayana yang selama ini terbendung akhirnya meruntuhkan benteng kesabarannya selama ini. Dayana terus meraung lalu memeluk emaknya.
“Kenapa Yana tak pernah ceritakan pada mak, sayang?”soal Mak Bedah. Dia pun turut menangis kerana melihat keadaan anaknya itu. Saat itu Dayana menangis semahu-mahunya.
Haruskah dia menceritakan segala peristiwa yang telah terlakar di dalam kanvas kehidupannya itu. Lukisan buruk dan menjijikkan itu telah merendamkan dirinya di dalam penderitaan dan kesengsaraan yang tidak tertanggung jika dia tidak mengingati TUHAN.
“Mak!”raung Dayana lagi terus memeluk emaknya. Lantas bibirnya terus menceritakan segala yang menimpa kepada dirinya sepuas-puasnya.
“Ya ALLAH, Yana! Kenapa simpan semua cerita ni? Astaghfirullahalazim,” ucap Mak Bedah dengan nafas yang tercungap. Hatinya tersayat pilu.
Pak Yusof yang sedang mencangkul batas-batas sayur di luar rumah segera masuk ke dalam rumah apabila mendengar suara anak dan isterinya menangis kuat. Dilihatnya kedua-dua beranak itu sedang bertangis-tangisan.
“Apa halnya, Bedah? Yana?”soalnya lalu duduk di kerusi berdekatan.
“Yana...”cerita Mak Bedah sambil menangis. Kalbu mana yang tidak meruntun bila mendengar cerita buruk tentang anak yang tersayang. Dianiayai dan dizalimi begitu. Patutlah tubuh anaknya menjadi kurus kering. Rupa-rupanya terlalu banyak cerita duka yang dipendamnya. Banyak penderitaan yang memamah jiwa raganya.
“Ya ALLAH, jantan mana yang berani buat begitu kepada kamu Yana? Biar ayah cincang lumat! Biadap! Kurang ajar!”tempik Pak Yusof sambil menepuk meja makan dengan kuat. Perasaan marahnya menyala-nyala serta-merta.
“Hari ini jugak buat laporan polis!”tegas Pak Yusof.
“Ayah tak peduli! Hari ini jugak mesti buat laporan polis! Jom ayah temankan!”Berapi-api suara Pak Yusof.
Apa juga caranya dia mesti menyokong anak tunggalnya itu. Biar dia berhabis harta benda dan wang ringgit untuk membiayai kos guaman. Lelaki jahanam yang telah mencemarkan kehormatan anaknya itu mesti menerima hukuman sewajarnya.
“Biar ayah bergadai bergolok Yana! Kamu cari peguam yang terbaik untuk kendalikan kes ini!”tukasnya sambil menumbuk meja sekali lagi dengan perasaan marah yang meruap.







Tiada ulasan: